
“Mentang-mentang
opah dah lama pencen, Fan ingat opah tak mampu ke nak belanja Fan makan?”
Affan sambut
ucapan upah dengan tawa. Ke situ pula perginya opah ni. Padahal dia cuma nak
mengusik. Dia tahulah opah ada duit. Maklumlah, opah kan pernah bekerja
sebagai seorang jururawat. Ditambah lagi dengan harta peninggalan arwah
atuk.
Berbalik kepada
ajakan opah malam ini. Affan syak, opah bukanlah nak belanja dia makan sangat
tapi nak memujuk rayu supaya dia setuju berkahwin dengan Nadia. Kalau betul apa
yang berada di fikirannya, dia sudah bersedia dengan jawapan. Tak kisahlah opah
nak marah atau mengamuk sekalipun dia tetap dengan keputusannya.
“Opah nak ajak
Fan makan kat mana ni?”
“Suka hati
Fanlah... opah ikut aje.”
“Fan bawa opah
pergi Kampung Baru boleh?”
“Boleh,” balas
opah. “Tapi sebelum tu kita singgah rumah mak ngah sekejap.”
“Kenapa, mak ngah
nak ikut ke?” Hati Affan dah rasa semacam. Tadi opah cakap hanya dia seorang
yang akan keluar dengan Affan. Ni apa hal pulak tiba-tiba nak ajak mak ngah
sekali? Dahlah belakangan ni mak ngah dingin semacam aje dengan dia.
Opah tak jawab
sepatah pun. Dia hanya senyum.
Sudah hampir
sepuluh minit kereta Affan berhenti di hadapan rumah berkembar dua tingkat itu,
tetapi Mak Ngah Shima tetap tak keluar-keluar. Affan jeling opah di sebelah.
Nak tengok reaksi neneknya itu. Tapi opah selamba sahaja. Tak nampak
tanda-tanda marah langsung. Cuba kalau umi yang buat macam tu, tak berhenti
membebel agaknya opah. Nampak tak sikap pilih kasih opah dekat situ? Dia pun
tidak faham kenapa opah selalu melayan umi dengan buruk. Dalam segala hal, opah
selalu lebihkan mak ngah. Tapi yang agak menghairankan, dalam opah tak sukakan umi, dia sendiri
selalu mendapat layanan istimewa opah. Malah dalam ramai-ramai cucu opah, dia
yang sering opah ajak kalau mahu ke mana-mana. Lebih-lebih lagi sejak ketiadaan
atok.
“Lamanya mak ngah
tu. Dia tau tak kita ada kat luar ni?” Affan jadi hilang sabar.
“Tau, sekejap
lagi keluar la tu. Belajar sabar sikit, Fan.”
Seseorang keluar
dari pintu rumah tapi bukan mak ngah, sebaliknya Nadia yang bukan main bergaya
lagi dengan dress berwarna merah. Dia
yang sememangnya tinggi kelihatan semakin tinggi pula dengan kasut tumit tiga
incinya. Muka yang sedia putih, jadi semakin melepak dengan solekan yang agak tebal
dari biasa. Tudung pula sarat dengan batu dan manik. Memang bergaya habislah.
Dah rupa model yang sedang peraga pakaian muslimah pula.
“Cantik betul Nadia
tu kan, Fan? Tinggi lampai, kulit putih melepak, hidung mancung, bentuk badan
pun cantik.” Bukan main lagi opah memuji. Lepas tu senyum-senyum dekat Affan, nak
dengar komen cucunya pula.
Affan buat-buat
tak dengar ucapan opah itu. Kalau pun betul Nadia cantik, apa kena mengena
dengan dia? Setakat cantik luaran tapi perangai menyakitkan hati, buat apa?
“Untung Fan dapat
dia.”
Ayat opah itu
buat Affan rasa nak termuntah masa itu juga. Tolonglah jangan keluarkan lagi
kenyataan macam tu, opah oii. Tak suka!
“Bukan opah kata
mak ngah yang nak ikut kita? Itu, apasal pulak Nadia yang keluar?” Affan
suarakan rasa tidak puas hatinya. Melihat senyuman di bibir opah, dia dapat agak
opah telah rancang benda ni dari awal. Dengan penglibatan mak ngah dan Nadia
tentunya. Silap dia juga sebab tidak berhati-hati. Macamlah tak pernah terkena
sebelum ni.
“Laa... manalah
opah tau.”
Ya la tu.
Macamlah dia budak kecil senang-senang opah nak tipu.
Tiba-tiba opah
buka pintu kereta.
“Opah nak pergi
mana pulak tu?”
“Biarlah Nadia
duduk kat depan. Opah kat belakang, ya?”
“Opah duduk
ajelah kat depan ni. Dia nak ikut sangat kan... biar ajelah dia kat belakang.”
Opah tetap turun
dari kereta.
Affan merengus.
Geram jangan cakaplah. Nasib baik opah, kalau orang lain, memang dia tinggalkan
aje kat sini. Biar dua-dua tak payah ikut.
“Hai, Fan! Terima
kasih ajak aku keluar.” Bukan main girang suara Nadia seraya duduk di tempat
opah tadi. Bau wangian semerbak memenuhi ruang dalam kereta.
Affan tak jawab
sepatah pun. Hatinya betul-betul sakit sekarang ni. Yang Nadia ni pun satu hal
juga. Dah macam-macam yang dia cakap, dah terang-terang dia tolak, masih lagi
tak serik-serik. Sampai dia dah tak tahu nak buat macam mana lagi untuk buat Nadia
faham. Kadang-kadang dia rasa kasihan juga dekat sepupunya ni. Bukan tak ada
lelaki yang nak dekat dia... ada. Malah ada yang datang merisik pun. Yalah,
orang cantik, kan? Tapi Nadia tolak semua lelaki itu dengan alasan dia mahu
ikut cakap opah.
“Opah, masuklah. Kenapa berdiri aje kat situ?” Affan
menjengahkan sedikit kepalanya ke arah pintu sebelah Nadia yang masih belum
ditutup.
Tanpa sebarang jawapan, opah berjalan mendekati pintu
sebelah pemandu.
Cermin tingkap Affan turunkan. “Kenapa, opah?”
“Opah tak jadi
pergilah Fan. Fan pergi ajelah dengan Nadia.”
“Kenapa tak jadi
pulak? Kata nak belanja Fan makan.” Hati semakin rasa nak marah. Kan betul apa
yang dia fikir tadi? Opah memang rancang benda ni. Opah sengaja nak beri Nadia
peluang untuk keluar berdua-duaan dengan dia. Tak pun Nadia sendiri yang plan benda ni. Tak dapat jayakan
sendiri, dia guna opah pula. Kalau betul, dia orang ni memang bijak, memang
licik. Lagi sekali dia terkena.
“Tiba-tiba opah
rasa tak sedap badan.”
Ingat dia nak
percaya ke? Macamlah dia tak boleh baca helah opah. Masa ini la pulak tak sedap
badan.
“Jalan ajelah,
Fan. Opah tak nak ikut.” Nadia menyampuk.
Cermin tingkap dinaikkan
semula. Lantas keretanya dibawa pergi dari situ. Tak rasa pun nak balas
lambaian tangan opah. Yalah, tak patut sangat perbuatan opah tadi.
“Kita nak makan kat mana ni, Fan?” tanya Nadia beberapa
minit selepas itu.
Affan diam. Tak kuasa nak jawab. Marahnya masih belum hilang.
Kerana opah, dia sanggup tak pergi ke majlis perkahwinan Razif, teman sewaktu
di universiti dahulu. Konon tak nak bagi opah merajuk, tak nak bagi opah marah.
Sudahnya dia sendiri yang marah dengan helah opah.
“Fan, aku tanya ni. Tak dengar ke?”
“Sukalah kau dapat kenakan aku, kan?” marah Affan.
“Apa maksud kau?”
“Kau ingat aku tak tau plan
kau dengan opah?”
“Apa plan aku
pulak? Opah cakap, kau yang ajak aku keluar.”
“Aku ajak kau keluar?” tengking Affan. “Kalaupun betul opah
cakap macam tu, kau tak ada otak ke? Takkan kau tak boleh fikir kut. Tak ada
maknanya aku nak keluar dengan kau.”
Nadia renung Affan, lama. “Fan... kenapa kau benci sangat
dengan aku? Teruk sangat ke aku ni? Tak layak sangat ke aku untuk kau?” Sayu
suara Nadia. Sejujurnya dia sangat sedih dengan Affan. Lelaki itu tidak pernah
melayannya dengan baik. Malah setiap patah perkataan yang keluar dari mulut
Affan sering sahaja melukakan hatinya. Ikutkan rasa sedih dan kecil hati, dah
lama dia tarik diri. Dah lama dia buang Affan dari hatinya. Tapi tak boleh. Dia
terlalu sayangkan Affan. Sejak awal lagi, hanya Affan yang dia cinta. Hanya
Affan yang diimpikan sebagai suami.
“Sampai hati kau, kan? Macamlah aku ni hina sangat,” sambung
Nadia apabila Affan tidak beri respons untuk pertanyaannya sebentar tadi. “Tak
boleh ke kau layan aku macam dulu-dulu. Fan? Susah sangat ke?”
“Kau tu pun tak boleh ke layan aku macam dulu-dulu jugak? Macam
mana kau layan sepupu-sepupu kita yang lain?”
“Memang tak boleh. Kau tak sama dengan dia orang. Opah nak
jodohkan kita. Kita akan jadi suami isteri, kau faham tak?”
“Memang aku faham kehendak opah. Yang aku tak faham, kenapa
kau beria-ia sangat nak ikut rancangan tak masuk akal tu?”
“Aku hormat opah... aku tak nak jadi cucu derhaka, sebab tu
aku ikut.”
Walaupun masih marah, Affan tak dapat tahan diri dari
ketawa. Lucu sangat kenyataan Nadia tu. “Kau ingat aku nak percaya? Cakap mak
kau pun kadang-kadang kau lawan. Cakap opah pulak kau nak kena ikut?” Bukan dia
tak tahu macam mana perangai Nadia tu. Mereka membesar sama-sama. Segala buruk
baik Nadia ada dalam pengetahuan dia.
Nadia terdiam. Tahu yang dia telah terlajak kata.
“Mengaku ajelah yang kau tu suka aku... cintakan aku. Habis
cerita.” Affan ketawa sinis.
“Memang pun. Memang aku suka kau, cintakan kau. Sebab itulah
aku tak layan lelaki lain. Sebab itu sampai sekarang aku tak kahwin-kahwin. Aku
tunggu kau, Fan.” Selepas berkata begitu, Nadia menangis teresak-esak.
“Aku cintakan kau, Fan. Cinta sangat-sangat.” Dalam
esakannya dia menyambung.
Affan tergamam. Pengakuan itu tidaklah memeranjatkan sangat memandangkan
dia sudah lama syak. Tapi mendengar esak tangis Nadia, dia jadi bersimpati
sekali. Juga rasa terharu kerana Nadia sudi mencintai dia, lelaki yang biasa-biasa
ini. Entah apa agaknya yang Nadia pandang pada diri seorang Muhammad Affan, dia
tak punya jawapan.
“Kau anak yang dengar kata, kau hormat orang tua, kau jaga
solat dan kau baik sangat walaupun dengan aku kau tak pernah nak buat baik pun.
Semua ciri yang aku nak ada pada kau. Kau handsome,
tinggi... sepadan dengan aku yang tinggi ni. Tapi sayang, kau tak pernah
pandang aku. Kau tak pernah suka aku. Aku kecik hati, Fan.” Tangisan yang sudah
reda kembali memenuhi ruang dalam kereta. Seperti yang dinyatakan baru sebentar
tadi, dia betul-betul berkecil hati dengan sikap dan layanan Affan selama ini.
Affan hilang kata. Begitu sekali Nadia memujinya.
Padahal dia tak rasa dia bagus sangat.
“Dahlah... tak naklah
macam ni, Nadia. Tak nak nangis-nangis.” Affan cuba pujuk.
“Fan... kita kahwin, eh?” Tanpa menghiraukan pujukan Affan, Nadia
membuat permintaan itu. Tangannya mencapai lengan Affan.
“Jangan macam ni, Nadia.” Affan menarik lengannya perlahan.
“Kahwin dengan aku, Fan. Aku janji aku akan jadi isteri yang
baik untuk kau.”
Affan tarik nafas dan hembus perlahan-lahan. “Nadia, kau
dengar sini baik-baik aku nak cakap.”
Nadia menarik hujung tudungnya lalu mengesat pipinya yang
basah. “Apa dia?”
“Benda ni aku dah cakap banyak kali dan aku harap biarlah
ini kali terakhir aku cakap. Aku dah penatlah nak cakap benda yang sama aje.”
Muka Nadia jadi mendung semula. Walaupun Affan belum sebut,
dia boleh agak apa yang bakal terbit dari mulut lelaki itu.
“Mulai sekarang, aku mintak sangat-sangat kau lupakan aku.
Aku yakin, kau akan jumpa lelaki yang baik dan boleh terima kau.” Lembut kali
ini bicara Affan.
“Aku tak nak orang lain, aku nak kau.”
Affan mengeluh. Kenapalah degil sangat Si Nadia ni. “Nadia...
tolonglah jangan jadi budak kecil. Hari tu kau juga yang cakap, kau boleh dapat
lelaki yang jauh lebih bagus dari aku, kan? Takkan kau dah lupa?”
“Masa tu aku tengah marah. Aku main cakap aje.”
“Kau kena terima hakikat yang kita memang tak ada jodoh, Nadia.
Jodoh kau dengan orang lain... aku dengan orang lain.”
“Kau dah ada orang lain ke?”
Dengan yakin Affan angguk. “Nanti kau tolong bagi tau opah
dengan mak kau, aku tak dapat terima cadangan dia orang sebab aku dah ada
pilihan sendiri. Insya-Allah, kalau diizinkan Allah, aku akan kahwin dengan
dia.”.
Nadia tak jawab. Terus-terusan
wajah Affan direnung. Hanya Tuhan tahu betapa kecewanya dia dengan pengakuan
itu. Sedarlah dia bahawasanya Affan benar-benar tidak sudi dengan dia. Kini impian
hanya tinggal impian.
Fira angguk.
“Lain kali ya Fira ikut?”
“Selalu tu bukan
main seronok kalau dengar nak balik kampung. Ni kenapa tak nak ikut pulak?”
soal mama lagi.
“Fira dah janji
nak pergi hospital dengan Dian petang ni. Kawan kita orang baru lepas buat
pembedahan.” Sebenarnya setakat nak melawat Syazwan kat hospital tu, bila-bila
pun boleh. Lagipun dia dah melawat sebelum Syazwan buat pembedahan beberapa
hari yang lepas. Tapi mengenangkan Danish
yang ada bersama, dia lebih rela tak ikut. Terus terang, sejak budak kecil tu wujud
dalam kehidupan mereka, lebih-lebih lagi sejak Danish dah besar dan pandai
bercakap, dia malas nak ikut mama dan papa ke mana-mana pun. Danish tu memang
petah. Dahlah suka bertanya macam-macam. Walaupun sering kena marah, tetap juga
nak bertanya dan mengajak dia berbual. Kalau mama dan papa tak ada, memanglah dia tak layan. Malah dia boleh marah
budak tu. Tapi kat depan mama dan papa, dia cuba elak dari berkasar dengan Danish. Tak naklah dia orang berkecil hati pula.
“Kawan mana pulak
ni?” tanya mama.
“Syazwan... kawan
masa sekolah dulu.”
“Dia sakit apa?”
Nenek pula menyampuk.
“Accident.”
“Teruk ke?”
“Teruk jugak la.
Kaki, tangan patah. Lepas tu ada pendarahan dalam kepala.”
“Kesiannya,” kata
mama lagi. “Kalau macam tu, Fira pergi aje la melawat dia. Tapi berani ke Fira
tidur sorang-sorang kat rumah? Dahlah bibik tak ada.”
“Fira tidur kat
rumah Dian. Fira dah bagi tau dia dah.”
“Kalau macam tu
tak apalah. Tapi kalau ada apa-apa, telefon mama atau papa tau?”
“Yalah.” jawab
Dian seraya memeluk dan mencium kedua-dua belah pipi mama. Mama juga berbuat
perkara yang sama kepada Fira.
“Nanti Fira jangan menyesal pulak. Kat kampung
sekarang ni musim durian.” Nenek yang
hanya memerhatikan dari tadi, mengusik. Maklumlah, Fira kan penggemar durian
nombor satu.
“Alah, nanti
nenek bawak la sebiji dua untuk Fira.”
“Macam la nenek
nak datang sini balik,” jawab papa pula yang baru menyertai mereka.
“Nenek tak nak
datang sini lagi ke?” jerit Fira. Memang dia terkejut. Sebelum ini nenek tak
pernah cakap apa-apa pun. Mama dan papa pun sama.
Nenek angguk.
“Sampai hati nenek, tak cakap dekat Fira pun.” Fira jadi
berjauh hati pula. Air mata sudah hampir benar nak luruh. Rasa macam nenek dah tak sayang dia lagi.
Kalau betul sayang, kenapa tak nak datang ke sini lagi? Dia baru nak rapat
semula dengan nenek, macam ini pula yang jadi.
“Nenek tak rancang pun. Malam tadi Mak Su Wana telefon,
minta nenek balik. Mak su kan dah dekat benar nak bersalin. Sebelum dia
bersalin, nenek kena la ada kat kampung. Nanti siapa nak jaga baby? Nak uruskan dia dalam pantang
nanti? Mak su tu pun macam Fira juga... semua benda dia tak reti buat,” sambil
bercerita sempat lagi Hajah Maziah mengusik Fira.
Fira tak marah pun dengan usikan nenek. Ketawa pun tidak.
Cuma dia rasa sedih sangat. Yalah, selama nenek di sini, dia tidak pernah
senangkan hati nenek. Sebaliknya selalu buat nenek marah-marah, selalu melawan
cakap nenek. Tiba-tiba dia rasa sangat menyesal dengan tingkah lakunya selama
ini. Tiba-tiba juga dia rasa macam nak halang nenek dari pergi.
“Nenek... janganlah balik, nek. Jangan tinggalkan Fira.” Fira
mula mengalirkan air mata. Badan nenek sudah berada dalam pelukannya.
“Laa... kenapa nangis pula ni?” soal nenek seraya
mengosok-gosok belakang cucunya.
“Fira tau nenek selalu kecil hati dengan Fira. Fira kan suka
lawan cakap nenek, suka buat nenek marah-marah. Fira tak dengar cakap,
pemalas... tapi Fira janji Fira akan ubah sikap Fira. Fira takkan lawan cakap
nenek lagi. Fira akan buat semua yang nenek suruh. Nenek datang sini balik
tau?” Fira cuba memujuk. Dia sangat yakin, sikapnya selama inilah yang
membuatkan nenek mengambil keputusan untuk balik terus ke kampung. Tentu nenek
banyak makan hati dengan dia.
“Alah, nenek tak pernah ambil hati pun dengan Fira.
Nenek tau cucu nenek ni baik hati. Dahlah jangan nangis. Nenek janji... nenek
balik tak lama. Nanti nenek datang sini semula, okey?” Nenek meleraikan
pelukan. Pipi Fira yang basah disapu dengan tangannya.
“Betul nenek nak
datang sini balik?”
“Betul,” balas nenek,
tersenyum.
“Okey, nanti
nenek balik sini, kita buat kerja sama-sama ya? Kemas rumah, masak, siram
pokok...”
“Jaga adik...” Nenek
mencelah.
“Ya la, jaga
adik...” jawab Fira, terpaksa.
“Janji nak jaga
adik ni?”
Perlahan-lahan Fira
angguk. Biarlah... angguk sahaja. Biar nenek puas hati.
“Alhamdulillah...
lega hati nenek dengar.” Senyuman nenek manis sungguh dan Fira rasa sangat
bersalah. Tentu nenek ingat jawapannya betul-betul ikhlas.
“Dah la... kita
orang dah nak bertolak dah ni. Fira jaga diri ya?” ucap papa lembut. Menarik
Fira ke dalam pelukannya lalu mencium dahi gadis itu.
“Okey...” balas
Fira. Tangan papa dicapai, lantas dikucup. Kemudian dia memeluk mama pula buat kali kedua.
“Tak nak cium
adik?” Nenek bertanya lembut.
“Tak apalah...
adik kan tengah tidur tu. Nanti terganggu pulak.” Fira beri alasan. Dia sekadar
melihat Danish yang sedang nyenyak tidur dalam kereta.
Belum sempat
mama, papa dan nenek masuk dalam perut kereta, Fira memanggil.
“Ada apa sayang?”
soal papa.
“Fira nak minta
maaf. Fira banyak dosa dengan papa, dengan mama, dengan nenek jugak.” Suara
Fira sebak. Bersilih ganti memandang wajah ketiga-tiga mereka.
“Semua orang dah
maafkan Fira. Betul tak mama, papa?” Nenek ketawa.
Dengan senyuman
di bibir masing-masing, papa dan mama hampir serentak mengangguk. “Betul cakap
nenek tu. Mama, papa dan nenek dah selalu maafkan Fira.”
“Alhamdulillah...
terima kasih,” Fira angguk, lega. “Bawak
kereta elok-elok, pa,” pesannya pula apabila kereta mula bergerak meninggalkan
kawasan rumah.
No comments:
Post a Comment