S |
ESAMPAI saja di Unit Kecemasan, Sofea dan Encik Ikmal bergegas ke kaunter
pendaftaran. Mereka dimaklumkan yang Harris sedang menjalani pemeriksaan.
“Macam mana keadaan dia puan?” Soalan itu Sofea
ajukan kepada jururawat yang berusia dalam lingkungan 30-an yang bertugas di
kaunter pendaftaran.
“Belum pasti lagi. Kita tunggu hasil pemeriksaan
dulu, ya cik?” Si jururawat membalas lembut seraya tersenyum.
“Takkan puan tak nampak keadaan dia tadi?”
“Cik duduk dulu. Dah dapat keputusan nanti,
doktor akan beritahu.” Sabar benar si jururawat melayan soalan Sofea.
“Takkan puan tak tau langsung?”
Jururawat itu menggeleng.
“Jom kita duduk dulu, Sofea.” Encik Ikmal yang
memerhati dari tadi, menghalakan jari telunjuknya ke arah deretan kerusi di
sebelah kanan kaunter.
“Tak nak. Saya nak tau pasal Harris.”
“Sia-sia aje awak tunggu kat kaunter ini. Bukan
dia orang boleh jawab pun. Kita kena tunggu hasil pemeriksaan doktor dulu.
Dengar doktor cakap macam mana. Lagipun, perbuatan awak ni akan mengganggu
tugas dia orang.”
“Encik Ikmal janganlah paksa saya, saya nak
tunggu kat sini!” Sofea tetap mengeraskan badannya di hadapan kaunter itu.
“Sofea, mari ikut saya.” Lembut Encik Ikmal
memujuk.
Kali ini Sofea tidak jawab, namun tetap tidak
berganjak dari situ. Matanya bulat merenung Encik Ikmal.
“Sofea!”
“Kenapa Encik Ikmal ikut saya tadi? Sepatutnya,
Encik Ikmal biarkan saya sorang-sorang.” Air mata yang memang sudah lama
berkumpul di kolam mata, merambu semula ke pipi. Geram, Encik Ikmal seperti
sengaja tak nak faham apa yang sedang dia tanggung.
“Sofea, awak jangan degil boleh tak?” Tiada
pilihan, Encik Ikmal menarik tangan Sofea agar beredar dari situ.
“Lepaskan tangan saya, Encik Ikmal.” Sofea cuba
melepaskan tangannya daripada pegangan Encik Ikmal.
“Saya hanya akan lepaskan kalau awak janji akan
ikut semua cakap saya.” Bukan nak ugut sangat, tapi dia terpaksa buat begitu.
“Okey, okey, saya ikut cakap Encik Ikmal!”
Segera Encik Ikmal melepaskan tangan Sofea.
“Duduk situ.” Jari telunjuknya, Encik Ikmal
halakan ke salah satu kerusi di hadapan mereka.
Dengan muka yang masam mencuka, Sofea mencerlung
Encik Ikmal. Namun tetap mengikut arahan lelaki itu. Dengan kasar, dia
melabuhkan punggungnya.
Tanpa sepatah kata, Encik Ikmal berlalu dari
situ. Lima minit kemudian, dia kembali semula. Plastik kecil berisi tisu
dihulurkan kepada Sofea.
“Lap air mata awak tu.”
Baru sahaja tisu berada di tapak tangannya, air
mata Sofea mencurah lagi ke pipi. Terbayang-bayang di matanya Harris yang
menghulurkan tisu di saat dia menangis kebahagiaan selepas dilamar lelaki itu
semalam. Hari ini, tetap dia dihulurkan tisu. Malangnya, untuk mengelap air
mata kedukaan.
“Nah, minum air ni.” Sebotol air mineral pula
bertukar tangan. Tapi sebelum itu, Encik Ikmal
membukakan penutup botolnya terlebih dahulu.
Sofea menyambut botol itu, lalu meneguk perlahan.
“Terima kasih, Encik Ikmal.” Dia memandang sebentar
lelaki yang sudah pun duduk di sebelahnya.
“Sama-sama.”
Selepas itu, kedua-duanya diam. Encik Ikmal
menghadap telefon bimbitnya. Sofea pula menyandarkan kepalanya ke dinding sambil
memejamkan mata. Namun tak sampai sepuluh minit, dia membuka matanya semula.
Lalu pandang Encik Ikmal lagi.
“Encik Ikmal.”
Tanpa berkata apa-apa, Encik Ikmal menoleh.
Telefon di tangan disimpan semula ke dalam poket kemejanya.
“Saya minta maaf. Tadi saya tak dapat kawal perasaan
saya. Tak pasal-pasal Encik Ikmal kena marah.” Tiba-tiba dia rasa bersalah. Tak
patut dia buat macam tu tadi. Meninggikan suara kepada lelaki yang selama ini
sangat dihormati sebagai seorang ketua. Memang Encik Ikmal baik, tetapi itu
bukan alasan untuk dia berbuat sesuka hati.
“Tak apa, saya faham Sofea. Fikiran awak tengah
tak tenang. Saya pun nak minta maaf sebab tarik tangan awak tadi.”
Sofea angguk. Dia tahu, Encik Ikmal bukan sengaja
nak buat macam tu. Kedegilan dialah yang memaksa lelaki itu berbuat begitu.
“Encik Ikmal tau tak apa yang Harris cakap dekat
saya pagi tadi?”
“Dia cakap apa?”
“Dia minta saya janji supaya tak tinggalkan dia.”
“Oh!”
“Tapi dia sendiri yang nak tinggalkan saya.” Air
mata Sofea jatuh lagi ke pipi. Cepat-cepat dia mengesat dengan tisu di tangan.
“Sofea, tolong jangan mulakan lagi.” Encik Ikmal
menegur lembut.
Ditegur begitu, Sofea tidak jadi menyambung kata.
Beberapa minit kemudian, beberapa orang masuk ke
ruang yang sama lalu terus ke kaunter pendaftaran. Seorang lelaki muda dalam
awal 20-an bersama dua orang wanita. Seorang berusia sekitar awal 30-an,
manakala seorang lagi dalam lingkungan usia 60-an. Bersama-sama mereka juga,
seorang kanak-kanak perempuan berusia lebih kurang empat tahun.
Hanya seketika di kaunter, keempat-empat mereka
mengambil tempat duduk di kerusi berdekatan Sofea dan Encik Ikmal. Mereka
bersalaman sambil memperkenalkan nama masing-masing. Wanita yang lebih muda itu
bernama Najla, sementara wanita yang agak berusia itu adalah ibu mertua Najla,
Puan Zaimah.
“Saya, Hafizie.” Lelaki yang bersama mereka
memperkenalkan diri seraya menghulurkan tangannya kepada Encik Ikmal. Lalu
mereka berjabat tangan dan saling bertukar senyuman.
“Datang dari mana ni?” tanya Encik Ikmal selepas
memperkenalkan namanya.
“Selayang,” jawab Hafizie ringkas.
“Datang melawat siapa?”
“Abang saya. Dia kemalangan jalan raya.” Ramah
Hafizie bercerita. Najla dan Puan Zaimah tidak bersuara, wajah mereka tampak sugul.
Mata dan hidung merah kesan menangis.
“Abang pula datang melawat siapa?” soal Hafizie
pula.
Sebelum memberikan jawapan, Encik Ikmal
mengalihkan pandangan kepada Sofea sebentar, tetapi gadis itu tidak pandang dia
pun. Sofea hanya memandang ke hadapan dengan pandangan kosong.
“Kawan.”
“Dia sakit apa?”
“Kemalangan jalan raya juga.”
“Teruk ke dia bang?”
“Tak tahulah, kami pun belum jumpa dia lagi.
Tengah tunggu keputusan pemeriksaan doktor.”
“Mama... mana papa? Mama cakap tadi kita nak
jumpa papa.” Tiba-tiba anak kecil yang sedari tadi sedang ralit makan gula-gula
kapas mula merengek. Patutlah, gula-gula kapasnya sudah habis dimakan.
“Hannah, sabar ya? Sekejap lagi kita jumpa papa.”
Si ibu memujuk lembut.
“Tak nak jumpa sekejap lagi, Hannah nak jumpa
papa sekarang!” Hannah mula menangis sambil menghentak-hentakkan kedua-dua
belah kakinya ke lantai.
“Hannah, tak naklah macam ni.” Najla memeluk si
kecil seraya mengucup kepala anaknya. Beberapa titik air mata mengenai pipinya.
“Nak papa, Hannah nak papa jugak!”
Tangisan anak kecil itu berjaya mengundang air
mata Sofea semula. Sungguh, melihat keadaan dan mendengar rengekan anak kecil
itu, dia jadi lupa dengan kesedihan sendiri.
Apa sangatlah ujian dia berbanding si comel itu.
Dia mungkin akan ditinggalkan kekasih, tetapi si kecil itu mungkin akan kehilangan
seorang ayah dalam usia yang terlalu muda.
“Ya Allah, kesiannya dia...” Tanpa sedar, Sofea
berbisik. Memang dia kasihankan anak itu. Apa sekalipun yang berlaku,
mudah-mudahan Allah permudahkan semua urusan mereka dan bapa kepada anak itu
akan kembali pulih serta dapat menjalani kehidupan seperti sediakala.
Sibuk memerhatikan si kecil Hannah, Sofea sampai
tak sedar kehadiran doktor di situ.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.” Hampir serentak salam
dijawab, termasuklah Sofea sendiri.
“Boleh saya tau siapa waris Harris Shah?”
Sofea baru saja mahu berdiri dan bersuara bagi
menjawab pertanyaan doktor itu, tetapi tidak sempat. Hafizie terlebih dahulu
berdiri, diikuti oleh Najla dan Puan Zaimah.
“Saya Najla Syafina, isteri Harris Shah dan ini
ibu Harris.”
“Mari ikut saya,” ujar doktor yang memakai tanda
nama Bachtiar seraya melangkah pergi dari situ. Hafizie bersama ibu, kakak ipar
dan anak saudaranya mengekori.
Encik Ikmal yang sudah berdiri, duduk semula.
Matanya tidak lari daripada memandang Sofea. Kalau dia sendiri cukup
terperanjat dengan apa yang baru berlaku di depan mata, apatah lagi Sofea.
Haruslah hati gadis itu koyak-rabak dan semakin tertekan dengan apa yang
berlaku.
Kebenaran yang sangat menyakitkan. Baru tengah
hari tadi Sofea begitu ghairah bercerita tentang Harris. Bukan main menggunung
pujian Sofea terhadap lelaki itu. Sepertinya Harris itu sangat sempurna dan
tiada cacat cela sedikit pun.
Tapi itulah, bila kita tidak jujur, tidak amanah,
lambat-laun kebenaran akan terbongkar jua. Tapi sayang, kebenaran tentang
Harris terbongkar dalam keadaan yang sangat menyedihkan. Kasihan Sofea...
“Sofea, awak nak tengok Harris ke?” Tidak sesuai
langsung soalan Encik Ikmal itu memandangkan apa yang berlaku sebentar tadi.
Tapi nak buat macam mana, dah terlanjur bertanya.
Sofea tidak menjawab. Hanya sepasang mata sayunya
merenung Encik Ikmal tidak berkelip.
“Kalau macam tu, jomlah kita balik.” Faham sangat
Encik Ikmal dengan renungan mata Sofea itu.
Perlahan-lahan Sofea bangun. Namun baru berdiri,
dia duduk semula. Nampak badannya seperti tidak stabil.
“Boleh tak ni?” tanya Encik Ikmal
“Bagi saya lima minit, boleh Encik Ikmal?” Sofea
cuba mengawal suara yang bergetar. Dalam masa sama, cuba mengawal diri agar
tidak menangis lagi. Cukup-cukuplah, dia sudah banyak membuang air mata secara
sia-sia hari ini. Tak perlulah dia bazirkan air matanya lagi.
No comments:
Post a Comment