Sunday, August 9, 2015

Sabarlah Duhai Hati

Assalamualaikum wbrt,

Alhamdulillah, novel terbaru saya 'Sabarlah Duhai Hati' akan menemui pembaca tak lama lagi. Seperti novel-novel sebelum ini, harapan saya semoga pembaca akan berpuas hati dan setiap sen yang dikeluarkan untuk membeli novel ini berbaloi. Saya juga berharap agar 'Sabarlah Duhai Hati' dapat memberikan 'sesuatu' kepada pembaca.



SINOPSIS :


Dugaan berat yang menimpa, merubah seluruh hidup Nur Syafira. Saat bergelut dengan ujian, dia tiba-tiba dilamar untuk Muhammad Affan. Sungguh, dia tak percaya.
Tegur pun tak pernah, tiba-tiba nak jadikan dia isteri. Lagipun, dia masih tak lupa cerita lama. Cerita memalukan yang hanya mereka berdua saja yang tahu. Hatinya kuat mengatakan Affan terpaksa. Affan hanya menurut kehendak orang tua tanpa rela.
Namun, kalau dah tertulis jodoh mereka, elak macam mana sekalipun, tetap bersatu juga. Walau dihati ada curiga, Fira tetap mengharap bahagia.

“Sejak bila abang suka Fira?”
“Sejak Fira curi hati abang.”
“Abang kan pernah cakap, abang tak suka Fira. Abang takkan kahwin dengan Fira.”
Tawa Affan memecah suasana hening malam. Kuat dan lama.
Dalam suram cahaya lampu, Fira pandang suaminya. Geram dengan suara tawa itu.
“Ini cerita tahun bila Fira bawa keluar ni?”
“Tak kisahlah tahun berapa pun, yang penting abang pernah cakap macam tu, kan? Kecil hati Fira, tau!”
“Kecik hati dengan abang la ni?”
“Memang pun. Dah buat orang macam tu, pandai pulak ajak orang kahwin. Tak malu.” Fira mengejek.
Lagi sekali Affan hamburkan tawanya. 


Bahagia yang disangka sampai ke petang, rupanya masih ada halangan dan rintangan.
“Kalau you nak tahu, bukan Affan yang nak sangat kahwin dengan you tapi mak teh yang paksa dia. Sebabnya mak teh kesiankan you.” - Nadia
Mampukah Fira terus memujuk hatinya supaya bersabar dan bertahan? Atau sudah sampai masanya untuk dia mengalah dan lepaskan segalanya?

Wednesday, July 1, 2015

Sabarlah Duhai Hati (Bab 20)



SUDAH seminggu mama, papa dan nenek pergi. Tapi sampai ke hari ini, Fira rasa sukar untuk percaya. Masih tidak boleh terima segala yang terjadi. Walhal, bibir inilah yang mencium wajah sejuk mama, papa dan nenek di saat-saat akhir sebelum jenazah dibawa ke pusara. Padahal sepasang mata inilah yang menyaksikan wajah pucat mereka sebelum dikebumikan. Mama, papa, nenek... Fira betul-betul rindu. Fira tak boleh hidup sendirian macam ni. Fira perlukan nenek, Fira perlukan mama dan papa dalam hidup Fira. Baliklah nenek, papa, mama. Kesiankanlah Fira.
“Fira... makan sikit. Kau tak makan apa-apa pun lagi hari ni.” Dian yang turut berada atas katil, menghulurkan sesuap nasi ke mulut Fira. Sejak pemergian nenek dan kedua orang tuanya, Fira hanya berkurung dalam bilik. Dian yang banyak menemani. Makan pakai Fira, Dian juga yang uruskan. Dian hanya pulang ke rumahnya sekejap-sekejap. Kalau nak harapkan Fira seorang diri, tak tahulah apa nak jadi. Memang ada Mak Teh Zana di sini tapi wanita itu lebih banyak menguruskan Danish. Lagipun Fira tidaklah rapat sangat dengan ibu saudaranya tu.
Sebetulnya baru dua hari lepas Fira balik ke mari setelah lima hari berada di kampung nenek di Terengganu. Arwah nenek, mama dan papa Fira telah dikebumikan di sana. Buat sementara waktu, ibu saudara Fira berserta suaminya turut berada di sini. Mengikut kata Mak Teh Zana, mereka akan berada di sini selama seminggu. Kemudian akan pulang semula ke Kuala Terengganu bersama-sama Danish dan juga Fira. Setelah ketiadaan mama dan papa Fira, dia yang akan bertanggungjawab terhadap kedua-dua beradik tersebut. Dian rasa agak sedih juga dengan berita itu. Kalaulah betul Fira akan balik menetap di kampung, bermakna dia akan kehilangan satu-satunya kawan baik yang dia ada. Ini juga bermakna rancangan umi untuk melamar Fira akan jadi sukar. Ikutkan dia tak bersetuju dengan cadangan Mak Teh Zana itu, tapi siapalah dia untuk bercakap lebih-lebih? Mak Teh Zana itu kan ibu saudara Fira. Tentulah wanita itu lebih berhak.
Fira geleng. Tangan Dian ditolak lembut.
“Fira, tak naklah macam ni. Kau kena makan. Tengok muka kau dah pucat lesi dah aku tengok. Nanti kalau kau sakit, macam mana?”
“Aku rindu mama, papa, nenek. Aku nak dia orang.” Air mata menitis laju ke pipi Fira yang pucat.
Dian meletak pinggan nasi atas meja tepi. Kemudian dia kembali duduk rapat sebelah Fira. “Fira... kau tak boleh terus macam ni. Kau pun tau kan dia orang semua dah tak ada? Kau tak boleh ikutkan perasaan sangat.”
“Aku rindu dia orang, Dian.” Fira menangis teresak-esak.
“Ya... aku faham. Kau rindukan dia orang. Tapi tak elok kau terus meratap menangis macam ni. Tak tenang dia orang kat sana, tau? Kalau kau betul-betul sayang dia orang, rindu dia orang... kau kena banyakkan berdoa... kau hadiahkan dia orang dengan ayat-ayat Quran. Itu sebenarnya yang dia orang harapkan dari kau.” Lembut sekali Dian memujuk seraya mengusap-usap bahu Fira. Melihat keadaan Fira yang bersedih dan bermuram durja itu, dia jadi tidak senang hati. Dia tahu kesedihan Fira. Dia faham penderitaan yang Fira sedang tanggung tapi kalau boleh dia tidak mahu Fira terlalu ikutkan sangat rasa sedihnya. Memang, bercakap sangat mudah. Bukan kita yang menanggung, bukan kita yang melalui. Tapi apa lagi yang boleh dia buat selain dari bercakap dan memberi kata-kata nasihat.
Agak lama Fira pandang Dian. Tersentuh hatinya dengan ucapan itu. Ya, memang betul... dalam masa seminggu ini, dia hanya banyak meratap dan menangis sedangkan sebaris doa pun belum dihulurkan kepada arwah bertiga. Sepotong ayat Quran pun tidak dihadiahkan kepada mama, papa dan nenek. Anak apakah dia? Cucu jenis apakah dia? Ya, Allah... kejamnya dia, zalimnya dia. Kerana terlalu ikutkan rasa sedih, dia sampai lupa tanggungjawab dia sebagai anak yang ditinggalkan. Mama dan papa hanya ada seorang anak yang boleh diharapkan untuk mendoakan mereka tapi kalau dia sendiri lupa dan lalai, siapa lagi yang boleh diharapkan untuk mendoakan mereka? Mama, papa, ampunkan Fira. Nenek, maafkan Fira. 
“Ini ujian dari Allah untuk kau Fira. Ya... aku tau memang tak mudah untuk kau. Tapi percayalah... ujian inilah yang akan buat kau jadi kuat,  yang akan buat kau jadi lebih tabah untuk hari-hari yang akan datang. Allah tak uji kalau kita tak mampu tanggung, Fira. Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya. Jadi, aku minta sangat-sangat supaya kau banyak-banyak bersabar. Insya-Allah ada hikmahnya nanti.”
         Air mata semakin merembes laju ke pipi Fira. Terharu dengan ucapan Dian. Terharu juga dengan perhatian, sikap ambil berat dan sikap sabar Dian selama seminggu ini. Kalau orang lain mungkin dah putus asa tetapi Dian tidak. Dian tetap sabar menghulur kata-kata semangat dan motivasi kepada dia. Baiknya Dian dan dia akan ingat sampai bila-bila.
         “Tolong jangan sedih-sedih lagi, ya? Kalau kau sedih... aku pun sedih, tau.”
         Perlahan-lahan Fira angguk. “Aku akan cuba.”
         “Aku tau kau mesti boleh.”
         “Kau tolong doakan aku,” ucap Fira perlahan.
         “Aku selalu doakan kau, Fira dan aku akan terus berdoa untuk kau.” Dian memeluk Fira erat dan Fira sendiri membalas pelukan itu. Sudahnya mereka berdua menangis teresak-esak.

Tuesday, June 23, 2015

Sabarlah Duhai hati (bab 19)



“MENYESAL aku bagi tau Abang Affan ada kat rumah. Sepatutnya aku diam aje tadi.” Sejak sampai tadi, perkara itulah yang Dian duk ulang-ulang. Macam selalu, dia tahu Fira sengaja nak mengelak dari Abang Affan. Konon tak nak jumpa la tu. Padahal masa Abang Affan sakit tempoh hari, boleh pun Fira temankan dia ke hospital. Malah dia sengaja tinggalkan Fira berdua-duan dengan Abang Affan masa tu. Saja nak tengok macam mana reaksi dia orang. Bolehkah mereka berdua berinteraksi, berbaik-baik, bergurau senda atau apa sahaja? Dari permerhatiannya, memang boleh walaupun kedua-duanya nampak agak kaku dan serba tak kena sepanjang pertemuan itu. Dia percaya kedua-duanya masih malu-malu walaupun keinginan untuk bertegur sapa ada dalam diri masing-masing. Dia percaya juga, keadaan itu hanya sementara. Pasti akan okey selepas beberapa minit. Tapi itulah, belum apa-apa Nadia pula datang mengacau.
Kesimpulan yang dia boleh buat, Fira sudah mula membuka pintu hatinya untuk berhadapan dengan Abang Affan. Pada dia, itu adalah satu permulaan yang sangat baik. Mungkin akan mengambil masa sedikit tapi tak apa. Dia akan sabar menanti.
Tapi bila malam ini Fira kembali kepada sifat asalnya, kembali alah dengan Abang Affan, itu yang buat dia jadi geram. Itu yang dia tidak boleh terima. Pada dia, Fira tak patut buat Abang Affan macam tu. Kesian Abang Affan.
         “Dah kenapa dengan kau ni? Macam la sebelum ini kau tak tau macam mana aku dengan abang kau.”
         “Aku tak nak cakap pasal sebelum ni, tapi pasal sekarang. Pasal malam ni. Tak patut tau kau buat Abang Affan macam tu.”
         “Eii, tak faham la aku dengan kau ni. Dah la... penat dengar kau cakap benda yang sama aje dari tadi.”
         “Penat konon. Kau buat aku macam ni lagi aku penat. Dah la kena datang sini. Eh, aku tak kira, selagi aku tak puas hati dengan kau, selagi tu aku akan cakap. Biar sampai telinga kau berasap.”
         “Kau nak penat apanya? Bukan kau kena jalan kaki pun. Kau duduk aje dalam kereta jadi mem besar. Mengada-ngada. Macam la jauh sangat rumah aku ni, nak berkereta bagai.”
         “Jangan ubah topik, boleh tak? Kita sekarang sedang bercakap pasal engkau... pasal abang aku.”
         “Dah la, jangan marah-marah, Yan. Tidur kat mana-mana pun sama. Kat rumah kau ke, kat rumah aku ke. Yang penting tidur.”
         “Dah tau sama, kenapa tak tidur aje kat rumah aku?”
         “Eiii! Berapa kali nak cakap? Aku tak nak jumpa abang kaulah.”
         “Kesian Abang Affan. Macam mana nak tolong dia ni?” Suara dan rupa Dian mendadak bertukar sedih. Bukan apa, saja nak tarik perhatian Fira.
         “Kenapa dengan abang kau? Dia sakit lagi ke?” Laju Fira menyoal. Riak risau kelihatan jelas di wajahnya.
         Dian hamburkan tawanya. Agak kuat dan lama. Suka sangat-sangat  dengan reaksi Fira itu. Nampak macam prihatin dan ambil berat pula. Mulalah dia nak tuduh Fira pun ada perasaan terhadap Abang Affan. Inilah yang orang cakap, mahu tapi malu.
         “Yang kau gelak macam orang kena rasuk tu, kenapa?”
         “Kau macam risau benar kalau abang aku sakit. Kenapa, eh?”
         “Laa... mesti la risau. Dia kan abang kawan baik aku sendiri. Susah kau, susah aku jugak. Nanti yang nak kena usung kau pergi hospital, siapa? Aku jugak, kan?”
         “Jawapan tak diterima. Sila cari jawapan lain.”
         “Apa benda la kau ni, labu? Nak jawab macam mana lagi?”
         “Aku tolong jawab untuk kau.”
         Fira hanya pandang muka Dian. Tak faham apa maksud temannya itu.
         “Kau risau abang aku sakit sebab kau sebenarnya suka dia, sayang dia, betul tak?” Dian tayang sengih nakal.
         Fira yang sedang bersandar pada sofa, bingkas bangun, menerkam Dian yang duduk bersetentang lalu mencekik gadis itu. Cekik-cekik manja, bukanlah sakit pun.
         “Berani kau tuduh aku macam tu? Aku bunuh kau.”
         Dian ketawa terkekeh-kekeh “Woi! Kau mana boleh bunuh aku? Aku belum kahwin lagilah.”        
         Sudahnya Fira sendiri turut sama ketawa.
         “Belum apa-apa dah nak menderhaka dengan kakak ipar.”
         “Dian... kau merepek apa ni?” Fira besarkan matanya.
         Mata Dian ikut besar. Terkejut dengan ketelanjuran mulutnya sendiri. Jangan buat hal. Nanti tak pasal-pasal Fira dapat hidu pula. Biarlah perkara pinang-meminang ni umi aje yang uruskan. Tugas dia hanya mempengaruhi Fira agar menyukai Abang Affan. Itu sahaja. Lebih dari itu, dia tak nak campur.
         “Aku gurau ajelah.”
         Fira jeling, masam. Gurau konon.
         “Nak tanya kau sikit, boleh?” Dian mengajukan soalan.
         “Sikit aje tau? Banyak-banyak aku tak layan.”
          “Aku nak tanya, sejak bila dan kenapa kau dengan abang aku jadi renggang, hah? Sebab seingat akulah, kau pernah rapat dengan dia. Sampai aku pernah tuduh kau cuba rampas abang dari aku.” Memang betul pun. Dulu-dulu Fira dengan Abang Affan macam belangkas. Di mana ada Affan, di situlah ada Fira. Pantang Affan nak ke mana-mana, Fira pasti nak ikut. Kerap jugalah dia merajuk dan mengadu dengan umi. Macam mana tak mengadu, Abang Affan tu lebih pentingkan orang lain dari adik sendiri. Tapi semuanya berubah setelah dia dan Fira belajar di sekolah menengah. Kalau tak silap, sejak itulah Fira semakin menjarakkan diri dari Abang Affan. 
         “Aku rasa dah lebih dua puluh kali kut kau tanya aku benda ni. Kau tak penat ke tanya soalan yang sama?”
         “Bukan dua puluh tapi dah lebih lima puluh kali tau aku tanya? Memang penat, tapi selagi kau tak jawab, aku tetap akan tanya... lagi dan lagi dan lagi.”
         “Alah perkara dah lama. Tak payahlah kau tau.”
         “Tak kisah la lama ke baru ke, aku nak tau jugak.”
         “Nanti-nanti la aku cakap.”
         “Nak tau sekarang.”
         “Kau tanya la abang kau.”
         “Dah berbuih mulut aku tanya. Balik-balik dia cakap tak ada apa-apa. Malas dah nak tanya lagi.”
         “Betul la tu. Memang tak ada apa-apa.”
         “Pulak. Tadi kata perkara lama. Sekarang tak ada apa-apa pulak. Auta la kau ni.”
         “Jangan la marah. Eh! jom pergi dapur. Kita makan puding tiramisu. Mama buat pagi tadi. Sedap tau.”
         “Kau belum jawab soalan aku.”
         “Aku kata nanti... nanti la.”
         “Nak tau jugak.” Dian tayang muka sayu.
         “Jom makan puding dulu.”
         “Tak nak.” Dian mengeraskan badannya.
         “Bukan senang kau nak makan puding mama aku. Lepas ni jangan harap kau dapat merasa lagi. Jom la, jangan degil.” Fira menarik-menarik tangan Dian.
Tiba-tiba telefon  rumah berbunyi.
         “Eh! Telefon tu. Pergi jawab dulu. Aku pun nak telefon umi aku sekejap.”
         Serta merta tangan Dian dilepaskan. Lalu kakinya dibawa melangkah ke rak telefon.  Segera pula telefon dicapai. Mak Teh Zana, adik mama berada di talian
         “Mak teh apa khabar? Sihat ke?” soal Fira setelah salamnya mak teh jawab.
         “Alhamdulillah sihat,” balas Zana perlahan. “Fira dengan siapa kat rumah tu?”
“Fira dengan kawan. Mama tak ada tau, mak teh? Tengah hari tadi, mama dengan papa hantar nenek balik kampung.”
“Ya, mak teh tau.”
“Dia orang belum sampai kampung agaknya. Baru sekejap tadi Fira call mama dengan papa. Tapi dua-dua tak jawab.”
Agak lama Zana diam.
“Helo mak teh... mak teh masih kat situ lagi ke?”
“Fira, mak teh nak bagi tau Fira sesuatu. Mak teh harap Fira bertenang ya.” Suara Zana sebak.
“Mak teh nak bagi tau apa?” Fira rasa tak sedap hati. Sepertinya ada berita buruk yang akan Mak Teh Zana sampaikan. Dadanya Fira usap perlahan. Duhai hati, bertenanglah!
“Kereta papa terlibat dalam kemalangan.” Sampai di situ sahaja suara Mak Teh Zana. Tak mampu nak sambung.
“Apa mak teh?” Fira menjerit, kuat. “Habis dia orang semua macam mana? Dia orang selamat kan, mak teh? Dia orang tak ada apa-apa kan?” Dada semakin kuat bergendang. Tangan dan kaki sudah terasa lemah dan longlai. Mata terasa hangat. Bila-bila masa sahaja air mata akan melimpah keluar dari situ.
         “Mak teh, tolong bagi tau Fira. Apa sebenarnya yang dah berlaku?” Fira jadi tidak sabar. Kebisuan Mak Teh Zana buat dia mula terfikir hal-hal yang sungguh menakutkan.
         “Mama, papa dan nenek...”
         “Mama, papa dan nenek selamat kan, mak teh?” Fira memintas percakapan ibu saudaranya yang belum habis. Memang itulah jawapan yang dia mahukan. Dia tidak mahu dengar jawapan selain daripada itu.
         “Fira, sabar ya?”
         “Mak teh, cepat cakap, macam mana mama, papa dengan nenek?” Air mata sudah mulai bergayutan di sudut mata.
         “Dia orang dah tak ada, sayang. Dia orang semua dah tinggalkan kita.” Di hujung talian Zana menangis teresak-esak.
         “Mak teh bergurau, kan? Mak teh saja nak main-main dengan Fira, kan?” Terketar-ketar suara Fira. Air mata sudah penuh di muka.
         “Betul, Fira. Mama, papa dan nenek memang dah tak ada. Dia orang semua meninggal di tempat kejadian.”
         Telefon terlepas dari tangan dan Fira jatuh terjelepuk di situ. Tidak! Dia tidak percaya. Mak teh tipu! Mak teh bohong! Papa, mama dan nenek masih ada. Dia orang masih hidup. Dia orang tak mati.
         “Fira, kenapa ni? Kenapa kau nangis? Siapa telefon kau tadi?” Dian yang baru selesai bercakap dengan uminya menerpa, lantas duduk rapat di sebelah Fira. Sebelum itu sempat meletakkan gagang telefon yang tergantung di tempatnya semula.
         Fira tidak jawab. Sebaliknya semakin galak menangis.
         “Fira, tak nak macam ni.” Badan Fira ditarik ke dalam pelukannya. Kepala gadis itu diusap-usap lembut. “Bagi tau aku apa yang dah berlaku.”
         “Dian.” Hanya nama itu disebut dan Fira kembali teresak-esak.
         “Cakaplah... aku dengar.”
         “Papa, mama dengan nenek dah tak ada.”
         “Ya Allah ya Tuhanku, apa yang dah berlaku, Fira?” Hanya Tuhan yang tahu terperanjatnya Dian dengan berita itu. Air mata pantas berjatuhan ke pipinya.
         “Dia orang accident.” Dalam tangisannya, Fira masih mampu bercakap.
“Ya Allah... sabar ya, Fira... sabar. Ingat Allah banyak-banyak.” Badan Fira dipeluk erat dan dia turut menangis teresak-esak.

Saturday, June 20, 2015

Sabarlah Duhai Hati (bab 18)


DIAN menyumbat pakaian ke dalam beg dengan kasar. Mulut tak berhenti merungut. Fira ni memanglah. Dah elok-elok nak bermalam kat sini, tiba-tiba ubah fikiran pula. Tak pasal-pasal dia pula yang kena  bermalam di rumah Fira. Abang Affan punya pasal la ni. Yalah, Fira kan alah sangat dengan Abang Affan. Macam la Abang Affan tu makhluk ganjil dari planet lain. Baru dengar nama, dah menggelabah semacam. Macam mana agaknya kalau Fira tahu Abang Affan nak menyunting dia sebagai isteri? Mahu pengsan agaknya perempuan tu.
         Tiba-tiba dia rasa sangat kasihankan Abang Affan. Bagai terasa-rasa lamaran Abang Affan akan ditolak. Kalaulah betul, tentu Abang Affan akan kecewa. Tak terkecuali, dia dan umi juga. Tapi yalah, tak bolehlah nak salahkan Fira pula. Fira berhak buat keputusan untuk dirinya sendiri. Kalau dah tak suka, takkan nak paksa, kan? Seperti dia dan Abang Affan yang tidak suka dipaksa berkahwin dengan sepupu sendiri, dah tentu Fira juga begitu.
         “Bang, tolong hantar adik, boleh?”
         Affan yang sedang tekun dengan telefon di tangan angkat muka. “Nak pergi mana malam-malam macam ni? Siap dengan beg lagi ni.”
         “Boleh hantar tak?”
         “Nak hantar ke mana? Orang tanya bukannya nak jawab.”
         Beg diletak atas lantai dan dia sendiri duduk atas sofa di sebelah abangnya. “Tolong hantar adik ke rumah bakal isteri abang.”
         Mendadak muka Affan jadi merah. Segan sungguh. “Boleh tak jangan sebut macam tu?”
         “Laa... kenapa pulak? Betul la apa yang adik sebut tu. Abang kan nak kahwin dengan Fira? Bermakna dia bakal isteri abang. Apa yang tak kenanya?”
         “Jangan yakin sangat la dik.”
         Dian pandang muka Affan lama. Tak suka dengan ucapan abangnya. Belum apa-apa Abang Affan dah mengaku kalah. Ini yang orang cakap, tewas sebelum berperang.
         “Abang dapat rasa, dia takkan terima abang.”
         “Kenapa abang cakap macam tu?”
         “Dia tak suka abang, dia benci abang.”
         “Mana abang tau?”
         “Abang boleh rasa, dik.”
         “Memang la dia selalu mengelak dari jumpa abang, tak nak bercakap dengan abang, tapi tak semestinya dia benci abang. Perasaan abang aje tu.”
         Kali ini Affan diam. Tapi tidak bererti dia bersetuju dengan ucapan adiknya. Fira tu kan kawan baik Dian, dah tentu la Dian akan bercerita yang elok-elok sahaja tentang teman sehati sejiwa dia tu.
         “Entah-entah dia pun suka abang, mana tau.” Tidak mustahil kerana pada hari kejadian Affan jatuh sakit, dia nampak betapa menggelabahnya Fira. Tanpa sedar sahabatnya itu melajukan keretanya. Dari situ dia dapat rasa bagaimana prihatinnya Fira terhadap Affan. Tapi biasalah Fira tu, mana nak mengaku.
         “Kalau betul dia suka abang, kenapa dia boleh ada boyfriend? Takkan adik tak boleh fikir.”
         “Yalah, dah abang sendiri pun tak pernah tunjuk yang abang suka dia. Cuba awal-awal abang luahkan perasaan kat dia, bagi tau dia yang abang benar-benar cintakan dia, mesti la dia tak cari orang lain dah. Abang tu lelaki, kena la mulakan dulu.” Bersemangat sekali Dian menasihatkan abangnya.
         “Tak apa la, dik. Abang dah bersedia dengan apa pun jawapan dia. Kalau dah bukan jodoh abang dengan dia, terima aje la, kan?”
         “Eh! eh! Abang ni, cepat sangat nak putus asa. Belum cuba belum tau, bang. Abang jangan risau, adik akan tolong abang.” Dian cuba memberi semangat walaupun sebenarnya dia sendiri tidak berapa yakin.
         “Tak payah la dik.”
         “Orang nak tolong dia jual mahal pulak.”
         “Kalau memang niat adik nak tolong abang... abang ucap terima kasih banyak-banyak. Tapi macam yang abang cakap sebelum ni, jangan sampai dia tau abang suka dia.”
         “Pada adik lagi bagus kalau dia tau.”
         “Abang sendiri yang akan luahkan. Biar dia dengar dari mulut abang sendiri.”
         “Macam tak boleh percaya aje.” Dian juih bibir. “Tapi kalaulah abang betul-betul buat apa yang abang cakapkan tu, adik memang tabik spring. Cuba abang bayangkan... abang lamar dia di satu taman yang indah, yang hanya dilimpahi cahaya yang suram, bertemankan suara unggas dan lagu All of me. Wah! Boleh adik bayangkan macam mana suasananya nanti. Mesti romantik gila, kan?”
         “Merepek aje adik ni,” sergah Affan. Malu nak membayangkan apa yang Dian cakap. Dian ni pun satu, suka sangat suruh dia buat benda yang bukan-bukan macam tu.
         “Abang malu, eh?”
         “Mana ada?”
         “Muka abang merah.” Dian mengusik.
         “Jom la abang hantar adik.” Affan bangun dari sofa lantas mencapai kunci kereta dari atas meja tepi, terus berjalan ke muka pintu. Dian ni bukan boleh dilayan sangat. Nanti entah apa lagi yang dia akan melalut. Dah tak larat nak dengar.
         “Abang... adik tak habis cakap lagi la.” Dian capai beg, lalu membuntuti Affan.
         “Sambung lain kali aje.”
         Dian sengih. Malu la tu. 
“Kenapa adik nak tidur kat rumah dia? Aunty Zalina dengan Uncle Hamidi tak ada kat rumah ke?” Ketika itu mereka sudah berada dalam kereta. Enjin baru sahaja dihidupkan.
         “Tak ada. Dia orang balik kampung. Fira tak ikut. Bibik dia pulak pergi Kuantan, rumah saudara dia. Tu yang dia ajak adik temankan dia malam ni.” Sengaja Dian tidak beritahu tentang rancangan awal Fira untuk bermalam di rumah mereka. Tak naklah Abang Affan berkecil hati pula.
         “Eh! bang... adik nak tanya ni.” Tiba-tiba Dian menyoal. “Tanya apa?”
         “Mana abang tau Fira dah putus dengan boyfriend dia?”
         “Entah... tak tau.” Affan menafikan.
         “Hari tu masa kat depan umi kan abang ada cakap.”
         “Abang cakap mungkin. Tak tau la betul ke tidak.” Tak perlu kut beritahu Dian. Buatnya dia pergi bagi tahu Fira, tak ke haru? Nanti marah pula Johan tu.
         “Cakap aje la.”
         “Nak cakap apa? Benda tu bukan sahih pun.”
         “Baik abang cakap. Kalau tidak adik bagi tau Fira abang suka dia.”
         “Amboi, ugut abang pulak!” kata Affan.
         “Bukan ugut. Abang cakaplah... adik janji adik akan zip mulut adik. Adik tak bagi tau Fira.”
         “Johan bagi tau abang.”
         “Mana Abang Johan tau?”
         “Dia nampak Fira tanam barang-barang yang boyfriend dia pernah bagi. Dengan gambar-gambar sekali dia tanam.”
         Dian gelak mengekek. Lucunya Fira. Boleh pula dia bertindak macam tu? “Betul ke tak betul Fira tu? Tak pernah buat dek orang. Hai! Nasib abanglah dapat bakal isteri sewel macam dia.”
         “Menyesal abang cakap. Adik tu kalau tak kenakan abang tak sah.” Affan marah.
         “Ala, gurau ajelah. Sensitif sangat abang ni.”
         “Gurau la sangat.”
         “Nanti adik nak tanya Fira, kenapa dia pergi tanam benda-benda tu semua? Membazir betul. Kalau tak nak simpan pun bagi aje la dekat adik.”
         “Tadi bukan main janji dengan abang nak zip mulut. Ni nak pergi tanya Fira pulak. Memang tak boleh percaya la adik ni. Suka hati adik la. Kalau adik suka sangat nak malukan abang, suka sangat nak tengok Johan marah abang, adik tanya la dia. Abang tak boleh nak halang.”
         “Merajuk pulak.” Dian mencebik.
         “Mana ada merajuk? Kecil hati aje sikit.”
         “Sama la tu. Tapi tak apa... nanti adik suruh Fira pujuk, eh?” Dian kenyit mata sambil sengih nakal. “Mesti dia pandai pujuk abang... sejukkan hati abang yang tengah panas dengan suara dia yang lembut tu.”
         Affan besarkan matanya. “Turun sekarang!”
         “Kenapa pulak?”
         “Abang kata turun sekarang.” Affan tayang muka serius. Biar Dian rasa takut sikit. Biar adiknya tu tak berani nak mengusik dia lagi. Sebenarnya bukanlah tak suka atau nak marah sangat pun. Alah, setakat usik sikit-sikit tu, tak jadi kudis pun tapi terus-terang dia rasa segan yang amat. Dada pun  rasa berdebar tak menentu. Habis macam mana?
         “Abang kan nak hantar adik pergi rumah Fira.”
         “Pergi jalan kaki. Malas abang nak hantar.” Affan matikan enjin kereta.
         “Orang gurau aje la. Tak boleh gurau pergi surau la.”
         “Nak gurau pun agak-agak la.”
         “Okey, okey... lain kali adik tak gurau macam tu lagi.” Dian jeling Affan dengan muncung panjang. Tak sporting langsung. Usik sikit pun tak boleh.