Saturday, February 20, 2010

Tak rasa bersalah ke?

Beberapa hari lepas, seorang kawan lama menghubungi saya. Agak lama juga kami bersembang. Macam-macam cerita yang keluar. Pasal anak-anak, kerjaya dan juga rumah tangga. Bila masuk bab rumah tangga aje, suara dia terus jadi sedih. Rupa-rupanya suami dia 'buat hal' dengan bekas teman sepejabat. Yang buat kawan saya ni sedih sangat, perempuan itu baik dengan dia. Malah dia dah anggap macam adik dia sendiri. Sebab itulah dia tak sangka langsung, perempuan tu sanggup buat macam tu.

Kata kawan saya, mula-mula dia tak tahu sehinggalah pada satu hari tu, dia terbaca sms yang perempuan tu hantar pada suami dia. Memang hati dia sakit saat membaca ayat yang sangat mesra itu. Walaupun marah tapi dia tidak terus bersemuka dengan suaminya. Dia cuba menyiasat sendiri. Dia bertanya teman sepejabat suaminya dan ternyata suaminya memang ada 'sesuatu' dengan perempuan itu. Rupa-rupanya cerita hubungan mesra suaminya dan perempuan itu memang sudah menjadi buah mulut di pejabat. Mana taknya, perbuatan mereka sangat ketara. Kalau boleh nak melekat sepanjang masa. Sarapan berdua, makan tengah hari bersama... malah waktu bekerja pun mereka masih juga nak 'melekat'. Sampailah bos membuat keputusan untuk menukarkan suaminya ke cawangan lain. Mengikut kata kawan saya lagi, memang dia tahu suaminya berpindah tempat kerja tetapi alasan suaminya ketika itu, dia yang minta ditukarkan sebab dah bosan dengan tempat kerja lama.

Selepas dah tau cerita sebenar, barulah kawan saya bertanyakan suaminya dan seperti yang dia dah jangkakan, suaminya tidak mahu mengaku sebaliknya menganggap mereka hanya kawan baik. Siap bersumpah lagi yang dia tidak pernah ada apa-apa hubungan dengan perempuan itu. Mulanya kawan saya ni termakan juga dengan kata-kata suaminya tetapi bila satu hari tu... ada teman mengadu ternampak suaminya dengan seorang perempuan, yakinlah dia yang suaminya memang tidak bercakap benar. Ditambah lagi dengan sms mesra perempuan itu yang masih mengunjungi telefon bimbit suaminya.

"Tau taulah sampai bila aku boleh bertahan dengan keadaan ni. Yang aku sedih, budak perempuan tu kenal aku, baik dengan aku... tapi kenapa sanggup buat aku macam ni? Macamlah tak ada lelaki lain, suami aku jugak yang dia nak," kata kawan saya dengan sedih.

Sebenarnya banyak sungguh kisah-kisah begini yang sering kita dengar. Malah saya sendiri pernah berhadapan dengan perkara ini beberapa kali dan ianya berlaku di hadapan mata dan di sekitar saya sendiri. Suami orang dengan isteri orang, suami orang dengan wanita bujang... malah ada juga lelaki bujang dengan isteri orang. Saya tidak faham apa perasaan mereka yang terlibat dengan hubungan sebegini. Tidakkah mereka rasa bersalah terhadap pasangan masing-masing? Wallahuaklam. Mudah-mudahan perkara sebegini tidak akan terjadi pada diri saya dan rumah tangga saya. Nauzubillah...

2 comments:

Sarnia Yahya said...

salam kak, itulah dikatakan kwn mkn kwn, kwn tipu kwn. Mmg byk kes mcm yg akak cerita tu skrg ni...

MIMIE AFINIE said...

Salam Sarnia,
Makin menjadi2 la kes2 macam ni sekarang. Menakutkan...