Wednesday, June 3, 2015

Sabarlah Duhai Hati (Bab 10)



SEHARIAN di rumah tanpa berbuat apa-apa memanglah boleh mendatangkan bosan. Tapi dia mana pernah rasa bosan? Kecuali dengan budak yang jadi kesayangan semua orang tu. Yang itu kes lain.
Dengan koleksi buku dan komik yang mencecah ratusan naskhah, mustahil dia boleh ada rasa macam tu.  Dia memang gila membaca dan gemar mengumpul buku sejak dari kecil lagi. Kalau kanak-kanak lain sibuk dengan barang permainan, dia pula sangat teruja bila bertemu kedai buku. Hati rasa seronok sungguh. Seolah-olah bertemu harta karun.  Selain dari koleksi buku yang berbagai genre, dia juga ada X-Box 360 yang papa hadiahkan enam tahun yang lalu iaitu sempena ulang tahun kelahirannya yang ke 18. Jadi, kalau tidak membaca, dia akan bermain game pula.
Kalaulah bukan kerana buku-buku dan X-Box 360 tu, tak tahulah apa nak jadi dengan dia. Yalah, apa sangat yang dia boleh buat kat dalam rumah ni? Memasak, mengemas rumah, mencuci pinggan mangkuk, semuanya bibik dah buat. Yalah kalau bukan bibik, siapa lagi? Mama kan dan gajikan bibik, memang patut pun bibik buat semua tu. Tak perlu kut nak tolong.
Bermain dengan adik? Tak ingin! Kan nenek ada untuk melayan si kenit tu. Kalau pun nenek tak ada, jangan haraplah dia nak buat macam tu. Benda lain walau macam mana malas sekalipun, dia boleh paksa diri. Tapi bukan berkaitan budak tu.
          “Apa nak jadi dengan Fira ni? Asyik-asyik menghadap game...” Suara Hajah Maziah yang kuat tiba-tiba memenuhi ruang itu.
          Nenek dah mula la tu. Tak boleh tengok orang senang. Ada aje benda yang nak dibebelkan. Bosanlah!
          Fira yang sedang sibuk menekan-nekan butang pada controller pandang nenek sebentar sebelum memberikan tumpuan semula kepada skrin televisyen.  Tak kuasa nak tengok si kecil yang ada bersama nenek tu.
          “Fira dengar tak apa nenek cakap ni?” Suara Hajah Maziah semakin meninggi.
          “Dengar la, nek,” balas Fira acuh tak acuh. Kut ya pun, janganlah menjerit. Dia belum pekak lagilah. Entah kenapa, sejak ada Danish kat rumah ni, nenek dah tak reti nak bercakap perlahan lagi. Haisy! Dah kenapa dengan suara nenek ni? Peti suara dah rosak ke apa?
          “Dah tu... yang duk menghadap game lagi tu kenapa?”
          “Habis nenek nak suruh Fira buat apa?” Sambil merengus, Fira hentikan permainan. Nenek memang tak boleh tengok orang senang.
          “Tolonglah apa-apa yang patut. Kemas rumah ke, tolong bibik masak ke, lipat pakaian ke, apa-apa ajelah. Fira tu dah besar panjang. Kena reti buat semua tu.”
          “Siapa cakap Fira tak reti? Fira cuma tak buat aje.”
          “Kalau reti, buatlah,” marah Hajah Maziah.
          “Okey la Fira pergi siram pokok sekarang.”
          “Tak payah, pokok-pokok tu semua nenek dah siram pagi tadi. Pergi dapur, tolong bibik masak. Kalau ada yang tolong, cepat sikit siapnya.”
          “Tak sukalah masak.”
          “Orang perempuan kena reti masak Fira oiii. Nanti kalau suami nak makan, macam mana?”
          “Nanti-nanti Fira belajar la. Bukan nak kena kahwin sekarang pun.”
          “Kalau tak menjawab tak boleh ke, Fira? Setiap kali orang cakap, ada aje yang dijawab,” marah Hajah Maziah lagi.
          Kedua-dua belah tangannya dibawa menekup telinga. Dah tak larat nak dengar nenek marah-marah. Lama-lama pekak juga telinga ni.        
 “Haaa... nak ke mana pulak tu?” soal Hajah Maziah apabila Fira bergerak dari situ.
          “Nak naik atas.”
“Tolong jaga adik sekejap. Nenek nak masuk bilik air.”
          Fira mengeluh. Adoi, tak sukanya! Macamlah budak tu kecil sangat sampai nak kena jaga. Dah empat tahun kut. Dah boleh jaga diri sendiri. Dia pun pernah kecil, tapi tak ada pula menyusahkan orang lain. Itu mama pernah bagi tau ya, bukan dia buat cerita. Tapi dalam tak suka, dia tetap berjalan mendekati nenek.
          “Adik duduk dengan kakak ya?” Hajah Maziah pandang Danish.
          “Nanti kakak ajar adik melukis, boleh?” soal Danish. Bulat matanya pandang Fira. Kertas lukisan dan pensil warna yang berada di tangan  ditayang kepada kakaknya. Walaupun tahu Kak Fira garang dan tak pernah melayannya dengan baik, dia tak pernah peduli. Masih juga nak ambil hati dan berbaik-baik dengan kakaknya. 
          Fira buat tak dengar soalan Danish  Sibuk nak suruh orang ajar dia melukis. Ingat aku ni ada darah keturunan Leonardo da Vinci, apa?
          “Fira, adik tanya tu, jawablah,” sergah Hajah Maziah.
          Hendak tak hendak Fira angguk. Kat depan nenek, angguk sajalah. Jangan haraplah dia nak ajar.
          Lebar sengih Danish. Seronoklah tu.
          Hilang sahaja nenek dari pandangan, Fira jegilkan matanya besar-besar. “Eh! kau ingat kau tu siapa nak suruh aku ajar kau? Cermin sikit muka kau tu. Budak perasan.”       
Muka Danish dan-dan jadi mendung.  Tapi dia tak menangis. Dia cuma pandang muka Fira.
          “Duduk diam-diam kat situ. Melukislah kau sorang-sorang. Suka hati kaulah nak lukis apa pun. Beruang ke, cipan ke, siamang ke... tak ada masa nak layan kau.” Segera Fira beredar ke tingkat atas. Menghempaskan badannya atas sofa.
          “Firaaaa!!” Nenek menjerit dari bawah. 
Fira sengaja mendiamkan diri. Malaslah nak turun. Nanti kena leter lagi.
“Boleh dia tinggalkan Danish sorang-sorang kat sini? Bertuah punya cucu. Tak tau la apa nak jadi dengan budak sorang ni.”  
“Lain kali jangan suruh Fira buat benda yang Fira tak suka, okey nek?” ucap Fira perlahan. Lalu dengan perlahan juga dia bergerak ke biliknya. Pintu ditutup rapat-rapat. Selamat! Dah tak dengar lagi suara nenek.

“FAN nak pergi mana tu?” tanya umi, mengarahkan pandangan kepada Affan yang baru turun dari tingkat atas.
          “Nak balik.” Affan ambil tempat sebelah umi atas sofa panjang.
          “Laaa... dah nak balik ke? Kut ya pun tunggu la dua tiga hari lagi. Sampai luka tu betul-betul sembuh.”
          “Tak boleh tunggu dah. Fan nak kena balik jugak. Esok dah nak kena masuk ofis. Banyak kerja tertangguh, mi.”
          “Fan kan kerja sendiri. Tak apa la cuti panjang sikit. Serah aje la kat orang lain buat kerja-kerja tu. Tak pun minta tolong Johan buatkan.”
          “Macam la ramai sangat orang kat ofis Fan tu. Fan tak ada ni, cuma tinggal empat orang aje, umi. Asri dengan Hisham sibuk dekat site,  Johan ada kerja dia sendiri. Tinggal Suhana aje yang selalu kat ofis pun. Lagipun kerja-kerja tu memang Fan yang kena buat. Nak tak nak Fan kena masuk ofis jugak.”
          “Pergi dari sini pun boleh, kan? Bukan jauh mana pun ofis Fan tu. Kat Selayang aje.”
          “Fan kena balik jugak petang ni, mi. Ada benda Fan nak kena buat kat rumah.”
          “Penting sangat ke benda tu?”
          “Penting la jugak.”
          Umi geleng kepala. Orang cakap macam gini, dia jawab macam gitu. Banyak sangat alasan. Kalau dah itu yang dikata, itu jugalah yang akan dibuat. Affan dari kecil memang macam itulah sifat dia. Degil dan suka buat keputusan sendiri. Kadang-kadang geram juga dengan kedegilan dia tu.
          “Elok-elok duduk kat rumah ni, pergi pindah duduk sorang-sorang kat Templer Park tu. Entah apa yang seronok sangat duduk kat dalam hutan tu sorang-sorang. Tak faham umi.”
          Affan gelak. Umi ni tak habis-habis nak ungkit kisah lama. Padahal kes dia berpindah rumah sudah dua tahun berlalu.  Dah lama kut. Lepas tu tak habis-habis cakap Templer Park tu dalam hutan, kawasan jin bertendang. Umi... umi... marahkan Affan pindah rumah, Templer Park yang tidak bersalah tu jadi mangsa.
          “Abang dah nak balik ke? Jangan la balik dulu, bang,” ujar Dian yang baru muncul di situ. Dia duduk atas sofa tunggal, berhadapan umi dan Affan..
          “Biar la dia, dik. Dia kan ada rumah sendiri. Esok-esok adik ada rumah sendiri pun buat macam tu jugaklah ya. Balik sesekali ajelah. Kalau rasa tak nak balik terus pun tak apa. Bukan ada siapa pun kat rumah ni. Umi aje pun.” Sedih pula suara umi. Kemudian meninggalkan kedua-dua anaknya di situ.
          “Abang punya pasal la ni, adik pulak yang kena. Tengok, umi dah merajuk dah.” Dian sudah berpindah tempat, duduk di sebelah abangnya pula.
          “Alah, macam la tak biasa dengan umi.”
          “Abang pun satu... kenapa cepat sangat nak balik?”
          “Cepat apanya, dik? Dah lebih dua minggu kut abang tinggalkan kerja kat ofis tu.”
          “Yalah, kan?”
          “Tau pun.”
          “Abang tak sunyi ke duduk sorang-sorang? Dah la duduk kat dalam hutan pulak tu.”
          Affan ketawa lagi. Ini lagi sorang. Sama juga macam umi. Rumah dia kat sebelah padang golf kut. Mana ada kat dalam hutan? “Nama pun duduk sorang, mesti la sunyi, dik.”
          “Kahwin la, bang. Baru la tak sunyi.” Bukan main teruja lagi suara Dian.
          “Nak kahwin dengan siapa?”
          “Fira.” Memang dari dulu lagi dia mengharapkan agar Fira yang jadi pilihan abangnya. Walaupun tahu segala kelemahan sahabatnya itu tapi dia sangat yakin Abang Affan pasti dapat mengubah Fira yang degil, manja, mengada-ngada, pemalas dan macam-macam lagi tu.
          Affan ketawa berdekah-dekah. Kelakar sungguh la Dian ni. “Ni apa hal tiba-tiba suruh abang kahwin dengan Fira pulak?”
          “Sebab adik tau abang suka dia.”
          “Bila masa abang cakap abang suka dia? Tak pernah kut.”
          “Mata abang yang cakap.”
          “Memandai aje buat cerita.”
          “Cara abang pandang Fira lain macam. Adik tau abang suka dia.”
          “Bila masa abang pandang dia macam tu? Jumpa dia pun jarang-jarang. Bercakap lagilah, tak pernah langsung.”
          “Kat hospital hari tu.”
          “Jangan nak mengarut la, dik. Mana ada?”
          “Tak nak mengaku konon. Dengan orang lain boleh la abang tipu, tapi dengan adik, jangan.” Depan mata Affan, Dian menggoyang-goyangkan jari telunjuknya.
“Kalau abang cakap tak tu... memang taklah.” Jari Dian yang masih bergerak-gerak di hadapan matanya, Affan tepis.
          “Tengok, muka abang dah merah. Abang suka Fira, kan?”   
          “Malas la layan adik ni.”
          “Betul tak abang sayang Fira?” Dian tayang sengih nakal.
          “Mana ada?” Affan tolak muka adiknya.
          “Adik akan pastikan Fira jadi kakak ipar adik.”
          “Hisy, dia ni!”
          “Tak kira, nak suruh abang jadi jugak dengan Fira.”
          “Dia dah ada boyfriend la, dik.”
          “Mana abang tau dia ada boyfriend?” Dian tak puas hati. Dia sendiri pun baru tahu, itu pun secara kebetulan. Macam mana Abang Affan boleh tahu pula? Takkan Fira bagi tahu kut.
          “Adik yang tak lawa pun ada boyfriend, takkan dia yang cun tu tak ada kut.”
          Automatik Dian cekak pinggang. Matanya bulat pandang Affan. “Ini boleh mendatangkan marah.”
          “Gurau aje la, dik. Adik abang ni lagi cun kut.”
          “Tau tak apa.” Dian tunjuk sengih. “Adik tak rasa Fira akan kahwin dengan Nazim. Dia mesti kahwin dengan abang. Percaya la cakap adik.”
          “Nazim?”
          “Yalah, Nazim tu boyfriend Fira.”
          “Tau pun Fira tu dah ada boyfriend. Ingatkan tak tau.”
          “Baru aje tau.”
          “Tak kisahlah baru tau ke atau memang dah lama tau. Yang penting, dia dah ada teman lelaki, okey?”
          “Adik doakan dia tak jadi dengan Nazim.”
          “Kawan yang mendoakan perkara yang tidak baik untuk kawan dia... itu bukan kawan yang baik, tau? Kesian Fira dapat kawan macam ni.”
          “Siapa cakap? Adik selalu berdoa agar dia bertemu jodoh dengan abang. Itu pun kira doa yang baik juga. Baik untuk dia dan baik untuk abang jugak. Itu menunjukkan adik adalah seorang kawan dan adik yang baik. Betul tak?”
          “Tak betul tu, dik. Lagipun adik tau kan macam mana dia dengan abang? Bersembang pun tak pernah, macam mana nak suruh abang dengan dia?”
          “Eleh, entah-entah kat depan adik aje tak pernah bersembang. Kat belakang mana adik tau, entah-entah macam-macam abang ayat dia. Bukan boleh percaya sangat abang ni.”
          “Dah la... malas layan adik. Abang nak balik dah ni. Mana umi tadi?” Tanpa menghiraukan usikan Dian, Affan bangun dari sofa.
          “Eh, tunggu dulu... adik belum habis cakap lagi.” Dian tarik tangan abangnya. Affan duduk semula.
          “Apa lagi ni?”
          “Pasal tadilah.”
“Cukuplah tu. Lain kali kita sambung.”
          “Adik tolong abang, eh? Adik akan buat sampai Fira suka abang.”
          “Jangan merepek boleh tak?”
          “Adik tak merepek. Adik serius.”
          “Adik jangan macam-macam.”
          “Abang nak Fira atau Kak Nadia? Sila pilih.” Dian angkat-angkat keningnya. Merenung nakal muka Affan.
          “Abang tak nak dua-dua,” balas Affan selamba. Bangkit dari sofa, lalu terus ke ruang dapur.
          “Adik tak percaya. Abang nak Fira, kan?” laung Dian.

No comments: