Tuesday, June 25, 2013

selamat hari jadi, aisyah...

Saya masih ingat lagi semasa mengandungkan anak ketiga saya... dua kali saya buat scan, dua kali juga doktor dok kata lelaki. Walaupun dah ada dua anak lelaki, saya dan suami okey aje... terima seadanya. Tak kisahlah lelaki atau perempuan... janji sihat dan cukup sifat. Jadi kami pun bersiap sedialah dengan segala kelengkapan untuk bayi lelaki. Semuanya biru. Nama pun dah ada masa tu, Azim Fahmi. Yang abang-abangnya pun dah siap bagi tahu jiran-jiran tentang adik Azim mereka.

Tapi itulah yang dinamakan kuasa Allah. Bayi yang dikatakan lelaki, rupa-rupanya seorang perempuan. Saya yang keletihan selepas melahirkan, tiba-tiba rasa kuat dan segar. Hilang segala kesakitan. Tuhan saja yang tahu betapa seronoknya masa itu. Abang-abangnya pun bukan main teruja lagi. Belum sempat saya dan suami memikirkan nama yang sesuai, mereka dah sediakan nama untuk adik mereka. Seorang beri nama Aisyah... lagi seorang pilih nama Fatihah. Tak nak mereka berkecil hati, saya dan suami bersetuju dengan pilihan mereka. Lagipun maknanya pun elok. Lalu bayi perempuan tersebut diberi nama Aisyah Fatihah.

Masih segar peristiwa itu dalam ingatan dan hari ini, 25 Jun 2013, genaplah usia Aisyah 16 tahun. Cepatnya masa berlalu. Terasa baru semalam Aisyah berada dalam dukungan. 

Buat Aisyah, selamat hari jadi ibu ucapkan. Ibu doakan agar Aisyah sentiasa berada di dalam peliharaan dan rahmat Allah. Mudah-mudahan juga Aisyah akan menjadi anak yang berjaya di dunia dan juga di akhirat. Kami semua sayang Aisyah...

Sunday, June 23, 2013

Langkawi di hati

Assalamualaikum & salam sejahtera,

Sedar tak sedar, bulan Jun sudah hampir berlalu.  Jun, bulan yang sangat sibuk bagi saya. Jun 2013 juga mencipta banyak kenangan manis dalam hidup saya. Dan dalam bulan Jun juga saya ke Langkawi lagi sekali.  Ini adalah kunjungan kali ke lima saya ke sana. Kali ini atas urusan kerja.Tapi pergi atas tujuan bekerja dengan melancong bersama famili, tentulah tidak sama.

Lalu saya teringatkan peristiwa hampir dua tahun lepas. Semasa  melalui sebatang jalan di Langkawi, kereta yang dipandu suami tiba-tiba ditahan seorang polis. Suami dan saya yang tidak memakai tali pinggang keledar ketika itu sudah tidak sempat berbuat apa-apa.Tergamam.

"Encik datang dari mana?" tanya polis tersebut sambil meminta lesen memandu suami.
"Dari KL," jawab suami.
"Encik.... bukan di KL aje kena pakai tali pinggang keledar. Kat Langkawi pun sama aje, encik."
"Ya... saya tau," balas suami.
"Tak apa... kali ni saya maafkan encik. Lain kali jangan buat lagi tau."

Moral of the story : Sentiasalah memakai tali pinggang keledar walau di negeri mana pun anda berada :)

Apa-apa pun, Langkawi sentiasa di hati. Insya-Allah panjang umur, murah rezeki... saya akan ke sana lagi...

Monday, June 10, 2013

anak angkat

Sewaktu melalui ofis lama petang tadi, hati tiba-tiba teringat pada seorang teman. Dah lama sangat tak jumpa dia. Apa khabar agaknya dia sekarang? Dulu saya agak rapat juga dengan dia. Dia ni memang seorang yang peramah dan baik hati. Suka belanja kawan-kawan pulak tu. Berbanding dengan saya dan rakan2 lain yang satu Bahagian, dia agak berwang orangnya. Maklumlah selain bekerja, dia juga ada buat business. Walaupun sudah lama berkahwin, tapi kawan saya tu tak punya anak. Dia pernah beritahu saya,  dia dan isteri dah puas berusaha dan berubat tapi belum ada rezeki.  

Pada satu hari, saya bawak anak sulung saya ke ofis. Umur anak saya masa tu baru tiga tahun. Tak sangka pulak, dia boleh tersuka kat anak saya sampai minta untuk dijadikan anak angkat. Setiap hari dia pujuk saya, supaya bagi anak tu kat dia. Dia cakap, dia sanggup bagi apa saja kat saya. Saya yang duk ingatkan dia bergurau selamba menjawab. "Boleh, apa salahnya... tapi anak tu tinggal dengan saya. Tiap-tiap bulan awak bagilah duit belanja untuk dia. Harta awak yang banyak tu pulak cepat-cepatlah tukar atas nama anak saya."

Tak sangka, kata-kata saya tu buat dia berkecil hati. Beberapa hari dia tak tegur saya. Saya yang cuma berniat nak bergurau, terpaksalah meminta maaf. 

Ada satu hari tu, dia dengan rupa yang ceria beritahu saya... dia dah nak dapat anak. Saya yang ingatkan isteri dia mengandung, segera ucapkan tahniah. Rupa-rupanya adik ipar dia yang sedang mengandungkan anak kembar berjanji untuk serahkan salah seorang dari kembar tersebut setelah lahir nanti. Bila dengar janji adik iparnya tu, dia dan isteri terus beli segala kelengkapan bayi. Bukan main teruja lagi mereka berdua... setiap malam duk bercerita tentang bayi yang bakal menyerikan rumah tangga mereka. Sampai masa adik iparnya bersalin... dia dan isteri terus ke hospital. Tak sabar-sabar nak jumpa dan ambil bayi yang telah dijanjikan buat mereka. Tapi malangnya, sampai masa adik iparnya tak nak serahkan bayi tersebut dengan alasan dia tak sanggup berpisah dengan anaknya.

Kata kawan saya ni, dia sangat sedih dengan kejadian itu. Dia tak sangka adik iparnya sanggup buat macam tu. Tapi sesedih mana pun dia... dia lebih kasihankan isterinya. Bayangkan setiap kali isterinya masuk ke bilik sebelah dan melihat barang-barang bayi yang penuh satu bilik, dia  pasti akan menangis. Bila dengar cerita dia, saya turut rasa sedih. Boleh saya bayangkan macam mana perasaan mereka suami isteri. 

Setelah berpindah tempat kerja, saya dah tak jumpa dia lagi. Saya pun tak tahu sama ada dia sudah berjaya mendapat anak/anak angkat atau masih lagi berdua dengan isterinya. Walau di mana pun dia sekarang, apa pun yang dia sedang buat... saya doakan yang baik-baik saja untuk dia. Semoga dia dan isterinya berbahagia selalu dan sentiasa berada dalam redha Allah. Amin...

Saturday, June 8, 2013

bahana facebook

Assalamualikum dan salam sejahtera,

Semalam seorang kawan, Julia (bukan nama sebenar) menghubungi saya. Dalam perbualan kami, dia sempat bercerita tentang seorang kawan baiknya, Kamilah (juga bukan nama sebenar) yang bercerai dengan suaminya. Semuanya bermula apabila bekas kekasih Kamilah yang sudah berpuluh tahun tidak ditemui menghubunginya semula melalui laman sosial Facebook. Kamilah pula beri respons. Sejak itu Facebook jadi tempat mereka bertukar cerita serta mengimbau kisah lama. Menurut kata Julia, dia pernah menasihati Kamilah agar tidak melayan lelaki tersebut tetapi kata Kamilah, dia hanya menganggap lelaki itu sebagai kawan... tidak lebih dari itu.

Semasa Kamilah menyatakan mahu bertemu bekas kekasihnya itu, Julia melarang sekeras-kerasnya. Kata Julia, dia tidak mahu Kamilah terus hanyut dengan kisah silamnya. Tetapi Kamilah yang sudah kemaruk dengan bekas buah hatinya langsung tidak mengendahkan larangan Julia.

Sejak itu sikap Kamilah jadi semakin berubah. Dari seorang isteri yang bertanggungjawab dan ibu yang penyayang, dia mula mengabaikan suami dan anak-anak. Paling teruk, dia meminta suami menceraikannya. Selagi permintaannya tidak dipenuhi, selagi itulah dia mendesak. Sampai akhirnya suami terpaksa melepaskan Kamilah. Kata Julia, beberapa bulan selepas itu, Kamilah telah berkahwin dengan bekas kekasihnya dan bermadu dengan isteri pertama lelaki itu. Sementara anak-anak ditinggalkan bersama bekas suaminya Paling menyedihkan, Kamilah langsung tidak mempedulikan anak-anaknya lagi. 

Bila dengar cerita Julia, saya jadi teringatkan cerita seorang lagi kawan saya, Laila (juga bukan nama sebenar ya) beberapa bulan lepas. Sama juga, Facebook punca kakaknya bercerai. Abang iparnya bertemu semula dengan bekas kekasih yang kebetulan sedang menjanda melalui laman sosial Facebook juga. Tanpa pengetahuan kakak Laila, suaminya telah berkahwin dengan perempuan itu. Setelah hampir setahun barulah rahsia terbongkar. Merasa dirinya tertipu, kakak Laila meminta dirinya dilepaskan. Itu baru dua contoh, saya percaya banyak lagi kisah rumah tangga mahupun hubungan percintaan yang jadi kucar kacir dan musnah gara-gara Facebook.

Pada saya, berfacebook tidak salah selagi kita tahu membezakan baik dan buruk dan selagi kita menggunakannya dengan penuh bijaksana. Yang penting, elakkan penyalahgunaan Facebook yang mungkin boleh membawa kepada kemudaratan dan kemusnahan. Wallahuaklam...

Sampai ketemu lagi.

Thursday, June 6, 2013

Konsert Hafiz di Dewan Filharmonik Petronas Pt 2

Gara-gara entri saya mengenai Konsert Hafiz semalam... seseorang menegur saya... "Amboi! Sejak bila pandai pergi tengok konsert ni? Kelas kau Maria..."
"Hehehe... mesti baca kat blog kan?" balas saya.
Tapi memang betul pun, selama ni mana pernah saya tengok konsert? Sebab itu la kawan tu terkejut. Dia tau saya bukan jenis yang suka bersesak-sesak dengan orang ramai. (Kecuali PBAKL di PWTC. Sesesak mana pun, selagi saya diberikan kesihatan... Insya-Allah saya tetap akan hadir saban tahun demi pembacaku tersayang)

Tapi memandangkan konsert tu diadakan di DFP... tak perlu nak bersesak-sesak dengan ramai orang, itu yang saya jadi berminat nak pergi. Paling penting, konsert Hafiz... kalau penyanyi lain mungkin tak kut... (hehehe... nampak tak diskriminasi kat situ?)

Gara-gara review saya  tentang Konsert Hafiz tu juga, pageviews untuk blog saya hari ini mencanak naik.  Wow! Nampak kan betapa ramainya peminat Hafiz... melebihi peminat Mimie Afinie sendiri... hehehe... Kalau macam tu, apa kata saya postkan entri mengenai Hafiz saja lepas ni? Gerenti ramai yang menyinggah ke blog saya. Hahaha... ya la tu...

*Teringat gurauan suami  sebelum saya ke konsert hari Isnin tu... "Bawa la dua tiga buah novel bagi kat Hafiz... asyik awak aje dengar lagu dia... sesekali bagi dia baca novel awak pulak. Baru la fair and square... hahaha... Tak ada maknanya Hafiz nak baca novel saya... 

Dewan Filharmonik Petronas (DFP) - Gambar cilok dari Pakcik Google... :)
Menara Berkembar Petronas (Gambar diambil usai konsert...)

Wednesday, June 5, 2013

Konsert Hafiz di Dewan Filharmonik Petronas

Hafiz - When I was your man 
Hafiz - Ilham pujangga
(Sila klik di sini)

 Mimie Afinie buat review  konsert? Biar betul... buang tebiat apa?

Dah lama sebenarnya teringin nak pergi Dewan Filharmonik Petronas (DFP). Bukan apa,  nak tengok persembahan orkestra. Selalu dok dengar cerita anak aje . Bila dapat tahu Hafiz akan buat konsert kat situ, terus pakat dengan anak-anak. Semua setuju nak pergi, kecuali suami. Kata dia, kalau D'Lloyd, Noraniza Idris atau Ramlah Ram... baru dia nak ikut. (Biasa la...  suami berjiwa orang lama sikit... hehehe) Jual mahal la pulak. Tak nak pergi sudah... kata saya. Tapi nasib baik dia izinkan saya dan anak-anak pergi. Kalau tak silap dalam bulan Januari atau awal Februari kita orang dah beli tiket. Masa tu pun tiket dah tinggal sedikit.

Maka pada malam kelmarin (3 Jun 2013) buat pertama kalinya saya menjejakkan kaki ke dewan muzik yang berprestij itu. Semuanya gara-gara Hafiz yang saya memang minat suaranya. Apa yang boleh saya rumuskan, saya sangat berpuas hati dengan persembahan Hafiz pada malam itu. Suaranya usah cakaplah... memang kelas. Saya menyukai kesemua lagu yang disampaikan... tapi kalau diminta buat pilihan, tentulah saya akan pilih "When I was your man" diikuti "Ilham pujangga", "She will be loved", "Matahariku", "Bahagiamu deritaku"...  senang cerita semua lagu la. Konsert sejam lebih  terasa sangat cepat berlalu. Sedar-sedar sudah sampai ke penghujung. Tak puas... kalau boleh nak dengar lagi...

Gambar-gambar  dicilok dari crankymusic.com 
 Dapat la satu teddy bear...
 Tak dapat bergambar dengan Hafiz... bergambar dengan poster jadi la...

Sekian, sampai jumpa lagi...