TAK lama mana pun dia melayan perasaan sedih dan kecewanya.
Masuk minggu kedua, dia sudah mula boleh terima
hakikat. Yalah, nak buat macam mana, dah bukan jodoh dia. Meraung, meratap
lama-lama pun bukannya boleh dapat Nazim balik. Tapi tidak mudah sebetulnya untuk
melupakan Nazim. Terlalu banyak kenangan mereka sepanjang setahun bersama. Semuanya
manis-manis belaka. Lalu bagaimana dia nak membenci lelaki itu? Tidak! Dia
sudah berjanji dengan diri sendiri... seteruk mana pun luka yang Nazim
hadiahkan , dia tidak akan biarkan rasa benci itu tumbuh dalam diri.
Malah dia juga sudah berjanji untuk sentiasa doakan kesejahteraan dan
kebahagiaan Nazim. Biarlah, dah jodoh dia dengan perempuan itu, kan? Tak
perlulah nak anggap musuh pula. Cumanya, dia akan cuba sebaik mungkin untuk menyingkirkan
rasa cinta dan sayang yang masih bersisa dalam diri.
Yalah, bukan mudah untuk
melupakan semuanya dengan sekali gus. Sejujurnya, sesekali rasa terkilan tetap
ada dengan apa yang telah berlaku tetapi dia percaya pada takdir. Bak kata Nick...
mungkin jodohnya sudah ditetapkan dengan lelaki yang jauh lebih baik daripada Nazim.
Ya, mana tahu. Cuma satu masalah dia sekarang. Macam mana nak bagi tahu mama
dan papa?
“ANAK mama buat apa kat luar
malam-malam macam ni? Tak sejuk ke?”
Fira tak jawab. Dia hanya senyum pada mama yang sudah pun
duduk atas bangku di sebelahnya.
“Mama tengok Fira asyik termenung aje akhir-akhir ni.
Kenapa ya? Fira ada masalah ke?” soal mama lembut.
“Tak ada apa la, ma. Fira mana ada masalah?”
“Boleh percaya ke ni?”
Fira angguk.
“Fira putus cinta, ya?” tebak mama.
Fira meggelabah. Air muka dah berubah. Tapi dia takkan
mengaku. Kalau boleh dia tak naklah mama rasa kecewa pula. Yalah, mama kan dah
berangan-angan nakkan Nazim jadi menantu dia.
“Mana ada? Memandai aje mama ni.” Fira buat-buat ketawa.
Tapi hati rasa hiba sungguh. Kalaulah mama tahu apa yang sedang Fira alami, tentu
mama kecewa.
“Boleh percaya ke ni? Entah-entah Nazim dah tinggalkan anak
mama. Kalau betul, mama takkan maafkan dia.”
Dengar mama cakap macam tu, air mata terasa mahu menitik ke
pipi masa itu juga. Rasa sedih bertandang tak semena-mena. Tapi tidak, dia
takkan menangis depan mama. Mama tidak perlu tahu. Mama tidak perlu terluka sama.
“Betul, ma. Fira dengan Nazim okey aje. Nazim
takkan tinggalkan Fira. Kalau betul dia buat macam tu, dia takkan jumpa dah
orang macam Fira ni. Betul tak, ma?” ucap Fira sambil pura-pura ketawa.
“Betul tu... mama
setuju. Mana nak cari gadis cantik macam anak mama ni, kan?”
“Tak cantik mana pun
anak mama ni.” Sayu semacam suara Fira. Selama ini pun dia tak pernah rasa dia
cantik walaupun Dian sering memuji rupa parasnya yang konon nampak eksotik.
Entah tang mana yang eksotik, bukan dia tau pun. Kata Dian, cuma satu yang
kurang pada diri Fira iaitu ketinggian. Memang dia tahu dia tak tinggi macam
Dian tapi dia tak pernah rasa itu satu kekurangan. Yang penting dia nampak
comel dan sentiasa muda.
“Siapa cakap?” Mama
bantah.
“Berlambak lagi orang
yang lebih cantik dari Fira ni, ma. Yang Fira tau Fira ni pemalas, suka
melawan, keras kepala, semua benda tak tau buat... bla bla bla...” sambung Fira
dengan suara yang tidak ceria. Tiba-tiba dia sangat terasa dengan segala
kekurangan diri. Tidak mustahil, mungkin hal itu yang menyebabkan Nazim
mengambil keputusan untuk tinggalkan dia. Yalah, sepanjang bersama dia sering
bercerita kepada Nazim tentang segala kekurangan yang ada. Niatnya tidak lain, dia
mahu Nazim tahu kesemuanya tentang diri dia. Dia mahu supaya Nazim tidak rasa
tertipu setelah mereka bernikah kelak. Itulah dia... konon nak bersikap jujur.
Tapi tak sangka lain pula yang jadi. Sikap jujurnya telah memakan diri.
Kali ini mama gelak. “Amboi, merendah diri pulak dia.”
“Memang Fira rendah pun.” Tawa Fira bersatu dengan gelak
mama.
“Tak kisahlah apa pun Fira nak cakap. Pada mama, Fira tetap
ada kelebihan, tetap ada keistimewaan. Siapa yang dapat pikat anak mama ni, dialah
lelaki yang paling bertuah, tau?”
Ucapan mama buat hati Fira jadi tersentuh. Walaupun sedar Fira
tidak sebaik dan sebagus anak orang lain tapi mama tetap nak cakap macam tu. Tetap
nak puji Fira. Mamalah ibu terbaik di dunia ini.
“Terima kasih mama. Mama buat Fira rasa istimewa.” Air mata
menitis perlahan ke pipi Fira.
Mama senyum, manis sungguh. Kepala Fira di tarik ke
bahunya. Lengan pula memeluk erat bahu si anak.
“Laa... menangis
pulak dia.” Sambil gelak, mama sapu air mata di pipi Fira, lalu mengucup pipi
gadis itu lembut.
Fira turut cium pipi mama. Fira balas pelukan mama. Bahagia
sungguh rasanya malam ini. Rasa yang sudah lama tertinggal. Rasa yang sudah
lama hilang.
“Fira...” Suara mama tiba-tiba jadi lembut.
“Ya, ma.”
“Fira sayang Danish, tak?” Tiba-tiba mama ubah topik. Topik
yang paling Fira tidak gemar.
“Mama cakap apa ni?” Kepala Fira yang terlentuk di bahu
mama mendadak jadi tegak. Tangan yang sedang memeluk pinggang mama dileraikan.
Hati yang sedang sarat dengan bahagia bertukar jadi geram. Sakit hatinya dengan
pertanyaan mama itu. Kenapa mama mesti nak bawa nama si kecil tu pada saat dan ketika
yang sangat tidak sesuai ini? Kenapa, ma?
“Mama tau Fira sayang Danish. Bertuah Danish ada kakak
macam Fira.”
Mama ni memuji atau
menyindir? Fira jeling muka mama yang sedang manis tersenyum.
“Mama, Fira masuk dulu... nak tidur.” Sambil
berkata begitu, Fira bangun dari bangku. Daripada menahan telinga dengan cerita
tentang Danish yang meyakitkan hati, lebih baik dia masuk bilik.
“Sayang...” Lengan Fira mama sambar. “Duduk dulu. Mama
belum habis cakap lagi.”
Hendak tak hendak Fira duduk semula.
Mama hela nafas panjang-panjang, kemudian hembus
perlahan-lahan. Sikap Fira benar-benar menguji kesabaran. Tapi tak apa, dia
akan tetap berlembut. Insya-Allah, dia percaya lambat laun Fira akan berubah.
Dia juga percaya, satu hari nanti Fira akan dapat terima Danish dan jadi kakak
terbaik buat adiknya.
“Mama nak minta tolong Fira sikit.”
“Tolong apa, ma?”
“Tolong jaga Danish.”
Fira tak jawab tapi mata merenung mama, tajam. Kenapa pula
dia yang nak kena jaga Danish? Selama ni siapa yang jaga? Bibik kan ada. Nenek
juga ada. Kenapa nak libatkan dia pula?
“Boleh, kan?”
“Tak naklah cakap pasal tu.”
“Fira aje yang mama harapkan untuk jaga adik. Tak ada orang
lain lagi dah.” Mama tidak hiraukan rungutan anaknya itu.
Bibir Fira memuncung. Tak gemar dengan ucapan mama. Apa
sekalipun maksud mama, dia memang tak suka.
“Mama tau Fira boleh jaga adik.” Manisnya suara dan
senyuman mama dan Fira rasa bersalah sungguh-sungguh. Baiknya mama. Walaupun
tahu Fira tak ikhlas tapi mama masih nak tunjuk senyuman kat dia. Masih nak
bercakap dengan suara lunak macam tu. Padahal boleh saja kalau mama nak marah
atau nak membebel panjang-panjang. Tapi mama tak buat macam tu. Dari dulu,
macam itulah sikap mama. Tak pernah nak marah-marah. Pukul jauh sekali. Agaknya
kerana sikap mama yang macam itulah, dia jadi mengada-ngada dan tak sedar diri.
“Ma, Fira masuk dulu ya? Fira nak tidur.” Fira lantas cium
pipi mama serta mengucapkan salam. Kemudian bangun dari bangku. Tapi belum
sempat melangkah dari situ, mama bertanya lagi sekali.
“Boleh kan Fira jaga adik?”
Perlahan-lahan Fira angguk meskipun dia tak suka berbuat
begitu. Mama pun satu. Entah kenapa sibuk sangat nak suruh dia jaga adik.
Macamlah selama ni tak ada orang jaga budak kecil tu. Tapi tak apalah... demi
mama, angguk sajalah. Biar mama puas hati.
“Terima kasih, sayang.” Suara mama sebak. Dan hati Fira
turut rasa sebak.
Maafkan Fira, ma. Fira tak boleh paksa hati Fira. Sekali Fira
tak suka, sampai bila-bila pun Fira tak suka.
No comments:
Post a Comment