Sunday, December 12, 2010

Hidup berjauhan



Baru-baru ni saya terjumpa seorang kawan semasa di ofis lama dulu. Sembang punya sembang, baru saya tahu yang kawan saya ni hidup berjauhan dari suaminya. Dia di Kuala Lumpur, suaminya pula di Kelantan. Kata kawan saya ni, sudah hampir dua tahun suaminya di sana. Setiap dua minggu sekali suaminya akan balik ke Kuala Lumpur menjenguk dia dan anak-anak. Kata kawan saya ni, memang dia terasa perit jugaklah dengan keadaan ini. Itu pun nasib baik anak-anak dah besar panjang semuanya.

Bila dengar cerita kawan saya ni, saya jadi teringat pada kisah saya sendiri masa mula-mula bekerja di Kuala Lumpur dahulu. Baru lapan bulan bekerja, saya berkahwin. Masa tu suami di Kuala Terengganu, manakala saya di Kuala Lumpur. Baru dua minggu kahwin, saya dah kena tinggalkan dia. Sedih sangat masa tu. Sepanjang perjalanan dalam bas dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur, asyik teringat kat dia aje. Bila sampai hujung minggu aje... hati dah teringat nak balik. Yalah, suami nak datang sini tak ada tempat tinggal pulak. Maklumlah masa tu saya tinggal dengan kawan-kawan yang masih bujang. Sesekali bila suami datang, kami akan bermalam di hotel. Masa tu risau juga kalau kena tangkap khalwat (surat nikah memang tak pernah bawak pun... hehehe).

Masa mengandung merupakan pengalaman yang sangat menyedihkan. Dengan perut yang memboyot, semuanya saya kena lakukan sendiri. Bila pergi klinik atau hospital pula, hati rasa sedih sangat bila tengok orang lain dengan suami masing-masing. Sedangkan saya sorang-sorang. Pernah satu malam tu, perut saya tiba-tiba memulas. Kawan-kawan serumah terus jadi panik. Takut saya terberanak kat rumah.

Bila anak dah lahir, lain pula ceritanya. Setiap hujung minggu pasti nak balik jenguk anak kat kampung. Cuti dahlah tak banyak. MC usah cakaplah... sampai kena panggillah dengan bos. Saat nak tinggalkan anak itulah yang saya rasa sedih sangat. Dalam bas asyik menangis aje bila terbayangkan muka dia. Kat rumah sewa pun sama... menangis lagi. Sampai kawan-kawan dah tak tau nak pujuk macam mana. Bila anak dah besar sikit dan dah kenal emak dia, lagi kuat dugaannya. Bayangkan bila saya nak bertolak dari rumah, dia pula yang menangis tak nak bagi saya pergi. Akhirnya bukan dia aje yang menangis, dengan saya sekali menangis. Dalam bas menangis lagi. Kat ofis, kat rumah sewa... itu ajelah kerjanya. Menangis... menangis... menangis...
Anak pertama baru masuk setahun... saya mengandung lagi. Kali ini lagilah perit saya rasa. Mana nak fikirkan anak kat kampung lagi... mana nak fikirkan anak dalam kandungan lagi. Cumanya saya bersyukur, sepanjang saya mengandung saya tak alami alahan yang teruk-teruk.

Lagi sebulan anak kedua saya lahir, suami ditukarkan ke Selangor. Syukur alhamdulillah. Walaupun saya terpaksa berulang alik agak jauh ke tempat kerja, tapi saya tetap bersyukur. Semua dah ada kat depan mata. Tak perlu lagi saya nak berulang alik macam dulu.

Beberapa tahun lepas sekali lagi saya tinggal berjauhan dari suami. Kali ini dia di Alor Setar sementara saya masih di sini. Tetapi hidup berjauhan kali ini tak terasa sangat. Maklumlah anak-anak dah besar semuanya. Cumanya bila dia tiada, rasa macam ada yang kurang.

Buat kawan saya tadi, saya harap dia banyak bersabar. Insya-Allah satu hari nanti ,suami dia akan balik bertugas di sini semula. Lagi satu saya nak cakap... sesekali jauh ni pun ada bagusnya juga. Masa inilah kasih sayang pada dia akan bertambah. Bak kata orang 'bila dekat bau taik, bila jauh bau bunga'. Tapi lagi best kalau... bila dekat bau bunga, kan?