Tuesday, April 28, 2009

Terima kasih banyak-banyak

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 dah pun menutup tirainya. Pada saya, pesta buku tahun ini sangat meriah. Malah tidak keterlaluan jika saya katakan ianya lebih meriah jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelum ni. Di samping berpeluang bertemu dan beramah mesra dengan penulis2 dan juga pembaca2 novel, buat pertama kalinya hari jadi saya disambut di acara yang berlangsung secara tahunan ini.

Terharunya rasa hati apabila hari jadi saya yang kebetulan jatuh pada hari terakhir pesta (26/4/2009) diraikan oleh pihak KarnaDya dengan begitu meriah sekali. Suasana jadi lebih meriah apabila orang ramai yang berada di booth KarnaDya turut sama menyanyi dan memeriahkan suasana. Malah orang ramai yang berada di sekitar juga turut datang meramaikan. Keadaan jadi lebih meriah apabila kek dibahagi-bahagikan kepada orang ramai.

Terima kasih saya ucapkan buat Kak Aina Emir dan juga warga KarnaDya atas susah payah mereka. Rasanya inilah sambutan hari jadi paling meriah buat saya. Juga sangat bermakna. Pasti ianya akan saya kenang sampai bila-bila. Buat insan-insan yang sudi memberi ucapan dan juga hadiah, terima kasih banyak-banyak. Saya sangat-sangat menghargainya...

Thursday, April 23, 2009

Terima kasih daun keladi...

Hari ini sekali lagi saya ke PBAKL untuk membuat pemilihan buku-buku untuk perpustakaan tempat saya bekerja. Semalam pun saya dah pergi. Banyak jugalah tajuk-tajuk yang dipilih. Kerja ni memang menyeronokkan, memang saya suka. Kena dengan jiwa saya.

Selesai kerja-kerja memilih, saya balik. Dalam perjalanan ke ofis, ternampak 2 missed calls dalam telefon bimbit saya. Saya panggil semula. Rupa-rupanya ada bunga dan kek untuk saya sempena hari jadi yang bakal disambut lagi tiga hari. Tak payah tanya nama pengirim, saya dah tahu siapa gerangan insan-insan yang baik hati dan pemurah itu. Siapa lagi kalau bukan Mamajambu, Sarra, CT dan Mimi. Di sini, sekali lagi saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada mereka berempat atas ingatan yang tidak berbelah bahagi buat saya. Moga Allah memurahkan rezeki dan memberkati mereka semua. Amin.

Kek yang sangat sedap. Hingga menjilat jari...

Terima kasih daun keladi... Kalau boleh... (lu fikir la sendiri... heheh gurau je...)

Wednesday, April 22, 2009

Pecah rumah

Dah dua hari tak masak, jadi hari ni saya ingat nak masaklah. Bukan apa, jemu jugak asyik makan kat luar aje. Sampai di rumah aje, Aisyah mengadu dia lapar. Laparnya pula dah tahap maksimum... maknanya dia kena makan dengan kadar yang segera. Jadi saya pun ajaklah budak-budak dan bapak budak makan di luar. Kalau nak tunggu saya masak, entah pukul berapa pulak Aisyah yang sedang lapar itu boleh makan. Tapi suami suruh saya aje pergi dengan anak-anak. Katanya, dia nak berehat di rumah. Dalam pukul 9.20 malam, saya dan anak-anak keluar dari rumah.

Selesai makan, kami terus balik. Lebih kurang dalam pukul 10.30, kami sampai di rumah. Dari dalam kereta lagi saya dah nampak suami tergesa-gesa berjalan ke pintu pagar. Hairan juga saya... nak ke mana pulak malam-malam macam ni? Rupa-rupanya dia nak pergi menjenguk jiran belakang yang rumahnya baru sahaja dipecah masuk. Kata suami, kejadian berlaku di antara pukul 8.00 hingga 9.30 malam, ketika jiran saya sekeluarga keluar makan. Semasa itulah, rumahnya kena pecah. Mengikut cerita suami lagi, orang/orang-orang yang melakukan kerja itu masuk melalui pagar dawai yang terlebih dahulu dipotong. Pastu mengumpil tingkap bilik serta memotong grill. Ada jugalah barang-barang yang diambil. Barang2 kemas isteri, kamera, tabung duit anak-anak dan apa lagi entah... Suami tak sempat nak bercerita panjang.

Kalau mengikut masa kejadiah, saya sekeluarga ada dalam rumah. Tapi macam mana kami tak boleh dengar? Itu yang saya hairankan sangat-sangat. Bukan jauh mana pun jarak rumah saya dengan jiran tu... hanya dalam beberapa meter saja.

Bila dah jadi macam ni, sayalah orang yang paling risau sekali. Malam ni dan malam-malam seterusnya pasti saya tak dapat tidur dengan lena. Apa-apapun saya berdoa agar keluarga saya akan sentiasa di dalam peliharaanNya juga. Amin.

Monday, April 20, 2009

PBAKL 2009

Dua hari berada di pesta buku (Sabtu & Ahad) badan terasa lesu sekali. Lenguh terasa semua sendi. Itu yang pelik tu... padahal bukan buat apa sangat pun. Setakat duduk2, sembang sikit2, gelak sikit2... pastu turunkan tanda tangan sikit2. Pendek kata semua sikit2. Tapi kesannya mengalahkan orang yang bekerja kat ladang sawit. Bikin malu saja.Tapi tu la... masa kat sana okey lagi. Bila dah sampai kat rumah barulah terasa. Bangun pagi tadi pun rasa macam malas nak pergi kerja.


Walau macam mana pun, saya tetap rasa seronok. Makin ramai orang yang saya jumpa, makin bertambah pula kenalan saya. Sarnia yang comel dan peramah (macam saya la tu... heheh). Nik Fauziah yang saya sangkakan tinggi dan besar tapi rupa-rupanya agak comel juga dan Umaira... pun comel orangnya. (Senang cakap... semua comellah...) Saya juga berpeluang mengenali Hani Fazuha dan Zara Aluwi. Lagi sape ya? Oh! ya... Aisya Sofea, Puteri Imaneisya dan juga Ebriza Aminuddin (Depa ni saya dah kenal sebelum ni lagi). Kak Aina Emir sudah semestinya dan MamaJambu yang turun dari Singapura untuk sama-sama memeriahkan pesta...
Tanpa pembaca siapalah saya. Di sini saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih buat semua yang sudi membeli novel-novel saya. Sokongan anda semua sangat-sangat saya hargai.
Hujung minggu ini saya akan berada di sana lagi. Mudah-mudahan saya akan bertemu lebih ramai orang dan bertambah pula kenalan saya. Insya-Allah.
p/S : Buat Wan yang datang dari Kuantan bersama2 Ina (kalau tak silap lah), terima kasih atas usaha gigih anda mempromote 'KALAU ADA JODOH' di tempat kerja anda di Hospital Kuantan. Sampaikan ada kawannya yang menampal buku KAJ di atas bonet kereta (Sampai sekarang saya tak boleh nak bayangkan benda ni... macam mana ek?)

Sunday, April 12, 2009

Bila Dah Suka

Bagi yang tidak jemu-jemu menyoal, inilah jawapannya. BILA DAH SUKA akan menemui anda dalam masa terdekat. Insya-Allah...


Kata orang, cinta pertama paling sukar untuk dilupakan. Kata orang lagi, bila kecewa dalam bercinta, kita memerlukan masa yang lama untuk sembuh. Benarkah begitu? Kalau benar, masakan dia senang sangat jatuh cinta dan senang pula melupakan?


Sebelum ini, sudah dua kali. Kini, hatinya terisi dengan nama lain pula. Mudah sungguh. Mungkin betul, dia memang jenis yang tidak boleh dibuat baik. Pantang orang buat baik sikit, senang sangat nak beri hati. Entahlah... Tapi apa sekalipun, dia yakin yang dia cintakan si dia. Cinta sungguh-sungguh.


BILA DAH SUKA’ membawa anda menyelami hati seorang gadis genit bernama Nurul Huda. Dia yang kecewa dengan perkahwinan insan yang dicintai membawa diri ke utara tanah air. Tetapi setiba di sana, sesuatu yang tidak diduga telah menimpa dirinya, lalu mengubah perjalanan hidupnya.

Saturday, April 11, 2009

Selamat Hari Jadi Nik

Istimewa buat Nik Fauziah. Meski belum pernah bersua, kemesraan tetap terasa. Terimalah...

Terima kasih anak-anakku

Petang semalam saya geram dan marah sungguh. Sampai rasa macam nak menangis. Tapi sesampai di rumah, semua rasa marah dan geram itu hilang begitu sahaja. Macam mana tu? Ceritanya macam ni...

Rutin saya keluar dari ofis setiap hari adalah dalam pukul 6.25 - 6.30 petang. Hanya sesekali saya balik cepat sikit. Itu pun kalau suami ada mesyuarat atau melawat site. Tapi semalam atas kesilapan dan kecuaian atau boleh juga saya sebut sebagai kedegilan orang lain, saya terpaksa menunggu hingga hampir pukul 7.15 malam. Tak perlulah saya beritahu siapa dan apa yang menyebabkan kelewatan itu. Tetapi memang saya geram. Saya kesian kat suami yang terpaksa menunggu saya hampir satu jam dalam kereta. Itu pun nasib baik dia faham...

Dalam perjalanan balik ke rumah, anak-anak asyik menelefon. Sekejap Aisyah, sekejap Afiq... lepas tu Ameer pulak. Sibuk mereka bertanya, bila mak dan abah nak sampai? Saya cakaplah yang hari ni memang kitorang akan lambat sampai. Paling awal pun dalam pukul 9.00. Kami berhenti sekejap di Restoran Jejantas Sungai Buloh untuk menunaikan solat maghrib. Baru je selesai solat, Afiq menelefon lagi. Minta saya belikan lauk-pauk. Katanya, mak tak payah masaklah sebab dah lewat sangat. Dia pun dah masak nasi dan gorengkan ayam. Sempat saya minta dia hantarkan Aisyah ke pusat tuisyen walaupun dia agak keberatan. Siap bagi alasan lagi. Saya rasa sedikit pelik. Selalunya dialah yang paling mengambil berat dan memaksa adiknya yang memang 'rajin' tu ke kelas tuisyen, tetapi semalam mereka macam nak bersekongkol pula. Tapi saya tak endahkan permintaan itu memandangkan sudah beberapa kali Aisyah 'tuang' kelas. Lagipun UPSR dah tinggal tak berapa bulan aje lagi.

Sesampai di rumah, keluar aje dari kereta, saya dah rasa semacam. Kalau sebelum ni, kasut-kasut dan selipar dibiarkan berselerak di muka pintu tetapi semalam, semuanya di simpan dalam rak. Halaman rumah juga kemas. Saya tak rasa apa-apa lagi, terus aje bagi salam dan sebaik pintu dibuka Ameer dan Afiq terus menerpa. Seperti biasa menyalami dan mencium kedua-dua belah pipi kitorang. Sepatutnya lepas tu, mereka akan terus pergi buat hal masing-masing tapi tak, mereka tetap berdiri di situ, tersengih-sengih memandang saya dan suami.
"Apa hal pulak ni? Ni mesti ada apa-apa..." kata saya.
Makin lebar sengih budak dua orang tu.
Saya terus masuk ke dalam. Wah! bukan main kemas lagi rumah. Rajinnya... ni mesti Afiq punya kerja. Hanya dia yang boleh diharap dalam bab kemas mengemas ni. Tiba-tiba saya terpandang sesuatu atas meja makan. Terus saya ke sana.

"Kek apa ni?" Saya bertanya dan masa inilah saya terpandang perkataan '22nd anniversary mak & abah' di atas kek. Laa... saya lupa, rupa-rupanya hari ini adalah hari ulang tahun perkahwinan saya dan suami yang ke 22. Patutlah budak-budak bertiga tu beria-ia sangat. Memang saya benar-benar lupa. Suami pun begitu. Teruk kan kami? Heheh...

Terus saya dan suami ucap terima kasih pada Ameer dan Afiq. Kesian Aisyah... dia tak sempat 'menikmati' saat-saat ibu dan abahnya menerima kejutan ini. Kalaulah saya tahu, dah tentu saya izinkan dia tuang kelas tuisyen malam tadi. Dan malam tadi juga saya dan suami dilayan dengan begitu istimewa. Anak-anaklah yang menghidangkan makanan dan mereka jugalah yang menyendukkan untuk kami. Terharunya... bukan senang nak menerima layanan yang begitu dari anak-anak.

Untuk anak-anak mak/ibu (hanya Aisyah panggil saya ibu) dan abah, Ameer, Afiq dan Aisyah... berbanyak-banyak terima kasih mak dan abah ucapkan. Seperti mana korang semua sayang mak dan abah, begitu jugalah kami sayangkan korang semua.

Terima kasih juga untuk kek comel dan sedap ni


Tuesday, April 7, 2009

Ayah...

Baru-baru ni ada seseorang bertanya saya. Dalam kesemua novel saya, mana satu yang paling terkesan di hati saya? Laju aje saya jawab... Tinggallah Pujaan. Walaupun ada yang kata mereka lebih menyukai Kalau Ada Jodoh, Maafkan ku sayang, Bisikan Rindu mahupun Masih ada Rindu tapi pada saya Tinggallah Pujaan sangat istimewa.

Nurain adalah gambaran saya semasa kecil. Seorang kanak-kanak nakal, degil, suka memberontak, suka melawan dan sering menyakat serta menyakiti adik-adik. Sebahagian besar kisah Nurain dalam TP (zaman kanak-kanak aje, ya) adalah kisah saya sendiri. Mak dan ayah berpisah sejak saya kecil dan sejak itu saya adik beradik tak pernah merasa kasih sayang seorang ayah. Memanglah ayah selalu datang menjenguk kami tetapi saya tak rasa apa-apa pun. Tak rasa sayang sebagaimana saya sayang emak, abang dan adik-adik saya. Kami juga tidak mesra dengan ayah. Pendek kata kami tak rasa dia ayah kami. Kami rasa dia macam orang lain aje. Tetapi satu yang saya rasa saya patut berterima kasih. Ayah tak pernah lupa memberi nafkah kepada kami anak-anaknya dan dia hanya berhenti menghulurkan wang perbelanjaan bulanan kepada saya setelah saya berkahwin.

Saya masih ingat semasa adik bongsu saya meninggal dunia. Ketika itu, arwah adik baru berusia 4 tahun. Ayah menangis sampai naik lencun tuala di tangan. Apa taknya, sampai ke akhir hayat adik, dia tidak mahu mengaku yang ayah itu adalah ayahnya. Malah, ayah dikatanya orang gila. Dia sering menganggap arwah atuk sebagai ayah kami. Kebetulan kami memanggil atuk dengan panggilan ayah. Walaupun waktu itu saya baru berusia 7 tahun tapi saya masih ingat kesemuanya. Saya juga masih ingat bagaimana saya ketawa bila melihat adik saya dimandikan, dikapan dan diletakkan di tengah-tengah rumah. Saya ingatkan ada majlis yang istimewa untuk adik. Maklumlah adik anak bongsu, jadi semua orang dalam rumah tu (emak, atuk, nenek, bapak/mak saudara) sayang dia. Bila sedar yang adik sudah 'tiada', barulah saya menangis. Sebenarnya banyak sangat kenangan hidup saya, baik suka mahupun duka. Semuanya masih kekal dalam ingatan saya.
Untuk ayah... saya tidak pernah lupa doakan dia. Semoga hidupnya sentiasa diberkati dan di dalam peliharaan Allah jua.