
Tiba-tiba dia rasa sangat kasihankan Abang Affan. Bagai
terasa-rasa lamaran Abang Affan akan ditolak. Kalaulah betul, tentu Abang Affan
akan kecewa. Tak terkecuali, dia dan umi juga. Tapi yalah, tak bolehlah nak
salahkan Fira pula. Fira berhak buat keputusan untuk dirinya sendiri. Kalau dah
tak suka, takkan nak paksa, kan? Seperti dia dan Abang Affan yang tidak suka dipaksa
berkahwin dengan sepupu sendiri, dah tentu Fira juga begitu.
“Bang, tolong hantar adik, boleh?”
Affan yang sedang tekun dengan telefon di tangan angkat
muka. “Nak pergi mana malam-malam macam ni? Siap dengan beg lagi ni.”
“Boleh hantar tak?”
“Nak hantar ke mana? Orang tanya bukannya nak jawab.”
Beg diletak atas lantai dan dia sendiri duduk atas sofa di
sebelah abangnya. “Tolong hantar adik ke rumah bakal isteri abang.”
Mendadak muka Affan jadi merah. Segan sungguh. “Boleh tak
jangan sebut macam tu?”
“Laa... kenapa pulak? Betul la apa yang adik sebut tu. Abang
kan nak kahwin dengan Fira? Bermakna dia bakal isteri abang. Apa yang tak
kenanya?”
“Jangan yakin sangat la dik.”
Dian pandang muka Affan lama. Tak suka dengan ucapan
abangnya. Belum apa-apa Abang Affan dah mengaku kalah. Ini yang orang cakap,
tewas sebelum berperang.
“Abang dapat rasa, dia takkan terima abang.”
“Kenapa abang cakap macam tu?”
“Dia tak suka abang, dia benci abang.”
“Mana abang tau?”
“Abang boleh rasa, dik.”
“Memang la dia selalu mengelak dari jumpa abang, tak nak
bercakap dengan abang, tapi tak semestinya dia benci abang. Perasaan abang aje
tu.”
Kali ini Affan diam. Tapi tidak bererti dia bersetuju dengan
ucapan adiknya. Fira tu kan kawan baik Dian, dah tentu la Dian akan bercerita
yang elok-elok sahaja tentang teman sehati sejiwa dia tu.
“Entah-entah dia pun suka abang, mana tau.” Tidak mustahil
kerana pada hari kejadian Affan jatuh sakit, dia nampak betapa menggelabahnya Fira.
Tanpa sedar sahabatnya itu melajukan keretanya. Dari situ dia dapat rasa
bagaimana prihatinnya Fira terhadap Affan. Tapi biasalah Fira tu, mana nak
mengaku.
“Kalau betul dia suka abang, kenapa dia boleh ada boyfriend? Takkan adik tak boleh fikir.”
“Yalah, dah abang sendiri pun tak pernah tunjuk yang abang
suka dia. Cuba awal-awal abang luahkan perasaan kat dia, bagi tau dia yang abang
benar-benar cintakan dia, mesti la dia tak cari orang lain dah. Abang tu lelaki,
kena la mulakan dulu.” Bersemangat sekali Dian menasihatkan abangnya.
“Tak apa la, dik. Abang dah bersedia dengan apa pun jawapan
dia. Kalau dah bukan jodoh abang dengan dia, terima aje la, kan?”
“Eh! eh! Abang ni, cepat sangat nak putus asa. Belum cuba
belum tau, bang. Abang jangan risau, adik akan tolong abang.” Dian cuba memberi
semangat walaupun sebenarnya dia sendiri tidak berapa yakin.
“Tak payah la dik.”
“Orang nak tolong dia jual mahal pulak.”
“Kalau memang niat adik nak tolong abang... abang ucap
terima kasih banyak-banyak. Tapi macam yang abang cakap sebelum ni, jangan sampai
dia tau abang suka dia.”
“Pada adik lagi bagus kalau dia tau.”
“Abang sendiri yang akan luahkan. Biar dia dengar dari mulut
abang sendiri.”

“Merepek aje adik ni,” sergah Affan. Malu nak membayangkan
apa yang Dian cakap. Dian ni pun satu, suka sangat suruh dia buat benda yang
bukan-bukan macam tu.
“Abang malu, eh?”
“Mana ada?”
“Muka abang merah.” Dian mengusik.
“Jom la abang hantar adik.” Affan bangun dari sofa lantas
mencapai kunci kereta dari atas meja tepi, terus berjalan ke muka pintu. Dian
ni bukan boleh dilayan sangat. Nanti entah apa lagi yang dia akan melalut. Dah tak
larat nak dengar.
“Abang... adik tak habis cakap lagi la.” Dian capai beg,
lalu membuntuti Affan.
“Sambung lain kali aje.”
Dian sengih. Malu la tu.
“Kenapa adik nak
tidur kat rumah dia? Aunty Zalina dengan Uncle Hamidi tak ada kat rumah ke?”
Ketika itu mereka sudah berada dalam kereta. Enjin baru sahaja dihidupkan.
“Tak ada. Dia orang balik kampung. Fira tak ikut. Bibik dia
pulak pergi Kuantan, rumah saudara dia. Tu yang dia ajak adik temankan dia
malam ni.” Sengaja Dian tidak beritahu tentang rancangan awal Fira untuk
bermalam di rumah mereka. Tak naklah Abang Affan berkecil hati pula.
“Eh! bang... adik nak tanya ni.” Tiba-tiba Dian menyoal. “Tanya apa?”
“Mana abang tau Fira dah putus dengan boyfriend dia?”
“Entah... tak tau.” Affan menafikan.
“Hari tu masa kat depan umi kan abang ada cakap.”
“Abang cakap mungkin. Tak tau la betul ke tidak.” Tak perlu
kut beritahu Dian. Buatnya dia pergi bagi tahu Fira, tak ke haru? Nanti marah
pula Johan tu.
“Cakap aje la.”
“Nak cakap apa? Benda tu bukan sahih pun.”
“Baik abang cakap. Kalau tidak adik bagi tau Fira abang suka
dia.”
“Amboi, ugut abang pulak!” kata Affan.
“Bukan ugut. Abang cakaplah... adik janji adik akan zip
mulut adik. Adik tak bagi tau Fira.”
“Johan bagi tau abang.”
“Mana Abang Johan tau?”
“Dia nampak Fira tanam barang-barang yang boyfriend dia pernah bagi. Dengan
gambar-gambar sekali dia tanam.”
Dian gelak mengekek. Lucunya Fira. Boleh pula dia bertindak
macam tu? “Betul ke tak betul Fira tu? Tak pernah buat dek orang. Hai! Nasib
abanglah dapat bakal isteri sewel macam dia.”
“Menyesal abang cakap. Adik tu kalau tak kenakan abang tak
sah.” Affan marah.
“Ala, gurau ajelah. Sensitif sangat abang ni.”
“Gurau la sangat.”
“Nanti adik nak tanya Fira, kenapa dia pergi tanam
benda-benda tu semua? Membazir betul. Kalau tak nak simpan pun bagi aje la
dekat adik.”
“Tadi bukan main janji dengan abang nak zip mulut. Ni nak
pergi tanya Fira pulak. Memang tak boleh percaya la adik ni. Suka hati adik la.
Kalau adik suka sangat nak malukan abang, suka sangat nak tengok Johan marah
abang, adik tanya la dia. Abang tak boleh nak halang.”
“Merajuk pulak.” Dian mencebik.
“Mana ada merajuk? Kecil hati aje sikit.”
“Sama la tu. Tapi tak apa... nanti adik suruh Fira pujuk,
eh?” Dian kenyit mata sambil sengih nakal. “Mesti dia pandai pujuk abang...
sejukkan hati abang yang tengah panas dengan suara dia yang lembut tu.”
Affan besarkan matanya. “Turun sekarang!”
“Kenapa pulak?”
“Abang kata turun sekarang.” Affan tayang muka serius. Biar
Dian rasa takut sikit. Biar adiknya tu tak berani nak mengusik dia lagi.
Sebenarnya bukanlah tak suka atau nak marah sangat pun. Alah, setakat usik
sikit-sikit tu, tak jadi kudis pun tapi terus-terang dia rasa segan yang amat. Dada
pun rasa berdebar tak menentu. Habis
macam mana?
“Abang kan nak hantar adik pergi rumah Fira.”
“Pergi jalan kaki. Malas abang nak hantar.” Affan matikan
enjin kereta.
“Orang gurau aje la. Tak boleh gurau pergi surau la.”
“Nak gurau pun agak-agak la.”
“Okey, okey... lain kali adik tak gurau macam tu lagi.” Dian
jeling Affan dengan muncung panjang. Tak sporting
langsung. Usik sikit pun tak boleh.
No comments:
Post a Comment