BAB 6
“LAN tak rindu mama?” Di hujung talian, suara Datin Rubiah
sudah sayu benar bunyinya. Mahu tak sayu, sudah lebih sebulan
Azlan meninggalkan rumah, sampai sekarang belum nak balik-balik. Puncanya
bukanlah besar mana pun. Cuma berlaku pergaduhan kecil antara Azlan dan
papanya. Pergaduhan anak-beranak. Si bapa mahu
anak bekerja di syarikatnya. Sedangkan si anak pula tidak bersetuju sebab belum
bersedia untuk bekerja. Disebabkan hal itu, si bapa jadi marah dan si anak pula
merajuk, lantas membawa diri. Memang tak masuk akal. Tapi itulah yang telah Azlan
buat. Anak tunggalnya itu memang jenis yang suka berbuat sesuatu ikut perasaan
dan ikut kepala sendiri. Yang suaminya, Dato’ Azman pula tak nak mengalah.
Memang eloklah tu bapa dengan anak. Dua-dua keras hati, dua-dua keras kepala.
“Siapa
cakap Lan tak rindu? Kalau tak rindu tak adanya Lan nak telefon mama.”
“Alah...
Lan telefon mama pun sebab duit aje, kan?”
“Pandai
pun mama.” Azlan gelak.
“Hah!
Tengok... kan betul apa mama cakap. Lan memang tak ingat mama lagi. Tak sayang
mama lagi.”
“Ala... ma.
Janganlah merajuk. Lan gurau ajelah. Macamlah mama tak kenal Lan.”
Datin Rubiah
tertawa. “Duit yang mama bagi hari tu ada lagi ke, Lan?”
“Ada lagi, ma...
cukuplah untuk belanja Lan bulan ni. Sewa rumah, bil-bil semua Lan dah bayar.”
“Tak apalah...
nanti mama tambah lagi, ya?”
“Kalau mama nak
tambah... Lan lagi suka.” Azlan ketawa, seronok. Dah orang nak bagi, takkan nak
jual mahal pula. Tolak rezeki namanya tu. Kata orang.... rezeki jangan ditolak,
musuh usah dicari.
“Ni mama nak
tanya sikit.”
“Mama nak tanya
apa?”
“Lan duduk
sorang-sorang tu, Lan solat tak?”
“Mestilah,” balas
Azlan acuh tak acuh. Tak gemar disoal begitu. Tapi setiap kali menelefon, itu
jugalah yang sering mama tanyakan. Bosan sungguh.
“Ya ke?” Datin
Rubiah tak percaya.
“Yalah. Takkan
tak percaya kut?”
“Kat rumah ni pun
puas mama paksa, baru Lan nak solat. Dah jauh dari mama, lagilah.”
Azlan tak jawab. Malas
nak bertekak dengan mama. Suka hati mamalah nak kata apa pun.
“Lan.”
“Apa lagi, ma?”
“Bila Lan nak
balik?” Suara Datin Rubiah bertukar sayu. Dia amat mengharapkan kepulangan Azlan.
Ketiadaan anak tunggalnya itu menyebabkan rumah terasa sunyi dan sepi. Tiada
lagi keceriaan, tiada lagi kegembiraan. Semuanya pergi bersama pemergian anak
kesayangan.
“Nanti-nanti Lan
baliklah.”
“Nanti-nanti tu
bila? Asyik itu aje yang Lan cakap, tapi tak balik-balik pun.”
Azlan hanya
mengeluh.
“Lan masih
merajuk dengan papa?”
“Lan tau papa
masih marah Lan.”
“Lan pun satu...
beralah lah.”
Azlan diam lagi. Tak
kuasa nak jawab. Bukanlah dia tak nak mengalah tapi papa tu yang keras hati sangat.
Asyik cakap papa saja yang dia kena dengar. Sesekali apa salahnya kalau papa
pula yang ikut cakap dia, patuh dengan kehendak dia. Dia bukan minta banyak
pun. Dia cuma tidak berminat dengan tawaran kerja papa. Lagipun dia masih belum
bersedia untuk bekerja. Dia masih muda, masih banyak waktu lagi. Sebelum ini
pun dia dah banyak ikut cakap papa walaupun dengan rasa terpaksa. Empat tahun
dia memaksa diri untuk meminati senibina pun semata-mata sebab papa. Dalam tak
suka pun, berjaya juga dia menghabiskan studinya. Takkan itu pun papa tak boleh
fikir?
“Kalau mama jadi
papa pun mama marah. Umur Lan dah 25. Tak lama lagi dan nak masuk 26. Tak ada sudahnya
Lan nak terus macam ni. Lan bukannya budak-budak
lagi. Dari sekaranglah Lan kena belajar selok-belok
perniagaan. Esok kalau papa dah tak ada, macam mana? Siapa yang nak ganti
tempat papa? Lan jugak, kan?”
Azlan merengus.
Mama dah mulalah tu. Kata sokong Lan, tapi boleh pulak cakap macam tu.
“Ma... Lan ada benda sikit nak buat. Lain kali
kita sembang lagi ya?” Azlan buat alasan. Sebetulnya malas nak dengar omelan
mama. Kata faham dia, sebelahkan dia tapi bila bercakap, sama juga macam
papa... asyik nak salahkan dia. Tapi dengan mama, tak pernahlah dia nak
marah-marah atau melawan. Kalau tak suka dengar pun, dia sengajalah buka topik
lain atau buat-buat ada hal lain.
“Mama tau Lan tak
suka dengar mama cakap macam tu, kan?” Datin Rubiah ketawa. Tak ambil hati pun.
Dah masak sangat dengan Azlan.
“Tau tak apa...”
jawab Azlan.
“Okeylah... nanti
mama transfer duit ke akaun Lan, ya?”
“Terima kasih
banyak, ma. Sayang mama.”
“Sayang Lan
juga.”
Sambil tersenyum,
Datin Rubiah meletakkan telefonnya ke atas meja kecil. Namun baru sahaja dia
bangun dari tempatnya dan berpusing ke belakang, dia jadi terperanjat sungguh. Beberapa
kaki dari tempat dia berada, Dato’ Azman berdiri dengan muka yang serius.
“Ini rupanya kerja
awak selama ni, Ruby. Tak hairanlah kenapa perangai budak tu semakin
menjadi-jadi. Awak terlalu manjakan dia. Awak terlalu beri muka pada dia,
sampai dia tak reti nak susah langsung.”
“Ruby buat apa?”
Datin Rubiah menggelabah. Tapi dia cuba buat seselamba yang boleh.
Dato’ Azman tidak
jawab. Dia hanya merenung isterinya sampai Datin Rubiah jadi serba salah.
“Salahkah kalau Ruby
tolong anak kita?”
“Tolong apa?
Tolong jahanamkan dia?”
“Man... sampai
hati cakap Ruby macam tu.”
“Memang betul apa
saya cakap. Kerana awaklah, Azlan makin hanyut. Makin tak terkawal. Sampai dah
tak kenal dosa pahala.”
Datin Rubiah
terkedu. Beratnya tuduhan itu. Memang dia mengaku, kehidupan Azlan agak bebas tapi
bukan dia penyebabnya. Dia dah mendidik Azlan dengan sebaik-baik didikan. Bukan
setakat ilmu dunia, malah dia membekalkan Azlan dengan ilmu agama juga. Jadi tak
patut sangatlah kalau Dato’ Azman mahu
menuding jari kepadanya.
“Tak patut Man
tuduh Ruby macam tu.” Datin Rubiah sedikit menjerit. “Ruby mengaku, Ruby
manjakan dia. Ruby terlau ikut kemahuan dia tapi Ruby buat semua itu
semata-mata sebab Ruby sayangkan dia. Dia anak kita, Man. Satu-satunya.”
“Kalau betul dia anak kita... dia sepatutnya
dengar nasihat kita. Bukannya buat sesuatu ikut kepala sendiri aje.” Sinis
suara Dato’ Azman. “Mulai sekarang saya tak benarkan awak tolong dia lagi.”
“Tapi
Man...”
“Awak
nak dia balik, kan? Kalau nak dia balik dan nak dia jadi ‘manusia’... hentikan
semua ni.”
“Kalau
dia tak balik jugak?”
“Anak
manja macam Azlan tu mana pernah hidup susah? Bila dia dah rasa susah nanti,
pandailah dia cari jalan balik rumah.”
“Tapi...
Ruby tak sampai hati.”
“Ruby... jangan
bantah cakap saya. Jangan sampai saya ambil tindakan yang bukan-bukan.”
Datin Rubiah cuba
nak jawab tapi melihat wajah Dato’ Azman yang garang, dia terpaksa membisu.
BAB 8
“AZAH... kat mana lagi saya nak cari awak?” Dia mengeluh perlahan seraya
memicit-micit dahinya. Sudah lebih dua bulan mencari tetapi sampai sekarang dia
masih belum ketemu gadis itu. Setiap hari dia melalui jalan yang sama, pada
masa yang lebih kurang sama. Menunggu di tempat itu dengan harapan Azah akan
muncul. Tapi usahanya sia-sia sahaja. Memanglah dia tak berapa cam gadis itu,
tetapi mana tahu kalau-kalau Azah perasankan dia. Tak mustahil, kan?
Habis, apa lagi
yang harus dilakukan? Silap dia tempoh hari
adalah kerana tidak meminta nombor telefon gadis itu. Kalau tidak, selesai
masalah. Tetapi yalah, dalam keadaan kalut dan sakit, mana sempat nak fikir semua
tu? Itu pun nasib baik dia teringat untuk bertanyakan nama. Tapi sekadar sebuah
nama, ianya tidak membantu langsung. Dia dah cuba mencari kat laman sosial
Facebook juga, tapi tidak semudah itu. Agak ramai yang bernama Azah
dan kebanyakkannya pula tidak meletakkan gambar foto sendiri sebagai profile picture. Yang banyaknya meletak
gambar hero Korea, makanan, gambar kartun... hanya beberapa orang yang meletak
gambar sendiri. Tapi kalau ada gambar pun, dia bukanlah cam sangat rupa gadis
itu.
“Wei!
Berangan tak habis-habis. Kau ingat siapa ni?” Suara itu menyapa seraya menepuk
meja di hadapan.
El
angkat muka. Memandang sahabat yang sedang tersengih. “Mana ada aku ingat
siapa-siapa? Memandai aje kau ni.”
“El...
El... El... dengan orang lain bolehlah kau kelentong. Ini Amirul Hayat. Dengan
Hayat kau jangan cuba nak sorok-sorok.”
El
ketawa. Hayat ni memanglah. Pandai betul buat serkap jarang. Janganlah cuba nak
sembunyikan apa-apa daripada dia. Dia akan tahu jugak.
“Kau
tengah buat apa tu?” soal Hayat sambil memandang ke arah laptop yang sedang
terpasang.
“Tengah
buat kerja sikit,” balas El.
“Kerja
apa?”
“Banyak
soal pulak kau ni. Adalah kerja aku.” El ketawa lagi. Dia dapat rasa Hayat
tidak percaya.
“Jangan
tipu akulah. Aku tau kau bukan buat kerja, kan? Kau tengah fikirkan sesuatu.
Apa dia? Cakaplah. Sejak bila pandai berahsia dengan aku ni?”
El
menggosok-gosok hidungnya. Sedang berfikir sama ada dia patut berterus terang
atau diamkan sahaja. Memanglah selama ini Hayatlah tempat dia meluahkan isi
hati. Lelaki itu merupakan pendengar yang baik. Malah temannya itu juga merupakan seorang penasihat yang bagus.
Dengan Hayat, dia jarang berahsia. Tetapi kali ini rasa macam tidak sesuai pula
untuk bercerita. Tentang perempuan pula tu. Entah apa agaknya Hayat akan komen.
“Kalau aku
cakap... kau janji jangan gelakkan aku.”
“Kalau
cerita kelakar mestilah aku kena gelak.”
“Cerita
ni tak kelakar pun.”
“Kalau
tak kelakar, tak adalah aku gelak.”
“Betul
ni?”
“Betul...
cakap ajelah.”
El
diam sekejap. Kemudian membetulkan posisi duduknya.
“Azah...”
Dia menyebut nama itu.
“Azah?”
Berkerut dahi Hayat. “Azah tu perempuan, kan?”
“Memanglah
perempuan. Ada ke lelaki yang bernama Azah?” jerkah El. Dah tau apa yang ada
dalam kepala Hayat.
Mendadak Hayat
ketawa. Kuat pula tu. “Wei! Kawan aku dah jatuh cintalah.”
Muncung
El jadi sedepa. Geram dengan tawa Hayat. Geram juga dengan ‘tohmahan’ temannya
itu. Baru saja dia sebut nama, Hayat dah boleh tuduh macam tu. Entah apa-apa.
“Hah!
Tengok... janji tak nak gelak,” marah El. “Azah tu... orang yang tolong aku
masa aku accident dululah.”
Tawa
Hayat terhenti. Lantas memandang El lagi. “Jadi orang yang tolong kau dulu tu,
perempuan? Mati-mati aku ingat lelaki.”
El
angguk. “Aku perlu jumpa dia, Yat. Aku nak ucap terima kasih. Aku benar-benar
terhutang budi. Bukan budi aje, tapi nyawa.
Kalau bukan kerana dia, entah-entah aku dah tak ada kat dunia ni.”
Bersungguh-sungguh benar bicara El.
“Mesti
dia cantik kan, El?” Hayat senyum nakal.
“Ke
situ pulak perginya.”
“Cakap
ajelah.”
“Dia
pakai helmet... jadi rupa dia tak jelas sangat. Tapi pada aku... rupa tak
penting. Yang penting... hati. Apa yang aku tau, hati dia memang cantik.”
“Apa
kau nak buat sekarang?”
“Aku
nak jumpa dia dan ucapkan terima kasih. Kalau perlu aku nak balas budi dia.”
“Itu
aje? Tak ada niat lain?” usik Hayat.
“Kau
tolong serius sikit, boleh tak? Tadi kau juga yang sibuk sangat nak tau, kan?”
“Okey...
okey... aku serius sekarang,” ujar Hayat. “Macam mana kau nak cari dia?”
“Itu
yang aku tengah pening ni. Dah lebih dua bulan aku cari... tapi tak jumpa.”
“Cari
aje kat facebook, bro. Itu pun aku
nak kena ajar ke?”
“Dah
cari... berpuluh nama Azah keluar... entah Azah yang mana satu yang aku tengah
cari tu. Aku tak rasa nama penuh dia Azah aje. Entah-entah Norazah ke, Azahwati
ke... Azah Khalida ke... Azahlia ke... susahlah, Yat.”
“Kalau
nak seribu daya. Kau add aje semua Azah
tu.”
“Ramai
tu.”
“Apa
salahnya... lepas tu kau bacalah status dia orang pada tarikh accident hari tu. Kalau betul Azah tu
ada akaun facebook... mesti dia ada tulis pasal kes tu.”
“Banyak
kerja nak kena buat tu. Ada masa ke aku?”
“Tak
apa... aku boleh tolong kau.”
“Betul
kau nak tolong aku?”
“Ini
Hayatlah... Takkan kau tak kenal aku?”
“Terima
kasih Yat. Kalau kau jumpa dia aku belanja kau sate Kajang.” Berseri-seri muka
El.
“Sate
Kajang aje? Bolehlah...” seloroh Hayat. Sambil berkata begitu, dia berjalan ke
muka pintu. Bertujuan keluar dari bilik itu. Tapi, baru memegang tombol pintu,
dia berpaling kepada El. “Aku dapat rasa sesuatu.”
“Apa?”
“Kau
dah jatuh cinta dengan Azah, kan?”
“Woi!
Mana ada?” kata El. Pen yang berada berhampiran dicapai dan dibaling ke arah
Hayat.
“LAMBAT El balik hari ni... El dari mana ni?” tanya Hajah Salmi.
Membiarkan tangannya dicapai dan dikucup anak lelakinya. Manis senyumannya
sambil menatap anak kesayangan yang sudah mengambil tempat di sisinya.
“Dari
ofis, mak. Biasalah syarikat baru nak bertatih. Banyak benda nak kena buat. Itu
pun nasib baik ada Hayat dan pekerja lain. Kalau El sorang memang tak terbuat,”
ujarnya merujuk kepada syarikat yang baru setengah tahun beroperasi. Syarikat
yang dikongsi bersama teman baiknya, Amirul Hayat. Sebelum ini dia bekerja di syarikat milik kawan baik arwah abahnya, Haji
Muslim. Setelah hampir lima tahun menimba ilmu dan pengalaman, barulah dia
yakin menjalankan perniagaannya sendiri.
“Macam
mana kerja, El?”
“Alhamdulillah,
mak. Walaupun masih baru... ramai yang beri kerjasama dan kepercayaan. Mungkin
sebab dia orang pun dah biasa dengan El sebelum ni, kan?”
“Syukurlah kalau macam tu.”
“Ini
pun berkat doa mak, kan?” Lembut bicara El sambil meraih tangan emak.
“Insya-Allah
selagi mak masih hidup... mak takkan lupa berdoa untuk El. Bukan El aje tau? Semua
anak-anak mak.”
“Terima kasih, mak,” ucap El.
Mak
angguk. “Oh! Ya... macam mana kaki El? Dah okey
ke?”
“Dah
okey dah, mak. Cuma bila cuaca sejuk... terasa sengal-sengal sikit.”
“Insya-Allah,
tak lama lagi baiklah tu.”
Bila
emak membuka topik pasal kakinya yang tercedera, ingatan pergi semula kepada
gadis yang menolongnya tempoh hari. Gadis yang sering muncul di ruang fikirannya sejak kemalangan tersebut. Azah, gadis
misteri yang sehingga kini masih belum ditemui. Sejujurnya, selagi dia belum
ketemu gadis itu, selagi itulah hatinya tidak akan rasa tenteram. Selagi itulah
dia rasa seperti sedang berhutang. Dah berhutang, mestilah kena bayar balik.
Hutang wang, dibayar dengan wang. Hutang budi, seharusnyalah dibayar dengan
budi juga. Tapi bagaimanakah caranya?
“El
nak jumpa orang yang tolong El tu, mak. Selagi El tak jumpa... hati El rasa tak
tenang.” Dia pernah menyuarakan perkara ini kepada emak. Tapi ketika itu emak
menasihatkan agar El tidak memikirkan hal itu sangat, kerana pada pendapat emak...
Azah menolong El dengan ikhlas dan tidak mengharapkan apa-apa ganjaran mahupun
balasan. Jadi tidak perlulah El rasa terbeban dengan hal itu. Tapi tak tahukah emak,
betapa terbebannya dia sekarang? Dia tak boleh melupakan hal itu dengan mudah.
Mungkin pada sesetengah orang, dia hanya membuang masa dengan memikirkan hal
yang remeh-temeh begitu.Tapi tak, dia tak rasa hal itu remeh-temah.
“Jadi
El nak jumpa dia jugak?”
“El
kena jumpa dia mak. El perlu jumpa dia.”
“Katalah
El dapat jumpa dia... apa El nak cakap kat dia?”
“El
nak ucap terima kasih sebab dia dah tolong El.”
“Itu
aje?”
“Itu
ajelah kut.”
“Kalau
setakat itu... baik tak payah jumpa.” Emak ketawa, manis sekali bunyinya.
“Dah
tu... nak buat apa lagi?”
Emak
tak jawab. Dia terus ketawa.
“Kenapa
mak ketawa?”
“Mak
rasa anak mak ni dah jatuh hatilah.”
“Mak
ni pun dah jadi macam Hayat dah... suka sangat bercakap yang bukan-bukan. Mana
ada El macam tu? Takkan jumpa sekali tu aje dah boleh jatuh cinta, mak. Lagipun
El bukan cam sangat muka dia tu. Tak masuk akal.”
“Siapa
cakap tak masuk akal... kalau tidak, tak adalah istilah cinta pandang pertama,
betul tak?” usik Hajah Salmi.
“Dah...
dah... makin El layan mak... entah apa pulak mak nak cakap. Baik El naik atas,
mandi.”
4 comments:
best3... sarah ade baca jugak novel Bila Dah Suka... memang xrugi la baca.. OTW nak dapatkan novel2 lain..=)
tak sabar nak beli novel ni. saya dah habis baca semua novel akk :)
maisarah... dah baca 'bila dah suka' ke?... terima kasih banyak2...
cely... beli jangan tak beli... hehehe gurau je. btw terima kasih sudi baca novel2 akak...
Post a Comment