Sunday, December 12, 2010

Hidup berjauhan



Baru-baru ni saya terjumpa seorang kawan semasa di ofis lama dulu. Sembang punya sembang, baru saya tahu yang kawan saya ni hidup berjauhan dari suaminya. Dia di Kuala Lumpur, suaminya pula di Kelantan. Kata kawan saya ni, sudah hampir dua tahun suaminya di sana. Setiap dua minggu sekali suaminya akan balik ke Kuala Lumpur menjenguk dia dan anak-anak. Kata kawan saya ni, memang dia terasa perit jugaklah dengan keadaan ini. Itu pun nasib baik anak-anak dah besar panjang semuanya.

Bila dengar cerita kawan saya ni, saya jadi teringat pada kisah saya sendiri masa mula-mula bekerja di Kuala Lumpur dahulu. Baru lapan bulan bekerja, saya berkahwin. Masa tu suami di Kuala Terengganu, manakala saya di Kuala Lumpur. Baru dua minggu kahwin, saya dah kena tinggalkan dia. Sedih sangat masa tu. Sepanjang perjalanan dalam bas dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur, asyik teringat kat dia aje. Bila sampai hujung minggu aje... hati dah teringat nak balik. Yalah, suami nak datang sini tak ada tempat tinggal pulak. Maklumlah masa tu saya tinggal dengan kawan-kawan yang masih bujang. Sesekali bila suami datang, kami akan bermalam di hotel. Masa tu risau juga kalau kena tangkap khalwat (surat nikah memang tak pernah bawak pun... hehehe).

Masa mengandung merupakan pengalaman yang sangat menyedihkan. Dengan perut yang memboyot, semuanya saya kena lakukan sendiri. Bila pergi klinik atau hospital pula, hati rasa sedih sangat bila tengok orang lain dengan suami masing-masing. Sedangkan saya sorang-sorang. Pernah satu malam tu, perut saya tiba-tiba memulas. Kawan-kawan serumah terus jadi panik. Takut saya terberanak kat rumah.

Bila anak dah lahir, lain pula ceritanya. Setiap hujung minggu pasti nak balik jenguk anak kat kampung. Cuti dahlah tak banyak. MC usah cakaplah... sampai kena panggillah dengan bos. Saat nak tinggalkan anak itulah yang saya rasa sedih sangat. Dalam bas asyik menangis aje bila terbayangkan muka dia. Kat rumah sewa pun sama... menangis lagi. Sampai kawan-kawan dah tak tau nak pujuk macam mana. Bila anak dah besar sikit dan dah kenal emak dia, lagi kuat dugaannya. Bayangkan bila saya nak bertolak dari rumah, dia pula yang menangis tak nak bagi saya pergi. Akhirnya bukan dia aje yang menangis, dengan saya sekali menangis. Dalam bas menangis lagi. Kat ofis, kat rumah sewa... itu ajelah kerjanya. Menangis... menangis... menangis...
Anak pertama baru masuk setahun... saya mengandung lagi. Kali ini lagilah perit saya rasa. Mana nak fikirkan anak kat kampung lagi... mana nak fikirkan anak dalam kandungan lagi. Cumanya saya bersyukur, sepanjang saya mengandung saya tak alami alahan yang teruk-teruk.

Lagi sebulan anak kedua saya lahir, suami ditukarkan ke Selangor. Syukur alhamdulillah. Walaupun saya terpaksa berulang alik agak jauh ke tempat kerja, tapi saya tetap bersyukur. Semua dah ada kat depan mata. Tak perlu lagi saya nak berulang alik macam dulu.

Beberapa tahun lepas sekali lagi saya tinggal berjauhan dari suami. Kali ini dia di Alor Setar sementara saya masih di sini. Tetapi hidup berjauhan kali ini tak terasa sangat. Maklumlah anak-anak dah besar semuanya. Cumanya bila dia tiada, rasa macam ada yang kurang.

Buat kawan saya tadi, saya harap dia banyak bersabar. Insya-Allah satu hari nanti ,suami dia akan balik bertugas di sini semula. Lagi satu saya nak cakap... sesekali jauh ni pun ada bagusnya juga. Masa inilah kasih sayang pada dia akan bertambah. Bak kata orang 'bila dekat bau taik, bila jauh bau bunga'. Tapi lagi best kalau... bila dekat bau bunga, kan?

Monday, November 8, 2010

Terimalah kenyataan...


Banyak benar perkara yang terjadi dalam hidup saya sepanjang 2010 ni. Dari awal tahun sehinggalah tahun 2010 ni dah nak sampai ke penghujung. Kesannya bukan hanya saya, malah seisi keluarga merasa. Bila diuji macam ni, hanya kesabaran yang banyak membantu.

Buat yang berkenaan, terimalah kenyataan. Percayalah kepada qada' dan qadar Allah. Insyaallah setiap apa yang berlaku, pasti ada hikmah di sebaliknya. Ingat Allah banyak-banyak. Hentikanlah tindakan yang hanya boleh memalukan diri sendiri. Perjalanan masih panjang, hidup perlu diteruskan. jangan terlalu ikutkan perasaan...

Tuesday, July 13, 2010

Salam...

Buat yang sering bertanya... sebenarnya saya tak menghilang ke mana-mana. Cumanya mood menulis tak berapa ada. Itulah sebabnya kenapa blog ni dah agak lama tak berupdate. Insya-Allah sikit hari lagi saya akan cuba merajinkan diri, membawa jari jemari mengetuk apa yang patut.

Wednesday, April 28, 2010

Berat mata memandang...

Bila kita diuji dengan sedikit dugaan, kita selalu ingat bahawa kitalah manusia yang paling malang sekali dalam dunia ini. Walhal ramai lagi manusia di luar sana yang diuji dengan bermacam-macam dugaan yang lebih berat. Minggu lepas saya 'menginap' tiga hari di Hospital Pusrawi kerana masalah kesihatan yang asyik tak menentu semenjak dua menjak ni. Kepala memanjang aje pening, badan rasa lemah tak bermaya, mata pula asyik berpinar-pinar. Nak berdiri lama2 pun tak larat. Dah jenuh ke klinik tapi tak juga baik2... akhirnya saya ke Hospital Pusrawi untuk pemeriksaan yang lebih menyeluruh. Setelah bermacam2 ujian dibuat, doktor mengesahkan saya mengidap migrain. Teruk juga rupanya serangan migrain ni ya... saya ingatkan setakat sakit kepala saja.

Di hospital, saya berpeluang bertemu seorang wanita berpangkat kakak. Kalau saya yang mengidap migrain ini pun saya dah rasa macam teruk sangat, rupa-rupanya kakak itu menanggung lebih daripada saya. Bayangkan baru dua tahun lepas beliau terpaksa membuang rahim yang telah pun diserang kanser. Selepas itu terpaksa pula menjalani kimoterapi beberapa kali yang semua sedia maklum betapa azabnya rawatan ini. Baru saja boleh 'bernafas' dari dugaan itu, dia terpaksa menjalani pembedahan sekali lagi untuk membuang tiroid di lehernya. Beberapa minggu selepas itu, dia dimasukkan ke hospital sekali lagi apabila tiba-tiba sahaja kaki sebelah kiri hingga ke paha mengalami bengkak disebabkan darah yang membeku. Melihat keadaan kakak tersebut, saya jadi kagum sungguh. Pada saya, dia sorang yang sangat tabah. Saya juga kagum dengan perhatian yang diberikan oleh suami dan anak-anak wanita tersebut. Mungkin itu jugalah yang menjadi penguat semangat kepada si pesakit.

Pada hari saya keluar dari wad, kakak itu telah berpindah ke PPUM untuk menyambung rawatannya di sana. Kata orang berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Saya doakan agar kakak tersebut akan segera sembuh.Amin....

Saturday, April 10, 2010

Terima kasih

Dah lama benar blog saya ni tak berupdate. Bukan tak nak update tapi keadaan tak mengizinkan. Mengadap laptop pun dah tak boleh lama-lama. Jenguk facebook sekejap, jenguk blog sekejap... lepas tu baca dan balas email. Itu ajelah...
Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan terima kasih buat semua yang dah beli dan baca 'BUKAN TAK SUDI'. Daripada maklum balas yang saya terima, alhamdulillah ramai yang menyukai BTS. Komen-komen positif yang diterima menyebabkan saya jadi lebih bersemangat untuk terus menulis.
Insyaallah... untuk novel yang berikutnya... saya akan cuba kurangkan unsur-unsur kelakar. Mungkin agak leleh sikit. Ikutkan... begitulah perancangannya, tapi tak taulah hasilnya nanti. Entah-entah jadi kelakar macam BTS jugak.

Sunday, March 14, 2010

Sejenak di Kuantan

Senja di Pantai Teluk Cempedak

Saya bersama-sama Kak Aina dan Pn Hazmah (peminat setia novel). Perasan tak Kak Aina nampak lebih langsing daripada saya? Heheh... apakah rahsianya?

Sesudah empat tahun, pada 12/03/10 (Jumaat) baru-baru ini, saya bersama-sama Kak Aina Emir dengan ditemani dua orang kuat KarnaDya kembali lagi ke Berjaya Megamall bagi menghadiri bookfest anjuran Popular Kuantan. Selama dua jam kami beramah mesra dengan pembaca-pembaca yang kebanyakannya datang dari sekitar Kuantan dan juga Kemaman. Dalam tempoh tu juga, kami asyik gelak saja. Semuanya gara-gara MC pada petang itu, Encik Johari yang pandai buat kelakar. Walaupun tak ramai sangat yang datang (memang kami dah jangka memandangkan hari Jumaat adalah hari bekerja), tapi kami tetap rasa seronok. Insyaallah kalau dijemput lain kali, saya takkan tolak.

Usai sesi di Berjaya Megamall, Kak Aina menghalakan keretanya ke Pantai Teluk Cempedak. Tempat favorite Kak Aina dan saya juga. Sempatlah kami makan-makan kat sana dan menikmati angin yang pada mulanya saya ingatkan sepoi-sepoi bahasa tapi tak... anginnya agak kuat petang itu.

Petang itu juga kami bertolak balik ke Kuala Lumpur. Kesimpulannya, walaupun hanya sebentar berada di Kuantan, saya tetap rasa seronok. Panjang umur dan kalau dizinkanNya, ingin rasanya ke sana lagi. Insyaallah...

Saturday, February 27, 2010

Bukan tak sudi


Sedikit petikan :

DARI tadi, muka Anis masam saja. Sakit hatinya dengan along. Dah tahu nak ajak dia keluar makan, kenapa mesti ajak kawan dia tu sekali? Kalau kawan lain, mungkin dia tak kisah. Tapi bukan Omar, kawan sehati sejiwa along, merangkap teman serumah, merangkap rakan kongsi perniagaan along tu. Tapi yalah, along mana ada kawan lain? Ke sana ke mari, asyik Omar yang diusungnya. Yang bengangnya, nak jumpa dia pun, along kena heret Omar tu juga. Geram betul. Kalau Omar tu jenis lelaki yang bersopan santun, berhemah dan berbudi pekerti tinggi, tentu dia pun tak kisah. Tetapi yang buat dia menyampah, Omar adalah spesies lelaki gatal dan miang. Dia katakan begitu, sebab setiap kali berjumpa, Omar akan merenung dia macam nak telan. Dan renungan dia tu memang lain macam sangat... seperti ada makna tertentu. Senyuman dia lagilah Anis tak boleh tahan. Gatal semacam.

“Makanlah, angah,” pelawa Fuad. Memandang adiknya yang hanya diam dari tadi.
Anis tidak jawab pun. Dia hanya memandang lauk-pauk yang terhidang atas meja.
“Kenapa ni, ngah? Malu ke?” tegur Fuad lagi.
“Taklah... mana ada?” jawab Anis perlahan.

Dah diajaknya kawan dia tu, lepas tu boleh pulak tanya macam tu. Macam mana nak makan kalau dah biji mata Si Omar tu macam nak terkeluar dari kelopak merenung muka dia? Nasi dengan lauk pauk yang sangat sedap itu pun nampak macam tak enak lagi. Langsung hilang seleranya. Sebenarnya bukanlah malu macam yang along tanya, tapi meluat. Sangat meluat. Rasa macam nak lastik aje biji mata si Arjun Rempah bin Kari yang konon kata Zura romantik sangat tu. Romantik konon... romantik taik kucing.