Saturday, February 27, 2010

Bukan tak sudi


Sedikit petikan :

DARI tadi, muka Anis masam saja. Sakit hatinya dengan along. Dah tahu nak ajak dia keluar makan, kenapa mesti ajak kawan dia tu sekali? Kalau kawan lain, mungkin dia tak kisah. Tapi bukan Omar, kawan sehati sejiwa along, merangkap teman serumah, merangkap rakan kongsi perniagaan along tu. Tapi yalah, along mana ada kawan lain? Ke sana ke mari, asyik Omar yang diusungnya. Yang bengangnya, nak jumpa dia pun, along kena heret Omar tu juga. Geram betul. Kalau Omar tu jenis lelaki yang bersopan santun, berhemah dan berbudi pekerti tinggi, tentu dia pun tak kisah. Tetapi yang buat dia menyampah, Omar adalah spesies lelaki gatal dan miang. Dia katakan begitu, sebab setiap kali berjumpa, Omar akan merenung dia macam nak telan. Dan renungan dia tu memang lain macam sangat... seperti ada makna tertentu. Senyuman dia lagilah Anis tak boleh tahan. Gatal semacam.

“Makanlah, angah,” pelawa Fuad. Memandang adiknya yang hanya diam dari tadi.
Anis tidak jawab pun. Dia hanya memandang lauk-pauk yang terhidang atas meja.
“Kenapa ni, ngah? Malu ke?” tegur Fuad lagi.
“Taklah... mana ada?” jawab Anis perlahan.

Dah diajaknya kawan dia tu, lepas tu boleh pulak tanya macam tu. Macam mana nak makan kalau dah biji mata Si Omar tu macam nak terkeluar dari kelopak merenung muka dia? Nasi dengan lauk pauk yang sangat sedap itu pun nampak macam tak enak lagi. Langsung hilang seleranya. Sebenarnya bukanlah malu macam yang along tanya, tapi meluat. Sangat meluat. Rasa macam nak lastik aje biji mata si Arjun Rempah bin Kari yang konon kata Zura romantik sangat tu. Romantik konon... romantik taik kucing.

Saturday, February 20, 2010

Tak rasa bersalah ke?

Beberapa hari lepas, seorang kawan lama menghubungi saya. Agak lama juga kami bersembang. Macam-macam cerita yang keluar. Pasal anak-anak, kerjaya dan juga rumah tangga. Bila masuk bab rumah tangga aje, suara dia terus jadi sedih. Rupa-rupanya suami dia 'buat hal' dengan bekas teman sepejabat. Yang buat kawan saya ni sedih sangat, perempuan itu baik dengan dia. Malah dia dah anggap macam adik dia sendiri. Sebab itulah dia tak sangka langsung, perempuan tu sanggup buat macam tu.

Kata kawan saya, mula-mula dia tak tahu sehinggalah pada satu hari tu, dia terbaca sms yang perempuan tu hantar pada suami dia. Memang hati dia sakit saat membaca ayat yang sangat mesra itu. Walaupun marah tapi dia tidak terus bersemuka dengan suaminya. Dia cuba menyiasat sendiri. Dia bertanya teman sepejabat suaminya dan ternyata suaminya memang ada 'sesuatu' dengan perempuan itu. Rupa-rupanya cerita hubungan mesra suaminya dan perempuan itu memang sudah menjadi buah mulut di pejabat. Mana taknya, perbuatan mereka sangat ketara. Kalau boleh nak melekat sepanjang masa. Sarapan berdua, makan tengah hari bersama... malah waktu bekerja pun mereka masih juga nak 'melekat'. Sampailah bos membuat keputusan untuk menukarkan suaminya ke cawangan lain. Mengikut kata kawan saya lagi, memang dia tahu suaminya berpindah tempat kerja tetapi alasan suaminya ketika itu, dia yang minta ditukarkan sebab dah bosan dengan tempat kerja lama.

Selepas dah tau cerita sebenar, barulah kawan saya bertanyakan suaminya dan seperti yang dia dah jangkakan, suaminya tidak mahu mengaku sebaliknya menganggap mereka hanya kawan baik. Siap bersumpah lagi yang dia tidak pernah ada apa-apa hubungan dengan perempuan itu. Mulanya kawan saya ni termakan juga dengan kata-kata suaminya tetapi bila satu hari tu... ada teman mengadu ternampak suaminya dengan seorang perempuan, yakinlah dia yang suaminya memang tidak bercakap benar. Ditambah lagi dengan sms mesra perempuan itu yang masih mengunjungi telefon bimbit suaminya.

"Tau taulah sampai bila aku boleh bertahan dengan keadaan ni. Yang aku sedih, budak perempuan tu kenal aku, baik dengan aku... tapi kenapa sanggup buat aku macam ni? Macamlah tak ada lelaki lain, suami aku jugak yang dia nak," kata kawan saya dengan sedih.

Sebenarnya banyak sungguh kisah-kisah begini yang sering kita dengar. Malah saya sendiri pernah berhadapan dengan perkara ini beberapa kali dan ianya berlaku di hadapan mata dan di sekitar saya sendiri. Suami orang dengan isteri orang, suami orang dengan wanita bujang... malah ada juga lelaki bujang dengan isteri orang. Saya tidak faham apa perasaan mereka yang terlibat dengan hubungan sebegini. Tidakkah mereka rasa bersalah terhadap pasangan masing-masing? Wallahuaklam. Mudah-mudahan perkara sebegini tidak akan terjadi pada diri saya dan rumah tangga saya. Nauzubillah...

Tuesday, February 9, 2010

Bukan tak sudi

Buat yang tak jemu bertanya. Tak kiralah di sini, di fb atau yang menghantar emel... inilah jawapannya. 'BUKAN TAK SUDI' akan menemui anda tak lama lagi. Sudi-sudilah menantikan kemunculannya...


Sinopsis:

Dia tidak pernah mencari. Malah tidak pernah terfikir pun untuk punya teman lelaki. Belum masanya. Lagipun dia tidak mahu terburu-buru. Maklumlah, bukan senang nak cari lelaki yang betul-betul sesuai dan kena dengan jiwa. Tersilap pilih nanti... merana seumur hidup.

Tetapi, bila emak asyik mendesak dan Syariff pula datang merisik, nak tak nak, dia terpaksa memikirkan hal itu dengan serius. Risau juga kalau-kalau emak terima risikan lelaki itu. Emak pun satu hal juga. Macamlah tak ada lelaki lain... Si Sarip Dol tu juga yang dia nampak.

Al datang tepat pada waktunya dan di saat dia amat memerlukan. Al ni kira okeylah. Baik, bertimbang rasa dan boleh bertolak ansur. Orangnya pun boleh tahan. Sedap mata memandang. Rasa-rasanya, daripada Si Syariff tu... lima kali lebih baik Al. Tetapi masalahnya... hatinya tidak ada pada lelaki itu.

Kalau bukan Al, siapa pula? Omar, rakan serumah merangkap rakan kongsi perniagaan merangkap kembar siam along tu? Hah! Minta simpang. Kalau Omar yang gatal lagi merenyam tu lah... jangan harap dia nak terima. Daripada berkahwin dengan lelaki itu... lebih baik dia jadi anak dara sampai ke tua. Dia sanggup. Bukanlah nak jual mahal sangat... tapi dia tak nak tanggung risiko.

Kalau bukan Syariff, Al atau Omar, siapa pula agaknya yang akan jadi pilihan hati Anis Zulaikha? Untuk mengetahui jawapannya, sama-samalah kita ikuti ‘BUKAN TAK SUDI’.

Monday, February 1, 2010

Adakah dia begitu?

Cepat betul masa berjalan. Sedar tak sedar, 2010 dah sebulan berlalu. Dalam tak sedar jugak dah genap sebulan rupanya saya tak update blog. Kononnya la... sebenarnya sedar aje. Cuma sejak streamyx jadi slow semacam akhir-akhir ni, saya dah kurang sikit melayan internet.

Kali ni saya nak bercerita tentang seorang kawan. Dia ni lebih muda dari saya. Sebelum ni kami memang rapat. Pernahlah beberapa kali dia ke rumah saya. Dia kenal suami saya dan anak-anak saya juga. Banyak kisah peribadi yang dia kongsi bersama saya. Setiap kali ada masalah, dia tanpa segan silu akan bercerita kepada saya. Selalunya masalah peribadi.

Satu hari dia datang jumpa saya, minta pinjam duit. Kata dia, kad dia bermasalah, mesin tak nak terima. Kata dia lagi, dia nak pinjam sekejap saja. Besok dia akan bayar balik. Saya ni tanpa ada rasa syak apa-apa terus aje bagi. Kebetulan jumlah yang dia nak pinjam tu bukanlah banyak sangat. Keesokanan harinya saya tunggu juga dia datang jumpa saya. Tapi sampai ke sudah tak ada. Jadi saya fikir, tentu dia lupa. Nak telefon rasa macam tak tergamak . Nanti nampak macam saya tak percayakan dia pulak. Jadi saya pun diamkan sajalah.

Beberapa hari kemudian, dia telefon saya untuk pinjam duit lagi. Alasannya kali ini, buku akaun dia hilang. Jadi, dia tak boleh nak keluarkan duit dari bank. Bila saya cadangkan supaya dia keluarkan duit pakai kad, dia beralasan kad yang bermasalah tempoh hari masih belum selesai lagi. Saya mula rasa tak sedap hati. Alasan yang dia bagi tu, tak logik sungguh. Setakat kad yang bermasalah tu, sekejap benar pihak bank boleh selesaikan. Dahlah duit yang dia pinjam hari itu pun masih belum bayar lagi. Tapi memikirkan dia adalah kawan baik saya dan tak mungkin tergamak menipu saya... saya bagi jugaklah. Macam hari itu jugak, jumlahnya taklah banyak mana pun. Kali ini dia berjanji akan bayar secepat mungkin, iaitu setelah masalah kad dapat diselesaikan.

Hari berganti minggu... minggu berganti bulan, duit yang dijanjikan akan dipulangkan secepat mungkin tu... langsung tak nampak bayang. Dengan dia-dia sekali senyap tanpa khabar berita. Teringin nak bertanya, tapi saya segan. Tapi bila saya fikir-fikir balik, saya rasa saya tak boleh diamkan perkara itu. Saya dah nampak dia cuba ambil kesempatan atas sikap berdiam diri saya. Lalu satu hari tu, saya memberanikan diri bertanya. Nak tahu apa dia jawap? "Okey... okey... hari ni jugak saya bayar." ;'Hari ini' yang dikatakan itu sudah lebih dua tahun berlalu tetapi saya masih belum menerima sesen pun daripada dia.

Sejak itu juga, dia tidak menghubungi saya lagi. Pernah beberapa kali saya terserempak dengan dia tetapi dia sekadar tersenyum pada saya. Saya juga begitu. Sekadar tersenyum atau ucap hai pada dia... sedangkan suatu waktu dahulu dia adalah orang yang sangat rapat dengan saya.

Pelik kan? Tapi itulah hakikatnya. Kerana hutang kita jadi hilang kawan. Sebenarnya sampai sekarang saya tidak ada jawapan, kenapa dia tergamak buat saya macam tu? Sebab sepanjang saya kenal dia dulu, dia bukan begitu orangnya. Ataupun dia memang begitu, tapi saya yang tidak tahu? Wallahuaklam...