Sunday, May 31, 2015

Sabarlah Duhai Hati (Bab 9)



RUPA-RUPANYA Affan diserang radang appendiks. Mengikut kata Dian, dua hari sebelum tu lagi abangnya sakit perut. Memikirkan dia hanya mengalami sakit perut biasa, Affan cuma menyapu minyak panas dan menelan ubat tahan sakit. Tetapi setelah dua hari, kesakitan jadi semakin teruk pula. Memang Affan terfikir untuk ke klinik tetapi keadaan pada masa itu sangat tidak mengizinkan untuk dia memandu. Nasib baiklah umi terlintas untuk menelefon Affan pada waktu itu. Kalau tidak, tak tahulah apa jadi.
          Affan sudah pun selamat menjalani pembedaahan semalam. Mengikut cerita Dian, appendiks Affan sudah pecah dan sekiranya lambat dibawa ke hospital, mungkin boleh membahayakan nyawanya. Sedikit sebanyak Fira tumpang gembira .Walaupun tugas dia sekadar menghantar Affan ke hospital, dia tetap ada peranan dalam menyelamatkan nyawa seorang manusia. Itu kira sumbangan juga, kan? Tapi dalam gembira, dia sebenarnya geram dengan Dian. Apa tidaknya, setiap hari Dian memaksanya ke hospital. Padahal dia dah pergi pun semalam. Takkan hari-hari nak kena melawat. Affan tu bukan abang dia pun. Kalau abang sendiri, hari-hari pergi pun dia tak kisah. Lagi satu, dia memang tak suka jumpa Affan. Tak suka! Macamlah Dian tak tahu. 
Dian memang melampau. Semalam minta temankan untuk sehari sahaja. Konon untuk hari ini dan seterusnya dia boleh ikut umi ataupun abi dia. Tup-tup hari  ini lain pula cerita. Lidah bercabang betul Dian tu.
          Yang buat Fira sakit hati sangat, Dian siap babitkan mama sekali. Kepada mama dia mengadu kononnya Fira tidak mahu temankan dia ke hospital. Mama yang tidak tahu apa-apa, terus saja percaya. Mama main ikut aje cakap Dian. Yalah dah dengar Affan kena bedah, mestilah mama prihatin, kan? Jiran setaman katakan. Kebetulan mama dan papa ada urusan, jadi diwakilkan kepada Fira untuk melawat Affan. Mama bukan nak dengar pun bila dia cakap dia dah pergi melawat Affan semalam dan dia jugalah yang tolong hantar Affan ke hospital kelmarin.
          “Lepas ni, sila ambil lesen memandu, Dian Marissa.” Sambil berjalan, Fira membebel.
          “Eleh! Baru minta tolong hantar ke hospital sekali, dah banyak cakap.”
           “Ya la tu sekali.”
          “Yalah, yalah, dah banyak kali. Nanti-nanti la aku ambik lesen tu.“ Cakap sajalah macam tu dulu. Kalau tidak nanti, makin banyak pula bebel perempuan ni. Tapi yalah, salah dia sendiri... asyik bertangguh. Bila semakin lama dan umur pula semakin meningkat, dia jadi semakin malas pula. Tapi dia janji dia akan punya lesen memandu juga satu hari nanti.
          “Kau masuklah... aku tunggu kat luar ni,” kata Fira. Waktu itu mereka berdua sedang berdiri di luar bilik yang menempatkan Affan.
          “Kau datang sebab nak melawat abang, kan? Kalau betul nak melawat abang... kena la masuk sayang oiii.”
          “Siapa cakap aku nak lawat abang kau? Aku cuma temankan kau aje. Kau pergi la masuk.” Fira menolak-nolak badan Dian ke muka pintu.
          Dian keraskan badannya. Tidak berganjak dari tempat dia sedang berdiri. Mata mencerlung Fira, tajam. Mukanya masam.
          “Kau ingat kau tengok aku macam tu, aku takut? Tak takut langsung.” Fira mengejek.
          Dian yang sedang masam mencuka gelak mengekek. Tak tahan dengan ucapan Fira. “Jom la, Fira. Abang aku tengah tunggu kau tu.” Dian merengek pula sambil memaut lengan Fira.
          “Kau ni apa hal? Tiba-tiba babitkan abang kau pulak. Tak ada maknanya dia tunggu aku. Saja reka cerita.”
          “Memang pun aku reka cerita.” Lagi sekali Dian lepaskan tawanya.
          “Kau ni kan memang jenis terlebih sudah. Dah bagi betis, nak paha. Dah ajak aku temankan, paksa pulak aku masuk. Mengada-ngada betul la kau ni.”
          “Jangan cakap banyak... jom ikut aku.” Tanpa mempedulikan bebelan Fira, Dian membuka pintu bilik lantas menarik lengan Fira ke dalam. Fira yang tersentak dengan tindakan pantas Dian tidak sempat berbuat apa-apa. Sedar-sedar badannya sudah berada di dalam bilik dan di hadapan katil yang menempatkan Affan.
          Affan yang terperanjat dengan kemunculan dua gadis itu, cepat-cepat membetulkan posisi tubuhnya. Cuba bangun.
          Fira rasa macam nak halang perbuatan Affan. Yalah, Affan tu kan baru lepas buat pembedahan. Mana boleh bergerak sangat? Nanti kalau jadi apa-apa kat tempat kena bedah tu macam mana? Siapa susah? Memanglah Affan dan keluarganya yang akan dapat susah. Tapi masalahnya, Dian akan heret dia sekali. Nanti, dia turut akan rasa susah sama. Tapi nak cakap, mulutnya bagaikan terkunci. Nak pandang lelaki itu lama-lama pun dia tak sanggup, apa lagi nak bercakap... memang taklah. Sudahnya dia hanya pandang muka Dian.
          “Eh! Abang mana boleh bergerak? Baring ajelah. Abang tu kan belum sihat lagi.” Nasib baiklah Dian bertindak cepat. Lantas gadis itu membantu abangnya untuk baring semula. “Nanti bentan, tau tak?”
          Affan tak membantah. Dia akur dengan tindakan adiknya tu.
          “Duduk situ, Fira,” arah Dian seraya menjuihkan mulutnya ke arah kerusi.
          “Tak apa, aku berdiri kat sini aje.” balas Fira perlahan. Matanya tak pandang Affan langsung, sebaliknya dia terus pandang Dian.
          “Kau jangan nak mengada-ngada. Aku kata duduk kat situ, duduklah.” Lagi sekali Dian mengarah. Dia sendiri mengambil tempat atas kerusi berdekatan katil Affan.
          Fira jeling Dian, tajam. Aku atau kau yang mengada-ngada? Mentang-mentang kat depan abang dia, suka hati nak mengarah-arah orang. Geram betul. Tanpa rela, Fira duduk di situ, bersebelahan dengan Dian dan berhadapan dengan Affan.
          Kalaulah ada yang bertanya, apakah perkara yang dia paling elakkan dari berlaku? Jawapannya adalah... apa yang sedang berlaku sekarang. Berada dalam bilik kecil ini dan berhadapan dengan Affan buat dia rasa tidak selesa sungguh. Affan seolah-olah sedang memandangnya dengan senyumannya yang  penuh sindiran itu. Tiba-tiba dia rasa sesak nafas. Rasa macam nak pengsan dah. Ya Allah... berilah aku sedikit kekuatan. Aku tak nak pengsan kat sini.
          “Fira...” Dian panggil.
          “Apa?” soal Fira perlahan. 
          “Abang nak ucap terima kasih pasal kau tolong dia kelmarin. Abang cakap, lepas dia sihat nanti, dia belanja kau makan. Kau cakap aje nak makan apa dan kat mana. Tanggung beres.”
 Affan jegil mata. Bila masa dia cakap macam tu? Tak pernah kut. Ya, dia memang berterima kasih dengan pertolongan Fira tapi setakat itu ajelah. Tak adalah sampai nak ajak keluar makan.
 Wajah abangnya dipandang dengan sengih lebar. Memang pun dia sengaja reka cerita. Biar padan muka Abang Affan. Fira dah tolong dia kelmarin, bukannya reti nak  berterima kasih. Boleh dia buat diam aje. Patutlah Fira tak boleh ngam dengan abang. Perangai menyakitkan hati.
          Fira tak bagi respons pun. Dia buat seperti tidak dengar apa-apa. Jangan harap dia nak percaya. Affan nak ucap terima kasih? Memang taklah.    
          “Oiii... kau dengar tak?” Dian menyiku Fira.
          “Dengar.” Fira berbisik.
          “Dah dengar, jawablah.”
          Sakit pula hati Fira dengan mulut Dian yang celopar tu. Nasib baiklah kat depan Affan. Sabar ajelah. Kalau tak memang kena perempuan ni. Yang Affan tu pun satu, boleh pulak berdiam diri saja dari tadi. Tidak pula dia nak cakap apa-apa. Kut ya pun rasa terhutang budi sangat, cakap ajelah. Tak perlu kut nak wakilkan kepada Dian.
          “Sama-sama.” Terpaksalah Fira jawab macam tu. Bukan nak jawab sangat pun tapi nak puaskan hati Dian. Nanti entah apa lagi yang akan keluar dari mulut perempuan tu.
          Kuat Dian gelak. Lucu dengan Fira.
Affan geleng kepala. Teruk betul adik ni.
          Spontan Fira mencubit lengan Dian. Perempuan ni memang melampau. Boleh pulak dia gelakkan aku kat depan abang dia. Nak kena dia ni. Tapi Affan tu lagilah melampau. Orang dah cakap sama-sama, bukan dia nak bagi respons pun. Menyombong betul.
          “Bang, adik pergi surau sekejap, tau? Belum solat zohor lagi ni. Fira, kau tak boleh solat, kan? Kau tunggu sini, temankan abang.” Belum sempat Affan dan Fira cakap apa-apa, Dian laju menuju ke pintu. Terus keluar dari bilik itu.
          Fira genggam penumbuk. Dian ni memang melampau sangat-sangat. Suka ambil kesempatan. Dah la selamba badak beritahu kat depan abang dia, aku tak boleh solat. Geram! Geram! Geram!
Selepas itu suasana senyap dan sunyi. Dua-dua pakat diam. Mata Fira hanya pandang ke dinding. Tak rasa nak pandang langsung muka Affan. Tapi dia dapat rasa Affan sedang tenung muka dia. Dah masuk lima minit, dah penat pandang dinding, Fira alih pandangan ke arah lain. Masa inilah matanya bertembung dengan muka Affan. Tetapi lelaki tu tak pandang dia pun. Affan sedang pandang ke atas.
Fira jadi malu sendiri. Mati-mati dia duk ingat Affan sedang renung muka dia. Perasannya kamu, Nur Syafira. Affan manalah yang nak renung kamu tu? Usah kata nak renung, entah-entah bayang kamu pun Affan tak sudi nak pandang. Tolong sedar diri sikit, Fira.
Selama bertahun-tahun berjaya menghindar dari Affan, sekarang dia benar-benar terperangkap. Tak boleh nak lari dah. Tapi betul ke dah tak boleh lari? Boleh saja kalau dia nak, kan? Tapi kenapa ya, dia tak rasa nak lari pun?
Tiba-tiba pintu terbuka. Automatik pandangan Fira dan Affan menghala ke situ.
“Affan...” Nadia memanggil, manja.
Affan mengeluh dalam hati. Alamak, Dia datang pulak dah!
          “Fan... kau tak bagi tau pun kau kat hospital. Macamlah aku ni tak penting langsung.” Tanpa salam, Nadia terus berkata begitu. Namun ucapannya terhenti saat Fira bangun dari kerusi untuk bersalaman dengan dia.
          “Nur Syafira.” Fira memperkenalkan diri.
          Buat beberapa saat, Nadia hanya pandang tangan Fira. Siapa pulak perempuan ni? Girlfriend Affankah?
          Affan menjeling, tajam. Geram pula dia dengan tingkah laku Nadia tu. Fira dah hulur tangan tu, sambut ajelah.
“Nadia.” Suaranya tidak mesra. Hendak tak hendak aje tangannya dihulurkan kepada Fira. Kalau bukan kerana jelingan Affan, jangan harap dia nak bersalam dengan perempuan tu.
          Mulanya Fira bercadang nak duduk semula tapi dia ubah fikiran. Tak perlu kut dia terus berada dalam bilik tu. Sangat tak selesa. Lagipun dia dapat rasa Nadia tidak senang dengan dia. Atau senang cakap, Nadia cemburu. Tengok riak muka perempuan itu pun dia tahu. Tanpa sepatah kata, Fira menonong ke muka pintu, kemudian keluar dari situ.
          “Biadap betul! Main blah macam tu aje. Kut ya pun bagi tau la kata nak balik,” komen Nadia. Memandang ke arah pintu yang sudah pun tertutup.
          Affan jongket bahu. Tak kuasa nak ulas. Suka hati Nadialah nak cakap apa pun.
“Siapa tu?”   
          “Kawan Dian... kebetulan jiran setaman.”
          Nadia mencebik, tak percaya. “Yalah tu jiran setaman.”
          “Habis tu?”
          “Entah-entah girlfriend kau.”
          “Kalau betul pun apa salahnya. Aku solo, dia pun solo. Tak ada masalah, kan?”
          “Kau jangan nak mengada-ngada. Nak sangat tengok opah mengamuk?”
          “Alah, opah kalau mengamuk sekejap aje.”
          “Berani kau cakap macam tu?”
          “Nadia... boleh tak kau jangan mulakan? Kau tak nampak ke keadaan aku ni?”
Nadia senyum sinis. Memang dia nampak keadaan Affan. Dia juga tahu, Affan tentu masih sakit dan lemah kesan dari pembedahan semalam tapi kata-kata Affan tadi sangat menyakitkan hati.
          “Macam yang selalu aku sebut, kita tetap akan kahwin dan kau tu tetap akan jadi suami aku. Aku takkan putus asa, Fan. Aku tetap akan tunggu kau.”
          Affan hela nafas dan lepas. Entah apa lagi agaknya yang dia harus sebut untuk fahamkan gadis itu. “Nadia, aku nak nasihatkan kau sikit ya. Aku harap kau boleh dengar.”
          Nadia cuma pandang Affan dengan muka mencuka.
          “Aku rasalah,  lebih baik kau cari orang lain. Tak payah la nak ikut rancangan opah yang entah apa-apa tu. Tak guna kau tunggu aku. Sia-sia aje. Hati aku memang tak pernah ada untuk kau. Serius, sikit pun tak ada. Sampai bila-bila pun aku takkan kahwin dengan kau. Tak akan.”
          Mata Nadia membuntang. Tangan dah rasa menggigil. Rasa macam nak tumbuk muka Affan. Nasib baiklah lelaki itu tengah sakit. Kalau tidak memang dah kena dah. Bicara Affan tadi sangat melampau. Terus terang, hatinya sangat terhiris. Terasa harga diri jatuh ke tahap paling rendah. Rasa sangat-sangat terhina.
          “Kau jangan nak berlagak sangat, Fan. Kau ingat kau siapa? Kau ingat aku hadap sangat ke dengan kau? Sekali kau tak nak, seribu kali aku tak ingin. Aku boleh dapat orang yang jauh lebih baik daripada kau la. Eh! kalau bukan kerana opah... aku pun tak beria-ia tau.” Mengiggil-gigil suara Nadia saat menuturkan kata-kata itu. Kolam matanya bertakung. Tapi jangan harap dia nak menangis di hadapan lelaki sombong dan angkuh itu. Tanpa menunggu, Nadia mencapai tas tangannya, lalu keluar dari situ.
          Affan menghembus nafasnya kasar. Sedikit kesal kerana bahasanya yang agak keterlaluan. Yalah, seteruk-teruk Nadia, gadis itu tetap sepupu dia, tetap cucu opah. Mereka membesar sama-sama. Tapi dia tahu, hanya bicara itu yang  mampu buat Nadia mengerti.
         

1 comment:

CintaHati Lina said...

Moga terus tabah dan jaga kesihatan...

Mommylina singgah sini.. Assalamualaikum