Sunday, May 19, 2013

aku, dia & bintang - petikan


  
 Sedikit petikan dari Aku, Dia & Bintang...

SEAWAL jam 6.30 pagi, Innova yang mereka naiki sampai di Bandar Udara Internasional Minangkabau. Masih ada dua jam sebelum kapal terbang berlepas. Andri memberhentikan keretanya betul-betul di hadapan pintu masuk. Setelah mengeluarkan semua bagasi, dia segera menyalami Fattah, kemudian meminta diri. Lalu membawa keretanya pergi dari situ. 
            Leya terpinga-pinga. Mata memandang Innova yang semakin menjauh. Kemudian pandang jaket Andri yang tersangkut di lengannya. ‘Laa... macam mana ni? Bila masa pula aku nak pulangkan kat dia? Yang aku pun satu, kenapa tak tinggalkan aje kat dalam kereta tadi? Andri pun satu hal juga, boleh pula dia pergi macam tu saja. Teruknya dia.’
Ada rasa terkilan di hati Leya. Tiada kata selamat tinggal, tiada kata maaf, tiada pesanan dan tiada apa-apa ucapan pun. Semudah itukah perpisahan mereka? Habis, apa makna luahan Andri sebelum ini? Apa erti kemesraan yang ditunjukkan selama seminggu ini? Lelaki, semuanya sama. Tak kiralah dari negara mana pun asal mereka. Kalau dah lelaki tu, lelaki jugalah. Memang suka mempermainkan perasaan perempuan.
            ‘Hisy! Apa kena dengan aku ni? Kenapa perlu ada rasa terkilan? Kenapa harus kesal? Lupakah dengan tujuan asal kedatangan aku ke sini? Aku datang untuk bercuti, sekaligus untuk tenangkan fikiran yang tidak tenang sebelum ini. Tetapi kenapa bukan ketenangan yang aku dapat... sebaliknya hati jadi makin huru-hara. Hati semakin porak-poranda.’
Hei! Leya Mysara... Andri itu kan hanya pemandu pelancong saja. Biasalah lelaki kerja macam tu... dia orang tu bijak bermain dengan kata-kata. Hari ini dengan kau, kelmarin dengan perempuan lain. Esok, lusa... entah dengan siapa pula. Jangan buang masa fikirkan dia. Jangan jadi bodoh. Hatinya menghasut.
“Leya... jom...” Emelda yang sudah berada berhampiran pintu masuk, berteriak.
“Kau orang jalan dulu. Kejap lagi aku masuk,” jawab Leya. Kebetulan dia hanya membawa sebuah bagasi yang boleh dibawa semasa menaiki kapal terbang nanti. Sementara barang-barang yang dibeli di sini sudah pun dimasukkan ke dalam beg besar yang dikongsi bersama Emelda. Jadi tak perlulah dia beratur untuk membuat pendaftaran masuk. 
Sambil berdiri di situ, matanya melilau ke serata tempat. Mencari kelibat seseorang meskipun dia tahu, orang itu tidak akan muncul lagi. Hatinya berat menyatakan yang Andri sudah pun berlalu dari situ. Dia tidak mungkin akan bertemu Andri lagi. Namun hati yang satu lagi memaksa untuk dia terus menunggu. Mungkin peluang masih ada untuk ketemu lelaki itu.
Hampir lima belas minit di situ, akhirnya Leya membuat keputusan untuk masuk. Tak apalah… mungkin tiada rezekinya untuk bertemu Andri lagi. Lagipun dia hanya mahu memohon maaf atas kekhilafannya kelmarin. Itu sahaja. Bukan ada niat lain pun. Mungkin dia boleh melakukan melalui SMS atau e-mel selepas balik ke Malaysia nanti.
Dengan langkah yang berat, bagasinya ditarik perlahan ke arah muka pintu.
“Leya…”
Tiba-tiba terdengar namanya dipanggil. Panggilan daripada seseorang yang sememangnya ditunggu-tunggu. Bagai ada tarikan magnet, pantas dia berpaling. Secepat itu pula air matanya mengalir ke pipi. Tidak tahu kenapa dia menangis, tapi ianya berlaku tanpa mampu dikawal. Ianya terjadi secara spontan. Andri… akhirnya kamu datang juga.
Dengan tercungap-cungap, Andri menghampiri Leya. Selama beberapa saat, dia tidak bercakap sepatah pun. Hanya wajah Leya yang menjadi tatapan matanya. Wajah yang hanya berjarak beberapa kaki daripadanya.
“Leya…”
“Kenapa kamu tinggalkan saya macam tu aje tadi? Kenapa tak cakap apa-apa pun? Kenapa buat saya tertunggu-tunggu?” Belum sempat Andri berkata apa-apa, Leya terlebih dahulu menyerangnya dengan beberapa soalan serentak. Soalan yang sejak tadi terbuku dalam hatinya. Tanpa rasa malu, dia menangis teresak-esak. Ada mata-mata yang memandang, tapi dia peduli apa? Pandanglah sepuas hati mereka. Bukan luak pun.
Tiada jawapan dari mulut Andri. Selain dari mahu menenangkan diri, dia sebetulnya tidak percaya yang Lia masih berada di situ, menunggu dia pastinya. Tadi dia fikirkan dia gagal bertemu Leya lagi. Sebetulnya, dia hanya mencuba nasib. Syukurlah, dia masih sempat ketemu Leya. Dia yakin, Leya juga seperti dia, mahukan sebuah perpisahan yang bermakna. Perpisahan yang bakal mengeratkan lagi dua hati. Perpisahan yang pastinya akan ada pertemuan lagi.
“Kamu tak patut buat saya macam tu. Kamu jahat. Saya benci kamu, tau tak?” Leya angkat tangan dan genggam penumbuk. Ikutkan hati, dia nak tumbuk dada Andri kuat-kuat. Biar Andri rasa sakit… biar Andri rasa perit, macam mana hatinya yang sakit dan perit tadi.
“Silakan… kalau itu boleh hilangkan rasa sebal kamu pada aku. Mau pukul di mana… dada aku… atau di wajah aku yang ganteng ni?” Andri bercanda.
Perlahan-lahan Leya turunkan tangannya. 
Sambil menarik nafasnya, Andri ukir senyuman tapi nampak sayu. “Tadi tu… aku fikir aku boleh pergi begitu aja. Sebetulnya aku masih sedih bila teringatkan bicara kamu kelmarin. Tapi bila aku fikirkan semula… aku harus jumpa kamu. Aku harus titipkan sesuatu sebelum kamu pulang ke Kuala Lumpur. Aku tidak mau terkilan dan kesal seandainya nggak sempat ketemu sama kamu.”
Leya menggigit bibirnya. Fahamlah dia kenapa Andri bertindak begitu tadi.
“Maafkan aku kalau menyusahkan kamu,” sambung Andri.
Leya angguk. “Saya juga nak minta maaf pasal kelmarin. Saya tau saya salah. Sebenarnya saya tak ada niat pun nak tuduh kamu. Saya tau kamu bukan macam tu. Maafkan saya, ya?”
Sekali lagi Andri hulur senyuman. “Nggak usah khawatir… aku sudah maafkan kamu.”
“Terima kasih,” ucap Leya hiba sambil air matanya jatuh lagi ke pipi.
“Tolong jangan menangis, Leya. Tolong jangan bikin aku sedih.”
“Habis, kamu ingat kamu sorang aje sedih? Saya lagi sedih, tau?”
“Kenapa kamu sedih?”
Leya tak terus jawab. Nak cakap apa ya? Takkan nak berterus terang kut. Malulah…
 “Sedihlah… takut tak sempat pulangkan jaket kamu.” Leya menunjukkan jaket yang masih tersangkut pada lengannya.
Andri ketawa seraya menggelengkan kepalanya. Dalam situasi sedih seperti ini pun Leya masih mahu bercanda.
“Kenapa kamu sedih, Leya?” Dia bertanya lagi sekali. Mahu dengar jawapan yang sebenar.
“Yalah, nak tinggalkan kamu... mestilah sedih.” Perlahan sahaja suara Leya kali ini. Mata yang sedang pandang Andri dibawa memandang kaki pula. Tiba-tiba dia jadi malu.
Andri menghela nafasnya panjang. Hati rasa berbunga-bunga. Rasa tak percaya dengan apa yang didengar. Meskipun hanya ucapan itu, itu sudah cukup buat dia rasa bahagia.
“Aku akan merindui kamu, Leya.”
“Saya pun...” balas Leya perlahan.
“Saya pun… apa?” Andri mengusik.
“Tak ada apa-apalah.”
“Aku tau… kamu pasti akan merindui aku juga.”
“Saya tak cakap macam tu pun.”
“Tapi kalau aku yang minta kamu merindui aku… bisa, kan?”
“Saya tak janji.”
“Kamu lucu banget…” Andri ketawa.
Sambil mengesat saki-baki air matanya, Leya turut ketawa.
“Nah! Jaket kamu…” Leya menghulurkan kepada Andri.
Andri geleng. “Nggak mau.”
“Ini kan kamu punya…”
“Aku kasi sama kamu.”
“Kenapa pulak?”
“Supaya aku akan sentiasa dekat di hati kamu. Bila pakai sandal, kamu akan ingat aku. Bila pakai jaket, kamu ingat aku juga… dan ini…” Sambil berkata begitu, Andri menghulurkan beg kertas berwarna merah jambu kepada Lia yang sedari tadi dia pegang. “Dan yang ini… kamu bukan aja akan ingat aku, malah kamu akan sentiasa ingat Dia juga.” Jari telunjuk tangan kanannya, Andri talakan ke atas.
“Apa ni?” Leya menyambut pemberian Andri. Tapi dari ayat Andri, dia boleh agak apa kandungan beg itu.
“Nanti kamu buka di rumah aja.”
“Terima kasih, Andri.”
“Sama-sama.”
“Saya tak bagi kamu apa-apa pun.”
“Siapa bilang nggak ada?”
“Memang tak ada pun.”
“Ada… kamu kasi hati kamu.”
Mendadak muka Leya rasa panas.
“Iya, kan?”
“Tak nak jawab.”
Nggak apa-apa kok kalau kamu nggak mau jawab. Aku udah punya jawabannya.”
“Itu jawapan yang kamu reka sendiri. Saya tak jawab apa-apa pun,” balas Leya.
Andri malas mahu berbahas lagi. Masa yang suntuk ini kalau boleh janganlah dihabiskan dengan ‘pergaduhan’ yang sia-sia. Seharusnya dimanfaatkan beberapa minit ini dengan sebaik-baiknya.
“Sampaikan salam aku buat famili kamu.”
“Insya-Allah...”
“Tunggu aku di Kuala Lumpur, ya?”
 Mata Leya yang basah dan merah, tiba-tiba jadi bersinar. “Kamu nak datang KL, Andri?”
“Insya-Allah. Suatu hari nanti aku akan pergi ke negara kamu.”
“Nanti saya bawak kamu jalan-jalan, ya? Kali ni saya pula yang jadi supir dan tour guide kamu.” Suara Leya jadi ceria dan matanya tampak bercahaya.
Sambil kerdip mata, Andri mengangguk.
“Eh! Dah lama saya kat sini. Mesti Mel dengan Fattah tengah tunggu saya,” ucap Leya sambil melihat jam di pergelangan tangan kirinya.
Andri turut memandang jamnya juga. “Leya… jaga diri, jaga kesihatan dan jaga solat kamu. Sesibuk mana pun kamu, jangan tinggalkan solat.”
Leya angguk. Sejuk hatinya mendengar ucapan itu. “Kamu tu pun sama jugak. Hati-hati memandu. Jangan bawa kereta laju-laju.  Lagi satu, tolong jangan kerja teruk sangat. Kesihatan kena jaga, tau. Nanti kalau kamu sakit, satu kerja pun kamu tak boleh buat.”
“Aku akan sentiasa ingat pesanan kamu. Terima kasih, sayang.” Meskipun dalam senyuman, tapi suara Andri sebak. Hati rasa terharu sungguh dengan pesanan Leya itu. Dari situ, dia dapat rasa, dia tidak lagi bertepuk sebelah tangan. Leya sudah membukakan pintu hatinya untuk dia. Kalau benar, alhamdulillah. Dia sangat bersyukur sekali.
Sayang! Hati Leya rasa melayang dan mukanya kembali terasa panas.
“Lagi satu,” kata Leya.
“Apa sih?”
“Tolong berhenti merokok. Saya tak mau kamu mati cepat.”
“Kamu khawatir kalau nggak sempat nikah sama aku?” Andri tayang muka nakal.
“Andri… saya serius ni.”
Sambil tersenyum, Andri angguk. “Insya-Allah… aku akan coba untuk berhenti. Aku juga nggak mau mati sebelum kamu jadi milik aku yang sah.”
 “Saya pergi dulu.” Sebelum Andri menambah bicaranya, sebelum hatinya jadi makin tidak keruan dan sebelum air matanya luruh lagi, biarlah dia cepat-cepat berlalu. Lalu tanpa menoleh lagi, dia segera mengheret bagasinya. Meninggalkan Andri yang masih berdiri di situ.
“Leya Mysara Borhan!” Andri berteriak.
Leya yang sudah begitu hampir dengan pintu, berhenti melangkah. Dengan mata yang bergenang, dia pandang Andri.
Tiada ucapan dari mulut Andri. Buat beberapa ketika, dia hanya merenung seraut wajah ayu itu. Wajah yang akan menemani hari siang dan malamnya nanti. Wajah yang pastinya akan sering dirindui.
“Aku cinta kamu!” jeritnya kuat. Orang-orang di sekeliling sudah tidak dipedulikan lagi. Biarlah mereka mendengar. Biarlah mereka jadi saksi.
Leya tidak beri respons tapi air matanya kembali mengena pipi. Cepat-cepat dia tarik bagasi dan melangkah ke dalam. Selamat tinggal Padang… selamat tinggal Andriku sayang.

Friday, May 17, 2013

cikgu saya...

Sempena Hari Guru yang disambut semalam... saya mahu bercerita tentang seorang guru yang pernah mengajar saya. Masa tu saya bersekolah di Sekolah Kebangsaan Pulau Duyong, Kuala Terengganu. Dia yang saya maksudkan adalah Cikgu Wan Long, iaitu guru kelas saya semasa saya dalam darjah satu (sudah berpuluh-puluh tahun dahulu). Dia merupakan seorang guru yang sangat baik, lemah lembut, tak pernah marah dan selalu tersenyum. Memandangkan saya 'tak ada' ayah, jadi saya selalu berangan... alangkah bertuahnya saya kalaulah Cikgu Wan Long tu jadi ayah saya.  Paling saya ingat sampai sekarang... Cikgu Wan Long ni sangat suka memberikan murid-muridnya gula-gula, tapi dengan syarat kena menyanyi terlebih dahulu. Selalunya saya yang dapat kumpul paling banyak gula-gula memandangkan saya yang paling pandai menyanyi (pada masa itu la).

Semasa saya berada dalam darjah empat, saya bertukar ke sekolah lain. Maka, 'terpisahlah' saya dengan Cikgu Wan Long yang sangat saya sayang. Memang saya sedih masa tu sebab saya tahu saya takkan jumpa lagi cikgu yang sama macam dia. Yang apabila saya berada dengan dia... seolah-olah saya berada dengan ayah saya.

Sehinggalah pada suatu hari saya terserempak dengan dia di sebuah pasaraya di Kuala Terengganu. Ketika itu saya sudah pun berumahtangga dan mempunyai dua orang anak. Dia yang menegur saya terlebih dahulu. Siap sebut nama penuh saya lagi. Padahal sudah terlalu lama kami tak bertemu. Bayangkan, kali terakhir saya jumpa dia adalah sewaktu saya masih seorang kanak-kanak yang berumur 10 tahun... tapi dia masih boleh ingat rupa saya yang dah tentu jauh berbeza dari dulu. Itu yang buat saya rasa terharu dan kagum sungguh-sungguh.

Itulah kali terakhir saya jumpa Cikgu Wan Long. Selepas itu saya tak pernah jumpa dia lagi. Tapi, walau di mana pun dia sekarang, apa pun yang sedang dia lakukan... mudah-mudahan dia sentiasa berada di dalam lindungan dan rahmat Allah s.w.t. Amin...