Monday, December 8, 2008

Bukan rezeki saya

Tiba-tiba pada 4/12 (Khamis) tempoh hari saya demam. Nak tak nak kenalah pergi klinik walaupun keinginan untuk pergi kerja lebih kuat. Kebetulan banyak kerja penting yang perlu saya siapkan. Walaupun dalam keadaan tak larat, saya beritahu doktor saya cuma nak time slip. Tapi doktor tu tetap nak bagi saya MC jugak. Kata doktor tu, eloklah saya berehat di rumah saja memandangkan demam saya agak teruk . Dalam masa yang sama suami saya juga demam (Dia demam dua hari lebih awal daripada saya).
Mengenangkan kerja yang sangat penting itu, maka saya desak suami menghantar saya ke tempat kerja. Mulanya suami menolak. Maklumlah dia pun tak berapa sihat. Tapi bila melihat kesungguhan saya, dia akhirnya bersetuju.
Nak dijadikan cerita, semasa suami menurunkan saya berhampiran dengan pejabat, handphone yang ketika itu berada di atas ribaan saya terjatuh di atas jalan. Saya hanya sedar setelah beberapa minit berada dalam pejabat. Saya cepat-cepat pergi ke tempat itu semula tetapi sayang, ianya sudah tiada di situ. Sedarlah saya handphone yang baru beberapa minggu dibeli itu sudah jadi milik orang lain. Masa itu hanya satu yang terlintas di benak saya. Inilah agaknya kalau tak dengar cakap suami...
Saya redha dengan kehilangan telefon itu. Nak buat macam mana kan, dah bukan rezeki saya lagi tapi saya terkilan sebab semua nombor-nombor penting ada kat dalam tu. Jadi saya amat berharap pada teman-teman yang sudi menjenguk blog ni dan ada menyimpan nombor telefon saya, tolonglah sms nombor tuan/puan pada saya, ya? Saya masih lagi menggunakan nombor yang sama.

Tuesday, December 2, 2008

Akhirnya...

Usah kata orang lain, diri sendiri pun dah naik senak biji mata nengokkan blog yang tak berupdate ni. Orang dah nak sambut hari raya haji, dia dok ucap selamat hari raya aidil fitri jugak. Habis camno... sibuk bebeno akhir-akhir ni. Pagi-pagi dah keluar rumah... malam dah tak nampak matahari, baru sampai ke rumah semula. Bila dah kat rumah tu faham-faham ajelah. semua nak kena buat... sampaikan tak terbuat. Jadi hasilnya inilah dia... blog yang tidak berupdate.

Itu ajelah yang mampu saya coretkan kali ni. Jadi sebelum mengundur diri, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha buat semua yang sudi menjenguk rumah saya ni... Oh! ya lagi satu, jangan lupa dapatkan "Hai Kitti..." novel awal remaja terbaru dari saya.

Monday, September 29, 2008

Selamat Hari Raya


Buat semua yang mengenali,

SELAMAT HARI RAYA, MAAF ZAHIR BATIN



Tuesday, September 16, 2008

Mari menjahit

Tinggal tak sampai dua minggu  aje lagi umat Islam akan menyambut hari raya. Rasa makin cepat pulak masa berjalan. Entah kenapa, tahun ni saya tak ghairah sangat dengan persiapan hari raya. Jangan tak tau, kain yang ada empat pasang untuk buat baju raya belum lagi berjahit. Itupun nasib baik dah berpotong. Potong tu pulak sebab kena paksa dengan suami. Siap dia nak upah saya pulak RM10 untuk sepasang. Padahal bukan baju orang lain pun tapi baju sendiri. Sebenarnya bukanlah dia nak beri upah sangat tapi saja nak perli isterinya yang 'liat' ni. Macamlah saya tak tau taktiknya. Tapi betul jugak,  kalau dia tak buat macam tu, agaknya kain-kain tu masih belum berpotong sampai sekarang. 

Sebenarnya ada sebab kenapa dia terpaksa memaksa saya. Kalau nak tahu, masih ada tiga pasang kain yang telah saya potong dua tahun lepas, tapi masih belum berjahit sampai sekarang. Teruk betullah... Entah2 kain jenis itu pun dah tak dipakai orang lagi. 

Ikutkan bukanlah susah mana pun menjahit ni. Tapi semuanya bergantung pada mood. Kalau mood bagus, dalam satu hari aje saya boleh siapkan tiga pasang baju kurung tu. Tapi nak cari mood tu yang susah. Lagi satu, saya ni tak berapa minat menjahit sangat. Belajar menjahit dulu pun sebab kawan yang ajak. Tapi itulah dalam tak minat tu saya pernah lah jugak mengambil tempahan menjahit baju. Tapi itu dululah, sekarang ni minta maaflah... kalau saya ambik juga, mau dua tiga tahun baju orang tak siap-siap agaknya.

Betul jugak kata suami saya... kalau dah malas menjahit, kenapa tak beli aje baju siap? Tak pun kain-kain yang ada  tu  bagi aje kat tukang jahit lain. Suruh dia orang jahit. Selesai masalah. Bila dah siap.... bayar aje. Sebenarnya boleh aje kalau saya nak suruh orang jahitkan tapi memikirkan upah yang tinggi, rasa macam rugi pulak. Yalah, modalnya hanya dalam RM5 tapi upahnya berkali2 ganda daripada itu. Rasa macam membazir lah pulak serah duit kat orang. Kecualilah kalau memang tak pandai menjahit...

Dalam masa yang tak sampai dua minggu ni, saya akan cuba jugak untuk siapkan baju-baju tu. Mudah-mudahan datanglah mood rajin saya. Tapi itulah, dalam mood yang tak menentu ni, masih ada hati nak beli kain lagi. Entah apa-apa...

Sunday, September 7, 2008

Peliknya... tapi benar...

Diam tak diam dah tujuh hari kita menjalani ibadah puasa. Sekejapnya masa berjalan, kan? Macam tahun-tahun lepas, banyaklah Bazar Ramadhan yang tumbuh di merata tempat. Tapi tahun ni saya lebih selesa masak sendiri. Masak pun yang ringkas-ringkas aje. Maklumlah dah tinggal tiga orang aje kat rumah. Saya dan Aisyah memang jenis tak kuat makan. Yang sorang tu pulak (faham-faham ajelah sapa...) macam dah terikut-ikut kami berdua, makan ala kadar aje. Nak turunkan berat badan katanya... hehehe... boleh ke tu?

Semalam, atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan, terpaksalah juga saya ke bazar berhampiran rumah untuk membeli lauk pauk. Jalan punya jalan, satu pun saya tak berkenan. Suami dah semacam aje mukanya. Tak puas hati lah tu dengan kecerewetan isterinya. Habis nak buat macam mana... dah tak berkenan. Akhirnya sampailah saya ke satu gerai. Lauk pauknya memang nampak menyelerakan. Saya pun buat keputusan untuk beli di situ aje. Suami setuju aje...

Baru aje nak pilih lauk, tiba-tiba saya terpandang si penjualnya. Alamak! dia ni ke?
"Pilihlah apa-apa yang patut... saya tunggu kat kereta..." kata saya. Suami yang memang faham, mengiyakan aje. Saya pun tak tunggu lagi, terus pergi dari situ. Sebenarnya bukanlah apa sangat, tapi adalah satu peristiwa yang menyebabkan saya bertekad untuk tidak pergi lagi ke gerainya.


Cerita ni dah agak lama juga. Lebih kurang dua tahun lepas. Peniaga perempuan ini berniaga nasi lemak dan kuih muih. Gerainya terletak betul-betul di hadapan sebuah sekolah. Tidak dinafikan nasi lemak dan kuih muihnya memang sedap. Sebab itulah saya sanggup pergi ke situ, walaupun ada lagi kedai nasi lemak lain berhampiran rumah saya.

Pada satu pagi, dalam perjalanan ke tempat kerja, saya pun singgah sebentar di gerainya untuk membeli kuih-muih. Kebetulan ada jamuan kat ofis hari tu, jadi saya bercadang untuk beli lebih sikitlah. Seperti biasa, saya pun mengambil plastik dan mula mengisi dengan karipap. Kalau tak silap, saya masukkan dalam 12 biji. Kemudian saya ambil pulak donut 12 biji. Baru aje saya nak masukkan kuih talam, tiba-tiba penjual tadi bersuara.

"Banyaknya ambik..." katanya.
"Saya nak beli..." jawab saya.
"Taulah nak beli... tapi takkan banyak sangat..."
"Yalah, banyak... tapi memang saya nak beli..." kata saya lagi. Masa ni saya tak berapa faham kenapa dia berkata begitu.
"Habis kalau beli banyak sangat... orang lain nak beli apa?" soalnya dan suaranya masa ini dah lain macam. Ada dua tiga orang lain masa tu dan semua pandang saya. Macamlah saya dah buat kesalahan yang besar pulak.
"Eh! ada lagi, apa? Saya bukan ambik semua," kata saya.
"Memanglah ada... tapi dah tinggal sikit. Awak ingat awak sorang aje yang nak beli?"
Masa tu saya rasa pelik sangat. Belum pernah saya jumpa peniaga yang marah-marah apabila pembeli membeli dengan kadar yang banyak. Yang selalu saya jumpa, peniaga yang nak cepat habiskan jualannya. Kalau saya berniaga pun saya nak barang jualan saya cepat habis.
"Eh! saya nak belilah... saya bayar."
"Tak faham ke apa yang saya cakap?"
Masa ni, hanya Tuhan yang tahu perasaan saya. Malu, geram dan macam-macam lagi.
"Seumur hidup saya... belum pernah saya jumpa orang berniaga macam akak ni tau? Peliknya..." Saya tak tunggu lagi, terus pergi. Kuih yang dah diisi dalam plastik saya tinggalkan aje tergolek kat situ. Juallah kat orang lain...

Itulah kali terakhir saya menjejakkan kaki ke gerainya. Tapi dek kerana nasi lemak dan karipapnya yang sedap, ada juga sesekali saya minta suami atau anak-anak tolong belikan. Yalah saya cuma tak nak pergi ke gerainya aje
... makan, no hal...

Tuesday, August 19, 2008

Cuti

Dah berapa kali saya mohon cuti tapi asyik batal je. Tapi kali ni, dah tak boleh batal lagi dah. Kalau nak fikirkan kerja, memanglah tak pernah habis. Sebelum ni pun sebab fikirkan kerjalah, saya asyik batalkan cuti. Jadi, mulai esok hingga Jumaat ni saya dah nekad, takkan ada pembatalan lagi. Biarlah banyak mana sekalipun kerja yang menunggu saya nanti , saya tetap nak bercuti jugak. Saya nak berehat puas-puas. Sebenarnya nak rehatkan minda yang sangat tertekan semenjak dua menjak ni.
Sebenarnya saya tak kisahpun dengan kerja yang banyak. Bukan tak biasa pun kan? Tapi bila kerja banyak, ditambah pula dengan elemen lain, itu yang mendatangkan tekanan. Kerja yang seronok pun jadi tak seronok. Tapi saya macam biasalah, tertekan macam mana sekalipun, bila berada dengan dua kerat manusia yang sengal kat ofis tu (ini Eita yang kata, ek), boleh lagi buat lawak antarabangsa. Lepas tu boleh pula gelak-gelak...
Mudah-mudahan lepas balik dari bercuti nanti, hati saya akan lebih tenang dan fikiran tidak lagi kusut. Sememangnya saya sayangkan kerja saya dan saya sayang tempat kerja saya.

Sunday, July 13, 2008

Tulah, suka sangat...

"Jangan terlalu suka, nanti bertemu duka."
"Jangan terlalu galok, nanti bertemu golok."

Lebih kurang macam gitulah pesan arwah nenek semasa saya masih kecil dulu setiap kali kalau saya adik-beradik bergelak sakan. 'Galok' atau 'galak' bagi orang Terengganu lebih kurang 'seronok sangat' lah. "Golok' pula adalah sejenis senjata yang tajam. Lebih kurang parang, cuma pendek sikit. Jadi, dari situ kita dah faham maksudnya. Jangan seronok sangat, nanti boleh terluka... sebagaimana terluka kalau terkena golok tadi. Begitulah lebih kurang maksudnya...

Minggu lepas, saya temankan anak nombor dua (Afiq) untuk buat pemeriksaan kesihatan di sebuah klinik berdekatan rumah sebagai persediaan untuk dia memasuki kolej. Masa tu dah hampir pukul 11.30 malam. Masa kami sampai, orang dalam klinik tak adalah ramai sangat. Dalam 4-5 orang aje. Saya dan Afiq duduk sebelah menyebelah. Selang sebuah kerusi dari tempat kami duduk, adalah seorang lelaki dengan anaknya yang saya kira baru berusia dalam 3 atau 4 tahun. Yang menarik perhatian kami, lelaki itu asyik tidur aje tanpa menghiraukan anaknya itu. Memang saya kesiankan budak lelaki yang comel itu. Macam-macam cara dia buat untuk kejutkan ayahnya tapi ayahnya tetap jugak tak bangun-bangun. Memang betul-betul mengantuk atau jenis yang kaki tidur, tak taulah saya...

"Abah... bangunlah, bah. Janganlah tidur lagi," jerit anak kecil tu dekat di telinga ayahnya.
"Janganlah kacau abah... abah nak tidur ni," balas si ayah sambil menolak badan si anak.
"Abah... bangunlah..." Si anak tak berputus asa. Dia naik ke atas riba ayahnya pula.
Saya dengan Afiq asyik memerhati aje gelagat mereka berdua.
"Kan abah dah cakap, jangan kacau abah. Pergi sana baca buku," kata lelaki yang tidak saya ketahui namanya itu dalam mata yang terpejam.
"Mana ada buku, bah?" tanya si anak jujur.

Betul juga, mana ada buku kat klinik ni? Saya memerhati ke seluruh ruang menunggu itu. Memang tak nampak sebuah buku pun. Jadi buku apa yang dimaksudkan oleh si ayah tadi?
"Bah... buku tak adalah," kata si anak lagi.
"Ada... carilah."
Masa inilah saya dan Afiq mula ketawa. memang sah lelaki itu mengigau. Mungkin dia ingat dia berada di rumah kot.

"Nak cari kat mana?" Suara si anak makin kuat.
"Carilah kat mana-mana." Si ayah juga menjerit. Sama naik dengan suara si anak tadi. Tapi, matanya masih juga tak celik-celik.
Saya dan Afiq gelak macam tak ingat dunia. Sampai keluar air mata. Bukan nak gelak sangat tapi tak boleh tahan tengok gelagat si ayah tu. Kelakar sangat-sangat.
Agaknya dah hilang sabar, si anak nekad berdiri atas perut ayahnya. Sambil berdiri , kakinya menunjal perut ayahnya berkali-kali. Tapi si ayah tetap macam tu.
"Fiq... jangan gelak lagi..." kata saya tapi saya sendiri masih tak berhenti ketawa. Memang lucu sungguh. Anak pijak perut macam tu pun, boleh dia tak sedar lagi. Memang jenis kaki tidur.

"Mohd Lokman." Tiba-tiba pembantu klinik memanggil. Tapi beberapa ketika, tiada siapa pun yang memberi respons. Saya pandang ke hujung sana. Hanya ada dua orang perempuan. Takkan nama mereka Mohd Lokman kut. Di sebelah kanan saya, seorang lelaki, isterinya dan dua orang anak. Mereka pula baru saja keluar dari bilik doktor.

"Mohd Lokman..." jerit pembantu klinik, lebih kuat.
"Ayah adik nama Mohd Lokman ke?" tanya Afiq pada budak kecil tadi.
Si kecil hanya memandang Afiq tanpa menjawab sepatah pun.
"Mohd Lokman..." Dah lain macam suara perempuan pembantu klinik tu. Marah kut.
"Dia tidur..." saya tolong jawab sambil menunjukkan ke arah lelaki yang sedang asyik tidur itu. Saya memang yakin, dialah pemilik nama Mohd Lokman itu.
Pembantu klinik yang masih muda itu geleng kepala. Kemudian pergi dekat dengan lelaki itu dan memanggil dengan kuat. Beberapa kali juga dia memanggil dan akhirnya lelaki itu membuka matanya.

"Ya ada apa?" tanyanya dengan muka yang kebingungan.
"Giliran encik untuk jumpa doktor..." jawab pembantu klinik sinis.
Lepas lelaki itu dan anaknya masuk berjumpa doktor, saya dan Afiq menyambung tawa. Lucu sungguh rasanya.
"Dahlah, Fiq... tak elok gelak banyak sangat..."
"Mak tu yang gelak lebih-lebih..." jawab Afiq. Memang betul pun, saya kalau bab gelak ni, memang lebih daripada orang lain. Orang dah berhenti, saya masih dok gelak lagi.
Gelak tu tak berhenti setakat tu aje. Sampai di rumah, saya bercerita pula pada suami. Sambung gelak lagi. Memang banyak sungguh saya gelak malam tu. sampai naik lenguhlah rahang...

Keesokan harinya, Afiq dihantar oleh abah dan adiknya Aisyah untuk mendaftar di Kolej Multimedia, di Jalan Semarak, KL. Saya tak dapat ikut sebab ada kerja penting di pejabat. Bila Afiq dah tak ada, makin sunyilah rumah. Beberapa hari sebelum tu, anak sulung, Ameer dah pergi Uniten. Maka tinggallah kami bertiga beranak kat rumah. itu pun nasib baik, suami dah dapat bertukar ke KL mulai I Julai tempoh hari....

Aisyahlah yang paling merasakan kehilangan Afiq. Apa tidaknya, mereka berdua sangat rapat. Afiq pulak rajin melayan kerenah adiknya tu. Adik nak apa, semua dia ikut. Dan malam itu, Aisyah menangis beria-ia. Sampai bengkak-bengkak mata. Katanya dia rindukan abangnya. Puas saya pujuk tapi tak jalan. Kata saya, Abang Afiq tu dekat aje... dalam sejam pun kita dah boleh jumpa dia. Lagipun tiap-tiap minggu dia boleh balik. Lagi galak dia menangis adalah. Akhirnya dalam duk pujuk-pujuk tu, saya sendiri ikut menangis. Dalam tak rasa apa-apa, saya pun ikut rasa sedih. Yalah, selama 18 tahun Afiq berada depan mata dan kini buat pertama kalinya dia meninggalkan rumah.

Suami yang baru keluar dari bilik tercengang-cengang. Pelik agaknya bila tengok saya dan Aisyah berpeluk-pelukan sambil menangis.
"Apa halnya ni?" tanyanya.
"Aisyah rindukan Abang Afiq." jawab Aisyah.
"Yang mak tu kenapa pulak?" tanya suami lagi.
"Ibu pun rindu Abang Afiq..." jawab Aisyah lagi (Hanya dia sorang yang panggil ibu. Anak-anak lain panggil saya, mak)
"Alah... Afiq tu dekat aje. Hujung minggu ni dah boleh jumpa." kata suami sambil ketawa.
"Tu lah... banyak sangat gelak malam tadi... kan dah nangis..." sambungnya.
Saya cuma mengaku dalam hati. Lebih kurang aje maksud ayatnya dengan arwah nenek dulu.

Saturday, June 21, 2008

Kalau ada jodoh...

Walaupun dah beberapa kali cerita tentang saya dan novel2 tulisan saya keluar dalam surat khabar tapi kali ini perasaannya lain sedikit. Ulasan panjang lebar novel 'Kalau Ada Jodoh' siap dengan gambar saya menaiki vespa itu menyebabkan hati saya rasa seronok sangat. Bukanlah sebab 4 bintang yang diberikan oleh pengulas. Bukan juga sebab gambar saya yang tersenyum ala-ala malu-malu kucing atas vespa tu.

Saya betul-betul tak sangka, ulasan yg terpampang di mukasurat 23, Berita Harian, sisipan Sabtu 21/6/2008 itu telah mengundang beberapa kenalan lama untuk menghubungi saya. Itulah yang buat hati saya berbunga sepanjang hari. Pagi-pagi lagi telefon saya dah berbunyi. Rupa-rupanya, seorang pegawai kanan di tempat saya bekerja yang sudah beberapa tahun bersara. Semasa dia menamatkan perkhidmatannya, saya baru ada dua novel. Katanya dia baru baca suratkhabar dan terperanjat sangat bila nampak muka dan cerita saya ada kat dalam tu. Kebetulan dia memang ada menyimpan nombor saya dan terus saja menelefon saya. Selepas itu kami berbual agak lama juga.

Selain daripada beliau, saya turut menerima panggilan daripada dua orang rakan lain. Kedua-duanya juga sudah lama tidak saya temui. Seperti tadi, saya juga berbual agak lama dengan mereka berdua. Banyak betul perkara yang ingin dikongsi. Maklumlah dah banyak tahun tak jumpa.

Paling saya teruja apabila seseorang meninggalkan komen dalam blog saya. Tak sangka Ruhana, kawan semasa belajar dulu berjaya juga menjejak saya. Bayangkan dah lebih 20 tahun kami tak berjumpa. Dulu dialah kawan yang paling rapat, kawan tempat mengadu, berkongsi cerita dan masalah selain daripada Azmawati. Bagaimana akrabnya kami bertiga, begitulah juga kami rapat dengan buah hati masing-masing. Jadi, kalau ke mana-mana tu sentiasa saja berenam. Wati dengan Enal, Ana dengan H (Bukan nama sebenar) dan saya dengan S (juga bukan nama sebenar). Enal ni merupakan abang kepada Zainal Alam Kadir (Pengacara di Astro). Kalau tak silap saya, nama semua adik beradik lelakinya bermula dengan Zainal. Pernahlah kami ikut balik ke rumahnya di Muar. Sempatlah kenal dengan emaknya, Mak Eton yang baik hati dan peramah tu.

Alhamdulillah, jodoh saya ada dengan S. Begitu juga dengan Enal dan Wati tapi jodoh Ana tiada dengan H. Mungkin ada hikmah di sebaliknya dan Ana telah pun bertemu jodoh dengan jejaka senegerinya, Pahang. Selepas tamat belajar, saya pernah berjumpa Ana sekali. Itu pun semasa kami masih solo. Tapi dengan Wati dan Enal, ada juga berjumpa beberapa kali. Paling akhir adalah pada tahun lepas, ketika kami sekeluarga berkunjung ke rumahnya.

Buat Ana, kalau ada kesempatan dan kalau ada jodoh... boleh kita jumpa lagi. Insyaallah....

* Ana... sorry ek, buka cerita lama pulak...
* Buat Berita Harian... terima kasih kerana telah 'mempertemukan' kami semula.

Saturday, June 7, 2008

Ada apa pada anak nombor dua?

"Bila nak update blog? Kata nak rajin, tak nak malas-malas lagi. Tapi bila masuk blog, asyik-asyik nampak 'kisah seram' tu... menyampah," marah seorang teman yang mulutnya boleh digolongkan sebagai laser.

"Suka hati oranglah nak update ke tak nak... kalau menyampah tak payah masuk," Saya melaser dia balik. (Sebenarnya itulah cara kami bergurau... kalau orang tak biasa mungkin anggap kitorang bergaduh.) Tapi betul juga kata teman tu... saya sendiri pun naik meluat bila tengok blog yang tidak dikemaskini ini.


Jadi hari ini, saya cuba rajin-rajinkan diri mencoret sepatah dua lagi kata dan kali ini saya nak bercakap tentang anak nombor dua pula. Kenapa anak nombor dua? Takkan tak ada topik yang lebih memberangsangkan? Sebabnya, saya sendiri merupakan anak nombor dua. Hehehe... Jangan marah...


Sebenarnya dah lama dan dah banyak saya dengar tentang anak nombor dua ni. Kata orang, anak nombor dua ni 'lain' sikit. Lain macam mana tu? Maksud lain di sini, mereka ni bertanggungjawab, baik hati, suka mengambil hati, suka menolong dan macam-macam lagi sifat yang baik. Pendek kata anak nombor dua ni, boleh diharaplah... Itu bukan kata saya ya, tapi kata-kata yang keluar dari mulut beberapa orang yang pernah bercakap dengan saya.
Tapi bila saya perhati dan kaji, ada betulnya pendapat orang-orang itu. Contoh terdekat ialah anak saya sendiri. Dalam tiga beradik, memang dia nampak lain sedikit. Mungkin dari luaran, dia nampak macam nakal dan kasar. Tapi sebenarnya dialah yang paling banyak menolong, pandai buat keputusan, rajin dan bertanggungjawab. Kalau rumah bersepah, dialah yang tolong kemaskan. Dia jugalah yang tolong menyiram pokok, cuci kereta dan dialah yang paling risau sekali sekiranya saya demam atau jatuh sakit. Pendek kata dia memang anak yang boleh diharap. Bukanlah pula saya kata anak-anak lain tak boleh diharap. Tapi mungkin tidak sama seperti anak tadi. Yang pastinya, masing-masing ada keistimewaan yang tersendiri.
Selain anak saya, anak-anak saudara saya juga memiliki sifat yang hampir sama. Mungkin ianya berlaku secara kebetulan atau pun anak nombor dua memang begitu? Entahlah...
Tapi, walau apa sekali pun pendapat orang, saya tidak pernah membezakan kasih sayang di antara anak-anak. Layanan dan perhatian saya pada mereka sama sahaja. Tiada yang lebih, tiada yang kurang...

Sunday, May 18, 2008

Kisah seram

Tiba-tiba saya terfikir untuk bercakap tentang kisah seram (hantu) pula. Itu pun setelah Kak Aina (Aina Emir) bercerita pasal benda yang sama dalam blognya. Kalau Kak Aina berani dengan benda-benda seram ni, saya sebaliknya pula. Memang dari kecil saya takut hantu. Terus terbawa-bawa sampai dewasa. Saya masih ingat lagi zaman kanak-kanak saya dulu. Saya tidur bertiga dengan adik dan emak saudara saya. (Emak saudara hampir sebaya dengan saya). Kami selalu berebut nak tidur kat tengah. Bila semua tak nak mengalah, terpaksalah buat giliran. Tapi, saya pandai. Bila tiba giliran saya tidur kat tepi, tengah-tengah malam masa semua orang sedap tidur, saya akan bangun dan berpindah ke tengah.

Masa saya mula-mula berpindah ke rumah sekarang (penghujung 2001), tak pernah pula saya dengar orang bercerita pasal hantu ni. Tapi tahun lepas, semasa menolong seorang jiran yang mengadakan kenduri, baru keluar cerita tentang ni. Konon-kononnya ada jiran saya nampak hantu terbang dari bumbung rumah yang tidak berpenghuni ke bumbung rumah yang lain pula. Yang seramnya rumah yang dikatakan menjadi tempat 'penginapan' hantu itu terletak selang sebuah di belakang rumah saya.

"Takkan akak tak pernah nampak..." kata jiran tadi lagi.
"Tak pernah," jawab saya. Hati dah rasa semacam aje.
"Dah banyak orang nampaklah, kak.." sampuk jiran yang lain pula.
"Dah, cukup... jangan cerita lagi..." kata saya. Memang saya tak suka dengar benda-benda macam ni. Lebih-lebih lagi, lokasi kejadian betul-betul kat belakang rumah saya.

Hasilnya, saya jadi takut sangat. Nak sidai baju kat belakang rumah pun saya takut. (Tapi malam ajelah, siang tak ada masalah). Nak ke dapur sorang-sorang pun saya takut. Bila terjaga dari tidur pada tengah malam dan terasa haus, terpaksalah saya kejutkan suami untuk temankan saya ke dapur minum air. Teruk betul kan? Kesian dia... tapi nak buat macam mana... dah terpaksa.

Tapi, bila dah lama dan orang pun dah senyap pasal benda ni, saya pun dah tak kisah lagi. Suami pulak dah tinggal jauh, terpaksalah buang perasaan takut tu sedikit demi sedikit. Kalau tidak, satu kerja pun tak jadi.

Itulah, bila baca blog Kak Aina, saya jadi teringat balik semasa kami kat Kuantan dulu. Malam tu kami bersantai di tepi kolam. Kak Puteri Andalas dan Fauziah Ashari pun ada sama. Selepas kami bergelak ketawa dengan cerita lawak, tiba-tiba aje Kak Aina buka cerita seram. Saya apa lagi terus menggelabah.

"Kak Aina... jangan cerita lagi..." ucap saya. Suara dah lain macam bunyinya. Tapi Kak Aina terus jugak bercerita. Selamba aje dia. mentang-mentang dia berani. Saja nak takut-takutkan saya lagi. Boleh gelak-gelak lagi tu...
"Berceritalah dulu ya, dah habis baru saya datang," kata saya lalu beredar jauh sedikit. Bila dah habis bab tu, baru saya datang semula. Nasib baik malam tu saya tidur sebilik dengan kak Aina, kalau sorang-sorang, mahu saya tak tidur agaknya.

Sekarang, alhamdulillah, saya dapat rasa perasaan takut itu dah mula berkurangan. Saya dah boleh duduk kat rumah sorang-sorang walau pun pada waktu malam. Saya juga dah berani berada di ofis sendirian (kat ofis pun ada macam-macam cerita yang tak enak didengar). Insyaallah saya akan cuba jadi lebih berani.

Wednesday, May 14, 2008

Cerita lagu...

Semasa menghadiri satu kursus, penceramah yang diundang membuka cerita pasal lagu. Maka dia pun menyebut nama-nama penyanyi dan kumpulan yang boleh dikatakan popular pada sekitar tahun 80an, 90an termasuklah penyanyi masa kini. Pada mulanya memang saya sangat seronok mendengar ceritanya. Kebetulan saya juga meminati beberapa nama yang disebutnya. Yalah, siapa tak kenal Kumpulan Search, Alleycats, BPR, Jamal Abdillah, Sudirman dan banyak lagi. Saya dewasa bersama lagu-lagu mereka. Sampai sekarang saya masih meminati lagu-lagu mereka. Laila namamu teratas (Search), Suratan (Alleycats), Pelangi Petang (Sudirman), Derita Cinta (Jamal Abdillah) adalah antara lagu yang saya suka. Tapi lagu yang paling saya minat tentulah Warisan Wanita Terakhir nyanyian Teacher's Pet. (Ada saya masukkan dalam novel terbaru saya, Kalau Ada Jodoh). Bagi sesiapa yang tak pernah dengar, hayatilah...

"Puan Wan mungkin tak tahu sangat pasal lagu-lagu dan penyanyi yang saya sebut tadi. Kalau lagu Kamariah Noor, lagu R. Azmi, dia taulah kot..." Tiba-tiba penceramah lelaki yang hampir sebaya saya itu menyebut begitu. Saya betul-betul tergamam dengan kenyataannya itu. Kamariah Noor? R. Azmi? Kalau tak silap saya kedua-dua penyanyi itu popular ditahun 50an atau pun awal 60an. Saya pernah juga dengar lagu-lagu dendangan mereka.

'Amboi! Lebih-lebih lah pulak dia ni. Macamlah aku tua sangat dan macamlah dia tu muda sangat. Ini satu penghinaan dan ini boleh mendatangkan marah.' Hati saya mula berkata-kata. Dalam masa yang sama terdengar-dengar lagu nyanyian Kamariah Noor dalam filem 'Bawang Putih Bawang Merah'. Entah apa tajuknya saya tak ingat tapi lagu yang ada menyebut pasal ikan kaloi tu. Kalau tak silap sayalah, semasa filem itu dibuat, saya masih belum lahir atau kalau dah lahir pun, mungkin masih kecil sangat. Mungkinlah...

"Encik H (bukan nama sebenar), tua sangat ke saya ni?" soal saya seusai ceramahnya.
"Eh! tak adalah. Kenapa awak tanya macam tu?"
"Kenyataan Encik H tadi buat saya rasa macam tua sangat. Kamariah Noor dan R. Azmi tu zaman atuk saya, tau. Mak saya pulak zaman pop yeh yeh."
"Oh! ya ke?" Macam tak percaya aje muka Encik H.
"Encik H sebut aje siapa, Search, Carefree, September 5, Flybaits, Black Dog Bone... saya tahu lagu-lagu mereka."
"Ye ke ni?"soalnya lagi. Nampak macam masih tak percaya.
Encik H ni ada masalah penglihatan ke? Atau pun memang saya ni nampak terlalu tua sangat?

Atas desakan rakan-rakan sekursus, malam itu saya telah melakukan aktiviti yang sudah lebih 2o tahun saya tinggalkan. (Dulu saya merupakan penyanyi utama band tempat saya belajar). Saya telah menyanyi (berkaraoke) di hadapan khalayak ramai dan di hadapan penceramah itu juga. Nak tahu, lagu apa yang telah saya nyanyikan? Pelangi petang dan Dealova (nah! ambik ko Encik H...)

"Awak dah lawan tokeh nampak... Pelangi petang tu boleh lagi... tapi Dealova tu..." tegur Encik H keesokan harinya selepas majlis penyampaian sijil.
Kenapa... tak percaya ke?

Monday, May 12, 2008

Perpustakaan

"Ooo... kerja kat library... patutlah boleh buat novel." Kenyataan yang selalu sangat saya dengar. Kenyataan ini juga sering buat saya rasa marah, geram dan sakit hati. Kenapa ya, orang sering beranggapan yang bekerja di perpustakaan tidak banyak kerja, boleh duduk goyang kaki, boleh bersembang lama-lama, boleh baca buku banyak-banyak dan untuk penulis macam saya... boleh menyiapkan novel banyak-banyak? Memanglah, jika dilihat dari pandangan mata kasar, apa sangatlah bekerja di perpustakaan. Setakat duduk-duduk di kaunter, uruskan pinjaman dan pemulangan bahan. Lepas tu susun buku kat shelf. Kalau macam itulah, setahun empat buah novel pun saya boleh siapkan.

Sebenarnya bertugas di perpustakaan tidaklah semudah yang disangka. Lebih-lebih lagi perpustakaan khusus seperti di tempat saya bertugas. Kita kena 'pakar' dalam semua perkara. Akta, peraturan, kaedah, perintah mesti selalu dikemaskini. Jadi, kena selalu semak pindaan-pindaan bagi akta-akta berkenaan. Begitu juga dengan laporan perundangan. Itu pun kita kena tahu. Selalu berlaku pengguna hanya menyebut nama kes tanpa tahu kes itu dari negara mana. Untuk perkara ini sahaja, kadang-kadang kita terpaksa mengambil masa berjam-jam lamanya, hanya untuk mengesan kes tersebut.

Itu baru bab akta dan laporan perundangan. Belum lagi masuk bab buku, loose leaf reports, seminar paper, annual report, dll yang semuanya perlu diproses, dikatalog, diberi nombor pengkelasan dan tajuk perkara. Kerja-kerja ini pula bukanlah boleh main hentam aje. Kena pulak rujuk DDC (Dewey Decimal Classification) yang sebanyak 4 volumes itu untuk nombor pengkelasan dan juga Library Congress of Subject Heading (5 volumes yang satu-satu tu punyalah tebal dan berat) untuk tajuk perkara. Sebenarnya, selain daripada tugas-tugas di atas, banyak lagi tugas lain yang tidak kurang mencabar yang hanya difahami oleh mereka-mereka yang bekerja di perpustakaan.

Buat mereka-mereka yang sering bersangka buruk dengan saya... terpulanglah. Saya pun dah malas nak cakap banyak. Apa yang penting, saya tahu apa yang saya buat. Lebih penting, Allah tahu.

Sunday, May 4, 2008

Kenangan lalu

Tiba-tiba seseorang menghubungi saya minggu lepas. Seseorang yang sudah lebih 20 tahun tidak saya temui. Sebenarnya N (bukan nama sebenar) adalah kawan masa belajar dulu. Dia sangat rapat dengan saya hingga banyak orang menganggap kami ada hubungan istimewa. Tapi, sebenarnya tak. Hubungan kami macam adik dan abang. Kebetulan dia dua tahun lebih tua daripada saya. Saya sukakan sikapnya yang kelakar, happy go lucky dan sangat mengambil berat. Berbeza sekali dengan S (juga bukan nama sebenar), buah hati pengarang jantung saya yang agak pendiam, serius dan tak kelakar langsung.

Bila bersama N, hati saya akan jadi terhibur sepanjang masa. Maklumlah kami sekepala. Sebaliknya bila bersama S, saya rasa bosan sungguh. Bercakap pun benda-benda yang serius je. Sampaikan bab politik pun dia ajak saya bincang. Haru sungguh. Pernah juga terdetik di benak saya, kenapalah aku boleh terjebak dengan mamat ni? Skemanya dia. Tapi nak buat macam mana, hati dah sayang. Teruskan ajelah...

Masa tu, saya dah dapat hidu perasaan cemburu S terhadap saya dan N. Mau tak cemburu, depan mata dia, saya boleh dok lepak dengan N sambil bergelak ketawa. Kalau sekali, mungkin dia boleh tutup mata tapi kalau dah hari-hari, sapa tak marah? Kawan-kawan lain pulak dok asyik perli dia aje. Cakap dia bodoh biarkan awek dengan lelaki lain. Lagilah dia sakit hati.

Nak dijadikan cerita, S beri kata dua pada saya. Pilih dia atau pun N. Saya cakap, saya memang pilih dia, tapi dengan N pun saya nak berkawan sebab N memang kawan saya. S tak mahu terima jawapan saya. Dia tetap suruh saya pilih antara dia dan N. Akhirnya dengan hati yang berat terpaksalah saya buat keputusan untuk putuskan 'hubungan' dengan N.

"Awak tak boleh buat macam ni. Saya tetap nak berkawan dengan awak." Saya masih ingat suara dan rupa N yang sedih semasa saya memberitahunya keputusan itu. "Saya sayang awak, tau tak?" sambungnya dalam dialek Kelantan yang pekat.
"Kalau boleh saya pun tak sanggup buat keputusan ni... tapi saya terpaksa," balas saya.
"Kalau awak tak nak berkawan dengan saya, saya nak berkawan dengan siapa pulak?" Saat ini air mata N mengalir laju. Saya tergamam. Tak sangka, dia boleh menangis pula.
"Z (bukan nama sebenar) kan ada. Awak boleh berkawan dengan dia," balas saya merujuk kepada seorang lagi teman kami.
"Tok sir... dio tu mace ore jate (Tak nak... dia tu macam orang jantan)," kata N. Memang betul pun, Z agak kasar orangnya dengan badan yang tegap.

Dalam tak nak pun, akhirnya kami 'berpisah' jugak. Walaupun sering bertemu, (kitorang sekelas) tapi kami sudah tidak seperti dulu. Bercakap pun benda yang penting aje. Pendek kata, kami dah jadi macam orang lain. S lah orang yang paling gembira sekali dengan perkembangan itu.

Bila tamat belajar, kami membawa haluan masing-masing. Tiada lagi khabar dan berita dari N, sehinggalah saya menerima kad jemputan ke majlis perkahwinannya. Ketika itu saya masih dalam pantang anak pertama. Nak tahu siapa pasangan N? Z yang dikata 'mace ore jate' itulah yang jadi pilihan hatinya. Masa dapat kad tu, saya gelak dengan suami. Rasa macam tak percaya. Nak tahu pulak siapa pasangan hidup saya? Siapa lagi, S lah. Tapi sejak kami jadi suami isteri, sifatnya yang pendiam dan sentiasa serius itu pun dah beransur-ansur hilang. Sebaliknya dia dah banyak bercakap dan mula pandai buat kelakar. Mungkin terpengaruh dengan sifat saya kot...

Dan panggilan N pada malam itu, membuatkan saya jadi teringat semula pada kenangan lalu. Saya benar-benar tidak menyangka dia sudi menelefon saya.
"Mana awak dapat nombor telefon saya?" soal saya.
"Abe (abang) awak call saya... dia yang bagi nombor awak."
"Ya ke?" saya ketawa. Kalau dulu S yang beria-ia suruh saya jauhkan diri dari N, sekarang dia pulak yang mencari orang tu. Hai! Macam-macam...
"Tak sangka awak dah jadi penulis," katanya yang pernah terbaca artikel mengenai saya dalam surat khabar.
"Alah... penulis kecil-kecilan aje. Bukan orang kenal sangat pun." Saya merendah diri. Memang itu lah yang sering saya rasa.

Lama juga saya berbual dengan N dan Z yang kebetulan ada bersamanya. Sempat jugalah mengimbau kisah lama. Doa saya agar N dan Z akan berbahagia di samping anak-anak tercinta. Begitulah juga doa saya untuk diri sendiri. Moga saya akan sentiasa berbahagia di samping keluarga tercinta.

* Buat S (bukan nama sebenar) - maaf kerana paparkan cerita ni kat sini. Jangan marah... nanti kena jual... hehehe...
* Buat N dan juga Z - moga suatu hari nanti kita akan bertemu lagi.

Sedih...

Diam tak diam, rupa-rupanya dah hampir setahun saya abaikan blog saya ni. Kejam kan? Tapi... mulai sekarang saya akan cuba rajin-rajinkan diri ini. Boleh percaya ke ni? Insyaallah...

Sebenarnya saya tengah dok bersedih ni. Bukan setakat sedih aje, kecewa pun ya jugak. Rasanya tak payahlah saya sebut 'benda tu' kat sini. Bukan dapat ubah pun apa yang dah jadi tu. Redha ajelah... Tapi itulah, dalam dok redha tu, mulut bercakap jugak, hati dok berkata2 jugak. Biasalah tu... Entah sampai bilalah agaknya saya harus menanggung 'rasa' ini. Hanya masa dan keadaan yang akan menentukan. (Cewah... pinjam ayat novel tu)

Dahlah hati tengah dok sedih pasal suami masih kat Alor Setar lagi. Ikutkan, 2 Mei dia dah boleh bertugas kat KL balik. Tapi dua minggu lepas, tiba-tiba aje dia cakap kena sambung lagi sampai 31 Mei. Tak ke bengang tu? Dulu janji tiga bulan je, lepas tu jadi enam bulan, kemudian sembilan bulan... sekarang dah setahun pun. Lepas ni dah malas nak fikir lagi. Saya bukanlah marah kat suami... dia tak salah pun. Tapi itulah... nak tak nak, kena jugak luah perasaan kat dia. Jadi macam marah dia jugaklah. Teruk kan?

Entahlah... mungkin saya ni jenis yang terlalu bergantung sangat pada suami. Bila dah tinggal berjauhan macam ni... rasa macam susah sangat. Pantang ada masalah sikit, cepat saja tangan mendail telefon mengadu kat dia. Tapi itulah... sejak dia jauh di Alor Setar sana, macam-macam hallah pulak jadi kat sini.

Ada satu hari tu, masa tu saya berada kat dapur. Tiba-tiba aje rumah terasa bergegar, diikuti bunyi yang kuat dari depan rumah. Masa tu hanya satu benda yang terlintas di fikiran saya. Gempa bumi. Saya pun bergegas ke hadapan. Nak tau apa berlaku? Rupa-rupanya anak saya dah langgar tiang pagar sampai tiang batu tu boleh tumbang. Kereta pulak remuk teruk. Tengok pada rupa kereta, ingatkan anak dah cedera teruk tapi alhamdulillah, dia tak apa-apa. Saya yang sepatutnya ke Alor Setar pada malam itu, terus menelefon suami. Akhirnya, saya tak jadi ke sana, dia pula yang bergegas balik ke mari. Selama beberapa hari itu, rumah saya tidak putus-putus dikunjungi jiran dan rakan.

Sebenarnya, ini bukanlah kali pertama kami berjauhan. Dulu semasa bertunang, kemudian berkahwin, sampailah nak masuk dua orang anak, barulah dia dapat bertukar ke sini. Masa tu, dia di Kuala Terengganu, saya pula di Kuala Lumpur. Dua minggu sekali, saya akan balik ke sana. Perasaan waktu tu usah cakaplah, sedih yang amat. Yalah, berjauhan dari insan-insan tersayang. Tapi rasanya dulu saya lebih tabah berbanding sekarang. Kenapa ya?