Sedikit petikan dari Aku, Dia & Bintang...
SEAWAL jam 6.30 pagi, Innova yang mereka
naiki sampai di Bandar Udara Internasional Minangkabau. Masih ada dua jam
sebelum kapal terbang berlepas. Andri memberhentikan keretanya betul-betul di
hadapan pintu masuk. Setelah mengeluarkan semua bagasi, dia segera menyalami Fattah,
kemudian meminta diri. Lalu membawa keretanya pergi dari situ.
Leya
terpinga-pinga. Mata memandang Innova yang semakin menjauh. Kemudian pandang
jaket Andri yang tersangkut di lengannya. ‘Laa... macam mana ni? Bila masa pula
aku nak pulangkan kat dia? Yang aku pun satu, kenapa tak tinggalkan aje kat dalam
kereta tadi? Andri pun satu hal juga, boleh pula dia pergi macam tu saja.
Teruknya dia.’
Ada rasa terkilan
di hati Leya. Tiada kata selamat tinggal, tiada kata maaf, tiada pesanan dan
tiada apa-apa ucapan pun. Semudah itukah perpisahan mereka? Habis, apa makna
luahan Andri sebelum ini? Apa erti kemesraan yang ditunjukkan selama seminggu
ini? Lelaki, semuanya sama. Tak kiralah dari negara mana pun asal mereka. Kalau
dah lelaki tu, lelaki jugalah. Memang suka mempermainkan perasaan perempuan.
‘Hisy!
Apa kena dengan aku ni? Kenapa perlu ada rasa terkilan? Kenapa harus kesal?
Lupakah dengan tujuan asal kedatangan aku ke sini? Aku datang untuk bercuti, sekaligus
untuk tenangkan fikiran yang tidak tenang sebelum ini. Tetapi kenapa bukan
ketenangan yang aku dapat... sebaliknya hati jadi makin huru-hara. Hati semakin
porak-poranda.’
Hei! Leya Mysara...
Andri itu kan hanya pemandu pelancong saja. Biasalah lelaki kerja macam tu...
dia orang tu bijak bermain dengan kata-kata. Hari ini dengan kau, kelmarin
dengan perempuan lain. Esok, lusa... entah dengan siapa pula. Jangan buang masa
fikirkan dia. Jangan jadi bodoh. Hatinya menghasut.
“Leya... jom...” Emelda
yang sudah berada berhampiran pintu masuk, berteriak.
“Kau orang jalan
dulu. Kejap lagi aku masuk,” jawab Leya. Kebetulan dia hanya membawa sebuah
bagasi yang boleh dibawa semasa menaiki kapal terbang nanti. Sementara
barang-barang yang dibeli di sini sudah pun dimasukkan ke dalam beg besar yang
dikongsi bersama Emelda. Jadi tak perlulah dia beratur untuk membuat
pendaftaran masuk.
Sambil berdiri di situ, matanya
melilau ke serata tempat. Mencari kelibat seseorang meskipun dia tahu, orang
itu tidak akan muncul lagi. Hatinya berat menyatakan yang Andri sudah pun
berlalu dari situ. Dia tidak mungkin akan bertemu Andri lagi. Namun hati yang
satu lagi memaksa untuk dia terus menunggu. Mungkin peluang masih ada untuk
ketemu lelaki itu.
Hampir lima belas minit di situ,
akhirnya Leya membuat keputusan untuk masuk. Tak apalah… mungkin tiada
rezekinya untuk bertemu Andri lagi. Lagipun dia hanya mahu memohon maaf atas
kekhilafannya kelmarin. Itu sahaja. Bukan ada niat lain pun. Mungkin dia boleh
melakukan melalui SMS atau e-mel selepas balik ke Malaysia nanti.
Dengan langkah yang berat, bagasinya
ditarik perlahan ke arah muka pintu.
“Leya…”
Tiba-tiba terdengar namanya dipanggil.
Panggilan daripada seseorang yang sememangnya ditunggu-tunggu. Bagai ada
tarikan magnet, pantas dia berpaling. Secepat itu pula air matanya mengalir ke
pipi. Tidak tahu kenapa dia menangis, tapi ianya berlaku tanpa mampu dikawal. Ianya
terjadi secara spontan. Andri… akhirnya kamu datang juga.
Dengan tercungap-cungap, Andri
menghampiri Leya. Selama beberapa saat, dia tidak bercakap sepatah pun. Hanya wajah
Leya yang menjadi tatapan matanya. Wajah yang hanya berjarak beberapa kaki
daripadanya.
“Leya…”
“Kenapa kamu tinggalkan saya macam tu
aje tadi? Kenapa tak cakap apa-apa pun? Kenapa buat saya tertunggu-tunggu?” Belum
sempat Andri berkata apa-apa, Leya terlebih dahulu menyerangnya dengan beberapa
soalan serentak. Soalan yang sejak tadi terbuku dalam hatinya. Tanpa rasa malu,
dia menangis teresak-esak. Ada mata-mata yang memandang, tapi dia peduli apa?
Pandanglah sepuas hati mereka. Bukan luak pun.
Tiada jawapan dari mulut Andri. Selain
dari mahu menenangkan diri, dia sebetulnya tidak percaya yang Lia masih berada
di situ, menunggu dia pastinya. Tadi dia fikirkan dia gagal bertemu Leya lagi.
Sebetulnya, dia hanya mencuba nasib. Syukurlah, dia masih sempat ketemu Leya.
Dia yakin, Leya juga seperti dia, mahukan sebuah perpisahan yang bermakna. Perpisahan
yang bakal mengeratkan lagi dua hati. Perpisahan yang pastinya akan ada
pertemuan lagi.
“Kamu tak patut buat saya macam tu.
Kamu jahat. Saya benci kamu, tau tak?” Leya angkat tangan dan genggam penumbuk.
Ikutkan hati, dia nak tumbuk dada Andri kuat-kuat. Biar Andri rasa sakit… biar Andri
rasa perit, macam mana hatinya yang sakit dan perit tadi.
“Silakan… kalau itu boleh hilangkan
rasa sebal kamu pada aku. Mau pukul di mana… dada aku… atau di wajah aku yang ganteng ni?” Andri bercanda.
Perlahan-lahan Leya turunkan
tangannya.
Sambil menarik nafasnya, Andri ukir
senyuman tapi nampak sayu. “Tadi tu… aku fikir aku boleh pergi begitu aja.
Sebetulnya aku masih sedih bila teringatkan bicara kamu kelmarin. Tapi bila aku
fikirkan semula… aku harus jumpa kamu. Aku harus titipkan sesuatu sebelum kamu
pulang ke Kuala Lumpur. Aku tidak mau terkilan dan kesal seandainya nggak sempat ketemu sama kamu.”
Leya menggigit bibirnya. Fahamlah dia
kenapa Andri bertindak begitu tadi.
“Maafkan aku kalau menyusahkan kamu,”
sambung Andri.
Leya angguk. “Saya juga nak minta maaf
pasal kelmarin. Saya tau saya salah. Sebenarnya saya tak ada niat pun nak tuduh
kamu. Saya tau kamu bukan macam tu. Maafkan saya, ya?”
Sekali lagi Andri hulur senyuman. “Nggak usah khawatir… aku sudah maafkan
kamu.”
“Terima kasih,” ucap Leya hiba sambil
air matanya jatuh lagi ke pipi.
“Tolong jangan menangis, Leya. Tolong
jangan bikin aku sedih.”
“Habis, kamu ingat kamu sorang aje
sedih? Saya lagi sedih, tau?”
“Kenapa kamu sedih?”
Leya tak terus jawab. Nak cakap apa
ya? Takkan nak berterus terang kut. Malulah…
“Sedihlah… takut tak sempat pulangkan jaket
kamu.” Leya menunjukkan jaket yang masih tersangkut pada lengannya.
Andri ketawa seraya menggelengkan
kepalanya. Dalam situasi sedih seperti ini pun Leya masih mahu bercanda.
“Kenapa kamu sedih, Leya?” Dia
bertanya lagi sekali. Mahu dengar jawapan yang sebenar.
“Yalah, nak tinggalkan kamu...
mestilah sedih.” Perlahan sahaja suara Leya kali ini. Mata yang sedang pandang Andri
dibawa memandang kaki pula. Tiba-tiba dia jadi malu.
Andri menghela nafasnya panjang. Hati
rasa berbunga-bunga. Rasa tak percaya dengan apa yang didengar. Meskipun hanya
ucapan itu, itu sudah cukup buat dia rasa bahagia.
“Aku akan merindui kamu, Leya.”
“Saya pun...” balas Leya perlahan.
“Saya pun… apa?” Andri mengusik.
“Tak ada apa-apalah.”
“Aku tau… kamu pasti akan merindui aku
juga.”
“Saya tak cakap macam tu pun.”
“Tapi kalau aku yang minta kamu merindui
aku… bisa, kan?”
“Saya tak janji.”
“Kamu lucu banget…” Andri ketawa.
Sambil mengesat saki-baki air matanya,
Leya turut ketawa.
“Nah! Jaket kamu…” Leya menghulurkan
kepada Andri.
Andri geleng. “Nggak mau.”
“Ini kan kamu punya…”
“Aku kasi sama kamu.”
“Kenapa pulak?”
“Supaya aku akan sentiasa dekat di
hati kamu. Bila pakai sandal, kamu akan ingat aku. Bila pakai jaket, kamu ingat
aku juga… dan ini…” Sambil berkata begitu, Andri menghulurkan beg kertas
berwarna merah jambu kepada Lia yang sedari tadi dia pegang. “Dan yang ini…
kamu bukan aja akan ingat aku, malah kamu akan sentiasa ingat Dia juga.” Jari
telunjuk tangan kanannya, Andri talakan ke atas.
“Apa ni?” Leya menyambut pemberian Andri.
Tapi dari ayat Andri, dia boleh agak apa kandungan beg itu.
“Nanti kamu buka di rumah aja.”
“Terima kasih, Andri.”
“Sama-sama.”
“Saya tak bagi kamu apa-apa pun.”
“Siapa bilang nggak ada?”
“Memang tak ada pun.”
“Ada… kamu kasi hati kamu.”
Mendadak muka Leya rasa panas.
“Iya, kan?”
“Tak nak jawab.”
“Nggak
apa-apa kok kalau kamu nggak mau
jawab. Aku udah punya jawabannya.”
“Itu jawapan yang kamu reka sendiri.
Saya tak jawab apa-apa pun,” balas Leya.
Andri malas mahu berbahas lagi. Masa
yang suntuk ini kalau boleh janganlah dihabiskan dengan ‘pergaduhan’ yang
sia-sia. Seharusnya dimanfaatkan beberapa minit ini dengan sebaik-baiknya.
“Sampaikan salam aku buat famili
kamu.”
“Insya-Allah...”
“Tunggu aku di Kuala Lumpur, ya?”
Mata Leya yang basah dan merah, tiba-tiba jadi
bersinar. “Kamu nak datang KL, Andri?”
“Insya-Allah. Suatu hari nanti aku
akan pergi ke negara kamu.”
“Nanti saya bawak kamu jalan-jalan,
ya? Kali ni saya pula yang jadi supir dan tour
guide kamu.” Suara Leya jadi ceria dan matanya tampak bercahaya.
Sambil kerdip mata, Andri mengangguk.
“Eh! Dah lama saya kat sini. Mesti Mel
dengan Fattah tengah tunggu saya,” ucap Leya sambil melihat jam di pergelangan
tangan kirinya.
Andri turut memandang jamnya juga. “Leya…
jaga diri, jaga kesihatan dan jaga solat kamu. Sesibuk mana pun kamu, jangan
tinggalkan solat.”
Leya angguk. Sejuk hatinya mendengar
ucapan itu. “Kamu tu pun sama jugak. Hati-hati memandu. Jangan bawa kereta
laju-laju. Lagi satu, tolong jangan
kerja teruk sangat. Kesihatan kena jaga, tau. Nanti kalau kamu sakit, satu
kerja pun kamu tak boleh buat.”
“Aku akan sentiasa ingat pesanan kamu.
Terima kasih, sayang.” Meskipun dalam senyuman, tapi suara Andri sebak. Hati
rasa terharu sungguh dengan pesanan Leya itu. Dari situ, dia dapat rasa, dia
tidak lagi bertepuk sebelah tangan. Leya sudah membukakan pintu hatinya untuk
dia. Kalau benar, alhamdulillah. Dia sangat bersyukur sekali.
Sayang! Hati Leya rasa melayang dan
mukanya kembali terasa panas.
“Lagi satu,” kata Leya.
“Apa sih?”
“Tolong berhenti merokok. Saya tak mau
kamu mati cepat.”
“Kamu khawatir kalau nggak sempat
nikah sama aku?” Andri tayang muka nakal.
“Andri… saya serius ni.”
Sambil tersenyum, Andri angguk.
“Insya-Allah… aku akan coba untuk
berhenti. Aku juga nggak mau mati
sebelum kamu jadi milik aku yang sah.”
“Saya pergi dulu.” Sebelum Andri menambah
bicaranya, sebelum hatinya jadi makin tidak keruan dan sebelum air matanya
luruh lagi, biarlah dia cepat-cepat berlalu. Lalu tanpa menoleh lagi, dia
segera mengheret bagasinya. Meninggalkan Andri yang masih berdiri di situ.
“Leya Mysara Borhan!” Andri berteriak.
Leya yang sudah begitu hampir dengan
pintu, berhenti melangkah. Dengan mata yang bergenang, dia pandang Andri.
Tiada ucapan dari mulut Andri. Buat
beberapa ketika, dia hanya merenung seraut wajah ayu itu. Wajah yang akan
menemani hari siang dan malamnya nanti. Wajah yang pastinya akan sering
dirindui.
“Aku cinta kamu!” jeritnya kuat. Orang-orang
di sekeliling sudah tidak dipedulikan lagi. Biarlah mereka mendengar. Biarlah
mereka jadi saksi.
Leya tidak beri respons tapi air matanya
kembali mengena pipi. Cepat-cepat dia tarik bagasi dan melangkah ke dalam.
Selamat tinggal Padang… selamat tinggal Andriku sayang.
3 comments:
sudah selesai membaca novel ini! terima kasih kak mimie atas pengembaraan di bumi Bukit Tinggi dan kisah Leya, Andri, Redza & Zaim..
Little Garage Sales...
Terima kasih banyak2 sudi membaca. Semoga berpuas hati dengan Aku, dia & bintang.
Little Garage Sales...
Terima kasih banyak2 sudi membaca. Semoga berpuas hati dengan Aku, dia & bintang.
Post a Comment