Dua novel saya 'Bila dan suka' dan 'Bukan tak sudi' akan diterbitkan dalam bentuk kompilasi dan hanya akan dijual secara eksklusif di Kedai Buku POPULAR. Jadi, bagi sesiapa yang belum memilikinya, sila-silalah ke POPULAR ya? Harganya amat berpatutan sekali, iaitu RM32.90 sahaja.
Saturday, December 8, 2012
Friday, November 2, 2012
caraku...
Hari ni genap sebulan blog saya terbiar tanpa sebarang entri. Nak kata sibuk sangat tidak juga, cumanya masa saya banyak dihabiskan dengan kerja-kerja rumah yang tak pernah berkesudahan. Bila ada masa terluang pula, saya tengok tv... baca buku, main dengan pokok-pokok, ikan dsb. Akhirnya kerja menulis terbengkalai macam tu aje. Tapi tak apa... hari ni saya akan cuba luangkan sedikit masa untuk menulis di blog saya ni. Ceritanya pendek saja dan tak adalah best mana pun.
Suatu petang, dalam lif di tempat kerja:
Orang itu : "Akak tinggal kat mana?"
Saya : "Serendah".
Orang itu : "Jauhnya".
Saya : "Jauh sikitlah, tapi tak rasa jauh mana pun. Mungkin sebab hari-hari duk berulang..."
Orang itu : "Pindah ajelah kak. Cari rumah dekat dengan Cyberjaya ni. Penat kak berulang hari-hari".
Saya : "Kenapa nak pindah pulak? Saya tak ada masalah pun. Tak rasa penat pun. Rasa biasa aje. Lagipun seronok tinggal kat situ. Jiran-jiran pun okey..."
Orang itu : "Banyak rumah kat sekitar Cyberjaya ni. Akak boleh tinggal kat Dengkil, Puchong, Salak Selatan, Putrajaya... pindah ajelah kak..."
Saya : "Saya memang tak nak pindah..." ( Suara masih lembut walau hati dah mula rasa nak murah. Payah juga orang yang terlebih prihatin ni)
Orang itu : "Kalau tak nak pindah rumah... apa kata akak mintak kerja lain? Cari kerja dekat dengan rumah.
Saya : Terdiam, tak tau nak kata apa. Betul ke tak betul dia ni?
Saya tahu wanita tadi bersimpati dengan saya. Bukan dia saja, malah sering sangat saya berhadapan dengan situasi yang sama. Cumanya yang lain tu tak adalah sampai suruh saya cari kerja lain. Mengarut sangatlah tu. Tapi macam yang saya nyatakan di atas, saya tak kisah pun dengan jarak perjalanan yang terpaksa saya lalui setiap hari.Tak rasa ianya satu masalah dan tidak membebankan saya langsung. Saya okey dengan keadaan ni. Lagipun masa yang saya ambil tidaklah lama sangat... lebih kurang sejam saja (kalau jalan tak sesak) Cuma peringkat permulaan dulu la rasa sedikit seksa. Rasa macam jauh sangat. Tapi seperti yang saya pernah tulis sebelum ni... alah bisa tegal biasa...
Walau apa pun, terima kasih banyak-banyak saya ucapkan buat wanita tersebut dan juga yang lain-lain kerana prihatin dengan keadaan saya. Insya-Allah, selagi berdaya, saya akan tetap dengan cara saya...
Monday, October 1, 2012
muara hati
Sementara saya masukkan entri baru, apa kata kita dengar lagu dulu? Muara Hati ost Adam & Hawa nyanyian Hafiz dan Dato Siti Nurhaliza. Jom dengar...
Saturday, August 4, 2012
balik beraya punya cerita
Dah 15 Ramadhan pun hari ni. Lagu-lagu raya dah mula berkumandang di corong-corong radio. Bila dengar lagu raya aje, nak-nak yang yang tangkap syahdu macam lagu Sudirman 'Dari jauh ku mohon maaf', 'Dendang Perantau' P. Ramlee dan 'Lambaian Aidilfitri' dendangan Saleem & Jamal Abbdillah (sekadar menyebut beberapa contoh lagu), spontan perasaan nak balik ke kampung terasa membuak-buak. Kalau boleh nak balik masa tu juga. Dah tak sabar-sabar rasanya nak jumpa ibu dan ayah (bagi yang masih ada ibu bapa) serta sanak saudara.
Tahun ni giliran balik ke kampung siapa agaknya ya? Kampung suami atau isteri? Penang atau Pahang? Balik Perak atau Kelantan? Saya, Insya-Allah kalau tiada aral akan beraya di kampung suami dulu di Johor. Biasalah... ikut giliran dan kebetulan tahun ni turn kampung suami saya pula. Walaupun kedua ibu bapa suami dah tak ada, tapi masih ada adik beradik dan saudara mara di sana. Alhamdulillah, setakat ini belum pernah lagi kami bergaduh pasal nak balik raya ni.
Tapi saya percaya, ada pasangan suami isteri yang bergaduh dan bermasam muka hanya kerana hal ini. Yalah, kalau dah tahun lepas dan tahun sesebelum ni dah beraya kat kampung dia, takkan tahun ini pun kat kampung dia lagi? Melampau sungguh tu. Apa! ingat dia sorang aje ke yang ada kampung? Ingat dia sorang aje ke yang nak bersalam dan cium tangan mak ayah pada pagi raya? Itulah cerita yang saya dengar dari mulut kawan saya sendiri. Katanya, setiap tahun, dia dan anak-anak beraya di kampung suaminya di Perak. Dari tahun pertama mereka berkahwin sampailah anak dah ada empat, belum pernah sekalipun mereka beraya di kampungnya di Johor. Walaupun tak berpuas hati, dia turutkan saja. Bukan apa, malas nak bergaduh dan bermasam muka dengan suami.
Setelah berbelas tahun mengalah, akhirnya untuk pertama kalinya dia meminta dengan suami agar pada tahun tersebut, mereka semua beraya di kampung dia pula. Macam yang dia dah agak, suaminya terus membantah. "Kalau awak nak balik ke kampung awak... awak baliklah. Bawak anak-anak sekali. Saya tetap nak balik kampung saya." Sampai macam tu sekali. Ketegaq punya orang hehehe... Jadi pada tahun tersebut, buat pertama kalinya mereka terpisah di hari raya. Kawan saya dan anak-anak beraya di Johor, suaminya pula di Perak.
Masa bercinta dulu... bukan main lagi... "demi awak launtan api pun sanggup kurenangi." Tapi bila dah berkahwin...pasal balik beraya pun nak gaduh. Apa daa... kicik punya hal pun mau gaduh ke?
Pada saya, hal ni mudah saja. Amalkan sikap bertolak ansur. Perlu ada persefahaman antara suami isteri. Jangan pentingkan diri sendiri sahaja. Buat macam saya ni haa... amalkan sistem giliriran. Tahun lepas dah kat kampung kau, tahun ini kat kampung akulah pulak. Bukan ke mudah macam tu?
Renung-renungkan dan teruskan beramal...
Sunday, July 29, 2012
pura-pura sakit
Bangun bersahur pagi Jumaat baru-baru ni, badan rasa lemah, tekak rasa perit, mata rasa pedih dan berair, kepala pula terasa berat semacam. Mulanya malas nak layan sangat tapi bila kepala dah mula berdenyut-denyut, saya buat keputusan untuk ke klinik. Selepas pemeriksaan, doktor mengesahkan saya demam. Dah agak dah. Sebenarnya dah agak lama juga saya tak demam. Kali terakhir... entahlah, bila ya? Okeylah.. tinggalkan dulu hal demam saya tu... tak penting pun. Sebenarnya apa yang nak saya ceritakan di sini adalah perkara yang saya saksikan ketika di klinik. Kisah seseorang yang cuba nak menipu. Okey, ceritanya macam ni...
Semasa saya sampai di klinik pagi itu, seorang lelaki baru lepas membuat pendaftaran. Orangnya masih muda, tegap dan tak nampak rupa orang sakit pun. Malah, masa menunggu giliran dipanggil bertemu doktor, sempatlah saya memerhatikan gelagatnya yang asyik berbalas-balas SMS dan menerima panggilan. Bukan main ceria lagi suaranya... siap boleh gelak-gelak lagi. Memang tak nampak macam orang sakit langsung. Saya pun tak tahu kenapa dalam ramai-ramai orang kat dalam klinik tu, saya 'berminat' pula dengan dia.
Sedang asyik memerhati, tiba-tiba nama lelaki tersebut dipanggil. Dia segera bangun. Yang buat saya rasa nak tergelak, lelaki yang sedang berSMS itu tiba-tiba mengerang sambil kedua-dua belah tangan menekan-nekan perut. Jalan pula terbongkok-bongkok. Konon macam sakit sangatlah tu. Terus saya cuit suami di sebelah. Kata saya, lelaki itu menipu dan hanya berpura-pura sakit. Tak sempat saya nak bercerita lebih lanjut pada suami, lelaki itu keluar semula dari bilik doktor. Memang sekejap sangat dia kat dalam. Rasanya tak sampai seminit pun.
Selepas itu giliran saya pula dipanggil. Keluar dari bilik doktor beberapa minit selepas itu, lelaki tadi masih ada lagi di luar. Dia berlalu ke kaunter ubat setelah namanya dipanggil. "Ubat ni makan sekali pagi, sekali malam, antibiotic ni kena habiskan... bla bla... bla. Time slip ni doktor bagi sampai pukul 11.30 aje. Lepas tu awak kena masuk kerja balik." Nampak benar lelaki itu tak puas hati. Dia pandang muka kerani kat kaunter tu macam nak telan. Macam kerani tu bersalah pulak.
"Kenapa encik?" tanya kerani perempuan yang masih muda itu.
"Takkan tak dapat mc," soalnya dalam nada marah.
"Entah... mana saya tau. Tadi doktor cakap apa?"
Lelaki itu tak jawab. Tapi dia tetap berdiri di situ. Saya pula, setelah mendapat ubat saya, terus keluar dari situ. Tak tahulah apa kesudahan cerita lelaki itu.
Memang tepat tekaan saya, lelaki itu sebenarnya tidak sakit tapi berpura-pura sakit. Rasanya doktor pun dah masak dengan perangai orang-orang macam tu. Sebab itulah agaknya tak sampai seminit pun dia kat dalam bilik doktor. Sebab itu jugalah doktor tak bagi MC.
Rasanya, banyak lagi kes lain yang sama macam yang saya temui di klinik tempoh hari. Sangat tidak faham dengan orang-orang macam ni. Hanya untuk mendapatkan sekeping sijil sakit (sah-sahlah sebab malas kerja) mereka sanggup menipu, sanggup berpura-pura sakit. Nanti betul-betul Tuhan bagi sakit baru tau...
Saturday, July 21, 2012
bahagiamu deritaku
Sesekali layan lagu okey jugak kan? Lagu nyanyian Hafiz ni sangat sesuai untuk orang-orang yang baru putus kasih. Sedih banget... jangan sampai menitis air matanya ya....
Salam Ramadhan
Marhaban ya Ramadhan....
Ramadhan datang lagi. Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat menunaikan ibadah puasa buat semua. Marilah kita sama-sama berdoa agar diberikan kesihatan dan kekuatan dalam menjalani ibadah di sepanjang bulan penuh berkah ini. Mudah-mudahan Allah SWT akan sentiasa memberkati dan merahmati kita semua. Amiiin....
Thursday, July 19, 2012
jom cakap ganu...
Julai dah nak masuk ke penghujung, tapi baru hari ni dapat update blog. Kalau dah rajin tu, semedang ada entri baru tapi kalau dah datang penyakit malas, blog pun tak berjenguk. Kesiannya...
Siang tadi masa tengah berbual dengan suami tiba-tiba terkeluar perkataan 'pala haliang' dari mulutnya. Kemudian kami pakat gelak. Dah lama sangat saya tak dengar perkataan tu. Rasa kelakar pulak. Walaupun suami saya orang Endau, Johor tapi jiran-jirannya di kampung agak ramai yang berasal dari Terengganu. Jadi dia memang dah biasa dan tahu benar bercakap dalam loghat Terengganu ni. Tak bolehlah saya nak tipu dia... memang dia tau punya.
Saya sendiri, walaupun dah lama sangat meninggalkan Terengganu tapi kalau jumpa orang Terengganu, otomatik slang saya bertukar. Saya memang tak boleh tinggal loghat negeri saya tu. Saya bangga mengaku yang saya ni orang Terengganu walaupun ramai juga yang menyangka saya ni orang Perak. Ada rupa orang Perak ke saya ni? Hehehe...
Saya masih ingat masa balik ke kampung satu ketika dulu. Kebetulan masa berkunjung ke Pasar Kedai Payang, saya terjumpa dengan kawan masa sekolah menengah dulu. Dia kawan lelaki yang paling rapat dengan saya waktu itu. Bila dah jumpa tu, sempatlah kami bercerita kisah masing-masing. Tapi yang tak syoknya, dua boleh 'tuduh' saya berlagakl. Konon kata dia saya 'cakap luar' dan dah tak reti nak bercakap dalam loghat Terengganu lagi. Tak patut sungguh dia tuduh saya macam tu.
*Agaknya ada yang tertanya-tanya, apa dia 'cakap luar' tu? Kalau nak tahu, 'cakap luar' tu adalah cakap dalam bahasa Melayu standard... ataupun 'cakap orang KL'.
Berbalik kepada 'pala haliang' kat atas tadi, apa maknanya tu ya? Haaa... kalau nak tahu, pala haliang tu lebih kurang macam ketualah... bab kutuk orang, cari gaduh dengan orang... dialah yang jadi kepalanya. Macam tu lah lebih kurang. Eh! betul ke tu? Kalau salah tolong betulkan ya...
Sebenarnya tak ramai yang boleh mengajuk percakapan dalam loghat Terengganu ni. Selalunya tak menjadi sangat. Setakat tambah 'g' pada perkataan yang ada hurug 'n' kat belakang bolehlah kut. Bila dah lebih-lebih dah jadi lain macam pulak.
Di bawah ni saya letakkan beberapa perkataan dalam loghat Terengganu bagi yang berminat nak tahu.
Boloq woq = Berserabut
Doktong = suka merayau-rayau
Dok tau starang baroh = tak tahu langsung
Anguh letong = sangat hangus
gogeh = bergoyang
jo'ong = mendung
nakut paik = sangat penakut
Itu baru sedikit ya. Nak tau lagi, kena belajar dengan orang Terengganulah... :)
Friday, June 29, 2012
sekadar minat
Rajin pulak saya update blog akhir-akhir ni. Kalau tak tu, sampai berbulan-bulan terbiar macam tu aje. Sampai naik bersawang. Jadi bila dah rajin sikit ni... rasa tersangatlah kagum dengan diri sendiri. Hehehe...Kali ni saya nak bercerita tentang orang-orang yang saya minat dan pernah minat. Pernah minat tu tak bermakna sudah tidak berminat... masih minat lagi.
Semasa saya di sekolah rendah dulu, saya sangat meminati Rafeah Buang, sampaikan banyak lagunya yang saya hafal. Bila kena buat persembahan kat sekolah, lagu Rafeah Buang lah yang saya nyanyi. Macam tu jugak bila main kawen-kawen dengan kawan-kawan. Saya sebagai orang yang menghiburkan 'pengantin' kononnya, akan bawak lagu penyanyi tu juga. 'Di padang yang hijau ku berlari-lari... Dalam nada riang aku bernyanyi-nyanyi'. Itu adalah dua baris lirik dari sebuah lagu yang saya dah lupa tajuknya. Tapi melodinya masih lagi segar dalam ingatan.
Semasa saya di sekolah rendah dulu, saya sangat meminati Rafeah Buang, sampaikan banyak lagunya yang saya hafal. Bila kena buat persembahan kat sekolah, lagu Rafeah Buang lah yang saya nyanyi. Macam tu jugak bila main kawen-kawen dengan kawan-kawan. Saya sebagai orang yang menghiburkan 'pengantin' kononnya, akan bawak lagu penyanyi tu juga. 'Di padang yang hijau ku berlari-lari... Dalam nada riang aku bernyanyi-nyanyi'. Itu adalah dua baris lirik dari sebuah lagu yang saya dah lupa tajuknya. Tapi melodinya masih lagi segar dalam ingatan.
Semasa di sekolah menengah pula, saya sangat meminati Sudirman. Semua lagunya saya suka. Pelangi Petang, Seruling Bambu, Tak Perlu Diucapkan, Hujan, Antara Hujan dan Air mata dan banyak lagi. Tapi paling saya suka mestilah lagu 'Cinta'. Setiap kali dengar lagu itu, hati rasa terbuai-buai dengan melodinya yang lembut dan mendayu-dayu.
Jangan tak tau... saya juga pernah minat Dahlan Zainuddin. Punyalah minat sampaikan saya pernah berangan nak kahwin dengan dia. Hahaha... Padahal masa tu orang tu dah beranak pinak pun, sedangkan saya masih bersekolah lagi.Tak sedar diri betul. Teruk saya kena ejek dengan kawan-kawan...
![]() |
Inilah dia Dahlan Zainuddin... hehehe... |
![]() |
A. Razak Ismail |
Tapi minat saya taklah melampau sangat. Hanya minat macam tu aje. Cuma dengar lagu-lagu dia orang. Tengok dia orang kat dalam tv. Kalau dia orang buat show kat mana-mana tak pernah pulak saya pergi. Agaknya kalau berselisih kat mana-mana pun, mungkin saya buat tak tahu aje. Seganlah...
* Keluar topik sekejap ya...
(Tiba-tiba saya teringat pada seorang penulis. Masa tu saya ke Pesta Buku di PWTC (tahun 2002 kalau tak silap) dan ke sebuah booth untuk membeli buku. Tiba-tiba seorang petugas di booth menunjukkan ke arah seseorang yang sedang duduk di salah satu meja di situ. Katanya, wanita tu adalah seorang penulis dan saya boleh mendapatkan tanda tangan dari penulis tersebut. Saya hanya tersenyum kepada penulis itu tanpa berbuat seperti yang petugas itu katakan. Bukan tak nak pergi... tapi saya segan. Nak dijadikan cerita, dua tahun selepas itu, saya juga menjadi penulis dan berada di booth yang sama dengan penulis tersebut. Entah dia ingat muka saya masa tu... tak taulah pulak. Tapi saya andaikan dia tak ingat pun memandangkan dia tak pernah menyebut tentang hal itu).
Thursday, June 28, 2012
senyumlah...
Senyum seindah suria
Yang membawa cahya
Senyumlah dari hati
Duniamu berseri
Yang membawa cahya
Senyumlah dari hati
Duniamu berseri
Senyum umpama titian
Dalam kehidupan
Kau tersenyum ku tersenyum
Kemesraan menguntum
Dalam kehidupan
Kau tersenyum ku tersenyum
Kemesraan menguntum
Senyum… kepada semua
Senyumanmu amatlah berharga
Senyum… membahagiakan
Dengan senyuman terjalinlah
Ikatan…
Senyumanmu amatlah berharga
Senyum… membahagiakan
Dengan senyuman terjalinlah
Ikatan…
Ingat tak bait-bait lagu di atas? Takkan tak ingat kut. Lagu Jay Jay tu. Okey... kalau dah ingat tu, cuba-cubalah nyanyi...
Senyumlah... kerana senyum itu sedekah. Tengok... tak susah pun untuk bersedekah. Cukup dengan sekadar sebuah senyuman. Tapi kenapa ya sesetengah orang susah sangat nak senyum? Usah kata nak hulurkan senyuman... orang senyum kat dia pun, dia tak sudi nak balas. Kedekutnya. Kalau senyum pun susah nak bagi... apa lagi yang lain. Betul tak?
Cuba kita pandang wajah-wajah yang sering tersenyum... hati akan rasa tenang dan seronok melihatnya. Spontan kita akan tersenyum sama. Tanpa sedar terjalin kemesraan di situ. Tapi sebaliknya terjadi apabila mata memandang wajah-wajah yang masam mencuka. Boleh tension dibuatnya. Niat untuk senyum terpaksa dibatalkan. Bukan apa, bimbang tak dapat balasan.
Oleh itu selalu-selalulah maniskan wajah dengan senyuman. Tak rugi pun... malah ramai yang akan menyenangi anda. Tapi janganlah pula senyum sorang-sorang. Nanti orang ingat anda tak betul pula...
Saturday, June 23, 2012
tak kenal pun tak apa...
Bersama peminat novel semasa PBAKL baru-baru ini.
Mereka ni kenal saya... hehehe...
Saya masih ingat kejadian dua tahun lepas, sewaktu ke rumah salah seorang saudara saya. Semasa nak meninggalkan rumahnya, dia menghantar kami sampai ke kereta. Kebetulan dalam kereta ada beberapa buah buku 'Bukan Tak Sudi' yang belum keluar kat pasaran ketika itu. Terus dia bertanya, kenapa ada buku baru Mimie Afinie kat dalam kereta tu? Dapat dari mana? Bukankah belum keluar kat pasaran lagi?
Bila saya beritahu yang sayalah Mimie Afinie, suasana terus jadi gamat. Kecohlah sekejap. Dan-dan tu juga saudara saya ni panggil anak-anak dia keluar. Kebetulan salah seorang anaknya adalah peminat setia saya. Semua novel saya dia beli. Kata saudara saya ni, tak sangka pula penulisnya adalah saudara sendiri. Lepas tu, dia minta anaknya bawak keluar semua novel saya yang ada dalam simpanan untuk ditandatangan. Hahaha... kelakar. Sesi menziarah dah jadi sesi autograf pula. Rasa glamour sekejap.
Sebenarnya saya tak kisah pun kalau orang tak kenal saya. Janji mereka baca dan sukakan karya-karya saya. Itu yang penting... :D
Wednesday, June 20, 2012
kalau hendak seribu daya...
Bila saya tulis entry bertajuk 'lupakan dia', adalah seorang hamba Allah ni emel saya. Dia berterus terang yang dia tak bersetuju dengan pendapat saya. Kata dia, ingat senang ke nak lupa? Orang tak rasa, tak alami... memang boleh kata apa saja, boleh tulis macam-macam. Tapi bagi dia dan orang-orang yang mempunyai nasib yang sama, ianya bukan sesuatu yang muidah. Bukan senang nak buang rasa sayang. Bukan senang untuk melupakan semua kenangan bersama dia. Begitulah kata wanita yang saya rasa mungkin baru atau pernah putus cinta .
Jawapan saya mudah sahaja. Ikut hati mati... ikut rasa binasa. Saya bagi contoh yang paling baik untuk dicontohi.
Umurnya masih muda, baru 22 tahun (Y). Sejak di tingkatan satu lagi dia dah kenal seorang budak perempuan ni (K). Dalam duk berkawan, mereka akhirnya bercinta. Sejak berumur 13, sampailah sekarang Y tak pernah 'kenal' perempuan lain. Kebetulan mak bapak Y yang pada mulanya tak bersetuju memandangkan usia mereka yang masih terlalu muda, akhirnya memberi restu. Itu pun setelah Y menamatkan persekolahannya. Malah telah bersetuju untuk menyatukan keduanya secepat mungkin memandangkan hubungan keduanya yang terlalu rapat. Sebagai orang tua, tentulah mereka risau dengan keakraban tersebut. Jadi, sebelum berlaku hal yang tidak diingini, baiklah disatukan saja.
Tak ada angin, tak ada ribut, tup-tup K minta putuskan hubungan. Kononnya dia dah jumpa lelaki yang betul-betul sesuai dengan dia. Katanya lagi, selama ini, dia tak pernah ada hati pun dengan Y. Dia tak pernah anggap Y lebih dari seorang kawan. Kejam kan? Bayangkan perasaan Y masa tu. Tentulah sedih sangat-sangat. Dalam duk kawal, menitis juga air matanya. Bayangkan, sembilan tahun... bukan sembilan hari. Ingat senang ke?
Tapi alhamdulillah, Y tidak terlalu ikutkan perasaan. Walaupun masih muda tetapi dia tahu mengendali hati. Memang dia sedih tetapi pada permulaan sahaja. Selepas itu dia banyak sibukkan diri dengan bermacam-macam aktiviti. Dia main futsal, pergi gym dan macam-macam lagi. Dia juga banyak 'mengadu' kepada Allah. Malah ibu bapanya juga banyak memainkan peranan. Memujuk dan memberi kata-kata semangat.
Baru tiga bulan dan Y sudah benar-benar dapat lupakan K. Jadi kesimpulannya, kalau hendak seribu daya... kalau tak hendak seribu dalih. Fikir-fikirkanlah...
* Kisah ini adalah sambungan dari N3 yang bertajuk 'sabarlah'
* Kisah ini adalah sambungan dari N3 yang bertajuk 'sabarlah'
Tuesday, June 19, 2012
saya tak mampu...
Sejak akhir-akhir ni macam dah jadi trend pula, novel diadaptasikan ke drama atau filem. Lalu ada yang bertanyakan saya... tak berminat ke? Dah tentulah... tapi masalahnya ada ke penerbit drama/filem yang berminat dengan novel saya? Huhuhu... Lagi satu... boleh ke saya buat skrip?
"Boleh aje. Tak susah pun buat skrip. Lagi senang dari buat novel," kata penulis terkenal, Ahadiat Akashah semasa saya bertemunya di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur baru-baru ini. Dalam pertemuan itu, beliau sempat menurunkan ilmunya kepada saya. Ilmu buat skrip.
Terima kasih banyak-banyak Ahadiat kerana sudi mengajar saya dan sudi pula berkongsi cerita dan pengalaman yang dilalui selama menjadi penulis. Menghasilkan hampir seratus novel serta puluhan (atau ratusan) skrip drama dan filem, saya sangat-sangat kagum dengan beliau. Saya tahu saya tak mampu jadi seperti beliau...
Bersama rakan penulis, Aina Emir & Ahadiat Akashah.
Friday, June 15, 2012
lagi sedikit dari 'tolong ingatkan aku'
BAB 6
“LAN tak rindu mama?” Di hujung talian, suara Datin Rubiah
sudah sayu benar bunyinya. Mahu tak sayu, sudah lebih sebulan
Azlan meninggalkan rumah, sampai sekarang belum nak balik-balik. Puncanya
bukanlah besar mana pun. Cuma berlaku pergaduhan kecil antara Azlan dan
papanya. Pergaduhan anak-beranak. Si bapa mahu
anak bekerja di syarikatnya. Sedangkan si anak pula tidak bersetuju sebab belum
bersedia untuk bekerja. Disebabkan hal itu, si bapa jadi marah dan si anak pula
merajuk, lantas membawa diri. Memang tak masuk akal. Tapi itulah yang telah Azlan
buat. Anak tunggalnya itu memang jenis yang suka berbuat sesuatu ikut perasaan
dan ikut kepala sendiri. Yang suaminya, Dato’ Azman pula tak nak mengalah.
Memang eloklah tu bapa dengan anak. Dua-dua keras hati, dua-dua keras kepala.
“Siapa
cakap Lan tak rindu? Kalau tak rindu tak adanya Lan nak telefon mama.”
“Alah...
Lan telefon mama pun sebab duit aje, kan?”
“Pandai
pun mama.” Azlan gelak.
“Hah!
Tengok... kan betul apa mama cakap. Lan memang tak ingat mama lagi. Tak sayang
mama lagi.”
“Ala... ma.
Janganlah merajuk. Lan gurau ajelah. Macamlah mama tak kenal Lan.”
Datin Rubiah
tertawa. “Duit yang mama bagi hari tu ada lagi ke, Lan?”
“Ada lagi, ma...
cukuplah untuk belanja Lan bulan ni. Sewa rumah, bil-bil semua Lan dah bayar.”
“Tak apalah...
nanti mama tambah lagi, ya?”
“Kalau mama nak
tambah... Lan lagi suka.” Azlan ketawa, seronok. Dah orang nak bagi, takkan nak
jual mahal pula. Tolak rezeki namanya tu. Kata orang.... rezeki jangan ditolak,
musuh usah dicari.
“Ni mama nak
tanya sikit.”
“Mama nak tanya
apa?”
“Lan duduk
sorang-sorang tu, Lan solat tak?”
“Mestilah,” balas
Azlan acuh tak acuh. Tak gemar disoal begitu. Tapi setiap kali menelefon, itu
jugalah yang sering mama tanyakan. Bosan sungguh.
“Ya ke?” Datin
Rubiah tak percaya.
“Yalah. Takkan
tak percaya kut?”
“Kat rumah ni pun
puas mama paksa, baru Lan nak solat. Dah jauh dari mama, lagilah.”
Azlan tak jawab. Malas
nak bertekak dengan mama. Suka hati mamalah nak kata apa pun.
“Lan.”
“Apa lagi, ma?”
“Bila Lan nak
balik?” Suara Datin Rubiah bertukar sayu. Dia amat mengharapkan kepulangan Azlan.
Ketiadaan anak tunggalnya itu menyebabkan rumah terasa sunyi dan sepi. Tiada
lagi keceriaan, tiada lagi kegembiraan. Semuanya pergi bersama pemergian anak
kesayangan.
“Nanti-nanti Lan
baliklah.”
“Nanti-nanti tu
bila? Asyik itu aje yang Lan cakap, tapi tak balik-balik pun.”
Azlan hanya
mengeluh.
“Lan masih
merajuk dengan papa?”
“Lan tau papa
masih marah Lan.”
“Lan pun satu...
beralah lah.”
Azlan diam lagi. Tak
kuasa nak jawab. Bukanlah dia tak nak mengalah tapi papa tu yang keras hati sangat.
Asyik cakap papa saja yang dia kena dengar. Sesekali apa salahnya kalau papa
pula yang ikut cakap dia, patuh dengan kehendak dia. Dia bukan minta banyak
pun. Dia cuma tidak berminat dengan tawaran kerja papa. Lagipun dia masih belum
bersedia untuk bekerja. Dia masih muda, masih banyak waktu lagi. Sebelum ini
pun dia dah banyak ikut cakap papa walaupun dengan rasa terpaksa. Empat tahun
dia memaksa diri untuk meminati senibina pun semata-mata sebab papa. Dalam tak
suka pun, berjaya juga dia menghabiskan studinya. Takkan itu pun papa tak boleh
fikir?
“Kalau mama jadi
papa pun mama marah. Umur Lan dah 25. Tak lama lagi dan nak masuk 26. Tak ada sudahnya
Lan nak terus macam ni. Lan bukannya budak-budak
lagi. Dari sekaranglah Lan kena belajar selok-belok
perniagaan. Esok kalau papa dah tak ada, macam mana? Siapa yang nak ganti
tempat papa? Lan jugak, kan?”
Azlan merengus.
Mama dah mulalah tu. Kata sokong Lan, tapi boleh pulak cakap macam tu.
“Ma... Lan ada benda sikit nak buat. Lain kali
kita sembang lagi ya?” Azlan buat alasan. Sebetulnya malas nak dengar omelan
mama. Kata faham dia, sebelahkan dia tapi bila bercakap, sama juga macam
papa... asyik nak salahkan dia. Tapi dengan mama, tak pernahlah dia nak
marah-marah atau melawan. Kalau tak suka dengar pun, dia sengajalah buka topik
lain atau buat-buat ada hal lain.
“Mama tau Lan tak
suka dengar mama cakap macam tu, kan?” Datin Rubiah ketawa. Tak ambil hati pun.
Dah masak sangat dengan Azlan.
“Tau tak apa...”
jawab Azlan.
“Okeylah... nanti
mama transfer duit ke akaun Lan, ya?”
“Terima kasih
banyak, ma. Sayang mama.”
“Sayang Lan
juga.”
Sambil tersenyum,
Datin Rubiah meletakkan telefonnya ke atas meja kecil. Namun baru sahaja dia
bangun dari tempatnya dan berpusing ke belakang, dia jadi terperanjat sungguh. Beberapa
kaki dari tempat dia berada, Dato’ Azman berdiri dengan muka yang serius.
“Ini rupanya kerja
awak selama ni, Ruby. Tak hairanlah kenapa perangai budak tu semakin
menjadi-jadi. Awak terlalu manjakan dia. Awak terlalu beri muka pada dia,
sampai dia tak reti nak susah langsung.”
“Ruby buat apa?”
Datin Rubiah menggelabah. Tapi dia cuba buat seselamba yang boleh.
Dato’ Azman tidak
jawab. Dia hanya merenung isterinya sampai Datin Rubiah jadi serba salah.
“Salahkah kalau Ruby
tolong anak kita?”
“Tolong apa?
Tolong jahanamkan dia?”
“Man... sampai
hati cakap Ruby macam tu.”
“Memang betul apa
saya cakap. Kerana awaklah, Azlan makin hanyut. Makin tak terkawal. Sampai dah
tak kenal dosa pahala.”
Datin Rubiah
terkedu. Beratnya tuduhan itu. Memang dia mengaku, kehidupan Azlan agak bebas tapi
bukan dia penyebabnya. Dia dah mendidik Azlan dengan sebaik-baik didikan. Bukan
setakat ilmu dunia, malah dia membekalkan Azlan dengan ilmu agama juga. Jadi tak
patut sangatlah kalau Dato’ Azman mahu
menuding jari kepadanya.
“Tak patut Man
tuduh Ruby macam tu.” Datin Rubiah sedikit menjerit. “Ruby mengaku, Ruby
manjakan dia. Ruby terlau ikut kemahuan dia tapi Ruby buat semua itu
semata-mata sebab Ruby sayangkan dia. Dia anak kita, Man. Satu-satunya.”
“Kalau betul dia anak kita... dia sepatutnya
dengar nasihat kita. Bukannya buat sesuatu ikut kepala sendiri aje.” Sinis
suara Dato’ Azman. “Mulai sekarang saya tak benarkan awak tolong dia lagi.”
“Tapi
Man...”
“Awak
nak dia balik, kan? Kalau nak dia balik dan nak dia jadi ‘manusia’... hentikan
semua ni.”
“Kalau
dia tak balik jugak?”
“Anak
manja macam Azlan tu mana pernah hidup susah? Bila dia dah rasa susah nanti,
pandailah dia cari jalan balik rumah.”
“Tapi...
Ruby tak sampai hati.”
“Ruby... jangan
bantah cakap saya. Jangan sampai saya ambil tindakan yang bukan-bukan.”
Datin Rubiah cuba
nak jawab tapi melihat wajah Dato’ Azman yang garang, dia terpaksa membisu.
BAB 8
“AZAH... kat mana lagi saya nak cari awak?” Dia mengeluh perlahan seraya
memicit-micit dahinya. Sudah lebih dua bulan mencari tetapi sampai sekarang dia
masih belum ketemu gadis itu. Setiap hari dia melalui jalan yang sama, pada
masa yang lebih kurang sama. Menunggu di tempat itu dengan harapan Azah akan
muncul. Tapi usahanya sia-sia sahaja. Memanglah dia tak berapa cam gadis itu,
tetapi mana tahu kalau-kalau Azah perasankan dia. Tak mustahil, kan?
Habis, apa lagi
yang harus dilakukan? Silap dia tempoh hari
adalah kerana tidak meminta nombor telefon gadis itu. Kalau tidak, selesai
masalah. Tetapi yalah, dalam keadaan kalut dan sakit, mana sempat nak fikir semua
tu? Itu pun nasib baik dia teringat untuk bertanyakan nama. Tapi sekadar sebuah
nama, ianya tidak membantu langsung. Dia dah cuba mencari kat laman sosial
Facebook juga, tapi tidak semudah itu. Agak ramai yang bernama Azah
dan kebanyakkannya pula tidak meletakkan gambar foto sendiri sebagai profile picture. Yang banyaknya meletak
gambar hero Korea, makanan, gambar kartun... hanya beberapa orang yang meletak
gambar sendiri. Tapi kalau ada gambar pun, dia bukanlah cam sangat rupa gadis
itu.
“Wei!
Berangan tak habis-habis. Kau ingat siapa ni?” Suara itu menyapa seraya menepuk
meja di hadapan.
El
angkat muka. Memandang sahabat yang sedang tersengih. “Mana ada aku ingat
siapa-siapa? Memandai aje kau ni.”
“El...
El... El... dengan orang lain bolehlah kau kelentong. Ini Amirul Hayat. Dengan
Hayat kau jangan cuba nak sorok-sorok.”
El
ketawa. Hayat ni memanglah. Pandai betul buat serkap jarang. Janganlah cuba nak
sembunyikan apa-apa daripada dia. Dia akan tahu jugak.
“Kau
tengah buat apa tu?” soal Hayat sambil memandang ke arah laptop yang sedang
terpasang.
“Tengah
buat kerja sikit,” balas El.
“Kerja
apa?”
“Banyak
soal pulak kau ni. Adalah kerja aku.” El ketawa lagi. Dia dapat rasa Hayat
tidak percaya.
“Jangan
tipu akulah. Aku tau kau bukan buat kerja, kan? Kau tengah fikirkan sesuatu.
Apa dia? Cakaplah. Sejak bila pandai berahsia dengan aku ni?”
El
menggosok-gosok hidungnya. Sedang berfikir sama ada dia patut berterus terang
atau diamkan sahaja. Memanglah selama ini Hayatlah tempat dia meluahkan isi
hati. Lelaki itu merupakan pendengar yang baik. Malah temannya itu juga merupakan seorang penasihat yang bagus.
Dengan Hayat, dia jarang berahsia. Tetapi kali ini rasa macam tidak sesuai pula
untuk bercerita. Tentang perempuan pula tu. Entah apa agaknya Hayat akan komen.
“Kalau aku
cakap... kau janji jangan gelakkan aku.”
“Kalau
cerita kelakar mestilah aku kena gelak.”
“Cerita
ni tak kelakar pun.”
“Kalau
tak kelakar, tak adalah aku gelak.”
“Betul
ni?”
“Betul...
cakap ajelah.”
El
diam sekejap. Kemudian membetulkan posisi duduknya.
“Azah...”
Dia menyebut nama itu.
“Azah?”
Berkerut dahi Hayat. “Azah tu perempuan, kan?”
“Memanglah
perempuan. Ada ke lelaki yang bernama Azah?” jerkah El. Dah tau apa yang ada
dalam kepala Hayat.
Mendadak Hayat
ketawa. Kuat pula tu. “Wei! Kawan aku dah jatuh cintalah.”
Muncung
El jadi sedepa. Geram dengan tawa Hayat. Geram juga dengan ‘tohmahan’ temannya
itu. Baru saja dia sebut nama, Hayat dah boleh tuduh macam tu. Entah apa-apa.
“Hah!
Tengok... janji tak nak gelak,” marah El. “Azah tu... orang yang tolong aku
masa aku accident dululah.”
Tawa
Hayat terhenti. Lantas memandang El lagi. “Jadi orang yang tolong kau dulu tu,
perempuan? Mati-mati aku ingat lelaki.”
El
angguk. “Aku perlu jumpa dia, Yat. Aku nak ucap terima kasih. Aku benar-benar
terhutang budi. Bukan budi aje, tapi nyawa.
Kalau bukan kerana dia, entah-entah aku dah tak ada kat dunia ni.”
Bersungguh-sungguh benar bicara El.
“Mesti
dia cantik kan, El?” Hayat senyum nakal.
“Ke
situ pulak perginya.”
“Cakap
ajelah.”
“Dia
pakai helmet... jadi rupa dia tak jelas sangat. Tapi pada aku... rupa tak
penting. Yang penting... hati. Apa yang aku tau, hati dia memang cantik.”
“Apa
kau nak buat sekarang?”
“Aku
nak jumpa dia dan ucapkan terima kasih. Kalau perlu aku nak balas budi dia.”
“Itu
aje? Tak ada niat lain?” usik Hayat.
“Kau
tolong serius sikit, boleh tak? Tadi kau juga yang sibuk sangat nak tau, kan?”
“Okey...
okey... aku serius sekarang,” ujar Hayat. “Macam mana kau nak cari dia?”
“Itu
yang aku tengah pening ni. Dah lebih dua bulan aku cari... tapi tak jumpa.”
“Cari
aje kat facebook, bro. Itu pun aku
nak kena ajar ke?”
“Dah
cari... berpuluh nama Azah keluar... entah Azah yang mana satu yang aku tengah
cari tu. Aku tak rasa nama penuh dia Azah aje. Entah-entah Norazah ke, Azahwati
ke... Azah Khalida ke... Azahlia ke... susahlah, Yat.”
“Kalau
nak seribu daya. Kau add aje semua Azah
tu.”
“Ramai
tu.”
“Apa
salahnya... lepas tu kau bacalah status dia orang pada tarikh accident hari tu. Kalau betul Azah tu
ada akaun facebook... mesti dia ada tulis pasal kes tu.”
“Banyak
kerja nak kena buat tu. Ada masa ke aku?”
“Tak
apa... aku boleh tolong kau.”
“Betul
kau nak tolong aku?”
“Ini
Hayatlah... Takkan kau tak kenal aku?”
“Terima
kasih Yat. Kalau kau jumpa dia aku belanja kau sate Kajang.” Berseri-seri muka
El.
“Sate
Kajang aje? Bolehlah...” seloroh Hayat. Sambil berkata begitu, dia berjalan ke
muka pintu. Bertujuan keluar dari bilik itu. Tapi, baru memegang tombol pintu,
dia berpaling kepada El. “Aku dapat rasa sesuatu.”
“Apa?”
“Kau
dah jatuh cinta dengan Azah, kan?”
“Woi!
Mana ada?” kata El. Pen yang berada berhampiran dicapai dan dibaling ke arah
Hayat.
“LAMBAT El balik hari ni... El dari mana ni?” tanya Hajah Salmi.
Membiarkan tangannya dicapai dan dikucup anak lelakinya. Manis senyumannya
sambil menatap anak kesayangan yang sudah mengambil tempat di sisinya.
“Dari
ofis, mak. Biasalah syarikat baru nak bertatih. Banyak benda nak kena buat. Itu
pun nasib baik ada Hayat dan pekerja lain. Kalau El sorang memang tak terbuat,”
ujarnya merujuk kepada syarikat yang baru setengah tahun beroperasi. Syarikat
yang dikongsi bersama teman baiknya, Amirul Hayat. Sebelum ini dia bekerja di syarikat milik kawan baik arwah abahnya, Haji
Muslim. Setelah hampir lima tahun menimba ilmu dan pengalaman, barulah dia
yakin menjalankan perniagaannya sendiri.
“Macam
mana kerja, El?”
“Alhamdulillah,
mak. Walaupun masih baru... ramai yang beri kerjasama dan kepercayaan. Mungkin
sebab dia orang pun dah biasa dengan El sebelum ni, kan?”
“Syukurlah kalau macam tu.”
“Ini
pun berkat doa mak, kan?” Lembut bicara El sambil meraih tangan emak.
“Insya-Allah
selagi mak masih hidup... mak takkan lupa berdoa untuk El. Bukan El aje tau? Semua
anak-anak mak.”
“Terima kasih, mak,” ucap El.
Mak
angguk. “Oh! Ya... macam mana kaki El? Dah okey
ke?”
“Dah
okey dah, mak. Cuma bila cuaca sejuk... terasa sengal-sengal sikit.”
“Insya-Allah,
tak lama lagi baiklah tu.”
Bila
emak membuka topik pasal kakinya yang tercedera, ingatan pergi semula kepada
gadis yang menolongnya tempoh hari. Gadis yang sering muncul di ruang fikirannya sejak kemalangan tersebut. Azah, gadis
misteri yang sehingga kini masih belum ditemui. Sejujurnya, selagi dia belum
ketemu gadis itu, selagi itulah hatinya tidak akan rasa tenteram. Selagi itulah
dia rasa seperti sedang berhutang. Dah berhutang, mestilah kena bayar balik.
Hutang wang, dibayar dengan wang. Hutang budi, seharusnyalah dibayar dengan
budi juga. Tapi bagaimanakah caranya?
“El
nak jumpa orang yang tolong El tu, mak. Selagi El tak jumpa... hati El rasa tak
tenang.” Dia pernah menyuarakan perkara ini kepada emak. Tapi ketika itu emak
menasihatkan agar El tidak memikirkan hal itu sangat, kerana pada pendapat emak...
Azah menolong El dengan ikhlas dan tidak mengharapkan apa-apa ganjaran mahupun
balasan. Jadi tidak perlulah El rasa terbeban dengan hal itu. Tapi tak tahukah emak,
betapa terbebannya dia sekarang? Dia tak boleh melupakan hal itu dengan mudah.
Mungkin pada sesetengah orang, dia hanya membuang masa dengan memikirkan hal
yang remeh-temeh begitu.Tapi tak, dia tak rasa hal itu remeh-temah.
“Jadi
El nak jumpa dia jugak?”
“El
kena jumpa dia mak. El perlu jumpa dia.”
“Katalah
El dapat jumpa dia... apa El nak cakap kat dia?”
“El
nak ucap terima kasih sebab dia dah tolong El.”
“Itu
aje?”
“Itu
ajelah kut.”
“Kalau
setakat itu... baik tak payah jumpa.” Emak ketawa, manis sekali bunyinya.
“Dah
tu... nak buat apa lagi?”
Emak
tak jawab. Dia terus ketawa.
“Kenapa
mak ketawa?”
“Mak
rasa anak mak ni dah jatuh hatilah.”
“Mak
ni pun dah jadi macam Hayat dah... suka sangat bercakap yang bukan-bukan. Mana
ada El macam tu? Takkan jumpa sekali tu aje dah boleh jatuh cinta, mak. Lagipun
El bukan cam sangat muka dia tu. Tak masuk akal.”
“Siapa
cakap tak masuk akal... kalau tidak, tak adalah istilah cinta pandang pertama,
betul tak?” usik Hajah Salmi.
“Dah...
dah... makin El layan mak... entah apa pulak mak nak cakap. Baik El naik atas,
mandi.”
Wednesday, June 13, 2012
lupakan dia...
Sudah berbulan-bulan pembaca saya yang seorang ni menyepikan diri (Saya namakan dia Rozie). Tiba-tiba beberapa hari lepas dia menghubungi saya. Bila dengar suaranya yang sayu semacam, saya tahu ada sesuatu yang ingin dikongsikan bersama saya. Telahan saya benar apabila dia mula bercerita tentang hatinya yang sedang kecewa. Teman lelakinya (Shah) yang sudah dikenali sejak lima tahun lalu tiba-tiba berubah sikap... menjadi dingin dan seperti ingin menjauhkan diri daripada dia. Padahal sebelum ini hubungan mereka tidak bermasalah. Malah Shah sudah berjanji untuk masuk meminangnya selepas Aidilfitri nanti.
Siasat punya siasat, rupa-rupanya Shah ada menjalin hubungan dengan perempuan lain (Tina). Kebetulan Rozie memang kenal Tina memandangkan gadis itu pernah bekerja satu pejabat dengannya. Apa lagi, mengamuk sakanlah Si Rozie ni. Dia bersemuka dengan Tina dan menyalahkan gadis itu atas apa yang berlaku. Kononnya Tinalah yang menyebabkan Shah berubah. Rozie juga mengugut Tina agar menjauhkan diri dari Shah. Tapi yang buat dia marah, Tina langsung tidak mempedulikan ugutannya, sebaliknya jadi semakin berani pula. Malah melalui dinding facebook Shah, Tina tanpa segan silu meluahkan perasaannya. Yang buat Rozie makin sakit hati, Shah pun dua kali lima... turut memberi respons. Panjang lagi cerita Rozie, yang kalaulah saya ceritakan semuanya di sini, sampai besok pun tak siap lagi saya menaip agaknya.
Jadi, dipendekkan cerita... saya nasihatkan Rozie agar melupakan Shah. Kata saya, Shah bukanlah seorang lelaki yang baik. Ramai lagi lelaki di luar sana yang lebih layak untuk dijadikan teman hidup. Kalau sekarang Shah boleh bersikap seperti itu, tidak mustahil selepas berkahwin sikapnya akan tetap begitu. Insya-Allah, mungkin satu hari nanti, Rozie akan bertemu lelaki yang betul-betul ikhlas dan dapat membahagiakan dia.
Tapi kata Rozie, dia takkan lupakan Shah. Sudah lima tahun dan dia takkan lepaskan Shah dengan mudah. Dia akan tetap menunggu lelaki itu dan tidak akan henti-henti berdoa agar jodohnya dipertemukan juga dengan lelaki itu. Saya dah tak tahu nak nasihat macam mana lagi. Kalau dah itu kata Rozie, terpulanglah pada dia. Dia bercerita, jadi saya cuba menghulur nasihat. Tapi kalau dia tak boleh terima... saya tak boleh nak kata apa lagi.
Tapi kata Rozie, dia takkan lupakan Shah. Sudah lima tahun dan dia takkan lepaskan Shah dengan mudah. Dia akan tetap menunggu lelaki itu dan tidak akan henti-henti berdoa agar jodohnya dipertemukan juga dengan lelaki itu. Saya dah tak tahu nak nasihat macam mana lagi. Kalau dah itu kata Rozie, terpulanglah pada dia. Dia bercerita, jadi saya cuba menghulur nasihat. Tapi kalau dia tak boleh terima... saya tak boleh nak kata apa lagi.
Sebenarnya kes Rozie adalah sebahagian dari bermacam-macam kisah yang sampai kepada saya. Banyak lagi yang lebih kurang sama sahaja jalan ceritanya. Bukan lelaki saja yang buat hal... perempuan pun ada juga. Saya pun tak faham kenapa ramai yang pilih saya untuk bercerita. Mungkin mereka selesa dengan saya atau mungkin mereka fikir penulis macam saya ada penyelesaian yang baik buat mereka.
Pada saya senang saja... kalau dari awal dah nampak tiada keserasian, dah nampak belang pasangan... jangan diteruskan. Lupakan dia... lupakan lima tahun tu. Fikirkan masa hadapan yang lebih panjang seandainya kita bersama dia. Wallahuaklam...
Subscribe to:
Posts (Atom)