Sunday, July 29, 2012

pura-pura sakit

Bangun bersahur pagi Jumaat baru-baru ni,  badan rasa lemah, tekak rasa perit, mata rasa pedih dan berair, kepala pula terasa berat semacam. Mulanya malas nak layan sangat tapi bila kepala dah mula berdenyut-denyut, saya buat keputusan untuk ke klinik. Selepas pemeriksaan, doktor mengesahkan saya demam. Dah agak dah. Sebenarnya dah agak lama juga saya tak demam. Kali terakhir... entahlah, bila ya? Okeylah.. tinggalkan dulu hal demam saya tu... tak penting pun. Sebenarnya apa yang nak saya ceritakan di sini adalah perkara yang saya saksikan ketika di klinik. Kisah seseorang yang cuba nak menipu. Okey, ceritanya macam ni...

Semasa saya sampai di klinik pagi itu, seorang lelaki baru lepas membuat pendaftaran. Orangnya masih muda, tegap dan tak nampak rupa orang sakit pun. Malah, masa menunggu giliran dipanggil bertemu doktor, sempatlah saya memerhatikan gelagatnya yang asyik berbalas-balas SMS dan menerima panggilan. Bukan main ceria lagi suaranya... siap boleh gelak-gelak lagi. Memang tak nampak macam orang sakit langsung. Saya pun tak tahu kenapa dalam ramai-ramai orang kat dalam klinik tu, saya 'berminat' pula dengan dia.

Sedang asyik memerhati, tiba-tiba nama lelaki tersebut dipanggil.  Dia segera bangun. Yang buat saya rasa nak tergelak, lelaki yang sedang berSMS itu tiba-tiba mengerang sambil kedua-dua belah tangan menekan-nekan perut. Jalan pula terbongkok-bongkok. Konon macam sakit sangatlah tu. Terus saya cuit suami di sebelah. Kata saya, lelaki itu menipu dan hanya berpura-pura sakit. Tak sempat saya nak bercerita lebih lanjut pada suami, lelaki itu keluar semula dari bilik doktor. Memang sekejap sangat dia kat dalam. Rasanya tak sampai seminit pun.

Selepas itu giliran saya pula dipanggil. Keluar dari bilik doktor beberapa minit selepas itu, lelaki tadi masih ada lagi di luar. Dia berlalu ke kaunter ubat setelah namanya dipanggil. "Ubat ni makan sekali pagi, sekali malam, antibiotic ni kena habiskan... bla bla... bla. Time slip ni doktor bagi sampai pukul 11.30 aje. Lepas tu awak kena masuk kerja balik." Nampak benar lelaki itu tak puas hati. Dia pandang muka kerani kat kaunter tu macam nak telan. Macam kerani tu bersalah pulak. 

"Kenapa encik?" tanya kerani perempuan yang masih muda itu. 
"Takkan tak dapat mc," soalnya dalam nada marah.
"Entah... mana saya tau. Tadi doktor cakap apa?"
Lelaki itu tak jawab. Tapi dia tetap berdiri di situ. Saya pula, setelah mendapat ubat saya, terus keluar dari situ. Tak tahulah apa kesudahan cerita lelaki itu.

Memang tepat tekaan saya, lelaki itu sebenarnya tidak sakit tapi berpura-pura sakit. Rasanya doktor pun dah masak dengan perangai orang-orang macam tu. Sebab itulah agaknya tak sampai seminit pun dia kat dalam bilik doktor.  Sebab itu jugalah doktor tak bagi MC.

Rasanya, banyak lagi kes lain yang sama macam yang saya temui di klinik tempoh hari. Sangat tidak faham dengan orang-orang macam ni. Hanya untuk mendapatkan sekeping sijil sakit (sah-sahlah sebab malas kerja) mereka sanggup menipu, sanggup berpura-pura sakit.  Nanti betul-betul Tuhan bagi sakit baru tau...

Saturday, July 21, 2012

bahagiamu deritaku

Sesekali layan lagu okey jugak kan? Lagu nyanyian Hafiz ni sangat sesuai untuk orang-orang yang baru putus kasih. Sedih banget... jangan sampai menitis air matanya ya.... 

Salam Ramadhan

Marhaban ya Ramadhan.... 

Ramadhan datang lagi. Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat menunaikan ibadah puasa buat semua. Marilah kita sama-sama berdoa agar diberikan kesihatan dan kekuatan dalam menjalani ibadah di sepanjang  bulan penuh berkah ini. Mudah-mudahan Allah SWT akan sentiasa memberkati dan merahmati kita semua. Amiiin....

Thursday, July 19, 2012

jom cakap ganu...

Julai dah nak masuk ke penghujung, tapi baru hari ni dapat update blog. Kalau dah rajin tu, semedang ada entri baru tapi kalau dah datang penyakit malas, blog  pun tak berjenguk. Kesiannya...

Siang tadi masa tengah berbual dengan suami tiba-tiba terkeluar perkataan 'pala haliang' dari mulutnya. Kemudian kami pakat gelak. Dah lama sangat saya tak dengar perkataan tu. Rasa kelakar pulak. Walaupun suami saya orang Endau, Johor  tapi jiran-jirannya di kampung agak ramai yang berasal dari Terengganu. Jadi dia memang dah biasa dan tahu benar bercakap dalam loghat Terengganu ni. Tak bolehlah saya nak tipu dia... memang dia tau punya.

Saya sendiri, walaupun dah lama sangat meninggalkan Terengganu tapi kalau jumpa orang Terengganu, otomatik slang saya bertukar. Saya memang tak boleh tinggal loghat negeri saya tu. Saya bangga mengaku yang saya ni orang Terengganu walaupun ramai juga yang menyangka saya ni orang Perak. Ada rupa orang Perak ke saya ni? Hehehe... 

Saya masih ingat masa balik ke kampung satu ketika dulu. Kebetulan masa berkunjung ke Pasar Kedai Payang, saya terjumpa dengan kawan masa sekolah menengah dulu. Dia kawan lelaki  yang paling rapat dengan saya waktu itu. Bila dah jumpa tu, sempatlah kami bercerita kisah masing-masing. Tapi yang tak syoknya, dua boleh 'tuduh' saya berlagakl. Konon kata dia saya 'cakap luar' dan dah tak reti nak bercakap dalam loghat Terengganu lagi. Tak patut sungguh dia tuduh saya macam tu. 

*Agaknya ada yang tertanya-tanya, apa dia 'cakap luar' tu? Kalau nak tahu, 'cakap luar' tu adalah cakap dalam bahasa Melayu standard... ataupun 'cakap orang KL'. 

Berbalik kepada 'pala haliang' kat atas tadi, apa maknanya tu ya? Haaa... kalau nak tahu, pala haliang tu lebih kurang macam ketualah... bab kutuk orang, cari gaduh dengan orang... dialah yang jadi kepalanya. Macam tu lah lebih kurang. Eh! betul ke tu? Kalau salah tolong betulkan ya... 

Sebenarnya tak ramai yang boleh mengajuk percakapan dalam loghat Terengganu ni. Selalunya tak menjadi sangat. Setakat tambah 'g' pada perkataan yang ada hurug 'n' kat belakang bolehlah kut.  Bila dah lebih-lebih dah jadi lain macam pulak.

Di bawah ni saya letakkan beberapa perkataan dalam loghat Terengganu bagi yang berminat nak tahu.

               Boloq woq = Berserabut
               Doktong = suka merayau-rayau
               Dok tau starang baroh = tak tahu langsung
               Anguh letong = sangat hangus
               gogeh = bergoyang
               jo'ong = mendung
               nakut paik = sangat penakut

Itu baru sedikit ya. Nak tau lagi, kena belajar dengan  orang Terengganulah... :)