TENGAH HARI itu Hajah
Suhaily menelefon Laila beritahu hendak datang pada malam nanti. Katanya ada
hal penting yang hendak dibincangkan. Lalu rancangan untuk keluar makan malam bersama
Hafidz terpaksa dibatalkan. Laila agak terkilan juga. Maklumlah bukan senang
untuk meluangkan masa berdua-duaan bersama suami. Nama sahaja mereka tinggal
serumah tetapi Hafidz sentiasa sibuk. Sebagai seorang doktor, masa Hafidz
banyak dihabiskan di kliniknya yang mempunyai tiga cawangan itu. Hanya beberapa
jam sahaja dalam sehari mereke bertemu di rumah.
“Apa dia hal penting yang mak nak bagi tau Laila tu?” Laila
pandang Hajah Suhaily, kemudian pandang kakaknya Shima pula. Sebetulnya dia
boleh agak apa hajat ibu dan kakaknya. Dah tentulah mahu ‘melamar’ Affan untuk
Nadia. Kalaulah betul, dia sudah punya jawapan. Dia tidak bersetuju. Dia
berpendapat, di zaman serba progresif ini, isu mengatur perkahwinan sepatutnya sudah
tidak wujud lagi. Biarlah anak-anak yang menentukan sendiri siapa pasangan
hidup mereka. Yalah, yang nak berkahwin kan mereka. Yang nak merasa asam garam
hidup berumah tangga pun mereka juga. Dia pernah suarakan kepada Hajah Suhaily
sebelum ini tetapi biasalah emak tu. Bukan nak dengar pun. Kata-kata dia juga
yang betul. Sama naik dengan Kak Shima tu.
“Kita kena cepat nikahkan Affan dengan Nadia. Tak boleh
tangguh-tangguh lagi.” Serius benar suara dan rupa Hajah Suhaily.
“Ya betul tu... Shima setuju dengan mak.” Shima menyampuk.
“Mak rasa elok kalau
kita buat majlis tu bulan depan aje. Lagi cepat lagi bagus. Affan dengan Nadia
pun bukan muda lagi.” Hajah Suhaily menyambung.
Laila pandang suaminya
yang duduk di sebelah. Suaminya mengangguk. Memberi isyarat supaya Laila bercakap.
“Mak... rasanya kita pernah bincang pasal ni, kan? Mak
sendiri tau, Affan tak setuju dengan rancangan mak tu.” Selembut mungkin Laila
menjawab. Cuba untuk tidak buat Hajah Suhaily marah atau berkecil hati. Tapi
dia percaya, Hajah Suhaily pasti akan marah dan mengamuk. Maklumlah, selama ini
tiada anak-anak yang berani membantah bicaranya. Setiap ucapannya berupa
arahan. Bukan dia tak tahu sifat emak selama ini. Yalah, dia sendiri pun
bukanlah anak yang suka melawan atau membantah. Apa yang dia rasa boleh ikut,
dia akan ikut. Tetapi bila tiba dalam bab menentukan jodoh untuk anak-anak, dia
tak rasa dia boleh berkompromi.
“Affan kena setuju.” Keras
suara Hajah Suhaily.
“Betul kata mak...
nak tak nak, Affan kena setuju.” Lagi sekali Shima menyampuk.
Sakit betul hati Laila
dengan Kak Shima tu. Dari tadi tak habis-habis nak menyokong cakap emak. Nampak
sangat dia yang lebih-lebih. Terus terang, kalau Nadialah... awal-awal lagi dia
tolak. Jangan harap dia nak berbesan dengan Kak Shima tu. Memang mereka adik
beradik, tapi dia tidak sukakan perangai Kak Shima yang perasan bagus tu. Malah
Nadia sendiri dia tidak berkenan. Jangan harap dia nak buat menantu.
“Affan bukan budak
kecil boleh kita nak paksa-paksa, mak. Dia dah dewasa... dah boleh fikir baik
buruk.” Laila tak pandang pun muka Kak Shima. Malas. Dia hanya pandang muka
Hajah Suhaily.
“Laila nak cakap
rancangan mak ni lebih banyak buruk dari baik. Macam tu?” sergah Hajah Suhaily.
“Laila tak maksudkan
macam tu, mak. Tapi pada Laila, biar la Affan atau sesiapa aje cucu mak pilih
jalan hidup dia orang sendiri. Bukan apa, kalau berlaku apa-apa pada rumah
tangga dia orang, tak naklah dia orang salahkan kita.”
“Laila jangan nak
ajar mak. Selama ni dah berapa orang cucu-cucu mak yang kahwin sesama sendiri.
Okey aje semuanya. Tak ada masalah pun.”
Dengar suara Hajah
Suhaily yang semakin meninggi, Laila tahu emak marah. Tapi dia menyatakan hal
yang sebenar. Tak ada niat pun nak menyinggung atau nak sakitkan hati emak. “Entah
la mak. Laila pun dah tak reti nak buat macam mana lagi sekarang ni.”
“Benda mudah macam tu
pun tak reti nak buat ke Laila? Kalau dah cara lembut tak jalan, kena la paksa.
Anak-anak ni kena ikut cakap kita. Bukan kita yang kena ikut cakap dia orang.”
“Betul kata mak tu.
Anak-anak memang kena ikut cakap kita. Shima rasa bersyukur sangat anak-anak
Shima jenis yang dengar kata. Nadia tu bukan tak ada lelaki nak... berderet
tengah tunggu dia. Tapi sebab dia dengar cakap mak, cakap Shima, dia tak layan
pun lelaki-lelaki tu semua. Dia tetap tunggu Affan juga.”
Semakin banyak Shima berkata-kata,
semakin kecil sahaja wanita itu di mata Laila. Nasib baiklah dia boleh
bersabar. Kalau tidak, memang meletuslah perang dunia kat dalam rumah ni.
Bercakap bukan main sedap lagi. Nadia anak yang mendengar kata konon. Padahal
sejak dari zaman persekolahan lagi Si Nadia tu terkejar-kejarkan Affan. Sebenarnya
dari awal lagi dia dapat rasa, rancangan untuk menjodohkan Affan dan Nadia bukanlah
idea asal Hajah Suhaily, tetapi idea Nadia sendiri. Tahu tak berjaya pikat hati
Affan, dia guna ibu dan opahnya pula. Dan taktiknya menjadi sebab secara kebetulan
Hajah Suhaily memang gemar menjodohkan cucu-cucunya. Nampak kan permainan Nadia
dan Kak Shima dekat situ? Konon Nadia itu anak yang mendengar kata. Yalah tu...
mendengar kata la sangat.
“Macam inilah. Biar
kita orang cuba tanya Affan lagi sekali. Dengar apa kata dia kali ni. Tapi mak
dan Kak Shima janganlah harap sangat, ya?” Sudahnya itu yang keluar dari mulut
Laila. Tapi dia yakin seratus peratus, jawapan Affan masih sama. Anak sulungnya
itu takkan terima Nadia.
“Kau ingat aku hadap
sangat ke Affan tu jadi menantu aku? Tak ada maknanya, Laila. Kalau bukan
kerana mak, aku pun tak inginlah. Nak-nak kau yang jadi besan aku... tolonglah.
Aku rasa ramai aje datin-datin atau puan sri-puan sri yang nak berbesan dengan aku
ni.” Marah benar bunyi suara Shima. Mahu
tak marah, macamlah hina benar Si Nadia tu sampaikan satu keluarga sepakat
menolak. Dalam hal ini dia tak rasa Affan yang tidak mahukan Nadia tapi Laila
sendiri yang buat keputusan bagi pihak anaknya.
Naik menyampah pula
Laila dengan ucapan kakaknya tu. Kalau bercakap tak pernah nak kalah. Semua
yang hebat, dia ajelah. “Laaa... dah tu kenapa Kak Shima tak cari aje anak-anak
datin atau puan sri tu? Yang Kak Shima
sibuk nakkan Affan tu apa hal?”
Hafidz cuit
isterinya. Risau kalau terjadi pergaduhan pula.
“Tolong sikit, eh?
Siapa cakap aku yang nak Affan jadi menantu aku? Tak ada maknanya. Macamlah kau
tak tau aku ni anak yang patuh dengan cakap mak. Bukan macam kau tu.” Seperti
yang dia cakapkan tadi, dia sendiri memang tidak suka bermenantukan Affan.
Seperti mana dia tak rela untuk berbesan dengan Laila. Memang mereka adik
beradik tetapi hubungan mereka tidak pernah baik sejak kecil. Mereka seperti
anjing dan kucing. Pantang berjumpa, asyik nak bergaduh sahaja. Tetapi
mengenangkan Nadia yang sangat tergila-gilakan Affan, dia terpaksa merendahkan
egonya. Dia terpaksa abaikan Laila yang dibenci. Lalu dia terpaksa guna emak
supaya tidak nampak yang dia atau Nadia yang beria-ia mahukan Affan.
“Kau orang kalau tak
bergaduh tak boleh ke?” marah Hajah Suhaily. “Kau ni Laila... yang susah sangat
nak dengar cakap aku ni kenapa? Perangai dari dulu tak berubah-ubah.”
Laila nak jawab, dah
buka mulut pun. Tapi cubitan suami di paha menyebabkan dia batalkan niatnya.
“Dah... mak nak balik
tapi mak akan datang semula. Mak harap masa tu nanti kita dah boleh pilih
tarikh untuk majlis Affan dengan Nadia.”
2 comments:
best nak lagi novel dia bila keluar
Insya-allah tak lama lagi... Terima kasih Baby mio... :)
Post a Comment