Wednesday, June 13, 2012

lupakan dia...

 

Sudah berbulan-bulan pembaca saya yang seorang ni menyepikan diri (Saya namakan dia Rozie). Tiba-tiba beberapa hari lepas dia menghubungi saya. Bila dengar suaranya yang sayu semacam, saya tahu ada sesuatu yang ingin dikongsikan bersama saya. Telahan saya benar apabila dia mula bercerita tentang hatinya yang sedang kecewa. Teman lelakinya (Shah) yang sudah dikenali sejak lima tahun lalu tiba-tiba berubah sikap... menjadi dingin dan seperti ingin menjauhkan diri daripada dia. Padahal sebelum ini hubungan mereka tidak bermasalah. Malah Shah sudah berjanji untuk masuk meminangnya selepas Aidilfitri nanti.

Siasat punya siasat, rupa-rupanya Shah  ada menjalin hubungan dengan perempuan lain (Tina). Kebetulan Rozie memang kenal  Tina memandangkan gadis itu pernah bekerja satu pejabat dengannya. Apa lagi, mengamuk sakanlah Si Rozie ni. Dia bersemuka dengan Tina dan menyalahkan gadis itu atas apa yang berlaku. Kononnya Tinalah yang menyebabkan Shah berubah. Rozie juga mengugut Tina agar menjauhkan diri dari Shah. Tapi yang buat dia marah, Tina langsung tidak mempedulikan ugutannya, sebaliknya jadi semakin berani pula.  Malah melalui dinding facebook Shah, Tina  tanpa segan silu meluahkan perasaannya. Yang buat Rozie makin sakit hati, Shah pun dua kali lima... turut memberi respons. Panjang lagi cerita Rozie, yang kalaulah saya ceritakan semuanya di sini, sampai besok pun tak siap lagi saya menaip agaknya.

Jadi, dipendekkan cerita...  saya nasihatkan Rozie agar melupakan Shah. Kata saya, Shah bukanlah seorang lelaki yang baik. Ramai lagi  lelaki di luar sana yang lebih layak untuk dijadikan teman hidup. Kalau sekarang Shah boleh bersikap seperti itu, tidak mustahil selepas berkahwin sikapnya akan tetap begitu. Insya-Allah, mungkin satu hari nanti, Rozie akan bertemu lelaki yang betul-betul ikhlas dan dapat membahagiakan dia.

Tapi kata Rozie, dia takkan lupakan Shah. Sudah lima tahun  dan dia takkan lepaskan Shah dengan mudah. Dia akan tetap menunggu lelaki itu dan tidak akan henti-henti berdoa agar jodohnya dipertemukan juga dengan lelaki itu. Saya dah tak tahu nak nasihat macam mana lagi. Kalau dah itu kata Rozie, terpulanglah pada dia. Dia bercerita, jadi saya cuba menghulur nasihat. Tapi kalau dia tak boleh terima... saya tak boleh nak kata apa lagi.

Sebenarnya kes Rozie adalah sebahagian dari bermacam-macam kisah yang sampai kepada saya. Banyak lagi yang lebih kurang sama sahaja jalan ceritanya. Bukan lelaki saja yang buat hal... perempuan pun ada juga. Saya pun tak faham kenapa ramai yang pilih saya untuk bercerita. Mungkin mereka selesa dengan saya atau mungkin mereka fikir penulis macam saya ada penyelesaian yang baik buat mereka.

Pada saya senang saja... kalau dari awal dah nampak tiada keserasian, dah nampak belang pasangan... jangan  diteruskan. Lupakan dia... lupakan lima tahun tu. Fikirkan masa hadapan yang lebih panjang seandainya kita bersama dia.  Wallahuaklam...

4 comments:

Maisarah Azmi said...

setuju dengan akak.. tu dikira bagus la Allah dah tunjuk perangai dia b4 kawin.. dah kawin nanti, nasib la.. lupakan yg lama.. cari yg baru

MIMIE AFINIE said...

betul tu maisarah... lupakan aje la orang macam tu. Mula2 memang la susah sikit... lama kelamaan, Insya-Allah boleh...

RoSseYbErDuRi said...

Terasa seperti kisah sahabat sy....sy doakn mereka happy dgn kputusan dibuat...buat y sakit kecewa....jgn lupa Allah sentiasa di sisi...

MIMIE AFINIE said...

Rosse... kisah macam ni memang selalu kita dengar kan? Cuma harap2 mereka tidak terlalu ikutkan perasaan sangat...