Saturday, June 13, 2015

Sabarlah Duhai Hati (Bab 15)



TENGAH HARI itu Hajah Suhaily menelefon Laila beritahu hendak datang pada malam nanti. Katanya ada hal penting yang hendak dibincangkan. Lalu rancangan untuk keluar makan malam bersama Hafidz terpaksa dibatalkan. Laila agak terkilan juga. Maklumlah bukan senang untuk meluangkan masa berdua-duaan bersama suami. Nama sahaja mereka tinggal serumah tetapi Hafidz sentiasa sibuk. Sebagai seorang doktor, masa Hafidz banyak dihabiskan di kliniknya yang mempunyai tiga cawangan itu. Hanya beberapa jam sahaja dalam sehari mereke bertemu di rumah.
          “Apa dia hal penting yang mak nak bagi tau Laila tu?” Laila pandang Hajah Suhaily, kemudian pandang kakaknya Shima pula. Sebetulnya dia boleh agak apa hajat ibu dan kakaknya. Dah tentulah mahu ‘melamar’ Affan untuk Nadia. Kalaulah betul, dia sudah punya jawapan. Dia tidak bersetuju. Dia berpendapat, di zaman serba progresif ini, isu mengatur perkahwinan sepatutnya sudah tidak wujud lagi. Biarlah anak-anak yang menentukan sendiri siapa pasangan hidup mereka. Yalah, yang nak berkahwin kan mereka. Yang nak merasa asam garam hidup berumah tangga pun mereka juga. Dia pernah suarakan kepada Hajah Suhaily sebelum ini tetapi biasalah emak tu. Bukan nak dengar pun. Kata-kata dia juga yang betul. Sama naik dengan Kak Shima tu.
          “Kita kena cepat nikahkan Affan dengan Nadia. Tak boleh tangguh-tangguh lagi.” Serius benar suara dan rupa Hajah Suhaily.
          “Ya betul tu... Shima setuju dengan mak.” Shima menyampuk.
“Mak rasa elok kalau kita buat majlis tu bulan depan aje. Lagi cepat lagi bagus. Affan dengan Nadia pun bukan muda lagi.” Hajah Suhaily menyambung.
Laila pandang suaminya yang duduk di sebelah. Suaminya mengangguk. Memberi isyarat supaya Laila bercakap.
          “Mak... rasanya kita pernah bincang pasal ni, kan? Mak sendiri tau, Affan tak setuju dengan rancangan mak tu.” Selembut mungkin Laila menjawab. Cuba untuk tidak buat Hajah Suhaily marah atau berkecil hati. Tapi dia percaya, Hajah Suhaily pasti akan marah dan mengamuk. Maklumlah, selama ini tiada anak-anak yang berani membantah bicaranya. Setiap ucapannya berupa arahan. Bukan dia tak tahu sifat emak selama ini. Yalah, dia sendiri pun bukanlah anak yang suka melawan atau membantah. Apa yang dia rasa boleh ikut, dia akan ikut. Tetapi bila tiba dalam bab menentukan jodoh untuk anak-anak, dia tak rasa dia boleh berkompromi.
“Affan kena setuju.” Keras suara Hajah Suhaily.
“Betul kata mak... nak tak nak, Affan kena setuju.” Lagi sekali Shima menyampuk.
Sakit betul hati Laila dengan Kak Shima tu. Dari tadi tak habis-habis nak menyokong cakap emak. Nampak sangat dia yang lebih-lebih. Terus terang, kalau Nadialah... awal-awal lagi dia tolak. Jangan harap dia nak berbesan dengan Kak Shima tu. Memang mereka adik beradik, tapi dia tidak sukakan perangai Kak Shima yang perasan bagus tu. Malah Nadia sendiri dia tidak berkenan. Jangan harap dia nak buat menantu.
“Affan bukan budak kecil boleh kita nak paksa-paksa, mak. Dia dah dewasa... dah boleh fikir baik buruk.” Laila tak pandang pun muka Kak Shima. Malas. Dia hanya pandang muka Hajah Suhaily.
“Laila nak cakap rancangan mak ni lebih banyak buruk dari baik. Macam tu?” sergah Hajah Suhaily.
“Laila tak maksudkan macam tu, mak. Tapi pada Laila, biar la Affan atau sesiapa aje cucu mak pilih jalan hidup dia orang sendiri. Bukan apa, kalau berlaku apa-apa pada rumah tangga dia orang, tak naklah dia orang salahkan kita.”
“Laila jangan nak ajar mak. Selama ni dah berapa orang cucu-cucu mak yang kahwin sesama sendiri. Okey aje semuanya. Tak ada masalah pun.”
Dengar suara Hajah Suhaily yang semakin meninggi, Laila tahu emak marah. Tapi dia menyatakan hal yang sebenar. Tak ada niat pun nak menyinggung atau nak sakitkan hati emak. “Entah la mak. Laila pun dah tak reti nak buat macam mana lagi sekarang ni.”
“Benda mudah macam tu pun tak reti nak buat ke Laila? Kalau dah cara lembut tak jalan, kena la paksa. Anak-anak ni kena ikut cakap kita. Bukan kita yang kena ikut cakap dia orang.”
“Betul kata mak tu. Anak-anak memang kena ikut cakap kita. Shima rasa bersyukur sangat anak-anak Shima jenis yang dengar kata. Nadia tu bukan tak ada lelaki nak... berderet tengah tunggu dia. Tapi sebab dia dengar cakap mak, cakap Shima, dia tak layan pun lelaki-lelaki tu semua. Dia tetap tunggu Affan juga.”
Semakin banyak Shima berkata-kata, semakin kecil sahaja wanita itu di mata Laila. Nasib baiklah dia boleh bersabar. Kalau tidak, memang meletuslah perang dunia kat dalam rumah ni. Bercakap bukan main sedap lagi. Nadia anak yang mendengar kata konon. Padahal sejak dari zaman persekolahan lagi Si Nadia tu terkejar-kejarkan Affan. Sebenarnya dari awal lagi dia dapat rasa, rancangan untuk menjodohkan Affan dan Nadia bukanlah idea asal Hajah Suhaily, tetapi idea Nadia sendiri. Tahu tak berjaya pikat hati Affan, dia guna ibu dan opahnya pula. Dan taktiknya menjadi sebab secara kebetulan Hajah Suhaily memang gemar menjodohkan cucu-cucunya. Nampak kan permainan Nadia dan Kak Shima dekat situ? Konon Nadia itu anak yang mendengar kata. Yalah tu... mendengar kata la sangat.
“Macam inilah. Biar kita orang cuba tanya Affan lagi sekali. Dengar apa kata dia kali ni. Tapi mak dan Kak Shima janganlah harap sangat, ya?” Sudahnya itu yang keluar dari mulut Laila. Tapi dia yakin seratus peratus, jawapan Affan masih sama. Anak sulungnya itu takkan terima Nadia.
“Kau ingat aku hadap sangat ke Affan tu jadi menantu aku? Tak ada maknanya, Laila. Kalau bukan kerana mak, aku pun tak inginlah. Nak-nak kau yang jadi besan aku... tolonglah. Aku rasa ramai aje datin-datin atau puan sri-puan sri yang nak berbesan dengan aku ni.”  Marah benar bunyi suara Shima. Mahu tak marah, macamlah hina benar Si Nadia tu sampaikan satu keluarga sepakat menolak. Dalam hal ini dia tak rasa Affan yang tidak mahukan Nadia tapi Laila sendiri yang buat keputusan bagi pihak anaknya.
Naik menyampah pula Laila dengan ucapan kakaknya tu. Kalau bercakap tak pernah nak kalah. Semua yang hebat, dia ajelah. “Laaa... dah tu kenapa Kak Shima tak cari aje anak-anak  datin atau puan sri tu? Yang Kak Shima sibuk nakkan Affan tu apa hal?”
Hafidz cuit isterinya. Risau kalau terjadi pergaduhan pula.
“Tolong sikit, eh? Siapa cakap aku yang nak Affan jadi menantu aku? Tak ada maknanya. Macamlah kau tak tau aku ni anak yang patuh dengan cakap mak. Bukan macam kau tu.” Seperti yang dia cakapkan tadi, dia sendiri memang tidak suka bermenantukan Affan. Seperti mana dia tak rela untuk berbesan dengan Laila. Memang mereka adik beradik tetapi hubungan mereka tidak pernah baik sejak kecil. Mereka seperti anjing dan kucing. Pantang berjumpa, asyik nak bergaduh sahaja. Tetapi mengenangkan Nadia yang sangat tergila-gilakan Affan, dia terpaksa merendahkan egonya. Dia terpaksa abaikan Laila yang dibenci. Lalu dia terpaksa guna emak supaya tidak nampak yang dia atau Nadia yang beria-ia mahukan Affan.
“Kau orang kalau tak bergaduh tak boleh ke?” marah Hajah Suhaily. “Kau ni Laila... yang susah sangat nak dengar cakap aku ni kenapa? Perangai dari dulu tak berubah-ubah.”
Laila nak jawab, dah buka mulut pun. Tapi cubitan suami di paha menyebabkan dia batalkan niatnya.
“Dah... mak nak balik tapi mak akan datang semula. Mak harap masa tu nanti kita dah boleh pilih tarikh untuk majlis Affan dengan Nadia.”

2 comments:

baby mio said...

best nak lagi novel dia bila keluar

MIMIE AFINIE said...

Insya-allah tak lama lagi... Terima kasih Baby mio... :)