Thursday, April 6, 2017

Bulan Cinta Bab 3



SIBUK sangat hari ini sampaikan dia tidak sempat menelefon mama di kampung. Usai waktu bekerja petang tadi, dia terus ke My Mom’s Cafe. Mansor atau Chot, rakan sekampung merangkap tukang masak ada hal petang ini. Itu sebab dia terpaksa masuk awal sikit.

Selalu dia datang ke kafe selepas solat maghrib. Selain dia dan Chot, ada lagi seorang tukang masak tetap iaitu Bakri. Malah mereka juga ada tiga orang pekerja lain iaitu Khalil,  Rizman dan Hariz.

Setiap malam, bermula jam 8.00 sehingga ke 1.00 pagi, di kafe yang sudah dua tahun beroperasi itulah dia menghabiskan masa. Itu adalah waktu perkhidmatan dia sendiri, tetapi kafe mula dibuka bermula jam 5.00 petang.   

Bermula dari sebuah kedai makan kecil, dia sangat bersyukur dengan apa yang terhasil hari ini. Sambutan ke atas kafe yang berkonsepkan masakan Kedah dan masakan panas ini sungguh menggalakkan. Setiap hari ada sahaja pelanggan baru yang berkunjung selain pelanggan tetap yang setia.

          “Mama, Lan ni,” ujar Razlan,  usai salam dihulurkan.

          “Ya, mama tau.” Ceria bukan main suara Puan Khalida. Sebelum itu sempat menjawab salam Razlan.

“Lan ingat mama dah tidoq dah.”

Dak lagi aih. Mama baru habih tengok wrestling.

Razlan gelak. Sejak bila mama terjebak dengan sukan wrestling ni?

“Lambat Lan telefon mama malam ni. Mama nak telepon, takut Lan  sibuk. Tak mau kacau Lan.”

Razlan tolak rambutnya ke belakang. Kesian mama. Tentu mama tertunggu-tunggu panggilannya. Rasa macam bersalah pula.

Betui ma. Lan memang sibuk haghi ni. Lepaih mengajaq, Lan teruih pi kafe. Kesian kat Keri, masak soghang-soghang.”

Pasaipa Keri soghang-soghang? Chot pi mana?”

“Mak Chot mai dari kampung. Chot bawak mak dia pi Nilai ghumah kakak dia. Mak Chot rajin mai sini, ma. Baru lagi dia mai haghi tu, ni mai lagi. Tapi mama Lan ni setahun sekali pun susah nak mai.” Terus terang, dia sangat mencemburui Chot. Bertuah sungguh Chot dapat selalu jumpa emaknya. Bukan macam dia. Boleh kira, berapa kali sahaja dalam setahun dia dapat bersua muka dengan mama tercinta.

“Mama Lan?”

“Haa la. Mama Lan, Puan Khalida binti Mazlan. Amboi! Buat-buat tanya pula mama ni.”

Puan Khalida ketawa mengekek. Sengaja nak usik Razlan.

“Mama tak mau mai KL ka? Lan rindu mama.”

“Mama bukan tak mau pi. Dughian, rambutan, petai dok tengah berbuah la ni. Sapa nak jaga?”

Biaq pi la pokok-pokok tu. Tak payah nak jaga sangat la mama oii.”

“Lan tau dak kat kampung kita la ni, mat pit suka dok mencughi.

“Alah setakat depa nak cughi buah-buah tu buat makan, biaq pi la mama. Banyak mana sangat pun depa boleh makan.”

Depa tu bukan cughi untuk makan tapi depa juai,” kata Puan Khalida lagi.

 “Nak tinggai rumah ni pun mama ghisau. Semalam rumah Pak Mail kena pecah. Tiga oghang masuk ghumah dia. Depa pakai topeng. Pak Mail dengan Mak Mah depa ikat.”

 “Astaghfirullahaladzim. Pak Mail yang duduk kat simpang jalan nak masuk ghumah kita ka ma?” soal Razlan  dengan hati yang dipenuhi rasa bimbang. Bimbangkan mama sebetulnya. Mama dahlah tinggal seorang. Kalau apa-apa jadi macam mana? Memang ada jiran tapi jarak antara rumah mama dan rumah jiran agak jauh juga. Kalau berlaku apa-apa, memang jiran tak dengar.

“Haaa... dia la tu.”

“Pak Mail tau ka gheja sapa?”

“Oghang kampung kita jugak la, Lan. Mat pit la tu.”

“Hisy, mama ni! Tak baik sangka bughok.”

“Laa... sangka bughok apa pulak? Pak Mail sendiri habaq kat mama lagu tu. Depa tu memang oghang kampung kita.” Bersungguh-sungguh Puan Khalida bercerita.

“Yang lawaknya depa bercakap Kedah tapi dok mengaku kata depa oghang Indonesia. Kami bukan oghang sini, kami oghang Indon. Jangan habaq kat polis kata kami oghang kampung ni.”  Sambil bercerita Puan Khalida gelak bukan main kuat lagi.

Razlan   ikut gelak walaupun hati risau memikirkan mama. Kalau boleh, esok juga dia nak mama datang ke sini. Tinggal terus dengan dia. Tapi nak buat macam mana, mama tu degil. Nak juga tinggal kat kampung. Padahal bukan ada sesiapa pun kat sana. Arwah tok, emak angkat mama dah lama meninggal dunia. Dan mama sendiri merupakan anak jati Selangor, bukan orang Kedah. Mama tak ada saudara mara pun kat sana.

Pak Cik Yusof satu-satunya anak tok pula sudah lama berhijrah ke Kuala Lumpur. Sekolah Memandu Kita tempat Razlan bekerja, Pak Cik Yusof punyalah tu. Anak-anak Pak Cik Yusof yang seramai empat orang tu, langsung tak berminat nak bekerja dengan bapa mereka. Itu sebab Pak Cik Yusof mempelawa Razlan untuk bantu dia dan turut sama memajukan sekolah itu.

 Mai pindah dok KL dengan Lan, mama.” Dah banyak kali sebenarnya dia mempelawa. Tapi mama buat tak endah sahaja.

“Tak mau la.”

“Mama ni ketegaq, mama tau dak?” Razlan  jadi geram pula dengan kedegilan mama.

Lan ghisau la.”

Toksah dok ghisau sangat la, Lan. Jiran-jiran kat sebelah ghumah ada. Kalau jadi apa-apa, mama panggil depa.”

“Suka hati mama la.” Razlan  dah putus asa. Tak guna cakap banyak, ada sahaja jawapan mama.

“Mama boleh pindah KL tapi dengan syarat.”

Syarat?” Razlan tunjuk muka tercengang. Yalah tiba-tiba pula nak letak syarat.

“Lan kena caghi menantu untuk mama.”

“Hah!” Razlan termangu.



SEJAK semalam sudah tiga kali Rania buat panggilan, tapi Syafiq tidak jawab. Mesej juga sudah banyak kali dihantar, pun tidak dibalas. Okey, ini kali terakhir. Kalau Syafiq masih tak jawab, dia tidak akan menghubungi lelaki itu lagi. Lantaklah nak putus ke, apa ke. Yalah, ada teman lelaki kalau asyik menyakitkan hati, buat apa? Memanglah sayang, tapi kalau dah selalu sangat buat perangai, perasaan sayang pun boleh terbang melayang tau tak?

          Satu, dua, tiga. Dia sudah hampir nak tekan butang merah, apabila suara Syafiq kedengaran sayup-sayup di talian.         

“Nasib baik you jawab. Kalau tidak...”

          “Kalau tidak, kenapa?”

          “Tak ada apalah.”

          “Kalau tidak, kenapa?” Syafiq ulang tanya. Sedikit mendesak.

          “Kalau tidak I dah merajuk dah.” Jawab sajalah macam tu. Memanglah masa tengah marah rasa macam nak minta putus dan-dan tu juga. Lepas tu macam dah tak nak tengok muka dia lagi. Tapi bila tengah berbaik, dialah lelaki terhebat kat dalam dunia ni.  

Kalau boleh mata tak nak pandang ke tempat lain langsung. Setiap detik, setiap saat hanya wajah dia yang mahu dihadap. Begitulah hebatnya penangan cinta Syafiq. Sejujurnya, dia sayang sungguh dekat Syafiq tu. Lagipun dah lama sangat mereka kenal. Sejak mereka di universiti lagi.

           You  nak merajuk?” Kuat Syafiq gelak.

          “Kenapa, tak boleh ke?”

          “Boleh aje tapi ada ke yang nak pujuk?”

          “You la pujuk I.”

          “Macam la I nak pujuk.”

          Bibir Rania menjuih. Itu yang paling dia menyampah dengan Syafiq. Cinta hati dia tu memang jenis hati kering. Setiap kali dia merajuk, jangan mimpilah Syafiq nak pujuk. Sudahnya dia sendiri yang akan cari Syafiq.

          “Kenapa sejak semalam I  telefon you tak jawab? Mesej pun tak balas?

          “Saja.”

          “Saja?” Rania  jerit. Boleh pula Syafiq jawab macam tu. Teruknya dia.

          “Lupakan la pasal tu.”

          Amboi! Senangnya dia cakap. Dah buat hati kita sakit, dah buat kita marah, lepas tu suruh kita lupakan macam tu aje?  

          “I masih tak puas hati dengan you.”

          “Kita jangan cakap pasal tu lagi boleh tak, Fiq?”

          “Selagi you  tak berhenti dari kelas tu, selagi tu I akan sebut.”

          “Sepatutnya you bagi dorongan, bagi semangat dekat I. Ini suruh berhenti pulak.”

          “You   pun tau kan, I tak boleh tengok you  dengan lelaki lain.”

          “Dia guru memandu I ajelah. Takkan dengan dia pun you nak cemburu.”

          “Memang I cemburu.”

          “Ya Allah, Fiq... tolong la jangan macam ni. Ikutkan I  sendiri tak nak tapi ini untuk kebaikan I  juga. Lagipun abang I dah bayar semua. Kalau I  berhenti, apa kata dia? Ayah I pun mesti kecewa dengan I.”

          “You lebih pentingkan orang lain daripada I.” Syafiq merengus.  

Orang lain!! Automatik mata Rania   jadi besar. Melampaunya Syafiq ni. Eh! tolonglah. Dia orang tu bapak aku, abang aku. Kau tu sebenarnya orang lain. Kau tak ada kena mengena dengan aku, tau tak?

          “I  tak ada apa lagi nak cakap dengan you. Assalamualaikum.” Lantas talian dimatikan. Lantaklah kau nak merajuk selama mana pun. Dah tak larat nak pujuk, dah tak larat nak jaga hati.


Bulan Cinta Bab 2




      “MACAM mana kelas memandu kau semalam? Ada ke kau langgar siapa-siapa? Dah berapa orang jadi arwah?” Muna yang menempel di sebelah kubikel Rania   tayang sengih.
          “Kau ni, mulut memang nak kena cili, kan? Suka hati aje cakap macam tu. Hisy, minta simpang.” Rania  membeliakkan matanya.
          “Ala, aku gurau aje. Jangan la marah.” Makin lebar sengih Muna.  
“Ceritalah pengalaman kau. Aku nak dengar.”
          “Jangan cari pasal Muna. Nanti Cik Melly bising. Dah la kerja tengah menimbun ni.”
          “Nia, dah pukul satu lebihlah. Dah waktu rehat.” Muna tayang jam di pergelangan tangan kirinya.
          “Laa, ya ke? Patut la ahli mesyuarat tingkap dah bersidai kat sini. Dah pukul satu rupanya.” Rania   gelak.  
Muna Ikut gelak. Muna atau nama penuhnya Muna Sabrina merupakan rakan sekerja yang paling rapat dengan dia. Ketika mula melapor diri di syarikat ini tiga tahun lepas, Muna sudah enam tahun berkhidmat. Beliau merupakan antara rakan sekerja yang paling lama dan berpengalaman di sini.
          “Eh, cepatlah cerita.”    
“Malaslah. Buat sakit hati aje.”
          “Kau sakit hati dekat siapa?”
          “Guru memandu tu la.”
“Kenapa?”  
“Razlan  tu memang spesis menyakitkan hati, Muna. Tapi dia silap orang la. Dengan Rania Aisya  jangan buat main-main.”
          “Cikgu kau nama Razlan? Muda lagi ke dia?”
          “Muda lagi. Lebih kurang umur aku  juga.”
          “Mesti dia kacak dan bergaya, kan?”
          “Apa guna kacak, muka lawa kalau mulut macam longkang yang tak pernah cuci, tak pernah sental? Benci tau lelaki macam tu.”
”Habis, kau nak cakap kau lawan dia la?”
          “Yalah. Dah dia sindir aku, takkan nak diam aje.”
“Entah-entah kau ada buat salah tak? Bukan boleh percaya sangat kau ni.”
          “Si Razlan  tu memang kurang ajar, Muna. Aku  mana ada buat salah?” Malaslah nak cerita. Nanti Muna pun akan menyalahkan dia juga. Tapi dia tak rasa salah dia besar sangat. Alah, setakat lambat beberapa minit, takkan itu pun nak kecoh.
          “Ya ke kau tak buat salah langsung?” Semacam Muna pandang Rania. Bukan boleh percaya sangat budak ni.  
          “Aku  cuma lambat sikit aje.”
          “Aku dah agak dah. Ni mesti kes kau tak nak belajar memandu, kan? Lepas tu semua pakat pujuk kau. Ayah kau, abang-abang kau, ketua kampung, ketua balai raya, tok sidang. Tu yang jadi lambat.”
          Terkekeh-kekeh Rania gelak. Pandai betul Muna teka. Dahlah ayat Muna yang dekat hujung tu dah lebih kurang ayat Razlan aje. Cuma bila Muna yang sebut, dia tak rasa nak marah pun. Rasa kelakar adalah.
          “Tengok, kan betul apa yang aku cakap. Tapi, Nia... kau mana boleh lawan guru. Tak berkat ilmu yang kau dapat. Nanti susah nak lulus.”
          “Alah guru apa la sangat. Setakat ajar memandu aje pun.”
          “Tak kira la dia ajar apa pun, dia tetap guru kau, Nia.” 
          “Yalah, yalah, betullah tu. Tapi Si Razlan tu memang kurang ajar, Muna. Hilang sabar aku  tau.”
          “Kau kena belajar bersabar. Kau kena kawal diri kau. Setakat dia sindir sikit-sikit tu, kau buat-buat tak dengar aje la.”
          “Aku harap, lepas ni cikgu lain pulak yang akan ajar aku. Tak suka la dia tu.”
          “Tak kisah la siapa pun. Yang penting, kau jangan suka melawan cakap cikgu. Faham?” tegur Muna.
          “Faham Puan Muna Sabrina,” balas Rania  .
“Kau kalau dengan orang lain bukan main berapi-api, tapi dengan Syafiq, menikus. Cuba kau lawan Si Syafiq macam mana kau lawan cikgu memandu kau tu. Ini apa yang Syafiq cakap, semua kau ikut. Kau macam lembu kena cucuk hidung tau tak?”
Muna dah mulalah tu. Mana ada dia macam lembu kena cucuk hidung? Ada masa-masanya dia melawan juga cakap Syafiq tu. Tak adalah semua dia turut. Tengok keadaan juga.
“Jom la pergi makan... perut aku  dah lapar.” Malas nak panjangkan hal Syafiq, dia tarik laci, mengeluarkan dompet dari situ. Kemudian bangun dari kerusi.
          “Syafiq tak ajak kau makan ke hari ni?”
          Rania geleng. Dia tahu Syafiq masih marahkan dia kerana hal semalam. Sampai sekarang Syafiq langsung tak nak bercakap dengan dia. Tapi tak perlulah beritahu Muna. Nanti bising pula mak cik tu.
          “Dia pergi mana?”
          “Entah. Mana aku  tau.”
          “Peliknya kau tak tau dia pergi mana. Mesti kau gaduh lagi dengan dia kan? Kali ini dia cemburu kau dengan siapa pulak?” Selalunya macam itulah. Kali ini harus atas alasan yang sama juga. Dah faham sangat dengan pasangan itu.
 “Nia, sudah-sudahlah. Tak payahlah kau hadap sangat dengan Syafiq tu. Kau layak dapat lelaki yang lebih baik dari dia tau? Kau tu dahlah cantik, baik pulak tu, pemurah lagi... walaupun perangai tu kadang-kadang agak mengada-ngada dan merimaskan.”
“Amboi, mulut... laju aje kalau bab mengata. Dalam puji, dia kutuk kita pulak.” Rania jeling.
“Mengata kalau benda betul tak salah rasanya. Lagipun aku mengata depan-depan, kan?” Muna melepas tawa. Tahu, Rania bukan marah pun. Satu yang dia kagum tentang Rania, dia katalah apa pun, nasihatlah macam mana pun, gadis itu tak pernah nak ambil hati. Tak pernah nak sentap. Tapi itu dengan dialah. Dengan orang lain, wallahuaklam.
Cuma itulah, bila saja berkaitan Syafiq, Rania dah tak makan nasihat.  Sebab  itulah sampai sekarang, gadis itu masih lagi bersama Syafiq. Itu yang dia tak faham. Memanglah Syafiq tu ada rupa, tapi dengan perangai panas baran, cemburu buta  dan selalu anggap diri betul tu, berbaloi ke untuk Rania?
“Sebenarnya Syafiq tu sayang kau ke tidak, Nia?” Selalu sangat Muna tanya soalan itu.
“Mestilah.” Seperti selalu juga, penuh yakin Rania jawab.
“Hati aku kata, dia tak betul-betul sayang kau. Dia tak serius dengan kau, Nia.”
“Kau mana boleh cakap macam tu? Kalau dia tak sayang aku, tak serius dengan aku... tak adalah dia cemburu kalau aku dengan lelaki lain. Cemburu kan tanda sayang?”
“Cemburu sikit-sikit, ya itu sayang namanya. Tapi kalau dah cemburu buta, cemburu melulu, sayang apa macam tu? Itu mengongkong namanya.”
“Mengongkong sebab dia tak sanggup tengok aku dengan orang lain. Itu saja, Muna. Tak salah kan?” Masih juga nak jawab, meskipun dia sendiri bersetuju dengan ucapan Muna itu. Nak buat macam mana hati dah terlanjur sayang dia.
“Hisy, budak ini... kalau kita bagi nasihat, bukannya nak dengar. Ada aje jawab dia.” Muna tayang muka geram. Mana taknya, masa Syafiq buat perangai, kepada dialah Rania mengadu. Kepada dialah Rania duk tayang muka monyok tu. Macam manalah dia tak sakit hati dengan Si Syafiq tu?
“Lain kali, kalau kau ada masalah dengan Syafiq, jangan mengadu dengan aku lagi... malas dah nak dengar.”
“Ala Muna, jangan la macam ni. Kalau bukan kau, siapa lagi yang nak dengar luahan aku? Kau aje tempat aku mengadu... tempat aku mencurah perasaan. Kau ni dah macam mak aku, tau?”
“Eii, tak nak aku ada anak macam kau. Degil, tak dengar kata.”
“Tak kira... nak jugak ada mak macam kau.”
“Hei, sudahlah...geli telinga aku dengar.”
Sudahnya Muna gelak. Tak bolehlah nak marah lama-lama. Budak Rania ni memang jenis tak makan saman.