Monday, October 1, 2012

muara hati

Sementara saya masukkan entri baru, apa kata kita dengar lagu dulu? Muara Hati ost Adam & Hawa nyanyian Hafiz dan Dato Siti Nurhaliza. Jom dengar...



Saturday, August 4, 2012

balik beraya punya cerita

Dah 15 Ramadhan pun hari ni. Lagu-lagu raya dah mula berkumandang di corong-corong radio. Bila dengar lagu raya aje, nak-nak yang yang tangkap syahdu macam lagu  Sudirman 'Dari jauh ku mohon maaf', 'Dendang Perantau' P. Ramlee dan 'Lambaian Aidilfitri' dendangan Saleem & Jamal Abbdillah (sekadar menyebut beberapa contoh lagu), spontan perasaan nak balik ke kampung terasa membuak-buak.  Kalau boleh nak balik masa tu juga. Dah tak sabar-sabar rasanya nak jumpa ibu dan ayah (bagi yang masih ada ibu bapa) serta sanak saudara.

Tahun ni giliran balik ke kampung siapa agaknya ya? Kampung suami atau isteri? Penang atau Pahang? Balik Perak atau Kelantan? Saya, Insya-Allah kalau tiada aral akan beraya di kampung suami dulu di Johor. Biasalah... ikut giliran dan kebetulan tahun ni turn kampung suami saya pula. Walaupun kedua ibu bapa suami dah tak ada, tapi masih ada adik beradik dan saudara mara di sana. Alhamdulillah, setakat ini belum pernah lagi kami bergaduh pasal nak balik raya ni. 

Tapi saya percaya, ada pasangan suami isteri yang bergaduh dan bermasam muka hanya kerana hal ini. Yalah, kalau dah tahun lepas dan tahun sesebelum ni dah beraya kat kampung dia, takkan tahun ini pun kat kampung dia lagi? Melampau sungguh tu. Apa! ingat dia sorang aje ke yang ada kampung? Ingat dia sorang aje ke yang nak bersalam dan cium tangan mak ayah pada pagi raya? Itulah cerita yang saya dengar dari mulut kawan saya sendiri. Katanya, setiap tahun, dia dan anak-anak beraya di kampung suaminya di Perak. Dari tahun pertama mereka berkahwin sampailah anak dah ada empat, belum pernah sekalipun mereka beraya di kampungnya di Johor. Walaupun tak berpuas hati, dia turutkan saja. Bukan apa, malas nak bergaduh dan bermasam muka dengan suami.

Setelah berbelas tahun mengalah, akhirnya untuk pertama kalinya dia meminta dengan suami  agar pada tahun tersebut, mereka semua beraya di kampung dia pula. Macam yang dia dah agak, suaminya terus membantah. "Kalau awak nak balik ke kampung awak... awak baliklah. Bawak anak-anak sekali. Saya tetap nak balik kampung saya."  Sampai macam tu sekali. Ketegaq punya orang hehehe... Jadi pada tahun tersebut, buat pertama kalinya mereka terpisah di hari raya. Kawan saya dan anak-anak beraya di Johor, suaminya pula di Perak.

Masa bercinta dulu... bukan main lagi... "demi awak launtan api pun sanggup kurenangi." Tapi bila dah berkahwin...pasal balik beraya pun nak gaduh. Apa daa...  kicik punya hal pun mau gaduh ke?

Pada saya, hal ni mudah saja. Amalkan sikap bertolak ansur. Perlu ada persefahaman antara suami isteri. Jangan pentingkan diri sendiri sahaja. Buat macam saya ni haa... amalkan sistem giliriran. Tahun lepas dah kat kampung kau, tahun ini kat kampung akulah pulak. Bukan ke mudah macam tu? 

Renung-renungkan dan teruskan beramal...

Sunday, July 29, 2012

pura-pura sakit

Bangun bersahur pagi Jumaat baru-baru ni,  badan rasa lemah, tekak rasa perit, mata rasa pedih dan berair, kepala pula terasa berat semacam. Mulanya malas nak layan sangat tapi bila kepala dah mula berdenyut-denyut, saya buat keputusan untuk ke klinik. Selepas pemeriksaan, doktor mengesahkan saya demam. Dah agak dah. Sebenarnya dah agak lama juga saya tak demam. Kali terakhir... entahlah, bila ya? Okeylah.. tinggalkan dulu hal demam saya tu... tak penting pun. Sebenarnya apa yang nak saya ceritakan di sini adalah perkara yang saya saksikan ketika di klinik. Kisah seseorang yang cuba nak menipu. Okey, ceritanya macam ni...

Semasa saya sampai di klinik pagi itu, seorang lelaki baru lepas membuat pendaftaran. Orangnya masih muda, tegap dan tak nampak rupa orang sakit pun. Malah, masa menunggu giliran dipanggil bertemu doktor, sempatlah saya memerhatikan gelagatnya yang asyik berbalas-balas SMS dan menerima panggilan. Bukan main ceria lagi suaranya... siap boleh gelak-gelak lagi. Memang tak nampak macam orang sakit langsung. Saya pun tak tahu kenapa dalam ramai-ramai orang kat dalam klinik tu, saya 'berminat' pula dengan dia.

Sedang asyik memerhati, tiba-tiba nama lelaki tersebut dipanggil.  Dia segera bangun. Yang buat saya rasa nak tergelak, lelaki yang sedang berSMS itu tiba-tiba mengerang sambil kedua-dua belah tangan menekan-nekan perut. Jalan pula terbongkok-bongkok. Konon macam sakit sangatlah tu. Terus saya cuit suami di sebelah. Kata saya, lelaki itu menipu dan hanya berpura-pura sakit. Tak sempat saya nak bercerita lebih lanjut pada suami, lelaki itu keluar semula dari bilik doktor. Memang sekejap sangat dia kat dalam. Rasanya tak sampai seminit pun.

Selepas itu giliran saya pula dipanggil. Keluar dari bilik doktor beberapa minit selepas itu, lelaki tadi masih ada lagi di luar. Dia berlalu ke kaunter ubat setelah namanya dipanggil. "Ubat ni makan sekali pagi, sekali malam, antibiotic ni kena habiskan... bla bla... bla. Time slip ni doktor bagi sampai pukul 11.30 aje. Lepas tu awak kena masuk kerja balik." Nampak benar lelaki itu tak puas hati. Dia pandang muka kerani kat kaunter tu macam nak telan. Macam kerani tu bersalah pulak. 

"Kenapa encik?" tanya kerani perempuan yang masih muda itu. 
"Takkan tak dapat mc," soalnya dalam nada marah.
"Entah... mana saya tau. Tadi doktor cakap apa?"
Lelaki itu tak jawab. Tapi dia tetap berdiri di situ. Saya pula, setelah mendapat ubat saya, terus keluar dari situ. Tak tahulah apa kesudahan cerita lelaki itu.

Memang tepat tekaan saya, lelaki itu sebenarnya tidak sakit tapi berpura-pura sakit. Rasanya doktor pun dah masak dengan perangai orang-orang macam tu. Sebab itulah agaknya tak sampai seminit pun dia kat dalam bilik doktor.  Sebab itu jugalah doktor tak bagi MC.

Rasanya, banyak lagi kes lain yang sama macam yang saya temui di klinik tempoh hari. Sangat tidak faham dengan orang-orang macam ni. Hanya untuk mendapatkan sekeping sijil sakit (sah-sahlah sebab malas kerja) mereka sanggup menipu, sanggup berpura-pura sakit.  Nanti betul-betul Tuhan bagi sakit baru tau...

Saturday, July 21, 2012

bahagiamu deritaku

Sesekali layan lagu okey jugak kan? Lagu nyanyian Hafiz ni sangat sesuai untuk orang-orang yang baru putus kasih. Sedih banget... jangan sampai menitis air matanya ya.... 

Salam Ramadhan

Marhaban ya Ramadhan.... 

Ramadhan datang lagi. Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat menunaikan ibadah puasa buat semua. Marilah kita sama-sama berdoa agar diberikan kesihatan dan kekuatan dalam menjalani ibadah di sepanjang  bulan penuh berkah ini. Mudah-mudahan Allah SWT akan sentiasa memberkati dan merahmati kita semua. Amiiin....

Thursday, July 19, 2012

jom cakap ganu...

Julai dah nak masuk ke penghujung, tapi baru hari ni dapat update blog. Kalau dah rajin tu, semedang ada entri baru tapi kalau dah datang penyakit malas, blog  pun tak berjenguk. Kesiannya...

Siang tadi masa tengah berbual dengan suami tiba-tiba terkeluar perkataan 'pala haliang' dari mulutnya. Kemudian kami pakat gelak. Dah lama sangat saya tak dengar perkataan tu. Rasa kelakar pulak. Walaupun suami saya orang Endau, Johor  tapi jiran-jirannya di kampung agak ramai yang berasal dari Terengganu. Jadi dia memang dah biasa dan tahu benar bercakap dalam loghat Terengganu ni. Tak bolehlah saya nak tipu dia... memang dia tau punya.

Saya sendiri, walaupun dah lama sangat meninggalkan Terengganu tapi kalau jumpa orang Terengganu, otomatik slang saya bertukar. Saya memang tak boleh tinggal loghat negeri saya tu. Saya bangga mengaku yang saya ni orang Terengganu walaupun ramai juga yang menyangka saya ni orang Perak. Ada rupa orang Perak ke saya ni? Hehehe... 

Saya masih ingat masa balik ke kampung satu ketika dulu. Kebetulan masa berkunjung ke Pasar Kedai Payang, saya terjumpa dengan kawan masa sekolah menengah dulu. Dia kawan lelaki  yang paling rapat dengan saya waktu itu. Bila dah jumpa tu, sempatlah kami bercerita kisah masing-masing. Tapi yang tak syoknya, dua boleh 'tuduh' saya berlagakl. Konon kata dia saya 'cakap luar' dan dah tak reti nak bercakap dalam loghat Terengganu lagi. Tak patut sungguh dia tuduh saya macam tu. 

*Agaknya ada yang tertanya-tanya, apa dia 'cakap luar' tu? Kalau nak tahu, 'cakap luar' tu adalah cakap dalam bahasa Melayu standard... ataupun 'cakap orang KL'. 

Berbalik kepada 'pala haliang' kat atas tadi, apa maknanya tu ya? Haaa... kalau nak tahu, pala haliang tu lebih kurang macam ketualah... bab kutuk orang, cari gaduh dengan orang... dialah yang jadi kepalanya. Macam tu lah lebih kurang. Eh! betul ke tu? Kalau salah tolong betulkan ya... 

Sebenarnya tak ramai yang boleh mengajuk percakapan dalam loghat Terengganu ni. Selalunya tak menjadi sangat. Setakat tambah 'g' pada perkataan yang ada hurug 'n' kat belakang bolehlah kut.  Bila dah lebih-lebih dah jadi lain macam pulak.

Di bawah ni saya letakkan beberapa perkataan dalam loghat Terengganu bagi yang berminat nak tahu.

               Boloq woq = Berserabut
               Doktong = suka merayau-rayau
               Dok tau starang baroh = tak tahu langsung
               Anguh letong = sangat hangus
               gogeh = bergoyang
               jo'ong = mendung
               nakut paik = sangat penakut

Itu baru sedikit ya. Nak tau lagi, kena belajar dengan  orang Terengganulah... :)

              

Friday, June 29, 2012

sekadar minat

Rajin pulak saya update blog akhir-akhir ni. Kalau  tak tu, sampai berbulan-bulan terbiar macam tu aje. Sampai naik bersawang. Jadi bila dah rajin sikit ni... rasa tersangatlah  kagum dengan diri sendiri. Hehehe...Kali ni saya nak bercerita tentang orang-orang yang saya minat dan pernah minat. Pernah minat tu tak bermakna sudah tidak berminat... masih minat lagi.

Semasa saya di sekolah rendah dulu, saya sangat meminati  Rafeah Buang, sampaikan banyak lagunya yang saya hafal. Bila kena buat persembahan kat sekolah, lagu Rafeah Buang lah yang saya nyanyi. Macam tu jugak bila main kawen-kawen dengan kawan-kawan. Saya sebagai orang yang menghiburkan 'pengantin' kononnya, akan bawak lagu penyanyi tu juga. 'Di padang yang hijau ku berlari-lari... Dalam nada riang aku bernyanyi-nyanyi'. Itu adalah dua baris lirik dari sebuah lagu yang saya dah lupa tajuknya. Tapi melodinya masih lagi segar dalam ingatan.

Semasa di sekolah menengah pula, saya sangat meminati Sudirman. Semua lagunya saya suka. Pelangi Petang, Seruling Bambu, Tak Perlu Diucapkan,  Hujan, Antara Hujan dan Air mata dan banyak lagi. Tapi paling saya suka mestilah lagu 'Cinta'. Setiap kali dengar lagu itu, hati rasa terbuai-buai dengan melodinya yang lembut dan mendayu-dayu.

Jangan tak tau... saya juga pernah minat Dahlan Zainuddin. Punyalah minat sampaikan saya pernah berangan nak kahwin dengan dia. Hahaha... Padahal masa tu orang tu dah beranak pinak pun, sedangkan saya masih bersekolah lagi.Tak sedar diri betul. Teruk saya kena ejek dengan kawan-kawan...
Inilah dia Dahlan Zainuddin... hehehe...
Selain Sudirman dan Dahlan Zainuddin, saya juga meminati Alleycats dan A. Razak Ismail. Lagu A. Razak yang saya paling minat dulu adalah lagu yang antara liriknya berbunyi 'Bila ku dengar bunyi marakas, diiring pula petikan gitar', suara biola mendayu-dayu, mengiringi suaramu. Kalau tak silap lagu tu bertajuk 'Bintang Malam Ini'. Saya pernah jumpa A. Razak semasa ditemubual di Radio Selangor sekitar tahun 2005 dulu, di mana dia adalah  DJ di stesen radio berkenaan. Tapi macam biasalah, saya buat tak tahu aje walaupun teringin juga nak mengaku yang saya pernah minat dia. Malu... huhuhu...
A. Razak Ismail
Kemudiannya bila muncul Siti Nurhaliza... bertambah lagi seorang yang saya minat. Saya sukakan suaranya yang merdu bak buluh perindu tu. Sejak tiga tahun lepas, saya jatuh minat pula dengan si rambut kerinting, Hafiz. Bagi saya, walaupun masih muda, dia sangat berbakat. Hanya berbekalkan suaranya yang sungguh sedap itu, dia mampu memukau dan memikat hati-hati yang mendengar. Istimewanya Hafiz ni... suaranya semasa menyanyi live sama aje macam dalam album. Kadang-kadang lagi sedap masa menyanyi live.
Hafiz yang comel...
Tapi minat saya taklah melampau sangat. Hanya minat macam tu aje. Cuma dengar lagu-lagu dia orang. Tengok dia orang kat dalam tv. Kalau dia orang buat show kat mana-mana tak pernah pulak saya pergi. Agaknya kalau berselisih kat mana-mana pun, mungkin saya buat tak tahu aje. Seganlah...

* Keluar topik sekejap ya... 
(Tiba-tiba saya teringat pada seorang penulis. Masa tu saya ke Pesta Buku di PWTC (tahun 2002 kalau tak silap) dan  ke sebuah booth untuk membeli buku. Tiba-tiba seorang petugas di booth menunjukkan ke arah seseorang yang sedang duduk di salah satu meja di situ. Katanya, wanita tu adalah seorang penulis dan saya boleh mendapatkan tanda tangan dari penulis tersebut. Saya hanya tersenyum kepada penulis itu tanpa berbuat seperti yang petugas itu katakan.  Bukan tak nak pergi... tapi saya segan. Nak dijadikan cerita, dua tahun selepas itu, saya juga menjadi penulis dan berada di booth yang sama dengan penulis tersebut. Entah dia ingat muka saya masa tu... tak taulah pulak. Tapi saya andaikan dia tak ingat pun memandangkan dia tak pernah menyebut tentang hal itu).