Wednesday, June 3, 2015

Sabarlah Duhai Hati (Bab 11)



JUS OREN dalam gelas sudah tinggal separuh. Mi bandung juga dah lama licin tapi batang hidung Nazim masih tidak kelihatan. Fira pandang jam lagi. Sudah lewat lebih setengah jam. Mana Nazim ni? Dia ingat ke tidak janji dia ni? Pagi tadi Nazim juga yang beria-ia ajak jumpa. Konon ada perkara yang mahu dibincangkan.
          Sebetulnya sudah tiga hari Nazim bersikap dingin dengan dia. Berbual di telefon pun acuh tak acuh aje. Itu pun dia yang buat panggilan. Nak harapkan Nazim, memang taklah. Nak jumpa jauh sekali. Dia tau Nazim merajuk, Nazim masih berjauh hati. Terus terang, dia memang tidak gemar dengan lelaki yang suka merajuk. Sangat merimaskan. Sebabnya dia bukan jenis yang pandai memujuk. Suka hati kaulah nak merajuk selama mana pun, dia peduli apa? Tetapi nak buat macam mana, dah terjebak... dah terlanjur beri hati kat dia. Suka tak suka, kenalah terima hakikat. Kenalah biasakan diri dengan keadaan itu.
Tanpa Nazim ketahui, dia sudah pun memberitahu mama tentang hubungan mereka. Baru malam tadi dan syukurlah mama tiada halangan. Malah mama dah tak sabar-sabar nak jumpa Nazim. Memang nampak sangat mama teruja. Maklumlah mama kan dah lama nak tengok dia berkahwin. Bila mama dah bersetuju, tentu papa juga akan turut bersetuju. Mama dan papa kan pasangan sehati sejiwa.
          Baru Fira berkira-kira nak menelefon, Nazim muncul di hadapannya.
“Lambatnya abang sampai. Abang dari mana ni?” Fira bertanya. Walaupun marah, dia cuba untuk bercakap selembut mungkin. Biarlah dia beralah walaupun selama ini dia bukan jenis yang suka mengalah. Tak apalah, demi Nazim tersayang apa sahaja akan diturutkan.
“Abang dari rumah. Tertidur tadi. Tu yang lambat sikit.” Nazim tarik kerusi bersetentang dengan Fira lalu duduk di situ.
 “Tak apa, abang bukan sengaja pun. Maaflah Fira makan dulu tadi. Lambat sangat tunggu abang. Perut Fira dah lapar sangat.” Fira masih mampu senyum, masih boleh berlembut. Nasib baik Nazim, kalau orang lain memang dah kena.
 “Abang nak makan apa-apa ke?”
“Tak nak,” balas Nazim.
“Betul tak nak ni?”
Nazim angguk. “Abang dah makan kat rumah tadi.”
“Kalau macam tu, jom la keluar dari sini. Abang kata ada benda nak bagi tau Fira, kan? Kebetulan Fira pun ada benda nak bagi tau abang. Nak cakap kat sini atau kita nak pergi tempat lain?”
“Kita cakap kat sini aje la.”
“Okey, mana-mana aje. Kat sini pun tak apa.”
Nazim tidak segera bercakap. Sebaliknya dia seperti serba tidak kena. Sekejap dia usap dagu, sekejap pula dia menguak rambutnya ke belakang. Sebentar lagi dia mengeluh pula. Sepertinya sedang menanggung masalah yang amat berat.
“Abang nak cakap apa ni?” Fira pandang Nazim dengan hati tertanya-tanya. Harap-harap bukan berita yang akan buat dia rasa sedih. Sebab dia sendiri akan sampaikan berita yang mampu buat Nazim tersenyum. Nasib baiklah dia sudah maklumkan hal mereka kepada mama dan mama sendiri sudah memberi restu. Kalau tidak, apa lagi agaknya alasan yang dia akan beri kepada Nazim?
Ya, mungkin sudah sampai masanya dia terima tawaran Nazim untuk ke fasa seterusnya. Menjadi isteri Nazim dan seterusnya bergelar ibu kepada anak-anak Nazim. Bermakna, dia akan menamatkan zaman bujangnya jauh lebih awal dari usia yang disasarkan. Tak kisahlah, bila pun tarikh yang pihak Nazim tetapkan, dia ikut sahaja. Itu adalah jauh lebih baik daripada dia harus kehilangan Nazim yang disayangi. Mungkin sudah sampai masanya juga dia keluar dari rumah mama dan papa, seterusnya hidup berjauhan dari budak kecil yang merimaskan itu. Hah! Senang hati... tak perlu nak fikir fasal Danish lagi. Tak perlu nak hadap muka budak tu lagi setiap hari.
“Fira...”
“Ya, bang.” Wajah Nazim dipandang tak berkelip.
 “Cakaplah. Fira dengar,” gesanya apabila Nazim masih membisu.
“Abang dah buat keputusan...” Hanya setakat itu ayat Nazim.
“Keputusan apa?”
“Hubungan kita hanya setakat ni aje. Mulai sekarang, kita dah tak ada apa-apa lagi.” Tenang suara Nazim tetapi Fira rasa terkejut sungguh-sungguh. Rasa terhenti sekejap degupan jantungnya. Dah kenapa dengan Nazim ni? Kenapa tiba-tiba minta putus? Mana pergi janji-janjinya selama ini? Mana perginya ucapan sayang dan cinta yang sering diucap?
“Abang cakap apa ni?” Suara Fira menggeletar. Mata yang dah bergenang pandang Nazim, tajam.
“Takkan Fira tak dengar kut. Jelas suara abang tadi.” Sinisnya suara Nazim.
 “Memang Fira dengar, tapi abang main-main aje, kan? Abang tak serius, kan?
“Abang tak main-main. Abang memang serius. Setakat ni aje hubungan kita. Nak buat macam mana, Fira bukan jodoh abang.” Ada nada sayu dalam suara Nazim. Wajahnya juga tampak muram.
“Tapi kenapa, bang? Apa salah Fira?” Fira rasa sedih sungguh. Tak sangka kisah cinta mereka berakhir semudah ini.
Nazim merengus. Sakit pula hatinya dengan pertanyaan Fira itu. Konon macam tak tau apa-apa. “Fira masih nak tanya abang?”
“Okey, okey... Fira mengaku Fira salah. Selama ni Fira nampak macam tak bersungguh. Fira lambat bagi tau mama dan papa pasal abang. Tapi dia orang dah tau dah. Malam tadi Fira dah bagi tau mama. Mama seronok sangat, bang. Mama dah tak sabar-sabar nak jumpa abang.” Terketar-ketar suara Fira. Harap-harap dengan penjelasan itu, Nazim akan tarik balik kata-katanya sebentar tadi. Tak boleh dia bayangkan andai perpisahan benar-benar terjadi. Macam mana dia nak bagi tau mama? 
Nazim senyum sinis. Sedikit pun tidak percaya. Dia tahu, Fira sengaja mereka-reka cerita supaya dia menarik balik keputusannya. Sejujurnya dia mengambil masa yang lama untuk memikirkan hal ini dengan sedalam-dalamnya. Bukan senang untuk melepaskan seseorang yang sangat dicintai. Tetapi dia terpaksa. Fira yang memaksa dia untuk buat keputusan yang sangat berat ini. Dari awal lagi dia nampak gadis itu tidak serius, Fira tidak besungguh. Di bibir, Fira sering mengaku sayangkan dia, cintakan dia, tapi di hati siapa tahu?
“Tak apalah, Fira. Anggaplah kita tak ada jodoh. Mungkin jodoh Fira dengan orang lain yang jauh lagi baik daripada abang.”
“Kenapa abang cakap macam tu? Fira tak nak orang lain, Fira cuma nak abang.” Air mata mengalir laju ke pipi Fira. Sedikit pun  tidak menyangka Nazim serius dengan keputusannya. Atau mungkin Nazim tak percaya kata-katanya tadi?
“Abang tak percaya ke Fira dah bagi tau mama pasal abang?” Apa yang bersuara di hati diajukan kepada Nazim.
Nazim tak jawab.
“Fira berani bersumpah, Fira dah bagi tau mama. Kalau tak percaya, abang cakap dengan mama sekarang.” Fira segera keluarkan telefon dari dalam tas tangannya. Berniat untuk hubungi mama.
“Fira tak perlu buat macam tu.”
“Abang kena cakap dengan mama jugak. Abang dengar sendiri apa mama nak cakap. Boleh abang, eh? Tolong, bang.” Fira cuba memujuk.
Nazim rasa sedih pula bila tengok Fira macam tu. Melihat air mata yang berjatuhan di pipi Fira, perasaannya jadi semakin hiba. Baru kali ini dia nampak kesungguhan Fira. Nampak seperti gadis itu betul-betul perlukan dia.
“Dah terlambat, Fira. Kita dah tak boleh jadi macam sebelum ni lagi.”
“Tapi kenapa, bang?” Makin deras air mata Fira
“Sebab abang dah terima tawaran mama abang. Tak lama lagi abang akan kahwin dengan pilihan mama.”
Hati Fira yang sedang bersedih, tiba-tiba bertukar geram. Ooo... patutlah beria-ia sangat nak putuskan hubungan, rupa-rupanya hati Nazim dah berpindah kepada wanita lain. Pilihan mama konon. Entah-entah alasan dia aje.
 “Abang cakap abang sayang Fira, cintakan Fira. Tapi kenapa buat Fira macam ni? Abang ingat Fira ni apa?” Fira menjerit kuat. Menggigil rasa seluruh badannya. Mata mencerlung Nazim, marah. Dia dah tak peduli lagi seandainya ada mata-mata yang memandang. Apa yang penting, dia dapat hamburkan segala yang terbuku di hati.
“Sebab Fira tak serius.”
“Siapa cakap Fira tak serius? Buktinya, setiap kali abang ajak jumpa, setiap kali abang ajak keluar Fira tak pernah hampakan abang. Walaupun dalam keadaan tak sihat... walaupun Fira ada komitmen lain, Fira ikutkan juga kemahuan abang. Salah Fira cuma lambat bagi tau mama dan papa tentang abang. Itu aje. Takkan disebabkan itu, abang boleh tuduh Fira tak serius? Itu tak adil untuk Fira, tau tak?”
Nazim meraup mukanya. Dia nampak sangat tertekan.
“Abang bagi Fira peluang ya? Tolong, bang.”
“Macam abang cakap tadi, semuanya dah terlambat, Fira. Abang dah tak boleh ubah keputusan abang. Abang dah terima pilihan mama. Abang tak boleh tarik balik. Maafkan abang.”
“Sampai hati abang buat Fira macam ni. Tak apa... kalau dah itu keputusan abang, Fira terima. Tapi abang jangan menyesal. Abang jangan cari Fira balik.”
“Abang tak rasa abang akan cari Fira balik.” Perlahan Nazim jawab.
Berdesing telinga Fira dengan jawapan Nazim itu. Sombongnya dia. Angkuhnya dia.
 “Abang takkan bahagia dengan dia. Kalau tak percaya, abang tengoklah nanti,” jerit Fira, kuat. Melepaskan rasa geram dan sakit dalam hati.
Nazim seperti ingin membalas, tapi suaranya tak keluar. Sudahnya dia diam. Sambil mengeluh, sekali lagi rambutnya dikuak ke belakang.
“Abang dah tak ada benda lagi nak cakap. Abang balik dulu.” Sebaik berkata begitu, Nazim tidak menunggu lagi. Segera dia beredar dari situ.
Semakin galak air mata yang mencurah ke pipi Fira. Tak sangka lelaki yang selama ini diimpikan untuk menjadi teman sehidup semati sanggup melakukan begini. Tergamaknya Nazim.
Hari ini baru dia nampak siapa sebenarnya Nazim. Rupa-rupanya Nazim bukanlah seperti yang disangkakan selama ini. Cinta Nazim tidak ikhlas. Nazim tidak bersungguh mencintainya. Kalau betul Nazim sayang dia, cintakan dia... masakan Nazim sanggup tinggalkan dia. Sanggup pula terima wanita lain sebagai isterinya. Memang dia mengaku, dia salah sebab lambat bagi tau mama dan papa, tapi sepatutnya itu tidak dijadikan alasan oleh Nazim. Lelaki itu sepatutnya mempertahankan cinta mereka walau apa sekalipun halangan yang datang. Dari situ, dia nampak, betapa rapuhnya cinta Nazim.
Bagimana agaknya dia nak beritahu mama, beritahu papa? Tiba-tiba dia rasa menyesal pula sebab berterus terang dengan mama tentang Nazim. Sepatutnya dia diamkan terus. Biarlah sampai bila-bila pun mama tak tahu.
Fira pandang Nazim yang semakin menjauh dengan hati yang tersayat pedih. Sampainya hati dia. Setelah hati ni dihancurleburkan... setelah sekeping hati ini ditoreh-toreh, boleh dia pergi macam tu aje?

No comments: