Thursday, March 29, 2012

sabarlah...


Sembilan tahun mereka bercinta. Malah dah merancang untuk ke arah yang lebih serius. Dia pula jenis yang sangat mengambil berat. Kalau orang tu nak ke mana-mana, dia yang hantarkan... dialah yang temankan. Setiap hari orang tu balik dari kerja, dialah yang menjemput. Pantang dengar orang tu susah sikit ataupun sakit, cepat saja dia menolong. Orang tu punya pasal, dia tak berkira langsung. Tak pernah merungut sedikit pun. Selama bertahun-tahun itulah yang dia lakukan. Yang bagusnya dia bukan ambil berat pasal orang tu saja, malah keluarganya sekali. Dari situ nampak, dia memang ikhlas. Dia bukan nakkan orang tu aje... malah dia boleh terima keluarga orang tu juga. Dan dia beruntung kerana pilihannya mendapat restu keluarga. Orang itu diterima baik dalam keluarganya.

Tapi betullah kata orang... panas tak semestinya sampai ke petang. Ada kalanya hujan kan turun di tengah hari. Masa jumpa beberapa hari sebelum tu semuanya elok-elok aje. Mereka tak gaduh... tak bermasam muka. Tetapi bila jumpa balik lepas tu, tiba-tiba orang tu berubah secara mendadak. Orang tu seolah-olah tak kenal dia... dah lupa janji-janji yang pernah mereka buat bersama. Orang tu juga cakap tak pernah punya apa-apa perasaan pun pada dia. Yang lebih menghairankan, orang tu dah tak nak jumpa dia lagi. Pelik dengan perubahan itu, dia berjumpa mak orang tu. Cuba minta penjelasan. Tapi hasilnya sama saja. Mak orang tu minta dia lupakan anaknya dan jangan ganggu anaknya lagi. Aneh, kan?

Kerana hal itu, dia jadi bingung. Dia sangat tidak faham. Kepada ibu bapanya dia bercerita. Malah sempat mengalirkan air mata. Yalah, siapa tak sedih, kan? Tapi dalam begitu pun dia masih tak nak menyalahkan orang itu. Dia masih mahu bersangka baik. Katanya dia tak kisah kalau orang tu betul-betul dah tak nakkan dia... dia reda. Cuma yang dia bimbang, kalau-kalau orang tu dianiaya atau melakukan perkara itu di luar sedarnya (fahamkan maksud saya?)

Sudah seminggu, dan dia sengaja menyibukkan diri dengan bermacam-macam aktiviti. Mungkin itu caranya untuk dia melupakan. Saya tahu dia terkilan kerana hajat yang tak kesampaian tapi bersabarlah. Mungkin ada hikmah di sebalik semua ini. Dan saya berdoa, mudah-mudahan segala-galanya akan kembali okey selepas ini.

*Kisah benar yang akan saya selitkan di dalam novel saya selepas ini...


Friday, March 16, 2012

cerita novel

gambar ihsan Amie Corey

Novel dah siap. Insya-Allah sebulan dua lagi akan berada di pasaran. Macam biasalah... risau nak tunggu reaksi pembaca. Saya tahu agak susah nak penuhi selera semua orang. Cita rasa orang berbeza-beza. Kalau si A suka 'Bila Dah Suka', Si B pula suka 'Tinggallah Pujaan'. Yang Si C pulak suka gila dengan 'Bukan Tak Sudi' tapi kata Si D, dia tak berapa gemar cerita tu, dia lebih sukakan 'Yang Ku Cari.'

Tapi kebanyakan pembaca saya sukakan 'Kalau Ada Jodoh'. Mereka sukakan watak Pyan sampaikan kalau boleh hero-hero saya selepas itu pun dia orang nak macam Pyan juga. Berambut panjang, maco, pandai main gitar, pandai menyanyi, manja, kuat merajuk... itu yang dia orang suka. Sebetulnya saya sendiri sukakan watak Pyan tu. Tapi tu la... macam tak sesuailah pulak kalau hero asyik-asyik macam tu aje. Kenalah ada kelainan... betul tak?

Perasan tak... pembaca lebih berminat dengan hero. Jarang-jarang dia orang perkatakan tentang heroinnya. Kenapa ya? Adakah sebab majoriti pembaca novel adalah perempuan? Boleh jadi juga...

Sekarang saya tengah bersemangat untuk memulakan novel seterusnya. Belum mula pun sebenarnya... baru berangan-angan. Tengah duk kumpul idea. Kalau boleh tak naklah ada persamaan dengan novel-novel saya sebelum ni. Agaknya macam mana pula hero dan heroin saya selepas ini ya? Pening juga nak fikir ni. Nama-nama watak pun nak kena fikir juga tu. Kalau boleh tak naklah guna nama yang canggih-manggih sangat. Dari dulu lagi, saya lebih gemarkan nama-nama yang simple dan senang disebut.

*Saya selalu macam tu... mula-mula aje bersemangat. Lepas tu, novel ke mana, apa ke mana. Hahaha...

Thursday, March 15, 2012

cerita kahwin


Biasalah... bila cuti sekolah aje, mesti ada orang kahwin. Bila orang kahwin aje... mesti masa cuti sekolah. Tapi sekarang dah tak macam dulu lagi. Bukan musim cuti sekolah pun, ramai aje yang berkahwin.

Bila sebut pasal kahwin ni, teringat masa zaman muda remaja saya dulu. Bila berkumpul dengan kawan-kawan, kahwinlah yang selalu jadi topik pilihan. Bukan main lagi masa tu. Seronok sebenarnya berbincang dan berangan pasal tu. Berebut-rebut semua orang nak bercerita pasal suami idaman masing-masing. Ada yang nak bakal suami macam Jamal Abdillah (masa tu Jamal tengah top), ada yang nak macam Syed Sobree. Ada kawan tu pulak nak kahwin dengan jutawan. Pendek kata, semua nak yang handsome dan yang hebat-hebat saja.

Bila tiba tang saya, semua pakat gelak. Saya cakap... saya nak suami saya nanti orang Kuala Lumpur. Kalau tak pun, suami yang ada dusun buah-buahan. Itu yang dia orang gelak sakan tu. Konon saya punya keinginan entah apa-apa. Macamlah hebat sangat kalau dapat kahwin dengan orang KL. Memang masa remaja dulu, bila dengar orang tu datang dari KL aje, saya rasa macam dia tu hebat sangat. Kagum sangat kat orang tu. Entah apa yang hebat sangat pun tak taulah...

Walaupun jodoh saya bukan dengan orang Kuala Lumpur tapi saya berkahwin dengan orang yang ada dusun buah-buahan. Bukan dusun dia pun... dusun ayah dia. Hehehe. Kira tercapai jugalah hasrat saya, kan? Setiap kali tiba musim buah-buahan, puaslah dapat makan durian, rambutan, langsat dan sebagainya. Tapi kawan-kawan saya tadi, tak ada sorang pun yang berjaya mendapat apa yang diidamkan. Itu la, siapa suruh berangan yang bukan-bukan...

Itu ajelah yang nak dikongsi kali ini. Tak ada apa pun sebenarnya. Saja nak mengimbau cerita lama... :)

Wednesday, March 7, 2012

apa agaknya khabar dia?


Tiba-tiba hari ni saya teringatkan seorang kakak ni. Dia jururawat di sebuah hospital kerajaan. Saya kenal dia semasa kami sama-sama dimasukkan ke wad beberapa tahun lepas. Ketika tu saya disyakki mengidap demam denggi, dia pula ada penyakit tibi. Beberapa hari tinggal sebilik, saya jadi rapat dengan dia. Saya jadi tempat dia meluahkan perasaan. Setiap malam sebelum tidur, dia akan membuka kisah sedihnya. Kisah di mana dia menjadi mangsa penderaan suami. Kata kakak tu, selama berbelas-belas tahun dia hidup dalam penderitaan. Maki hamun, penampar dan sepak terajang adalah makanan hariannya. Pantang buat silap sikit, pasti kena. Pernah sekali tu dia kena pukul dengan kerusi makan. Sampai patahlah kerusi tu.

Kebetulan suaminya memang rajin melawat. Tak kira masa. Pagi, petang, siang, malam. Tengah-tengah malam pun dia boleh melawat lagi tu. Ikut suka hati dia aje. Mentang-mentang isterinya jururawat, dia buat wad itu macam dia yang punya. Saya yang berada sebilik dengan isterinya memang rasa tak selesa. Bayangkan, tengah kita sedap-sedap tidur, tiba-tiba dengar suara dia yang marah-marah dan melenting. Isteri tengah sakit pun dia nak marah-marah. Teruk sungguh. Saya tahu isterinya sendiri tak selesa dengan sikap suaminya, tapi tak berani nak tegur. Kata kakak tu, suaminya memang suka mengawal gerak geri dia. Kalau boleh, ke mana pun dia pergi, mesti dilapor kepada suaminya terlebih dahulu. Sebab itulah selama beberapa hari isterinya di wad, dia asyik datang. Semata-mata nak memerhati gerak geri isterinya.

Satu malam tu, lebih kurang dalam pukul 12 lebih, suami kakak tu datang dengan membawa nasi lemak. Katanya, dia yang masak sendiri. Disuruh isterinya makan walaupun dah berulangkali isterinya cakap yang dia sudah kenyang. Lagipun dah lewat sangat. Terus suaminya jadi marah. Dipaksa juga isterinya makan. Yang tak tahannya, dengan saya-saya sekali dipaksa makan. Memanglah saya tak nak. Apahal pulak nak paksa-paksa saya, kan? Bukan ada kena mengena dengan dia pun. Bila saya tak nak, lagilah dia marah. Bila tengok keadaan suaminya yang dah lain macam, terus kakak tu makan nasi lemak buatan suaminya tu. Dia ajak saya sekali makan. Saya yang dah naik risau terpaksalah makan sama. Gila punya kerja... orang lain semua tengah sedap tidur, yang kami dua orang dok makan nasi lemak. Suami dia pulak dok perhati sampai kita orang habis makan.

Selepas keluar dari wad, ada juga sesekali kakak tu hubungi saya. Di pihak saya sendiri memang tak pernah menelefon pun. Memang dia tak bagi saya telefon dia. Malah nombornya juga saya tak simpan. Suaminya tak suka isterinya berhubungan dengan sesiapa pun. Malah dengan keluarganya sendiri pun macam tu. Tapi sekarang, langsung dah tak ada khabar beritanya lagi. Entah apalah agaknya khabar dia sekarang? Berbahagiakah dia atau masih lagi seperti dulu?

Tuesday, March 6, 2012

kisah benar


Sejak jadi penulis, acap kali juga saya dihubungi oleh pembaca dan teman yang meminta supaya saya menulis kisah hidup mereka. Rata-ratanya perempuan dan kisah mereka semuanya sedih-sedih belaka. Setakat ni belum jumpa lagi cerita-cerita kelakar dan ceria. Terbaru, minggu lepas... ada seorang kakak yang meminta saya menulis kisah hidupnya juga. Katanya, tak payah susah-susah cari idea... ambil sahaja kisah dia, dah boleh jadi satu novel. Macam yang lain-lain... hidupnya juga penuh dengan kisah sedih. Tapi dia belumlah bercerita sepenuhnya. Tunggu satu hari yang sesuai katanya...

Selalunya saya tolak dengan baik. Bukanlah tak nak bagi kerjasama tapi saya lebih suka menulis mengikut imaginasi saya sendiri. Saya tak terikat dan saya boleh berkarya dengan sesuka hati saya. Lagipun saya kurang gemar menulis benda-benda sedih ni. Kalau sedih sikit-sikit tu boleh lagi la. Kalau dah terlampau sangat, saya pulak yang jadi penat dan tertekan.

'Biarlah ku sendiri'. Sesiapa yang pernah membaca nopen ini... inilah satu-satunya kisah benar yang berjaya saya tulis. Itu pun sebab tak sampai hati. 'Dia' meminta tolong sangat-sangat. Saya turutkan. Tapi saya cuma mampu buat dalam bentuk nopen saja. Kisahnya sangat berat untuk saya jadikan novel. Saya tak rasa saya mampu buat.

Selama lebih tiga jam 'dia' bercerita pada saya tanpa henti. Masa tu kami berdua duduk kat depan chalet di pantai kampung mertua saya di Mersing. Bermula pukul sepuluh malam... tamat bercerita jam satu lebih. Sambil ditemani dingin malam yang mencucuk sampai ke tulang, air matanya tak henti-henti mengalir masa tu. Sambil mencatat, air mata saya luruh juga sesekali. Kisah hidupnya memang tragis sungguh. Macam dalam drama. Jadi kepada sesiapa yang nak tau kisah hidup 'dia'... bacalah 'Biarlah ku sendiri.' Ianya memang kisah benar...

Saturday, March 3, 2012

alhamdulillah


Dah lama benar rupanya saya tak update blog. Untuk tahun 2012, ini adalah entry saya yang pertama. Naik bingung sekejap... tak tau nak tulis apa. Tak reti nak mula macam mana. Rasa macam baru nak belajar menulis pulak.

Buat permulaan ni, tak ada apa sangat yang saya nak tulis... cuma nak maklumkan yang novel terbaru saya dah pun siap. Alhamdulillah... lega sangat-sangat. Ikutkan, memang saya tak cadang nak keluarkan novel pun dalam masa terdekat ni. Sepanjang hujung tahun lepas sampai awal tahun ni, saya sangat sibuk. Kebetulan ofis saya berpindah ke Cyberjaya. Jadi, banyaklah benda yang nak kena uruskan. Dari sebelum pindah sampailah dah berpindah ke sana. Dalam masa sama, dapur rumah saya pula sedang dibuat ubahsuai. Tak banyak pun, sikit saja... tapi walaupun sedikit, keadaan rumah memang teruk masa tu. Tunggang terbalik. Macam tongkang pecah. Bila balik rumah, tengok keadaan macam tu, terus mood menulis jadi hilang. Kepala otak jadi berserabut. Idea yang datang hanya mampu saya simpan dalam buku nota. Nanti-nantilah saya buat.

Tapi dorongan dan kata-kata perangsang yang diberi oleh seseorang, menyebabkan saya jadi bersemangat untuk menyiapkannya. Kebetulan memang saya dah buat beberapa bab pun, cuma nak sambung saja lagi. Betul lah kata orang... di mana ada kemahuan, di situlah ada jalan. Kalau kita berusaha dan bersungguh-sungguh, tiada apa yang mustahil. Saya sendiri tak percaya saya boleh menyiapkan novel saya ni dalam masa yang agak singkat. Syukur alhamdulillah...

Apa yang saya harapkan, novel terbaru saya ni akan dapat memuaskan hati pembaca. Paling penting, dapat memberikan manfaat dan juga pengajaran buat mereka. Isu kali ini agak serius sedikit... tentang orang-orang yang mahu berubah tapi tak nampak serius sangat memandangkan saya menyampaikannya dengan agak santai.

Di sini saja dulu. Ada masa... saya menulis lagi, Insya-Allah...