Friday, June 5, 2015

Sabarlah Duhai Hati (Bab 12)



JARI telunjuknya menari-nari atas skrin. Membuang semua kenangan bersama lelaki itu. Segala foto, SMS, emel, WhatsApp dan apa sahaja yang berkaitan dengan Nazim semuanya telah dilenyapkan dari telefonnya. Dari laptop juga. Malah, dia sudah mengumpulkan semua pemberian Nazim ke dalam kotak. Tunggu masa untuk dihumbankan ke dalam tong sampah besar di hadapan rumah. Tak pun kuburkan saja kat bawah pokok belakang rumah. Kalau boleh dia tidak mahu ada sebarang memori pun bersama lelaki itu. Dia tak nak ingat lelaki itu lagi. 
           Tiba-tiba mata rasa hangat. Air mata merambu lagi ke pipinya. Sejak tengah hari tadi, entah sudah berapa kali dia membazirkan air mata buat Nazim.  Dia cuba untuk tidak menangis... dia cuba untuk tidak fikir langsung tentang lelaki itu, tapi tak boleh. Semakin dicuba, semakin banyak dia ingat. Semakin dia ingat, semakin sedih rasa di hati. Sampai sekarang, dia masih tak percaya dengan apa yang telah lelaki itu lakukan. Tergamaknya Nazim buat macam tu.
“Nur Syafira... tolonglah jangan nangis. Tolong jangan lemah. Biarlah dia bahagia dengan orang yang dia pilih. Kau akan dapat lelaki yang jauh lebih baik daripada dia. Ramai lagi lelaki yang nak dengan kau. Tak bagus mana pun Nazim tu. Kalau dia bagus, dia takkan buat kau macam tu.” Fira cuba pujuk hati, namun semakin banyak dia bersuara, semakin lebat air mata yang menimpa pipinya. Dia tidak boleh terima apa yang Nazim telah lakukan. Tak kisahlah atas alasan apa sekali pun, Nazim tak patut buat macam tu. Perbuatan lelaki itu tidak boleh dimaafkan.
“Nazim jahat, Nazim penipu, Nazim pembohong.” Bantal peluk di atas katil dicapai lalu ditumbuk dengan sekuat tenaga, tanpa henti-henti sambil membayangkan dia sedang menumbuk muka Nazim. Biar muka yang konon lawa tu jadi cacat. Biar perempuan yang nak jadi bini dia tu akan jadi benci dan menyampah bila tengok muka Nazim.
Fira hanya berhenti menumbuk apabila terasa penat. Sambil berbaring atas katil, dia menangis lagi. “Tak apa, hari ni kau buat aku, Nazim. Esok-esok orang lain pulak buat kau. Kau tengoklah  nanti. Masa tu kau jangan cari aku, kau jangan nak mengadu dengan aku. Tak kuasa aku nak layan.”
Hati yang baru nak tenang jadi geram bila terpandang gambar foto Nazim di sebelah kaki almari. Lelaki itu seperti sedang mengejek dia. Entah dari mana munculnya gambar itu, dia memang tak perasan. Mungkin dari dalam laci semasa dia keluarkan barang-barang pemberian Nazim tadi. Tak kisahlah dari mana pun, yang pasti  dia tak nak pandang wajah itu lagi. Dia tak nak tengok muka kaki pembelit itu lagi. Dia turun dari katil, mengambil gambar foto itu lalu dicampakkan ke dalam kotak. Duduklah kat dalam tu sebelum aku tanam kau hidup-hidup.

SEPERTI selalu, bila tengah sedih macam ni, Nicklah yang dia cari.

Assalamualaikum. Awak sibuk ke Nick?

Tak sampai seminit, jawapan lelaki itu mengunjungi telefonnya.

Waalaikumussalam... taklah sibuk mana. Kenapa Fira?

Jari jemari yang ralit menekan huruf-huruf terhenti. Tiba-tiba Fira rasa macam tak patut pula melibatkan Nick dalam hal ini. Memanglah selama ini Nick tempat dia mengadu tapi kali ini rasa macam tak sanggup pula nak bercerita. Malu pun ya juga.

Awak ada nak cakap apa-apa ke dengan saya?

Nick dah tanya tu, jawab sajalah. Pantas Fira menaip sambungan ayat yang terhenti tadi.

Saya tengah sedih ni. Dah banyak kali nangis hari ni.

Sedih? Kenapa? Pasal Danish lagi ke?

Bukan

Habis tu?

Saya dah putus dengan Nazim. Dia dah tinggalkan saya.

Sambil menaip ayat itu, mata Fira tiba-tiba rasa panas. Rasa macam nak menangis.

Kenapa boleh jadi macam tu pulak? Bukan dia cakap nak kahwin dengan awak ke?

Memanglah tapi itu sebelum ni. Sekarang kami dah tak ada apa-apa lagi.

Sabar ajelah...nak buat macam mana kan?

Sabar! Itu sahajakah yang Nick boleh cakap? Takkan langsung tak ada kata-kata semangat dan motivasi. Takkan tak nak tanya, kenapa dan atas alasan apa Nazim buat keputusan itu? Benci tau? Menyesal bagi tau Nick tadi. Lantas telefon dicampak atas katil. Hilang nafsunya untuk sambung bersembang dengan Nick. Namun beberapa minit kemudian, mesej datang lagi mengunjungi telefonnya.

Awak dah tidur ke?

Dengan tak bersemangat, Fira membalas.

Belum.

Dah tu... kenapa diam aje?

Saja

Kenapa ni, lain macam aje? Marah saya ke?

Taklah... buat apa nak marah? Cuma sedih dengan diri sendiri.

Janganlah sedih. Awak sabar ya. Tak jadi dengan Nazim, tak semestinya awak tak boleh bahagia. Mungkin jodoh awak dengan orang lain. Orang yang jauh lebih baik daripada Nazim.

Pandai pun pujuk. Macam itulah. Barulah ada semangat sikit.

Awak tolong doakan saya ya?

Insya-Allah. Saya tak pernah lupa doakan awak, Fira.

Terima kasih... sayang awak.

Sama-sama kasih. Sayang awak juga.

  

No comments: