Tuesday, March 31, 2009

Jom pesta

Besok dah masuk bulan April. Maka seperti tahun-tahun sebelum ini, sekali lagi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur akan menemui kita semua. Insya-Allah jika tiada aral dan halangan, saya akan berada di sana untuk sama-sama memeriahkannya. Jom pesta...

Sunday, March 22, 2009

Hantu buku

Semalam (hari Sabtu bersamaan 21/03/09) saya, suami dan Aisyah ke Muar kerana menghadiri majlis perkahwinan Aliff, rakan sekerja saya. Kami pergi secara konvoi dengan tiga buah lagi kereta. Pukul 9.00 pagi saya bertolak dari rumah, hampir pukul 1.30 kami sampai di rumah pengantin di Muar. Saya tak tunggu lama. Selesai makan dan bersembang ala kadar dengan kawan-kawan, saya terus balik. Bukan apa, malam tadi ada pulak jiran buat kenduri tahlil. Kalau tak pergi rasa macam tak kena pulak. Tu yang kena cepat balik.

Selamat Pengantin Baru (Aliff dan Azlin). Moga bahagia hingga ke akhir hayat.

Sepanjang perjalanan pergi dan balik dari Muar, Aisyah monyok aje. Mau tak monyok... rupa-rupanya dia tertinggal bahan bacaan kat rumah. Sebelum ni setiap kali ke mana-mana, dia mesti bawak buku. Tapi semalam buat pertama kalinya dia terlupa nak bawak. Jadi, tak tau nak buat apa... dia asyik tidur aje. Lepas tu main game. Bila bateri hp dah kong, dia ajak saya singgah kat mana-mana kedai buku. Manalah nak jumpa kedai buku kat tengah-tengah highway tu. Akhirnya tak nak dia bising terpaksalah saya singgah kat Popular Selayang Mall. Beli 'New Moon' dan 'Belajar Santai Impak Maksima' untuk dia. Sehari sebelum tu dah beli 'Twilight' dan dia dah habis baca dalam masa satu hari je.

Punya la seronok sangat sampaikan tak sudah-sudah dia memuji saya. Ibu baik, ibu cantik dan yang paling tak tahan tu dia boleh cakap ibu ni nampak muda. Ha... ha... ha... saya gelak aje. Tau sangat taktiknya. Bukan apa, sebab ada dua lagi tajuk yang dia minta saya belikan, 'Eclipse' dan 'Breaking Dawn'.

Petang semalam beli, pagi ni dia dah khatam buku tu. Malam tadi entah pukul berapa dia tidur pun saya tak sedar. Dia ni kalau dengan buku memang berhantu. Memang dari kecil macam tu. Kalau kanak-kanak lain sibuk dengan barang permainan, dia pula pantang nampak buku.

Thursday, March 12, 2009

Cerita kahwin lagi...

Cuti sekolah datang lagi. Bila cuti sekolah je... ramailah orang kahwin. Bila ramai orang kahwin... cuti sekolahlah tu. Maka saya pun teringatlah masa saya berkahwin dulu. Musim cuti sekolah jugaklah. Tarikhnya pun saya masih ingat (melampau la kalau tak ingat...)
Dalam seronok nak kahwin, saya sebenarnya cemas. Maklumlah saya hanya kenal suami sorang aje, sedangkan saya langsung tak kenal keluarga dia. Maknya saya pernah jumpa sekali aje. Itupun masa bertunang dan kalau tak silap saya, kami tak bercakap pun masa tu. Suami juga tak pernah bawa saya ke rumahnya. Seganlah kot... maklumlah bapaknya seorang tok kadi dan guru agama juga.
Seminggu selepas majlis di Kuala Terengganu, saya dan keluarga ke Johor pula untuk majlis sambut menantu. Hari pertama di sana saya masih okey. Yalah masa tu mak, abang, adik dan saudara mara masih ada lagi. Bila mereka semua balik, saya dah mula tak tau nak buat apa. Nak bersembang dengan keluarga mertua pun saya rasa kekok. Yang suami pulak asyik berkepit dengan anak-anak saudara dia je. Masa tu saya rasa sedih dan terbuang. Rasa macam suami dah tak sayang kat saya. Tak tahu nak buat apa, saya basuh pinggan. Itu ajelah yang saya boleh buat. Pantang nampak pinggan atau cawan kotor, cepat-cepat saya mengambil dan membasuhnya. Pendek kata masa saya selama di rumah mertua banyak dihabiskan dengan berdiri kat singki aje.
"Dah-dahlah la tu Nani... nanti kecut pulak jari-jari tu..." tegur mak mertua saya. Agaknya dia pun hairan dengan menantu yang terlebih rajin ni.
"Tak apalah... dah biasa..." jawab saya. Padahal sayalah manusia yang paling malas membasuh pinggan kalau kat rumah.
Hari ketiga di sana, suami bawak saya ke dusun bapa dia. Anak-anak saudara dia pun tak lepas peluang, ikut sekalilah. Saya pun macam orang jakunlah. Seronok sangat dapat tengok buah durian, rambutan, manggis atas pokok secara live. Kebetulan buah tengah banyak. Tapi yang tak seronoknya suami tak layan sayapun. Dia asyik dengan anak-anak buahnya tu. Saya dibiarkan sorang-sorang. Kecil hati punya pasal, saya jalan sorang-sorang kat dalam dusun tu. Lepas tu saya menyorok kat belakang tunggul besar. Biar suami tak jumpa saya... yalah dia kan dah ada anak-anak buah yang dia sayang sangat. Buat apa pedulikan saya lagi. Kat situ saya menangis semahu-mahunya. Saya rasa sedih sungguh. Rasa macam nak balik Kuala Terengganu masa tu jugak.
Dalam saya dok menangis tu, suami pulak sibuk mencari. Tau jugak dia risau.
"Kenapa ni? Kenapa Nani nangis?" Saya masih ingat rupa suami saya masa tu. Cemas betul. Mungkin dia ingat saya sakit kut.
"Nak balik..."
"Nak balik mana?"
"Balik Kuala Terengganu," kata saya lagi. Saya dah tak peduli anak-anak saudara suami yang seramai empat orang itu. Kerana dia oranglah suami tak layan saya.
Masa tu puaslah suami pujuk saya. Macam pujuk budak kecik.
Bila ingat peristiwa tu, saya rasa lucu sangat. Nasib baiklah suami saya tu jenis yang sabar dan pandai memujuk. Dia juga jauh lebih matang dari saya walaupun perbezaan umur kami hanya dua tahun Saya pulak walaupun dah 24 tahun masa tu tapi perangai tak matang langsung. Saya juga suka bergurau lebih-lebih dan agak gila-gila (masa dulu la... sekarang dah okey... heheh). Tapi depan mertua, pijak semut pun tak mati. Kononnya sayalah menantu mithali. Berlakon cukup pandai. Bercakap pun lemah lembut aje.
Nak dijadikan cerita, satu hari tu suami mengusik saya. Lagi saya marah, lagi dia mengusik. Geram dengan dia, saya apa lagi... bagilah penampar kat belakang dia (tampar-tampat manja). Siap dengan membebel lagi tu. Masa tu saya ingatkan hanya saya dan suami aje ada kat ruang dapur tu. Rupa-rupanya mak dan bapa mertua pun ada sekali. Terkebil-kebil dia orang memandang kami. Agaknya dorang fikir saya ni jenis menantu yang suka mendera suami. Hah! pucat muka saya sekejap.
Itulah secebis kisah saya semasa mula-mula mengharungi alam perkahwinan. Banyak sangat kenangan manis dan pahit juga. Pahit kerana dua minggu selepas berkahwin, saya terpaksa meninggalkan suami. Saya di KL dan dia pula di KT. Nak masuk dua orang anak barulah kami dapat bersama di bawah satu bumbung. Alhamdulillah... 10 April nanti, genaplah 22 tahun usia perkahwinan kami. Sedangkan lidah lagi tergigit, begitulah juga kami. Doa saya, mudah-mudahan kebahagiaan ini akan berkekalan hingga ke akhir hayat... Insya-Allah...

Monday, March 9, 2009

Kahwin muda

Dua minggu lepas, kawan saya mengadakan majlis pernikahan untuk anak perempuannya. Sementara kendurinya akan diadakan lagi dua minggu. Sebenarnya anaknya tu baru berusia 21 tahun, begitu juga dengan menantunya. Kata kawan saya, anak dan menantunya itu baru saja tamat belajar peringkat diploma dan belum bekerja pun. Tapi disebabkan risau dengan hubungan mereka berdua yang dah terlalu akrab, lalu kawan saya dan suami sepakat dengan keluarga lelaki untuk segera menikahkan kedua teruna dan dara itu. Kebetulan ibu bapa lelaki juga turut mempunyai rasa yang sama. Jadi, tiada masalahlah.

Bila dengar cerita kawan saya tu, saya terus teringat pada anak-anak saya sendiri. Ameer dah masuk 21 tahun, sementara Afiq pula 19. Dua-dua masih belajar. Dua-dua pun dah ada awek walaupun kalau boleh saya nak sebaliknya. Pada saya, masa tengah belajar ni, tumpukan dulu pada pelajaran. Dah habis belajar nanti, barulah boleh fikir pasal awek. Tapi saya tahu, bab lain mungkin dia orang boleh ikut... tapi bukan bab yang satu ini. Jadi, saya terpaksalah menjadi ibu yang sporting walaupun saya tau saya bukan jenis yang begitu. Cuma saya selalu nasihatkan dia orang agar tau menjaga batas-batas dalam pergaulan.
Tapi untuk ikut jejak kawan saya tadi... entahlah. Saya belum terfikir pun, malah belum bersedia ke arah itu. Saya pun pernah cakap kat anak-anak. Paling cepat mungkin lima atau enam tahun lagi... Harap-harap mereka fahamlah...