Saturday, April 20, 2013

tolong edit...

Assalamualaikum & salah sejahtera,

20 April 2013. Maka selesailah sudah proses penamaan calon untuk PRU ke13 yang akan diadakan pada 5 Mei nanti. Kebetulan tarikh itu jatuh pada hari terakhir pesta buku (PBAKL2013). Macam mana tu ya? Agak-agak ke mana dulu saya nak pergi pada hari tersebut? Pesta buku atau mengundi? Insya-Allah saya akan mengundi terlebih dahulu, kemudian barulah bergerak ke PWTC. Harap-harap semuanya akan berjalan dengan lancar. Seperti beberapa penggal lepas, sekali lagi saya akan membuang undi di Parlimen Hulu Selangor dan DUN Batang Kali...


Berbalik kepada tajuk enti saya hari ini... 'tolong edit..' Sebenarnya saya banyak menerima permintaan daripada rakan dan juga pembaca... baik melalui emel, panggilan telefon atau secara berhadapan.  Mereka meminta saya menilai dan mengedit karya mereka. Bila didatangi permintaan sebegini, saya jadi serba salah. Bukan apa... risau ada yang berkecil hati. Terus terang, bukan tak nak tolong... tapi saya memang tak sempat nak buat benda tu. Nak menulis pun saya terpaksa pandai mencari dan mencuri masa, ini kan pula nak membaca dan mengedit karya orang lain. Sangat tak sempat. Lagipun saya tak rasa saya layak untuk buat kerja itu. Jujur aje ya... saya tak reti dan tak berani untuk menilai karya orang lain.

Jadi kepada sesiapa yang pernah bertanya dan pernah menghantar karya juga kepada saya untuk dinilai dan diedit, saya minta maaf banyak-banyak. Saya berpendapat, adalah lebih baik sekiranya karya tuan/puan terus dihantar ke mana-mana penerbit. Di sana, mereka mempunyai editor yang memang mempunyai kepakaran dalam bidang berkenaan. Kalau ada rezeki... mungkin  karya tuan/puan akan diterbitkan. Insya-Allah...

Itu sahaja untuk kali ini... jumpa lagi :)

Thursday, April 18, 2013

aku, dia & bintang



Insya-Allah novel terbaru saya 'AKU, DIA & BINTANG' akan menemui pembaca di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013 yang akan bermula pada  26 April nanti (hari lahir saya...) Saya berharap novel kali ini juga akan dapat memberi kepuasan kepada pembaca... 
Mari kita baca sinopsisnya :

SAAT tahu kecurangan Zaim, hati bagai dirobek-robek. Dia terluka sungguh-sungguh. Lalu dia nekad batalkan perkahwinan mereka. Ke  Indonesia, dia membawa hati. Mudah-mudahan, dia akan beroleh ketenangan sekaligus melupakan apa yang berlaku. Malangnya, bukan ketenangan yang dia dapat... sebaliknya hati jadi semakin huru-hara… hati semakin porak-peranda. Semuanya gara-gara Andri… cowok seberang yang pintar berkata-kata.

Andri - “Aku tau kalau kamu juga suka sama aku.”

Leya – “Eii! Jangan perasan boleh tak? Saya tak suka kamulah.”

Andri – “Guru aku pernah bilang... saat seorang wanita menolak kamu, sebenarnya di saat itu dia paling membutuhkan kamu.”

Leya - Guru saya pernah cakap... kalau seseorang tu benar-benar tulus cintakan kita, dia tak mengharapkan cintanya dibalas.”

Dalam tak suka, Leya akui… cuma badannya yang pulang ke Malaysia, sedangkan hatinya tertinggal di sana bersama Andri.

Leya - “Kalau saya minta bulan dan bintang, kamu sanggup bagi?”

Andri - “Aku nggak janjikan bulan dan bintang buat kamu… tapi aku akan temani kamu selamanya di bawah cahayanya yang benderang.”

Baharu hatinya nak rasa bahagia, ujian tiba. Andri hilang tanpa khabar berita. Dia jadi bingung… dia jadi nanar. Meski  Redza  setia menemani, namun Andri tetap di hati. 

Redza - Saya tak ada niat nak pengaruhi awak untuk terima lamaran umi. Tapi percayalah… kalau jawapan awak nanti berpihak pada saya, pada umi… saya janji saya akan gembirakan awak… bahagiakan awak. Saya akan cuba jadi seperti Andri walaupun saya tahu selama-lamanya saya takkan boleh jadi macam dia.”

Lalu, bagaimana kesudahan kisah Leya? Apakah dia akan ketemu Andrinya semula? Atau Redza yang menjadi galang ganti? Aku Dia & Bintang ada jawapannya.