“MENUNG aje,
Sha? Fikir apa ni?”
Dari kaca TV, Nisha alih
pandangan kepada ibu yang baru duduk di sofa sebelahnya.
“Mana ada menung? Sha kan tengah tengok TV ni,
bu.”
Puan Rahayu ketawa terkekeh-kekeh. Ingat dia nak
percaya? Mata Nisha saja ke kaca TV, fikirannya entah merayau ke mana. Bukan
sekali ni, dah selalu sangat Nisha tertangkap sewaktu sedang termenung panjang.
Tapi macam selalulah, bila ditanya, tak pernah nak mengaku.
Sebetulnya, memang ada perkara yang sedang
mengganggu fikiran Nisha. Tapi macam tak sesuai pula nak berkongsi dengan ibu.
Tunggulah bila tiba masa dan ketikanya nanti. Ibu akan tahu juga.
“Bila Sha nak kahwin?”
Terus mata Nisha membulat. Angin tak ada, ribut
tak ada, apa hal ibu tiba-tiba tanya pasal kahwin ni? Selama ni, tak pernah
pula ibu ambil kisah tentang hal itu.
“Ibu ni mesti berjangkit virus Mak Cik Som ni
kan?”
Semakin kuat Puan Rahayu ketawa. Lucu sangat
komen Nisha tu. Tapi memang betul pun. Sejak asyik diasak dengan soalan yang
sama oleh Puan Kalsom, dia tiba-tiba terfikir tentang itu. Yalah, sampai bila
Nisha mahu terus bersendiri? Umur Nisha bukan semakin muda pun.
"Hisy, ada pulak nak kaitkan ibu dengan Mak
Cik Som tu. Tak kena langsung.”
“Dah tu, sebab apa lagi? Sebelum ni ibu tak kisah
pun. Tup-tup, hari ni pulak ibu nak tanya.”
“Ibu dah tua, Sha. Kalau boleh, sebelum ibu tutup
mata, ibu nak tengok Sha bahagia dengan suami, dengan anak-anak.”
Ucapan Puan Rahayu yang bernada sayu itu berjaya
buat Nisha sebak. Mata cepat benar nak bergenang.
“Ibu, jodoh tu kan urusan Allah. Kalau Allah dah
kata esok jodoh Sha, esok juga Sha kahwin. Jodoh tak pernah silap alamat, bu.
Jadi, ibu tak payah risau sangat pasal Sha, okey?”
“Memanglah jodoh tu urusan Allah, tapi kita pun
kena usaha, Sha. Tak bolehlah berdiam diri aje.”
Ketawa jadinya Nisha dengan bicara Puan Rahayu
itu.
“Sekarang ni ibu nak suruh Sha usaha macam mana?
Cari lelaki, lepas tu ajak dia kahwin, macam tu? Bu, Sha ni kan perempuan. Tak
naklah Sha jadi perigi cari timba pula.”
“Apa salahnya sesekali perigi cari timba?”
“Kalau dah itu kata ibu, esok juga Sha jumpa
bakal menantu ibu tu. Sha terus ajak dia kahwin, okey?”
Belum sempat Puan Rahayu membalas gurauan Nisha
itu, Jeffry tiba-tiba muncul dengan wajah ceria.
“Hei, Kak Sha nak kahwin ke? Syukur,
alhamdulillah!” Kedua-dua tangannya ditadahkan ke atas, kemudian disapukan ke
muka.
Puan Rahayu dan Nisha saling bertatapan sebelum
kedua-duanya tertawa. Lucu dengan gelagat Jeffry itu.
“Kak Sha dah beritahu dia ke?” Bukan main teruja
suara Jeffry.
“Dia siapa?” Puan Rahayu tayang muka berkerut,
muka yang penuh tanda tanya. Seperti ada sesuatu yang disorokkan daripada dia.
“Jeff maksudkan siapa ni?” Giliran Nisha pula
menyoal. Bulat matanya pandang Jeffry. Nak tahu juga. Sebabnya, bukan sekali ni
adiknya menyebut begitu. Dah beberapa kali. Itu yang buat dia musykil.
“Eleh... pura-pura tanya konon!”
“Jeff, Kak Sha tak pura-pura la. Kak Sha tanya
betul-betul ni. Sebab Jeff macam lebih tahu dari Kak Sha sendiri.”
“Betul Kak Sha tak tau?”
“Betul la!” Keras suara Nisha.
“Okey, Jeff cakap sekarang. Orang tu ialah...”
Penuh yakin Jeffry menyebut, tetapi suaranya terhenti di situ. Tiba-tiba dia
rasa tak yakin. Risau juga kalau telahannya itu tak betul. Nanti marah pula Kak
Sha.
“Tak apalah, lain kali aje Jeff cakap.” Sudahnya
itu yang keluar daripada mulut Jeffry.
“MARYAM tak boleh
ikut, tau? Kat sana banyak nyamuk.”
Bising mulut Maryam apabila Sofea menyerahkannya
kepada Hajah Aida.
“Amboi, dah pandai marah dah Maryam sekarang ya?”
Pipi cucunya itu dicium lama. Lagi kuat suara Maryam menjerit.
“Nanti bila dah pandai bercakap, mesti Maryam ni
kuat membebel kan, tok ma?”
“Nampak gaya macam tu la.” Lagi sekali hidung
Hajah Aida melekap di pipi Maryam.
“Pergi la Fea. Tok ayah dah tunggu tu.” Bibir
Hajah Aida memuncung ke arah suaminya
yang berdiri di sebelah kereta.
Sofea segera keluar dari pagar, lantas berjalan
ke arah kereta Haji Zain yang diparkir di luar. Bersebelahan pagar rumah Puan
Rahayu.
Patutlah tok ayah tak masuk-masuk ke dalam kereta,
rupa-rupanya tengah bersembang dengan Jeffry. Lelaki itu sedang mengelap
keretanya.
“Jeff tak pergi chalet ke hari ni?”
“Pagi ni chalet kosong, tak ada yang menginap.
Petang karang baru ada yang masuk. Petang karanglah Jeff jenguk sekejap.”
Terhenti seketika kerja Jeffry apabila Sofea datang.
“Tok ayah nak ke mana tu?” Melihat Sofea yang
sudah berdiri di sebelah tempat duduk penumpang, Jeffry dapat mengagak yang
Haji Zain nak bawa gadis itu ke mana-mana.
Tok ayah? Aik, sejak bila pula Jeffry panggil
datuknya ni dengan panggilan tok ayah? Tempoh hari dah panggil tok ma. Hisy,
sibuk aje nak panggil datuk dan nenek dia macam tu.
“Tok ayah nak bawa Fea melawat ladang lembu
sekejap. Fea nak jumpa kawan dia kat situ.” Ayat tok ayah itu diakhiri tawa
yang kuat.
Amboi, Haji Zain ni pun sama naik membahasakan
dirinya tok ayah. Tapi siapa kawan yang tok ayah cakap dia nak jumpa tu? Musykil!
“Azrul tu kawan awak ke?” Laju Jeffry menyoal. Merujuk
kepada Azrul, pemuda yang bekerja di
ladang lembu kepunyaan Haji Zain.
Laju Sofea menggeleng. Tak kenal pun siapa Azrul
tu.
“Kawan Sofea tu, Jenab, Jali, Jijah, Jamian...”
Belum pun habis ayat Haji Zain, Jeffry dah
tergelak dulu sambil memandang muka Sofea yang kebingungan.
“Kenapa awak gelak?”
“Jenab, Jali, Jijah dan Jamian tu nama lembu tok
ayah la,” balas Jeffry bersama sisa tawanya.
“Tok ayah!!!” Sofea jegilkan mata.
Tok ayah ni memang la. Manalah dia tau
lembu-lembu tu semua ada nama.
“Jeff tak nak ikut sekali?” Sambil membuka pintu
kereta, Haji Zain mempelawa.
“Boleh juga!” Meninggalkan keretanya, Jeffry
segera ke kereta Haji Zain.
“LAMBAT lagi ke tok
ayah tu? Saya nak baliklah.” Sudah setengah jam mereka di kandang yang
menempatkan 52 ekor lembu dan 36 ekor kambing itu dan Sofea tak rasa dia boleh
berlama-lama lagi di situ.
“Tak tahan bau busuk ke?” Jeffry labuhkan
punggung di atas bangku simen di sebelah Sofea.
“Kalau setakat bau lembu dengan kambing tu, saya
boleh tahan lagi, tapi...” Sampai situ saja ayat Sofea. Nak sambung, tapi takut
dikata perasan pula.
“Saya tau, awak terganggu dengan Azrul kan?”
“Awak pun perasan ke?”
“Mestilah perasan. Dia pandang awak macam nak
dikunyahnya hidup-hidup. Ikut hati, saya nak tegur aje dia tadi. Tapi risau tok
ayah kata apa pulak.”
Sungguh, mulut dia rasa ringan saja tadi nak
menegur Azrul. Tegur secara lembut, bukan tegur untuk cari gaduh. Cumanya dia
tak ada peluang nak buat macam tu. Tok ayah sentiasa ada bersama Azrul. Lagi
satu, dia terfikir juga bagaimana orangnya Azrul itu? Adakah jenis yang boleh
menerima teguran atau sebaliknya?
“Macam tak pernah tengok perempuan.” Sofea
merungut.
“Perempuan cantik macam awak kut dia tak pernah
tengok.”
Sofea mencebik. Kalau orang lain boleh pandang
dia dengan pandangan biasa, kenapa Azrul mesti pandang dia macam tu? Mulalah
dia terfikir yang bukan-bukan.
“Saya, cantik?” Sofea lekapkan tangan ke
dadanya sendiri.
“Cantik!” Jujur Jeffry mengaku. Yalah, dah memang
Sofea cantik, dia cakaplah cantik.
“Kalau betul sebab cantik dia
pandang saya macam tu, kenapa awak tak pandang saya macam tu juga?”
Jeffry tergelak kecil.
“Awak mana boleh samakan saya dengan dia. Malah
awak tak boleh samakan saya dengan mana-mana lelaki pun, Sofea.”
Okey, dia setuju dengan Jeffry. Tidak sepatutnya
dia berkata begitu.
“Awak tau tak apa yang ada dalam fikiran saya
sekarang?” Sofea bertanya.
“Saya rasa saya tau.”
“Apa dia?”
“Awak nak cakap yang Azrul tu suka awak
kan?”
Perlahan Sofea geleng.
“Dia bukan suka saya, awak. Dia macam ada niat
tak baik pada saya. Pandangan dia tu pandangan bernafsu. Dan saya rasa saya tau
apa yang ada dalam kepala dia sepanjang dia tengok saya tadi.”
“Hisy! Jangan cepat bersangka buruk dengan orang,
Sofea. Entah-entah tanggapan awak tu tak betul. Takut jadi fitnah pula nanti.”
Terus Sofea terdiam. Memanglah tak elok berburuk
sangka, tapi hati kecilnya yang merasakan begitu.
“Baru saya teringat...” Tiba-tiba Sofea menyebut
begitu.
“Apa yang awak ingat?”
“Saya pernah nampak Azrul sebelum ni.”
“Awak nampak dia kat mana?”
“Kat
pantai. Masa tu saya tengah melukis. Dia pulak asyik pandang saya. Cara dia
pandang saya samalah macam ni. Masa tu saya dah rasa tak sedap hati.
Cepat-cepat saya balik.”
“Tak pernah pula awak beritahu saya.”
“Masa tu kan kita tak kawan lagi.”
Serentak Sofea dan Jeffry ketawa.
“Apa pun, awak berhati-hati ajelah. Tapi awak
jangan risau. Selagi saya ada, saya akan jadi pelindung awak. Saya takkan
benarkan sesiapa pun apa-apakan awak.” Lembut suara Jeffry saat menuturkan
kata-kata itu.
Sofea bawa matanya pandang Jeffry. Agak lama dia
menilik wajah lelaki itu. Kenapa lain macam sangat bunyi ayat Jeffry itu?
Seperti ada maksud tertentu. Atau dia yang perasan sendiri?
“Kenapa pandang saya macam tu?”
Serta-merta Sofea melarikan pandangannya ke
hadapan. Segan pula bila Jeffry tanya macam tu.
“Manalah tau kalau-kalau awak nampak Harris kat
muka saya ni.” Jeffry pura-pura ketawa. Sebenarnya nak hilangkan rasa gabra kesan
renungan Sofea tadi.
“Boleh tak awak jangan sebut nama dia lagi?”
“Kalau saya sebut juga?”
“Saya potong lidah awak. Biar awak jadi bisu
terus.”
“Wei, ganasnya awak!” Berdekah-dekah Jeffry
ketawa.
“Baru tau ke?” Sofea ikut ketawa.
“Tak hairanlah. Awak dulu kan gangster kat
sekolah.”
Terjegil mata Sofea. Mana Jeffry tahu ni? Siapa
yang beritahu dia?
“Siapa cerita kat awak?”
Sofea menyoal.
Sebetulnya
tak payah tanya pun. Sudah tentulah tok ayah yang beritahu. Tok ayah kan rapat
dengan Jeffry. Dah macam cucu sendiri tok ayah melayan Jeffry tu. Kalau nak ke
mana-mana, mesti diajaknya Jeffry sekali. Macam sekarang ni.
“Tok ayah. Tapi awak janganlah marah tok ayah
pulak. Niat tok ayah tu bukan nak malukan awak pun. Lagipun tok ayah beritahu
saya aje. Alhamdulillah sampai sekarang, masih jadi rahsia saya sorang.” Dan
lagi sekali Jeffry menghulurkan kata-kata maaf. Minta maaf bagi pihak tok ayah
sebenarnya.
Sofea senyum. Tak rasa pun nak marah Jeffry
mahupun tok ayah sendiri. Yalah, benda betul kan? Lagipun perkara itu dah lama
berlalu. Yang penting, Sofea Hana sekarang sudah jauh berubah. Walaupun
tidaklah seratus peratus baik, sekurang-kurangnya dia bukan lagi Sofea yang
banyak menyusahkan ibu bapa dan keluarga.
“Saya tak marah pun. Jangan risau.”
“Betul ni?”
“Betul.”
“Okey, kalau macam tu kita berbalik pasal tadi.”
“Pasal apa?”
“Harris. Saya nak tanya awak sikit ni.”
“Suka jaga tepi kain orang jugak awak ni kan?”
“Saya jaga tepi kain awak aje, bukan tepi kain
orang lain pun.”
“Okey, apa yang awak nak tau sangat?”
“Awak memang betul-betul dah putus dengan dia
ke?”
Sofea tayang muka bosan. Takkanlah Jeffry tak
boleh fikir sendiri? Lagi mahu tanya.
“Okey, saya dah tau jawapan dia. Tapi kan, Harris
buat apa sampai awak tergamak tinggalkan dia?”
“Dia tak jujur dengan saya, dia permainkan
perasaan saya, dia tipu saya.”
“Maksud awak?”
“Dia tak pernah beritahu saya yang dia dah kahwin
dan dah ada anak.”
“Dia cakap kat awak, dia masih bujang?”
“Dia tak pernahlah cakap macam tu, tapi bila dia
tak berterus terang tentang status dia, mestilah saya anggap dia bujang kan?”
“Habis, macam mana awak dapat tahu yang dia dah
kahwin?”
“Bila dapat tahu dia kemalangan jalan raya, saya
terus ke hospital. Sepanjang di hospital, saya tak henti-henti menangis. Risau
fikirkan dia. Saya takut dia mati. Saya takut saya akan hilang dia. Bayangkan,
saya langsung tak tau keadaan sebenar dia masa tu.”
Cerita Sofea bersambung dengan kehadiran isteri
dan ahli keluarga Harris di hospital.
“Perempuan tu tau hubungan awak dengan suami
dia?”
Pantas Sofea menggeleng.
“Lepas tahu yang perempuan tu isteri Harris, saya
tak tunggu lagi, terus balik.”
Sambil bercerita, mata Sofea bergenang. Memang
dia rasa sedih dan marah dengan ketidakjujuran Harris, tetapi sejujurnya dia
lebih kasihankan isteri dan anak lelaki itu. Mereka jadi mangsa kepada suami dan
ayah yang tidak bertanggungjawab.
“Maknanya, Harris tak tau yang awak dah tau
status dia?”
Kali ini Sofea mengangguk.
Jeffry melepas nafas
kasar. Tak hairanlah kenapa di pantai tempoh hari, Sofea tidak dapat mengawal perasaan
sehingga menjerit-jerit seperti orang hilang akal.
Malah, sanggup membuang cincin yang dia yakin sekali adalah pemberian Harris.
Mengenai cincin itu,
biarlah dia simpan dahulu. Dia cuma menunggu masa yang sesuai untuk menyerahkannya
semula kepada Sofea. Mungkin bila Sofea dah benar-benar
boleh lupakan Harris.
“Kenapa dia buat macam tu, awak? Kenapa dia
tergamak tipu saya, tipu isteri dia? Apa yang dia nak sebenarnya?”
Jeffry ketawa perlahan. Takkan Sofea tak boleh
fikir apa yang Harris mahukan?
“Dah tau,
lagi mau tanya. Apalah saya ni, kan? Mestilah dia nak tambah stok isteri dia.
Betul tak, Jeff?” Wajah Jeffry yang
sedang tersenyum itu menjadi tatapan mata Sofea.
“Mungkin ada perempuan yang tak kisah kahwin
dengan suami orang, tak kisah dimadukan. Yang pasti, orang tu bukan saya.”
“Kalau isteri dia izinkan?”
“Tetap saya tak nak. Saya bukan jenis yang suka
berkongsi hak saya dengan orang lain.”
“Tamaknya awak ni.” Jeffry
mengusik.
“Dalam bab tu, memang saya tamak.” Sofea sambut
dengan tawa kecil. Kemudian dia pandang Jeffry lagi.
“Awak tau
tak, sepatutnya keluarga dia dah datang jumpa famili saya hujung minggu lepas
untuk tetapkan tarikh perkahwinan kami. Tapi lepas apa yang dah berlaku,
akhirnya di sinilah saya.”
“Saya tumpang sedih.”
“Tak payah nak sedih sangatlah. Sepatutnya, awak gembira sebab saya tak sempat jadi perosak
rumah tangga orang.”
“Betul juga kata awak. Saya sepatutnya gembira
sebab adalah peluang saya untuk jadi cucu menantu tok ayah dengan tok ma. ”
“Perasan!”
Sofea jelir lidah.
“Gurau ajelah. Saya tak naklah awak tu.”
“Saya pun tak nak awak.”
Jeffry tergelak bila Sofea mencebik.
“Katalah awak terjumpa Harris kat mana-mana lepas
ni. Agak-agak apa awak nak buat?”
“Saya nak lempang dia laju-laju. Biar otak dia
bergegar. Biar dia jadi tak betul. Biar dia jadi sewel terus.”
Makin kuat Jeffry ketawa. Boleh Sofea terfikir
macam tu? Betul-betul gangster la perempuan ni.
“Marah betul awak dengan dia ya?”
“Memang saya marah. Disebabkan dia, saya hilang
kerja, hidup saya jadi huru-hara. Saya tinggalkan mummy, daddy, Irfan dan
segala-gala yang saya ada di KL juga disebabkan dia.”
“Kalaupun awak marah sangat, kenapa perlu lari ke
sini? Kenapa perlu tinggalkan semua kat KL sana? Pada saya, awak tak perlu pun
buat semua tu.”
“Sebab saya dah tak nak jumpa dia lagi. Saya dah
tak nak ada kaitan dengan dia lagi. Awak tau tak, sampai sekarang dia masih
cari saya.”
Fiza yang beritahu dia kelmarin. Kata Fiza,
Harris datang lagi ke pejabat semata-mata nak minta maklumat tentang dia.
“Tapi sebenarnya saya suka aje awak balik sini.
Dan saya rasa saya patut berterima kasih dengan Harris. Sebab dialah saya dapat
jumpa awak, kenal awak... jadi kawan awak.” Lembut dan mesra suara Jeffry saat
ini. Selembut renungannya kepada Sofea.
Sofea memalingkan muka pandang anak teruna Puan Rahayu
itu entah untuk kali ke berapa. Kenapa lain macam benar ucapan Jeffry tu? Dan
senyuman itu, kenapa nampak sangat berbeza daripada senyuman-senyuman Jeffry
sebelum ini?
Renungan yang lembut tapi tajam menikam itu
seperti ingin memberitahunya sesuatu. Dia dapat rasa Jeffry dah mula sayangkan
dia.
Ya Allah, dah kenapa dengan aku ni? Tiba-tiba dia
tersedar. Tidak sepatutnya dia berfikir yang bukan-bukan macam tu. Jeffry kan
dah anggap dia sebagai kawan? Pelik ke bila seorang kawan tumpang gembira dan
bahagia untuk kawannya?
Lagi sekali Jeffry memuntahkan tawanya. Tak boleh
tahanlah dengan jenaka Sofea itu.
“Janganlah
awak buat yang bukan-bukan, Sofea. Tolong kesian sikit kat anak bini dia. Dia
orang tak bersalah.”
“Kalau macam tu, saya sepak aje dia, tak pun saya
tunjal kepala dia.”
“Nak jugak tunjuk samseng awak kat sekolah dulu
kan?”
“Eh, mestilah! Bila lagi saya nak tunjuk bakat
luar biasa saya tu kat depan awak? Sekarang la...”
Kata-kata Sofea itu berjaya mengundang tawa Jeffry lagi.
No comments:
Post a Comment