Wednesday, June 10, 2015

Sabarlah Duhai Hati (Bab 14)



SEPERTI mana terkuburnya cinta dia dan Nazim, begitu jugalah dengan segala perkara yang berkaitan dengan jejaka itu. Dia harus kuburkan kesemuanya. Dia tidak harus menyimpan semua itu lagi. Dia sangat yakin, selagi benda-benda itu berada di hadapan mata, selagi itulah dia sukar untuk melupakan Nazim. Semua itu akan sentiasa mengingatkan dia kepada bakal suami tak jadinya tu.
Cangkul dari dalam bilik stor diambil, lantas laju langkahnya diatur ke belakang rumah. Keluar dari pintu, dia menuju ke pangkal pokok betik. Dengan cangkul kecil, dia mula menggali dan menggali. Dia hanya berhenti setelah berpuas hati dengan saiz dan kedalaman lubang. Tanpa rasa bersalah, tanpa rasa kesal, dia memasukkan kotak sederhana besar ke dalam lubang itu. Kotak yang berisi segala pemberian Nazim sepanjang setahun mereka bercinta. Telefon bimbit, kasut, tas tangan, jam dan barang-barang lain. Memang semua benda tu bernilai dan mahal harganya. Sesekali fikir rasa macam rugi pula. Tetapi bila difikirkan balik, memang patut sangat dia buat macam tu. Apa guna disimpan kalau semuanya akan mendatangkan rasa terkilan berpanjangan.
“Fira, buat apa tu?” Tiba-tiba satu suara menegur.
Fira bingkas bangun seraya memandang ke sekeliling. Suara siapa pulak tu? Rumah ini dan rumah Aunty Mimi dipisahkan oleh tembok batu setinggi enam kaki. Jadi, agak mustahil untuk sesiapa pun melihat apa yang sedang dia buat. Nak kata papa, sah-sah papa tiada di rumah. Lagipun itu bukan suara papa.
“Ooii... kat sini la,” laung suara itu lagi. Serentak itu sebiji rambutan mengena lengan Fira.
Fira mendongak ke arah pagar sebelah. Di atas  pokok rambutan rumah Aunty Mimi, Johan sedang duduk atas satu dahan sambil mulutnya mengunyah buah rambutan.
          Eiii! Abang Johan. Macam mana boleh terserempak dengan dia pulak ni? Nanti macam-macam pula dia tanya. Abang Johan tu kan jenis suka menyoal. Kalau sekadar bertanya, tak apalah juga. Tapi Abang Johan tu suka menyakat juga. Lagi dimarah, lagilah kuat dia menyakat. Suka sangat tengok Fira marah agaknya. Sebetulnya sudah lama mereka berjiran iaitu sejak dia di bangku sekolah rendah lagi. Tapi dulu-dulu, Abang Johan tu jenis yang menyombong. Usah kata nak menegur, senyum pun tak pernah. Dia tidak seperti abangnya Yusof dan adiknya Muzaffar yang memang peramah dan murah dengan senyuman. Tapi lama-kelamaan sikapnya yang sombong itu beransur-ansur hilang. Tapi itulah... bila dah tak menyombong, Abang Johan jadi terlebih peramahlah pula. Kadang-kadang naik penat melayannya.
Ikutkan, Fira nak berlari masuk ke dalam rumah. Yalah sebelum Abang Johan bertanya macam-macam lebih baik dia cepat-cepat selamatkan diri. Tetapi memikirkan lubang yang belum berkambus, niatnya terpaksa dibatalkan.
“Assalamualaikum.”
Fira tak jawab. Kerja mengambus diteruskan tanpa mempedulikan Johan.
“Tak jawab dosa.”
“Waalaikumussalam.” Fira jawab perlahan.
“Fira tanam apa tu?” tanya Johan.
Fira buat-buat tak dengar. Sibuk aje Abang Johan ni.
“Fira... abang tanya ni.”
“Mana ada tanam apa-apa?”
“Laa... nak menipu pun agak-agaklah. Abang nampak kut.”
“Abang Joe jangan menyibuk pasal Fira la.”
“Eh! gambar mamat mana tu Fira?” soal Johan lagi seraya jari telunjuknya ditalakan ke arah gambar bersaiz 4R itu.
Automatik matanya Fira kalih dari lubang yang sedang dikambus. Melilau mencari gambar yang Johan maksudkan. Lalu pandangannya tertancap pada gambar Nazim yang berbingkai kayu tidak jauh dari situ. Hisy! Macam mana gambar mamat ni boleh tercicir pulak? Laju dia mencapai gambar itu lalu dimasukkan ke dalam kotak yang sudah sedikit terkambus.
 “Eh! kenapa tanam gambar tu? Tak baik buat macam tu. Kalaulah mamat tu tau apa yang Fira buat, mesti dia sedih,” ujar Johan seraya ketawa.
“Siapa lelaki tu? Boyfriend Fira, eh?”
Busy body betul la Abang Joe ni. Jangan banyak tanya boleh tak?” Fira menjawab.
“Laaa... dah tak tau, mesti la kena tanya.”
Fira mencebik. Tak perlu layan kut Abang Johan tu. Lagi dilayan, lagi lambat kerja dia selesai.
“Haaa... abang rasa abang dah faham cerita dia macam mana. Fira putus cinta, kan? Ini mesti tengah frust menonggeng la ni. Itu sebab Fira pergi tanam semua pemberian ex-boyfriend Fira termasuklah gambar dia sekali. Konon tak nak ada kenangan  dengan dia. Betul tak?”
Muka Fira yang cerah cepat benar bertukar merah. Walaupun hanya Abang Johan, dia tetap rasa malu. Bila Abang Johan dah tahu, tak mustahil dia akan beritahu sahabat baiknya. Siapa lagi kalau bukan Affan? Mereka tu kan dah berbaik sejak dari kecil lagi. Kalaulah nanti Abang Johan betul-betul beritahu Affan, habislah. Mana nak letak muka ni? Lagi teruk kalau Affan bagi tau Dian pula.
“Abang Joe jangan menyibuk boleh tak? Bukan ada kena mengena degan Abang Joe pun.” Fira jadi geram pula. Makin dia diam semakin menjadi-jadi pula Johan ni. Dahlah suara kuat bukan main. Sengaja nak bagi semua orang kat perumahan ni dengar agaknya.
Johan sengih. Tak ambil hati pun.
Fira meneruskan kerjanya walaupun sangat geram dengan Johan. Lantak Abang Johanlah. Yang penting, dia mahu selesaikan kerja ni cepat-cepat. Lepas tu masuk ke dalam rumah.
Lubang dikambus. Selesai urusan mengambus, Fira mencapai dua batang ranting kering dari tepi tembok. Rasanya ranting dari pokok rambutan yang Johan sedang berada di atasnya. Lalu dicucuk di atas lubang tadi. Satu di sebelah kanan, satu lagi di sebelah kiri. Okey, kerja sudah selesai. Sekarang dah boleh masuk dalam rumah.
 “Sampai hati Fira buat macam tu. Tak baik tau.” Johan kembali ketawa. Rasa lucu sungguh dengan apa yang Fira buat. Kut ya pun marah sangat dengan mamat tu, takkan sampai buat kubur. Siap ada nisan lagi. Parah betul budak Fira ni.
“Suka hati Abang Joe la nak cakap apa pun,” ujar Fira seraya berjalan ke muka pintu.
 “Laa... kat sini kau rupanya Joe. Puas la aku dengan mama kau cari. Kau buat apa kat atas pokok tu? Kalau setakat nak petik rambutan bagi kat aku, tak payahlah. Kat rumah aku pun ada pokok rambutan.”
Suara Affan yang kuat itu buat Fira jadi menggelabah. Langkahnya semakin dilajukan. Tetapi dia tidak terus masuk ke dalam rumah. Dia menempel di sebelah pintu. Bukan apa... saja nak pasang telinga. Manalah tau kalau-kalau Abang Johan mengadu pasal perbuatan dia tadi dekat Affan. Kalau betul, siap Abang Johan.
“Kau bercakap dengan siapa tadi, Joe?” Affan menyoal. Kepala mendongak kepada Johan yang sedang turun dari pokok.  
“Fira.”
“Rancak bukan main aku dengar. Kau orang bercakap pasal apa?”
“Adalah... sibuk nak tau,” balas Johan yang sudah pun turun dari pokok.
“Tak nak bagi tau sudah.” Affan mencebik.
Mereka berjalan ke bahagian hadapan rumah.
“Kau dah nak balik ke?”
 Affan angguk. “Diam-diam aje hilang. Ingatkan dah kena culik ke apa?”
 “Siapa la nak culik aku ni? Bercakap tu guna akal sikit Fan.”
“Manalah tau kut-kut ada mak cik yang berkenan nak buat menantu.” Affan gelak.
“Jangan nak merepek sangatlah, Fan. Nah! rambutan. Aku saja ambil untuk kau.”
“Laa... tak payah. Kan aku dah cakap kat rumah aku pun ada  rambutan.”
“Orang dah bagi. Ambil aje la.”
“Yalah, terima kasih.” Affan mengambil beg plastik berisi buah rambutan yang Johan hulur.
“Balik rumah kau atau rumah umi kau?”
“Balik rumah umi. Sejak hari tu aku belum balik-balik lagi. Umi dah bising.”
“Kau tau tak, kau tu memang mengada-ngada. Dah duduk dengan famili, gatal nak duduk rumah sendiri. Kalau aku jadi umi kau pun aku marah.”
Affan tayang sengih. Katalah apa pun, dia tak ambil hati langsung. Sejak kecil mengenali, mereka jadi sangat akrab. Tidak keterlaluan kalau dia kata, dia sudah  kenal Johan luar dan dalam. Malah persahabatan mereka jadi  semakin kukuh dan utuh apabila mereka bergabung menubuhkan syarikat pula sejak dua tahun yang lalu. Syarikat yang dinamakan Teguh Sendirian Berhad bergerak sebagai kontraktor binaan dan sehingga kini banyak menimba pengalaman dalam bidang pembinaan berskala kecil dan juga kerja-kerja sub yang diperolehi dari kontraktor utama lain.
“Sampai sekarang aku tak faham, kenapa kau pergi pindah duduk kat Templer Park tu. Nak kata ada awek cun kat sebelah rumah kau tak ada pulak. Aunty Kemala dengan Uncle David aje yang ada pun.”
Kali ini Affan ketawa pula. Johan dah mulalah la tu. Tak habis-habis dengan isu pindah rumah. Sama juga macam umi yang asyik mengungkit tentang hal itu. Kata umi, dia tak kisah pun Affan beli rumah. Nak beli berapa banyak dan dekat mana pun tak apa. Tapi kenapa perlu pindah? Jarak rumah mereka di Kampung Melayu, Batu 16 Rawang dengan Templer Suasana di Templer Park dekat sangat. Dalam sepuluh minit berkereta dah boleh sampai.
“Hah! Tengok... bila orang cakap kau gelak.”
“Yalah... kau tu dah jadi macam umi aku dah. Membebel aje. Dah la... malas layan kau. Aku nak balik.” Affan membuka pintu keretanya.
“Kesian Fira,” ujar Johan tak semena-mena.
“Kenapa?” Affan tak jadi nak masuk dalam kereta.
“Dia putus cinta.”
“Memandai aje kau.”
“Betul, aku tak tipu.”
“Dia bagi tau kau ke?”
“Budak tu nak bagi tau aku? Bertuah.”
“Dah tu... mana kau tau?”
“Tadi masa aku kat atas pokok rambutan, aku nampak dia tanam kotak kat belakang  rumah.”
“Apa kaitan tanam kotak dengan putus cinta? Aku tak nampak pun ada kaitan kat situ.” Affan menyoal. Entah apa-apa Johan ni. Boleh pula dia terfikir begitu. Tak logik langsung.
“Apa pulak tak ada kaitan? Dalam kotak tu barang-barang kenangan dia dengan ex-boyfriend dia la agaknya. Yang aku syak tu, sebab gambar mamat tu pun dia tanam sekali. Depan mata aku bro dia tanam.”
“Laa... ya ke? Boleh pulak dia terfikir nak buat macm tu? Pertama kali aku dengar ni. Pelik la budak tu.”
“Pelik kan?” Sudahnya dua-dua pakat ketawa.

SUDAH sepuluh minit tapi pandangannya tetap berada di perenggan yang sama, pada halaman yang sama. Apa yang dibaca langsung tidak masuk ke kepala. Sudahnya buku dikatup lalu diletak atas riba. Terus terang, sejak putus dengan Nazim, dia jadi hilang minat untuk berbuat apa sahaja. Bukanlah memikirkan Nazim sangat pun... tapi entahlah. Dia sendiri tak faham dengan keadaan itu. Masa dia sekarang banyak terbuang dengan bermenung. Bukan tak cuba untuk sibukkan diri dengan game, buku, keluar bersiar-siar tapi semua itu tidak mampu memberi dia kegembiraan dan keseronokan. Dia tetap rasa sepi. Hatinya tetap rasa kosong.
          “Patutlah tak dengar nenek panggil. Kat sini rupanya Fira.”
          Fira berpaling kepada nenek yang sedang melangkah mendekati buaian di mana dia sedang duduk.
          “Nenek panggil Fira ke tadi? Sorry, tak dengar.”
          “Ada pengat labu kat dapur, mari makan.” Nenek labuhkan punggung di sebelah Fira.
          “Pengat labu?” Mata Fira bersinar. Suaranya girang. Sudah lama dia tak makan pengat labu hasil tangan nenek. Makanan yang suatu waktu dahulu pernah menjadi kegemarannya.
          “Kejap lagi la nek.” Hanya sekejap rasa teruja muncul. Tiba-tiba dia rasa tak berselera pula. Mesti bibik yang masak pengat tu. Bibik masak mana sedap sangat?
          “Jom la. Penat aje nenek masak tau?” Nenek memujuk.
          “Nenek ke yang masak?”
          “Yalah. Nenek masak istimewa untuk Fira tau?”
Fira pandang nenek dengan rasa tak percaya. Nenek masakkan istimewa untuk dia? Betul ke? Dia tak silap dengar?      
“Janganlah pandang nenek macam tu. Nenek tau la nenek cantik.” Nenek mengusik. Senyuman mekar di bibir nenek dan ketika ini nenek benar-benar kelihatan cantik di mata Fira.
Dengan mata bergenang Fira gelak sedikit. Dah lama nenek tak bercakap selembut itu dengan dia. Dah lama nenek tak masakkan pengat labu kegemaran dia. Dah lama dia tak bermanja dengan nenek dan paling penting, dah lama sangat dia tak bergurau senda dengan nenek macam sekarang. Sejujurnya, dia sangat terharu. Rasa dah dapat balik nenek yang dia sayang.  
“Laa... kenapa ni? Sepatutnya Fira seronok nenek masakkan pengat labu tu. Ni nak sedih-sedih pulak.”
“Nenek...” Tangisnya meletus, lantas merangkul nenek erat.
“Kenapa ni, Fira? Fira ada masalah ke?” Nenek kaget. Dia jadi risau pula dengan cucu yang seorang ni. Dahlah seminggu dua ni sikap Fira amat berlainan sekali. Fira jadi pendiam, banyak termenung, malah dengan Danish juga Fira dah tak marah-marah sangat seperti selalu.
“Kalau ada masalah, Fira cakap dengan nenek. Nenek dengar, sayang.” Nenek mengusap-usap belakang cucunya.
“Tak ada apalah nek. Fira okey.” Tangan yang merangkul nenek dilepaskan dan dia kembali ke posisi tadi. Sebetulnya dia sendiri tak menyangka dia boleh menangis beria-ia macam tu. Memanglah dia terharu dengan sikap baik nenek malam ini tapi macam melampau sangat pula reaksi yang ditunjukkan. Malu pula rasanya dekat nenek.
“Mesti ada apa-apa, cakap la dengan nenek.” kata nenek. Pipi Fira yang basah dilap dengan jemarinya.
“Betul, nek... tak ada apa-apa.”
“Tak nak cakap pun tak apa. Siapa la nenek ni.”
“Alah, nek... janganlah cakap macam tu. Fira sayang nenek tau? Sayang sangat-sangat.” Lagi sekali badan nenek dipeluk. Kedua-dua belah pipi nenek pula dicium bertalu-talu.
“Nenek tau. Nenek pun sayang Fira juga.” Giliran nenek pula mencium Fira.
Hatinya jadi tersentuh dengan ucapan nenek itu. Rasa bahagia sungguh.
“Tapi nenek macam dah tak sayang Fira aje sejak akhir-akhir ni. Selalu marah-marah Fira. Sedih tau tak, nek?” Kepalanya Fira sandarkan ke bahu nenek. Lengan nenek pula dipeluk kemas.
“Nenek marah bukan sebab nenek dah tak sayang Fira. Tapi nenek nak Fira jadi lebih baik dari Fira yang sekarang. Nenek nak Fira jadi anak yang baik, cucu yang baik, kakak yang baik dan akan datang, isteri dan ibu yang baik jugak. Cuma mungkin cara nenek yang tak betul.”
“Fira ni teruk sangat ke, nek?”
“Taklah... Fira tak teruk. Cuma ada perkara yang Fira perlu perbaiki pada diri Fira. Itu aje.”
Fira tau nenek sengaja cakap macam tu sebab tak nak bagi dia terasa hati. Dia sedar diri, dia memang teruk dan serba-serbi kekurangan. Tapi tak apalah, malas nak fikir tentang itu. Buat masa sekarang dia cuma nak bermanja-manja dengan nenek. Tentang hasrat nenek yang mahu dia jadi lebih baik akan difikirkan kemudian.
“Nek...” panggil Fira, manja.
“Apa dia, sayang?”
“Nak makan pengat labu.”
Nenek ketawa mengekek. Ingatkan apalah tadi. “Jom...” Nenek bangkit dari buaian. Fira juga.
“Nenek suapkan tau.”
“Yalah... nenek suapkan.”
Seraya memeluk lengan nenek, Fira melangkah ke dalam rumah. Hati rasa bahagia sungguh. Dah lama dia tak rasa macam ni.

No comments: