Tuesday, June 23, 2015

Sabarlah Duhai hati (bab 19)



“MENYESAL aku bagi tau Abang Affan ada kat rumah. Sepatutnya aku diam aje tadi.” Sejak sampai tadi, perkara itulah yang Dian duk ulang-ulang. Macam selalu, dia tahu Fira sengaja nak mengelak dari Abang Affan. Konon tak nak jumpa la tu. Padahal masa Abang Affan sakit tempoh hari, boleh pun Fira temankan dia ke hospital. Malah dia sengaja tinggalkan Fira berdua-duan dengan Abang Affan masa tu. Saja nak tengok macam mana reaksi dia orang. Bolehkah mereka berdua berinteraksi, berbaik-baik, bergurau senda atau apa sahaja? Dari permerhatiannya, memang boleh walaupun kedua-duanya nampak agak kaku dan serba tak kena sepanjang pertemuan itu. Dia percaya kedua-duanya masih malu-malu walaupun keinginan untuk bertegur sapa ada dalam diri masing-masing. Dia percaya juga, keadaan itu hanya sementara. Pasti akan okey selepas beberapa minit. Tapi itulah, belum apa-apa Nadia pula datang mengacau.
Kesimpulan yang dia boleh buat, Fira sudah mula membuka pintu hatinya untuk berhadapan dengan Abang Affan. Pada dia, itu adalah satu permulaan yang sangat baik. Mungkin akan mengambil masa sedikit tapi tak apa. Dia akan sabar menanti.
Tapi bila malam ini Fira kembali kepada sifat asalnya, kembali alah dengan Abang Affan, itu yang buat dia jadi geram. Itu yang dia tidak boleh terima. Pada dia, Fira tak patut buat Abang Affan macam tu. Kesian Abang Affan.
         “Dah kenapa dengan kau ni? Macam la sebelum ini kau tak tau macam mana aku dengan abang kau.”
         “Aku tak nak cakap pasal sebelum ni, tapi pasal sekarang. Pasal malam ni. Tak patut tau kau buat Abang Affan macam tu.”
         “Eii, tak faham la aku dengan kau ni. Dah la... penat dengar kau cakap benda yang sama aje dari tadi.”
         “Penat konon. Kau buat aku macam ni lagi aku penat. Dah la kena datang sini. Eh, aku tak kira, selagi aku tak puas hati dengan kau, selagi tu aku akan cakap. Biar sampai telinga kau berasap.”
         “Kau nak penat apanya? Bukan kau kena jalan kaki pun. Kau duduk aje dalam kereta jadi mem besar. Mengada-ngada. Macam la jauh sangat rumah aku ni, nak berkereta bagai.”
         “Jangan ubah topik, boleh tak? Kita sekarang sedang bercakap pasal engkau... pasal abang aku.”
         “Dah la, jangan marah-marah, Yan. Tidur kat mana-mana pun sama. Kat rumah kau ke, kat rumah aku ke. Yang penting tidur.”
         “Dah tau sama, kenapa tak tidur aje kat rumah aku?”
         “Eiii! Berapa kali nak cakap? Aku tak nak jumpa abang kaulah.”
         “Kesian Abang Affan. Macam mana nak tolong dia ni?” Suara dan rupa Dian mendadak bertukar sedih. Bukan apa, saja nak tarik perhatian Fira.
         “Kenapa dengan abang kau? Dia sakit lagi ke?” Laju Fira menyoal. Riak risau kelihatan jelas di wajahnya.
         Dian hamburkan tawanya. Agak kuat dan lama. Suka sangat-sangat  dengan reaksi Fira itu. Nampak macam prihatin dan ambil berat pula. Mulalah dia nak tuduh Fira pun ada perasaan terhadap Abang Affan. Inilah yang orang cakap, mahu tapi malu.
         “Yang kau gelak macam orang kena rasuk tu, kenapa?”
         “Kau macam risau benar kalau abang aku sakit. Kenapa, eh?”
         “Laa... mesti la risau. Dia kan abang kawan baik aku sendiri. Susah kau, susah aku jugak. Nanti yang nak kena usung kau pergi hospital, siapa? Aku jugak, kan?”
         “Jawapan tak diterima. Sila cari jawapan lain.”
         “Apa benda la kau ni, labu? Nak jawab macam mana lagi?”
         “Aku tolong jawab untuk kau.”
         Fira hanya pandang muka Dian. Tak faham apa maksud temannya itu.
         “Kau risau abang aku sakit sebab kau sebenarnya suka dia, sayang dia, betul tak?” Dian tayang sengih nakal.
         Fira yang sedang bersandar pada sofa, bingkas bangun, menerkam Dian yang duduk bersetentang lalu mencekik gadis itu. Cekik-cekik manja, bukanlah sakit pun.
         “Berani kau tuduh aku macam tu? Aku bunuh kau.”
         Dian ketawa terkekeh-kekeh “Woi! Kau mana boleh bunuh aku? Aku belum kahwin lagilah.”        
         Sudahnya Fira sendiri turut sama ketawa.
         “Belum apa-apa dah nak menderhaka dengan kakak ipar.”
         “Dian... kau merepek apa ni?” Fira besarkan matanya.
         Mata Dian ikut besar. Terkejut dengan ketelanjuran mulutnya sendiri. Jangan buat hal. Nanti tak pasal-pasal Fira dapat hidu pula. Biarlah perkara pinang-meminang ni umi aje yang uruskan. Tugas dia hanya mempengaruhi Fira agar menyukai Abang Affan. Itu sahaja. Lebih dari itu, dia tak nak campur.
         “Aku gurau ajelah.”
         Fira jeling, masam. Gurau konon.
         “Nak tanya kau sikit, boleh?” Dian mengajukan soalan.
         “Sikit aje tau? Banyak-banyak aku tak layan.”
          “Aku nak tanya, sejak bila dan kenapa kau dengan abang aku jadi renggang, hah? Sebab seingat akulah, kau pernah rapat dengan dia. Sampai aku pernah tuduh kau cuba rampas abang dari aku.” Memang betul pun. Dulu-dulu Fira dengan Abang Affan macam belangkas. Di mana ada Affan, di situlah ada Fira. Pantang Affan nak ke mana-mana, Fira pasti nak ikut. Kerap jugalah dia merajuk dan mengadu dengan umi. Macam mana tak mengadu, Abang Affan tu lebih pentingkan orang lain dari adik sendiri. Tapi semuanya berubah setelah dia dan Fira belajar di sekolah menengah. Kalau tak silap, sejak itulah Fira semakin menjarakkan diri dari Abang Affan. 
         “Aku rasa dah lebih dua puluh kali kut kau tanya aku benda ni. Kau tak penat ke tanya soalan yang sama?”
         “Bukan dua puluh tapi dah lebih lima puluh kali tau aku tanya? Memang penat, tapi selagi kau tak jawab, aku tetap akan tanya... lagi dan lagi dan lagi.”
         “Alah perkara dah lama. Tak payahlah kau tau.”
         “Tak kisah la lama ke baru ke, aku nak tau jugak.”
         “Nanti-nanti la aku cakap.”
         “Nak tau sekarang.”
         “Kau tanya la abang kau.”
         “Dah berbuih mulut aku tanya. Balik-balik dia cakap tak ada apa-apa. Malas dah nak tanya lagi.”
         “Betul la tu. Memang tak ada apa-apa.”
         “Pulak. Tadi kata perkara lama. Sekarang tak ada apa-apa pulak. Auta la kau ni.”
         “Jangan la marah. Eh! jom pergi dapur. Kita makan puding tiramisu. Mama buat pagi tadi. Sedap tau.”
         “Kau belum jawab soalan aku.”
         “Aku kata nanti... nanti la.”
         “Nak tau jugak.” Dian tayang muka sayu.
         “Jom makan puding dulu.”
         “Tak nak.” Dian mengeraskan badannya.
         “Bukan senang kau nak makan puding mama aku. Lepas ni jangan harap kau dapat merasa lagi. Jom la, jangan degil.” Fira menarik-menarik tangan Dian.
Tiba-tiba telefon  rumah berbunyi.
         “Eh! Telefon tu. Pergi jawab dulu. Aku pun nak telefon umi aku sekejap.”
         Serta merta tangan Dian dilepaskan. Lalu kakinya dibawa melangkah ke rak telefon.  Segera pula telefon dicapai. Mak Teh Zana, adik mama berada di talian
         “Mak teh apa khabar? Sihat ke?” soal Fira setelah salamnya mak teh jawab.
         “Alhamdulillah sihat,” balas Zana perlahan. “Fira dengan siapa kat rumah tu?”
“Fira dengan kawan. Mama tak ada tau, mak teh? Tengah hari tadi, mama dengan papa hantar nenek balik kampung.”
“Ya, mak teh tau.”
“Dia orang belum sampai kampung agaknya. Baru sekejap tadi Fira call mama dengan papa. Tapi dua-dua tak jawab.”
Agak lama Zana diam.
“Helo mak teh... mak teh masih kat situ lagi ke?”
“Fira, mak teh nak bagi tau Fira sesuatu. Mak teh harap Fira bertenang ya.” Suara Zana sebak.
“Mak teh nak bagi tau apa?” Fira rasa tak sedap hati. Sepertinya ada berita buruk yang akan Mak Teh Zana sampaikan. Dadanya Fira usap perlahan. Duhai hati, bertenanglah!
“Kereta papa terlibat dalam kemalangan.” Sampai di situ sahaja suara Mak Teh Zana. Tak mampu nak sambung.
“Apa mak teh?” Fira menjerit, kuat. “Habis dia orang semua macam mana? Dia orang selamat kan, mak teh? Dia orang tak ada apa-apa kan?” Dada semakin kuat bergendang. Tangan dan kaki sudah terasa lemah dan longlai. Mata terasa hangat. Bila-bila masa sahaja air mata akan melimpah keluar dari situ.
         “Mak teh, tolong bagi tau Fira. Apa sebenarnya yang dah berlaku?” Fira jadi tidak sabar. Kebisuan Mak Teh Zana buat dia mula terfikir hal-hal yang sungguh menakutkan.
         “Mama, papa dan nenek...”
         “Mama, papa dan nenek selamat kan, mak teh?” Fira memintas percakapan ibu saudaranya yang belum habis. Memang itulah jawapan yang dia mahukan. Dia tidak mahu dengar jawapan selain daripada itu.
         “Fira, sabar ya?”
         “Mak teh, cepat cakap, macam mana mama, papa dengan nenek?” Air mata sudah mulai bergayutan di sudut mata.
         “Dia orang dah tak ada, sayang. Dia orang semua dah tinggalkan kita.” Di hujung talian Zana menangis teresak-esak.
         “Mak teh bergurau, kan? Mak teh saja nak main-main dengan Fira, kan?” Terketar-ketar suara Fira. Air mata sudah penuh di muka.
         “Betul, Fira. Mama, papa dan nenek memang dah tak ada. Dia orang semua meninggal di tempat kejadian.”
         Telefon terlepas dari tangan dan Fira jatuh terjelepuk di situ. Tidak! Dia tidak percaya. Mak teh tipu! Mak teh bohong! Papa, mama dan nenek masih ada. Dia orang masih hidup. Dia orang tak mati.
         “Fira, kenapa ni? Kenapa kau nangis? Siapa telefon kau tadi?” Dian yang baru selesai bercakap dengan uminya menerpa, lantas duduk rapat di sebelah Fira. Sebelum itu sempat meletakkan gagang telefon yang tergantung di tempatnya semula.
         Fira tidak jawab. Sebaliknya semakin galak menangis.
         “Fira, tak nak macam ni.” Badan Fira ditarik ke dalam pelukannya. Kepala gadis itu diusap-usap lembut. “Bagi tau aku apa yang dah berlaku.”
         “Dian.” Hanya nama itu disebut dan Fira kembali teresak-esak.
         “Cakaplah... aku dengar.”
         “Papa, mama dengan nenek dah tak ada.”
         “Ya Allah ya Tuhanku, apa yang dah berlaku, Fira?” Hanya Tuhan yang tahu terperanjatnya Dian dengan berita itu. Air mata pantas berjatuhan ke pipinya.
         “Dia orang accident.” Dalam tangisannya, Fira masih mampu bercakap.
“Ya Allah... sabar ya, Fira... sabar. Ingat Allah banyak-banyak.” Badan Fira dipeluk erat dan dia turut menangis teresak-esak.

No comments: