Thursday, December 31, 2009

Selamat Tahun Baru 2010

SELAMAT TINGGAL 2009, SELAMAT DATANG 2010.

Tuesday, December 22, 2009

Tak faham...

Baru-baru ini saya menghadiri satu kursus. Tajuknya menarik dan cara penyampaian penceramahnya juga sangat menarik. Sepanjang kursus yang berlangsung satu hari itu, saya tidak rasa mengantuk langsung walaupun malam sebelumnya saya hanya tidur beberapa jam saja. Ceramah yang diselangselikan dengan lawak spontan dan kisah-kisah benar itu, memberikan banyak pengetahuan baru kepada saya. Selama ini apa yang kita tahu sikit-sikit dan jadi semakin jelas. Teman-teman lain yang ikut serta juga mengakuinya.

Tapi yang saya tidak faham, sikap segelintir peserta kursus. Penceramah bercakap di hadapan, yang dia orang pulak tak henti-henti bercakap sesama mereka. Saya rasa bukan kami saja yang perasan, penceramah sendiri perasan. Sampaikan beberapa kali dia memberi peringatan agar semua peserta memberi perhatian. Tapi sekejap saja berhenti, selepas itu dia orang sambung balik berbual. Saya yang tak ada kena mengena ni pulak yang naik malu dengan penceramah itu.

Pada saya orang-orang seperti ini adalah orang yang tidak tahu menghormati, menghargai dan menjaga perasaan orang lain.

Sunday, December 6, 2009

Sampai bila?


Bila baca entri bertajuk 'realiti kehidupan' kat blog kak Aina Emir, saya terus teringatkan seorang kawan saya. Kalau Kak Aina diminta oleh kawan kaunselor dia untuk buat novel tentang isteri yang asyik dok teringat kekasih lama, saya pula telah diminta oleh kawan saya ni untuk menulis kisah yang hampir sama dan berlaku pada diri dia sendiri.

Eloklah saya namakan kawan saya ni sebagai T saja. T yang hampir sebaya saya ni telah mendirikan rumah tangga dan mempunyai empat orang anak. Suami T merupakan pilihan keluarga. Menurut T, suaminya adalah seorang lelaki yang baik dan sangat bertimbang rasa. Dan T mengaku, hidupnya berbahagia di sisi suaminya.

Sebelum mendirikan rumah tangga, T sudah mempunyai kekasih hati (K). Tetapi cintanya mendapat halangan keluarga dengan alasan K tidak sama darjat dengan mereka. T anak orang berada dan ada gelaran sementara K hanyalah anak orang biasa saja. Kata T, pada mulanya dia tidak endahkan larangan keluarga. Dia tetap menjalinkan hubungan dengan K. Tetapi dugaan yang datang terlalu berat. Akhirnya dia dan K terpaksa mengalah. Dia akur dengan permintaan keluarga dan berkahwin dengan lelaki yang tidak pernah dicintai. Sejak itu, dia tidak tahu apa yang berlaku kepada K. Walaupun begitu, K tetap berada dalam ingatannya.

Nak dijadikan cerita, pada tahun lepas,
ketika menghadiri satu kursus, T tiba-tiba terserempak dengan K. Walaupun masa agak terhad, mereka sempat bertanyakan khabar diri dan keluarga masing-masing. Dari situ lah T dapat tahu yang K masih lagi solo. Kata K, hatinya tidak pernah terbuka buat wanita lain. Sejak dulu dan sampai bila-bila pun hanya T yang ada dalam hatinya. Hanya Tuhan yang tahu hati T saat mendengar pengakuan K. Terharu sangat-sangat. Dia tidak sangka K sanggup berkorban sampai macam tu sekali.

Sebelum berpisah, T dan K bertukar-tukar nombor telefon. Dan sejak tarikh itu, boleh dikatakan saban hari mereka berbual di telefon. Kadang kala sampai dua atau tiga kali sehari. Kata T, untuk mengelak daripada diketahui suaminya, mereka selalunya berbual semasa dia di pejabat sahaja. Saya tanya juga, sampai bila agaknya keadaan ini akan berterusan? Jawab T, dia sendiri tidak pasti kerana apa yang dia tahu, dia sangat bahagia dengan apa yang dilalui sekarang.