Sunday, June 14, 2015

Sabarlah Duhai Hati (Bab 16)



“UMI... dah banyak kali kut Fan cakap, Fan memang tak nak Nadia tu. Penat la cakap benda yang sama aje.” Affan tayang muka bosan. Balik-balik Nadia. Macam dah tak ada nama lain nak disebut. Menyampah sungguh.
         “Umi pun macam Fan jugaklah. Penat dah duk bagi jawapan yang sama dekat opah dengan mak ngah. Tapi dia orang tu macam sengaja tak nak faham.”
         “Pening la Fan dengan dia orang ni.”
         “Ya... umi faham, Fan. Kalau umi jadi Fan pun umi pening. Tapi umi nak Fan tetap dengan keputusan Fan. Jangan kerana opah dan mak ngah datang semalam, Fan nak ubah keputusan Fan pulak.”
         “Tak ada maknanya Fan nak buat macam tu.”
         “Habis kita nak bagi alasan apa dekat opah?” Dian yang hanya mendengar dari tadi mencelah.
         “Abang ada idea,” kata Affan.
         “Apa dia?” soal umi dan Dian hampir serentak.
         “Bagi adik kahwin dengan Firdaus. Mesti opah seronok punyalah. Sekurang-kurangnya salah seorang dari kita ikut cakap opah. Tak adalah Fan nak kena paksa kahwin dengan Nadia lagi.” Affan tayang muka nakal. Kemudian kenyit mata pada adiknya.
         “Abang jangan buat adik marah,” jerit Dian. Kusyen kecil dicapai lalu dibaling kepada abangnya. “Kalau abang tak nak Nadia, adik pun tak ingin la kahwin dengan Firdaus tu.”
         “Alah... gurau sikit pun tak boleh adik ni.”
         “Nak gurau pun agak-agak la. Ada pulak suruh orang kahwin dengan Firdaus... tak ingin.”
         “Dah! cukup. Macam budak-budak.” Umi menjerkah. Kalau dibiarkan budak dua orang ni, sampai malam karang pun tak selesai. Tak habis-habis nak bertekak. Itu baru dua orang, kalau ramai tak tau lah apa nak jadi dalam rumah ni.
“Sekarang kita kena fikir apa alasan yang kita nak bagi dekat opah. Kalau boleh alasan yang betul-betul kukuh. Kalau setakat Fan anggap Nadia tak lebih dari sepupu... itu alasan biasa. Opah tak akan dengar punya.”
“Habis, nak cakap apa lagi, umi? Memang itu pun alasan Fan.”
“Cari alasan lain,” bantah umi.
         “Macam ini la. Cakap aje abang dah ada awek dan dah rancang nak kahwin. Mesti opah dan mak ngah tak boleh nak paksa dah,” sampuk Dian. Rasanya itulah alasan yang paling mantap sekali. Nak tak nak opah dengan Mak Ngah Shima terpaksa tarik balik keinginan mereka. Yalah, orang nak mendirikan masjid, takkan nak robohkan pula, kan? Berdosa tu.
         “Macamlah abang ada awek.” Affan juih bibir.
         “Carilah,” marah Dian. Benda senang macam tu pun tak reti nak fikir. Apalah abang ni!
         “Ha’ah... betul juga kata adik tu. Carilah Fan. Kalau Fan dah ada girlfriend kan senang. Umi bolehlah bagi alasan tu dekat opah nanti.” Dan-dan umi bersetuju dengan idea Dian tu.
         “Nak cari kat mana, umi?”
         “Kalau itu pun nak kena ajar, payahlah.” Dian mencebik.
         Affan mengetuk-ngetuk dahinya dengan jari telunjuk. Seperti sedang berfikir. Beberapa saat jugalah dia berkeadaan macam tu. Umi dengan Dian menanti dengan sabar.
         “Umi boleh tolong pinang seseorang untuk Fan?” Tiba-tiba idea gila datang ke kepala. Biarlah, kali ini dia nekad. Apa nak jadi pun jadilah.
         “Nak suruh umi pinang siapa?” Umi besarkan matanya. Biar betul Affan ni? Kata tak ada teman istimewa, tapi boleh pula minta dia masuk meminang. Mengigau ke apa budak ni?
         Affan tidak terus jawab. Agak lama wajah umi dipandang.
         “Nak pinang siapa?” Umi jadi tak sabar.
         “Fira...” Lepas sebut nama itu, Affan segera tunduk. Hati rasa malu tiba-tiba. Malu pada umi dan Dian. Selebihnya malu pada diri sendiri.
         “Fira? Abang biar betul!” Kalau mata umi tadi besar, mata Dian lebih besar dari itu. Memang dia terkejut sungguh-sungguh. Selama ini Abang Affan tak pernah tunjuk yang dia sukakan Fira. Malah Abang Affan juga tak pernah ambil peduli dengan kawan baik dia itu. Tegur pun tak pernah, apa lagi nak bertanya khabar. Cuma semasa di hospital baru-baru ini, cara Affan pandang Fira nampak lain macam sedikit. Nampak seperti Abang Affan sukakan Fira. Tapi itu cuma firasat dia saja. Entah betul, entah tidak. Tempoh hari apabila dia bertanyakan Affan dan abangnya menafikan memang dia tau dia silap tafsir. Tapi sekarang dia jadi keliru. Apakah Abang Affan buat keputusan itu kerana betul-betul suka Fira atau pun sekadar nak lepas diri dari desakan opah dan Mak Ngah Shima?
         “Ha’ah Fan...  betul ke ni? Fan jangan main-main.”
         “Betul la. Siapa cakap Fan main-main? Fan serius. Fan memang nak umi pinang dia.”
         “Habis Nazim dia tu nak campak ke mana?” tanya Dian, serius.
         “Dia orang dah putus dah pun,” ujar Affan.
         “Memandai aje abang ni. Bila masa dia orang putus?” soal Dian, tak percaya. Kalau betul kenapa Fira tak pernah bercerita? Atau mungkin Fira malu? Ya, ada kemungkinan. Tak apa, dia akan siasat perkara ini kemudian. Yang penting sekarang adalah selesaikan hal Abang Affan terlebih dulu. Ikutkan dia sangat suka dengan keputusan Affan itu. Memang itu pun yang dia nakkan selama ini. Tentu seronok kalau Abang Affan betul-betul jadi kahwin dengan Fira. Tapi kalau boleh biarlah hal itu turut mendapat persetujuan Fira juga. Tak mahulah Fira rasa terpaksa pula terima Abang Affan. Tak sukalah kalau kahwin pun nak main paksa-paksa.
         “Abang tau la.”
         “Kalau betul pun dia dah putus, adik tak rasa dia nak terima abang.”
         “Hisy, adik ni. Bukannya nak doakan abang. Boleh pulak dia cakap macam tu,” tegur umi. Walaupun masih terkejut dengan permintaan Affan, dia suka juga. Sementelah, mereka sekeluarga dah lama sangat kenal Fira. Di rumah merekalah Fira selalu bertandang. Malah baik buruk, kekurangan, kelebihan Fira semua dia tahu. Tak kisahlah apa pun, yang penting dia sayangkan Fira macam anak sendiri.
         “Hari tu adik juga yang beria-ia nak abang kahwin dengan Fira. Kenapa sekarang nak halang pulak?” Affan jadi hairan pula dengan Dian. Sejujurnya, memang dah agak lama dia menyimpan hasrat itu tapi dia tidak punya keberanian. Cumanya bila Dian bersungguh-sungguh benar baru-baru ini, dia jadi terfikir untuk masuk melamar Fira. Sebetulnya dia sendiri masih tidak percaya dengan keputusan yang dia buat. Memang dia tahu, dia buat kerja gila. Tak boleh dia bayangkan penerimaan Fira nanti.
         “Siapa cakap adik nak halang? Adik suka sangat kalau abang betul-betul kahwin dengan Fira. Tapi bila adik fikir-fikir balik, adik rasa benda ni tak senang, bang. Kalau muka abang pun Fira tak boleh nak tengok, macam mana nak kahwin. Betul tak, umi?”
         “Betul juga tu.” Umi dah terangguk-angguk. Dia sendiri pun perasan dengan perkara itu. Malah Affan sendiri tak pernah menegur bila setiap kali terserempak dengan Fira. Macam tu pun ada hati nak suruh dia masuk meminang.
         “Okey, sekarang umi nak tanya Fan ni. Tolong jawab dengan jujur. Kenapa Fira?”
         Affan angkat bahu. “Entah.”
         “Jawab la betul-betul.” Umi tepuk paha Affan.
         “Entah abang ni. Jawab ajelah umi tanya tu,” kata Dian.
         “Yalah daripada Nadia tu... lebih baik Fira, kan?” ucap Affan perlahan.
         Umi merengus. Jawapan tak membantu langsung.
         “Abang suka Fira, eh?” tanya Dian pula. Tak puas hati dengan jawapan Affan.
         Affan hanya pandang Dian. Macam mana ya nak jawab?
         “Abang memang suka Fira, betul tak?” Dian mendesak. Sakit pula hatinya dengan kebisuan Affan. Orang tanya betul-betul, boleh dia diam macam tu. Entah apa-apa.
         “Suka la jugak.” Affan jawab perlahan.  Kemudian tunduk lagi. Aduh! Malu lagi sekali. Ini belum Fira yang dengar. Kalaulah Fira ada kat sini, mahu dia berlari masuk bilik.
“Abang suka Fira? Yaey... syoknya.” Dian menjerit, seronok.
         “Apa jerit-jerit ni? Ni yang malas nak cakap ni,” marah Affan. Tangan meraba-raba muka. Malu jangan cakaplah. Terasa-rasa seperti Fira pula berada di hadapan dan sedang mentertawakan dia.  
         “Muka abang merah. Malu la tu. Eiii! tak sangka... rupa-rupanya dalam diam abang cintakan Fira. Patutlah tak kahwin-kahwin sampai sekarang.” Dian mengejek. Kemudian ketawa terkekeh-kekeh.
         “Umi tengok adik tu. Ni yang tak suka ni. Menyesal aje cakap.” Muka Affan dah masam mencuka. Geram dengan ejekan Dian.
         “Alaa... adik gurau ajelah.” Umi sambut aduan Affan dengan senyuman. Langsung tak rasa nak marah Dian. Nak marah buat apa? Dia tahu Dian seronok dan dia sendiri turut rasa apa yang Dian rasa.  Bukan setakat seronok tapi rasa bahagia sungguh. Dia percaya, keluarga Fira termasuklah Fira sendiri tidak akan menghampakan Affan.
         “Bermakna tak salah la apa yang adik nampak kat hospital hari tu? Rupa-rupanya memang betul abang ada hati dekat Fira.” Sebelum ini dia selalu fikirkan yang Abang Affan tak suka Fira. Yalah, sikap acuh tak acuh Abang Affan terhadap Fira selama ini yang buat dia sering terfikir begitu.
         “Sejak bila abang jatuh cinta dengan kawan baik adik tu?”
         “Jangan tanya lebih-lebih boleh tak? Tak sukalah,” marah Affan.
         “Eh! mana boleh? Nak tau jugak.” Dian balas.
         “Ha’ah sejak bila ada hati dengan Fira ni? Selalu kalau  Fira datang, Fan buat tak layan aje. Pandang pun tak nak. Tak sangka dalam hati bukan setakat ada taman... siap ada kebun, ada dusun lagi. Pandai Fan berlakon, eh?” Umi gelak terkekeh-kekeh.
         “Lebih-lebih la pulak umi ni. Sama aje macam adik. Tak nak la cakap apa-apa dah. Yang tadi tu pun tak payahlah. Cancel aje. Anggap Fan tak pernah cakap apa-apa.”
         Apa yang tak payah?” Umi dah serius semula.
         “Pinang Fira tu la.”
         “Eh! mana boleh? Fan dah cakap tadi, kan? Umi tak kira, umi nak pinang juga Fira untuk Fan. Suka hati dia aje. Sekejap suruh pinang, sekejap tak payah pulak. Fan jangan nak mengada-ngada.”  Umi dah jegil mata pada Affan. Budak ni memanglah. Suka nak buat umi dia ni sakit jantung.
         “Dah tu... janganlah gelakkan Fan. Adik tu pun sama. Dah tau tu diam-diam dah la. Lagi satu, tolong jangan bagi tau Fira apa-apa. Kalau abang dapat tau adik cakap apa-apa kat dia, siap!” Affan siap tayang penumbuk kat depan muka Dian.
         “Eiii! Takutnya...” Dian gelak kuat.
         “Main-main, eh? Tau tak abang serius ni? Kalau betul adik ada cakap apa-apa kat dia, tau la apa abang nak buat.” Lagi sekali Affan mengugut, cuma dengan ayat yang sedikit berbeza.
         “Adik nak cakap apa kat dia?”
         “Apa yang abang cakap tadi la.”
         “Oooo... pasal abang cintakan Fira tu, eh? Biar ajelah adik cakap. Mesti dia rasa seronok kalau dia tau.”
         “Orang kata tak payah, tak payahlah.”
         “Kalau adik cakap jugak? Abang nak buat apa?”
         “Abang kata jangan cakap, janganlah cakap. Kenapa mengada-ngada sangat ni?”
         “Okey, okey... adik tak cakap apa-apa kat Fira. Tapi kalau dia tanya nak jawab apa, hah?”
“Kenapa pulak dia nak tanya?”
“Eh! Mesti la dia akan tanya kenapa abang nak masuk pinang dia? Kenapa abang nak ambil dia jadi isteri?”
“Pandai-pandai adik la jawab macam mana pun.”
“Kenapa tak nak mengaku aje abang sayang dia, cintakan dia... malu, eh?” Dian betul-betul rasa tak puas hati. Pada dia, adalah lebih baik Affan berterus terang tentang perasaannya kepada Fira. Tentulah urusan akan jadi lebih mudah dan lancar. Kenapa perlu malu? Kenapa mesti berahsia?
         Affan jegil mata pada Dian. Ada saja cakap budak ni.
“Jangan cakap banyak la, dik. Abang cuma minta tolong benda senang aje kut. Tolong jangan cakap apa-apa kat Fira, itu aje. Yang adik merepek meraban tu kenapa?”
“Eh! eh! dia ni... nak minta tolong tapi berlagak. Bila masa entah orang merepek meraban. Orang cakap benda betul kut.” Dian tarik muka. Sakit pula hatinya dengan Abang Affan ni.
 “Boleh tolong diam tak? Anjing dengan kucing pun tak macam kau orang tau?” Makin tinggi suara umi. Memandang muka kedua-dua anaknya bersilih ganti.
“Itu anjing dengan kucing, mi. Ini Dian dengan Affan... memanglah tak sama.” Dian ketawa mengekek.
“Hah! Tengok... bila umi cakap, suka main-main tau. Bagi kahwin dengan Firdaus baru tau.”
“Apa umi ni?” Dian dah tarik muka. Geram dengan umi. 
Besar tawa Affan. Padan muka, kan dah kena dengan umi.
“Bila Fan nak suruh umi pergi jumpa mama dengan papa Fira?” Umi pandang Affan semula.
         “Lagi cepat lagi bagus, mi.” Affan sengih, malu-malu.
         “Tak sabar la tu...” Dian ketawa berdekah-dekah.
         “Umi, tengok adik ni.” Affan mengadu.
         Umi cuma menggeleng. Tak kuasa nak layan.
         “Tak sabar nak peluk Fira...” Dian sambung dan ketawanya jadi makin kuat apabila Affan memukul belakang badannya dengan kusyen kecil.

No comments: