Tuesday, June 22, 2021

Ada Yang Tertinggal - Bab 15

 

“S

INGGAH rumah dulu, Jeff.”

Pelawaan itu Haji Zain buat sewaktu mereka baru balik dari masjid malam itu. Selalunya dia balik dengan Haikal. Memandangkan Haikal perlu balik cepat kerana mengajar kelas tuisyen, dia menumpang kereta Jeffry.

Jeffry tidak segera menjawab. Sebenarnya  sedang berfikir sama ada dia patut menerima pelawaan itu atau tidak. Katalah dia singgah, tentu teruk dia kena usik dengan Kak Nisha dan ibu nanti. Dua insan kesayangan dia tu memang tak boleh langsung tengok dia dengan Sofea. Mulalah nak menyakat. Dia orang tak tahu agaknya, Sofea tu kalau nampak aje muka dia, asyik nak marah saja. Tak faham kenapa Sofea macam benci sangat dengan dia. Lepas tu, asyik cakap dia sombong.

Tapi kalau dia tolak pelawaan tu, rasa tak sedap pula. Sebelum ni, memang dia selalu ke rumah Haji Zain pun. Maklumlah, lelaki itu kan guru mengajinya. Dua kali dia khatam al-Quran dengan Haji Zain. Sebenarnya lebih kepada memperbetulkan bacaan kerana selama ini, dia memang boleh membaca al-Quran pun.

“Jomlah, dah lama ayah aji tak dengar Jeff baca Quran.”

“Baca Quran? Eh, seganlah ayah aji.” Sudah tentu dia segan dengan Sofea. Hajah Aida dan Haikal memang dah selalu dengar dia baca al-Quran pun. Lagipun, dia tak naklah nampak macam sengaja nak menunjuk-nunjuk di depan Sofea pula.

“Nak segan dengan siapa? Macamlah tak biasa...” Terkekeh-kekeh Haji Zain gelak. Faham sangat siapa yang Jeffry maksudkan.

“Kalau dah itu kata ayah aji, Jeff singgahlah sekejap.” Sudahnya Jeffry memberi persetujuan. Tak berapa rela sebenarnya.

Sewaktu dia masuk, cuma ada Sofea yang sedang duduk di atas lantai dalam keadaan membelakangkan dia. Sepertinya gadis itu sedang menulis atau melukis sesuatu di atas meja kopi.

“Tok ayah dah balik?” Sofea sekadar memandang Haji Zain sekilas sebelum menyambung semula lukisannya.

“Dah. Tok ma mana?”

“Tok ma ada dalam bilik, tengah tidurkan Maryam.”

“Fea buat apa tu?” Sambil itu tangan Haji Zain memberi isyarat agar Jeffry duduk di atas sofa.

“Melukis. Dah lama Fea tak melukis, tok ayah. Takut hilang pula skil nanti.” Sambil menjawab begitu, Sofea ketawa.

“Fea lukis gambar apa tu?” Faham sangat Haji Zain dengan minat cucunya itu. Dari kecil lagi Sofea  minat melukis, sehingga terbawa-bawa ke usia dewasa. Sehinggakan kursus yang diambil di universiti juga ada kaitan dengan lukisan.

“Kartun.”

Wah, macam menarik aje! Jeffry memanjangkan lehernya, cuba melihat tetapi tak nampak. Lukisan itu terlindung di sebalik tubuh Sofea.

“Tok ayah, siapa yang selalu azan kat masjid tu?” Mulut bertanya, mata dan tangan tetap pada kertas lukisan.

“Kenapa tiba-tiba Fea tanya?”

“Dari hari tu lagi Fea nak tanya, asyik lupa aje.”

“Sedap ke suara orang yang laungkan azan tu?”

“Serius, sedap sangat suara dia, tok ayah.”

“Fea suka suara dia?”

“Suka gila. Siapalah agaknya orang tu?”

“Fea kenal dia,” jawab tok ayah.

“Fea kenal? Siapa?”

“Ini haa... orangnya ada kat sini.”

“Tok ayah janganlah main-main. Takkan Fea tak kenal suara tok ayah kut? Suara tok ayah tak adalah sedap macam tu.” Sangka Sofea, tok ayah bergurau. Kebetulan, tok ayah memang suka bergurau pun.

“Fea kutuk suara tok ayah?” Gelak sudahnya Haji Zain.

Tanpa suara, Jeffry ikut gelak. Lucu juga Sofea ni. Comel pula tu.

“Mana ada kutuk? Suara tok ayah pun sedap juga. Cumanya suara tok ayah sedap sikit, suara orang tu sedap banyak.” Beria-ia Sofea ketawa. Seronok sangat dapat mengenakan tok ayah.

Kali ini Jeffry sudah tidak mampu mengawal suaranya daripada keluar. Kelakar sangat kenyataan Sofea itu. Selamba badak dia saja mengata Haji Zain.

Eh, suara tawa siapa pula tu? Yang pasti, bukan suara tok ayah. Pantas Sofea berpusing ke belakang. Melihat Jeffry, automatik mata Sofea jadi besar. Masa bila pula mamat ni masuk rumah?

Itulah, ralit sangat melukis sampaikan tak sedar kehadiran lelaki itu. Nasib baik dia sentiasa dalam keadaan bertudung dan menutup aurat. Maklumlah, duduk serumah dengan Haikal, kenalah sentiasa bersedia dan berjaga-jaga.

Jadi, Jeffrylah tukang azan yang memiliki suara merdu itu? Menyesal pula dia tanya tok ayah tadi. Menyesal juga puji lebih-lebih. Jangan Jeffry perasan, sudahlah.

“Sekejap ya Jeff, ayah aji nak ke dapur sekejap.”

Sofea sudah keras di situ. Tak tahu nak bereaksi bagaimana.

“Awak lukis apa tu?” sapa Jeffry.

“Adalah! Sibuk aje nak tau.”

“Bagilah saya tengok.”

“Tak boleh!” Kertas lukisan dari atas meja segera diambil lalu dirapatkan ke dada. Tidak mahu Jeffry nampak apa yang sedang dilukis.

“Kenapa tak boleh? Tengok aje kut.”

“Saya tak suka orang tengok lukisan saya. Lebih-lebih lagi orang yang sombong dan mulut tak ada insurans macam awak!”

Tengok tu! Tak habis-habis nak kata dia sombong. Geram pula Jeffry rasa. Tapi, memandangkan dia kini berada di rumah orang, biarlah dia mengalah saja. Tak usah dilayankan sangat tohmahan cucu Haji Zain ni.

“Jeff, jom pergi sana.” Haji Zain yang baru muncul dari dapur  menuding ke satu ruang kosong di sebelah ruang tamu. Ada satu rak empat tingkat yang dipenuhi al-Quran dan juga kitab-kitab. Kalau tidak berada di masjid atau ladang lembu, di situlah selalunya Haji Zain menghabiskan masanya. Berjam-jam menelaah kitab-kitab dan membaca al-Quran.

Sebuah al-Quran dari atas rak, Jeffry capai, juga sebuah rehal. Sambil membetulkan silanya, Jeffry meletakkan al-Quran tersebut di atas rehal betul-betul di hadapannya.

Ikutkan tadi, Sofea mahu terus masuk ke bilik, tetapi hatinya memaksa agar dia terus tunggu di situ. Dia teringin sangat nak dengar Jeffry mengaji. Kalau dah azannya sesedap itu, tentulah bacaan al-Qurannya lebih merdu lagi.

“Baca, Jeff.” Haji Zain mengarah.

Surah Nuh yang Jeffry pilih. Sepertimana merdunya suara Jeffry mengalunkan azan, begitu jugalah ketika dia menyampaikan bacaan al-Quran.

Ternyata bacaan Jeffry itu berjaya mengikat Sofea untuk terus berada di situ. Walaupun sedikit jauh, dia dapat mendengar suara Jeffry dengan jelas.

Masya Allah, sedapnya suara dia. Lebih penting, bacaannya baik dan teratur. Tak sangka lelaki bermulut menyakitkan hati macam Jeffry memiliki suara dan bacaan yang begitu mempesona.

 Baru sahaja Jeffry menamatkan bacaannya, Haji Zain menyeru nama Sofea pula.

“Tok ayah panggil Fea ke?” Sofea yang baru bercadang mahu bangun daripada duduknya, mengalihkan pandangan ke arah tok ayah.

“Ya, sinilah.”

“Kenapa nak kena ke sana pula?” Sofea sudah mula rasa tak sedap hati. Jangan jangan tok ayah nak suruh dia baca Quran. Hisy, tak naklah dia baca kat depan Jeffry!

“Dah lama tok ayah tak dengar Fea mengaji Quran. Entah boleh baca lagi ke tidak tu.”

Ya Allah, tergamak tok ayah cakap macam tu? Kat depan Jeffry pula tu! Memanglah bacaan dia tak bagus sangat, tapi dia masih boleh membaca, okey? Sejak sekolah rendah lagi dia dah khatam Quran.

Tapi itulah, dia dah jarang-jarang baca Quran sekarang. Seminggu sekali pun payah. Nak kata sibuk, tak juga. Kalau program masakan di TV, dia boleh hadap berjam-jam, begitu juga dengan aktiviti memasak, belum lagi masa yang dihabiskan untuk membelek telefon... mustahil dia tak boleh luangkan sedikit masa untuk baca Quran kan?

Sebenarnya, semua bergantung pada diri sendiri. Selalu orang sebut, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Dan dia mengaku kemahuannya dalam membaca al-Quran dan lain-lain amalan, kurang atau tiada. Bila kurang atau tiada kemahuan, sudah tentu dia tidak cuba untuk mencari jalannya.

“Mari sini, biar tok ayah periksa bacaan Fea.”

Kali terakhir Haji Zain mendengar bacaan Sofea adalah sewaktu gadis itu masih di bangku sekolah menengah. Sejak itu, dia tidak pernah mendengarnya lagi. Tapi dia yakin, Sofea masih boleh membaca al-Quran dengan baik.

“Lain kali la tok ayah, Fea nak masuk tidur. Mengantuk dah ni.”

Dan-dan mengantuk! Jeffry tersenyum seraya menggeleng. Tentu gadis itu segan dengan dia.

“Tok ayah tau Fea belum mengantuk lagi tu.”

Bibir Sofea memuncung. Geram dengan tok ayah. Macamlah dah tak ada masa lain. Nak juga suruh dia baca sekarang. Menyesal pula dia tunggu. Kalau tahu, lebih baik dia cepat-cepat masuk bilik tadi.

“Fea dah tak ada wuduk.” Sofea beralasan lagi. Memang taklah dia nak baca kat depan Jeffry. Dahlah bacaan dia tak bagus sangat. Kalaulah suara dia sesedap Jeffry, tak payah tok ayah suruh. Awal-awal lagi dia dah memperdengarkan bacaannya kepada lelaki itu. Biar Jeffry tahu betapa hebatnya dia.

Astaghfirullahaladzim, apa aku mengarut ni? Patutlah Allah tak bagi dia kelebihan seperti Jeffry itu. Belum apa-apa lagi dah nak riak.

“Air banyak kat rumah kita ni, Fea. Pergi ambil wuduk sekejap. Tok ayah tunggu.”

“Kena baca sekarang juga ke tok ayah?”

“Ya, sekaranglah. Takkan nak tunggu raya haji tahun depan pula.”

Gurauan Haji Zain itu segera mengundang tawa Jeffry.

Sofea jegil mata. Sukalah tu, tok ayah perli dia macam tu!

“Cepat, Fea...”

Dengan rasa berat hati, Sofea berdiri. Namun dia tidak terus beredar. Matanya mencari wajah Jeffry terlebih dahulu.

“Awak tu dah habis baca kan?”

“Dah...” Teragak-agak Jeffry menjawab. Tak sangka akan disoal begitu.

“Dah tu, tunggu apa lagi? Baliklah!” Lepas sebut macam tu, buru-buru dia ke bilik air. Kalau dia tunggu di situ, harus kena ceramah dengan tok ayah.

“Kita kena raikan tetamu yang datang. Kena layan dengan baik. Muka kena sentiasa manis. Kalau ada apa-apa makanan kat dapur, hidangkan bagi tetamu makan. Allah suka rumah yang sentiasa didatangi tetamu. Kena ingat, tetamu yang datang itu membawa rahmat ke rumah kita.” Barangkali itulah yang tok ayah akan cakap. Tapi setakat Jeffry, tak payahlah nak layan baik sangat.

“Budak Sofea ni la.” Tok ayah geleng kepala.

“Maafkan Sofea, ya Jeff? Dia memang nakal sikit.”

Jeffry hanya ketawa. Nasib baik depan Haji Zain, kalau tidak, memang dia dah balas. Jangan harap dia nak ikut cakap Sofea. Kalau gadis itu boleh dengar bacaan dia tadi, dia pun teringin juga nak dengar bacaan Sofea.

Tapi dia yakin, cucu Haji Zain haruslah mempunyai suara dan bacaan yang baik juga. Kuah, kalau tidak ke nasi, ke mana lagi tumpahnya? Betul tak?

Lima minit kemudian, Sofea datang. Mengambil sebuah al-Quran dan rehal, dia mengambil tempat di sebelah Haji Zain, setentang dengan Jeffry.

Quran tidak dibuka, sebaliknya Sofea membawa matanya pandang Jeffry lagi. Terus terang, dia memang tak sanggup nak baca kat depan lelaki itu.

“Bacalah Fea...” gesa Haji Zain lembut.

“Fea baca merangkak-rangkak. Lagipun, bacaan Fea tak betul sangat.” Sofea tambah alasan.

"Tak apa kalau merangkak pun, tak ada masalah. Kalau bacaan Fea tak betul, tok ayah atau Jeff boleh tolong betulkan. Benda boleh belajar kan? Nabi ada sebut, sebaik-baik manusia adalah orang yang belajar al-Quran dan orang yang mengajarkannya.Tak kiralah siapa pun kita, Fea... sebagai seorang Islam kita wajib belajar Quran. Biar susah di dunia, jangan susah nak menjawab kat depan Allah nanti. Tok ayah pernah cakap kat Fea dulu, takkan dah lupa?”  

Sikit saja Sofea cakap, tapi tok ayah balas panjang berjela-jela. Macam bagi ceramah pun ada. Tapi apa nak hairan, tok ayah kan selalu dijemput beri ceramah pun.

“Fea tak nak baca depan dia. Fea tak nak dia dengar.” Sofea menjeling masam. Bibir dimuncungkan ke arah Jeffry.

“Biarlah Jeff dengar. Apa salahnya?”

Hisy, mengada-ngadanya tok ayah ni! Tapi kan, Jeffry tu lagilah mengada-ngada. Dah tahu dia tak suka, masih juga nak tunggu kat sini. Eii, bencinya!

Tahu tak surah apa Sofea pilih? Surah al-Kautsar. Sudahlah surahnya pendek, dibaca pula dengan laju dan suara yang sangat perlahan.

“Okey, sudah.” Belum sempat Haji Zain berkata apa-apa lagi, Sofea sudah bangun dan beredar dari situ. Quran dan rehal dibiarkan sahaja, tidak disimpannya semula.

“Tadi cakap baca merangkak-rangkak. Ini bukan merangkak lagi dah, memecut terus ni.”

Omelan Haji Zain itu buat Jeffry ketawa lagi. Memang lucu betul Sofea tu. Tak bolehlah kalau tak ketawa.

Ada Yang Tertinggal - Bab 14

 

K

ELUAR dari kamar tidurnya, Jeffry melangkah ke belakang. Tentu ibu dan Kak Sha sudah menunggu di meja makan. Selalunya dia makan tengah hari di kafe chalet saja, tapi hari ini ibu ajak dia balik makan di rumah. Kata ibu, ada menu istimewa untuk hidangan tengah hari mereka. Entah menu apa, tidak pula dia tahu.

Tinggal beberapa meter saja lagi nak sampai ke ruang makan, automatik kakinya berhenti melangkah. Macam tak percaya dengan apa yang dia nampak. Sofea sedang mengatur pinggan mangkuk di atas meja. Gadis itu sedang berdiri membelakangkan dia.

Pucuk dicita ulam mendatang. Baru tadi dia tertunggu-tunggu kemunculan gadis itu dan kini, si dia sudah pun berada di depan mata. Apa patut dia buat sekarang ya? Nak terus serahkan cincin tu ke? Atau simpan dulu dan serahkan pada masa lain yang lebih sesuai?

“Awak lagi!” Pandai betul Jeffry berlakon. Kononnya dia baru sedar kehadiran Sofea.

Sofea segera menoleh ke arah si pemilik suara. Hanya jelingan yang diberikan. Hari ini, dia malas nak bergaduh. Suka hati Jeffrylah nak cakap apa pun.

“Bila awak sampai?” Jeffry berbasa-basi.

“Dah 15 minit.”

“Mana ibu dengan Kak Sha? Kenapa awak yang buat semua ni?”

“Dia orang solat zuhur. Jadi saya tolonglah sediakan hidangan ni dulu. Tapi kalau tak boleh, tak apalah.” Sofea segera meletakkan senduk yang sedang dia pegang ke dalam mangkuk.

“Hei! Relakslah. Ada saya cakap awak tak boleh buat? Saya tanya aje kan? Dah, sambung kerja awak.”

Dengar Jeffry cakap macam tu, Sofea mencapai sebiji mangkuk tidak jauh dari situ lalu memindahkan ayam masak merah dari dalam mangkuk tingkat yang dibawanya.

“Awak nak ke air sirap selasih ni? Kalau nak, saya tolong tuangkan.” Sambil bertanya, tangan Jeffry mencapai jag dan juga sebiji gelas dari atas dulang. Sirap selasih dituang ke dalam gelas.

“Tak apa, saya belum rasa nak minum lagi. Kalau nak nanti, saya tuang sendiri.” Panjang dan jelas jawapan Sofea.

“Nampak macam sedap nasi minyak tu. Awak bawa ke?”

Sofea angguk.

“Tok ma masak?”

Amboi, suka hati Jeffry panggil tok ma. Setahu dia, semua orang yang seusia dia kat sini memanggil tok ma dengan panggilan mak aji.

“Tak, saya yang masak.”

“Awak masak?” Bulat mata Jeffry.

“Kalau saya masak, kenapa? Apa yang pelik sangat?”

“Tak adalah pelik, cuma saya kagum jugalah. Tak sangka perempuan cengeng, manja, kuat menangis macam awak ni pandai juga memasak.”

Eh, eh... mulut dia ni kan, memang jenis nak cari gaduh. Suka hati dia aje nak cakap orang macam tu. Nasib baiklah kat rumah dia, kalau tidak memang dah lebam mata tu kena tumbuk.

“Saya bukan macam tu la!” bidas Sofea geram.

“Malam kelmarin saya nampak awak menangis atas buaian depan rumah tok ma. Masa awak datang rumah saya tiga hari lepas, mata awak merah. Mesti baru lepas nangis tu. Dekat pantai hari tu pun awak nangis juga kan? Orang cengeng, manja aje suka menangis macam tu. Alah, putus cinta dengan Harris aje kut. Apa yang nak sedih sangat?”

Kerja Sofea lantas terhenti. Lalu dengan muka garang, dia pandang Jeffry. Okey, tang ‘skodeng’ dia menangis tu dia masih boleh terima lagi, tapi apa hal Jeffry nak sebut-sebut nama Harris pula?

“Boleh tak awak jangan sebut lagi nama lelaki tu kat depan saya?”

“Kenapa pulak?”

“Orang cakap jangan sebut, jangan sebutlah!”

“Kalau saya sebut jugak?”

“Saya staple mulut awak!”

“Woi, ganasnya dia!” Berdekah-dekah Jeffry ketawa. Tak boleh dia bayangkan jika perkara itu benar-benar terjadi.

“Tak sangka seorang yang memiliki jiwa yang lemah, cepat mengalah macam ni, boleh tahan ganas juga.”

“Awak cakap pasal siapa ni? Yang memiliki jiwa yang lemah, cepat mengalah tu saya ke?”

“Kenapa awak nak terasa pula? Awak memang macam tu ke?”

Tak mengaku, konon! Macamlah dia tak tahu apa yang berada dalam kepada otak Jeffry itu. Nak menyindir dia la tu!

“Malang betullah nasib Hawa dapat calon suami macam awak ni.”

“Awak cakap apa ni?” Jeffry tidak faham kenapa tiba-tiba Sofea perlu kaitkan nama Hawa pula. Gadis itu langsung tak ada kena-mengena dengan dia.

“Hawa tu kan kekasih awak, bakal isteri awak. Tak salahlah kalau saya cakap awak tu calon suami dia...” Itu yang Sofea rasa berdasarkan perbualan Hawa dan emaknya di depan rumah tok ma tadi. Bukan setakat rasa, tapi dia yakin sekali dengan tanggapannya itu.

“Hah!” Jeffry tunjuk muka terkejut. Memang pun dia terkejut dengan dakwaan itu. Apa benda yang  Si Sofea merepek ni?

“Tak payah nak terkejut sangatlah...”

“Dah awak cakap benda tak masuk akal macam tu, mestilah saya terkejut.” Habis rasa terkejut, Jeffry ketawa pula. Bukan main beria-ia lagi dia ketawa.

“Gelak pulak dia...”

“Yalah, kelakar kut! Saya manalah kenal budak perempuan tu. Yang saya tahu, dia tu adik Haikal. Selebihnya, saya tak minat langsung nak ambil tau.” Masih bersisa tawa Jeffry. Sumpah, kenyataan paling kelakar yang pernah dia dengar sepanjang beberapa bulan tinggal di kampung ini.

“Sekarang ni mungkin tak, akan datang mana tau awak berminat dengan dia pulak?”

“Akan datang pun tak.”

“Jangan yakin sangat.”

“Diri saya, saya taulah! Yang awak beria-ia sangat ni, kenapa?”

Yalah, kenapa dia beria-ia sangat, hah? Jeffry dah cakap tidak tu, tidaklah. Tak perlulah nak panjangkan lagi.

“Saya tak puas hati apa yang awak cakap tu. Pandai-pandai aje awak cakap Hawa tu awek saya.”

“Alah, cakap macam tu pun tak puas hati. Benda kecil aje kut?” Sofea mencebik. Dia cakap saja. Kalau tak betul, abaikan sajalah kata-kata dia tu. Apa yang susah sangat?

“Benda kecil awak cakap? Pada saya itu isu besar, tau? Katalah ada seorang mak cik berkenan kat saya dan nak lamar saya sebagai menantu dia, awak rasa dia nak ke teruskan niat dia tu bila dengar apa yang awak cakap tadi?”

Sofea tidak dapat menahan mulutnya daripada ketawa. Lucu sangat kata-kata Jeffry itu. Perasan pula tu! Memanglah Jeffry ada rupa, tinggi pula tu. Kulit pun putih bersih, tapi siapa pula yang nak lamar dia? Lelaki bermulut macam Jeffry tu, cuma mak cik-mak cik bawang saja kut yang sudi nak jadikan menantu.

“Kenapa awak ketawa?”

“Tak ada apa.” Lantas ketawa Sofea terhenti.

“Awak ketawakan saya?”

“Mana ada?”

“Tak nak mengaku, konon.”

“Dah memang tak betul, nak mengaku buat apa?”

“Sembang pasal apa ni? Bukan main rancak lagi. Suara Jeff sampai kat depan boleh dengar, tau?” Sapaan Nisha yang muncul secara tiba-tiba itu menghentikan terus perbualan teruna dan dara itu.

Lega Kak Nisha datang. Cukuplah setakat ini dia melayan Jeffry, si mulut murai tercabut ekor itu. Baru beberapa kali mereka bertemu, tapi bergaduh mengalahkan pasangan kekasih yang dah sepuluh tahun bercinta.

“Tak ada apalah, Kak Sha. Kita orang cakap benda-benda biasa aje.” Sofea menjawab memandangkan Jeffry sekadar membatukan diri. Segera dia bangkit daripada kerusi.

“Ya ke Jeff? Kak Sha tak percayalah!” Nisha tersengih. Sekejap matanya pandang Sofea, sekejap lagi pandang Jeffry pula. Sempat lagi dia mengenyitkan mata kepada adik bongsunya.

“Nanti makanlah nasi minyak tu, Kak Sha. Kalau tak sedap, minta maaflah.”

“Aik, ajak Kak Sha aje?” Nisha mengusik.

“Semua oranglah.” Tak kuasa dia nak sebut nama Jeffry tu. Tak kuasa juga nak pandang muka lelaki itu.

“Kalau tak cukup, macam mana? Boleh tolong masakkan lagi?” Selamba Jeffry menyoal.

“Hisy, tak malu Jeff ni. Orang dah bagi betis, nak paha pula.” Sofea tak jawab, Nisha pula yang membalas sambil sekali lagi mengenyitkan mata pada Jeffry.

Tak perlu tanya, tengok reaksi Jeffry saja dia sudah tahu yang adiknya itu sukakan Sofea. Selama ini, mana pernah Jeffry melayan perempuan macam tu? Selalunya kalau ada perempuan cuba mendekat, Jeffry akan menjauhkan diri. Contoh macam Hawa tu.

Wah... kalau betul sangkaannya, pasti ibu seronok. Jeffry yang tidak pernah nampak berminat dengan mana-mana perempuan itu, akhirnya membuka pintu hatinya untuk seorang wanita.

“Balik dulu, Kak Sha.”

“Laa... makanlah sekali dengan kita orang.”

“Tak apa, Fea makan kat rumah aje.”

Cadangnya, memang Sofea nak makan sekali dengan Puan Rahayu dan Nisha di situ. Dia dah siap pesan dekat tok ma suruh makan dulu. Tapi memandangkan si Jeffry ini ada sekali dan sempat pula sakitkan hati dia, terus dia batalkan niatnya.

Sambil mencapai telefon dari atas meja, Sofea segera berlalu menuju ke pintu.

“Jeff buat apa kat Sofea, sampai kelam-kabut dia nak balik?”

“Mana ada buat apa-apa!”

“Jeff cuba nak mengurat dia kan?” Beberapa kali Nisha mengangkat keningnya. Sengaja mahu mengusik.

“Mana ada, Kak Sha? Suka hati aje tuduh macam tu.”

“Sesuai la kalau Jeff dengan Sofea tu. Sorang cantik, sorang lagi kacak lawa. Lagipun Jeff memang suka perempuan comel, kecil molek macam Sofea tu, kan?”

“Mengarutlah Kak Sha ni. Buat malu aje kalau Sofea dengar.”

“Betul kan Jeff suka Sofea?”

“Tak betul!”

“Kalau betul pun apa salahnya?”

“Masalahnya benda tu tak betul!”

“Kak Sha tau, Jeff dah jatuh cinta dengan cucu Haji Zain tu kan?” Nisha tukar kenyataan

“Ingat Jeff ni macam Kak Sha ke? Kak Sha tu yalah...” Dia pernah nampak Kak Nisha berbalas-balas mesej dengan seseorang. Kak Nisha juga pernah berbual di telefon dengan suara yang sangat perlahan. Lepas tu, tersenyum-senyum seorang. Apa maknanya kalau dah senyuman pun nampak lain macam? Dia syak Kak Nisha sedang bercinta dengan seseorang, Cumanya dia belum ada bukti kukuh.

“Kenapa dengan Kak Sha?”

“Buat-buat tanya pulak.”

“Mana ada buat-buat tanya? Kak Sha tanya betul-betul ni. Kenapa dengan Kak Sha? Baik Jeff cakap.”

“Kak Sha fikirlah sendiri!”

“Baik Jeff cakap!” Tangan Nisha dah naik menggenggam leher adiknya.

“Tak nak!”

“Cakap cepat, Jeffff!!!”

“Kak Sha nak bunuh Jeff ke apa ni?”

“Cakaaap!!!”

“Hei, apa kecoh-kecoh ni Sha, Jeff? Sorang dah 27, sorang 28, tapi perangai mengalahkan budak umur empat tahun!” Puan Rahayu sudah tercegat di depan meja makan sambil bercekak pinggang.

Terus Nisha melepaskan leher Jeffry.

“Yang Sha cekik Jeff tu, kenapa? Nak jadi pembunuh sangat ke?”

“Ala... kita orang gurau ajelah, ibu.”

“Depan rezeki pun nak bertekak.”

“Kak Sha tu, bu.”

“Kak Sha buat apa?” Puan Rahayu layankan saja aduan anak bongsunya itu.

“Dia cakap Jeff nak mengurat Sofea. Padahal tak ada pun!”

“Alah, itu aje ke bendanya, Jeff? Ibu ingatkan apalah tadi.”

“Ibu, serius kut tuduhan Kak Sha tu. Tak betul tu bu!”

“Kalau betul pun, apa salahnya? Mengurat aje pun. Bukannya menyamun, merompak, mencabul.” Selamba Puan Rahayu membalas.

“Ibuuuu!!!”

Nisha yang mendengar sudah ketawa sambil menaikkan ibu jari kanannya ke atas. Ibu memang sporting.

“Eh, ibu cakap apa?” Puan Rahayu tayang muka bingung. Tangan kanannya dibawa menutup mulut.

Nisha dah ketawa sambil menekan-nekan perut. Lucu dengan respons ibu.

“Tengok tu, macamlah Jeff tak tau taktik ibu.”

Puan Rahayu sekadar senyum. Dah biasa. Dari kecil, macam tulah Jeffry. Kalau bergaduh dengan Nisha, pada dialah Jeffry mengadu. Dia pula akan pura-pura marah atau buat-buat nak pukul Nisha. Saja nak ambil hati Jeffry. Tapi itu dululah. Dah besar panjang macam ni, takkan nak buat macam tu juga.

“Sofea mana?”

“Dah balik, bu,” balas Nisha.

“Bukan tadi dia cakap nak makan dengan kita ke?” Sambil menyoal begitu, Puan Rahayu alih pandangan ke arah Jeffry. Merenung tajam dan lama. Dia dapat rasa, ada sesuatu yang terjadi di ruang makan tadi. Dah tentulah Jeffry ada menyakitkan hati Sofea. Bukan boleh percaya sangat budak Jeffry ni.

“Yang ibu pandang Jeff macam tu, kenapa? Nak tuduh Jeff la tu!”

Tiba-tiba Puan Rahayu ketawa, lama pula tu. Dia hanya berhenti ketawa apabila melihat muka Jeffry yang kelat.

“Malas la nak makan.” Jeffry lantas bangun dari kerusi. Kenapa semua orang asyik ketawakan dia ni? Tadi Sofea, ini ibu dan Kak Sha pula. Eii... sakit pulak hati ni!

“Tak habis-habis nak merajuk. Jeff, awak tu dah 27, bukannya budak kecil lagi.” Nisha menegur.

“Dah tu, asyik gelakkan Jeff je...”

“Betul tak nak makan ni?” tanya Nisha.

“Tak nak!” Sambil menolak kerusi ke dalam, Jeffry terus ke singki membawa gelas bekas sirap selasih tadi.

“Okey, kita makan berdua aje, Sha. Macam sedap aje nasi minyak yang Sofea masak ni. Tengok ayam masak merah dia... mengancam! Rugi kalau tak makan ni.” Sengaja Puan Rahayu menyebut begitu seraya menjeling Jeffry.

“Jeff nak juga nasi minyak tu!” Tinggalkan gelas  dalam singki, Jeffry menerpa ke meja makan. Lalu duduk di kerusi tadi semula.

“Nak banyak, tau.”

“Kalau nak makan banyak, tunggu ibu masak lain. Jeff makanlah puas-puas nanti.”

“Jeff bukan suruh ibu masak, Jeff maksudkan nasi minyak yang ni.”

“Kalau macam tu, kenalah kahwin dengan orang yang masak nasi minyak ni dulu. Nak pulun seperiuk pun boleh.” Selamba Puan Rahayu mengusik sebelum sekali lagi tawa dia dan Nisha bergabung.

Sudahnya, Jeffry ikut ketawa sama.

Ada Yang Tertinggal - Bab 13

 

S

ERAYA mengelap badan Ford Ranger hitamnya dengan tuala kecil, mata Jeffry sesekali terarah ke pintu rumah Hajah Aida. Manalah tahu, kalau-kalau Sofea muncul di situ. Tapi setelah sepuluh minit berlalu, langsung tak nampak kelibat gadis itu.

Sebenarnya bukan dia nak basuh kereta sangat pun. Selama ini pun, mana dia pernah basuh kereta kat rumah. Tapi demi Sofea, dia terpaksa rajinkan diri. Bukanlah ada niat tak baik, cuma dia mahu pulangkan cincin yang gadis itu buang tempoh hari.

Cincin emas macam tu, tidak kurang RM1000 juga harganya. Buang cincin macam buang kain buruk. Tak sayang harta benda sungguhlah si Sofea tu. Atas alasan apa sekalipun Sofea bertindak begitu, pada dia perbuatan itu sangat tidak wajar.

Kalau dah tak sudi simpan, sedekahkan sahaja kepada orang yang memerlukan. Tak pun, pulangkan semula kepada si pemberinya. Tak gitu?

“Amboi Abang Jeff, rajinnya cuci kereta.”

Satu suara tiba-tiba menyapa. Gedik dan manja semacam bunyinya. Tak payah toleh pun Jeffry sudah tahu siapa gerangan pemilik suara itu.

“Nak Hawa tolong ke abang?” Si gadis yang sudah berdiri di hadapannya menayang sengih.

“Eh, eh, tak payah. Dah siap dah pun.” Cepat-cepat Jeffry mencampakkan tuala ke dalam baldi.

“Saya masuk dulu.” Dengan membawa baldi, Jeffry melangkah laju ke arah pintu pagar.

“Abang Jeff, tunggu! Hawa ada benda nak cakap dengan abang ni!” Hawa tarik muka sambil memandang Jeffry yang sudah pun berlalu ke dalam rumah.

“Eii... bencilah Abang Jeff ni! Bukannya nak layan kita pun.”

“Kau jangan gatal sangat boleh tak Hawa? Berbulu aje mata aku ni tengok. Setakat muka kau tu, mana Jeffry nak pandang?”

Hisy, mulut emak ni! Bukannya nak doa yang baik-baik untuk anak sendiri. Dihinanya lagi ada. Saja nak bagi orang patah semangat tau?

“Jeffry tak pandang orang? Tunggulah mak. Orang akan buktikan yang kata-kata mak tu salah.”

“Dalam mimpi ajelah, Hawa.” Puan Kalsom mencebik.

“Maaakk!” Teruknya mulut emak ni. Dahlah tak bagi sokongan, boleh pula diejek anak dia macam tu. Tak patut sungguh!

“Sudah! Aku ajak kau datang sini sebab nak jumpa abang kau. Bukan nak suruh kau menggelenyar dengan Jeffry tu!” Sebaik berkata begitu, tangan Hawa ditarik ke pintu pagar rumah Hajah Aida. Bukan jauh mana pun, beberapa meter sahaja dari situ.

Belum sempat memberi salam, pintu rumah Hajah Aida terbuka. Sofea keluar sambil membimbit mangkuk tingkat.

Puan Kalsom dan Hawa saling berpandangan. Kemudian pandang Sofea.

“Laa... ada tetamu rupanya. Jemput masuk, mak cik.” Ramah Sofea menyapa. Mangkuk tingkat  diletakkan di atas meja taman, lalu dia bersalaman dengan Puan Kalsom dan Hawa.

“Haikal ada?”

“Pak su ada kat dalam. Masuklah.”

“Tak apa, aku tunggu kat luar ni aje.”

“Saya panggil dia ya?” Tanpa menanti jawapan Puan Kalsom, Sofea segera masuk ke rumah semula.

Beberapa minit kemudian, Sofea keluar bersama Haikal dan Hajah Aida.

“Fea pergilah,” arah Hajah Aida apabila Sofea masih tercegat di situ. Jari telunjuknya dihalakan ke arah rumah Puan Rahayu.

Sofea mengangguk seraya mencapai mangkuk tingkat tadi dari atas meja.

“Nak pergi mana?” Hawa lekas-lekas bertanya. Dia nampak arah jari telunjuk Hajah Aida. Dah tentu Hajah Aida menyuruh Sofea menghantar mangkuk tingkat itu ke rumah Jeffry.

“Nak hantar ni sekejap kat rumah Mak Cik Ayu.” Sofea menunjuk mangkuk tingkat di tangannya.

“Eh, bak sini, bagi aku hantar. Aku memang nak jumpa Mak Cik Ayu pun.” Hawa cuba mencapai mangkuk tingkat dari tangan Sofea. Belum sempat dia berbuat begitu, Puan Kalsom menepis tangannya.

“Kau jangan nak tunjuk rajin sangatlah, Hawa. Aku tau sangat niat kau tu. Nak jumpa Mak Cik Ayu, konon. Kau sebenarnya nak jumpa Jeffry, kan? Hisy, tak habis-habis dengan Jeffry! Tak faham betul aku dengan kau ni.”

Hawa tarik muncung. Mak ni saja nak malukan dia di depan Sofea. Abang Haikal dan Hajah Aida memang dah selalu dengar dia kena petir dengan emak, ini Sofea pula.

Sofea segera meminta diri lalu mengatur langkah ke arah pintu pagar.

Dengan rasa tak puas hati, Hawa mengekori setiap langkah Sofea dengan pandangan matanya. Bukan Sofea yang sepatutnya menghantar mangkuk tingkat itu, tapi dia. Calon menantu Puan Rahayu ni. Emak la punya pasal. Geramnya!

“Masuk bersembang kat dalamlah, Som. Boleh makan nasi minyak sekali. Sofea yang masak tadi,” pelawa Hajah Aida.

Akur, Puan Kalsom dan Hawa bergerak masuk ke rumah. Lalu duduk di atas sofa di ruang tamu. Haikal juga.

“Bila cucu Kak Aida tu balik sini?” tanya Puan Kalsom.

“Dah dekat seminggu dah.”

“Kenapa dia datang?”

“Kenapa Som tanya macam tu? Ini kan rumah nenek dan atuk dia. Takkan nak datang pun kena ada sebab.” Hajah Aida ketawa perlahan. Macam-macamlah Kalsom ni.

“Kak Aida masuk dulu ya? Som bersembanglah dengan Kal.”

Hajah Aida tahu, kalau Puan Kalsom datang ke mari, adalah perkara yang wanita itu tak puas hati dengan Haikal. Kali ini entah sebab apa lagilah agaknya. Kadang-kadang dia kasihan juga dengan Haikal tu.

Dia tahu, Haikal banyak makan hati dengan emaknya. Tapi Haikal tu memang anak yang baik. Apa saja yang Puan Kalsom lakukan, menantunya itu tak pernah ambil hati. Apa lagi nak memburuk-burukkan emaknya.

“Ada apa mak datang sini?” Lembut Haikal bertanya.

“Salah ke aku datang?” Keras nada suara Puan Kalsom.

“Eh, mana ada? Kal tanya aje. Mana tau kalau mak ada apa-apa masalah nak beritahu Kal?”

“Pandai pun kau! Aku memang ada masalah.”

“Masalah apa, mak?” Cepat Haikal bertanya.

“Kau la masalah aku!” sahut Puan Kalsom geram.

“Kal?” Sambil ketawa, Haikal menggeleng. Tak faham kenapa emak berkata begitu.

“Kal buat apa mak?”

“Aku tak suka kau tinggal kat sini. Aku nak kau balik tinggal kat rumah kita.”

Haikal mengeluh. Tak sangka emak akan mengungkit hal itu lagi. Dia sangkakan, bila dia sudah bagi sebab dan alasan, emak akan faham. Rupa-rupanya emak tetap emak, tak pernah cuba nak faham dia.

“Mak, kalau Abang Kal balik, dia nak guna bilik mana? Rumah kita tu ada empat bilik aje kan? Mak dengan ayah dah satu bilik. Bilik tengah, Kak Lina dengan Abang Sham. Bilik lagi satu, Haziq. Lagi satu bilik, orang kongsi dengan Husna.”

“Kau dengan Husna boleh pindah bilik sebelah dapur tu.”

“Mak, itu kan bilik stor. Kecik gila kut bilik tu! Muat-muat katil orang aje. Habis katil Husna, almari pakaian, rak, nak letak kat mana?” Besar mata Hawa. Emak ni mengarut sungguhlah. Dah elok-elok Abang Haikal tinggal kat sini, sibuk nak ajak balik ke rumah.

“Yang mak nak sangat Abang Kal balik tu, kenapa? Biarlah Abang Kal tinggal sini. Nanti siapa nak jaga Maryam kalau Abang Kal pergi kerja? Mak tu bukannya suka budak walaupun budak tu cucu mak sendiri.”

“Kurang ajar kau kan? Berani kau cakap macam tu dengan aku?” Bulat mata Puan Kalsom mencerlung ke arah Hawa.

“Memang betul apa orang cakap. Qisya sorang kat rumah tu pun mak dah tak boleh tahan, nak tambah dengan Maryam pulak?”

“Qisya tu kuat melalak! Sebab tu aku marah. Yang Kak Lina pulak biarkan aje, bukannya reti nak pujuk. Samalah dengan Abang Sham kau tu!”

“Elok-elok Kak Lina tinggal kat rumah mertua dia, mak paksa dia orang pindah rumah kita. Peliklah mak ni. Abang Kal, dengar cakap orang ni. Tak payah balik. Dah elok dah Abang Kal tinggal kat sini. Maryam pun dah selesa dengan tok ma dan tok ayah dia. Dia orang jaga dia pun elok. Kalau mak yang jaga, silap-silap kena dera budak Maryam tu. Percayalah cakap orang, bang.”

“Eh, jahat betul mulut kau ni kan?” Puan Kalsom bingkas bangun daripada kerusi lantas menerpa dan mencubit pipi Hawa.

“Sakitlah mak!”

“Hasutlah lagi Abang Haikal kau tu!”

“Orang cakap benda betul. Mak nak ke jaga Maryam tu?”

“Siapa cakap aku yang jaga Maryam?”

“Habis, siapa nak jaga?”

“Kau la!”

“Hisy! Tak ada maknanya. Tak naklah jadi pengasuh macam tu.” Hawa mencebik.

Haikal sekadar memerhati perang mulut di antara emak dan adiknya itu. Dia tak hairan pun. Dari dulu lagi dia dah hadap benda ni. Dah lali. Adiknya itu pula memang jenis kuat melawan dan memberontak. Mujurlah anak-anak emak yang lain tak macam tu.

Selalu juga dia menegur dan menasihati Hawa supaya tidak berkasar dan kurang ajar dengan emak, tapi nasihatnya ibarat mencurah air ke daun keladi. Tetap begitu juga sikap Hawa. Yalah, teruk macam mana pun, emak yang melahirkan dan membesarkan kita di dunia ini. Emak yang wajib kita sanjungi dan hormati.

 “Kal minta maaf mak, Kal tak boleh balik. Apa pula kata mama dan ayah nanti? Kecik hati dia orang. Lagipun, mak sendiri cakap mak tak boleh jaga Maryam kan? Biarlah Kal dengan Maryam kat sini aje.”

Puan Kalsom mendengus. Memang dia dah boleh agak jawapan Haikal itu. Sikit-sikit nak sebelahkan Hajah Aida dan Haji Zain tu. Sakit pula hati dia. Haikal lebih pentingkan orang lain daripada emaknya sendiri.

“Kecil hati mertua aje yang kau fikir, kecil hati aku ni, kau tak kisah pun kan? Aku ni emak kau, Haikal! Dia orang tu mertua aje. Siapa lebih penting?”

“Kal tak ada niat pun nak kecilkan hati mak, belakangkan mak. Keputusan Kal ni untuk kebaikan keluarga kita juga. Kalau Kal balik, tentu menyusahkan Hawa dan Husna. Tak pasal-pasal dia orang kena pindah ke bilik stor. Kesian dia orang mak.”

“Orang setuju.”

“Kau diam, Hawa!” bidas Puan Kalsom.

Dah nama pun Hawa. Bukan dia peduli pun sergahan emaknya tu. Selagi dia tak puas hati, selagi itu dia akan bercakap.

“Orang nak tau jugak, kenapa mak beria-ia sangat suruh Abang Kal pindah ke rumah kita tu? Abang Kal selalu aje balik jenguk kita. Bagi duit kat mak, bagi kat kita orang, bagi makanan lagi. Apa masalah mak sebenarnya ni?”

Puan Kalsom tidak segera memberikan jawapan. Dia memanjangkan lehernya ke arah dapur. Tidak mahu kata-katanya nanti didengari Hajah Aida.

“Masalahnya, aku tak nak duit abang kau ni masuk poket mertua dia! Faham? Dia orang tu mertua aje. Yang bersusah payah membesarkan abang kau ni aku, tau? Jadi, aku aje yang layak dapat duit dari abang kau ni!”

Astaghfirullahaladzim. Dalam hati, Haikal beristighfar panjang. Emak dari dulu tak pernah berubah. Taasub sangat dengan wang ringgit. Ingatkan semakin tua, semakin berubah ke arah kebaikan, sebaliknya semakin menjadi-jadi pula.

“Mak ni mata duitan betul!” tuduh Hawa.

“Hawa, tak baik cakap mak macam tu,” tegur Haikal.

Hawa menjuihkan bibir. Mengada-ngada betul Abang Haikal ni. Orang nak tolong dia, dia tempelak kita balik.

“Untuk pengetahuan mak, mama dan ayah langsung tak ambil duit Kal. Memang Kal ada bagi dia orang setiap bulan. Tapi semuanya dia orang masukkan ke dalam akaun Maryam. Dia orang tak nak pun duit Kal sebab dia orang sendiri dah ada duit. Lagipun mama dan ayah selalu cakap, umur macam dia orang, duit bukan lagi jadi keutamaan.”

Sebenarnya banyak lagi yang Haikal nak sebut, tapi rasanya tak perlu. Takut emak fikir dia mahu mengajar pula.

Terjuih bibir Puan Kalsom. Meluat pula dengan kata-kata Haikal itu. Nak menyindir dia la tu!

“Kalau dia orang tak nak duit tu, apa susah? Kau bagi akulah!”

“Eh, eh, mak ni. Tak cukup ke RM500 yang Abang Kal bagi setiap bulan tu mak? Ayah lagi bagi. Kak Lina dengan Haziq pun tak pernah tak bagi mak duit. Tu kedai runcit mak tu, berlambak duit masuk setiap bulan. Mak nak buat apa duit banyak sangat? Bukannya boleh bawa mati pun. Hisy, tak fahamlah orang dengan mak ni!”

“Kau nak mengajar aku?” Puan Kalsom jegil mata.

“Orang cakap benda betul. Banyak mana pun duit mak, nanti bila mak mati, semuanya kena tinggal. Lepas tu nanti, anak-anak mak pulak yang bergaduh rebutkan duit tu.”

“Makin menjadi-jadi mulut kau ni, kan? Sebelum aku hilang sabar, jom kita balik!” Puan Kalsom lantas bangun dari sofa sambil menarik tangan Hawa.

“Kal, jangan lupa duit aku!”

“Abang Kal, jangan layan mak tu!”

“Diamlah kau! Mari balik cepat!” Kali ini lengan Hawa pula ditariknya terus ke muka pintu. Semakin lama dia di sini, semakin melampau pula mulut Hawa tu. Asyik nak menghasut Haikal saja dari tadi. Silap-silap, Haikal boleh terpengaruh pula.

“Mak, orang nak makan nasi minyak dulu. Mak aji ada ajak tadi, kan?” Ketika itu mereka sudah pun sampai ke kereta.

“Tak payah! Aku boleh masakkan.”

“Macamlah mak tu rajin sangat masak.”

“Eh, budak ni!”

“Mak, nak nasi minyak!”

“Masuk, Siti Hawa!” Sebaik pintu sebelah penumpang dibuka, Puan Kalsom menolak tubuh Hawa masuk lalu menutup pintu semula. Kemudian dia bergegas ke sebelah pemandu pula.

“Mak, Kal nak salam.” Haikal datang sambil menghulurkan kedua-dua belah tangannya.

Pintu tidak jadi dibuka. Puan Kalsom turut menghulurkan tangannya.

Haikal menunduk lalu mencium tangan Puan Kalsom.

“Jangan lupa apa yang aku cakap tadi.” Sempat lagi Puan Kalsom berpesan.

“Tengok dulu mak, Kal tak janji.”

“Haikaall!!

Ada Yang Tertinggal - Bab 12

 

“J

EMPUT minum, bang.” Secawan teh O diletakkan di atas meja di hadapan Haji Zain. Di tengah-tengah meja sudah tersedia sepinggan cucur jagung yang masih panas.

“Kal, mari minum.” Hajah Aida menjengahkan kepalanya ke arah ruang tamu di mana Haikal sedang melayan Maryam bermain.

Sambil mendukung Maryam, Haikal menyertai mereka di meja makan.

“Maryam, tolong bawa bersabar, boleh tak?” Cubaan Maryam untuk mencapai cucur di dalam pinggan tidak berjaya apabila badannya Haikal sempat tarik dan peluk.

“Maryam ni pantang nampak makanan, laju aje dia.” Tergelak Haji Zain dengan telatah si cucu.

“Maryam makan buah ni ya?” Dalam ketawa, Hajah Aida meletakkan semangkuk kecil buah naga yang sudah dipotong-potong kecil di hadapan Maryam dan papanya. Laju saja si kecil itu mencapainya.

“Fea mana ma?” tanya Haikal.

“Ada dalam bilik,” balas Hajah Aida pendek.

“Asyik terperap dalam bilik aje Fea tu. Kalau keluar pun, sekejap-sekejap. Lepas tu abang perasan, dia suka sangat termenung. Ada masalah ke dia, Da?”

“Masalah orang muda, bang.”

Faham sangat Haji Zain dengan balasan isterinya itu. Mungkin cucunya itu tengah patah hati, sakit hati, menjeruk hati atau apa-apa sahaja masalah berkaitan hati.

“Cinta tak kesampaian, bang.”

Tanpa menyampuk, Haikal sekadar menjadi pendengar. Baru dia tahu kenapa Sofea tiba-tiba balik ke sini.

“Aida pergi tengok dia sekejap ya?”

“Yalah. Kalau boleh, jangan dibiarkan sangat dia melayan rasa kecewa tu. Jangan biar dia sorang-sorang. Bukan apa, bila emosi tengah tak stabil, perasaan tertekan, masa inilah jin dan syaitan cuba ambil peluang. Itu yang abang risaukan.”

“Yalah, bang. Nanti Aida cuba cakap dengan dia.”


KETIKA menerima panggilan daripada Fiza, Sofea sedang berbaring di atas katil. Telefon yang berada di sisi diambil lalu dilekapkan ke telinga.

“Za, rindunya aku dekat kau!”

“Rindu aku konon, tapi langsung tak telefon aku. Sedih aku, tau tak?”

“Tak baik kau tuduh aku macam tu. Banyak kali aku telefon kau. Ada kau jawab? Tak ada kan? Ini dah berapa hari baru nak telefon aku balik. Aku lagi sedih, tau? Dah la aku tak ada kawan kat sini. Ada kawan baik kat KL pun lupa aku.” Sofea sengaja buat-buat sedih.

“Weh, telefon aku ada masalah. Ini baru okey balik.”

“Betul ke ni?”

“Betul la.”

“Okeylah, aku percaya. Macam mana ofis sekarang?”

“Sejak kau tak ada, nak pergi ofis pun tak ada nafsu, tau?”

“Alaa, sedihnya. Pak we aku macam mana? Dia okey ke?”

“Encik Ikmal ke?”

“Dialah! Siapa lagi pak we aku kat ofis tu.”

“Okey kut. Ni, Encik Ikmal kebetulan ada kat tempat aku ni. Kau nak cakap dengan dia ke?”

“Boleh juga.”

“Hai Sofea.” Suara Encik Ikmal menerpa ke telinga Sofea.

“Hai Encik Ikmal!”

“Macam mana awak kat sana? Okey tak?”

“Badan aje kat sini, hati saya kat KL. Saya rindu semua orang kat sana.” Sofea bercakap benar. Saat ini, dia sangat rindukan mummy, daddy dan Irfan serta kawan-kawan di ofis. Selama ini, mana dia pernah berpisah lama-lama dengan mereka.

“Kalau macam tu baliklah ke sini. Datang kerja dengan saya semula.”

Sofea hanya ketawa. Dia tahu Encik Ikmal hanya bergurau.

“Eh, saya nak beritahu awak ni, semalam Harris ada datang sini cari awak.”

“Hah, betul ke Encik Ikmal? Macam mana keadaan dia? Dia okey ke?” Sofea pun tak faham kenapa dia bertanya begitu. Sepatutnya dia tak perlu ambil kisah langsung tentang Harris. Lantaklah apa nak jadi dengan lelaki itu, bukan urusan dia pun.

“Ambil berat juga awak ya? Masih sayang dia ke?” Encik Ikmal mengusik.

“Alah, tanya aje. Tak ada maknanya saya nak ambil berat pasal dia lagi, nak sayang dia lagi...”

“Nampak dari luaran, macam okey. Cuma kaki dia belum sembuh sepenuhnya. Dia bertongkat.”

“Oh!” Hanya itu yang keluar daripada mulut Sofea.

“Dia tanya saya awak kat mana sekarang. Dia tanya alamat rumah mak ayah awak sekali.”

“Encik Ikmal beritahu ke?” Dengan nada risau, Sofea menyoal. Manalah tahu, kalau-kalau Encik Ikmal jadi terlebih peramah lalu memberikan maklumat yang Harris minta.

“Takkan saya nak beritahu dia pulak. Kan awak dah cakap tak nak jumpa dia lagi.”

“Memang betul, saya dah tak nak jumpa dia lagi sampai bila-bila. Saya anggap dia dah mati, Encik Ikmal.”

“Tapi bila  tengok dia semalam, saya rasa kesian pula, Sofea. Saya dapat rasa dia betul-betul sayang awak.”

Sofea memilih diam. Tak penting pun kenyataan Encik Ikmal tu. Apa guna sayang kalau Harris sanggup membohongi dia?

“Pada saya kan Sofea, setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Mungkin Allah nak bagi jodoh yang lebih baik untuk awak.”

Mummy dan tok ma pun cakap benda yang hampir sama. Kata-kata itu kan ibarat doa dan dia percaya, mereka semua sedang mendoakan dia. Mudah-mudahan, Allah makbulkan dan menghadirkan seorang lelaki yang benar-benar setia dan mencintai dia kerana-Nya.

Baru sebentar perbualan dengan Encik Ikmal dan Fiza tamat, pintu biliknya diketuk dari luar. Wajah tok ma tersembul di sebalik daun pintu.

Sambil duduk bersila, Sofea memintal-mintal rambutnya yang panjang hingga ke pinggang lalu dibuat sanggul. Sambil itu dia memandang tok ma yang sudah pun melabuh duduk di birai katil.

“Maryam belum balik, tok ma?” Selepas zuhur tadi, Maryam mengikut Haikal keluar. Ke kedai emak Haikal katanya.

“Dah lama dah dia balik. Ada kat dapur dengan pak su, tok ayah. Fea buat apa berkurung dalam bilik ni dari tadi?”

“Tak buat apa-apa.”

“Fea tak seronok ke tinggal kat rumah tok ma?”

“Eh, taklah. Fea okey aje tinggal kat sini.”

“Kalau betul okey, kenapa asyik termenung aje? Muka tu pun sedih aje memanjang.”

Daripada wajah tok ma, Sofea mengalihkan pandangan ke arah luar jendela. Tak rasa nak jawab pun soalan itu. Sebabnya, jawapannya sudah ada pada tok ma.

“Masih tak boleh lupa Harris?” Hajah Aida percaya, lelaki yang bernama Harris itulah yang menjadi punca Sofea bersikap sedemikian.

Sofea menghela nafas panjang, kemudian hembus perlahan-lahan.

“Susah sangat nak lupa dia, tok ma. Tak tahu nak buat macam mana lagi.” Dia fikir dengan membuang cincin pemberian Harris, dia dapat melupakan lelaki itu dengan mudah, tapi dia silap. Lelaki itu tetap datang mengganggu hati dan mindanya.

“Senang aje nak lupa dia.” Tenang Hajah Aida membalas.

Sofea bawa matanya pandang wajah Hajah Aida semula.

“Elakkan diri dari duduk sorang-sorang macam ni. Jangan bagi ruang langsung pada diri Fea untuk fikir pasal dia.” Lembut tutur bicara Hajah Aida sambil memegang tangan cucunya.

“Putus cinta bukan pengakhiran segala-galanya, Fea. Fea masih muda. Perjalanan hidup Fea masih panjang lagi, masih banyak yang Fea perlu tempuh. Janganlah kerana kecewa dengan seorang lelaki, Fea jadi lemah dan cepat putus asa.”

Bicara tok ma itu mengundang satu rasa di jiwa Sofea. Rasa kesal sebenarnya. Kesal kerana membenarkan perasaan menguasai fikiran. Tapi bukannya dia tak cuba. Dia sudah buat sehabis daya untuk melupakan Harris. Memang dia berjaya, tapi malangnya untuk sementara waktu saja. Bila bersama tok ma, tok ayah, Maryam, memang dia tak ingat lelaki itu langsung. Tapi bila bersendirian, dan-dan kenangan bersama lelaki itu kembali mengganggu ingatan.

 “Tak taulah kenapa susah sangat nak lupa dia, tok ma. Susah sangat!”

“Sebab tu tok ma cakap, jangan suka duduk sorang-sorang. Bila sorang-sorang ni, memang banyaklah peluang Fea fikir pasal dia. Masa nilah syaitan main peranan. Supaya kita jadi lalai dan buat perkara sia-sia. Sebab itulah kita kena banyakkan berzikir, selawat, baca Quran dan buat benda-benda yang berfaedah.”

Perlahan-lahan Sofea mengangguk. Insya-Allah, dia akan cuba praktikkan apa yang tok ma nasihatkan. Semoga dia berjaya menghalau lelaki itu keluar daripada hidupnya. Cukuplah Harris sekadar melukakan hatinya. Dia takkan izinkan lelaki itu merosakkan kehidupannya pula.

“Banyakkan berdoa juga, Fea. Mengadu dan minta tolong dari Allah supaya Fea boleh lupakan dia. Hati kita ni, Allah yang pegang. Dia juga yang bolak-balikkan hati kita. Tok ma percaya, Allah akan makbulkan doa Fea dan buat hati Fea cepat lupakan Harris.”

“Yalah, tok ma.” Memang dia selalu berdoa, tapi mungkin sebelum ini doanya tidak bersungguh. Insya-Allah dia akan berdoa dengan lebih bersungguh dan khusyuk selepas ini. Berkat doanya, mudah-mudahan dia akan berjaya menyingkirkan Harris keluar dari hatinya seterusnya dapat melupakan lelaki itu.

“Lagi satu, Fea kena ada ramai kawan. Bila ramai kawan, Fea tak akan ada masa langsung untuk ingat benda-benda tak berfaedah macam tu.”

“Fea nak berkawan dengan siapa, tok ma? Fea bukan kenal sangat pun orang-orang kat sini.”

“Mula-mula memanglah tak kenal orang lagi, lama-lama nanti ramailah kawan Fea.”

Entah siapalah agaknya kawan yang tok ma maksudkan. Sebabnya, di kampung ni dia jarang jumpa orang-orang muda yang sebaya dia. Kebanyakan yang dia jumpa, semuanya sudah agak berumur.

Kalau ada yang muda sikit pun, Kak Nisha dan Siti Hawa ajelah. Kak Nisha memang dah jadi kawan dia pun dan dia percaya mereka akan jadi lebih rapat selepas ini. Tapi dengan Hawa, nampak macam mustahil untuk mereka jadi kawan.

Sejak pertama kali jumpa lagi dia dah dapat rasa yang dia tidak boleh ngam dengan gadis itu. Hawa itu sebenarnya adik Haikal tetapi perangai mereka sangat jauh berbeza. Langsung tak nampak macam adik-beradik.

“J...” Seperti tempoh hari, hanya huruf J itu saja yang tok ma sebut, kemudian tok ma diam.

“J? Jiran baru?” Kalau betul jiran baru seperti yang tok ma cakap tempoh hari, memang dia sudah berbaik-baik pun dengan Puan Rahayu dan Kak Nisha.

Tok ma geleng. Siap mencemik lagi.

Eh, eh, tok ma ni... hari tu dia jugak yang cakap J itu singkatan bagi ‘jiran’ baru. Ini tak mengaku pula. Apalah!

“J... Jeffry?” Sebuah nama yang tiba-tiba terlintas di kepala meluncur laju daripada mulut Sofea. Tak syak lagi! Jeffrylah ‘J’ yang tok ma maksudkan. Sekarang barulah dia faham. Dalam diam, rupa-rupanya tok ma ada hasrat mahu merapatkan dia dengan Jeffry Asyraf, anak bujang Puan Rahayu itu.

Laju-laju tok ma mengangguk. Senyuman melebar di bibirnya.

“Betul la tu. Tok ma rasa, Fea boleh berkawan dengan Jeffry tu.”

“Jangan harap Fea nak berkawan dengan dia. Tak sukalah dia tu!” Sofea merungut.

“Kenapa pula tak suka? Dia baiklah. Tok ayah pun suka dia.”

“Kalau tok ayah suka, biar tok ayah ajelah berkawan dengan dia.”

“Mula-mula aje tak suka, lama-lama nanti sukalah tu...”

Hisy, tok ma ni! Dia pula lebih tahu diri kita.

Ada Yang Tertinggal - Bab 11


L

AUT dan langit yang membiru tidak pernah gagal memberinya rasa tenang dan tenteram. Tapi tidak untuk kali ini. Sepuluh minit dia di situ, makin berserabut pula rasanya. Macam mana nak rasa tenteram, nak tenang, kalau dalam diri dipenuhi rasa marah dan sakit hati?

Sambil berdiri di atas batu, matanya hanya tertala pada cincin di tangan. Cincin yang pernah buat dia mengalirkan air mata bahagia. Cincin sama yang bikin hatinya retak seribu. Yang pasti, cincin itu tidak akan pernah tersarung di jarinya sampai bila-bila.

Entah sampai bila agaknya dia harus membiarkan Harris mengganggu tenang hidupnya. Bukan tak pernah cuba melupakan, tapi sukar sungguh. Banyak sangat memori mereka berdua. Semuanya manis dan indah. Lalu bagaimana dia boleh membuang lelaki itu dari hati dan mindanya dengan mudah?

Harris pernah menjadi sebahagian daripada hidupnya, lalu apabila bahagian itu tiba-tiba tiada, tentulah dia perlukan masa untuk kembali kepada kehidupan asalnya.

Tanpa sedar, air matanya meleleh lagi ke pipi. Betul, dia sudah berjanji untuk tidak menangis lagi. Apakan daya, dia cuma insan biasa yang punya hati dan perasaan seperti orang lain juga. Kini hati itu masih sakit hasil penipuan Harris. Dan kesan kesakitan itu, hari ini dia menangis lagi. Dia membuang air matanya lagi.

Mungkin di depan semua orang dia boleh berpura-pura bahagia dan gembira. Tapi bila bersendirian, dia adalah Sofea Hana yang sedang terluka dan berduka. Kejam betul perbuatan Harris itu. Bukan terhadap dia sahaja, tetapi terhadap isteri dan anaknya juga.

“Harris penipu, pembohong, Harris syaitan  bertopengkan manusia!!! Pergi kau jauh-jauh dari hidup aku, mangkuk ayun! Kau tak layak untuk aku! Kau tak layak langsung, kau tau tak!” Sofea menjerit sekuat hatinya lalu dengan segenap tenaga, cincin yang berada dalam genggaman dibaling ke arah lautan yang membiru. Biar tenggelam terus ke dasar lautan. Kalau boleh, tenggelamkan sekali cinta Harris yang penuh kepura-puraan itu.

“Hoi! Apa hal jerit-jerit ni? Tak boleh tengok orang senang!” Tiba-tiba satu suara menerjah di pendengaran dari arah hadapan. Lelaki yang sedang berbaring di atas batu itu segera bangun lalu berjalan ke arah Sofea. Tapi sebelum itu, dia sempat mengutip sesuatu di situ.

Alamak, ada oranglah! Sofea dah menggelabah. Tangannya cepat-cepat dibawa mengesat muka yang basah. Jangan sampai orang itu nampak dia menangis.

Kalaulah dia tahu ada orang lain, tak adalah dia datang ke situ dan memekik sekuat hati macam tu. Sungguh, dia tak nampak langsung kewujudan lelaki itu. Mungkin sebab berbaring kut. Kebetulan pula, pakaiannya hampir sama warna dengan batu.

Lelaki yang agak tinggi dan berkulit cerah itu berkaca mata hitam, memakai kemeja-T berwarna putih, berjaket serta seluar berwarna kelabu gelap. Kacak dan bergaya orangnya.

Laa... si sombong ni ke? Itu yang terdetik di hati Sofea saat lelaki itu datang mendekat. Dia masih tidak lupa wajah lelaki itu. Malah, namanya juga dia masih ingat. Jeffry.

“Awak rupanya!” Jeffry menyapa sinis. Wajah gadis kecil molek berkulit kuning langsat, bertudung bawal putih, berblaus labuh warna merah hati dan berseluar putih itu menjadi tatapan matanya. Walaupun baru sekali bertemu dan dalam tempoh yang sangat singkat, dia masih ingat cucu jiran depan rumahnya itu.

Sofea tidak bereaksi. Dia hanya memandang Jeffry yang berjarak sedepa darinya itu.

“Yang awak terpekik terlolong macam orang kena sampuk tu, dah kenapa? Ini kan tempat awam. Perbuatan awak tu boleh mengganggu orang lain, awak sedar tak?”

“Mana ada orang lain kat sini?”

“Saya bukan orang?”

“Mana saya tau awak ada kat sini!”

“Sebab tu, kalau nak buat apa-apa, kena siasat dulu... kena perhati betul-betul, ada orang lain ke tidak.”

“Tak ada masa saya nak perhati.”

“Menjerit tak tentu pasal.” Jeffry merungut.

“Siapa cakap tak tentu pasal? Adalah pasalnya, sebab tu saya menjerit.”

“Pasal apa?”

“Kenapa pula saya nak kena beritahu awak?”

“Eleh... macamlah saya tak tau. Awak menjerit sebab kecewa dengan lelaki kan?”

“Sibuk aje. Bukan masalah awaklah!”

“Kalau awak nak tau, benda tu dah jadi masalah saya sekarang. Awak jerit tadi kuat, tau? Gegendang telinga saya sampai bergegar la. Kalau apa-apa jadi kat telinga saya, awak kena bertanggungjawab.”

Darah Sofea terasa menggelegak tiba-tiba. Mata yang mengecil dibuka besar-besar. Anak teruna Puan Rahayu ni memang melampau! Sesuka hati dia cakap macam tu. Betul-betul bikin dia naik angin.

“Hei, awak mengarut apa ni? Kalau jadi apa-apa kat telinga awak, itu tanggungjawab awak sendiri, apasal saya pulak? Dah telinga awak tu telinga cap ayam, nasib la!”

Amboi, cantiknya bahasa cucu Haji Zain ni.

“Eh, tak kiralah telinga cap ayam ke, apa ke, kalau dah jerit mengalahkan Tarzan tercekik dodol macam tu, siapa pun boleh jadi pekak, tau tak?”

“Eleh, setakat jerit macam tu, nak pekak apanya?”

“Hei, kuat tau awak jerit tadi! Saya boleh dengar sebiji-sebiji apa yang awak sebut. Harris penipu, pembohong, Harris syaitan  bertopengkan manusia!!! Pergi kau jauh-jauh dari hidup aku, mangkuk ayun! Kau tak layak untuk aku! Kau tak layak langsung, kau tau tak!”  Betul kan awak sebut macam tu tadi?”  

Berubah terus air muka Sofea. Tak sangka Jeffry boleh dengar dengan jelas. Siap boleh ajuk ayat dia seketul seketul. Adoi, tak pasal-pasal Jeffry tahu tentang Harris. Habislah kalau Jeffry cerita pada orang lain.

“Malang betullah nasib mamat yang bernama Harris tu. Tak pasal-pasal dapat mangkuk ayun sebiji. Kalau dapat semangkuk tom yam, tak apalah juga.”

Sofea rasa lucu pula bila Jeffry sebut macam tu. Tapi dia tidak akan sesekali ketawa.

Setakat kena tinggal dengan kekasih, apalah sangat...”

“Siapa cakap dia tinggalkan saya? Saya yang tinggalkan dia!”

Jeffry ketawa, tapi nadanya sinis. Nampak sangat ketawa menyindir.

“Awak yang tinggalkan dia, dah kenapa awak berkelakuan macam orang tak siuman macam ni? Agaknya kalau dia yang tinggalkan awak, macam mana pula agaknya aksi awak ya?”

Besar mata Sofea mencerlung Jeffry. Melampaunya mulut mamat ni. Tak siuman dipanggilnya aku?

“Setakat hilang kekasih, apalah yang nak kecoh sangat? Sekurang-kurangnya awak masih ada keluarga, ada tempat tinggal, boleh makan, boleh minum. Tolonglah belajar bersyukur sikit.”

“Habis dah awak bercakap?” Sambil berpeluk tubuh, pandangan Sofea menikam ke wajah Jeffry.

“Eh, ada lagi,” sambut Jeffry.

“Cuba tengok orang kat luar sana yang tak ada tempat tinggal, makan minum pun harapkan belas ihsan orang. Kalau sakit atau demam, dia orang biarkan aje sakit tu sembuh sendiri. Sebab apa? Sebab dia orang tak ada duit nak pergi klinik atau hospital. Tapi tak ada pula dia orang datang ke pantai ni, menjerit-menjerit macam awak tu.”

Semakin sakit pula hati Sofea. Perlukah membandingkan dia dengan orang lain? Masalah mereka tak sama, kehidupan mereka juga berbeza. Sangatlah tidak adil untuk Jeffry berkata begitu.

“Lantak dia oranglah! Tak payahlah awak sibuk nak cerita kat saya. Bukannya ada kena-mengena dengan saya pun.”

“Saya ni tengah nasihatkan awak tau? Tak payahlah nak melenting.”

Nak bagi nasihat konon! Bahasa bukan main ‘cantik’ lagi.

“Lagi satu, awak juga yang sebut Harris tu penipu, pembohong, syaitan bertopengkan manusia. Sepatutnya, awak bersyukur sebab terlepas dari lelaki perangai macam tu. Yang nak menangis, meraung tu, dah kenapa? Tak fahamlah.”

“Eh, saya kenal awak pun tidak, tiba-tiba nak menyibuk pasal saya ni, apa hal?”

“Apa pulak tak kenal? Awak kan yang datang rumah saya kelmarin? Awak cucu Hajah Aida dan Haji Zain, betul tak?”

Sofea tidak beri respons. Pandangannya masih tidak lari daripada wajah Jeffry.

“Awak memang tak ingat saya ke? Baiklah saya perkenalkan diri saya sekarang. Saya Jeffry Asyraf bin Azmi, panggil Jeff aje. Anak bongsu dari tiga adik beradik. Hobi saya berkebun, memasak dan membaca.”

“Tak tanya pun!” Segera langkahnya, Sofea atur pergi dari situ. Malas nak layan si sombong dan berlagak ni.

“Sombongnya minah ni!” Jeffry menurut dari belakang.

“Siapa dulu yang sombong? Awak kan?”

“Jangan pandai-pandai buat fitnah. Berdosa!”

“Bila masa saya buat fitnah? Dah memang awak sombong pun. Kelmarin masa saya kat rumah awak, tak ingat?” Serta-merta langkah Sofea terhenti. Matanya kembali menikam ke wajah Jeffry.

Jeffry cuba mengingat semula. Okey, mula-mula sekali dia dan Kak Nisha masuk ke rumah. Ketika itu dia nampak seorang gadis cantik manis sedang berbual-bual dengan ibu. Gadis itu diperkenalkan sebagai Sofea, iaitu cucu kepada Hajah Aida dan Haji Zain. Itu saja kerana semuanya berlangsung begitu cepat dan pantas.

Selepas itu dia tergesa-gesa  ke belakang sebab dah tak tahan sangat nak ‘membuang’. Tapi dari dalam bilik air, dia dapat dengar namanya disebut berulang kali. Sudah tentu ibu dan Kak Nisha sibuk bercerita tentang dia kepada Sofea. Sungguh, dia tak ingat langsung masa bila dia tunjuk perangai sombong tu. Lagipun bukan sifat dia macam tu.

“Saya tak sombong. Baik awak tarik balik kata-kata awak tadi.”

“Tak nak!”

“Tarik balik!”

“Dahlah, saya nak balik. Malas layan awak.” Tanpa menunggu lagi, Sofea segera melangkah laju ke arah keretanya.

“Awak, tunggu dulu!”

Sofea buat-buat tak dengar. Sesampai di kereta, dia membuka pintu, masuk, hidupkan enjin lalu terus pergi dari situ.

Jeffry termangu. Macam mana dengan cincin dia ni? Takkan nak buang kut? Hisy! Tak baik membazir, amalan syaitan tu.

Matanya memandang sekejap cincin di tangan sebelum dia memasukkan ke dalam poket seluarnya.

Ada Yang Tertinggal - Bab 10

 


M

ARYAM AMANI. Dalam tak sedar, sudah lebih sembilan bulan usia si kecil itu. Bermakna sudah sembilan bulan juga Farah pergi meninggalkan mereka semua.

Setiap yang hidup pasti akan menemui kematian. Sesiapa saja pasti tahu akan hakikat itu. Cuma ketika itu, dia belum cukup bersedia. Bayangkan, Farah pergi begitu saja tanpa sebarang petanda.

Pada awalnya memang perit, memang sakit. Susah sungguh nak terima yang Farah sudah tiada lagi di dunia ini. Namun, memikirkan insan-insan lain yang diuji lebih teruk, Haikal jadi insaf dan bersyukur. Sekurang-kurangnya dia ada Maryam, hadiah daripada Allah, tanda cinta dia dan Farah. Si kecil yang menjadi buah hati pengarang jantung semua orang  dalam rumah ini.

Syukur alhamdulillah, anak kecil itu membesar dengan sihat dan tidak banyak ragamnya. Walaupun masih terlalu kecil, Maryam pandai bawa diri. Maryam seolah-olah tahu yang dia sudah tidak punya ibu dan tidak mahu memberi kesusahan kepada orang lain.

Berhati-hati Haikal memakaikan lampin Maryam. Sesudah itu, dia menyarungkan pakaian pula ke badan si comel itu.

Sekarang ini Maryam dah tak reti diam. Asyik bergerak kaki dan tangannya. Memang agak sukar nak uruskan dia. Tambahan pula sejak Maryam dah merangkak laju ni. Mencabar betul. Semput jugalah nak mengejar.

Apa pun, dia tak pernah rasa susah. Tak pernah merungut. Dapat melihat Maryam membesar di depan mata, itu merupakan satu nikmat yang cukup besar yang Allah Taala berikan kepada dia.

“Dah cantik dah anak papa ni.” Pipi anak yang berada di atas ribaannya dicium lembut. Hmm, wangi!

“Aloloo... comelnya cucu tok ma ni.” Hajah Aida yang baru muncul di situ menggerak-gerakkan tangannya di hadapan Maryam.

Maryam ketawa menunjukkan barisan giginya yang enam batang itu. Empat di bahagian atas, dua lagi di bawah.

“Maryam, sini dekat Kak Fea,” panggil Sofea pula.

 Segera Maryam menghulurkan kedua-dua tangannya, minta didukung.

Hampir serentak mereka ketawa. Memang begitulah Maryam sejak ada Sofea. Kalau dah nampak kelibat Sofea, papanya pun dia sanggup tinggalkan.

“Amboi... dan-dan tinggalkan papa ya? Tak nak dah kawan dengan Maryam lepas ni.” Masih dalam tawa, Haikal lalu menyerahkan Maryam kepada Sofea.

 “Ayah mana, ma? Tak nampak dia pun,” tanya Haikal.

“Ayah lepas balik dari masjid tadi, terus ke ladang. Tak sabar nak jenguk lembu-lembu dialah tu.” Hajah Aida merujuk kepada ladang lembu yang Haji Zain usahakan.

“Ada masalah ke dengan lembu-lembu tu?”

“Tak ada apa. Saja ayah tu, dah lama tak jenguk katanya. Harapkan si Azrul dengan Pak Man aje.”

“Ma, Kal pergi kerja dulu.” Seperti selalu, Haikal menyalami dan mencium tangan ibu mertuanya.

“Maryam, papa pergi dulu. Duduk kat rumah jangan nakal-nakal, tau? Nanti Aunty Fea tak nak kawan.” Haikal mengusik.

“Aunty? Eiii... tak sesuai!” Sofea membuka matanya luas-luas.

“Kakak lagi tak sesuai. Umur Fea tu beza tiga tahun aje dari pak su. Memang layak sangatlah kalau kena panggil aunty.” Hajah Aida pula menyakat.

“Betul kata mama tu.” Haikal tergelak. Kemudian dia bergerak ke muka pintu.

“Ah, tak kira! Kak Fea juga! Tok ma juga cakap, panggilan kena ikut pangkat. Maryam ni sepupu Fea kan?”

“Suka hati Fealah.” Sudahnya itu yang Hajah Aida sebut.

“Fea tak tau pula pak su tinggal kat sini.” Selama ini dia fikir, cuma Maryam yang tinggal di rumah tok ma. Haikal mungkin sesekali saja datang. Tok ma pun tak pernah bercerita. Mummy dan daddy pun tak beritahu apa-apa. Padahal mereka ada balik ke sini baru-baru ini.

“Sebenarnya tok ma dengan tok ayah yang ajak pak su tinggal kat sini. Boleh juga tok ma tengok-tengokkan Maryam bila pak su pergi kerja atau nak ke mana-mana. Tok ma tak yakinlah orang lain jaga Maryam.”

“Mak ayah pak su pun tinggal kat kampung ni kan, tok ma?”

“Betul. Rumah dia orang kat hujung simpang sana. Pak su tu dari awal lagi memang tak nak tinggal di rumah keluarga dia. Adik-beradik dia kan ramai. Sesak sikit katanya kat rumah tu.”

“Seronok apa duduk ramai-ramai satu rumah? Kalau Fea, suka aje. Tengok macam Fea ni, berdua aje dengan Abang Irfan. Balik-balik Fea tengok muka Abang Irfan, Abang Irfan tengok muka Fea. Betul tak Maryam?” Hidungnya sempat mencium leher gebu Maryam dengan penuh geram. Maryam mengekek-ngekek.

“Fea tak suka ke pak su tinggal kat sini?”

“Eh, tak adalah! Fea tanya aje. Okeylah dia tinggal kat sini.”

“Tok ma nak tanya Fea sikit ni.”

“Sikit aje tau tok ma? Tak nak tanya banyak-banyak.”

“Soalan cepumas ni.”

Sofea menjuihkan bibir. Tu tak ada lainlah tu, mesti nak tanya soal kahwin. Dia tahu sangat.

“Bila Fea nak kahwin?”

Hah, tak silap kan apa yang dia fikir tadi? Tok ma kalau jumpa dia, tak sah kalau tak tanya soal kahwin. Peninglah macam ni!

“Siapa nama kawan Fea dulu tu? Lupa dah tok ma. Dia tak cakap ke bila dia nak masuk meminang Fea?”

Adoi la tok ma ni. Tahu tak, betapa bersungguh-sungguhnya dia mahu melupakan lelaki itu? Kenapa tok ma sebut pasal dia pula? Tapi, dia tak rasa tok ma lupa. Tok ma sengaja buat-buat lupa. Tempoh hari masa dia buat panggilan video, elok aje tok ma sebut nama Harris.

Silap dia juga sebab beritahu tok ma tentang Harris. Sepatutnya dia rahsiakan dulu.

“Siapa nama dia, Fea?” Tok ma mengulang tanya.

“Harris.” Perlahan Sofea menyebut. Kalau diberi pilihan, dia tidak mahu menyebut langsung nama itu. Nama itu buat dia kembali teringatkan insiden yang menyedihkan di hospital tempoh hari.

“Oh ya, Harris. Baru tok ma ingat. Bila dia nak masuk meminang Fea?” Lagi sekali tok ma menyoal.

Sofea geleng kepala.

“Kenapa geleng?”

“Tak jadi, tok ma. Tak ada jodoh.”

Terdiam Hajah Aida seketika sambil memandang wajah cucu yang mendadak berubah mendung.

“Tok ma dah agak dah...”

Wajah neneknya dipandang. Kenapa tok ma cakap macam tu? Apa yang tok ma dah agak?

“Ada sebab kenapa Fea balik ke sini. Fea sebenarnya balik bawa hati yang lara.”

“Amboi... ayat tok ma.” Ada duka dalam tawa Sofea. Sungguh, luka yang Harris hadiahkan sangat terkesan di hatinya. Sampai sekarang masih terasa pedihnya.

“Kesian cucu tok ma ni. Tapi tak apa. Ada la tu hikmahnya. Tok ma percaya, ada seseorang yang sedang tunggu Fea. Seseorang yang lebih baik, beriman dan bertanggungjawab. Paling penting, seseorang yang boleh bawa Fea ke syurga.”

Ayat tok ma itu berjaya mengundang rasa sebak Sofea. Itu jugalah yang mummy tuturkan kepada dia. Matanya tiba-tiba rasa hangat. Rasa macam nak menangis.

Dia tahu, tok ma sengaja nak hiburkan hati cucunya yang sedang berdukacita ini. Sejujurnya, dia dah malas nak fikir soal lelaki. Mungkin sampai satu masa sehingga dia betul-betul dapat melupakan perbuatan Harris. Lagipun bukan senang nak jumpa lelaki yang betul-betul baik, beriman dan bertanggungjawab bak kata tok ma dan mummy tu. Harris yang nampak sangat baik itu pun menipu. Ada jaminankah yang dia tidak akan ditipu lagi oleh lelaki lain?