Friday, April 27, 2012

sedikit dari 'tolong ingatkan aku'


BAB 3

AZAH memerhatikan setiap sudut rumah yang kosong. Di sinilah dia dilahirkan. Di rumah inilah dia dibesarkan. Walaupun rumah mereka di Taman Melawati jauh lebih besar dan selesa tetapi dia lebih suka di sini. Banyak sangat kenangan di rumah ini. Pahit, juga manis. Kalau bukan kerana ayah, jangan harap dia mahu berpindah. Dia mahu terus di sini. Dia mahu menghabiskan hari-harinya di sini. Tapi apa boleh buat, penghijarahan yang dilakukan dulu adalah atas kehendak ayah. Dia faham perasaan ayah yang mahu melupakan segalanya. Lalu, sebagai anak, dia harus akur. Dia harus menghormati, meskipun hatinya mahukan sebaliknya.
Baru dua minggu lepas Kak Yanti sekeluarga berpindah dari sini. Suaminya, Harun yang bertugas sebagai seorang guru bertukar ke Kelantan. Walaupun sekadar penyewa rumah, Kak Yanti sekeluarga menjaga rumah ini seperti rumah mereka sendiri. Kalau ada apa-apa kerosakan, mereka sendiri yang membaikinya. Selama sepuluh tahun tinggal di sini, daripada belum ada anak sampailah anak dah ada tiga, belum pernah Zainal dan Azah bermasalah dengan penyewa rumah mereka itu.
          Mulai hari ini, rumah teres setingkat dengan tiga bilik ini bakal disewa oleh orang lain pula. Atas alasan itulah, pagi-pagi lagi Azah sudah berada di sini. Ayah yang meminta dia bertemu seterusnya menyerahkan kunci rumah kepada penyewa itu. Selalu pun begitu. Kalau ada apa-apa hal yang berkaitan rumah ini, dialah yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskannya. Ayah seperti biasalah, di rumah bersama Awie.
          Sedang ralit melayan hati, tiba-tiba terdengar bunyi hon kereta. Segera Azah ke hadapan dan membuka pintu. Sebuah BMW M3 Coupe berwarna perak berada betul-betul di hadapan pintu pagar. Beberapa saat kemudian, seorang pemuda keluar dari tempat pemandu. Orangnya kacak, tinggi dan berambut ikal mencecah bahu. Dia berkaca mata hitam dan memakai seluar denim biru, baju-t warna merah dan berjaket kulit hitam. Lelaki itu berdiri sebentar sambil memandang kawasan sekitar.
          “Dia ni ke penyewa baru tu?” sungut Azah perlahan. Rasa macam tak percaya. Tengok pada gaya dan penampilan serta kereta yang dipandu, nampak macam orang berada. Takkan dia nak menyewa rumah teres kos sederhana macam ni?
          Dah puas memandang kawasan sekitar, pemuda itu menalakan pandangannya kepada Azah pula. Tanpa menanggalkan cermin mata hitamnya, dia berjalan ke arah dalam pagar yang memang sedang ternganga pintunya.
          “Awak Encik Azlan Harris ke?” soal Azah apabila lelaki itu berada betul-betul di hadapannya. Ayah yang memberitahunya nama itu.
          “Ini ke rumahnya?” Tanpa menjawab pertanyaan Azah, lelaki itu menyoal balik. Suaranya tidak mesra.
          “Jadi betul lah awak ni Azlan Harris?” soal Azah lagi. Lagak lelaki itu buat hatinya jadi jengkel. Hilang terus panggilan encik yang diguna tadi.
          “Jadi betul lah ini rumah Encik Zainal?” Soalan Azah tidak dijawab, sebaliknya lelaki itu menyoal balik. Soalan dah hampir sama dengan soalan Azah tadi. Kasutnya ditanggalkan dan dia melangkah ke dalam.
           Azah tetap angguk walaupun lelaki itu tak nampak. Hati rasa makin geram. Mamat ni memang jenis tak reti nak hormat orang. Suka hati dia aje meredah masuk dalam rumah ni. Kut ya pun, mintalah izin dulu. Buat rumah orang macam rumah sendiri.
 Nasib baik dia dalam mood yang baik, kalau tidak, memang dah kena ‘sembur’ mamat perasan bagus ni. Dari tempat dia berdiri, dia hanya memerhatikan gerak geri lelaki itu. Tak ada hati pun nak ikut sama, padahal itulah yang ayah minta dia lakukan. Kata ayah, Azah harus mengiringi lelaki yang bernama Azlan Harris itu, seterusnya menunjukkan dan menerangkan apa yang patut tentang rumah itu. 
          “Keciknya ruang tamu... dapur... bilik pun kecik. Macam mana nak hidup ni?” ujar Azlan dengan wajah yang sombong. Dia sudah pun menyertai Azah yang masih berdiri di hadapan muka pintu.
          Terasa panas telinga Azah dengan omelan itu. Melampaunya dia ni. Ini dah kira menghina ni...
          “Kalau rasa tak boleh hidup kat dalam rumah kecik ni... tak payah sewa lah. Cari aje rumah lain. Bukan ada orang paksa pun.” Sinis suara Azah, sambil tangannya menggoyang-goyangkan gugusan kunci di tangan. Niatnya supaya Azlan akan segera keluar dari situ dan dia pula akan mengunci rumah itu semula. Tak jadi sewa pun tak apa. Lagi bagus. Ramai lagi orang nak menyewa. Tunggulah sehari dua lagi, mesti ada yang bertanya.
          “Berlagak! Macam ini ke cara kau layan penyewa?” Lelaki itu menanggalkan cermin mata hitamnya dan merenung Azah dengan muka garang.
          “Penyewa macam awak... memang macam tu cara nak layan.”
          “Kalau macam inilah cara kau... jangan harap ada orang nak sewa rumah ni.”
          Azah yang sedang merenung seraut wajah di hadapan jadi membuntang matanya. Telinga yang panas tadi, dah terasa makin pijar. Dia ni memang melampau... sangat-sangat melampau.
          “Saya lebih rela rumah ni kosong sampai bila-bila daripada biarkan orang macam awak tinggal kat sini.”
          “Aku pun tak ingin tinggal kat sini, tau? Ingat aku hairan sangat ke?”
          “Kalau betul tak hairan... berambus ajelah dari sini, tunggu apa lagi?” Azah menudingkan tangannya ke arah pintu pagar.
          “Eh! Cakap elok-elok sikit ya...”
          “Saya dah cakap habis elok dah ni. Sekarang saya nak awak keluar dari sini. Silakan.”    
Azlan tidak berganjak sedikit pun. Dia hanya merenung muka Azah. Naik merah padam mukanya kerana terlalu geram. Rasa macam nak cili-cili aje gadis tu. Mulut lancang bukan main.
          “Tunggu apa lagi... keluarlah...” jerit Azah, hilang sabar. Lantas menolak badan lelaki itu.
          “Wei! Apa tolak-tolak ni?” tempik Azlan.
          Tiada reaksi dari Azah. Cepat-cepat dia mengunci pintu. “Cepat keluar dari sini... saya nak kunci pintu pagarlah,” jeritnya, apabila Azlan masih tercegat di situ.
          “Eleh! Rumah sekangkang kera... nak berlagak. Aku boleh cari rumah yang lebih besar dari rumah ni lah,” ujar Azlan dengan angkuh. Kemudian melangkah ke arah luar pagar.
          “Suka hati kaulah... nak cari rumah banglo ke, kondo ke, penthouse ke... ada aku kisah?” balas Azah selamba. Selepas mengunci pintu pagar, dia berlalu ke motosikalnya.
          “Woi! Perempuan... kalau aku jumpa kau lagi, siap kau.”
          Azah malas nak layan. Selepas enjin dihidupkan, dia memandang lelaki itu sekejap. Sambil tersenyum mengejek, motosikalnya bergerak pergi. 

 BAB 5

SEPERTI hari-hari sebelum, hari ini motosikal Kriss Azah melalui jalan itu lagi. Walaupun sibuk, itu sajalah jalan yang dia tahu. Nak tak nak, kena redah ikut situ juga. Dia bukanlah macam Zakiah yang serba tahu tentang jalan di Kuala Lumpur ni. Maklumlah gadis itu memang jenis yang kuat ‘berjalan’. Sebut sahaja jalan mana, semua dia tahu. Namakan saja pusat membeli-belah yang ada kat Kuala Lumpur ni, semua dalam kocek Zakiah. Semua dah pernah Zakiah jelajahi. Kalau pasal Kuala Lumpur ni, janganlah cuba-cuba nak kelentong dia. Padahal Si Zakiah tu berasal dari Teluk Intan, Perak dan baru sahaja dua tahun bermastautin di Kuala Lumpur. Belajar dulu pun, di UiTM Perlis.
Berbeza benar dengan Azah. Walaupun dia merupakan anak jati Kuala Lumpur tapi masih banyak jalan yang dia belum hafal. Masih banyak tempat yang dia belum lawati. Pusat membeli belah lagilah. Setakat Sogo, The Mall, Mid Valley pernahlah dia pergi... itu pun boleh dibilang dengan jari. Pavillion, Berjaya Times Square, The Curve dan entah apa-apa lagi sampai sekarang dia belum pernah jejakkan kaki. Habis macam mana? Pernah sepupunya yang datang dari kampung gelakkan dia hanya kerana dia berterus terang yang dia tak pernah menaiki LRT. Tapi yalah, dia nak naik LRT buat apa? Dia ada motosikal. Sebelum ada motosikal pun, dia selalu menumpang kereta ayah. Jadi, tak ada sebab kenapa dia suka-suka hati nak pergi naik LRT.
Nun di sana, lebih kurang 100 meter di hadapan, seorang lelaki baru nak melintas jalan. Kebetulan jalan agak lengang pagi itu. Tak seperti selalu. Kalau tidak, berpeluh jugalah nak melintas di situ. Faham-faham sajalah jalan di Kuala Lumpur ni. Lainlah kalau ada jejantas. Tapi sikap orang-orang di Kuala Lumpur ni satu hal juga. Walaupun ada jejantas, mereka tetap nak melintas juga. Bukan mereka pedulikan keselamatan diri pun. Janji cepat sampai.
Tiba-tiba sebuah motosikal memecut laju dari arah belakangnya. Memotong motosikal yang sedang dia tunggang dan beberapa buah kenderaan lain. Lelaki yang baru nak melintas tadi, cuba berpatah balik ke belakang. Mungkin terkejut dengan kedatangan mendadak motosikal itu. Tetapi belum sempat dia berbuat begitu, badannya dirempuh motosikal tadi. Lelaki itu berpusing dua tiga kali, sebelum jatuh ke tanah.
Dari atas motosikalnya Azah menjerit. Kuat suaranya. Kejadian yang berlaku secara spontan itu buat dia benar-benar tergamam. Semuanya berlaku dengan begitu pantas. Rasanya tak sempat matanya nak berkelip pun. Yang buat hatinya rasa terbakar, motosikal yang melanggar tadi langsung tidak menghiraukan lelaki itu, sebaliknya semakin memecut laju, meninggalkan tempat itu.
“Ooii! Berhenti... kurang ajar...” jerit Azah lagi. Macamlah orang itu dengar pun. Tanpa berfikir panjang dia memberhentikan motosikalnya, lalu menerpa lelaki yang sedang terbaring itu.
“Encik... encik okey ke?” soal Azah sambil memandang lengan dan sebahagian badan lelaki itu yang dipenuhi darah.
“Kaki saya...” ucap lelaki itu dengan muka yang berkerut, kesakitan.
“Encik kena pergi hospital ni.”
Lelaki itu mengangguk. Buat masa ini, dia ikut sahaja apa saranan Azah. Dalam keadaan begitu, dia sudah tidak mampu berfikir lagi.
Alamak! Macam mana nak pergi hospital ni? Takkan nak bawak dengan motosikal pulak. Sambil berfikir begitu, mata Azah memandang kenderaan yang sedang bertali arus, kut-kutlah ada yang sudi memberikan pertolongan. Tetapi sebuah pun enggan berhenti. Semuanya hanya memperlahankan kenderaan untuk melihat kejadian yang berlaku.
Dengan bantuan Azah, lelaki itu cuba berdiri, tetapi baru beberapa saat, dia terduduk semula ke tanah. “Arghhh... kaki saya.”
“Kenapa kaki encik?”
“Entahlah... sakit sangat.”
“Kaki encik patah ke?”
“Tak tau...”
“Tunggu ya encik... saya tahan teksi,” ucap Azah dengan hati yang sebal. Kesal dengan sikap pemandu-pemandu itu. Dia tahu, seperti dia sendiri semua nak ke tempat kerja, semua ada urusan masing-masing tetapi masakan tak boleh luangkan masa sebentar untuk membantu orang yang dalam kesusahan. Mungkin hari ini hari dia, mana tahu esok-esok akan tiba hari kita pula. Lagipun kejadian macam ni bukan berlaku setiap hari pun. Bukan hari-hari pun kita nak kena tolong orang.
Azah cepat-cepat menahan apabila ternampak kelibat sebuah teksi. Dalam hati dia mengucapkan rasa syukur apabila teksi itu tidak mempunyai penumpang dan sudi pula berhenti.
“Pak cik tolong bawa encik ni ke hospital ya... dia kemalangan,” kata Azah setelah lelaki itu selamat masuk ke dalam perut teksi. Kemudian dia mengeluarkan dompet dari dalam beg sandangnya dan mengeluarkan RM20.00 dari situ. Seterusnya menghulurkan kepada pemandu teksi yang berumur lebih separuh abad itu. “Ini duit tambang dia. Kalau tak cukup... pak cik tolong halalkan ya.”
“Ini pun dah lebih dari cukup, cik.” Pemandu teksi tersenyum lebar.
“Tak apa... saya ada duit. Saya boleh bayar sendiri,” ucap lelaki yang dilanggar motosikal tadi, lambat-lambat. Dalam muka penuh kesakitan, dia memandang Azah.
“Eh! Tak apa... hari ni saya tengah baik hati. Saya memang berniat nak tolong encik.”
“Terima kasih...”
Azah angguk sambil tersengih. Dia baru nak menutup pintu teksi apabila terdengar suara lelaki itu. “Siapa nama cik?”
“Azah.” Selepas menjawab begitu, segera pintu ditutup. “Azah Zahra...” sambungnya, tapi dia gerenti lelaki itu dah tak dengar. Tak apalah... tak penting pun. Yang penting, dia tidak boleh berlengah lagi. Dia hanya ada 15 minit saja lagi untuk sampai ke pejabat. Dia kena cepat. Kalau tidak, akan mengamuk lagilah singa betina a.k.a mawar berduri tu. Nampak gayanya, dia harus memecut motosikalnya dengan laju. Jadi minah rempitlah dia di pagi nan hening ini.
“Motosikal aku... mana motosikal aku?” jerit Azah apabila mendapati motosikalnya sudah tiada di tempat tadi. Kalut sangat nak menolong orang, dia jadi terlupa untuk mematikan enjin dan meninggalkan Krissnya macam tu saja.
“Wei! Bongok... pulangkan balik motosikal aku tu,” jeritnya lagi entah kepada siapa. Dengan hati yang marah, dia menanggalkan topi keledarnya dan menghempas ke tanah.

No comments: