Thursday, December 31, 2009

Selamat Tahun Baru 2010

SELAMAT TINGGAL 2009, SELAMAT DATANG 2010.

Tuesday, December 22, 2009

Tak faham...

Baru-baru ini saya menghadiri satu kursus. Tajuknya menarik dan cara penyampaian penceramahnya juga sangat menarik. Sepanjang kursus yang berlangsung satu hari itu, saya tidak rasa mengantuk langsung walaupun malam sebelumnya saya hanya tidur beberapa jam saja. Ceramah yang diselangselikan dengan lawak spontan dan kisah-kisah benar itu, memberikan banyak pengetahuan baru kepada saya. Selama ini apa yang kita tahu sikit-sikit dan jadi semakin jelas. Teman-teman lain yang ikut serta juga mengakuinya.

Tapi yang saya tidak faham, sikap segelintir peserta kursus. Penceramah bercakap di hadapan, yang dia orang pulak tak henti-henti bercakap sesama mereka. Saya rasa bukan kami saja yang perasan, penceramah sendiri perasan. Sampaikan beberapa kali dia memberi peringatan agar semua peserta memberi perhatian. Tapi sekejap saja berhenti, selepas itu dia orang sambung balik berbual. Saya yang tak ada kena mengena ni pulak yang naik malu dengan penceramah itu.

Pada saya orang-orang seperti ini adalah orang yang tidak tahu menghormati, menghargai dan menjaga perasaan orang lain.

Sunday, December 6, 2009

Sampai bila?


Bila baca entri bertajuk 'realiti kehidupan' kat blog kak Aina Emir, saya terus teringatkan seorang kawan saya. Kalau Kak Aina diminta oleh kawan kaunselor dia untuk buat novel tentang isteri yang asyik dok teringat kekasih lama, saya pula telah diminta oleh kawan saya ni untuk menulis kisah yang hampir sama dan berlaku pada diri dia sendiri.

Eloklah saya namakan kawan saya ni sebagai T saja. T yang hampir sebaya saya ni telah mendirikan rumah tangga dan mempunyai empat orang anak. Suami T merupakan pilihan keluarga. Menurut T, suaminya adalah seorang lelaki yang baik dan sangat bertimbang rasa. Dan T mengaku, hidupnya berbahagia di sisi suaminya.

Sebelum mendirikan rumah tangga, T sudah mempunyai kekasih hati (K). Tetapi cintanya mendapat halangan keluarga dengan alasan K tidak sama darjat dengan mereka. T anak orang berada dan ada gelaran sementara K hanyalah anak orang biasa saja. Kata T, pada mulanya dia tidak endahkan larangan keluarga. Dia tetap menjalinkan hubungan dengan K. Tetapi dugaan yang datang terlalu berat. Akhirnya dia dan K terpaksa mengalah. Dia akur dengan permintaan keluarga dan berkahwin dengan lelaki yang tidak pernah dicintai. Sejak itu, dia tidak tahu apa yang berlaku kepada K. Walaupun begitu, K tetap berada dalam ingatannya.

Nak dijadikan cerita, pada tahun lepas,
ketika menghadiri satu kursus, T tiba-tiba terserempak dengan K. Walaupun masa agak terhad, mereka sempat bertanyakan khabar diri dan keluarga masing-masing. Dari situ lah T dapat tahu yang K masih lagi solo. Kata K, hatinya tidak pernah terbuka buat wanita lain. Sejak dulu dan sampai bila-bila pun hanya T yang ada dalam hatinya. Hanya Tuhan yang tahu hati T saat mendengar pengakuan K. Terharu sangat-sangat. Dia tidak sangka K sanggup berkorban sampai macam tu sekali.

Sebelum berpisah, T dan K bertukar-tukar nombor telefon. Dan sejak tarikh itu, boleh dikatakan saban hari mereka berbual di telefon. Kadang kala sampai dua atau tiga kali sehari. Kata T, untuk mengelak daripada diketahui suaminya, mereka selalunya berbual semasa dia di pejabat sahaja. Saya tanya juga, sampai bila agaknya keadaan ini akan berterusan? Jawab T, dia sendiri tidak pasti kerana apa yang dia tahu, dia sangat bahagia dengan apa yang dilalui sekarang.

Saturday, November 21, 2009

Kenapa dia macam tu?

Saya cukup tak faham dengan perangai sesetengah orang yang sekejap mesra... sekejap tak mesra ni. Jumpa hari ini, dia amat ramah dan mesra dengan kita. Seolah-olah dia dah kenal kita berpuluh tahun Tetapi bila dia jumpa kita pada hari lain, dia buat macam tak kenal kita langsung. Puaslah kita senyum tapi jangan harap dia nak balas.

Ada beberapa orang yang saya kenal yang termasuk dalam kategori ini. Salah seorang daripadanya adalah isteri kawan baik suami saya. Pernah beberapa kali dia mengikut suaminya datang ke rumah. Dia juga agak peramah orangnya. Saya, kalau jumpa orang peramah, saya pun sama naiklah. Nak-nak pula dapat yang satu kepala.

Nak dijadikan cerita, satu hari tu saya terjumpa dia kat dalam satu kedai buku. Saya pun senyumlah kat dia. Tapi bukan dia nak balas, sebaliknya dia jeling pulak kat saya. Masa tu saya dah menggelabah, ingatkan tersilap orang. Tapi memang dia. Takkanlah saya tak kenal orang yang selalu saya jumpa. Masa tu saya memang rasa malu. Sedih pun ada jugak. Tak sangka dia boleh buat macam tu. Padahal saya rasa tak pernah buat salah kat dia pun. Yang hairannya, suami dia yang juga ada kat situ bukan main ramah lagi menegur saya.

Paling saya tak boleh lupa, masa dia mengikut suaminya berhari raya di rumah saya. Yang suaminya bukan main lagi bersembang dengan saya dan suami. Yang si isteri ni boleh pulak buat muka seposen aje. Sepuluh patah saya bercakap, sepatah aje dia jawab. Pandang muka kita pun tak nak. Yang saya pelik, kalau tak suka, kenapa datang? Tak ada siapa paksa pun. Tapi tak taulah pula kalau-kalau suami dia yang paksa. Selepas itu ada dua tiga kali saya terjumpa dia. Tapi saya tak berani nak tegur. Nanti kalau dia tak jawab, saya jugak yang berkecil hati.

Baru-baru ini, semasa menunggu Aisyah kat depan sekolah, saya terpandang dia yang juga sedang menunggu anaknya. Seperti biasa saya buat macam tak kenal dia. Tapi yang saya terkejut, tiba-tiba dia menyapa saya dengan ramahnya. "Hai! lama tak jumpa? Ceria betul warna baju... patutlah cuaca hari ni terang benderang aje." Saya pun apa lagi... orang dah menegur. takkan tak nak layan pulak.

Sekarang saya dah pandai. Saya biar dia yang mulakan dulu
. Kalau dia menegur, saya akan jawab. Kalau tidak, tidaklah. Tapi sampai sekarang saya tidak faham, kenapa dia macam tu? Dan kenapa ada orang yang macam tu?

Monday, October 19, 2009

Jumpa lagi...

Dah sebulan rupanya saya tak update blog. Bukan tak nak update... nak sangat, tapi seperti biasalah, ada saja rintangan (alasan la tu...) Biasalah bulan syawal ni, sana sini ada open house. Tak pergi, orang dah jemput. Saya sendiri tak buat open house pun... tapi ramai jugalah yang datang beraya. Semalam pun masih ada lagi yang datang. Pendek kata, sebulan Syawal ni asyik makan aje kerja saya. Ke rumah orang pun, saya makan. Orang datang ke rumah pun, saya makan. Itulah sebenarnya salah satu punca kenapa saya dah lama tak update blog. Bila dah banyak makan, badan jadi berat. Bila badan dah berat... mulalah rasa malas. (Itu yang betulnya... hehehe...) Tapi dalam sibuk beraya, saya juga sibuk menulis novel terbaru saya. Dah ramai yang bertanya... Insyaallah saya akan cuba siapkannya menjelang awal tahun depan.



Friday, September 18, 2009

Selamat Hari Raya Aidilfitri


Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua pengunjung blog saya. Saya juga ingin memohon ampun dan maaf seandainya ada sebarang kesalahan dan kesilapan yang saya lakukan sepanjang menulis di sini.

Sekali lagi, SELAMAT HARI RAYA, MAAF ZAHIR BATIN.

Sunday, September 13, 2009

Bahana bunga api


Selalunya paling lewat pun suami akan sampai di rumah sebelum pukul 12.30, tapi malam tadi (sebenarnya awal pagi tadi) dah masuk pukul 1.15, dia masih juga tak balik-balik. Dalam hati bersungut juga... yalah orang lain pun ke surau juga, tapi tak adalah balik selewat itu. Nak menelefon, dia tak bawak telefon pulak. Dalam dok tertanya-tanya tu, terdengar suara orang memberi salam. Memang dialah tu...

Rupa-rupanya suami dan beberapa orang lain melawat rumah seorang kawan di kawasan perumahan kami yang terbakar. Yang sedihnya kebakaran adalah berpunca daripada bunga api. Boleh pulak anak kawan suami saya ni bermain bunga api dalam bilik. Apa lagi dalam sekelip mata api menyambar langsir dan benda-benda lain dalam bilik tu. Kata suami, satu bilik tu memang musnah sampai ke siling. Itu pun nasib baik hanya bilik yang terbakar... dan nasib baik juga budak tu sempat keluar dari situ. Kalau tidak... tak taulah apa nak jadi.

Kesimpulannya di sini... tolonglah jangan bagi anak-anak bermain bunga api dan juga mercun. Ini saya tengok, kadang-kadang anak tak ada apa-apa tapi bapak pula yang lebih-lebih. Sanggup habiskan duit beratus-ratus ringgit semata-mata nak beli mercun. Dalam keadaan masih ada orang di luar sana yang tak dapat makan sebab tidak berduit, tapi mereka ni sanggup membakar duit macam tu saja...

Wednesday, September 9, 2009

Malang tidak berbau

Sebenarnya banyak benda yang nak diceritakan di sini tapi memandangkan masa yang agak mencemburui saya, maka biarlah lain kali saja saya bercerita. Untuk tidak membiarkan blog saya ini tidak berupdate, saya letakkan gambar kereta yang sedang terbakar ni. Sebenarnya kejadian ni berlaku di lebuhraya berdekatan Bukit Lanjan pagi tadi semasa saya dalam perjalanan ke EPF, Jalan Raja Laut. Kalau tak silap saya, pemandu kereta ini adalah seorang wanita. Tak boleh saya bayangkan kalau sayalah yang berada di tempat dia...

p/s - Gambar tak berapa terang. Maklumlah kereta tengah laju, tak sempat nak fokus betul-betul...

Monday, September 7, 2009

Selamat menduduki UPSR

Buat Aisyah dan semua pelajar tahun 6, diucapkan selamat menduduki peperiksaan UPSR yang akan bermula esok (08-10/09/09). Jawablah dengan tenang, yakin dan berhati-hati. Semoga berjaya. Insya-Allah...

Tuesday, September 1, 2009

Rindu kampung

Cepat betul masa berjalan. Diam tak diam dah 11 hari kita berpuasa. Bagi saya, bulan puasa tahun inilah saya paling bersederhana sekali. Hampir tak ada pembaziran langsung. Kuih muih memang saya beli dengan kadar yang sedikit dan yang betul-betul berkenan di hati. Kebetulan anak-anak juga tidak kisahkan kuih sangat. Kecualilah kalau pada masa ini saya berada di Kuala Terengganu, agaknya semua makanan saya mahu beli.

Rindu sungguh nak pekena puteri mandi, sekaya, pulut lepa, akok, nganang, lopat tikang, asang gupal, paung goreng, jala mah, kayu khamat, rojak kateh, sata dan yang paling istimewa sekali nekbat. (Sebut dalam loghat Terengganu ya!). Sebenarnya banyak lagi... tapi itu aje yang terlintas di kepala saya buat masa ni.

Selain kuih muih, ada lagi yang saya rindu, sangat rindu... bunyi bedil....

P/S... Sebetulnya banyak lagi yang nak saya coretkan tapi cukuplah setakat ini. Makin banyak saya bercerita, terasa hati ini bagai digamit-gamit untuk segera pulang ke kampung...

Inilah nekbat... hmmm sedapnya...
(gambar dicilok dari blog alia syuhada... heheh, jangan marah lia)

Ini pula bedil atau meriam yang sangat saya rindukan bunyinya
di saat berbuka puasa dan juga bersahur...

Friday, August 21, 2009

Selamat Menyambut Ramadhan Al Mubarak

Selamat menyambut kedatangan bulan Ramadhan Al Mubarak. Semoga Ramadhan kali ini lebih baik dari tahun-tahun lepas... dan mudah-mudahan segala amalan kita di terima Allah SWT. Insya-Allah...



Wednesday, August 19, 2009

Saya dan UPSR


Lebih kurang 3 minggu saja lagi Aisyah dan rakan-rakan di tahun enam akan menghadapi UPSR. Sebut pasal UPSR ni, sebenarnya saya yang terlebih risau... sedangkan si empunya badan setenang air di kali... pendek kata tenang dalam serba serbi. Apakah mak-mak budak lain pun berperasaan macam saya atau adakah anak-anak orang lain juga setenang anak saya? Entahlah...

Monday, August 17, 2009

Tak sihat


Bangun pagi tadi kepala terasa berat dan berdenyut-denyut.Mata pula terasa panas dan perit dan badan sangat lemah. Sebenarnya sejak malam tadi dah rasa tak sedap badan tapi malas nak pergi klinik. Ingatkan tak melarat. Pagi tadi pun ingat nak pergi kerja... tapi takut pulak makin teruk. Jadi suka tak suka, pergi jugaklah ke klinik. Dapatlah MC dua hari, doktor suruh berehat di rumah. Tapi bila di rumah faham-faham sajalah, mana boleh berehat sangat... ada saja benda yang nak dibuat.

Wednesday, August 12, 2009

Topeng punya hal

Memandangkan wabak H1N1 yang semakin menular, maka semua pegawai di ofis saya sepakat menggunakan topeng. Memang agak merimaskan tapi sekurang-kurangnya ia mampu mengurangkan risiko mendapat jangkitan. Mula-mula pakai topeng agak kecoh jugaklah. Sebenarnya bukanlah ada apa pun.... tapi saya yang menyebabkan suasana jadi kecoh.... heheh...

Memandai-mandai saya cakap yang cara dia orang pakai topeng tu tak betul. Kata saya, sepatutnya yang berwarna hijau tu dihalakan ke muka manakala yang berwarna putih pula di sebelah luar. Masa ni masing-masing dah keliru. Tapi sorang kawan beria-ia menidakkan kata-kata saya. Kata dia, apa yang saya beritahu tu tak betul. Untuk menguatkan hujahnya, di cakap, semasa dia melalui Hospital Ampang, dia nampak doktor dan nurse juga memakai dengan yang berwarna hijau di sebelah luar. Saya pula tak nak kalah. Saya cakap, mungkin masa tu dia silap tengok... (saja nak bagi dia marah.... hehehe...)

Baru sekejap ni saya tergerak hari nak check kat internet. Saja nak tengok... cara pemakaian yang betul. Hasilnya... heheh... memang saya salah...)


Wednesday, August 5, 2009

Traffic jam punya cerita

Saya rasa semua orang tak suka datang lambat ke ofis. Saya tak terkecuali. Tapi kerja kat KL ni faham-faham ajelah. Walau kita keluar macam mana awal sekalipun, kadang-kadang masih tak boleh nak sampai cepat. Sebabnya... keadaan jalan raya bukanlah boleh dijangka sangat.

Kadang-kadang hanya disebabkan sebuah kereta rosak, sesaknya sampai berkilometer panjangnya. Kalau ada kemalangan jalan raya... usah cakaplah, lagilah teruk. Yang peliknya... kemalangan berlaku kat seberang jalan sana tapi yang jalan sebelah sini pula yang beria-ia sesaknya. Habis camno? Semua pakat nak tengok apa yang berlaku. Itu belum lagi bila hari hujan. Punya sesak jalan... usah ceritalah. Masa ni memang dah tau... punch card mesti merah punya.

Sekarang dah jadi kebiasaan pulak... bila jalan sesak aje, saya terus ambil gambar. Bukan apa... bolehlah saya jadikan sebagai bahan bukti kalau-kalau ada yang kurang percaya... heheh. Tengoklah gambar-gambar kat bawah ni...

Wednesday, July 29, 2009

Gara-gara H1N1

Berita agak tidak menyenangkan bagi saya dan mungkin juga ibu bapa lain. Sekolah Kebangsaan Serendah dan Sekolah Rendah Agama Serendah (sekolah-sekolah tempat Aisyah belajar) ditutup bermula hari ini (29/7/2009) dan hanya akan dibuka pada 4/8/2009 gara-gara H1N1. Khabarnya sudah ada yang dijangkiti wabak penyakit H1N1 ini. Kalaulah berita yang saya dengar itu betul, tak kiralah siapapun orang berkenaan, sama ada pelajar atau guru, saya doakan dia/mereka cepat sembuh. Saya juga berharap agar wabak ini akan berakhir tak lama lagi dan keadaan akan kembali seperti sedia kala. Insya-Allah.

Saturday, July 25, 2009

Tepukan amal Islam

Sebagai menyahut seruan bikash, makanya saya tempekkan gambar amal Islam kat sini. Tapi nak cari sepuluh orang tu payah sikitlah. Jadinya saya ambik gambarnya aje. Boleh gitu? Heheh...


Monday, July 20, 2009

Pinjam punya pasal

Minggu lepas, Aisyah terpilih memasuki pertandingan kawat Puteri Islam. Memandangkan dia tidak mempunyai uniform, cikgu meminta dia meminjam dari kawan. Jadi keesokan harinya Aisyah ke sekolah dengan memakai uniform kawannya. Nak dijadikan cerita, di saat-saat akhir, Aisyah tidak terpilih memasuki pertandingan kawat tersebut. Alasan cikgu, seorang peserta lagi tidak hadir dan penyertaan Aisyah akan mencacatkan pasukan mereka. Balik petang itu, Aisyah terus mengadu pada saya. Katanya dia sedih sebab tidak terpilih. Sia-sia saja dia berlatih berkawat di tengah terik matahari dan sia-sia juga dia meminjam uniform kawannya. Puas jugalah saya cuba menenangkan dia.

Keesokan harinya, lebih kurang dalam pukul 8.20 malam, terdengar suara budak memberi salam. Saya terus ke hadapan. Rupa-rupanya kawan si Aisyah datang minta uniform yang dipinjamkan. Baru saya teringat uniform tu masih ada dalam bakul, belum berbasuh. Saya pun cakaplah kat budak tu, esok Aisyah akan bawa ke sekolah. Jadi malam tu, sempatlah saya basuh dan keringkan di bawah kipas sementara pagi-pagi besok pula saya akan seterika. Budak perempuan itu bersetuju dan beredar dari rumah saya. Tanpa bertangguh, saya terus memasukkan uniform tersebut ke dalam mesin basuh. Kalau berlengah nanti, bimbang terlupa...

Dua tiga minit kemudian, sekali lagi terdengar suara memberi salam. Lagi sekali budak tadi datang. Kali ini bersama ibunya pulak. Rupa-rupanya budak tadi tidak bersendirian. Ibunya ada bersama dan sengaja menunggu agak jauh dari rumah saya. Bila uniform tidak saya pulangkan, barulah ibunya bertindak datang untuk bersemuka dengan saya.

"Saya nak uniform anak saya," kata wanita itu dan dari nada suaranya, saya tahu dia sedang marah.
"Besoklah saya pulangkan, uniform tu saya tengah basuh," kata saya. Cuba bercakap selembut mungkin.
"Tak payah basuh... saya nak sekarang."
"Benda tu ada dalam mesin basuh... lagipun anak saya dah pakai. Takkan saya nak pulangkan macam tu aje," kata saya lagi.
"Suami saya mengamuk tau tak? Uniform tu baru aje kami beli... anak saya pun belum sempat pakai, dia boleh bagi pinjam kat orang." Marah benar bunyi suara wanita itu dan mukanya memang muka orang sedang marah.
"Ya ke? Saya memang tak tau. Kalau saya tau, saya takkan benarkan anak saya pinjam. Saya mintak maaf banyak-banyak. " Masa ini saya rasa sangat bersalah. Hanya kata-kata itu aje yang mampu saya ucapkan.
"Yang kita orang marah sangat... dia tak minta kebenaran kami pun. Alih-alih bila saya tanya, baru dia cakap uniform tu dia bagi pinjam kat kawan. Mau suami saya tak mengamuk."

Bila dengar macam tu, saya rasa semakin bersalah.
"Kalau macam tu tak apalah, saya ganti dengan yang baru. Kat mana beli uniform tu? Malam ni jugak saya ajak suami pergi." Tiba-tiba idea itu muncul di benak saya.
"Kat kedai uniform, sebelah Courts. Tapi tak tau sempat ke tak sebab kedai tu tutup pukul 9," kata wanita itu dan suaranya kedengaran lembut sedikit.
"Suami saya bukanlah apa... maid kami lari... tu yang dia jadi stres. Mana nak fikir pasal anak lagi... pastu budak ni pulak buat hal."
Banyak lagilah yang wanita itu cakapkan dan saya hanya iakan saja sebab masa tu fikiran dah ke kedai uniform tu aje. Takut tak sempat. Maklumlah masa tu dah pun hampir pukul 8.30 malam.

Dalam 8.40 malam, kami tiga beranak bergegas ke Bandar Rawang. Sepanjang perjalanan mulut saya tak henti-henti berdoa, agar kedai tersebut belum ditutup. Yang si Aisyah pulak tak sudah-sudah menyalahkan dirinya. Kata Aisyah, disebabkan dia, ibu kena marah. Jawab saya, dalam perkara ni, semua orang tak salah. Aisyah tak salah, kawan Aisyah tak salah, ibu bapa budak tu pun tak salah. Mungkin kalau saya sendiripun saya akan marah, tapi setakat marah anak sendiri ajelah. Tak adalah sampai nak ke rumah orang pulak. Saya, kalau bab-bab macam ni memang kurang berani sikit...

Dari jauh saya nampak kedai dah tutup separuh, sementara separuh lagi terbuka. Tapi suami kena buat U-Turn untuk sampai ke kedai tu. Saya berdoa lagi sekali supaya kami sempat sampai sebelum kedai benar-benar ditutup. Tapi bila sampai, saya rasa sedih yang amat. Kedai dah pun ditutup dan tiga orang pekerja sedang berjalan menuju ke kereta. Tanpa berlengah, saya cepat-cepat keluar dari kereta.

"Encik... kedai dah tutup ke?" tanya saya.
"Dah tutuplah kak."
"Boleh buka sekejap tak? Saya nak beli uniform." kata saya lagi.
"Mintak maaflah kak... akak datang besoklah,"kata lelaki itu.
Tidak berjaya memujuk, saya meminta suami pula untuk memujuk. Melihat kesungguhan saya dan suami, lelaki itu akhirnya bersetuju untuk membuka kedai semula dan menjual uniform Puteri Islam kepada kami. Syukur alhamdulillah. Lega...

Kepada Aisyah, sempat saya berpesan supaya tidak lagi meminjam apa-apa dari kawan-kawannya. Kejadian yang berlaku itu buat saya jadi serik.


Saturday, July 11, 2009

Sedih

Minggu lepas Ameer dah masuk kampus balik. Esok Agiliran Afiq pulak. Tinggal Aisyah aje sorang. Tak boleh saya bayangkan bila Aisyah juga akan tinggalkan saya satu hari nanti. Huh... sedihnya.

Sekarang saya faham bagaimana perasaan mak-mak kita, bila sorang demi sorang anak meninggalkan mereka.

Thursday, June 25, 2009

Selamat Ulang Tahun Sayang




Buat puteri tersayang, Aisyah Fatihah Suhaimi.
Selamat menyambut ulang tahun yang ke 12. Doa ibu, moga Aisyah akan jadi
seseorang yang disenangi semua orang.

Thursday, June 18, 2009

Anak kita tanggungjawab kita

Rasanya semua ibu bapa sayangkan anak-anak tetapi sejauh manakah mereka bertanggungjawab atas keselamatan anak-anak mereka? Baca 2 kisah dibawah dan sama-samalah kita renungkan.

KISAH 1

Jam sudah menunjukkan hampir pukul 7 malam. Semasa itu hujan renyai-renyai dan saya pula dalam perjalanan balik ke rumah. Lebih kurang 2 kilometer dari rumah, suami tiba-tiba memberhentikan kereta. Saya yang sedang lena, terus terjaga. Memandang suami dengan terpinga-pinga.

"Panggil budak tu... ajak naik kereta kita," kata suami sambil matanya memandang seorang kanak-kanak yang memakai uniform sekolah agama dan sedang berjalan meredah hujan. Saya lantas memanggil anak kecil itu dan mempelawa dia menaiki kereta kami.
"Adik nak balik mana ni?" tanya saya apabila budak itu berada dalam kereta. Dari saiz badannya yang kecil, saya boleh agak umurnya baru 7 tahun. (Agakan saya memang betul bila selepas itu saya bertanyakan umurnya)
"Nak balik Pusat Serenti."(Ibu bapa dia bekerja di Pusat Serenti dan tinggal di kuarters)
"Jalan kaki?"
Budak yang petah berkata-kata itu mengangguk.
"Budak besar ni balik Pusat Serenti jalan kaki sorang-sorang time macam ni? Mana mak ayah dia?" Saya bertanya suami dengan rasa marah. Bayangkan jarak antara sekolah agama dengan Pusat Serenti adalah hampir-hampir 3 kilometer. Sebelum sampai ke Pusat Serenti, budak ini terpaksa menempuh perkampungan orang asli terlebih dahulu. Kemudian dia juga akan melalui kawasan semak-samun. Di sepanjang perjalanan itu juga banyak anjing-anjing liar berkeliaran.
"Selalu adik naik apa?" soal suami saya pula.
"Selalu naik van... tapi hari ni kena tinggal dengan van tu."
"Kalau van tinggal... ayah atau mak tak datang jemput adik ke?" tanya saya pula.
"Tak..."
"Habis tu adik jalan kaki ke?" Soalan saya dibalas adik comel itu dengan anggukan.
"Selalu ke jalan kaki?" tanya suami pula.
Dia angguk lagi.
"Adik tak takut ke?" saya pula menyoal.
"Takut..."
Masa ni air mata saya cepat saja mengalir. Saya rasa sangat kesian dengan anak kecil tu. Saya bayangkan kalaulah anak saya yang terpaksa melalui apa yang dilalui anak kecil itu.

Sesampai di rumahnya, anak itu lantas berlari mendapatkan emaknya yang kebetulan berada di luar.
"Ini anak puan ke?" soal saya.
"Ya..." jawab wanita berusia dalam 30an itu.
"Saya jumpa dia jalan kaki sorang-sorang. Bahaya betul. Dah nak masuk maghrib ni. Dahlah hujan pulak tu," tambah saya lagi. Saja nak bagi mak dia rasa bersalah sikit.
"Van tinggalkan dialah tu."
Senangnya dia jawab. Tak nampak langsung dia risaukan anaknya. Kalaulah apa-apa jadi pada anak itu, siapa susah? Kalau sayalah di tempat dia, tentulah saya dah ajak suami atau saya sendiri yang akan keluar mencari anak saya. Kalau dah terpaksa sangat, saya akan tebalkan muka meminta pertolongan jiran. Biarlah... janji anak saya selamat.

KISAH 2

Balik dari kerja minggu lepas, saya singgah sebentar di Parkson Rawang. Semasa akan menaiki eskalator ke tingkat dua, saya jadi tergamam sekali. Seorang kanak-kanak (saya agak dalam lingkungan umur 2 ataupun 3 tahun) sedang menangis sambil merangkak atas eskalator yang sedang bergerak. Sementara emak dan abangnya sudah berada di atas.

"Cepat, dik..." jerit si emak dan anak lelakinya berulang kali sambil memandang anak kecil itu.
Si kecil yang saya kira sedang ketakutan ini makin kuat menangis.
"Cepat, dik... naik," jerit si emak lagi.
Anak kecil itu tiba-tiba berdiri... dan tiba-tiba juga badannya hampir tumbang ke belakang. Saya yang berada beberapa anak tangga di belakangnya, cepat-cepat melompat ke atas dan menyambar badan anak comel itu. Terasa macam herolah sekejap. Dan saya bersyukur kerana tindakan pantas saya itu telah berjaya menyelamatkan anak kecil itu.

Cuma satu yang saya tidak puas hati. Bukanlah sebab mak dia macam nak tak nak aje ucap terima kasih kat saya, tapi macam mana anak sebesar itu boleh ditinggalkan sendirian memanjat eskalator sedangkan emaknya sudah pun berada di atas. Pada saya, anak sebesar itu sepatutnya didukung atau kalau nak ajar anak tu berdikari sekalipun, apa salahnya kalau emaknya berada di sebelah dengan memimpin tangan si kecil itu. Ini tidak... boleh dibiarkan anaknya sorang-sorang. Kalau jadi apa-apa, macam mana?

Monday, June 15, 2009

Kembali ke sekolah

Tiba-tiba aje Aisyah mengadu dadanya sakit. Mulanya saya rasa pelik juga. Yalah, tengah elok-elok bergelak ketawa, takan cepat sangat datang sakit kut? Kemudian barulah saya teringat yang esok (oppss... hari ni. Baru perasan jam dah menunjukkan pukul satu lebih) dah mula sekolah balik. Bila dah buka sekolah... macam-macam penyakitlah yang datang kat dia... Hmmm... dah faham sangat.

Apa-apapun, selamat kembali ke sekolah buat semua murid dan guru sekolah.

Tuesday, June 9, 2009

Sepetang di Pesta Buku Singapura

Sepatutnya dari minggu lepas lagi saya nak postkan n3 ni tapi streamyx buat hal pulak. Tiga empat hari jugaklah. Bila streamyx dah ok, saya pulak sibuk dengan hal lain.

Apa yang saya boleh kata, pesta buku di Singapura tempoh hari sungguh menyeronokkan. Ternyata telahan saya dan Kak Aina Emir yang kami berdua bakal bersembang sesama sendiri sebab tak ada orang yang akan datang, betul-betul meleset. Tak sangka ramai juga pembaca di Singapura yang membaca novel kami dan sudi pula ke pesta tersebut semata-mata untuk bertemu kami. Hmm... terharu rasanya.

Buat sekian kalinya saya bertemu Mamajambu lagi (terima kasih mama untuk roti jala dan kari daging yang sangat sedap tu). Saya juga berkesempatan bertemu Alyze buat kali kedua, Maimun (adik mama jambu), Datin Ella, Sitti Faizah, Salmah dan ramai lagi. Di samping itu saya juga berpeluang bertemu dengan dua orang penulis Singapura iaiatu Zaleha Isnin dan juga Ria Andrianna. Sempat jugalah kami berbual mesra dan bertukar-tukar fikiran. Paling penting, orang-orang Singapura semuanya baik-baik dan peramah belaka. Terima kasih orang Singapura dan terima kasih buat Warisan Media yang bertanggungjawab 'membawa' kami ke sana.

Ini adalah sebahagian dari foto-foto semasa di Singapura (ehsan daripada mama jambu).



Sunday, May 17, 2009

Singapore World Book Fair 2009

InsyaAllah jika tiada aral melintang, saya dan Kak Aina Emir akan berada di World Book Fair @ Suntec City, Singapura pada hari Sabtu, 30hb Mei 2009 pada kira-kira jam 4 hingga 6 petang. Di sana kami akan berada di booth 4A21.
Buat pembaca novel di Singapura... jumpa anda di sana...

Wednesday, May 6, 2009

Apa ada pada panggilan?

"Kau nampak aku ni tua sangat ke?" Tanya sorang kawan semasa bertemu di Pesta Buku baru-baru ini. (Kawan saya ni bukan penulis ya?)
"Kenapa tanya macam tu?" soal saya.
"Yalah... semua dok panggil aku kakak. Yang muda-muda tu aku fahamlah... ni dah tua pun ada hati nak panggil orang macam tu. Ingat dia orang tu muda sangat agaknya."
Sebenarnya saya tak pelik pun dengan aduan kawan saya tu. sebabnya, saya sendiri pernah mengalaminya. Masa mula-mula dulu rasa geram jugaklah bila orang yang lebih tua daripada kita memanggil kita kakak. Rasa seolah-olah kita ni nampak macam tua sangat. Tapi bila difikir-fikir benda tu bukanlah masalah besar sangat pun. Tak jadi kudis langsung. Lagipun pada sesetengah orang panggilan kakak itu sekadar menunjukkan rasa hormat ataupun nak mewujudkan suasana mesra. Tapi janganlah pulak jadi macam kes di bawah ni. Yang ni memang kita boleh jadi hangin satu badan.
Suatu petang di sebuah kedai menjual majalah...
Saya : "Aci... tolong kira berapa harga semua ni."
Dengan menggunakan calculator, wanita separuh umur itu pun mengira harga kesemua majalah dan juga surat khabar. Kemudian memberitahu harganya.
Aci: "Semua majalah ni untuk cucu ke?" (Sambil matanya memandang Aisyah)
Saya: "Aci... saya ni nampak tua sangat ke? Ini anak sayalah." (Dengan mata yang sengaja dibuat besar).
Aci: "Ayoyo... sorry... sorry.. saya ingat awak punya cucu."
Kurang asam punya orang....

Friday, May 1, 2009

Apa yang mereka suka

"Kak mimie buatlah citer sedih pulak... citer sedihlah best. Macam Tinggallah Pujaanku tu"
"Kak mimie... buat macam novel Kalau Ada Jodoh tu... best sangat... kelakar giler."
"Kak Mimie... kita suka citer romantik, buatlah bab romantik lebih-lebih sikit."
"Kak Mimie tak teringin ke nak buat citer seram?"
Itulah antara permintaan/pertanyaan daripada pembaca-pembaca novel saya. Kalau ditanyakan saya sendiri, sebenarnya saya kurang gemar buat cerita sedih. Bila buat cerita sedih, saya rasa penat dan tension. Mau tak tension, masa menaip lagi saya dah menangis. Baca balik apa yang ditaip, saya menangis lagi. Tapi dalam tak gemar pun, setiap novel saya ada aje part sedih, tapi tak banyaklah. Hanya dalam Tinggallah Pujaan yang agak lebih sikit sedihnya.
Bab romantik pun saya kurang gemar sebenarnya. Bukan apa, segan dengan saudara mara, ipar duai dan anak-anak kalau ada yang membaca. Tapi segan-segan pun, adalah juga saya masukkan dalam setiap novel saya.
Cerita seram memang saya takkan buat sama sekali. Sebabnya saya ni agak penakut orangnya. Membaca pun saya tak berani, ini pula nak membuatnya. Jauh panggang dari api.
Tapi bab kelakar memang saya suka. Sebab itulah dalam setiap novel saya, saya akan pastikan ada unsur-unsur kelakar ni. Mungkin sebab saya ni kelakar orangnya (Ya ke? heheh... Hanya mereka yang rapat aje yang tau...)
Sebetulnya agak sukar untuk memenuhi kehendak setiap pembaca. Maklumlah selera mereka berbeza. Apa-apa pun saya akan sentiasa cuba untuk menghasilkan karya yang dapat memuaskan hati pembaca. Kalau pun bukan semua... sekurang-kurangnya sebahagian dari mereka dapat menerima hasil kerja saya. Insya-Allah...

Tuesday, April 28, 2009

Terima kasih banyak-banyak

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 dah pun menutup tirainya. Pada saya, pesta buku tahun ini sangat meriah. Malah tidak keterlaluan jika saya katakan ianya lebih meriah jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelum ni. Di samping berpeluang bertemu dan beramah mesra dengan penulis2 dan juga pembaca2 novel, buat pertama kalinya hari jadi saya disambut di acara yang berlangsung secara tahunan ini.

Terharunya rasa hati apabila hari jadi saya yang kebetulan jatuh pada hari terakhir pesta (26/4/2009) diraikan oleh pihak KarnaDya dengan begitu meriah sekali. Suasana jadi lebih meriah apabila orang ramai yang berada di booth KarnaDya turut sama menyanyi dan memeriahkan suasana. Malah orang ramai yang berada di sekitar juga turut datang meramaikan. Keadaan jadi lebih meriah apabila kek dibahagi-bahagikan kepada orang ramai.

Terima kasih saya ucapkan buat Kak Aina Emir dan juga warga KarnaDya atas susah payah mereka. Rasanya inilah sambutan hari jadi paling meriah buat saya. Juga sangat bermakna. Pasti ianya akan saya kenang sampai bila-bila. Buat insan-insan yang sudi memberi ucapan dan juga hadiah, terima kasih banyak-banyak. Saya sangat-sangat menghargainya...

Thursday, April 23, 2009

Terima kasih daun keladi...

Hari ini sekali lagi saya ke PBAKL untuk membuat pemilihan buku-buku untuk perpustakaan tempat saya bekerja. Semalam pun saya dah pergi. Banyak jugalah tajuk-tajuk yang dipilih. Kerja ni memang menyeronokkan, memang saya suka. Kena dengan jiwa saya.

Selesai kerja-kerja memilih, saya balik. Dalam perjalanan ke ofis, ternampak 2 missed calls dalam telefon bimbit saya. Saya panggil semula. Rupa-rupanya ada bunga dan kek untuk saya sempena hari jadi yang bakal disambut lagi tiga hari. Tak payah tanya nama pengirim, saya dah tahu siapa gerangan insan-insan yang baik hati dan pemurah itu. Siapa lagi kalau bukan Mamajambu, Sarra, CT dan Mimi. Di sini, sekali lagi saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada mereka berempat atas ingatan yang tidak berbelah bahagi buat saya. Moga Allah memurahkan rezeki dan memberkati mereka semua. Amin.

Kek yang sangat sedap. Hingga menjilat jari...

Terima kasih daun keladi... Kalau boleh... (lu fikir la sendiri... heheh gurau je...)

Wednesday, April 22, 2009

Pecah rumah

Dah dua hari tak masak, jadi hari ni saya ingat nak masaklah. Bukan apa, jemu jugak asyik makan kat luar aje. Sampai di rumah aje, Aisyah mengadu dia lapar. Laparnya pula dah tahap maksimum... maknanya dia kena makan dengan kadar yang segera. Jadi saya pun ajaklah budak-budak dan bapak budak makan di luar. Kalau nak tunggu saya masak, entah pukul berapa pulak Aisyah yang sedang lapar itu boleh makan. Tapi suami suruh saya aje pergi dengan anak-anak. Katanya, dia nak berehat di rumah. Dalam pukul 9.20 malam, saya dan anak-anak keluar dari rumah.

Selesai makan, kami terus balik. Lebih kurang dalam pukul 10.30, kami sampai di rumah. Dari dalam kereta lagi saya dah nampak suami tergesa-gesa berjalan ke pintu pagar. Hairan juga saya... nak ke mana pulak malam-malam macam ni? Rupa-rupanya dia nak pergi menjenguk jiran belakang yang rumahnya baru sahaja dipecah masuk. Kata suami, kejadian berlaku di antara pukul 8.00 hingga 9.30 malam, ketika jiran saya sekeluarga keluar makan. Semasa itulah, rumahnya kena pecah. Mengikut cerita suami lagi, orang/orang-orang yang melakukan kerja itu masuk melalui pagar dawai yang terlebih dahulu dipotong. Pastu mengumpil tingkap bilik serta memotong grill. Ada jugalah barang-barang yang diambil. Barang2 kemas isteri, kamera, tabung duit anak-anak dan apa lagi entah... Suami tak sempat nak bercerita panjang.

Kalau mengikut masa kejadiah, saya sekeluarga ada dalam rumah. Tapi macam mana kami tak boleh dengar? Itu yang saya hairankan sangat-sangat. Bukan jauh mana pun jarak rumah saya dengan jiran tu... hanya dalam beberapa meter saja.

Bila dah jadi macam ni, sayalah orang yang paling risau sekali. Malam ni dan malam-malam seterusnya pasti saya tak dapat tidur dengan lena. Apa-apapun saya berdoa agar keluarga saya akan sentiasa di dalam peliharaanNya juga. Amin.

Monday, April 20, 2009

PBAKL 2009

Dua hari berada di pesta buku (Sabtu & Ahad) badan terasa lesu sekali. Lenguh terasa semua sendi. Itu yang pelik tu... padahal bukan buat apa sangat pun. Setakat duduk2, sembang sikit2, gelak sikit2... pastu turunkan tanda tangan sikit2. Pendek kata semua sikit2. Tapi kesannya mengalahkan orang yang bekerja kat ladang sawit. Bikin malu saja.Tapi tu la... masa kat sana okey lagi. Bila dah sampai kat rumah barulah terasa. Bangun pagi tadi pun rasa macam malas nak pergi kerja.


Walau macam mana pun, saya tetap rasa seronok. Makin ramai orang yang saya jumpa, makin bertambah pula kenalan saya. Sarnia yang comel dan peramah (macam saya la tu... heheh). Nik Fauziah yang saya sangkakan tinggi dan besar tapi rupa-rupanya agak comel juga dan Umaira... pun comel orangnya. (Senang cakap... semua comellah...) Saya juga berpeluang mengenali Hani Fazuha dan Zara Aluwi. Lagi sape ya? Oh! ya... Aisya Sofea, Puteri Imaneisya dan juga Ebriza Aminuddin (Depa ni saya dah kenal sebelum ni lagi). Kak Aina Emir sudah semestinya dan MamaJambu yang turun dari Singapura untuk sama-sama memeriahkan pesta...
Tanpa pembaca siapalah saya. Di sini saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih buat semua yang sudi membeli novel-novel saya. Sokongan anda semua sangat-sangat saya hargai.
Hujung minggu ini saya akan berada di sana lagi. Mudah-mudahan saya akan bertemu lebih ramai orang dan bertambah pula kenalan saya. Insya-Allah.
p/S : Buat Wan yang datang dari Kuantan bersama2 Ina (kalau tak silap lah), terima kasih atas usaha gigih anda mempromote 'KALAU ADA JODOH' di tempat kerja anda di Hospital Kuantan. Sampaikan ada kawannya yang menampal buku KAJ di atas bonet kereta (Sampai sekarang saya tak boleh nak bayangkan benda ni... macam mana ek?)

Sunday, April 12, 2009

Bila Dah Suka

Bagi yang tidak jemu-jemu menyoal, inilah jawapannya. BILA DAH SUKA akan menemui anda dalam masa terdekat. Insya-Allah...


Kata orang, cinta pertama paling sukar untuk dilupakan. Kata orang lagi, bila kecewa dalam bercinta, kita memerlukan masa yang lama untuk sembuh. Benarkah begitu? Kalau benar, masakan dia senang sangat jatuh cinta dan senang pula melupakan?


Sebelum ini, sudah dua kali. Kini, hatinya terisi dengan nama lain pula. Mudah sungguh. Mungkin betul, dia memang jenis yang tidak boleh dibuat baik. Pantang orang buat baik sikit, senang sangat nak beri hati. Entahlah... Tapi apa sekalipun, dia yakin yang dia cintakan si dia. Cinta sungguh-sungguh.


BILA DAH SUKA’ membawa anda menyelami hati seorang gadis genit bernama Nurul Huda. Dia yang kecewa dengan perkahwinan insan yang dicintai membawa diri ke utara tanah air. Tetapi setiba di sana, sesuatu yang tidak diduga telah menimpa dirinya, lalu mengubah perjalanan hidupnya.

Saturday, April 11, 2009

Selamat Hari Jadi Nik

Istimewa buat Nik Fauziah. Meski belum pernah bersua, kemesraan tetap terasa. Terimalah...

Terima kasih anak-anakku

Petang semalam saya geram dan marah sungguh. Sampai rasa macam nak menangis. Tapi sesampai di rumah, semua rasa marah dan geram itu hilang begitu sahaja. Macam mana tu? Ceritanya macam ni...

Rutin saya keluar dari ofis setiap hari adalah dalam pukul 6.25 - 6.30 petang. Hanya sesekali saya balik cepat sikit. Itu pun kalau suami ada mesyuarat atau melawat site. Tapi semalam atas kesilapan dan kecuaian atau boleh juga saya sebut sebagai kedegilan orang lain, saya terpaksa menunggu hingga hampir pukul 7.15 malam. Tak perlulah saya beritahu siapa dan apa yang menyebabkan kelewatan itu. Tetapi memang saya geram. Saya kesian kat suami yang terpaksa menunggu saya hampir satu jam dalam kereta. Itu pun nasib baik dia faham...

Dalam perjalanan balik ke rumah, anak-anak asyik menelefon. Sekejap Aisyah, sekejap Afiq... lepas tu Ameer pulak. Sibuk mereka bertanya, bila mak dan abah nak sampai? Saya cakaplah yang hari ni memang kitorang akan lambat sampai. Paling awal pun dalam pukul 9.00. Kami berhenti sekejap di Restoran Jejantas Sungai Buloh untuk menunaikan solat maghrib. Baru je selesai solat, Afiq menelefon lagi. Minta saya belikan lauk-pauk. Katanya, mak tak payah masaklah sebab dah lewat sangat. Dia pun dah masak nasi dan gorengkan ayam. Sempat saya minta dia hantarkan Aisyah ke pusat tuisyen walaupun dia agak keberatan. Siap bagi alasan lagi. Saya rasa sedikit pelik. Selalunya dialah yang paling mengambil berat dan memaksa adiknya yang memang 'rajin' tu ke kelas tuisyen, tetapi semalam mereka macam nak bersekongkol pula. Tapi saya tak endahkan permintaan itu memandangkan sudah beberapa kali Aisyah 'tuang' kelas. Lagipun UPSR dah tinggal tak berapa bulan aje lagi.

Sesampai di rumah, keluar aje dari kereta, saya dah rasa semacam. Kalau sebelum ni, kasut-kasut dan selipar dibiarkan berselerak di muka pintu tetapi semalam, semuanya di simpan dalam rak. Halaman rumah juga kemas. Saya tak rasa apa-apa lagi, terus aje bagi salam dan sebaik pintu dibuka Ameer dan Afiq terus menerpa. Seperti biasa menyalami dan mencium kedua-dua belah pipi kitorang. Sepatutnya lepas tu, mereka akan terus pergi buat hal masing-masing tapi tak, mereka tetap berdiri di situ, tersengih-sengih memandang saya dan suami.
"Apa hal pulak ni? Ni mesti ada apa-apa..." kata saya.
Makin lebar sengih budak dua orang tu.
Saya terus masuk ke dalam. Wah! bukan main kemas lagi rumah. Rajinnya... ni mesti Afiq punya kerja. Hanya dia yang boleh diharap dalam bab kemas mengemas ni. Tiba-tiba saya terpandang sesuatu atas meja makan. Terus saya ke sana.

"Kek apa ni?" Saya bertanya dan masa inilah saya terpandang perkataan '22nd anniversary mak & abah' di atas kek. Laa... saya lupa, rupa-rupanya hari ini adalah hari ulang tahun perkahwinan saya dan suami yang ke 22. Patutlah budak-budak bertiga tu beria-ia sangat. Memang saya benar-benar lupa. Suami pun begitu. Teruk kan kami? Heheh...

Terus saya dan suami ucap terima kasih pada Ameer dan Afiq. Kesian Aisyah... dia tak sempat 'menikmati' saat-saat ibu dan abahnya menerima kejutan ini. Kalaulah saya tahu, dah tentu saya izinkan dia tuang kelas tuisyen malam tadi. Dan malam tadi juga saya dan suami dilayan dengan begitu istimewa. Anak-anaklah yang menghidangkan makanan dan mereka jugalah yang menyendukkan untuk kami. Terharunya... bukan senang nak menerima layanan yang begitu dari anak-anak.

Untuk anak-anak mak/ibu (hanya Aisyah panggil saya ibu) dan abah, Ameer, Afiq dan Aisyah... berbanyak-banyak terima kasih mak dan abah ucapkan. Seperti mana korang semua sayang mak dan abah, begitu jugalah kami sayangkan korang semua.

Terima kasih juga untuk kek comel dan sedap ni


Tuesday, April 7, 2009

Ayah...

Baru-baru ni ada seseorang bertanya saya. Dalam kesemua novel saya, mana satu yang paling terkesan di hati saya? Laju aje saya jawab... Tinggallah Pujaan. Walaupun ada yang kata mereka lebih menyukai Kalau Ada Jodoh, Maafkan ku sayang, Bisikan Rindu mahupun Masih ada Rindu tapi pada saya Tinggallah Pujaan sangat istimewa.

Nurain adalah gambaran saya semasa kecil. Seorang kanak-kanak nakal, degil, suka memberontak, suka melawan dan sering menyakat serta menyakiti adik-adik. Sebahagian besar kisah Nurain dalam TP (zaman kanak-kanak aje, ya) adalah kisah saya sendiri. Mak dan ayah berpisah sejak saya kecil dan sejak itu saya adik beradik tak pernah merasa kasih sayang seorang ayah. Memanglah ayah selalu datang menjenguk kami tetapi saya tak rasa apa-apa pun. Tak rasa sayang sebagaimana saya sayang emak, abang dan adik-adik saya. Kami juga tidak mesra dengan ayah. Pendek kata kami tak rasa dia ayah kami. Kami rasa dia macam orang lain aje. Tetapi satu yang saya rasa saya patut berterima kasih. Ayah tak pernah lupa memberi nafkah kepada kami anak-anaknya dan dia hanya berhenti menghulurkan wang perbelanjaan bulanan kepada saya setelah saya berkahwin.

Saya masih ingat semasa adik bongsu saya meninggal dunia. Ketika itu, arwah adik baru berusia 4 tahun. Ayah menangis sampai naik lencun tuala di tangan. Apa taknya, sampai ke akhir hayat adik, dia tidak mahu mengaku yang ayah itu adalah ayahnya. Malah, ayah dikatanya orang gila. Dia sering menganggap arwah atuk sebagai ayah kami. Kebetulan kami memanggil atuk dengan panggilan ayah. Walaupun waktu itu saya baru berusia 7 tahun tapi saya masih ingat kesemuanya. Saya juga masih ingat bagaimana saya ketawa bila melihat adik saya dimandikan, dikapan dan diletakkan di tengah-tengah rumah. Saya ingatkan ada majlis yang istimewa untuk adik. Maklumlah adik anak bongsu, jadi semua orang dalam rumah tu (emak, atuk, nenek, bapak/mak saudara) sayang dia. Bila sedar yang adik sudah 'tiada', barulah saya menangis. Sebenarnya banyak sangat kenangan hidup saya, baik suka mahupun duka. Semuanya masih kekal dalam ingatan saya.
Untuk ayah... saya tidak pernah lupa doakan dia. Semoga hidupnya sentiasa diberkati dan di dalam peliharaan Allah jua.


Tuesday, March 31, 2009

Jom pesta

Besok dah masuk bulan April. Maka seperti tahun-tahun sebelum ini, sekali lagi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur akan menemui kita semua. Insya-Allah jika tiada aral dan halangan, saya akan berada di sana untuk sama-sama memeriahkannya. Jom pesta...

Sunday, March 22, 2009

Hantu buku

Semalam (hari Sabtu bersamaan 21/03/09) saya, suami dan Aisyah ke Muar kerana menghadiri majlis perkahwinan Aliff, rakan sekerja saya. Kami pergi secara konvoi dengan tiga buah lagi kereta. Pukul 9.00 pagi saya bertolak dari rumah, hampir pukul 1.30 kami sampai di rumah pengantin di Muar. Saya tak tunggu lama. Selesai makan dan bersembang ala kadar dengan kawan-kawan, saya terus balik. Bukan apa, malam tadi ada pulak jiran buat kenduri tahlil. Kalau tak pergi rasa macam tak kena pulak. Tu yang kena cepat balik.

Selamat Pengantin Baru (Aliff dan Azlin). Moga bahagia hingga ke akhir hayat.

Sepanjang perjalanan pergi dan balik dari Muar, Aisyah monyok aje. Mau tak monyok... rupa-rupanya dia tertinggal bahan bacaan kat rumah. Sebelum ni setiap kali ke mana-mana, dia mesti bawak buku. Tapi semalam buat pertama kalinya dia terlupa nak bawak. Jadi, tak tau nak buat apa... dia asyik tidur aje. Lepas tu main game. Bila bateri hp dah kong, dia ajak saya singgah kat mana-mana kedai buku. Manalah nak jumpa kedai buku kat tengah-tengah highway tu. Akhirnya tak nak dia bising terpaksalah saya singgah kat Popular Selayang Mall. Beli 'New Moon' dan 'Belajar Santai Impak Maksima' untuk dia. Sehari sebelum tu dah beli 'Twilight' dan dia dah habis baca dalam masa satu hari je.

Punya la seronok sangat sampaikan tak sudah-sudah dia memuji saya. Ibu baik, ibu cantik dan yang paling tak tahan tu dia boleh cakap ibu ni nampak muda. Ha... ha... ha... saya gelak aje. Tau sangat taktiknya. Bukan apa, sebab ada dua lagi tajuk yang dia minta saya belikan, 'Eclipse' dan 'Breaking Dawn'.

Petang semalam beli, pagi ni dia dah khatam buku tu. Malam tadi entah pukul berapa dia tidur pun saya tak sedar. Dia ni kalau dengan buku memang berhantu. Memang dari kecil macam tu. Kalau kanak-kanak lain sibuk dengan barang permainan, dia pula pantang nampak buku.

Thursday, March 12, 2009

Cerita kahwin lagi...

Cuti sekolah datang lagi. Bila cuti sekolah je... ramailah orang kahwin. Bila ramai orang kahwin... cuti sekolahlah tu. Maka saya pun teringatlah masa saya berkahwin dulu. Musim cuti sekolah jugaklah. Tarikhnya pun saya masih ingat (melampau la kalau tak ingat...)
Dalam seronok nak kahwin, saya sebenarnya cemas. Maklumlah saya hanya kenal suami sorang aje, sedangkan saya langsung tak kenal keluarga dia. Maknya saya pernah jumpa sekali aje. Itupun masa bertunang dan kalau tak silap saya, kami tak bercakap pun masa tu. Suami juga tak pernah bawa saya ke rumahnya. Seganlah kot... maklumlah bapaknya seorang tok kadi dan guru agama juga.
Seminggu selepas majlis di Kuala Terengganu, saya dan keluarga ke Johor pula untuk majlis sambut menantu. Hari pertama di sana saya masih okey. Yalah masa tu mak, abang, adik dan saudara mara masih ada lagi. Bila mereka semua balik, saya dah mula tak tau nak buat apa. Nak bersembang dengan keluarga mertua pun saya rasa kekok. Yang suami pulak asyik berkepit dengan anak-anak saudara dia je. Masa tu saya rasa sedih dan terbuang. Rasa macam suami dah tak sayang kat saya. Tak tahu nak buat apa, saya basuh pinggan. Itu ajelah yang saya boleh buat. Pantang nampak pinggan atau cawan kotor, cepat-cepat saya mengambil dan membasuhnya. Pendek kata masa saya selama di rumah mertua banyak dihabiskan dengan berdiri kat singki aje.
"Dah-dahlah la tu Nani... nanti kecut pulak jari-jari tu..." tegur mak mertua saya. Agaknya dia pun hairan dengan menantu yang terlebih rajin ni.
"Tak apalah... dah biasa..." jawab saya. Padahal sayalah manusia yang paling malas membasuh pinggan kalau kat rumah.
Hari ketiga di sana, suami bawak saya ke dusun bapa dia. Anak-anak saudara dia pun tak lepas peluang, ikut sekalilah. Saya pun macam orang jakunlah. Seronok sangat dapat tengok buah durian, rambutan, manggis atas pokok secara live. Kebetulan buah tengah banyak. Tapi yang tak seronoknya suami tak layan sayapun. Dia asyik dengan anak-anak buahnya tu. Saya dibiarkan sorang-sorang. Kecil hati punya pasal, saya jalan sorang-sorang kat dalam dusun tu. Lepas tu saya menyorok kat belakang tunggul besar. Biar suami tak jumpa saya... yalah dia kan dah ada anak-anak buah yang dia sayang sangat. Buat apa pedulikan saya lagi. Kat situ saya menangis semahu-mahunya. Saya rasa sedih sungguh. Rasa macam nak balik Kuala Terengganu masa tu jugak.
Dalam saya dok menangis tu, suami pulak sibuk mencari. Tau jugak dia risau.
"Kenapa ni? Kenapa Nani nangis?" Saya masih ingat rupa suami saya masa tu. Cemas betul. Mungkin dia ingat saya sakit kut.
"Nak balik..."
"Nak balik mana?"
"Balik Kuala Terengganu," kata saya lagi. Saya dah tak peduli anak-anak saudara suami yang seramai empat orang itu. Kerana dia oranglah suami tak layan saya.
Masa tu puaslah suami pujuk saya. Macam pujuk budak kecik.
Bila ingat peristiwa tu, saya rasa lucu sangat. Nasib baiklah suami saya tu jenis yang sabar dan pandai memujuk. Dia juga jauh lebih matang dari saya walaupun perbezaan umur kami hanya dua tahun Saya pulak walaupun dah 24 tahun masa tu tapi perangai tak matang langsung. Saya juga suka bergurau lebih-lebih dan agak gila-gila (masa dulu la... sekarang dah okey... heheh). Tapi depan mertua, pijak semut pun tak mati. Kononnya sayalah menantu mithali. Berlakon cukup pandai. Bercakap pun lemah lembut aje.
Nak dijadikan cerita, satu hari tu suami mengusik saya. Lagi saya marah, lagi dia mengusik. Geram dengan dia, saya apa lagi... bagilah penampar kat belakang dia (tampar-tampat manja). Siap dengan membebel lagi tu. Masa tu saya ingatkan hanya saya dan suami aje ada kat ruang dapur tu. Rupa-rupanya mak dan bapa mertua pun ada sekali. Terkebil-kebil dia orang memandang kami. Agaknya dorang fikir saya ni jenis menantu yang suka mendera suami. Hah! pucat muka saya sekejap.
Itulah secebis kisah saya semasa mula-mula mengharungi alam perkahwinan. Banyak sangat kenangan manis dan pahit juga. Pahit kerana dua minggu selepas berkahwin, saya terpaksa meninggalkan suami. Saya di KL dan dia pula di KT. Nak masuk dua orang anak barulah kami dapat bersama di bawah satu bumbung. Alhamdulillah... 10 April nanti, genaplah 22 tahun usia perkahwinan kami. Sedangkan lidah lagi tergigit, begitulah juga kami. Doa saya, mudah-mudahan kebahagiaan ini akan berkekalan hingga ke akhir hayat... Insya-Allah...

Monday, March 9, 2009

Kahwin muda

Dua minggu lepas, kawan saya mengadakan majlis pernikahan untuk anak perempuannya. Sementara kendurinya akan diadakan lagi dua minggu. Sebenarnya anaknya tu baru berusia 21 tahun, begitu juga dengan menantunya. Kata kawan saya, anak dan menantunya itu baru saja tamat belajar peringkat diploma dan belum bekerja pun. Tapi disebabkan risau dengan hubungan mereka berdua yang dah terlalu akrab, lalu kawan saya dan suami sepakat dengan keluarga lelaki untuk segera menikahkan kedua teruna dan dara itu. Kebetulan ibu bapa lelaki juga turut mempunyai rasa yang sama. Jadi, tiada masalahlah.

Bila dengar cerita kawan saya tu, saya terus teringat pada anak-anak saya sendiri. Ameer dah masuk 21 tahun, sementara Afiq pula 19. Dua-dua masih belajar. Dua-dua pun dah ada awek walaupun kalau boleh saya nak sebaliknya. Pada saya, masa tengah belajar ni, tumpukan dulu pada pelajaran. Dah habis belajar nanti, barulah boleh fikir pasal awek. Tapi saya tahu, bab lain mungkin dia orang boleh ikut... tapi bukan bab yang satu ini. Jadi, saya terpaksalah menjadi ibu yang sporting walaupun saya tau saya bukan jenis yang begitu. Cuma saya selalu nasihatkan dia orang agar tau menjaga batas-batas dalam pergaulan.
Tapi untuk ikut jejak kawan saya tadi... entahlah. Saya belum terfikir pun, malah belum bersedia ke arah itu. Saya pun pernah cakap kat anak-anak. Paling cepat mungkin lima atau enam tahun lagi... Harap-harap mereka fahamlah...

Saturday, February 28, 2009

Tag Pu3 Imaneisya

Tak pernah sebelum ni saya jawab tag. Bukan tak nak jawab tapi tak sempat. Ini adalah kali pertama, itu pun sebab soalannya simple dan tak memerlukan masa yang banyak. Kebetulan Aisyah sudi tolong ibu dia ni. Lagipun ini adalah kali kedua Pu3 tag saya. Kalau tak jawab jugak, takut dia merajuk la pulak...

1- you have to point out 5 romantik movies that your would love to share with your loved one.

2-it doesn't have to be in order... as long as you love the movies it will be fine.

Saya sebenarnya jarang menonton filem... kat tv adalah sesekali. Kat panggung wayang jauh sekali. Nak tau tak bila kali terakhir saya masuk panggung wayang? Kalau tak silap saya dalam tahun 1985, saya menonton filem Azura. (Ya ke 1985?) Yang saya ingat, masa tu saya masih belajar lagi. Siap buat rombongan Cik Kiah ke panggung wayang dengan kawan2.
Minggu lepas, cadangnya nak pergi la tengok citer Geng Pengembaraan Bermula. Tapi sudahnya, hanya anak-anak yang pergi.

Berikut adalah 5 buah filem romantik yang pernah saya tonton dan saya suka...



3-you have to tag another 5 person to answer this tag
Inilah pula nama-nama yang terpilih :

1. Aisyah
2. Ameer
3. Eita
4. Luckylia
5. Ameera

Thursday, February 26, 2009

Teruk kan?

Tiba-tiba seseorang menegur saya dengan suara yang sangat ceria. Ketika itu saya di food court, Jalan Duta. Kata wanita yang sedikit berusia daripada saya itu, dia sangat seronok bertemu saya sebab dah lama sangat kitorang tak bertemu. Saya pun seronok juga sebab saya pernah rapat dengan kakak tu. Dulu dia bekerja di Kementerian Kewangan. Apabila Kem. Kewangan berpindah ke Putrajaya, hubungan kami terus terputus. Pada pertemuan tu, sempatlah kami bertanya perihal diri dan keluarga masing-masing.

Tapi yang buat saya sakit hati kat diri sendiri masa tu, saya boleh lupa nama kakak tu. Puas saya cuba mengingat, tapi tak ingat2 jugak. Sepanjang perbualan kami, saya terpaksa membahasakan dia dengan panggilan akak aje. Habis nak wat camne? Nak bertanya, takut kakak tu kecik hati pulak. Yalah, sikit punya rapat tu... tapi boleh tak ingat nama dia. Memang melampau...

Masa nak berpisah, dia mintak nombor telefon saya. Saya pun mintak nombor dia jugak. Masa nak save nombor dia, saya jadi gelabah. Yalah nak save dengan nama apa? Masa ni ringan aje mulut nak tanya nama dia... tapi tak tergamak. Akhirnya saya belasah aje letak nama dia 'Zaiton.' Saya rasa macam sesuai aje nama Zaiton dengan kakak tu.

Seminggu selepas tu barulah saya ingat nama kakak tu. Itu pun sebab saya bertanyakan seorang kenalan yang secara kebetulan menelefon saya. Kenalan saya itu juga mengenali kakak tadi. Oh! ya, nak tau apa nama kakak tu? Namanya Zaharah. Ala... lebih kurang aje dengan nama Zaiton tu... heheheh

* Entri ni ditaip setelah menerima motivasi dari seseorang (Siapa lagi kalau bukan Nik yang tentunya seorang yang rajin mengupdate blog... heheh) Kalau tidak, mana bisa dia memberi motivasi? Betul nggak?



Wednesday, February 18, 2009

Penat

Penat... itu yang saya rasa hari ini. Bukan badan saja yang penat, tapi otak pun sama penat. Banyak betul yang nak kena fikir, sampai tak terfikir. Banyak sangat yang nak kena buat, sampai tak sempat buat.
Lepas ni, saya nak masuk tidur. Saya tak nak fikir dan tak nak buat apa-apa lagi walaupun banyak perkara yang nak kena fikir dan banyak benda yang nak kena buat. Esok aje la saya fikir... esok aje la saya buat.

Sunday, February 15, 2009

Persamaan

Bila dah siap novel sendiri, barulah ada can nak baca novel orang lain pulak. Kebetulan membaca novel adalah hobi saya. Cuma sejak jadi penulis ni, saya tak dapat sangat nak membaca dalam jumlah yang banyak macam dulu-dulu. Tapi saya tetap beli untuk buat koleksi.

Baru-baru ni saya adalah beli beberapa buah novel. Tapi baru sebuah yang sempat dibaca. Itupun belum khatam lagi. Baru nak masuk separuh. Tapi yang buat saya macam tersentap sikit, ada beberapa perkara dalam novel ni macam nak sama pulak dengan novel terbaru saya. Bukanlah ketara sangat tapi adalah sedikit persamaan dari segi dialog, insiden dan juga lokasi.

Camne nak buat ye? Novel penulis ni dah berada di pasaran, sementara novel saya pula akan terbit tak lama lagi. Nak ubah, memang tak dapeklah den nak ubah sebab akan melibatkan banyak benda dan memakan masa. Jadi, nak tak nak teruskan ajelah. Lagipun bukanlah besar sangat pun perbezaannya. Jalan ceritanya juga totally berbeza.

Tapi rasanya bukan saya seorang yang berhadapan dengan situasi ini. Mungkin penulis lain pun macam tu jugak. Cuma diharapkan tidak akan ada yang menganggap saya menciplak karya orang lain.

Wednesday, February 4, 2009

Tak masuk dek akal

Setiap pagi dalam perjalanan ke tempat kerja, saya suka dengar celoteh Faizal Ismail dan Fara Fauzana di Hot FM. Bila dia orang buat lawak, saya turut tergelak sama. Paling saya suka, panggilan hangitlah. Macam ia-ia aje cara dia orang berdua tu kenakan orang. Memang real lah...

Pagi tadi seperti biasa, saya dengar Hot FM lagi. Kebetulan topik yang dibincangkan agak menarik juga. 'Berpisah atau putus atas sebab-sebab yang tidak masuk dek akal.' Begitulah lebih kurang tajuknya. Jadi macam-macamlah cerita dari pendengar yang sudi berkongsi kisah masing-masing. Ada yang putus sebab bakal tunang tak de gigi. Ada pulak tu sebab perempuan tu rasa pak we dia handsome sangat. Paling tak masuk dek akal, ada isteri yang mengambil keputusan untuk bercerai hanya disebabkan tidak berpuas hati dengan cara suaminya menggunakan ubat gigi. Si suami gemar memicit ubat gigi dari atas, sedangkan si isteri lebih selesa memicit dari bawah. Hanya kerana kes tersebut, si isteri mengambil keputusan untuk bercerai. Memang tak masuk dek akal, kan?

Bila dengar topik tadi, saya jadi teringat pada kisah saya sendiri. Masa tu saya tengah menunggu keputusan SPM, manakala 'dia' pula sedang menjalani latihan di PULAPOL. Abang polis la ni... hehe... (Sebenarnya dia ni kawan abang saya). Nak dijadikan cerita, masa nak sambut hari raya, 'dia' kirim kad Selamat Hari Raya untuk saya. Bukan main berbunga-bunga lagi bahasa yang 'dia' tulis dalam kad tu. Tak cukup dengan itu, 'dia' turut kepilkan sekali gambar 'dia' yang lengkap beruniform. Siap dengan kata-kata romantis lagi kat belakang gambar tu.

Memanglah seronok dapat kad dan gambar dari pak we. Tapi yang tak seronoknya sampul tu tak bergam. Dahlah tak bergam, posmen tersilap hantar pulak ke rumah jiran. Apa lagi, dengan tak ada rasa bersalah langsung, jiran yang sebaya arwah mak tu pun buka dan bacalah kad tu. Siap tunjuk kat satu famili lagi. Dah puas baca dan nengok rupa pak we kita, barulah nak serah kad tu pada mak. Siap boleh usik-usik lagi tu. Kononnya mak akan dapat menantu polis.

Saya apa lagi... angin satu badanlah. Yang adik perempuan saya pulak sama naik mengejek. Konon-kononnya dia nak dapat abang ipar polis. Sakit hati punya pasal, saya gali satu lubang kat tepi rumah, lepas tu saya tanam gambar 'dia' kat dalam lubang tu. Biar padan muka 'dia'. Sapa suruh gatal sangat hantar kad raya tak bergam? Dah tau nak tulis ayat jiwang-jiwang... gamlah sampul tu elok-elok.

Hari tu jugak saya kirim surat kat 'dia' minta putus. Saya tak beri alasan apa pun, cuma saya cakap saya dah tak boleh teruskan dengan 'dia'. Masa 'dia' balik bercuti, 'dia' ada jumpa saya. Sebenarnya bukan berjumpa tapi terjumpa. Masa tu saya kat stesen bas Kuala Terengganu, baru habis kelas menaip. Dia siap tanya lagi, apa salah dia? Tapi saya tak jawab pun. Saya terus naik bas, dan tinggalkan '
dia' sendirian kat situ. Dari atas bas saya nampak muka 'dia' yang sedih. Tapi masa tu saya tak rasa kesian langsung. Saya masih rasa geram bila teringatkan kad raya yang 'dia' kirim untuk saya. Kerana kad itulah saya kena ejek dengan semua orang.

Lepas itu ada juga 'dia' kirim surat walaupun saya tak pernah balas. Dia juga akan singgah ke rumah setiap kali balik bercuti (dia pun orang Kuala Terengganu). Tapi makin lama dia makin jarang datang. Surat juga dah tak diutuskan macam dulu. Mungkin dia pun dah malas nak melayan ego saya.
Kalau dulu saya tak pernah rasa bersalah, tapi bila dah agak lama baru saya sedar yang tindakan saya tu agak kejam. Yalah... hanya disebabkan sekeping kad ucapan hari raya dan sekeping gambar foto, saya boleh tinggalkan dia. Tak masuk dek akal, kan? Tapi itulah... mungkin sebab saya muda sangat kut masa tu. Jadi buat keputusan pun main ikut sedap rasa aje...

Sunday, January 11, 2009

Tajuk oh tajuk

Alhamdulillah, akhirnya siap juga novel saya. Sekarang dalam proses mengedit. Sebelum hantar kepada penerbit, saya kena pastikan tiada kesalahan yang berlaku. Mungkin kalau ada pun, hanyalah kesalahan kecil.

Hanya satu masalah saya sekarang. Tajuk. Semasa menaip entry ni, saya masih belum ada tajuk untuk novel ini. Sebenarnya banyak yang melintas kat kepala ni tapi semuanya macam tak kena aje.

Oklah... saya tak nak membebel panjang-panjang. Moga sehari dua ni saya akan dapat ilham untuk tajuk novel ni...