Saya masih ingat lagi semasa mengandungkan anak ketiga saya... dua kali saya buat scan, dua kali juga doktor dok kata lelaki. Walaupun dah ada dua anak lelaki, saya dan suami okey aje... terima seadanya. Tak kisahlah lelaki atau perempuan... janji sihat dan cukup sifat. Jadi kami pun bersiap sedialah dengan segala kelengkapan untuk bayi lelaki. Semuanya biru. Nama pun dah ada masa tu, Azim Fahmi. Yang abang-abangnya pun dah siap bagi tahu jiran-jiran tentang adik Azim mereka.
Tapi itulah yang dinamakan kuasa Allah. Bayi yang dikatakan lelaki, rupa-rupanya seorang perempuan. Saya yang keletihan selepas melahirkan, tiba-tiba rasa kuat dan segar. Hilang segala kesakitan. Tuhan saja yang tahu betapa seronoknya masa itu. Abang-abangnya pun bukan main teruja lagi. Belum sempat saya dan suami memikirkan nama yang sesuai, mereka dah sediakan nama untuk adik mereka. Seorang beri nama Aisyah... lagi seorang pilih nama Fatihah. Tak nak mereka berkecil hati, saya dan suami bersetuju dengan pilihan mereka. Lagipun maknanya pun elok. Lalu bayi perempuan tersebut diberi nama Aisyah Fatihah.
Masih segar peristiwa itu dalam ingatan dan hari ini, 25 Jun 2013, genaplah usia Aisyah 16 tahun. Cepatnya masa berlalu. Terasa baru semalam Aisyah berada dalam dukungan.
Buat Aisyah, selamat hari jadi ibu ucapkan. Ibu doakan agar Aisyah sentiasa berada di dalam peliharaan dan rahmat Allah. Mudah-mudahan juga Aisyah akan menjadi anak yang berjaya di dunia dan juga di akhirat. Kami semua sayang Aisyah...
No comments:
Post a Comment