Sunday, June 17, 2007

Kawan lama

Dua hari lepas, tiba-tiba saja kawan sekerja yang sudah lama bertukar ke Cawangan Kuala Terengganu dan sekarang di Cawangan Kuantan muncul di pejabatku. Eloklah aku namakan kawan lelaki yang agak rapat dengan aku ini sebagai A. Sebenarnya sudah agak lama kami tidak bertemu. Kalau tidak silap sudah tiga tahun. Itupun pertemuan secara tidak sengaja di sebuah pusat latihan ketika aku menjalani satu latihan dan dia pula mengikuti kursus. Satu perangai si A ni, dia suka sangat buat lawak yang agak terlampau. Kadang kala boleh buat kita panik. Aku masih ingat apa yang berlaku semasa pertemuan kami di pusat latihan itu. Ketika itu adalah waktu makan tengah hari dan kebetulan pula kami duduk di meja yang bersebelahan.Dia bersama beberapa peserta kursus dan aku pula dengan teman-teman selatihan.
"Hei! A... lamanya tak jumpa. Ada apa awak datang sini? Kursus ke?" sapaku dengan suara yang penuh ceria. Maklumlah sudah lama kami tidak berjumpa.
Tau apa dia jawab?
"Saya kenal awak ke?" soalnya dengan muka kebingungan. Seolah-olah tidak kenal aku langsung.
"Takkan awak tak kenal saya... saya Wanlah... kawan awak," kataku walaupun seratus peratus yakin yang dia memang mengenali aku.
"Saya tak ada kawan nama Wan..." balasnya dan mukanya masih macam tadi. Malah dahinya turut berkerut. Seolah-oleh sedang cuba mengingati aku.
"Betul awak bukan A?" Aku inginkan kepastian. Padamasa yang sama aku percaya yang dia hanya mahu bergurau. Masakan aku silap orang. Memang sah-sah lelaki itu adalah A. Rupanya, suaranya memang aku kenal sangat.
"Siapa A?" soalnya balik.
Masa ni muka aku dah rasa tebal dua inci. Bayangkan, berpasang-pasang mata sedang memandang ke arahku. Dia pula buat muka selamba saja. Dan masa ini juga hati aku berkata yang aku sudah tersilap orang. Mungkin dia bukan A... mungkin pelanduk dua serupa.
"Sorry... saya silap orang," kataku dengan malu yang teramat sangat. Kemudian terus duduk di tempat ku. Cepat-cepat pula aku menyenduk nasi ke dalam pinggan. Rasa macam tidak mahu pandang orang langsung.
"Wan... awak pulak ada apa kat sini? Kursus jugak ke?" Dari meja sebelah dia pula menyapaku. Masa tu, aku rasa macam nak tumbuk saja mukanya. Jahatnya dia... saja nak kenakan aku...
"Eh! saya kenal awak ke?" Aku kenakan dia balik.
Boleh pulak dia ketawa. Suka sangatlah tu dapat malukan orang.

Pertemuan kali ini pun dia cuba mengulangi taktik lama tu. Tapi sorrylah... aku takkan terkena lagi. Sekali bolehlah... takkan kali inipun nak ulang benda yang sama.
"Kawan lama ke ni?" tanya seorang teman sekerja yang kebetulan berada berdekatan dengan tempat kami sedang berbual.
"Eh! tak... baru kenal hari ini," balas si A. Tetap dengan muka selambanya itu.
"Jangan dengar cakap dia..." Aku pula menjawab apabila melihat teman tadi macam percaya.
"Balik nanti sampaikan salam saya buat Hani ya?(isterinya tapi bukan nama sebenar)" pesanku di akhir pertemuan kami.
"Hani... siapa tu?"
"Kenapa? Isteri awak dah bertukar nama ke? Atau awak dah bertukar isteri?" Aku bertanya dengan rasa geram.
"Ooo.... Hani. Betul... betul... nama isteri saya memang Hani. Sekarang saya dah ingat."
Ada-ada saja si A ni. Tapi kerana sifat itulah yang buat aku serta teman-teman lain menyenanginya. Dia juga seorang yang sangat baik dan suka menolong kawan. Entah bila agaknya kami dapat bertemu lagi. Doaku semoga A sentiasa berbahagia di samping keluarga tercinta.

Wednesday, May 23, 2007

Jojo dapat anak lagi...

Jam 5.20 petang, 2o Mei 2006 (Ahad), tiba-tiba Afiq, anak nombor dua aku terjerit-jerit dari arah belakang rumah. Aku yang sedang bersantai depan tv, jadi terperanjat sangat. Apa hal pulak budak ni? Apa yang berlaku? Sebentar kemudian dia datang. Ada benda yang mak kena tengok, katanya. Walaupun mak tak nak tengok, mak kena tengok jugak. Makin suspen aku dibuatnya. Nak tak nak, aku pun pergilah ke belakang.
Nak tau apa yang yang aku nampak? Jojo, kucing kesayangan Aisyah (anak bongsu dan satu-satunya anak perempaun yang aku ada) telah selamat melahirkan empat ekor anak. Ya! ALLAH, macam nak pitam aku dibuatnya. Aku memang alah dengan anak-anak kucing ni. Kalau kucing besar tu bolehlah jugak...
Malam itu, anak-anak aku yang seramai tiga orang tu bukan main sibuk lagi. Macam sambut adik baru pulak... Dan seperti yang aku jangkakan, pagi besoknya Aisyah bangun dengan begitu ceria dan bersemangat sekali. Sepanjang perjalanan ke sekolah, bibirnya tidak putus dengan senyuman. Bila tengok keadaan Aisyah itu, aku jadi teringat pada kenangan lalu, ketika ibuku melahirkan adikku yang bongsu. Ketika itu umurku juga berusia 10 tahun. Sama macam usia Aisyah kini.
Dengan kedatangan 4 ekor anak yang belum bernama itu, bertambahlah lagi anak Jojo dan bertambahlah kerja aku...

Monday, May 21, 2007

Assalamualaikum,
Setelah sekian lama menanti, akhirnya terhasil lah blog yang tidak sepertinya ini. Terima kasih buat anak sulung saya, Ameer kerana bersusah payah membina blog ini (Susah ke?... Nampak macam tak susah pun.. he.. he..) Itupun setelah beberapa kali berjanji dan beberapa kali pula memungkirinya. Gurau aje, Meer...
InsyaAllah... walaupun agak sibuk dengan pelbagai tugasan, saya akan cuba untuk sentiasa mengemaskini blog ini. InsyaAllah...