Assalamualikum dan salam sejahtera,
Semalam seorang kawan, Julia (bukan nama sebenar) menghubungi saya. Dalam perbualan kami, dia sempat bercerita tentang seorang kawan baiknya, Kamilah (juga bukan nama sebenar) yang bercerai dengan suaminya. Semuanya bermula apabila bekas kekasih Kamilah yang sudah berpuluh tahun tidak ditemui menghubunginya semula melalui laman sosial Facebook. Kamilah pula beri respons. Sejak itu Facebook jadi tempat mereka bertukar cerita serta mengimbau kisah lama. Menurut kata Julia, dia pernah menasihati Kamilah agar tidak melayan lelaki tersebut tetapi kata Kamilah, dia hanya menganggap lelaki itu sebagai kawan... tidak lebih dari itu.
Semasa Kamilah menyatakan mahu bertemu bekas kekasihnya itu, Julia melarang sekeras-kerasnya. Kata Julia, dia tidak mahu Kamilah terus hanyut dengan kisah silamnya. Tetapi Kamilah yang sudah kemaruk dengan bekas buah hatinya langsung tidak mengendahkan larangan Julia.
Sejak itu sikap Kamilah jadi semakin berubah. Dari seorang isteri yang bertanggungjawab dan ibu yang penyayang, dia mula mengabaikan suami dan anak-anak. Paling teruk, dia meminta suami menceraikannya. Selagi permintaannya tidak dipenuhi, selagi itulah dia mendesak. Sampai akhirnya suami terpaksa melepaskan Kamilah. Kata Julia, beberapa bulan selepas itu, Kamilah telah berkahwin dengan bekas kekasihnya dan bermadu dengan isteri pertama lelaki itu. Sementara anak-anak ditinggalkan bersama bekas suaminya Paling menyedihkan, Kamilah langsung tidak mempedulikan anak-anaknya lagi.
Bila dengar cerita Julia, saya jadi teringatkan cerita seorang lagi kawan saya, Laila (juga bukan nama sebenar ya) beberapa bulan lepas. Sama juga, Facebook punca kakaknya bercerai. Abang iparnya bertemu semula dengan bekas kekasih yang kebetulan sedang menjanda melalui laman sosial Facebook juga. Tanpa pengetahuan kakak Laila, suaminya telah berkahwin dengan perempuan itu. Setelah hampir setahun barulah rahsia terbongkar. Merasa dirinya tertipu, kakak Laila meminta dirinya dilepaskan. Itu baru dua contoh, saya percaya banyak lagi kisah rumah tangga mahupun hubungan percintaan yang jadi kucar kacir dan musnah gara-gara Facebook.
Pada saya, berfacebook tidak salah selagi kita tahu membezakan baik dan buruk dan selagi kita menggunakannya dengan penuh bijaksana. Yang penting, elakkan penyalahgunaan Facebook yang mungkin boleh membawa kepada kemudaratan dan kemusnahan. Wallahuaklam...
Sampai ketemu lagi.
No comments:
Post a Comment