Friday, June 29, 2012

sekadar minat

Rajin pulak saya update blog akhir-akhir ni. Kalau  tak tu, sampai berbulan-bulan terbiar macam tu aje. Sampai naik bersawang. Jadi bila dah rajin sikit ni... rasa tersangatlah  kagum dengan diri sendiri. Hehehe...Kali ni saya nak bercerita tentang orang-orang yang saya minat dan pernah minat. Pernah minat tu tak bermakna sudah tidak berminat... masih minat lagi.

Semasa saya di sekolah rendah dulu, saya sangat meminati  Rafeah Buang, sampaikan banyak lagunya yang saya hafal. Bila kena buat persembahan kat sekolah, lagu Rafeah Buang lah yang saya nyanyi. Macam tu jugak bila main kawen-kawen dengan kawan-kawan. Saya sebagai orang yang menghiburkan 'pengantin' kononnya, akan bawak lagu penyanyi tu juga. 'Di padang yang hijau ku berlari-lari... Dalam nada riang aku bernyanyi-nyanyi'. Itu adalah dua baris lirik dari sebuah lagu yang saya dah lupa tajuknya. Tapi melodinya masih lagi segar dalam ingatan.

Semasa di sekolah menengah pula, saya sangat meminati Sudirman. Semua lagunya saya suka. Pelangi Petang, Seruling Bambu, Tak Perlu Diucapkan,  Hujan, Antara Hujan dan Air mata dan banyak lagi. Tapi paling saya suka mestilah lagu 'Cinta'. Setiap kali dengar lagu itu, hati rasa terbuai-buai dengan melodinya yang lembut dan mendayu-dayu.

Jangan tak tau... saya juga pernah minat Dahlan Zainuddin. Punyalah minat sampaikan saya pernah berangan nak kahwin dengan dia. Hahaha... Padahal masa tu orang tu dah beranak pinak pun, sedangkan saya masih bersekolah lagi.Tak sedar diri betul. Teruk saya kena ejek dengan kawan-kawan...
Inilah dia Dahlan Zainuddin... hehehe...
Selain Sudirman dan Dahlan Zainuddin, saya juga meminati Alleycats dan A. Razak Ismail. Lagu A. Razak yang saya paling minat dulu adalah lagu yang antara liriknya berbunyi 'Bila ku dengar bunyi marakas, diiring pula petikan gitar', suara biola mendayu-dayu, mengiringi suaramu. Kalau tak silap lagu tu bertajuk 'Bintang Malam Ini'. Saya pernah jumpa A. Razak semasa ditemubual di Radio Selangor sekitar tahun 2005 dulu, di mana dia adalah  DJ di stesen radio berkenaan. Tapi macam biasalah, saya buat tak tahu aje walaupun teringin juga nak mengaku yang saya pernah minat dia. Malu... huhuhu...
A. Razak Ismail
Kemudiannya bila muncul Siti Nurhaliza... bertambah lagi seorang yang saya minat. Saya sukakan suaranya yang merdu bak buluh perindu tu. Sejak tiga tahun lepas, saya jatuh minat pula dengan si rambut kerinting, Hafiz. Bagi saya, walaupun masih muda, dia sangat berbakat. Hanya berbekalkan suaranya yang sungguh sedap itu, dia mampu memukau dan memikat hati-hati yang mendengar. Istimewanya Hafiz ni... suaranya semasa menyanyi live sama aje macam dalam album. Kadang-kadang lagi sedap masa menyanyi live.
Hafiz yang comel...
Tapi minat saya taklah melampau sangat. Hanya minat macam tu aje. Cuma dengar lagu-lagu dia orang. Tengok dia orang kat dalam tv. Kalau dia orang buat show kat mana-mana tak pernah pulak saya pergi. Agaknya kalau berselisih kat mana-mana pun, mungkin saya buat tak tahu aje. Seganlah...

* Keluar topik sekejap ya... 
(Tiba-tiba saya teringat pada seorang penulis. Masa tu saya ke Pesta Buku di PWTC (tahun 2002 kalau tak silap) dan  ke sebuah booth untuk membeli buku. Tiba-tiba seorang petugas di booth menunjukkan ke arah seseorang yang sedang duduk di salah satu meja di situ. Katanya, wanita tu adalah seorang penulis dan saya boleh mendapatkan tanda tangan dari penulis tersebut. Saya hanya tersenyum kepada penulis itu tanpa berbuat seperti yang petugas itu katakan.  Bukan tak nak pergi... tapi saya segan. Nak dijadikan cerita, dua tahun selepas itu, saya juga menjadi penulis dan berada di booth yang sama dengan penulis tersebut. Entah dia ingat muka saya masa tu... tak taulah pulak. Tapi saya andaikan dia tak ingat pun memandangkan dia tak pernah menyebut tentang hal itu).

Thursday, June 28, 2012

senyumlah...



Senyum seindah suria
Yang membawa cahya
Senyumlah dari hati
Duniamu berseri

Senyum umpama titian
Dalam kehidupan
Kau tersenyum ku tersenyum
Kemesraan menguntum

Senyum… kepada semua
Senyumanmu amatlah berharga
Senyum… membahagiakan
Dengan senyuman terjalinlah
Ikatan…

Ingat tak bait-bait lagu di atas? Takkan tak ingat kut. Lagu Jay Jay tu. Okey... kalau dah ingat tu, cuba-cubalah nyanyi... 

Senyumlah... kerana senyum itu sedekah. Tengok... tak susah pun untuk bersedekah. Cukup dengan sekadar sebuah senyuman. Tapi kenapa ya sesetengah orang  susah sangat nak senyum? Usah kata nak hulurkan senyuman... orang senyum kat dia pun, dia tak sudi nak balas. Kedekutnya. Kalau senyum pun susah nak bagi... apa lagi yang lain. Betul tak?

Cuba kita pandang wajah-wajah yang sering tersenyum... hati akan rasa tenang dan seronok melihatnya. Spontan kita akan tersenyum sama. Tanpa sedar terjalin kemesraan di situ. Tapi sebaliknya terjadi apabila mata memandang wajah-wajah yang masam mencuka. Boleh tension dibuatnya. Niat  untuk senyum terpaksa dibatalkan. Bukan apa, bimbang tak dapat balasan.

Oleh itu selalu-selalulah maniskan wajah dengan senyuman. Tak rugi pun... malah ramai yang akan menyenangi anda. Tapi janganlah pula senyum sorang-sorang. Nanti orang ingat anda tak betul pula...

Saturday, June 23, 2012

tak kenal pun tak apa...

Bersama peminat novel semasa PBAKL baru-baru ini.
Mereka ni kenal saya... hehehe...

"Laa akak ke Mimie Afinie? Selama ni saya tak tau pun... padahal saya baca semua novel akak," ujar seseorang baru-baru ini. Dia adalah antara yang baru tahu bahawa sayalah Mimie Afinie yang menghasilkan novel Kalau Ada Jodoh, Bukan Tak Sudi, Bila dah Suka, Yang Ku Cari dan lain-lain. Saya hanya ketawa. Dah selalu sangat berhadapan dengan situasi seperti itu. 

Saya masih ingat kejadian dua tahun lepas, sewaktu ke rumah salah seorang saudara saya. Semasa nak meninggalkan rumahnya, dia menghantar kami sampai ke kereta. Kebetulan dalam kereta ada beberapa buah buku 'Bukan Tak Sudi' yang belum keluar kat pasaran ketika itu. Terus dia bertanya, kenapa ada buku baru Mimie Afinie kat dalam kereta tu? Dapat dari mana? Bukankah belum keluar kat pasaran lagi?

Bila saya beritahu yang sayalah Mimie Afinie, suasana terus jadi gamat. Kecohlah sekejap. Dan-dan tu juga saudara saya ni panggil anak-anak dia keluar. Kebetulan salah seorang anaknya adalah peminat setia saya. Semua novel saya dia beli. Kata saudara saya ni, tak sangka pula penulisnya adalah saudara sendiri. Lepas tu, dia  minta anaknya bawak keluar  semua novel saya yang ada dalam simpanan untuk ditandatangan. Hahaha... kelakar. Sesi menziarah dah jadi sesi autograf pula. Rasa glamour sekejap.

Sebenarnya saya tak kisah pun kalau orang tak kenal saya. Janji mereka baca dan sukakan karya-karya saya. Itu yang penting... :D

Wednesday, June 20, 2012

kalau hendak seribu daya...


Bila saya tulis entry bertajuk 'lupakan dia', adalah seorang hamba Allah ni emel saya. Dia berterus terang yang dia  tak bersetuju dengan pendapat saya. Kata dia, ingat senang ke nak lupa? Orang tak rasa, tak alami... memang boleh kata apa saja, boleh tulis macam-macam. Tapi bagi dia dan orang-orang yang mempunyai nasib yang sama, ianya bukan sesuatu yang muidah. Bukan senang nak buang rasa sayang. Bukan senang untuk melupakan semua kenangan bersama dia. Begitulah kata wanita yang saya rasa mungkin baru atau pernah putus cinta .

Jawapan saya mudah sahaja. Ikut hati mati... ikut rasa binasa. Saya bagi contoh yang paling baik untuk dicontohi. 

Umurnya masih muda, baru 22 tahun (Y). Sejak di tingkatan satu lagi dia dah kenal seorang budak perempuan ni (K). Dalam duk berkawan, mereka akhirnya bercinta. Sejak berumur 13, sampailah sekarang Y tak pernah 'kenal' perempuan lain.  Kebetulan mak bapak Y yang pada mulanya tak bersetuju memandangkan usia mereka yang masih terlalu muda, akhirnya memberi restu. Itu pun setelah Y menamatkan persekolahannya. Malah telah bersetuju untuk menyatukan keduanya secepat mungkin memandangkan hubungan keduanya yang terlalu rapat. Sebagai orang tua, tentulah mereka risau dengan keakraban tersebut. Jadi, sebelum berlaku hal yang tidak diingini, baiklah disatukan saja.

Tak ada angin, tak ada ribut, tup-tup K minta putuskan hubungan. Kononnya dia dah jumpa lelaki yang betul-betul sesuai dengan dia. Katanya lagi,  selama ini, dia tak pernah ada hati pun dengan Y. Dia tak pernah anggap Y lebih dari seorang kawan. Kejam kan? Bayangkan perasaan Y masa tu. Tentulah sedih sangat-sangat. Dalam duk kawal, menitis juga air matanya. Bayangkan, sembilan tahun... bukan sembilan hari. Ingat senang ke?

Tapi alhamdulillah, Y tidak terlalu ikutkan perasaan. Walaupun masih muda tetapi dia tahu mengendali hati. Memang dia sedih tetapi pada permulaan sahaja. Selepas itu dia banyak sibukkan diri dengan bermacam-macam aktiviti. Dia main futsal, pergi gym dan macam-macam lagi. Dia juga banyak 'mengadu' kepada Allah. Malah ibu bapanya juga banyak memainkan peranan. Memujuk dan memberi kata-kata semangat.

Baru tiga bulan dan Y sudah benar-benar dapat lupakan K. Jadi kesimpulannya, kalau hendak seribu daya... kalau tak hendak seribu dalih. Fikir-fikirkanlah...

* Kisah ini adalah sambungan dari N3 yang bertajuk 'sabarlah'

Tuesday, June 19, 2012

saya tak mampu...

Sejak akhir-akhir ni macam dah jadi trend pula, novel diadaptasikan ke drama atau filem. Lalu ada yang bertanyakan saya... tak berminat ke? Dah tentulah... tapi masalahnya ada ke penerbit drama/filem yang berminat dengan novel saya? Huhuhu... Lagi satu... boleh ke saya buat skrip? 

"Boleh aje. Tak susah pun buat skrip. Lagi senang dari buat novel," kata penulis terkenal, Ahadiat Akashah semasa saya bertemunya di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur baru-baru ini. Dalam pertemuan itu, beliau sempat menurunkan ilmunya kepada saya. Ilmu buat skrip.

Terima kasih banyak-banyak Ahadiat kerana sudi mengajar saya dan sudi pula berkongsi cerita dan pengalaman yang dilalui selama menjadi penulis. Menghasilkan hampir seratus  novel serta puluhan (atau ratusan) skrip drama dan filem, saya sangat-sangat kagum dengan beliau. Saya tahu saya tak mampu jadi seperti beliau...


Bersama rakan penulis, Aina Emir & Ahadiat Akashah.

Friday, June 15, 2012

lagi sedikit dari 'tolong ingatkan aku'


BAB 6

“LAN tak rindu mama?” Di hujung talian, suara Datin Rubiah sudah sayu benar bunyinya. Mahu tak sayu, sudah lebih sebulan Azlan meninggalkan rumah, sampai sekarang belum nak balik-balik. Puncanya bukanlah besar mana pun. Cuma berlaku pergaduhan kecil antara Azlan dan papanya. Pergaduhan anak-beranak. Si bapa mahu anak bekerja di syarikatnya. Sedangkan si anak pula tidak bersetuju sebab belum bersedia untuk bekerja. Disebabkan hal itu, si bapa jadi marah dan si anak pula merajuk, lantas membawa diri. Memang tak masuk akal. Tapi itulah yang telah Azlan buat. Anak tunggalnya itu memang jenis yang suka berbuat sesuatu ikut perasaan dan ikut kepala sendiri. Yang suaminya, Dato’ Azman pula tak nak mengalah. Memang eloklah tu bapa dengan anak. Dua-dua keras hati, dua-dua keras kepala.
            “Siapa cakap Lan tak rindu? Kalau tak rindu tak adanya Lan nak telefon mama.”
            “Alah... Lan telefon mama pun sebab duit aje, kan?”
            “Pandai pun mama.” Azlan gelak.
         “Hah! Tengok... kan betul apa mama cakap. Lan memang tak ingat mama lagi. Tak sayang mama lagi.”
“Ala... ma. Janganlah merajuk. Lan gurau ajelah. Macamlah mama tak kenal Lan.”
Datin Rubiah tertawa. “Duit yang mama bagi hari tu ada lagi ke, Lan?”
“Ada lagi, ma... cukuplah untuk belanja Lan bulan ni. Sewa rumah, bil-bil semua Lan dah bayar.”
“Tak apalah... nanti mama tambah lagi, ya?”
“Kalau mama nak tambah... Lan lagi suka.” Azlan ketawa, seronok. Dah orang nak bagi, takkan nak jual mahal pula. Tolak rezeki namanya tu. Kata orang.... rezeki jangan ditolak, musuh usah dicari.
“Ni mama nak tanya sikit.”
“Mama nak tanya apa?”
“Lan duduk sorang-sorang tu, Lan solat tak?”
“Mestilah,” balas Azlan acuh tak acuh. Tak gemar disoal begitu. Tapi setiap kali menelefon, itu jugalah yang sering mama tanyakan. Bosan sungguh.
“Ya ke?” Datin Rubiah tak percaya.
“Yalah. Takkan tak percaya kut?”
“Kat rumah ni pun puas mama paksa, baru Lan nak solat. Dah jauh dari mama, lagilah.”
Azlan tak jawab. Malas nak bertekak dengan mama. Suka hati mamalah nak kata apa pun.
“Lan.”
“Apa lagi, ma?”
“Bila Lan nak balik?” Suara Datin Rubiah bertukar sayu. Dia amat mengharapkan kepulangan Azlan. Ketiadaan anak tunggalnya itu menyebabkan rumah terasa sunyi dan sepi. Tiada lagi keceriaan, tiada lagi kegembiraan. Semuanya pergi bersama pemergian anak kesayangan.
“Nanti-nanti Lan baliklah.”
“Nanti-nanti tu bila? Asyik itu aje yang Lan cakap, tapi tak balik-balik pun.”
Azlan hanya mengeluh.
“Lan masih merajuk dengan papa?”
“Lan tau papa masih marah Lan.”
“Lan pun satu... beralah lah.”
Azlan diam lagi. Tak kuasa nak jawab. Bukanlah dia tak nak mengalah tapi papa tu yang keras hati sangat. Asyik cakap papa saja yang dia kena dengar. Sesekali apa salahnya kalau papa pula yang ikut cakap dia, patuh dengan kehendak dia. Dia bukan minta banyak pun. Dia cuma tidak berminat dengan tawaran kerja papa. Lagipun dia masih belum bersedia untuk bekerja. Dia masih muda, masih banyak waktu lagi. Sebelum ini pun dia dah banyak ikut cakap papa walaupun dengan rasa terpaksa. Empat tahun dia memaksa diri untuk meminati senibina pun semata-mata sebab papa. Dalam tak suka pun, berjaya juga dia menghabiskan studinya. Takkan itu pun papa tak boleh fikir?
“Kalau mama jadi papa pun mama marah. Umur Lan dah 25. Tak lama lagi dan nak masuk 26. Tak ada sudahnya Lan nak terus macam ni. Lan bukannya budak-budak lagi. Dari sekaranglah Lan kena belajar selok-belok perniagaan. Esok kalau papa dah tak ada, macam mana? Siapa yang nak ganti tempat papa? Lan jugak, kan?”
Azlan merengus. Mama dah mulalah tu. Kata sokong Lan, tapi boleh pulak cakap macam tu.
 “Ma... Lan ada benda sikit nak buat. Lain kali kita sembang lagi ya?” Azlan buat alasan. Sebetulnya malas nak dengar omelan mama. Kata faham dia, sebelahkan dia tapi bila bercakap, sama juga macam papa... asyik nak salahkan dia. Tapi dengan mama, tak pernahlah dia nak marah-marah atau melawan. Kalau tak suka dengar pun, dia sengajalah buka topik lain atau buat-buat ada hal lain.
“Mama tau Lan tak suka dengar mama cakap macam tu, kan?” Datin Rubiah ketawa. Tak ambil hati pun. Dah masak sangat dengan Azlan.
“Tau tak apa...” jawab Azlan.
“Okeylah... nanti mama transfer duit ke akaun Lan, ya?”
“Terima kasih banyak, ma. Sayang mama.”
“Sayang Lan juga.”
Sambil tersenyum, Datin Rubiah meletakkan telefonnya ke atas meja kecil. Namun baru sahaja dia bangun dari tempatnya dan berpusing ke belakang, dia jadi terperanjat sungguh. Beberapa kaki dari tempat dia berada, Dato’ Azman berdiri dengan muka yang serius.
“Ini rupanya kerja awak selama ni, Ruby. Tak hairanlah kenapa perangai budak tu semakin menjadi-jadi. Awak terlalu manjakan dia. Awak terlalu beri muka pada dia, sampai dia tak reti nak susah langsung.”
“Ruby buat apa?” Datin Rubiah menggelabah. Tapi dia cuba buat seselamba yang boleh.
Dato’ Azman tidak jawab. Dia hanya merenung isterinya sampai Datin Rubiah jadi serba salah.
“Salahkah kalau Ruby tolong anak kita?”
“Tolong apa? Tolong jahanamkan dia?”
“Man... sampai hati cakap Ruby macam tu.”
“Memang betul apa saya cakap. Kerana awaklah, Azlan makin hanyut. Makin tak terkawal. Sampai dah tak kenal dosa pahala.”
Datin Rubiah terkedu. Beratnya tuduhan itu. Memang dia mengaku, kehidupan Azlan agak bebas tapi bukan dia penyebabnya. Dia dah mendidik Azlan dengan sebaik-baik didikan. Bukan setakat ilmu dunia, malah dia membekalkan Azlan dengan ilmu agama juga. Jadi tak patut sangatlah kalau Dato’ Azman mahu menuding jari kepadanya.
“Tak patut Man tuduh Ruby macam tu.” Datin Rubiah sedikit menjerit. “Ruby mengaku, Ruby manjakan dia. Ruby terlau ikut kemahuan dia tapi Ruby buat semua itu semata-mata sebab Ruby sayangkan dia. Dia anak kita, Man. Satu-satunya.”
 “Kalau betul dia anak kita... dia sepatutnya dengar nasihat kita. Bukannya buat sesuatu ikut kepala sendiri aje.” Sinis suara Dato’ Azman. “Mulai sekarang saya tak benarkan awak tolong dia lagi.”
            “Tapi Man...”
            “Awak nak dia balik, kan? Kalau nak dia balik dan nak dia jadi ‘manusia’... hentikan semua ni.”
            “Kalau dia tak balik jugak?”
            “Anak manja macam Azlan tu mana pernah hidup susah? Bila dia dah rasa susah nanti, pandailah dia cari jalan balik rumah.”
            “Tapi... Ruby tak sampai hati.”
“Ruby... jangan bantah cakap saya. Jangan sampai saya ambil tindakan yang bukan-bukan.”
Datin Rubiah cuba nak jawab tapi melihat wajah Dato’ Azman yang garang, dia terpaksa membisu.


BAB 8

“AZAH... kat mana lagi saya nak cari awak?” Dia mengeluh perlahan seraya memicit-micit dahinya. Sudah lebih dua bulan mencari tetapi sampai sekarang dia masih belum ketemu gadis itu. Setiap hari dia melalui jalan yang sama, pada masa yang lebih kurang sama. Menunggu di tempat itu dengan harapan Azah akan muncul. Tapi usahanya sia-sia sahaja. Memanglah dia tak berapa cam gadis itu, tetapi mana tahu kalau-kalau Azah perasankan dia. Tak mustahil, kan?
Habis, apa lagi yang harus dilakukan? Silap dia tempoh hari adalah kerana tidak meminta nombor telefon gadis itu. Kalau tidak, selesai masalah. Tetapi yalah, dalam keadaan kalut dan sakit, mana sempat nak fikir semua tu? Itu pun nasib baik dia teringat untuk bertanyakan nama. Tapi sekadar sebuah nama, ianya tidak membantu langsung. Dia dah cuba mencari kat laman sosial Facebook juga, tapi tidak semudah itu. Agak ramai yang bernama Azah dan kebanyakkannya pula tidak meletakkan gambar foto sendiri sebagai profile picture. Yang banyaknya meletak gambar hero Korea, makanan, gambar kartun... hanya beberapa orang yang meletak gambar sendiri. Tapi kalau ada gambar pun, dia bukanlah cam sangat rupa gadis itu.
         “Wei! Berangan tak habis-habis. Kau ingat siapa ni?” Suara itu menyapa seraya menepuk meja di hadapan.
            El angkat muka. Memandang sahabat yang sedang tersengih. “Mana ada aku ingat siapa-siapa? Memandai aje kau ni.”
            “El... El... El... dengan orang lain bolehlah kau kelentong. Ini Amirul Hayat. Dengan Hayat kau jangan cuba nak sorok-sorok.”
            El ketawa. Hayat ni memanglah. Pandai betul buat serkap jarang. Janganlah cuba nak sembunyikan apa-apa daripada dia. Dia akan tahu jugak.
            “Kau tengah buat apa tu?” soal Hayat sambil memandang ke arah laptop yang sedang terpasang.
            “Tengah buat kerja sikit,” balas El.
            “Kerja apa?”
            “Banyak soal pulak kau ni. Adalah kerja aku.” El ketawa lagi. Dia dapat rasa Hayat tidak percaya.
            “Jangan tipu akulah. Aku tau kau bukan buat kerja, kan? Kau tengah fikirkan sesuatu. Apa dia? Cakaplah. Sejak bila pandai berahsia dengan aku ni?”
            El menggosok-gosok hidungnya. Sedang berfikir sama ada dia patut berterus terang atau diamkan sahaja. Memanglah selama ini Hayatlah tempat dia meluahkan isi hati. Lelaki itu merupakan pendengar yang baik. Malah temannya itu  juga merupakan seorang penasihat yang bagus. Dengan Hayat, dia jarang berahsia. Tetapi kali ini rasa macam tidak sesuai pula untuk bercerita. Tentang perempuan pula tu. Entah apa agaknya Hayat akan komen.
“Kalau aku cakap... kau janji jangan gelakkan aku.”
            “Kalau cerita kelakar mestilah aku kena gelak.”
            “Cerita ni tak kelakar pun.”
            “Kalau tak kelakar, tak adalah aku gelak.”
            “Betul ni?”
            “Betul... cakap ajelah.”
            El diam sekejap. Kemudian membetulkan posisi duduknya.
            “Azah...” Dia menyebut nama itu.
            “Azah?” Berkerut dahi Hayat. “Azah tu perempuan, kan?”
            “Memanglah perempuan. Ada ke lelaki yang bernama Azah?” jerkah El. Dah tau apa yang ada dalam kepala Hayat.
Mendadak Hayat ketawa. Kuat pula tu. “Wei! Kawan aku dah jatuh cintalah.”
            Muncung El jadi sedepa. Geram dengan tawa Hayat. Geram juga dengan ‘tohmahan’ temannya itu. Baru saja dia sebut nama, Hayat dah boleh tuduh macam tu. Entah apa-apa.
            “Hah! Tengok... janji tak nak gelak,” marah El. “Azah tu... orang yang tolong aku masa aku accident dululah.”
            Tawa Hayat terhenti. Lantas memandang El lagi. “Jadi orang yang tolong kau dulu tu, perempuan? Mati-mati aku ingat lelaki.”
            El angguk. “Aku perlu jumpa dia, Yat. Aku nak ucap terima kasih. Aku benar-benar terhutang budi. Bukan budi aje, tapi nyawa. Kalau bukan kerana dia, entah-entah aku dah tak ada kat dunia ni.” Bersungguh-sungguh benar bicara El.
            “Mesti dia cantik kan, El?” Hayat senyum nakal.
            “Ke situ pulak perginya.”
            “Cakap ajelah.”
            “Dia pakai helmet... jadi rupa dia tak jelas sangat. Tapi pada aku... rupa tak penting. Yang penting... hati. Apa yang aku tau, hati dia memang cantik.”
            “Apa kau nak buat sekarang?”
            “Aku nak jumpa dia dan ucapkan terima kasih. Kalau perlu aku nak balas budi dia.”
            “Itu aje? Tak ada niat lain?” usik Hayat.
            “Kau tolong serius sikit, boleh tak? Tadi kau juga yang sibuk sangat nak tau, kan?”
            “Okey... okey... aku serius sekarang,” ujar Hayat. “Macam mana kau nak cari dia?”
            “Itu yang aku tengah pening ni. Dah lebih dua bulan aku cari... tapi tak jumpa.”
            “Cari aje kat facebook, bro. Itu pun aku nak kena ajar ke?”
            “Dah cari... berpuluh nama Azah keluar... entah Azah yang mana satu yang aku tengah cari tu. Aku tak rasa nama penuh dia Azah aje. Entah-entah Norazah ke, Azahwati ke... Azah Khalida ke... Azahlia ke... susahlah, Yat.”
            “Kalau nak seribu daya. Kau add aje semua Azah tu.”
            “Ramai tu.”
            “Apa salahnya... lepas tu kau bacalah status dia orang pada tarikh accident hari tu. Kalau betul Azah tu ada akaun facebook... mesti dia ada tulis pasal kes tu.”
            “Banyak kerja nak kena buat tu. Ada masa ke aku?”
            “Tak apa... aku boleh tolong kau.”
            “Betul kau nak tolong aku?”
            “Ini Hayatlah... Takkan kau tak kenal aku?”
            “Terima kasih Yat. Kalau kau jumpa dia aku belanja kau sate Kajang.” Berseri-seri muka El.
            “Sate Kajang aje? Bolehlah...” seloroh Hayat. Sambil berkata begitu, dia berjalan ke muka pintu. Bertujuan keluar dari bilik itu. Tapi, baru memegang tombol pintu, dia berpaling kepada El. “Aku dapat rasa sesuatu.”
            “Apa?”           
            “Kau dah jatuh cinta dengan Azah, kan?”
            “Woi! Mana ada?” kata El. Pen yang berada berhampiran dicapai dan dibaling ke arah Hayat.

“LAMBAT El balik hari ni... El dari mana ni?” tanya Hajah Salmi. Membiarkan tangannya dicapai dan dikucup anak lelakinya. Manis senyumannya sambil menatap anak kesayangan yang sudah mengambil tempat di sisinya.
            “Dari ofis, mak. Biasalah syarikat baru nak bertatih. Banyak benda nak kena buat. Itu pun nasib baik ada Hayat dan pekerja lain. Kalau El sorang memang tak terbuat,” ujarnya merujuk kepada syarikat yang baru setengah tahun beroperasi. Syarikat yang dikongsi bersama teman baiknya, Amirul Hayat. Sebelum ini dia bekerja di syarikat milik kawan baik arwah abahnya, Haji Muslim. Setelah hampir lima tahun menimba ilmu dan pengalaman, barulah dia yakin menjalankan perniagaannya sendiri.
            “Macam mana kerja, El?”
        “Alhamdulillah, mak. Walaupun masih baru... ramai yang beri kerjasama dan kepercayaan. Mungkin sebab dia orang pun dah biasa dengan El sebelum ni, kan?”
            Syukurlah kalau macam tu.”
            “Ini pun berkat doa mak, kan?” Lembut bicara El sambil meraih tangan emak.
            “Insya-Allah selagi mak masih hidup... mak takkan lupa berdoa untuk El. Bukan El aje tau? Semua anak-anak mak.”
            “Terima kasih, mak,” ucap El.
            Mak angguk. “Oh! Ya... macam mana kaki El? Dah okey ke?”
            “Dah okey dah, mak. Cuma bila cuaca sejuk... terasa sengal-sengal sikit.”
            “Insya-Allah, tak lama lagi baiklah tu.”
            Bila emak membuka topik pasal kakinya yang tercedera, ingatan pergi semula kepada gadis yang menolongnya tempoh hari. Gadis yang sering muncul di ruang fikirannya sejak kemalangan tersebut. Azah, gadis misteri yang sehingga kini masih belum ditemui. Sejujurnya, selagi dia belum ketemu gadis itu, selagi itulah hatinya tidak akan rasa tenteram. Selagi itulah dia rasa seperti sedang berhutang. Dah berhutang, mestilah kena bayar balik. Hutang wang, dibayar dengan wang. Hutang budi, seharusnyalah dibayar dengan budi juga. Tapi bagaimanakah caranya?
            “El nak jumpa orang yang tolong El tu, mak. Selagi El tak jumpa... hati El rasa tak tenang.” Dia pernah menyuarakan perkara ini kepada emak. Tapi ketika itu emak menasihatkan agar El tidak memikirkan hal itu sangat, kerana pada pendapat emak... Azah menolong El dengan ikhlas dan tidak mengharapkan apa-apa ganjaran mahupun balasan. Jadi tidak perlulah El rasa terbeban dengan hal itu. Tapi tak tahukah emak, betapa terbebannya dia sekarang? Dia tak boleh melupakan hal itu dengan mudah. Mungkin pada sesetengah orang, dia hanya membuang masa dengan memikirkan hal yang remeh-temeh begitu.Tapi tak, dia tak rasa hal itu remeh-temah.
            “Jadi El nak jumpa dia jugak?”
            “El kena jumpa dia mak. El perlu jumpa dia.”
            “Katalah El dapat jumpa dia... apa El nak cakap kat dia?”
            “El nak ucap terima kasih sebab dia dah tolong El.”
            “Itu aje?”
            “Itu ajelah kut.”
            “Kalau setakat itu... baik tak payah jumpa.” Emak ketawa, manis sekali bunyinya.
            “Dah tu... nak buat apa lagi?”
            Emak tak jawab. Dia terus ketawa.
            “Kenapa mak ketawa?”
            “Mak rasa anak mak ni dah jatuh hatilah.”
            “Mak ni pun dah jadi macam Hayat dah... suka sangat bercakap yang bukan-bukan. Mana ada El macam tu? Takkan jumpa sekali tu aje dah boleh jatuh cinta, mak. Lagipun El bukan cam sangat muka dia tu. Tak masuk akal.”
            “Siapa cakap tak masuk akal... kalau tidak, tak adalah istilah cinta pandang pertama, betul tak?” usik Hajah Salmi.
            “Dah... dah... makin El layan mak... entah apa pulak mak nak cakap. Baik El naik atas, mandi.”

Wednesday, June 13, 2012

lupakan dia...

 

Sudah berbulan-bulan pembaca saya yang seorang ni menyepikan diri (Saya namakan dia Rozie). Tiba-tiba beberapa hari lepas dia menghubungi saya. Bila dengar suaranya yang sayu semacam, saya tahu ada sesuatu yang ingin dikongsikan bersama saya. Telahan saya benar apabila dia mula bercerita tentang hatinya yang sedang kecewa. Teman lelakinya (Shah) yang sudah dikenali sejak lima tahun lalu tiba-tiba berubah sikap... menjadi dingin dan seperti ingin menjauhkan diri daripada dia. Padahal sebelum ini hubungan mereka tidak bermasalah. Malah Shah sudah berjanji untuk masuk meminangnya selepas Aidilfitri nanti.

Siasat punya siasat, rupa-rupanya Shah  ada menjalin hubungan dengan perempuan lain (Tina). Kebetulan Rozie memang kenal  Tina memandangkan gadis itu pernah bekerja satu pejabat dengannya. Apa lagi, mengamuk sakanlah Si Rozie ni. Dia bersemuka dengan Tina dan menyalahkan gadis itu atas apa yang berlaku. Kononnya Tinalah yang menyebabkan Shah berubah. Rozie juga mengugut Tina agar menjauhkan diri dari Shah. Tapi yang buat dia marah, Tina langsung tidak mempedulikan ugutannya, sebaliknya jadi semakin berani pula.  Malah melalui dinding facebook Shah, Tina  tanpa segan silu meluahkan perasaannya. Yang buat Rozie makin sakit hati, Shah pun dua kali lima... turut memberi respons. Panjang lagi cerita Rozie, yang kalaulah saya ceritakan semuanya di sini, sampai besok pun tak siap lagi saya menaip agaknya.

Jadi, dipendekkan cerita...  saya nasihatkan Rozie agar melupakan Shah. Kata saya, Shah bukanlah seorang lelaki yang baik. Ramai lagi  lelaki di luar sana yang lebih layak untuk dijadikan teman hidup. Kalau sekarang Shah boleh bersikap seperti itu, tidak mustahil selepas berkahwin sikapnya akan tetap begitu. Insya-Allah, mungkin satu hari nanti, Rozie akan bertemu lelaki yang betul-betul ikhlas dan dapat membahagiakan dia.

Tapi kata Rozie, dia takkan lupakan Shah. Sudah lima tahun  dan dia takkan lepaskan Shah dengan mudah. Dia akan tetap menunggu lelaki itu dan tidak akan henti-henti berdoa agar jodohnya dipertemukan juga dengan lelaki itu. Saya dah tak tahu nak nasihat macam mana lagi. Kalau dah itu kata Rozie, terpulanglah pada dia. Dia bercerita, jadi saya cuba menghulur nasihat. Tapi kalau dia tak boleh terima... saya tak boleh nak kata apa lagi.

Sebenarnya kes Rozie adalah sebahagian dari bermacam-macam kisah yang sampai kepada saya. Banyak lagi yang lebih kurang sama sahaja jalan ceritanya. Bukan lelaki saja yang buat hal... perempuan pun ada juga. Saya pun tak faham kenapa ramai yang pilih saya untuk bercerita. Mungkin mereka selesa dengan saya atau mungkin mereka fikir penulis macam saya ada penyelesaian yang baik buat mereka.

Pada saya senang saja... kalau dari awal dah nampak tiada keserasian, dah nampak belang pasangan... jangan  diteruskan. Lupakan dia... lupakan lima tahun tu. Fikirkan masa hadapan yang lebih panjang seandainya kita bersama dia.  Wallahuaklam...

Saturday, June 9, 2012

alah bisa tegal biasa

Cuti sekolah dah hampir melabuhkan tirainya. Selamat tinggal x-box 360,  internet,  komik... John Green, John Grisham, Jeffry Archer. Selamat kembali ke sekolah. Dah dua minggu berseronok... sekarang masa untuk belajar pula. PMR dah makin hampir ya. Jangan buat-buat lupa. 

*Pesanan ni sebenarnya ditujukan khas buat anak saya Aisyah Fatihah yang nampak bahagia benar sepanjang cuti dua minggu ni... 

Mulai Isnin ini juga Kuala Lumpur akan kembali sibuk, jalan akan kembali sesak. Walaupun saya tinggal di Selangor dan bekerja di Selangor tetapi saya terpaksa redah Kuala Lumpur juga untuk sampai ke tempat kerja.  Pelik bunyinya kan? Tinggal di Selangor, bekerja di Selangor... kenapa nak kena redah Kuala Lumpur pulak? Pelik tapi benar... hehehe...

Untuk makluman saya tinggal di Serendah, Hulu Selangor. Bekerja pulak di Cyberjaya. Jauh kan? Sempadan Perak dan sempadan Negeri Sembilan tu. (Kalau tak percaya... cuba tengok peta) Mula-mula dulu, memang rasa macam mustahil. Rasa jauh sangat-sangat... tapi kata orang 'alah bisa tegal biasa.' Dah enam bulan lebih dan saya dah boleh biasakan diri. Alhamdulillah setakat ni masih mampu bertahan. Mudah-mudahan akan terus bertahan... Insya-Allah...