Thursday, June 18, 2009

Anak kita tanggungjawab kita

Rasanya semua ibu bapa sayangkan anak-anak tetapi sejauh manakah mereka bertanggungjawab atas keselamatan anak-anak mereka? Baca 2 kisah dibawah dan sama-samalah kita renungkan.

KISAH 1

Jam sudah menunjukkan hampir pukul 7 malam. Semasa itu hujan renyai-renyai dan saya pula dalam perjalanan balik ke rumah. Lebih kurang 2 kilometer dari rumah, suami tiba-tiba memberhentikan kereta. Saya yang sedang lena, terus terjaga. Memandang suami dengan terpinga-pinga.

"Panggil budak tu... ajak naik kereta kita," kata suami sambil matanya memandang seorang kanak-kanak yang memakai uniform sekolah agama dan sedang berjalan meredah hujan. Saya lantas memanggil anak kecil itu dan mempelawa dia menaiki kereta kami.
"Adik nak balik mana ni?" tanya saya apabila budak itu berada dalam kereta. Dari saiz badannya yang kecil, saya boleh agak umurnya baru 7 tahun. (Agakan saya memang betul bila selepas itu saya bertanyakan umurnya)
"Nak balik Pusat Serenti."(Ibu bapa dia bekerja di Pusat Serenti dan tinggal di kuarters)
"Jalan kaki?"
Budak yang petah berkata-kata itu mengangguk.
"Budak besar ni balik Pusat Serenti jalan kaki sorang-sorang time macam ni? Mana mak ayah dia?" Saya bertanya suami dengan rasa marah. Bayangkan jarak antara sekolah agama dengan Pusat Serenti adalah hampir-hampir 3 kilometer. Sebelum sampai ke Pusat Serenti, budak ini terpaksa menempuh perkampungan orang asli terlebih dahulu. Kemudian dia juga akan melalui kawasan semak-samun. Di sepanjang perjalanan itu juga banyak anjing-anjing liar berkeliaran.
"Selalu adik naik apa?" soal suami saya pula.
"Selalu naik van... tapi hari ni kena tinggal dengan van tu."
"Kalau van tinggal... ayah atau mak tak datang jemput adik ke?" tanya saya pula.
"Tak..."
"Habis tu adik jalan kaki ke?" Soalan saya dibalas adik comel itu dengan anggukan.
"Selalu ke jalan kaki?" tanya suami pula.
Dia angguk lagi.
"Adik tak takut ke?" saya pula menyoal.
"Takut..."
Masa ni air mata saya cepat saja mengalir. Saya rasa sangat kesian dengan anak kecil tu. Saya bayangkan kalaulah anak saya yang terpaksa melalui apa yang dilalui anak kecil itu.

Sesampai di rumahnya, anak itu lantas berlari mendapatkan emaknya yang kebetulan berada di luar.
"Ini anak puan ke?" soal saya.
"Ya..." jawab wanita berusia dalam 30an itu.
"Saya jumpa dia jalan kaki sorang-sorang. Bahaya betul. Dah nak masuk maghrib ni. Dahlah hujan pulak tu," tambah saya lagi. Saja nak bagi mak dia rasa bersalah sikit.
"Van tinggalkan dialah tu."
Senangnya dia jawab. Tak nampak langsung dia risaukan anaknya. Kalaulah apa-apa jadi pada anak itu, siapa susah? Kalau sayalah di tempat dia, tentulah saya dah ajak suami atau saya sendiri yang akan keluar mencari anak saya. Kalau dah terpaksa sangat, saya akan tebalkan muka meminta pertolongan jiran. Biarlah... janji anak saya selamat.

KISAH 2

Balik dari kerja minggu lepas, saya singgah sebentar di Parkson Rawang. Semasa akan menaiki eskalator ke tingkat dua, saya jadi tergamam sekali. Seorang kanak-kanak (saya agak dalam lingkungan umur 2 ataupun 3 tahun) sedang menangis sambil merangkak atas eskalator yang sedang bergerak. Sementara emak dan abangnya sudah berada di atas.

"Cepat, dik..." jerit si emak dan anak lelakinya berulang kali sambil memandang anak kecil itu.
Si kecil yang saya kira sedang ketakutan ini makin kuat menangis.
"Cepat, dik... naik," jerit si emak lagi.
Anak kecil itu tiba-tiba berdiri... dan tiba-tiba juga badannya hampir tumbang ke belakang. Saya yang berada beberapa anak tangga di belakangnya, cepat-cepat melompat ke atas dan menyambar badan anak comel itu. Terasa macam herolah sekejap. Dan saya bersyukur kerana tindakan pantas saya itu telah berjaya menyelamatkan anak kecil itu.

Cuma satu yang saya tidak puas hati. Bukanlah sebab mak dia macam nak tak nak aje ucap terima kasih kat saya, tapi macam mana anak sebesar itu boleh ditinggalkan sendirian memanjat eskalator sedangkan emaknya sudah pun berada di atas. Pada saya, anak sebesar itu sepatutnya didukung atau kalau nak ajar anak tu berdikari sekalipun, apa salahnya kalau emaknya berada di sebelah dengan memimpin tangan si kecil itu. Ini tidak... boleh dibiarkan anaknya sorang-sorang. Kalau jadi apa-apa, macam mana?

10 comments:

Sarnia Yahya said...

Inilah salah satu punca kanak2 menjadi mangsa penculikan. Anak harta kita di dunia sampai akhirat.

MIMIE AFINIE said...

Sarnia, akak memamg hairan dengan orang yang ambil ringan pasal anak ni. Tak jadi apa2, okeylah. Kalau jadi apa-apa... menyesal pun tak berguna...

alvas-87 said...

fuhh... cerita kali mmg hebat... hehehe.. tp ade je ayat yg tb2 lia ase nak gelak... haha... mak.. citer mcm ni blh wak novel ni...

MIMIE AFINIE said...

Kalo lia tengok mcm mana mak selamatkan budak kecik tu, mesti lia kagum dgn mak... hihi

alvas-87 said...

kagum ar tgk mak smpai melompat.. hahaha... nasib bkn mak plak yg terjatuh ke belakang..

UMAIRA DZUL WIDAD @ NAZ AREESYA AMEEN said...

salam kak mimie.saya dah balik.saja merayau2 kat umah akak.hem...ke2-2 citer akak tu buat saya emo dan sebak betul. tak patut betul mak bapak budak2 tu.mcm tak syg anak je.esok2 bila anak dah hilang,citer dah masuk paper, baru ler nangis tak berlagu...

MIMIE AFINIE said...

Salam umaira,
Selamat kembali ke Malaysia. Itulah umaira... bila dah berlaku perkara yg tak diingini, barulah nak menyesal. Masa tu menangis air mata darah pun dah tak guna...

dS said...

Salam kak mimie,
Geramnya! Mak2 jenis mcm 'tooot' baik hantar ke sekolah balik!

Memang tak patut betul, selamba je... kalau dah jadi apa-apa kat anak dia, sibuk pulak nak minta simpati!

NIk Fauziah Nik Hussin said...

salam kak..
apa ke jenis mak mcm tuh..(grrrr..nih dah berasap telinga nih!!)
Keselamatan anak bukan perkara yang boleh kita pertaruhkan.. anak tak ada gantinya! Isk.. mahu panjang membebel nih..

MIMIE AFINIE said...

salam nik,

Sebenarnya akak dah puas membebel dah. Akak memang tak boleh tengok mak2 yang jenis macam ni...