Thursday, June 25, 2009

Selamat Ulang Tahun Sayang




Buat puteri tersayang, Aisyah Fatihah Suhaimi.
Selamat menyambut ulang tahun yang ke 12. Doa ibu, moga Aisyah akan jadi
seseorang yang disenangi semua orang.

Thursday, June 18, 2009

Anak kita tanggungjawab kita

Rasanya semua ibu bapa sayangkan anak-anak tetapi sejauh manakah mereka bertanggungjawab atas keselamatan anak-anak mereka? Baca 2 kisah dibawah dan sama-samalah kita renungkan.

KISAH 1

Jam sudah menunjukkan hampir pukul 7 malam. Semasa itu hujan renyai-renyai dan saya pula dalam perjalanan balik ke rumah. Lebih kurang 2 kilometer dari rumah, suami tiba-tiba memberhentikan kereta. Saya yang sedang lena, terus terjaga. Memandang suami dengan terpinga-pinga.

"Panggil budak tu... ajak naik kereta kita," kata suami sambil matanya memandang seorang kanak-kanak yang memakai uniform sekolah agama dan sedang berjalan meredah hujan. Saya lantas memanggil anak kecil itu dan mempelawa dia menaiki kereta kami.
"Adik nak balik mana ni?" tanya saya apabila budak itu berada dalam kereta. Dari saiz badannya yang kecil, saya boleh agak umurnya baru 7 tahun. (Agakan saya memang betul bila selepas itu saya bertanyakan umurnya)
"Nak balik Pusat Serenti."(Ibu bapa dia bekerja di Pusat Serenti dan tinggal di kuarters)
"Jalan kaki?"
Budak yang petah berkata-kata itu mengangguk.
"Budak besar ni balik Pusat Serenti jalan kaki sorang-sorang time macam ni? Mana mak ayah dia?" Saya bertanya suami dengan rasa marah. Bayangkan jarak antara sekolah agama dengan Pusat Serenti adalah hampir-hampir 3 kilometer. Sebelum sampai ke Pusat Serenti, budak ini terpaksa menempuh perkampungan orang asli terlebih dahulu. Kemudian dia juga akan melalui kawasan semak-samun. Di sepanjang perjalanan itu juga banyak anjing-anjing liar berkeliaran.
"Selalu adik naik apa?" soal suami saya pula.
"Selalu naik van... tapi hari ni kena tinggal dengan van tu."
"Kalau van tinggal... ayah atau mak tak datang jemput adik ke?" tanya saya pula.
"Tak..."
"Habis tu adik jalan kaki ke?" Soalan saya dibalas adik comel itu dengan anggukan.
"Selalu ke jalan kaki?" tanya suami pula.
Dia angguk lagi.
"Adik tak takut ke?" saya pula menyoal.
"Takut..."
Masa ni air mata saya cepat saja mengalir. Saya rasa sangat kesian dengan anak kecil tu. Saya bayangkan kalaulah anak saya yang terpaksa melalui apa yang dilalui anak kecil itu.

Sesampai di rumahnya, anak itu lantas berlari mendapatkan emaknya yang kebetulan berada di luar.
"Ini anak puan ke?" soal saya.
"Ya..." jawab wanita berusia dalam 30an itu.
"Saya jumpa dia jalan kaki sorang-sorang. Bahaya betul. Dah nak masuk maghrib ni. Dahlah hujan pulak tu," tambah saya lagi. Saja nak bagi mak dia rasa bersalah sikit.
"Van tinggalkan dialah tu."
Senangnya dia jawab. Tak nampak langsung dia risaukan anaknya. Kalaulah apa-apa jadi pada anak itu, siapa susah? Kalau sayalah di tempat dia, tentulah saya dah ajak suami atau saya sendiri yang akan keluar mencari anak saya. Kalau dah terpaksa sangat, saya akan tebalkan muka meminta pertolongan jiran. Biarlah... janji anak saya selamat.

KISAH 2

Balik dari kerja minggu lepas, saya singgah sebentar di Parkson Rawang. Semasa akan menaiki eskalator ke tingkat dua, saya jadi tergamam sekali. Seorang kanak-kanak (saya agak dalam lingkungan umur 2 ataupun 3 tahun) sedang menangis sambil merangkak atas eskalator yang sedang bergerak. Sementara emak dan abangnya sudah berada di atas.

"Cepat, dik..." jerit si emak dan anak lelakinya berulang kali sambil memandang anak kecil itu.
Si kecil yang saya kira sedang ketakutan ini makin kuat menangis.
"Cepat, dik... naik," jerit si emak lagi.
Anak kecil itu tiba-tiba berdiri... dan tiba-tiba juga badannya hampir tumbang ke belakang. Saya yang berada beberapa anak tangga di belakangnya, cepat-cepat melompat ke atas dan menyambar badan anak comel itu. Terasa macam herolah sekejap. Dan saya bersyukur kerana tindakan pantas saya itu telah berjaya menyelamatkan anak kecil itu.

Cuma satu yang saya tidak puas hati. Bukanlah sebab mak dia macam nak tak nak aje ucap terima kasih kat saya, tapi macam mana anak sebesar itu boleh ditinggalkan sendirian memanjat eskalator sedangkan emaknya sudah pun berada di atas. Pada saya, anak sebesar itu sepatutnya didukung atau kalau nak ajar anak tu berdikari sekalipun, apa salahnya kalau emaknya berada di sebelah dengan memimpin tangan si kecil itu. Ini tidak... boleh dibiarkan anaknya sorang-sorang. Kalau jadi apa-apa, macam mana?

Monday, June 15, 2009

Kembali ke sekolah

Tiba-tiba aje Aisyah mengadu dadanya sakit. Mulanya saya rasa pelik juga. Yalah, tengah elok-elok bergelak ketawa, takan cepat sangat datang sakit kut? Kemudian barulah saya teringat yang esok (oppss... hari ni. Baru perasan jam dah menunjukkan pukul satu lebih) dah mula sekolah balik. Bila dah buka sekolah... macam-macam penyakitlah yang datang kat dia... Hmmm... dah faham sangat.

Apa-apapun, selamat kembali ke sekolah buat semua murid dan guru sekolah.

Tuesday, June 9, 2009

Sepetang di Pesta Buku Singapura

Sepatutnya dari minggu lepas lagi saya nak postkan n3 ni tapi streamyx buat hal pulak. Tiga empat hari jugaklah. Bila streamyx dah ok, saya pulak sibuk dengan hal lain.

Apa yang saya boleh kata, pesta buku di Singapura tempoh hari sungguh menyeronokkan. Ternyata telahan saya dan Kak Aina Emir yang kami berdua bakal bersembang sesama sendiri sebab tak ada orang yang akan datang, betul-betul meleset. Tak sangka ramai juga pembaca di Singapura yang membaca novel kami dan sudi pula ke pesta tersebut semata-mata untuk bertemu kami. Hmm... terharu rasanya.

Buat sekian kalinya saya bertemu Mamajambu lagi (terima kasih mama untuk roti jala dan kari daging yang sangat sedap tu). Saya juga berkesempatan bertemu Alyze buat kali kedua, Maimun (adik mama jambu), Datin Ella, Sitti Faizah, Salmah dan ramai lagi. Di samping itu saya juga berpeluang bertemu dengan dua orang penulis Singapura iaiatu Zaleha Isnin dan juga Ria Andrianna. Sempat jugalah kami berbual mesra dan bertukar-tukar fikiran. Paling penting, orang-orang Singapura semuanya baik-baik dan peramah belaka. Terima kasih orang Singapura dan terima kasih buat Warisan Media yang bertanggungjawab 'membawa' kami ke sana.

Ini adalah sebahagian dari foto-foto semasa di Singapura (ehsan daripada mama jambu).