Friday, June 15, 2012

lagi sedikit dari 'tolong ingatkan aku'


BAB 6

“LAN tak rindu mama?” Di hujung talian, suara Datin Rubiah sudah sayu benar bunyinya. Mahu tak sayu, sudah lebih sebulan Azlan meninggalkan rumah, sampai sekarang belum nak balik-balik. Puncanya bukanlah besar mana pun. Cuma berlaku pergaduhan kecil antara Azlan dan papanya. Pergaduhan anak-beranak. Si bapa mahu anak bekerja di syarikatnya. Sedangkan si anak pula tidak bersetuju sebab belum bersedia untuk bekerja. Disebabkan hal itu, si bapa jadi marah dan si anak pula merajuk, lantas membawa diri. Memang tak masuk akal. Tapi itulah yang telah Azlan buat. Anak tunggalnya itu memang jenis yang suka berbuat sesuatu ikut perasaan dan ikut kepala sendiri. Yang suaminya, Dato’ Azman pula tak nak mengalah. Memang eloklah tu bapa dengan anak. Dua-dua keras hati, dua-dua keras kepala.
            “Siapa cakap Lan tak rindu? Kalau tak rindu tak adanya Lan nak telefon mama.”
            “Alah... Lan telefon mama pun sebab duit aje, kan?”
            “Pandai pun mama.” Azlan gelak.
         “Hah! Tengok... kan betul apa mama cakap. Lan memang tak ingat mama lagi. Tak sayang mama lagi.”
“Ala... ma. Janganlah merajuk. Lan gurau ajelah. Macamlah mama tak kenal Lan.”
Datin Rubiah tertawa. “Duit yang mama bagi hari tu ada lagi ke, Lan?”
“Ada lagi, ma... cukuplah untuk belanja Lan bulan ni. Sewa rumah, bil-bil semua Lan dah bayar.”
“Tak apalah... nanti mama tambah lagi, ya?”
“Kalau mama nak tambah... Lan lagi suka.” Azlan ketawa, seronok. Dah orang nak bagi, takkan nak jual mahal pula. Tolak rezeki namanya tu. Kata orang.... rezeki jangan ditolak, musuh usah dicari.
“Ni mama nak tanya sikit.”
“Mama nak tanya apa?”
“Lan duduk sorang-sorang tu, Lan solat tak?”
“Mestilah,” balas Azlan acuh tak acuh. Tak gemar disoal begitu. Tapi setiap kali menelefon, itu jugalah yang sering mama tanyakan. Bosan sungguh.
“Ya ke?” Datin Rubiah tak percaya.
“Yalah. Takkan tak percaya kut?”
“Kat rumah ni pun puas mama paksa, baru Lan nak solat. Dah jauh dari mama, lagilah.”
Azlan tak jawab. Malas nak bertekak dengan mama. Suka hati mamalah nak kata apa pun.
“Lan.”
“Apa lagi, ma?”
“Bila Lan nak balik?” Suara Datin Rubiah bertukar sayu. Dia amat mengharapkan kepulangan Azlan. Ketiadaan anak tunggalnya itu menyebabkan rumah terasa sunyi dan sepi. Tiada lagi keceriaan, tiada lagi kegembiraan. Semuanya pergi bersama pemergian anak kesayangan.
“Nanti-nanti Lan baliklah.”
“Nanti-nanti tu bila? Asyik itu aje yang Lan cakap, tapi tak balik-balik pun.”
Azlan hanya mengeluh.
“Lan masih merajuk dengan papa?”
“Lan tau papa masih marah Lan.”
“Lan pun satu... beralah lah.”
Azlan diam lagi. Tak kuasa nak jawab. Bukanlah dia tak nak mengalah tapi papa tu yang keras hati sangat. Asyik cakap papa saja yang dia kena dengar. Sesekali apa salahnya kalau papa pula yang ikut cakap dia, patuh dengan kehendak dia. Dia bukan minta banyak pun. Dia cuma tidak berminat dengan tawaran kerja papa. Lagipun dia masih belum bersedia untuk bekerja. Dia masih muda, masih banyak waktu lagi. Sebelum ini pun dia dah banyak ikut cakap papa walaupun dengan rasa terpaksa. Empat tahun dia memaksa diri untuk meminati senibina pun semata-mata sebab papa. Dalam tak suka pun, berjaya juga dia menghabiskan studinya. Takkan itu pun papa tak boleh fikir?
“Kalau mama jadi papa pun mama marah. Umur Lan dah 25. Tak lama lagi dan nak masuk 26. Tak ada sudahnya Lan nak terus macam ni. Lan bukannya budak-budak lagi. Dari sekaranglah Lan kena belajar selok-belok perniagaan. Esok kalau papa dah tak ada, macam mana? Siapa yang nak ganti tempat papa? Lan jugak, kan?”
Azlan merengus. Mama dah mulalah tu. Kata sokong Lan, tapi boleh pulak cakap macam tu.
 “Ma... Lan ada benda sikit nak buat. Lain kali kita sembang lagi ya?” Azlan buat alasan. Sebetulnya malas nak dengar omelan mama. Kata faham dia, sebelahkan dia tapi bila bercakap, sama juga macam papa... asyik nak salahkan dia. Tapi dengan mama, tak pernahlah dia nak marah-marah atau melawan. Kalau tak suka dengar pun, dia sengajalah buka topik lain atau buat-buat ada hal lain.
“Mama tau Lan tak suka dengar mama cakap macam tu, kan?” Datin Rubiah ketawa. Tak ambil hati pun. Dah masak sangat dengan Azlan.
“Tau tak apa...” jawab Azlan.
“Okeylah... nanti mama transfer duit ke akaun Lan, ya?”
“Terima kasih banyak, ma. Sayang mama.”
“Sayang Lan juga.”
Sambil tersenyum, Datin Rubiah meletakkan telefonnya ke atas meja kecil. Namun baru sahaja dia bangun dari tempatnya dan berpusing ke belakang, dia jadi terperanjat sungguh. Beberapa kaki dari tempat dia berada, Dato’ Azman berdiri dengan muka yang serius.
“Ini rupanya kerja awak selama ni, Ruby. Tak hairanlah kenapa perangai budak tu semakin menjadi-jadi. Awak terlalu manjakan dia. Awak terlalu beri muka pada dia, sampai dia tak reti nak susah langsung.”
“Ruby buat apa?” Datin Rubiah menggelabah. Tapi dia cuba buat seselamba yang boleh.
Dato’ Azman tidak jawab. Dia hanya merenung isterinya sampai Datin Rubiah jadi serba salah.
“Salahkah kalau Ruby tolong anak kita?”
“Tolong apa? Tolong jahanamkan dia?”
“Man... sampai hati cakap Ruby macam tu.”
“Memang betul apa saya cakap. Kerana awaklah, Azlan makin hanyut. Makin tak terkawal. Sampai dah tak kenal dosa pahala.”
Datin Rubiah terkedu. Beratnya tuduhan itu. Memang dia mengaku, kehidupan Azlan agak bebas tapi bukan dia penyebabnya. Dia dah mendidik Azlan dengan sebaik-baik didikan. Bukan setakat ilmu dunia, malah dia membekalkan Azlan dengan ilmu agama juga. Jadi tak patut sangatlah kalau Dato’ Azman mahu menuding jari kepadanya.
“Tak patut Man tuduh Ruby macam tu.” Datin Rubiah sedikit menjerit. “Ruby mengaku, Ruby manjakan dia. Ruby terlau ikut kemahuan dia tapi Ruby buat semua itu semata-mata sebab Ruby sayangkan dia. Dia anak kita, Man. Satu-satunya.”
 “Kalau betul dia anak kita... dia sepatutnya dengar nasihat kita. Bukannya buat sesuatu ikut kepala sendiri aje.” Sinis suara Dato’ Azman. “Mulai sekarang saya tak benarkan awak tolong dia lagi.”
            “Tapi Man...”
            “Awak nak dia balik, kan? Kalau nak dia balik dan nak dia jadi ‘manusia’... hentikan semua ni.”
            “Kalau dia tak balik jugak?”
            “Anak manja macam Azlan tu mana pernah hidup susah? Bila dia dah rasa susah nanti, pandailah dia cari jalan balik rumah.”
            “Tapi... Ruby tak sampai hati.”
“Ruby... jangan bantah cakap saya. Jangan sampai saya ambil tindakan yang bukan-bukan.”
Datin Rubiah cuba nak jawab tapi melihat wajah Dato’ Azman yang garang, dia terpaksa membisu.


BAB 8

“AZAH... kat mana lagi saya nak cari awak?” Dia mengeluh perlahan seraya memicit-micit dahinya. Sudah lebih dua bulan mencari tetapi sampai sekarang dia masih belum ketemu gadis itu. Setiap hari dia melalui jalan yang sama, pada masa yang lebih kurang sama. Menunggu di tempat itu dengan harapan Azah akan muncul. Tapi usahanya sia-sia sahaja. Memanglah dia tak berapa cam gadis itu, tetapi mana tahu kalau-kalau Azah perasankan dia. Tak mustahil, kan?
Habis, apa lagi yang harus dilakukan? Silap dia tempoh hari adalah kerana tidak meminta nombor telefon gadis itu. Kalau tidak, selesai masalah. Tetapi yalah, dalam keadaan kalut dan sakit, mana sempat nak fikir semua tu? Itu pun nasib baik dia teringat untuk bertanyakan nama. Tapi sekadar sebuah nama, ianya tidak membantu langsung. Dia dah cuba mencari kat laman sosial Facebook juga, tapi tidak semudah itu. Agak ramai yang bernama Azah dan kebanyakkannya pula tidak meletakkan gambar foto sendiri sebagai profile picture. Yang banyaknya meletak gambar hero Korea, makanan, gambar kartun... hanya beberapa orang yang meletak gambar sendiri. Tapi kalau ada gambar pun, dia bukanlah cam sangat rupa gadis itu.
         “Wei! Berangan tak habis-habis. Kau ingat siapa ni?” Suara itu menyapa seraya menepuk meja di hadapan.
            El angkat muka. Memandang sahabat yang sedang tersengih. “Mana ada aku ingat siapa-siapa? Memandai aje kau ni.”
            “El... El... El... dengan orang lain bolehlah kau kelentong. Ini Amirul Hayat. Dengan Hayat kau jangan cuba nak sorok-sorok.”
            El ketawa. Hayat ni memanglah. Pandai betul buat serkap jarang. Janganlah cuba nak sembunyikan apa-apa daripada dia. Dia akan tahu jugak.
            “Kau tengah buat apa tu?” soal Hayat sambil memandang ke arah laptop yang sedang terpasang.
            “Tengah buat kerja sikit,” balas El.
            “Kerja apa?”
            “Banyak soal pulak kau ni. Adalah kerja aku.” El ketawa lagi. Dia dapat rasa Hayat tidak percaya.
            “Jangan tipu akulah. Aku tau kau bukan buat kerja, kan? Kau tengah fikirkan sesuatu. Apa dia? Cakaplah. Sejak bila pandai berahsia dengan aku ni?”
            El menggosok-gosok hidungnya. Sedang berfikir sama ada dia patut berterus terang atau diamkan sahaja. Memanglah selama ini Hayatlah tempat dia meluahkan isi hati. Lelaki itu merupakan pendengar yang baik. Malah temannya itu  juga merupakan seorang penasihat yang bagus. Dengan Hayat, dia jarang berahsia. Tetapi kali ini rasa macam tidak sesuai pula untuk bercerita. Tentang perempuan pula tu. Entah apa agaknya Hayat akan komen.
“Kalau aku cakap... kau janji jangan gelakkan aku.”
            “Kalau cerita kelakar mestilah aku kena gelak.”
            “Cerita ni tak kelakar pun.”
            “Kalau tak kelakar, tak adalah aku gelak.”
            “Betul ni?”
            “Betul... cakap ajelah.”
            El diam sekejap. Kemudian membetulkan posisi duduknya.
            “Azah...” Dia menyebut nama itu.
            “Azah?” Berkerut dahi Hayat. “Azah tu perempuan, kan?”
            “Memanglah perempuan. Ada ke lelaki yang bernama Azah?” jerkah El. Dah tau apa yang ada dalam kepala Hayat.
Mendadak Hayat ketawa. Kuat pula tu. “Wei! Kawan aku dah jatuh cintalah.”
            Muncung El jadi sedepa. Geram dengan tawa Hayat. Geram juga dengan ‘tohmahan’ temannya itu. Baru saja dia sebut nama, Hayat dah boleh tuduh macam tu. Entah apa-apa.
            “Hah! Tengok... janji tak nak gelak,” marah El. “Azah tu... orang yang tolong aku masa aku accident dululah.”
            Tawa Hayat terhenti. Lantas memandang El lagi. “Jadi orang yang tolong kau dulu tu, perempuan? Mati-mati aku ingat lelaki.”
            El angguk. “Aku perlu jumpa dia, Yat. Aku nak ucap terima kasih. Aku benar-benar terhutang budi. Bukan budi aje, tapi nyawa. Kalau bukan kerana dia, entah-entah aku dah tak ada kat dunia ni.” Bersungguh-sungguh benar bicara El.
            “Mesti dia cantik kan, El?” Hayat senyum nakal.
            “Ke situ pulak perginya.”
            “Cakap ajelah.”
            “Dia pakai helmet... jadi rupa dia tak jelas sangat. Tapi pada aku... rupa tak penting. Yang penting... hati. Apa yang aku tau, hati dia memang cantik.”
            “Apa kau nak buat sekarang?”
            “Aku nak jumpa dia dan ucapkan terima kasih. Kalau perlu aku nak balas budi dia.”
            “Itu aje? Tak ada niat lain?” usik Hayat.
            “Kau tolong serius sikit, boleh tak? Tadi kau juga yang sibuk sangat nak tau, kan?”
            “Okey... okey... aku serius sekarang,” ujar Hayat. “Macam mana kau nak cari dia?”
            “Itu yang aku tengah pening ni. Dah lebih dua bulan aku cari... tapi tak jumpa.”
            “Cari aje kat facebook, bro. Itu pun aku nak kena ajar ke?”
            “Dah cari... berpuluh nama Azah keluar... entah Azah yang mana satu yang aku tengah cari tu. Aku tak rasa nama penuh dia Azah aje. Entah-entah Norazah ke, Azahwati ke... Azah Khalida ke... Azahlia ke... susahlah, Yat.”
            “Kalau nak seribu daya. Kau add aje semua Azah tu.”
            “Ramai tu.”
            “Apa salahnya... lepas tu kau bacalah status dia orang pada tarikh accident hari tu. Kalau betul Azah tu ada akaun facebook... mesti dia ada tulis pasal kes tu.”
            “Banyak kerja nak kena buat tu. Ada masa ke aku?”
            “Tak apa... aku boleh tolong kau.”
            “Betul kau nak tolong aku?”
            “Ini Hayatlah... Takkan kau tak kenal aku?”
            “Terima kasih Yat. Kalau kau jumpa dia aku belanja kau sate Kajang.” Berseri-seri muka El.
            “Sate Kajang aje? Bolehlah...” seloroh Hayat. Sambil berkata begitu, dia berjalan ke muka pintu. Bertujuan keluar dari bilik itu. Tapi, baru memegang tombol pintu, dia berpaling kepada El. “Aku dapat rasa sesuatu.”
            “Apa?”           
            “Kau dah jatuh cinta dengan Azah, kan?”
            “Woi! Mana ada?” kata El. Pen yang berada berhampiran dicapai dan dibaling ke arah Hayat.

“LAMBAT El balik hari ni... El dari mana ni?” tanya Hajah Salmi. Membiarkan tangannya dicapai dan dikucup anak lelakinya. Manis senyumannya sambil menatap anak kesayangan yang sudah mengambil tempat di sisinya.
            “Dari ofis, mak. Biasalah syarikat baru nak bertatih. Banyak benda nak kena buat. Itu pun nasib baik ada Hayat dan pekerja lain. Kalau El sorang memang tak terbuat,” ujarnya merujuk kepada syarikat yang baru setengah tahun beroperasi. Syarikat yang dikongsi bersama teman baiknya, Amirul Hayat. Sebelum ini dia bekerja di syarikat milik kawan baik arwah abahnya, Haji Muslim. Setelah hampir lima tahun menimba ilmu dan pengalaman, barulah dia yakin menjalankan perniagaannya sendiri.
            “Macam mana kerja, El?”
        “Alhamdulillah, mak. Walaupun masih baru... ramai yang beri kerjasama dan kepercayaan. Mungkin sebab dia orang pun dah biasa dengan El sebelum ni, kan?”
            Syukurlah kalau macam tu.”
            “Ini pun berkat doa mak, kan?” Lembut bicara El sambil meraih tangan emak.
            “Insya-Allah selagi mak masih hidup... mak takkan lupa berdoa untuk El. Bukan El aje tau? Semua anak-anak mak.”
            “Terima kasih, mak,” ucap El.
            Mak angguk. “Oh! Ya... macam mana kaki El? Dah okey ke?”
            “Dah okey dah, mak. Cuma bila cuaca sejuk... terasa sengal-sengal sikit.”
            “Insya-Allah, tak lama lagi baiklah tu.”
            Bila emak membuka topik pasal kakinya yang tercedera, ingatan pergi semula kepada gadis yang menolongnya tempoh hari. Gadis yang sering muncul di ruang fikirannya sejak kemalangan tersebut. Azah, gadis misteri yang sehingga kini masih belum ditemui. Sejujurnya, selagi dia belum ketemu gadis itu, selagi itulah hatinya tidak akan rasa tenteram. Selagi itulah dia rasa seperti sedang berhutang. Dah berhutang, mestilah kena bayar balik. Hutang wang, dibayar dengan wang. Hutang budi, seharusnyalah dibayar dengan budi juga. Tapi bagaimanakah caranya?
            “El nak jumpa orang yang tolong El tu, mak. Selagi El tak jumpa... hati El rasa tak tenang.” Dia pernah menyuarakan perkara ini kepada emak. Tapi ketika itu emak menasihatkan agar El tidak memikirkan hal itu sangat, kerana pada pendapat emak... Azah menolong El dengan ikhlas dan tidak mengharapkan apa-apa ganjaran mahupun balasan. Jadi tidak perlulah El rasa terbeban dengan hal itu. Tapi tak tahukah emak, betapa terbebannya dia sekarang? Dia tak boleh melupakan hal itu dengan mudah. Mungkin pada sesetengah orang, dia hanya membuang masa dengan memikirkan hal yang remeh-temeh begitu.Tapi tak, dia tak rasa hal itu remeh-temah.
            “Jadi El nak jumpa dia jugak?”
            “El kena jumpa dia mak. El perlu jumpa dia.”
            “Katalah El dapat jumpa dia... apa El nak cakap kat dia?”
            “El nak ucap terima kasih sebab dia dah tolong El.”
            “Itu aje?”
            “Itu ajelah kut.”
            “Kalau setakat itu... baik tak payah jumpa.” Emak ketawa, manis sekali bunyinya.
            “Dah tu... nak buat apa lagi?”
            Emak tak jawab. Dia terus ketawa.
            “Kenapa mak ketawa?”
            “Mak rasa anak mak ni dah jatuh hatilah.”
            “Mak ni pun dah jadi macam Hayat dah... suka sangat bercakap yang bukan-bukan. Mana ada El macam tu? Takkan jumpa sekali tu aje dah boleh jatuh cinta, mak. Lagipun El bukan cam sangat muka dia tu. Tak masuk akal.”
            “Siapa cakap tak masuk akal... kalau tidak, tak adalah istilah cinta pandang pertama, betul tak?” usik Hajah Salmi.
            “Dah... dah... makin El layan mak... entah apa pulak mak nak cakap. Baik El naik atas, mandi.”

4 comments:

Nurmaisarah Azmi said...

best3... sarah ade baca jugak novel Bila Dah Suka... memang xrugi la baca.. OTW nak dapatkan novel2 lain..=)

cely said...

tak sabar nak beli novel ni. saya dah habis baca semua novel akk :)

MIMIE AFINIE said...

maisarah... dah baca 'bila dah suka' ke?... terima kasih banyak2...

MIMIE AFINIE said...

cely... beli jangan tak beli... hehehe gurau je. btw terima kasih sudi baca novel2 akak...