Wednesday, July 29, 2009

Gara-gara H1N1

Berita agak tidak menyenangkan bagi saya dan mungkin juga ibu bapa lain. Sekolah Kebangsaan Serendah dan Sekolah Rendah Agama Serendah (sekolah-sekolah tempat Aisyah belajar) ditutup bermula hari ini (29/7/2009) dan hanya akan dibuka pada 4/8/2009 gara-gara H1N1. Khabarnya sudah ada yang dijangkiti wabak penyakit H1N1 ini. Kalaulah berita yang saya dengar itu betul, tak kiralah siapapun orang berkenaan, sama ada pelajar atau guru, saya doakan dia/mereka cepat sembuh. Saya juga berharap agar wabak ini akan berakhir tak lama lagi dan keadaan akan kembali seperti sedia kala. Insya-Allah.

Saturday, July 25, 2009

Tepukan amal Islam

Sebagai menyahut seruan bikash, makanya saya tempekkan gambar amal Islam kat sini. Tapi nak cari sepuluh orang tu payah sikitlah. Jadinya saya ambik gambarnya aje. Boleh gitu? Heheh...


Monday, July 20, 2009

Pinjam punya pasal

Minggu lepas, Aisyah terpilih memasuki pertandingan kawat Puteri Islam. Memandangkan dia tidak mempunyai uniform, cikgu meminta dia meminjam dari kawan. Jadi keesokan harinya Aisyah ke sekolah dengan memakai uniform kawannya. Nak dijadikan cerita, di saat-saat akhir, Aisyah tidak terpilih memasuki pertandingan kawat tersebut. Alasan cikgu, seorang peserta lagi tidak hadir dan penyertaan Aisyah akan mencacatkan pasukan mereka. Balik petang itu, Aisyah terus mengadu pada saya. Katanya dia sedih sebab tidak terpilih. Sia-sia saja dia berlatih berkawat di tengah terik matahari dan sia-sia juga dia meminjam uniform kawannya. Puas jugalah saya cuba menenangkan dia.

Keesokan harinya, lebih kurang dalam pukul 8.20 malam, terdengar suara budak memberi salam. Saya terus ke hadapan. Rupa-rupanya kawan si Aisyah datang minta uniform yang dipinjamkan. Baru saya teringat uniform tu masih ada dalam bakul, belum berbasuh. Saya pun cakaplah kat budak tu, esok Aisyah akan bawa ke sekolah. Jadi malam tu, sempatlah saya basuh dan keringkan di bawah kipas sementara pagi-pagi besok pula saya akan seterika. Budak perempuan itu bersetuju dan beredar dari rumah saya. Tanpa bertangguh, saya terus memasukkan uniform tersebut ke dalam mesin basuh. Kalau berlengah nanti, bimbang terlupa...

Dua tiga minit kemudian, sekali lagi terdengar suara memberi salam. Lagi sekali budak tadi datang. Kali ini bersama ibunya pulak. Rupa-rupanya budak tadi tidak bersendirian. Ibunya ada bersama dan sengaja menunggu agak jauh dari rumah saya. Bila uniform tidak saya pulangkan, barulah ibunya bertindak datang untuk bersemuka dengan saya.

"Saya nak uniform anak saya," kata wanita itu dan dari nada suaranya, saya tahu dia sedang marah.
"Besoklah saya pulangkan, uniform tu saya tengah basuh," kata saya. Cuba bercakap selembut mungkin.
"Tak payah basuh... saya nak sekarang."
"Benda tu ada dalam mesin basuh... lagipun anak saya dah pakai. Takkan saya nak pulangkan macam tu aje," kata saya lagi.
"Suami saya mengamuk tau tak? Uniform tu baru aje kami beli... anak saya pun belum sempat pakai, dia boleh bagi pinjam kat orang." Marah benar bunyi suara wanita itu dan mukanya memang muka orang sedang marah.
"Ya ke? Saya memang tak tau. Kalau saya tau, saya takkan benarkan anak saya pinjam. Saya mintak maaf banyak-banyak. " Masa ini saya rasa sangat bersalah. Hanya kata-kata itu aje yang mampu saya ucapkan.
"Yang kita orang marah sangat... dia tak minta kebenaran kami pun. Alih-alih bila saya tanya, baru dia cakap uniform tu dia bagi pinjam kat kawan. Mau suami saya tak mengamuk."

Bila dengar macam tu, saya rasa semakin bersalah.
"Kalau macam tu tak apalah, saya ganti dengan yang baru. Kat mana beli uniform tu? Malam ni jugak saya ajak suami pergi." Tiba-tiba idea itu muncul di benak saya.
"Kat kedai uniform, sebelah Courts. Tapi tak tau sempat ke tak sebab kedai tu tutup pukul 9," kata wanita itu dan suaranya kedengaran lembut sedikit.
"Suami saya bukanlah apa... maid kami lari... tu yang dia jadi stres. Mana nak fikir pasal anak lagi... pastu budak ni pulak buat hal."
Banyak lagilah yang wanita itu cakapkan dan saya hanya iakan saja sebab masa tu fikiran dah ke kedai uniform tu aje. Takut tak sempat. Maklumlah masa tu dah pun hampir pukul 8.30 malam.

Dalam 8.40 malam, kami tiga beranak bergegas ke Bandar Rawang. Sepanjang perjalanan mulut saya tak henti-henti berdoa, agar kedai tersebut belum ditutup. Yang si Aisyah pulak tak sudah-sudah menyalahkan dirinya. Kata Aisyah, disebabkan dia, ibu kena marah. Jawab saya, dalam perkara ni, semua orang tak salah. Aisyah tak salah, kawan Aisyah tak salah, ibu bapa budak tu pun tak salah. Mungkin kalau saya sendiripun saya akan marah, tapi setakat marah anak sendiri ajelah. Tak adalah sampai nak ke rumah orang pulak. Saya, kalau bab-bab macam ni memang kurang berani sikit...

Dari jauh saya nampak kedai dah tutup separuh, sementara separuh lagi terbuka. Tapi suami kena buat U-Turn untuk sampai ke kedai tu. Saya berdoa lagi sekali supaya kami sempat sampai sebelum kedai benar-benar ditutup. Tapi bila sampai, saya rasa sedih yang amat. Kedai dah pun ditutup dan tiga orang pekerja sedang berjalan menuju ke kereta. Tanpa berlengah, saya cepat-cepat keluar dari kereta.

"Encik... kedai dah tutup ke?" tanya saya.
"Dah tutuplah kak."
"Boleh buka sekejap tak? Saya nak beli uniform." kata saya lagi.
"Mintak maaflah kak... akak datang besoklah,"kata lelaki itu.
Tidak berjaya memujuk, saya meminta suami pula untuk memujuk. Melihat kesungguhan saya dan suami, lelaki itu akhirnya bersetuju untuk membuka kedai semula dan menjual uniform Puteri Islam kepada kami. Syukur alhamdulillah. Lega...

Kepada Aisyah, sempat saya berpesan supaya tidak lagi meminjam apa-apa dari kawan-kawannya. Kejadian yang berlaku itu buat saya jadi serik.


Saturday, July 11, 2009

Sedih

Minggu lepas Ameer dah masuk kampus balik. Esok Agiliran Afiq pulak. Tinggal Aisyah aje sorang. Tak boleh saya bayangkan bila Aisyah juga akan tinggalkan saya satu hari nanti. Huh... sedihnya.

Sekarang saya faham bagaimana perasaan mak-mak kita, bila sorang demi sorang anak meninggalkan mereka.