Wednesday, July 1, 2015

Sabarlah Duhai Hati (Bab 20)



SUDAH seminggu mama, papa dan nenek pergi. Tapi sampai ke hari ini, Fira rasa sukar untuk percaya. Masih tidak boleh terima segala yang terjadi. Walhal, bibir inilah yang mencium wajah sejuk mama, papa dan nenek di saat-saat akhir sebelum jenazah dibawa ke pusara. Padahal sepasang mata inilah yang menyaksikan wajah pucat mereka sebelum dikebumikan. Mama, papa, nenek... Fira betul-betul rindu. Fira tak boleh hidup sendirian macam ni. Fira perlukan nenek, Fira perlukan mama dan papa dalam hidup Fira. Baliklah nenek, papa, mama. Kesiankanlah Fira.
“Fira... makan sikit. Kau tak makan apa-apa pun lagi hari ni.” Dian yang turut berada atas katil, menghulurkan sesuap nasi ke mulut Fira. Sejak pemergian nenek dan kedua orang tuanya, Fira hanya berkurung dalam bilik. Dian yang banyak menemani. Makan pakai Fira, Dian juga yang uruskan. Dian hanya pulang ke rumahnya sekejap-sekejap. Kalau nak harapkan Fira seorang diri, tak tahulah apa nak jadi. Memang ada Mak Teh Zana di sini tapi wanita itu lebih banyak menguruskan Danish. Lagipun Fira tidaklah rapat sangat dengan ibu saudaranya tu.
Sebetulnya baru dua hari lepas Fira balik ke mari setelah lima hari berada di kampung nenek di Terengganu. Arwah nenek, mama dan papa Fira telah dikebumikan di sana. Buat sementara waktu, ibu saudara Fira berserta suaminya turut berada di sini. Mengikut kata Mak Teh Zana, mereka akan berada di sini selama seminggu. Kemudian akan pulang semula ke Kuala Terengganu bersama-sama Danish dan juga Fira. Setelah ketiadaan mama dan papa Fira, dia yang akan bertanggungjawab terhadap kedua-dua beradik tersebut. Dian rasa agak sedih juga dengan berita itu. Kalaulah betul Fira akan balik menetap di kampung, bermakna dia akan kehilangan satu-satunya kawan baik yang dia ada. Ini juga bermakna rancangan umi untuk melamar Fira akan jadi sukar. Ikutkan dia tak bersetuju dengan cadangan Mak Teh Zana itu, tapi siapalah dia untuk bercakap lebih-lebih? Mak Teh Zana itu kan ibu saudara Fira. Tentulah wanita itu lebih berhak.
Fira geleng. Tangan Dian ditolak lembut.
“Fira, tak naklah macam ni. Kau kena makan. Tengok muka kau dah pucat lesi dah aku tengok. Nanti kalau kau sakit, macam mana?”
“Aku rindu mama, papa, nenek. Aku nak dia orang.” Air mata menitis laju ke pipi Fira yang pucat.
Dian meletak pinggan nasi atas meja tepi. Kemudian dia kembali duduk rapat sebelah Fira. “Fira... kau tak boleh terus macam ni. Kau pun tau kan dia orang semua dah tak ada? Kau tak boleh ikutkan perasaan sangat.”
“Aku rindu dia orang, Dian.” Fira menangis teresak-esak.
“Ya... aku faham. Kau rindukan dia orang. Tapi tak elok kau terus meratap menangis macam ni. Tak tenang dia orang kat sana, tau? Kalau kau betul-betul sayang dia orang, rindu dia orang... kau kena banyakkan berdoa... kau hadiahkan dia orang dengan ayat-ayat Quran. Itu sebenarnya yang dia orang harapkan dari kau.” Lembut sekali Dian memujuk seraya mengusap-usap bahu Fira. Melihat keadaan Fira yang bersedih dan bermuram durja itu, dia jadi tidak senang hati. Dia tahu kesedihan Fira. Dia faham penderitaan yang Fira sedang tanggung tapi kalau boleh dia tidak mahu Fira terlalu ikutkan sangat rasa sedihnya. Memang, bercakap sangat mudah. Bukan kita yang menanggung, bukan kita yang melalui. Tapi apa lagi yang boleh dia buat selain dari bercakap dan memberi kata-kata nasihat.
Agak lama Fira pandang Dian. Tersentuh hatinya dengan ucapan itu. Ya, memang betul... dalam masa seminggu ini, dia hanya banyak meratap dan menangis sedangkan sebaris doa pun belum dihulurkan kepada arwah bertiga. Sepotong ayat Quran pun tidak dihadiahkan kepada mama, papa dan nenek. Anak apakah dia? Cucu jenis apakah dia? Ya, Allah... kejamnya dia, zalimnya dia. Kerana terlalu ikutkan rasa sedih, dia sampai lupa tanggungjawab dia sebagai anak yang ditinggalkan. Mama dan papa hanya ada seorang anak yang boleh diharapkan untuk mendoakan mereka tapi kalau dia sendiri lupa dan lalai, siapa lagi yang boleh diharapkan untuk mendoakan mereka? Mama, papa, ampunkan Fira. Nenek, maafkan Fira. 
“Ini ujian dari Allah untuk kau Fira. Ya... aku tau memang tak mudah untuk kau. Tapi percayalah... ujian inilah yang akan buat kau jadi kuat,  yang akan buat kau jadi lebih tabah untuk hari-hari yang akan datang. Allah tak uji kalau kita tak mampu tanggung, Fira. Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya. Jadi, aku minta sangat-sangat supaya kau banyak-banyak bersabar. Insya-Allah ada hikmahnya nanti.”
         Air mata semakin merembes laju ke pipi Fira. Terharu dengan ucapan Dian. Terharu juga dengan perhatian, sikap ambil berat dan sikap sabar Dian selama seminggu ini. Kalau orang lain mungkin dah putus asa tetapi Dian tidak. Dian tetap sabar menghulur kata-kata semangat dan motivasi kepada dia. Baiknya Dian dan dia akan ingat sampai bila-bila.
         “Tolong jangan sedih-sedih lagi, ya? Kalau kau sedih... aku pun sedih, tau.”
         Perlahan-lahan Fira angguk. “Aku akan cuba.”
         “Aku tau kau mesti boleh.”
         “Kau tolong doakan aku,” ucap Fira perlahan.
         “Aku selalu doakan kau, Fira dan aku akan terus berdoa untuk kau.” Dian memeluk Fira erat dan Fira sendiri membalas pelukan itu. Sudahnya mereka berdua menangis teresak-esak.

No comments: