Wednesday, June 17, 2015

Sabarlah Duhai Hati (Bab 17)



“OPAH nak belanja Fan makan? Macam tak percaya aje.” Affan yang berada di tempat pemandu tersenyum seraya pandang opah yang duduk di sebelah.
“Mentang-mentang opah dah lama pencen, Fan ingat opah tak mampu ke nak belanja Fan makan?”
Affan sambut ucapan upah dengan tawa. Ke situ pula perginya opah ni. Padahal dia cuma nak mengusik. Dia tahulah opah ada duit. Maklumlah, opah kan pernah bekerja sebagai seorang jururawat. Ditambah lagi dengan harta peninggalan arwah atuk. 
Berbalik kepada ajakan opah malam ini. Affan syak, opah bukanlah nak belanja dia makan sangat tapi nak memujuk rayu supaya dia setuju berkahwin dengan Nadia. Kalau betul apa yang berada di fikirannya, dia sudah bersedia dengan jawapan. Tak kisahlah opah nak marah atau mengamuk sekalipun dia tetap dengan keputusannya.
“Opah nak ajak Fan makan kat mana ni?”
“Suka hati Fanlah... opah ikut aje.”
“Fan bawa opah pergi Kampung Baru boleh?”
“Boleh,” balas opah. “Tapi sebelum tu kita singgah rumah mak ngah sekejap.”
“Kenapa, mak ngah nak ikut ke?” Hati Affan dah rasa semacam. Tadi opah cakap hanya dia seorang yang akan keluar dengan Affan. Ni apa hal pulak tiba-tiba nak ajak mak ngah sekali? Dahlah belakangan ni mak ngah dingin semacam aje dengan dia.
Opah tak jawab sepatah pun. Dia hanya senyum.
Sudah hampir sepuluh minit kereta Affan berhenti di hadapan rumah berkembar dua tingkat itu, tetapi Mak Ngah Shima tetap tak keluar-keluar. Affan jeling opah di sebelah. Nak tengok reaksi neneknya itu. Tapi opah selamba sahaja. Tak nampak tanda-tanda marah langsung. Cuba kalau umi yang buat macam tu, tak berhenti membebel agaknya opah. Nampak tak sikap pilih kasih opah dekat situ? Dia pun tidak faham kenapa opah selalu melayan umi dengan buruk. Dalam segala hal, opah selalu lebihkan mak ngah. Tapi yang agak menghairankan,  dalam opah tak sukakan umi, dia sendiri selalu mendapat layanan istimewa opah. Malah dalam ramai-ramai cucu opah, dia yang sering opah ajak kalau mahu ke mana-mana. Lebih-lebih lagi sejak ketiadaan atok.
“Lamanya mak ngah tu. Dia tau tak kita ada kat luar ni?” Affan jadi hilang sabar.
“Tau, sekejap lagi keluar la tu. Belajar sabar sikit, Fan.”
Seseorang keluar dari pintu rumah tapi bukan mak ngah, sebaliknya Nadia yang bukan main bergaya lagi dengan dress berwarna merah. Dia yang sememangnya tinggi kelihatan semakin tinggi pula dengan kasut tumit tiga incinya. Muka yang sedia putih, jadi semakin melepak dengan solekan yang agak tebal dari biasa. Tudung pula sarat dengan batu dan manik. Memang bergaya habislah. Dah rupa model yang sedang peraga pakaian muslimah pula.
“Cantik betul Nadia tu kan, Fan? Tinggi lampai, kulit putih melepak, hidung mancung, bentuk badan pun cantik.” Bukan main lagi opah memuji. Lepas tu senyum-senyum dekat Affan, nak dengar komen cucunya pula.
Affan buat-buat tak dengar ucapan opah itu. Kalau pun betul Nadia cantik, apa kena mengena dengan dia? Setakat cantik luaran tapi perangai menyakitkan hati, buat apa?
“Untung Fan dapat dia.”
Ayat opah itu buat Affan rasa nak termuntah masa itu juga. Tolonglah jangan keluarkan lagi kenyataan macam tu, opah oii. Tak suka!
“Bukan opah kata mak ngah yang nak ikut kita? Itu, apasal pulak Nadia yang keluar?” Affan suarakan rasa tidak puas hatinya. Melihat senyuman di bibir opah, dia dapat agak opah telah rancang benda ni dari awal. Dengan penglibatan mak ngah dan Nadia tentunya. Silap dia juga sebab tidak berhati-hati. Macamlah tak pernah terkena sebelum ni.
“Laa... manalah opah tau.”
Ya la tu. Macamlah dia budak kecil senang-senang opah nak tipu.
Tiba-tiba opah buka pintu kereta.
“Opah nak pergi mana pulak tu?”
“Biarlah Nadia duduk kat depan. Opah kat belakang, ya?”
“Opah duduk ajelah kat depan ni. Dia nak ikut sangat kan... biar ajelah dia kat belakang.”
Opah tetap turun dari kereta.
Affan merengus. Geram jangan cakaplah. Nasib baik opah, kalau orang lain, memang dia tinggalkan aje kat sini. Biar dua-dua tak payah ikut.
“Hai, Fan! Terima kasih ajak aku keluar.” Bukan main girang suara Nadia seraya duduk di tempat opah tadi. Bau wangian semerbak memenuhi ruang dalam kereta.
Affan tak jawab sepatah pun. Hatinya betul-betul sakit sekarang ni. Yang Nadia ni pun satu hal juga. Dah macam-macam yang dia cakap, dah terang-terang dia tolak, masih lagi tak serik-serik. Sampai dia dah tak tahu nak buat macam mana lagi untuk buat Nadia faham. Kadang-kadang dia rasa kasihan juga dekat sepupunya ni. Bukan tak ada lelaki yang nak dekat dia... ada. Malah ada yang datang merisik pun. Yalah, orang cantik, kan? Tapi Nadia tolak semua lelaki itu dengan alasan dia mahu ikut cakap opah.
         “Opah, masuklah. Kenapa berdiri aje kat situ?” Affan menjengahkan sedikit kepalanya ke arah pintu sebelah Nadia yang masih belum ditutup.
         Tanpa sebarang jawapan, opah berjalan mendekati pintu sebelah pemandu.
         Cermin tingkap Affan turunkan. “Kenapa, opah?”
“Opah tak jadi pergilah Fan. Fan pergi ajelah dengan Nadia.”
“Kenapa tak jadi pulak? Kata nak belanja Fan makan.” Hati semakin rasa nak marah. Kan betul apa yang dia fikir tadi? Opah memang rancang benda ni. Opah sengaja nak beri Nadia peluang untuk keluar berdua-duaan dengan dia. Tak pun Nadia sendiri yang plan benda ni. Tak dapat jayakan sendiri, dia guna opah pula. Kalau betul, dia orang ni memang bijak, memang licik. Lagi sekali dia terkena.
“Tiba-tiba opah rasa tak sedap badan.”
Ingat dia nak percaya ke? Macamlah dia tak boleh baca helah opah. Masa ini la pulak tak sedap badan.
“Jalan ajelah, Fan. Opah tak nak ikut.” Nadia menyampuk.
Cermin tingkap dinaikkan semula. Lantas keretanya dibawa pergi dari situ. Tak rasa pun nak balas lambaian tangan opah. Yalah, tak patut sangat perbuatan opah tadi.
         “Kita nak makan kat mana ni, Fan?” tanya Nadia beberapa minit selepas itu.
         Affan diam. Tak kuasa nak jawab. Marahnya masih belum hilang. Kerana opah, dia sanggup tak pergi ke majlis perkahwinan Razif, teman sewaktu di universiti dahulu. Konon tak nak bagi opah merajuk, tak nak bagi opah marah. Sudahnya dia sendiri yang marah dengan helah opah.
         “Fan, aku tanya ni. Tak dengar ke?”
         “Sukalah kau dapat kenakan aku, kan?” marah Affan.
         “Apa maksud kau?”
         “Kau ingat aku tak tau plan kau dengan opah?”
         “Apa plan aku pulak? Opah cakap, kau yang ajak aku keluar.”
         “Aku ajak kau keluar?” tengking Affan. “Kalaupun betul opah cakap macam tu, kau tak ada otak ke? Takkan kau tak boleh fikir kut. Tak ada maknanya aku nak keluar dengan kau.”
         Nadia renung Affan, lama. “Fan... kenapa kau benci sangat dengan aku? Teruk sangat ke aku ni? Tak layak sangat ke aku untuk kau?” Sayu suara Nadia. Sejujurnya dia sangat sedih dengan Affan. Lelaki itu tidak pernah melayannya dengan baik. Malah setiap patah perkataan yang keluar dari mulut Affan sering sahaja melukakan hatinya. Ikutkan rasa sedih dan kecil hati, dah lama dia tarik diri. Dah lama dia buang Affan dari hatinya. Tapi tak boleh. Dia terlalu sayangkan Affan. Sejak awal lagi, hanya Affan yang dia cinta. Hanya Affan yang diimpikan sebagai suami.
         “Sampai hati kau, kan? Macamlah aku ni hina sangat,” sambung Nadia apabila Affan tidak beri respons untuk pertanyaannya sebentar tadi. “Tak boleh ke kau layan aku macam dulu-dulu. Fan? Susah sangat ke?”
         “Kau tu pun tak boleh ke layan aku macam dulu-dulu jugak? Macam mana kau layan sepupu-sepupu kita yang lain?”
         “Memang tak boleh. Kau tak sama dengan dia orang. Opah nak jodohkan kita. Kita akan jadi suami isteri, kau faham tak?”
         “Memang aku faham kehendak opah. Yang aku tak faham, kenapa kau beria-ia sangat nak ikut rancangan tak masuk akal tu?”
         “Aku hormat opah... aku tak nak jadi cucu derhaka, sebab tu aku ikut.”
         Walaupun masih marah, Affan tak dapat tahan diri dari ketawa. Lucu sangat kenyataan Nadia tu. “Kau ingat aku nak percaya? Cakap mak kau pun kadang-kadang kau lawan. Cakap opah pulak kau nak kena ikut?” Bukan dia tak tahu macam mana perangai Nadia tu. Mereka membesar sama-sama. Segala buruk baik Nadia ada dalam pengetahuan dia.
         Nadia terdiam. Tahu yang dia telah terlajak kata.
         “Mengaku ajelah yang kau tu suka aku... cintakan aku. Habis cerita.” Affan ketawa sinis.
         “Memang pun. Memang aku suka kau, cintakan kau. Sebab itulah aku tak layan lelaki lain. Sebab itu sampai sekarang aku tak kahwin-kahwin. Aku tunggu kau, Fan.” Selepas berkata begitu, Nadia menangis teresak-esak.
         “Aku cintakan kau, Fan. Cinta sangat-sangat.” Dalam esakannya dia menyambung.
         Affan tergamam. Pengakuan itu tidaklah memeranjatkan sangat memandangkan dia sudah lama syak. Tapi mendengar esak tangis Nadia, dia jadi bersimpati sekali. Juga rasa terharu kerana Nadia sudi mencintai dia, lelaki yang biasa-biasa ini. Entah apa agaknya yang Nadia pandang pada diri seorang Muhammad Affan, dia tak punya jawapan.
         “Kau anak yang dengar kata, kau hormat orang tua, kau jaga solat dan kau baik sangat walaupun dengan aku kau tak pernah nak buat baik pun. Semua ciri yang aku nak ada pada kau. Kau handsome, tinggi... sepadan dengan aku yang tinggi ni. Tapi sayang, kau tak pernah pandang aku. Kau tak pernah suka aku. Aku kecik hati, Fan.” Tangisan yang sudah reda kembali memenuhi ruang dalam kereta. Seperti yang dinyatakan baru sebentar tadi, dia betul-betul berkecil hati dengan sikap dan layanan Affan selama ini.
         Affan hilang kata. Begitu sekali Nadia memujinya. Padahal dia tak rasa dia bagus sangat.
          “Dahlah... tak naklah macam ni, Nadia. Tak nak nangis-nangis.” Affan cuba pujuk.
         “Fan... kita kahwin, eh?” Tanpa menghiraukan pujukan Affan, Nadia membuat permintaan itu. Tangannya mencapai lengan Affan.
         “Jangan macam ni, Nadia.” Affan menarik lengannya perlahan.
         “Kahwin dengan aku, Fan. Aku janji aku akan jadi isteri yang baik untuk kau.”
         Affan tarik nafas dan hembus perlahan-lahan. “Nadia, kau dengar sini baik-baik aku nak cakap.”
         Nadia menarik hujung tudungnya lalu mengesat pipinya yang basah. “Apa dia?”
         “Benda ni aku dah cakap banyak kali dan aku harap biarlah ini kali terakhir aku cakap. Aku dah penatlah nak cakap benda yang sama aje.”
         Muka Nadia jadi mendung semula. Walaupun Affan belum sebut, dia boleh agak apa yang bakal terbit dari mulut lelaki itu.
         “Mulai sekarang, aku mintak sangat-sangat kau lupakan aku. Aku yakin, kau akan jumpa lelaki yang baik dan boleh terima kau.” Lembut kali ini bicara Affan.
         “Aku tak nak orang lain, aku nak kau.”
         Affan mengeluh. Kenapalah degil sangat Si Nadia ni. “Nadia... tolonglah jangan jadi budak kecil. Hari tu kau juga yang cakap, kau boleh dapat lelaki yang jauh lebih bagus dari aku, kan? Takkan kau dah lupa?”
         “Masa tu aku tengah marah. Aku main cakap aje.”
         “Kau kena terima hakikat yang kita memang tak ada jodoh, Nadia. Jodoh kau dengan orang lain... aku dengan orang lain.”
         “Kau dah ada orang lain ke?”
         Dengan yakin Affan angguk. “Nanti kau tolong bagi tau opah dengan mak kau, aku tak dapat terima cadangan dia orang sebab aku dah ada pilihan sendiri. Insya-Allah, kalau diizinkan Allah, aku akan kahwin dengan dia.”.
Nadia tak jawab. Terus-terusan wajah Affan direnung. Hanya Tuhan tahu betapa kecewanya dia dengan pengakuan itu. Sedarlah dia bahawasanya Affan benar-benar tidak sudi dengan dia. Kini impian hanya tinggal impian. 


“BETUL Fira tak nak ikut?” tanya mama.
Fira angguk. “Lain kali ya Fira ikut?”
“Selalu tu bukan main seronok kalau dengar nak balik kampung. Ni kenapa tak nak ikut pulak?” soal mama lagi.
“Fira dah janji nak pergi hospital dengan Dian petang ni. Kawan kita orang baru lepas buat pembedahan.” Sebenarnya setakat nak melawat Syazwan kat hospital tu, bila-bila pun boleh. Lagipun dia dah melawat sebelum Syazwan buat pembedahan beberapa hari  yang lepas. Tapi mengenangkan Danish yang ada bersama, dia lebih rela tak ikut. Terus terang, sejak budak kecil tu wujud dalam kehidupan mereka, lebih-lebih lagi sejak Danish dah besar dan pandai bercakap, dia malas nak ikut mama dan papa ke mana-mana pun. Danish tu memang petah. Dahlah suka bertanya macam-macam. Walaupun sering kena marah, tetap juga nak bertanya dan mengajak dia berbual. Kalau mama dan papa tak ada,  memanglah dia tak layan. Malah dia boleh marah budak tu. Tapi kat depan mama dan papa, dia cuba elak dari berkasar dengan Danish.  Tak naklah dia orang berkecil hati pula.
“Kawan mana pulak ni?” tanya mama.
“Syazwan... kawan masa sekolah dulu.”
“Dia sakit apa?” Nenek pula menyampuk.
Accident.
“Teruk ke?”
“Teruk jugak la. Kaki, tangan patah. Lepas tu ada pendarahan dalam kepala.”
“Kesiannya,” kata mama lagi. “Kalau macam tu, Fira pergi aje la melawat dia. Tapi berani ke Fira tidur sorang-sorang kat rumah? Dahlah bibik tak ada.”
“Fira tidur kat rumah Dian. Fira dah bagi tau dia dah.”
“Kalau macam tu tak apalah. Tapi kalau ada apa-apa, telefon mama atau papa tau?”
“Yalah.” jawab Dian seraya memeluk dan mencium kedua-dua belah pipi mama. Mama juga berbuat perkara yang sama kepada Fira.
 “Nanti Fira jangan menyesal pulak. Kat kampung sekarang  ni musim durian.” Nenek yang hanya memerhatikan dari tadi, mengusik. Maklumlah, Fira kan penggemar durian nombor satu.
“Alah, nanti nenek bawak la sebiji dua untuk Fira.”
“Macam la nenek nak datang sini balik,” jawab papa pula yang baru menyertai mereka.
“Nenek tak nak datang sini lagi ke?” jerit Fira. Memang dia terkejut. Sebelum ini nenek tak pernah cakap apa-apa pun. Mama dan papa pun sama.
         Nenek angguk.
         “Sampai hati nenek, tak cakap dekat Fira pun.” Fira jadi berjauh hati pula. Air mata sudah hampir benar nak luruh.  Rasa macam nenek dah tak sayang dia lagi. Kalau betul sayang, kenapa tak nak datang ke sini lagi? Dia baru nak rapat semula dengan nenek, macam ini pula yang jadi.
         “Nenek tak rancang pun. Malam tadi Mak Su Wana telefon, minta nenek balik. Mak su kan dah dekat benar nak bersalin. Sebelum dia bersalin, nenek kena la ada kat kampung. Nanti siapa nak jaga baby? Nak uruskan dia dalam pantang nanti? Mak su tu pun macam Fira juga... semua benda dia tak reti buat,” sambil bercerita sempat lagi Hajah Maziah mengusik Fira.
         Fira tak marah pun dengan usikan nenek. Ketawa pun tidak. Cuma dia rasa sedih sangat. Yalah, selama nenek di sini, dia tidak pernah senangkan hati nenek. Sebaliknya selalu buat nenek marah-marah, selalu melawan cakap nenek. Tiba-tiba dia rasa sangat menyesal dengan tingkah lakunya selama ini. Tiba-tiba juga dia rasa macam nak halang nenek dari pergi.
         “Nenek... janganlah balik, nek. Jangan tinggalkan Fira.” Fira mula mengalirkan air mata. Badan nenek sudah berada dalam pelukannya.
         “Laa... kenapa nangis pula ni?” soal nenek seraya mengosok-gosok belakang cucunya.
         “Fira tau nenek selalu kecil hati dengan Fira. Fira kan suka lawan cakap nenek, suka buat nenek marah-marah. Fira tak dengar cakap, pemalas... tapi Fira janji Fira akan ubah sikap Fira. Fira takkan lawan cakap nenek lagi. Fira akan buat semua yang nenek suruh. Nenek datang sini balik tau?” Fira cuba memujuk. Dia sangat yakin, sikapnya selama inilah yang membuatkan nenek mengambil keputusan untuk balik terus ke kampung. Tentu nenek banyak makan hati dengan dia.
 “Alah, nenek tak pernah ambil hati pun dengan Fira. Nenek tau cucu nenek ni baik hati. Dahlah jangan nangis. Nenek janji... nenek balik tak lama. Nanti nenek datang sini semula, okey?” Nenek meleraikan pelukan. Pipi Fira yang basah disapu dengan tangannya.
“Betul nenek nak datang sini balik?”
“Betul,” balas nenek, tersenyum.
“Okey, nanti nenek balik sini, kita buat kerja sama-sama ya? Kemas rumah, masak, siram pokok...”
“Jaga adik...” Nenek mencelah.
“Ya la, jaga adik...” jawab Fira, terpaksa.
“Janji nak jaga adik ni?”
Perlahan-lahan Fira angguk. Biarlah... angguk sahaja. Biar nenek puas hati.
“Alhamdulillah... lega hati nenek dengar.” Senyuman nenek manis sungguh dan Fira rasa sangat bersalah. Tentu nenek ingat jawapannya betul-betul ikhlas.
“Dah la... kita orang dah nak bertolak dah ni. Fira jaga diri ya?” ucap papa lembut. Menarik Fira ke dalam pelukannya lalu mencium dahi gadis itu.
“Okey...” balas Fira. Tangan papa dicapai, lantas dikucup. Kemudian dia memeluk mama pula buat kali kedua.
“Tak nak cium adik?” Nenek bertanya lembut.
“Tak apalah... adik kan tengah tidur tu. Nanti terganggu pulak.” Fira beri alasan. Dia sekadar melihat Danish yang sedang nyenyak tidur dalam kereta.
Belum sempat mama, papa dan nenek masuk dalam perut kereta, Fira memanggil.
“Ada apa sayang?” soal papa.
“Fira nak minta maaf. Fira banyak dosa dengan papa, dengan mama, dengan nenek jugak.” Suara Fira sebak. Bersilih ganti memandang wajah ketiga-tiga mereka.
“Semua orang dah maafkan Fira. Betul tak mama, papa?” Nenek ketawa.
Dengan senyuman di bibir masing-masing, papa dan mama hampir serentak mengangguk. “Betul cakap nenek tu. Mama, papa dan nenek dah selalu maafkan Fira.”
“Alhamdulillah... terima kasih,” Fira angguk, lega.  “Bawak kereta elok-elok, pa,” pesannya pula apabila kereta mula bergerak meninggalkan kawasan rumah.
 

No comments: