
Tiba-tiba mata rasa
hangat. Air mata merambu lagi ke pipinya. Sejak tengah hari tadi, entah sudah
berapa kali dia membazirkan air mata buat Nazim. Dia cuba untuk tidak menangis... dia cuba
untuk tidak fikir langsung tentang lelaki itu, tapi tak boleh. Semakin dicuba,
semakin banyak dia ingat. Semakin dia ingat, semakin sedih rasa di hati. Sampai
sekarang, dia masih tak percaya dengan apa yang telah lelaki itu lakukan. Tergamaknya
Nazim buat macam tu.
“Nur Syafira...
tolonglah jangan nangis. Tolong jangan lemah. Biarlah dia bahagia dengan orang
yang dia pilih. Kau akan dapat lelaki yang jauh lebih baik daripada dia. Ramai
lagi lelaki yang nak dengan kau. Tak bagus mana pun Nazim tu. Kalau dia bagus,
dia takkan buat kau macam tu.” Fira cuba pujuk hati, namun semakin banyak dia
bersuara, semakin lebat air mata yang menimpa pipinya. Dia tidak boleh terima
apa yang Nazim telah lakukan. Tak kisahlah atas alasan apa sekali pun, Nazim
tak patut buat macam tu. Perbuatan lelaki itu tidak boleh dimaafkan.
“Nazim jahat, Nazim
penipu, Nazim pembohong.” Bantal peluk di atas katil dicapai lalu ditumbuk
dengan sekuat tenaga, tanpa henti-henti sambil membayangkan dia sedang menumbuk
muka Nazim. Biar muka yang konon lawa tu jadi cacat. Biar perempuan yang nak
jadi bini dia tu akan jadi benci dan menyampah bila tengok muka Nazim.
Fira hanya berhenti
menumbuk apabila terasa penat. Sambil berbaring atas katil, dia menangis lagi.
“Tak apa, hari ni kau buat aku, Nazim. Esok-esok orang lain pulak buat kau. Kau
tengoklah nanti. Masa tu kau jangan cari
aku, kau jangan nak mengadu dengan aku. Tak kuasa aku nak layan.”
Hati yang baru nak tenang
jadi geram bila terpandang gambar foto Nazim di sebelah kaki almari. Lelaki itu
seperti sedang mengejek dia. Entah dari mana munculnya gambar itu, dia memang tak
perasan. Mungkin dari dalam laci semasa dia keluarkan barang-barang pemberian Nazim
tadi. Tak kisahlah dari mana pun, yang pasti
dia tak nak pandang wajah itu lagi. Dia tak nak tengok muka kaki
pembelit itu lagi. Dia turun dari katil, mengambil gambar foto itu lalu dicampakkan
ke dalam kotak. Duduklah kat dalam tu sebelum aku tanam kau hidup-hidup.
SEPERTI selalu, bila tengah
sedih macam ni, Nicklah yang dia cari.
Assalamualaikum. Awak sibuk ke Nick?
Tak sampai seminit,
jawapan lelaki itu mengunjungi telefonnya.
Waalaikumussalam... taklah sibuk mana. Kenapa Fira?
Jari jemari yang
ralit menekan huruf-huruf terhenti. Tiba-tiba Fira rasa macam tak patut pula
melibatkan Nick dalam hal ini. Memanglah selama ini Nick tempat dia mengadu
tapi kali ini rasa macam tak sanggup pula nak bercerita. Malu pun ya juga.
Awak ada nak cakap apa-apa ke dengan saya?
Nick dah tanya tu, jawab
sajalah. Pantas Fira menaip sambungan ayat yang terhenti tadi.
Saya tengah sedih ni. Dah banyak kali nangis hari ni.
Sedih? Kenapa? Pasal Danish lagi ke?
Bukan
Habis tu?
Saya dah putus dengan Nazim. Dia dah tinggalkan saya.
Sambil menaip ayat
itu, mata Fira tiba-tiba rasa panas. Rasa macam nak menangis.
Kenapa boleh jadi macam tu pulak? Bukan dia cakap nak
kahwin dengan awak ke?
Memanglah tapi itu sebelum ni. Sekarang kami dah tak ada
apa-apa lagi.
Sabar ajelah...nak buat macam mana kan?
Sabar! Itu sahajakah
yang Nick boleh cakap? Takkan langsung tak ada kata-kata semangat dan motivasi.
Takkan tak nak tanya, kenapa dan atas alasan apa Nazim buat keputusan itu? Benci
tau? Menyesal bagi tau Nick tadi. Lantas telefon dicampak atas katil. Hilang
nafsunya untuk sambung bersembang dengan Nick. Namun beberapa minit kemudian,
mesej datang lagi mengunjungi telefonnya.
Awak dah tidur ke?
Dengan tak
bersemangat, Fira membalas.
Belum.
Dah tu... kenapa diam aje?
Saja
Kenapa ni, lain macam aje? Marah saya ke?
Taklah... buat apa nak marah? Cuma sedih dengan diri
sendiri.
Janganlah sedih. Awak sabar ya. Tak jadi dengan Nazim, tak
semestinya awak tak boleh bahagia. Mungkin jodoh awak dengan orang lain. Orang
yang jauh lebih baik daripada Nazim.
Pandai pun pujuk.
Macam itulah. Barulah ada semangat sikit.
Awak tolong doakan saya ya?
Insya-Allah. Saya tak pernah lupa doakan awak, Fira.
Terima kasih... sayang awak.
Sama-sama kasih. Sayang awak juga.
1 comment:
NICK TU SIAPA?
Post a Comment