Saturday, October 29, 2011

peteh ganu peteh

Dah lama menyepi... tiba-tiba malam ni bersemangat la pulak update blog. Bola punya pasal la ni. Tak sabar rasanya nak tengok perlawanan antara Terengganu dan Negeri Sembilan sebentar lagi. Pasukan mana agaknya yang akan menjulang Piala Malaysia kali ni?

Dah tentu saya sokong dan nak Terengganu menang. Tapi bola tu bulat, apa aje boleh berlaku. Apa-apa pun saya harap pertandingan akan berlangsung dalam suasana aman dan damai, tiada pergaduhan mahu pun rusuhan.

Mudah-mudahan skuad penyu akan bermain dengan penuh bersemangat. Go penyu go!!! peteh ganu peteh

h!!!!

Friday, July 22, 2011

kisah dulu-dulu...

Baru-baru ni saya ke sebuah bank. Kebetulan orang tak ramai sangat masa tu. Cuma ada beberapa orang termasuk sepasang suami isteri dan dua orang anak lelaki mereka. Masa tu pula kepala saya memang tengah sakit. Tapi disebabkan ada urusan dan pelanggan juga tak berapa ramai, saya gagahkan juga duduk kat situ.

Mula-mula saya rasa okey lagi. Tapi lama-kelamaan dah tak boleh tahan lagi. Mana taknya... kerenah budak lelaki yang dua orang tadi menyebabkan kepala saya rasa macam nak pecah. Dia orang menjerit, memekik dan berlari-lari di sekeliling saya... tak henti-henti. Yang mak ayah dia orang pulak diamkan aje. Mungkin dah tak kuasa nak larang kot. Saya pun tak adalah nak marah sangat. Biasalah budak-budak. Anak-anak saya masa kecik dulu pun macam tu jugak. Lebih-lebih lagi kat depan orang. Lagi dilarang, lagi menjadi-jadi.

"Ada jugak yang kena pijak kaki ni kang," kata suami saya tiba-tiba.
Spontan saya tergelak. Bukan apa, teringat balik kisah saya di zaman budak-budak dulu. Saya memang suka bercerita kisah-kisah lama saya pada suami dan anak-anak. Tak ada rahsia langsung... hehehe...

Masa budak-budak dulu... saya memang tak suka dengan budak-budak kecik. Tak tau kenapa... tak ada sebab. Bila tengok muka dia orang, mulalah rasa geram... lepas tu rasa macam nak pukul. Bila dapat pukul aje... rasa puas hati. Teruk sungguh kan...

Ada satu hari tu, saya ke kedai. Nenek minta belikan gula. Kebetulan ada seorang budak lelaki yang datang dengan emaknya. Dia minta mak dia belikan gula-gula tapi mak dia tak nak belikan. "Nanti sakit gigi," kata maknya. Budak tu tak peduli, dia tetap nak gula-gula tu jugak. Saya dok perhati aje budak tu. Geram usah cakaplah. Kalaulah mak dia tak ada masa tu... memang dah kena dengan saya...

Dah tak tahan sangat, saya angkat kaki kanan saya perlahan-lahan dan pijak kaki budak yang berdiri di sebelah saya waktu tu sekuat hati. Kemudian saya tenyeh-tenyeh lagi. Terus melalak budak tu.

"Eh! eh! budak ni... sebab tak dapat gula-gula dia boleh meraung macam tu (dia cakap dalam slang Terengganu ya)." Mak dia yang tak tahu apa-apa terus memarahi anaknya.
Saya pula terus cabut lari. Tak sempat nak beli gula. Bukan apa... bimbang dia mengadu kat mak dia...

Saya juga pernah pukul seorang budak perempuan yang baru berpindah ke sekolah saya dengan pembaris. Saya masih ingat namanya... Zaida. Sampai menangis-nangis Si Zaida saya kerjakan. Bila cikgu tanya kenapa nangis... dia tak cakap pun. Berani nak cakap... awal-awal lagi saya dah ugut dia. Hahaha... Nak tau apa kata cik gu...
"Takkan sebab pindah sekolah, awak nak sedih sangat Zaida... rileks lah." Hehehe...

Itu hanya dua contoh aje ya... banyak lagi kenakalan yang saya buat dan sebahagiannya saya dah muatkan dalam 'Tinggallah Pujaan' dan 'Hai Kitti'.

*Nasib baik perangai tu tak berterusan. Nasib baik juga tak ada anak-anak yang mengikut jejak langkah mak dia orang ni. Hehehe...



Saturday, April 16, 2011

Yang Ku Cari - Petikan


LAMA Hatta merenung gadis yang berpeluk tubuh dan bersandar pada tempat duduk itu. Muka gadis itu merah dan bibirnya pula pecah-pecah. Kata doktor tadi, Aryana demam panas dan suhu badannya agak tinggi.

“Aku hantar kau balik rumah abah kau, ya?” kata Hatta. Enjin Toyota Hilux miliknya sudah agak lama dihidupkan tetapi mereka masih tidak bergerak dari kawasan parkir itu.

“Tak nak. Hantar aje Ana ke rumah Kak Bed,” jawab Aryana dalam mata yang terpejam.

“Ana... kau tu demam teruk. Nanti kat rumah tu siapa nak jaga kau? Siapa nak tengok-tengokkan kau? Kak Bed dah tentulah pergi kerja, kan?”

“Tak apa, Hatta. Ana boleh jaga diri Ana.” Aryana berkeras. Macamlah kalau dia balik ke rumah abah, ada orang nak menjaga dia. Bukan ada sesiapa pun kat rumah abah masa ni, selain daripada Mama Izan yang merupakan suri rumah sepenuh masa. Abah dan Mukhris sudah tentu ke tempat kerja. Dilla pula ke sekolah.

“Kalaulah umi ada... boleh jugak aku hantar kau balik rumah aku. Tapi umi pulak tak ada,” sungut Hatta, merujuk kepada uminya yang sudah dua hari berlepas ke Tanah Suci Mekah.

“Ana okeylah, Hatta. Apa pasal nak risau sangat ni?” ujar Aryana lagi. Inilah sebabnya kenapa dia malas beritahu Hatta setiap kali dia demam atau sakit. Lelaki itu suka sangat risaukan dia. Risau yang tidak bertempat. Macamlah dia teruk sangat. Tadi pun kalau bukan kerana Kak Bed, sudah tentu dia tiada bersama-sama Hatta di sini. Dia memang tak nak Hatta tahu. Bukan apa, dia tak suka menyusahkan lelaki itu. Tetapi tadi, di luar pengetahuannya Kak Bed telah menelefon Hatta dan memberitahu keadaannya yang demam. Alasan Kak Bed, dia tak dapat menghubungi Mukhris. Jadi nak tak nak, terpaksalah dia menelefon dan memberitahu Hatta.

“Aku jaga kau, Na.” Hatta buat-buat tak dengar bicara Aryana.

“Hatta nak jaga Ana?” Spontan mata yang sedang terpejam dibuka.

Hatta angguk.

“Kat rumah Kak Bed?”

“A’ah... kat rumah Kak Bed.”

Makin besar mata Aryana. “Merepek aje Hatta ni. Nak rasa kena tangkap basah ke?”

Hatta gelak kuat. Aryana ni cepat benar nak panik. Macamlah dia serius pun. “Apa salahnya... ada can aku kahwin free dengan kau.” Dia ketawa lagi.

“Mulut dia ni...” Spontan jemari Aryana menyambar lengan Hatta. Lelaki itu menjerit.

“Kata demam... tapi boleh lagi cubit orang macam tu.”

“Padan muka... cakap lagi macam tu.”

“Ana, sayang... takkan aku nak buat macam tu. Aku masih waras lagi tau. Gurau sikit pun tak boleh.” Hatta tarik muka.

Aryana sekadar tayang sengih. Tak payah Hatta cakap, dia tahu lelaki itu bergurau.

“Balik nanti jangan lupa makan ubat, tau? Lepas tu berehat. Jangan paksa diri buat kerja pulak,” leter Hatta.

“Menurut perintah, bos.”

Hatta ketawa dengan jenaka itu. “Okeylah... jom aku hantar kau balik.” Selepas berkata begitu, keretanya bergerak keluar dari kawasan parkir.


SUDAH hampir setengah jam Aryana berdiri di situ. Menunggu hujan reda. Tetapi sampai sekarang, hujan masih juga belum berhenti. Cuma, kurang lebat berbanding tadi. Kalaulah dia ada payung, boleh juga dia ke sana. Lagipun bukanlah jauh mana pun tempat yang hendak dituju. Di seberang jalan sahaja, di mana Honda Jazz biru pemberian abah diparkir.

“Hai! Aryana. Awak dari mana ni?” Satu suara tiba-tiba menjamah gegendang telinganya.

Segera Aryana berpaling. Seorang lelaki yang berkemeja lengan panjang berwarna kelabu, berseluar biru gelap dan memegang sekaki payung tersenyum manis padanya.

Aduh! Lelaki ni lagi. Kenapa asyik jumpa dia aje ni? Macamlah sempit sangat Kuala Lumpur ni. Ke mana pergi pun, asyik terjumpa dia. Tapi memang betul pun, selalu sangat dia terserempak dengan Zahim, sampaikan dia pernah terfikir yang lelaki itu sengaja mengekorinya. Tapi bila difikir-fikir balik, rasa macam mustahil pula. Takkanlah Zahim tu tak ada kerja sangat sampai sanggup nak mengikut dia ke mana sahaja.

“Eh! Zahim... saya dari bank.” Lembut jawapan Aryana walaupun hati tak berapa sudi nak melayan.

“Saya pun baru aje keluar dari bank.”

Aryana sekadar senyum. Dah tak tahu nak cakap apa lagi. Maklumlah dia bukanlah biasa sangat dengan lelaki itu. Sekadar kenal macam tu sahaja.

“Awak nak ke mana ni?”

“Nak ke kereta saya. Tapi tiba-tiba hujan pulak. Masa sampai tadi elok aje cuaca.” Panjang pula jawapan Aryana sambil menudingkan jari telunjuk ke arah keretanya.

Zahim turut memandang ke arah yang sama. “Kebetulan saya pun nak ke kereta saya. Jomlah saya hantar awak. Hujan macam ni biasanya lambat berhenti.” Zahim menunjukkan payung yang berada di tangannya.

Pada mulanya Aryana ingin menolak. Segan pula rasanya berpayung berdua dengan lelaki itu. Lagipun dia memang tidak bercadang untuk jadi lebih rapat dengan lelaki itu. Cukuplah dia mengenali Zahim hanya sebagai seorang pelanggan. Tidak lebih daripada itu. Tapi memikirkan hujan yang entah bila akan berhenti, dia terpaksa bersetuju. Kalau tidak, mahu sampai ke malam dia berdiri di situ.

Tanpa bertangguh, Zahim membuka payungnya. “Mari...”

Dengan teragak-agak Aryana masuk ke bawah payung. Tetapi agak jauh dari Zahim.

“Dekat sikit Aryana... nanti basah pula pakaian awak.”

Aryana tidak melayan. Biarlah renggang-renggang begini. Kalau rapat-rapat sangat, risau bersentuhan pula.

Mereka berhenti sebentar di tepi jalan, sambil memandang ke kiri dan ke kanan. Kemudian ke kiri semula. Setelah pasti tiada kenderaan, mereka berdua terus melintas.

“Terima kasih, Zahim,” ujar Aryana sebaik sampai ke keretanya.

“Sama-sama.”

Aryana cepat-cepat membuka pintu kereta. Tetapi baru sahaja dia ingin masuk ke dalam, Zahim memanggil namanya. Lantas pintu ditutup.

“Ya, Zahim?” soalnya, lantas masuk ke bawah payung semula.

“Bila agaknya saya boleh keluar dengan awak?”

Aryana mengeluh dalam hati. 'Ingatkan apalah yang mamat ni nak tanya. Rupanya itu aje? Ini yang malas nak termakan budi ni. Baru tumpangkan payung, dah minta balasan. Belum lagi tumpang kereta.' Sebetulnya ini bukanlah kali pertama Zahim mempelawa begitu. Sudah beberapa kali, tapi dia tidak pernah melayan. Aryana tahu lelaki itu meminati dia. Mungkin jatuh minat pada pandangan pertama. Dia katakan begitu kerana pada pertemuan pertama mereka lagi, lelaki itu sudah berani meminta nombor telefon dan mengajak dia keluar. Memang Zahim jenis lelaki yang sangat terbuka dan berani tetapi selagi dia masih waras, rasanya dia tidak akan melayan langsung. Dia tidak minat dengan lelaki begitu. Nampak macam bukan jenis lelaki yang penyabar.

Aryana hanya memandang lelaki yang berjarak hanya sekaki daripadanya itu tanpa memberikan jawapan.

“Kita bukan nak ke mana pun. Setakat keluar makan aje,” ucap Zahim seperti kebiasaannya.

“Tengoklah dulu.” Aryana memberikan jawapan yang dirasakan paling bersopan. Harap-harap Zahim akan berpuas hati dan melepaskan dia pergi.

Zahim hanya mampu mengangguk. Namun mukanya nampak kecewa.

“Saya pergi dulu. Terima kasih lagi sekali kerana tumpangkan saya.” Selepas berkata begitu, Aryana membuka pintu keretanya semula dan terus menyusup masuk ke dalamnya.

“Sama-sama,” jawab Zahim perlahan.

Tuesday, April 12, 2011

Yang Ku Cari

Alhamdulillah, dalam keadaan diri yang sekejap okey, sekejap tak okey, akhirnya saya berjaya juga menyiapkan karya terbaru saya 'YANG KU CARI'. Harapan saya agar novel yang tak seberapa ini mampu memberi 'sesuatu' kepada pembaca-pembaca saya. Mudah-mudahan...


ARYANA, gadis kacukan Melayu Cina. Sejak hatinya diserah pada ‘si dia’, dia sudah tidak punya hati lagi untuk lelaki lain. Hanya ‘si dia’ yang mampu beri apa yang dia cari selama ini. Benarkah begitu?

ZAHIM, lelaki yang terbuka dan berterus terang. Belum apa-apa sudah berani meminta macam-macam. Nampak seperti bukan jenis yang penyabar. Pilihan abah dan Kak Bed, tetapi adakah pilihan dia juga?

BENJAMIN. Kawan baik Zahim ini betul-betul menambah masalah. Jenis kawan makan kawan pun ya juga. Punyalah ramai gadis berketurunan Cina yang cantik-cantik belaka, kenapa harus dia?

HATTA, sahabat sejak kecil. Baik hati, mengambil berat dan penyayang. Malah dia turut disayangi ibu bapa lelaki itu. Kalaulah kasih sayang seorang ibu yang dicari, Hattalah pilihan yang paling tepat. Betulkah?

SEMUANYA tidak semudah yang disangka. Sangat sukar rupanya untuk menggapai bahagia. Ada sahaja halangan, ada sahaja rintangan. Yang pasti, dia tidak akan mudah mengalah. Dia tidak akan cepat melatah. Dia percaya, dia pasti ketemu apa yang dicari selama ini.

YANG KU CARI, bukan sekadar cerita cinta biasa, tapi lebih daripada itu. Bacalah dan hayatilah.