Monday, February 1, 2010

Adakah dia begitu?

Cepat betul masa berjalan. Sedar tak sedar, 2010 dah sebulan berlalu. Dalam tak sedar jugak dah genap sebulan rupanya saya tak update blog. Kononnya la... sebenarnya sedar aje. Cuma sejak streamyx jadi slow semacam akhir-akhir ni, saya dah kurang sikit melayan internet.

Kali ni saya nak bercerita tentang seorang kawan. Dia ni lebih muda dari saya. Sebelum ni kami memang rapat. Pernahlah beberapa kali dia ke rumah saya. Dia kenal suami saya dan anak-anak saya juga. Banyak kisah peribadi yang dia kongsi bersama saya. Setiap kali ada masalah, dia tanpa segan silu akan bercerita kepada saya. Selalunya masalah peribadi.

Satu hari dia datang jumpa saya, minta pinjam duit. Kata dia, kad dia bermasalah, mesin tak nak terima. Kata dia lagi, dia nak pinjam sekejap saja. Besok dia akan bayar balik. Saya ni tanpa ada rasa syak apa-apa terus aje bagi. Kebetulan jumlah yang dia nak pinjam tu bukanlah banyak sangat. Keesokanan harinya saya tunggu juga dia datang jumpa saya. Tapi sampai ke sudah tak ada. Jadi saya fikir, tentu dia lupa. Nak telefon rasa macam tak tergamak . Nanti nampak macam saya tak percayakan dia pulak. Jadi saya pun diamkan sajalah.

Beberapa hari kemudian, dia telefon saya untuk pinjam duit lagi. Alasannya kali ini, buku akaun dia hilang. Jadi, dia tak boleh nak keluarkan duit dari bank. Bila saya cadangkan supaya dia keluarkan duit pakai kad, dia beralasan kad yang bermasalah tempoh hari masih belum selesai lagi. Saya mula rasa tak sedap hati. Alasan yang dia bagi tu, tak logik sungguh. Setakat kad yang bermasalah tu, sekejap benar pihak bank boleh selesaikan. Dahlah duit yang dia pinjam hari itu pun masih belum bayar lagi. Tapi memikirkan dia adalah kawan baik saya dan tak mungkin tergamak menipu saya... saya bagi jugaklah. Macam hari itu jugak, jumlahnya taklah banyak mana pun. Kali ini dia berjanji akan bayar secepat mungkin, iaitu setelah masalah kad dapat diselesaikan.

Hari berganti minggu... minggu berganti bulan, duit yang dijanjikan akan dipulangkan secepat mungkin tu... langsung tak nampak bayang. Dengan dia-dia sekali senyap tanpa khabar berita. Teringin nak bertanya, tapi saya segan. Tapi bila saya fikir-fikir balik, saya rasa saya tak boleh diamkan perkara itu. Saya dah nampak dia cuba ambil kesempatan atas sikap berdiam diri saya. Lalu satu hari tu, saya memberanikan diri bertanya. Nak tahu apa dia jawap? "Okey... okey... hari ni jugak saya bayar." ;'Hari ini' yang dikatakan itu sudah lebih dua tahun berlalu tetapi saya masih belum menerima sesen pun daripada dia.

Sejak itu juga, dia tidak menghubungi saya lagi. Pernah beberapa kali saya terserempak dengan dia tetapi dia sekadar tersenyum pada saya. Saya juga begitu. Sekadar tersenyum atau ucap hai pada dia... sedangkan suatu waktu dahulu dia adalah orang yang sangat rapat dengan saya.

Pelik kan? Tapi itulah hakikatnya. Kerana hutang kita jadi hilang kawan. Sebenarnya sampai sekarang saya tidak ada jawapan, kenapa dia tergamak buat saya macam tu? Sebab sepanjang saya kenal dia dulu, dia bukan begitu orangnya. Ataupun dia memang begitu, tapi saya yang tidak tahu? Wallahuaklam...

Friday, January 1, 2010

Alah... sekolah nak buka dah...



Antara permainan yang Aisyah suka sesangat...

Cepatnya masa berjalan. Tup-tup dah setahun berlalu dan kita pun dah berada dalam 2010. Rasa macam baru aje lagi Aisyah ambik UPSR, tiba-tiba dah nak masuk sekolah balik. Semalam Aisyah bersungut, alah... sekolah dah nak bukak dah. Rasa sekejap sangat cuti sekolah... tak puas duduk kat rumah. Ya ke tak puas kat rumah... bukan tak puas-puas main game?

Masa cuti sekolah ni, itulah kerja dia... game... game... game. 24 jam dia asyik dgn X-Box dia tu. Yang abang-abang pulak dok melayan beli macam-macam CD games untuk dia. Tapi semuanya kategori game seram, tembak2 dan perang-perang. Bila masuk bab game ni memang kamceng habislah dia dengan abang yang dua orang tu.

Minggu depan Aisyah akan mula belajar kat sekolah menengah. Mula-mula dulu, bersemangat jugaklah dia nak masuk sekolah asrama. Konon nak cari kawan-kawan baru. Kalau bersekolah dekat dengan rumah ni, kawan-kawan dia asyik-asyik yang itu jugak. Tapi bila teringat tak boleh main game, tak boleh nak mengadap tv... dia terus ubah fikiran. Kata dia, kalau diterima masuk ke asrama, dia tak nak pergi sebab dia tau dia tak boleh nak bersuka ria macam kat rumah lagi. Hai! macam-macamlah budak ni...

Apa-apa pun, mulai esok, 02/01/2010 (Hari Orientasi di sekolahnya untuk semua pelajar Tingkatan I) Aisyah akan melangkah ke sekolah menengah pula. Mudah-mudahan dengan suasana dan persekitaran baru, dia akan jadi lebih bersemangat dan lebih rajin ke sekolah. Mudah-mudahan...

Thursday, December 31, 2009

Selamat Tahun Baru 2010

SELAMAT TINGGAL 2009, SELAMAT DATANG 2010.

Tuesday, December 22, 2009

Tak faham...

Baru-baru ini saya menghadiri satu kursus. Tajuknya menarik dan cara penyampaian penceramahnya juga sangat menarik. Sepanjang kursus yang berlangsung satu hari itu, saya tidak rasa mengantuk langsung walaupun malam sebelumnya saya hanya tidur beberapa jam saja. Ceramah yang diselangselikan dengan lawak spontan dan kisah-kisah benar itu, memberikan banyak pengetahuan baru kepada saya. Selama ini apa yang kita tahu sikit-sikit dan jadi semakin jelas. Teman-teman lain yang ikut serta juga mengakuinya.

Tapi yang saya tidak faham, sikap segelintir peserta kursus. Penceramah bercakap di hadapan, yang dia orang pulak tak henti-henti bercakap sesama mereka. Saya rasa bukan kami saja yang perasan, penceramah sendiri perasan. Sampaikan beberapa kali dia memberi peringatan agar semua peserta memberi perhatian. Tapi sekejap saja berhenti, selepas itu dia orang sambung balik berbual. Saya yang tak ada kena mengena ni pulak yang naik malu dengan penceramah itu.

Pada saya orang-orang seperti ini adalah orang yang tidak tahu menghormati, menghargai dan menjaga perasaan orang lain.

Sunday, December 6, 2009

Sampai bila?


Bila baca entri bertajuk 'realiti kehidupan' kat blog kak Aina Emir, saya terus teringatkan seorang kawan saya. Kalau Kak Aina diminta oleh kawan kaunselor dia untuk buat novel tentang isteri yang asyik dok teringat kekasih lama, saya pula telah diminta oleh kawan saya ni untuk menulis kisah yang hampir sama dan berlaku pada diri dia sendiri.

Eloklah saya namakan kawan saya ni sebagai T saja. T yang hampir sebaya saya ni telah mendirikan rumah tangga dan mempunyai empat orang anak. Suami T merupakan pilihan keluarga. Menurut T, suaminya adalah seorang lelaki yang baik dan sangat bertimbang rasa. Dan T mengaku, hidupnya berbahagia di sisi suaminya.

Sebelum mendirikan rumah tangga, T sudah mempunyai kekasih hati (K). Tetapi cintanya mendapat halangan keluarga dengan alasan K tidak sama darjat dengan mereka. T anak orang berada dan ada gelaran sementara K hanyalah anak orang biasa saja. Kata T, pada mulanya dia tidak endahkan larangan keluarga. Dia tetap menjalinkan hubungan dengan K. Tetapi dugaan yang datang terlalu berat. Akhirnya dia dan K terpaksa mengalah. Dia akur dengan permintaan keluarga dan berkahwin dengan lelaki yang tidak pernah dicintai. Sejak itu, dia tidak tahu apa yang berlaku kepada K. Walaupun begitu, K tetap berada dalam ingatannya.

Nak dijadikan cerita, pada tahun lepas,
ketika menghadiri satu kursus, T tiba-tiba terserempak dengan K. Walaupun masa agak terhad, mereka sempat bertanyakan khabar diri dan keluarga masing-masing. Dari situ lah T dapat tahu yang K masih lagi solo. Kata K, hatinya tidak pernah terbuka buat wanita lain. Sejak dulu dan sampai bila-bila pun hanya T yang ada dalam hatinya. Hanya Tuhan yang tahu hati T saat mendengar pengakuan K. Terharu sangat-sangat. Dia tidak sangka K sanggup berkorban sampai macam tu sekali.

Sebelum berpisah, T dan K bertukar-tukar nombor telefon. Dan sejak tarikh itu, boleh dikatakan saban hari mereka berbual di telefon. Kadang kala sampai dua atau tiga kali sehari. Kata T, untuk mengelak daripada diketahui suaminya, mereka selalunya berbual semasa dia di pejabat sahaja. Saya tanya juga, sampai bila agaknya keadaan ini akan berterusan? Jawab T, dia sendiri tidak pasti kerana apa yang dia tahu, dia sangat bahagia dengan apa yang dilalui sekarang.

Saturday, November 21, 2009

Kenapa dia macam tu?

Saya cukup tak faham dengan perangai sesetengah orang yang sekejap mesra... sekejap tak mesra ni. Jumpa hari ini, dia amat ramah dan mesra dengan kita. Seolah-olah dia dah kenal kita berpuluh tahun Tetapi bila dia jumpa kita pada hari lain, dia buat macam tak kenal kita langsung. Puaslah kita senyum tapi jangan harap dia nak balas.

Ada beberapa orang yang saya kenal yang termasuk dalam kategori ini. Salah seorang daripadanya adalah isteri kawan baik suami saya. Pernah beberapa kali dia mengikut suaminya datang ke rumah. Dia juga agak peramah orangnya. Saya, kalau jumpa orang peramah, saya pun sama naiklah. Nak-nak pula dapat yang satu kepala.

Nak dijadikan cerita, satu hari tu saya terjumpa dia kat dalam satu kedai buku. Saya pun senyumlah kat dia. Tapi bukan dia nak balas, sebaliknya dia jeling pulak kat saya. Masa tu saya dah menggelabah, ingatkan tersilap orang. Tapi memang dia. Takkanlah saya tak kenal orang yang selalu saya jumpa. Masa tu saya memang rasa malu. Sedih pun ada jugak. Tak sangka dia boleh buat macam tu. Padahal saya rasa tak pernah buat salah kat dia pun. Yang hairannya, suami dia yang juga ada kat situ bukan main ramah lagi menegur saya.

Paling saya tak boleh lupa, masa dia mengikut suaminya berhari raya di rumah saya. Yang suaminya bukan main lagi bersembang dengan saya dan suami. Yang si isteri ni boleh pulak buat muka seposen aje. Sepuluh patah saya bercakap, sepatah aje dia jawab. Pandang muka kita pun tak nak. Yang saya pelik, kalau tak suka, kenapa datang? Tak ada siapa paksa pun. Tapi tak taulah pula kalau-kalau suami dia yang paksa. Selepas itu ada dua tiga kali saya terjumpa dia. Tapi saya tak berani nak tegur. Nanti kalau dia tak jawab, saya jugak yang berkecil hati.

Baru-baru ini, semasa menunggu Aisyah kat depan sekolah, saya terpandang dia yang juga sedang menunggu anaknya. Seperti biasa saya buat macam tak kenal dia. Tapi yang saya terkejut, tiba-tiba dia menyapa saya dengan ramahnya. "Hai! lama tak jumpa? Ceria betul warna baju... patutlah cuaca hari ni terang benderang aje." Saya pun apa lagi... orang dah menegur. takkan tak nak layan pulak.

Sekarang saya dah pandai. Saya biar dia yang mulakan dulu
. Kalau dia menegur, saya akan jawab. Kalau tidak, tidaklah. Tapi sampai sekarang saya tidak faham, kenapa dia macam tu? Dan kenapa ada orang yang macam tu?

Monday, October 19, 2009

Jumpa lagi...

Dah sebulan rupanya saya tak update blog. Bukan tak nak update... nak sangat, tapi seperti biasalah, ada saja rintangan (alasan la tu...) Biasalah bulan syawal ni, sana sini ada open house. Tak pergi, orang dah jemput. Saya sendiri tak buat open house pun... tapi ramai jugalah yang datang beraya. Semalam pun masih ada lagi yang datang. Pendek kata, sebulan Syawal ni asyik makan aje kerja saya. Ke rumah orang pun, saya makan. Orang datang ke rumah pun, saya makan. Itulah sebenarnya salah satu punca kenapa saya dah lama tak update blog. Bila dah banyak makan, badan jadi berat. Bila badan dah berat... mulalah rasa malas. (Itu yang betulnya... hehehe...) Tapi dalam sibuk beraya, saya juga sibuk menulis novel terbaru saya. Dah ramai yang bertanya... Insyaallah saya akan cuba siapkannya menjelang awal tahun depan.